Seluruh perhatian tertumpu ke arah wajah lelaki bertubuh besar, tegap
dan tinggi. Sepasang telapak tangannya berpaut pada jenang pintu warung.
“Saya waris terdekatnya,” ujar lelaki itu lalu membuka bajunya, “memang
dia pahlawan, ini warisnya kiri kanan, siapa mahu mencuba, silakan,” lelaki itu
terus menepuk dada bidangnya berkali-kali.
Pak Jabbar angkat tangan ke arahnya seraya tersenyum. Lelaki berkulit
sawo matang itu membalas angkat tangan Pak Jabbar. Senyum Pak Jabbar
dibalasnya.
“Kamu memang keturunan pahlawan
Betawi,” kata Pak Jabbar.
“Iya, memang betul cakap aku. Orang
tua ini mengakuinya.”
“Sila masuk, Rahmat,” pelawa Pak
Jabbar.
“Terima kasih Pak Jabbar. Beritahu
mereka aku keturunan Si Pitung.”
“Iya, aku bagi tahu,” jawab Pak
Jabbar.
Lelaki itu terus memusingkan badan ke
arah muka lorong. Dia melangkah dengan tenang. Dia bersiul-siul kecil. Saya tak
tahu lagu apa yang disiulkannya.
Pak Jabbar terus menyorot ke arah
lelaki itu, hingga hilang dibalik liku jalan. Sebelum itu, dia (lelaki) menoleh ke arah kami yang berada
dalam perut warung. Dua tiga kali Pak Jabbar gelengkan kepala.
“Siapa dia yang sebenarnya Pak Jabbar,”
Jamaluddin ajukan pertanyaan. Pak Jabbar buat tidak kisah dengan pertanyaan
itu. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kesian dia,” Zubir seperti mengeluh.
Keadaan itu membuatkan Jamaluddin semakin
resah.
“Dia orang gila,” kata saya keras.
“Tamar, jaga mulut, ini tempat
orang,” herdik datuk.
“Maafkan saya,” kata saya pada Pak
Jabbar yang masih termenung.
“Kamu tak salah, sesiapa pun akan
beranggapan seperti kamu,” lembutnya suara Pak Jabbar, macam suara seorang
datuk kepada cucunya.
“Kamu terangkan pada mereka Zubir,”
satu arahan untuk Zubir. Suara Pak Jabbar tidak selembut tadi. Keras dan tegas,
penuh keyakinan. Zubir menarik nafas dalam-dalam, kemudian anggukkan kepala,
tanda akur dengan arahan teman rapatnya.
“Apa yang dikatakan Rahmat tu memang
benar. Memang dia waris terdekat Si Pitung. Tapi, fikirannya tak betul,” Zubir
bersuara dengan nada suara yang lemah.
“Maksudnya gila,” kata Jamaluddin
seperti berbisik. Zubir geleng kepala berkali-kali.
“Ada gangguan perasaan,” celah datuk.
“Itu bahasa yang baik,” sahut Pak
Jabbar.
BERSILAT SENDIRI
“Ada ketikanya dia bercakap seorang diri dan bersilat sendiri
ditengah-tengah jalan. Mencabar siapa saja untuk bertarung dengannya. Kerana
orang-orang disini tahu masalahnya, semuanya buat tak kisah,” lanjut Zubir.
Anak matanya menatap setiap wajah yang berada didepannya.
“Selain dari dia, ada lagi tak waris Si Pitung?” saya bertanya dengan
harapan tidak mendapat teguran dari datuk.
“Ada, malah ada diantara mereka jadi saudagar dan orang
penting kerajaan. Cuma si Rahmat yang tak menjadi. Dia jadi begitu akibat
dilanggar kereta, kepalanya terhempas ke batu. Berbulan-bulan dia koma. Pulih
dari koma, itu yang dia dapat,” Pak Jabbar cuba menerangkan kedudukan sebenar.
“Itu sebabnya, bukan kerana sumpah,”
sampuk Jamaluddin.
“Eh, kamu,” kata datuk.
Semua yang ada disitu ketawa geli
hati. Pertanyaan yang diajukan Jamaluddin lucu sekali.
“Hebat juga Si Pitung ini,” bisik
hati saya.
“Iya, dia memang hebat.”
Saya terkejut, Pak Jabbar bagaikan tahu apa yang bermain dalam hati. Ini
membuat saya cemas.
“Si Pitung memang rapat dengan orang-orang miskin. Perbuatannya itu menimbulkan kebimbangan dikalangan orang-orang Belanda.
Mereka sentiasa mengawasi kegiatan Si Pitung. Mereka tahu, disamping rapat
dengan orang miskin, Si Pitung juga menanamkan rasa benci dihati orang miskin
terhadap orang Belanda,” Pak Jabbar terbatuk.
Setelah batuk, dia tidak meneruskan
percakapan yang terhenti. Membuat suasana dalam warung bungkam sejenak.
MERENUNG
Pak Jabbar bangun, berlegar-legar dalam perut warung sebelum berhenti
disatu sudut. Tangan kanannya memegang tiang warung, sementara tangan kirinya
terletak dibibir meja. Dia merenung sayu ke dada lorong.
“Ahhh...”
Berkali-kali Pak Jabbar menumbuk
tiang warung. Semua mata tertumpu ke arahnya. Wajah Zubir nampak cemas tetapi,
datuk masih bertenang. Dia bagaikan tahu apa yang bergelora dalam batin Pak
Jabbar.
“Dia dikhianati bangsa sendiri,” mengejut saja datuk bersuara lantang.
Pak Jabbar segera memusingkan badan, menghadapi datuk.
“Semasa rakyat miskin gembira melihat orang Belanda jadi kelam kabut dan
cemas, akibat tindakan Si Pitung. Dia dikhianati bangsa sendiri. Inilah
kelemahan orang kita,” suara Pak Jabbar mula kendur, dia melangkah kerana mahu
bergabung semula dengan kami.
“Jaguh rakyat dikhianati bangsa sendiri, dia dapat ditangkap Belanda,
dibicarakan dimahkamah ikut acuan Belanda. Dia dijatuhkan hukuman mati oleh
mahkamah penjajah pada 1896. Sungguh malang nasib Si Pitung,” suaranya
bergetar.
Wajahnya nampak sedih sekali. Datuk segera mendekatinya dan membisikkan
sesuatu padanya. Saya lihat Pak Jabbar mengukir senyum sambil merenung ke arah
Zubir.
“Kata sahabat kita dari Tanah Melayu, perkara yang sama
berlaku juga dinegaranya. Orang Inggeris menggunakan undang-undang sendiri untuk
membunuh pejuang bangsa. Kita dengan hukum tembak sampai mati. Disana dihukum
gantung sampai mati seperti yang dilakukan oleh Inggeris terhadap wira Melayu
yang bernama Datuk Sagor,” sambil berdiri Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata
itu, penuh semangat, anak matanya tetap menatap wajah datuk.
“Bila kita ke sana, kamu tunjukkan
makam pahlawan Perak yang berani. Kenalkan aku dan Zubir pada warisannya,” Pak
Jabbar mengutarakan sebuah permintaan. Datuk anggukkan kepala.
“Selain dari dia siapa lagi pahlawan
Perak yang berjaya menggerakkan semangat kemerdekaan dan bencikan Inggeris.
Mereka patut dihargai, tanpa tiupan semangat dari mereka, kita tak akan merdeka
atau bebas dari penjajah,” Zubir pula menyoal.
“Ada,” kata saya menyampuk.
“Siapa?” Jamaluddin juga turut buat
kacau daun.
“Datuk Maharaja Lela,” penuh bangga
saya menyebut nama orang saya kenal, pada nama saja.
“Memanglah kita bangsa dua serumpun.”
PARANG DITANGAN
Ada suara asing diluar warung. Semua
yang ada dalam warung halakan biji mata pada lelaki yang bernama Rahmat. Dia
tersengih dengan parang ditangan. Kepalanya dililit dengan kain merah. Sepasang
kaki seluar panjang digulung sehingga paras bawah lutut. Peluh mengalir ditubuh
tanpa baju.
“Aku sudah dengar apa yang kamu semua
cakap, cuma aku nak tanya satu perkara.”
Saya dan Jamaluddin berpandangan.
“Apa yang mahu kamu tanyakan, Rahmat,”
Pak Jabbar renung mukanya sejenak. Rahmat tersengih. Dua tiga kali dia garu
hujung dagunya.
“Ada yang kurang bila menyebut nama
saya.”
“Apa yang kurangnya, Rahmat.”
“Tak sebut nama Si Pitung selepas
nama saya.”
“Aku minta maaf Rahmat,” ujar Pak
Jabbar.
“Tadi masa mula-mula aku datang ke
sini tadi, kau tak sebut pun nama Pitung selepas sebut nama aku. Itulah sebab
aku datang ke sini semula.”
“Lagi sekali maaf, Rahmat,” ujar Pak
Jabbar. Semua
yang ada dalam warung senyum sinis.
“Apa lagi yang mahu kamu tanya, Rahmat,” susul Pak Jabbar, “tanyalah
sekarang supaya perkara yang kamu fikir dapat diselesaikan, macam Si Pitung
selesaikan masalah. Kamu waris Si Pitung mesti pandai macam dia,” Pak Jabbar
cuba berdiplomasi dengan harapan Rahmat akan cepat beredar dari situ.
Tetapi, si Rahmat bagaikan terkhayal bila namanya digandingkan Si
Pitung. Senyumnya terus melebar dibibir.
“Antara Si Pitung dengan Datuk
Maharaja Lela dan Datuk Sagor, siapa yang kuat dan gagah?”
“Sama kuat sama gagah Rahmat.”
“Mana boleh macam tu.”
“Mesti boleh, mereka semua benci
orang kulit putih. Si Pitung bencikan Belanda. Maharaja Lela benci Inggeris.
Semuanya lawan orang Eropah.”
“Kalau macam tu, kita tak boleh gaduh
dengan bangsa dua serumpun.”
“Itu yang betulnya, Rahmat pewaris Si
Pitung tak boleh bergaduh sama-sama sebangsa,” Pak Jabbar bagaikan separuh
menjerit meluahkan kata-kata itu. Rahmat ketawa terkikih. Dia membuka silat
sambil menyeru nama Si Pitung. Kemudian beredar dengan tenang.
MELAMBAI TANGAN
Bila Rahmat sudah beredar agak jauh
dari kawasan warung menuju ke lorong yang sedang dilalui beberapa kenderaan
ringan, pemandu kenderaan melambai-lambaikan tangan pada Rahmat. Kepalang
gembira Rahmat, dia menerima lambaian.
“Dalam tak betulnya itu, ada
kata-katanya yang boleh membuat kita berfikir,” Jamaluddin memberi komentar.
“Kerana kita dah cap dia gila. Cakap
betul pun kita kata cakap orang gila,” pintas Zubir.
“Sekarang kamu mahu ke mana lagi,”
tanya Pak Jabbar pada Jamaluddin.
“Mahu bawa mereka ni berjalan lagi.
Saya nak bawa mereka ke kawasan rumah peninggalan Si Pitung dan beberapa
kawasan sejarah,” jelas Jamaluddin.
“Bagus,” sahut Zubir.
Saya dan datuk minta diri pada Pak
Jabbar. Begitu juga dengan Jamaluddin. Kami meniggalkan warung Pak Jabbar menuju
lorong yang bersambung dengan jalan besar. Sambil berjalan tu, kami bertiga
berharap tidak akan terserempak dengan Rahmat.
Dibawah matahari petang yang kian redup, kami rancak melangkah. Lorong
warung Pak Jabbar sudah jauh ditinggalkan. Kami, kini berada dijalan besar yang
sibuk dengan kenderaan besar dan kecil.
“Hati-hati, pemandu disini kurang ajar sedikit,” Jamaluddin mengingatkan
datuk yang secara tidak sengaja berada agak jauh ke tengah jalan menyebabkan
dirinya hampir dihimpit lori kecil.
Saat kami berada dilaluan yang betul. Kami bertiga
terkejut dengan tindakan pemandu sebuah lori besar yang berhenti secara
mengejut. Belum sempat berkata apa-apa, pemandu lori melompat turun terus
menerkam ke arah Jamaluddin sambil mengacukan muncung pistol ke kepala Jamaluddin.
Leher baju Jamaluddin dicekaknya.
Kejadian yang tidak diduga itu
menarik perhatian ramai. Jamaluddin dan lawannya terus dihurungi orang ramai,
beberapa buah kenderaan turut berhenti. Lalu lintas terganggu, kawasan yang
dikiri kanannya terdapat bangunan batu lama mula sesak dan sibuk.
“Apa salah saya,” kata Jamaluddin
cemas.
“Kamu jadi tali barut kerajaan, menyebabkan
aku dilokap seminggu, lori aku disyaki bawa dadah.”
“Kamu salah orang.”
“Tidak, aku pasti kamu, sudah lama
aku cari kamu,” kemarahan si pemandu tidak dapat dibendung lagi, orang kian
ramai berpusu datang ke situ. Mereka hanya menanti saat pistol meletup dan
melihat mayat terbujur kaku.
“Kamu silap orang, dia baru dari datang
Medan bersama aku,” datuk cuba menenangkan si pemandu yang macam harimau lapar.
No comments:
Post a Comment