Buat seketika, suasana diruang tamu dicengkam kesepian yang panjang.
Shafie menggaru dahinya berkali-kali. Dia memang mengharapkan agar tetamu yang
ada disitu mengajukan pertanyaan.
“Kesudahan perlawanan itu siapa yang menang?” Jamaluddin ajukan
pertanyaan. Semua biji mata yang berada disitu tertumpu ke wajah Shafie. Dia
merasa tidak senang bila mukanya ditatap lama-lama.
“Siapa yang menang?” ulang Jamaluddin.
“Haaa…” Shafie menarik nafas dalam-dalam. Air mukanya membayangkan rasa
malu.
“Jawablah,” Pak Habib mengusik nakal.
“Saya hampir-hampir kalah, mujur ada orang yang datang menyelamatkan
saya,” Shafie terus tersengih. Dan orang yang berada diruang itu segera
tertawa. Lucu, Shafie turut ketawa terkikih.
SUBUH
Tidak berapa lama berselang, azan Subuh bergema dari sebuah surau
berdinding papan tidak jauh dari rumah keeluarga Shafie.
“Kita jemaah disurau, kalau ada sesiapa mahu mandi masih sempat,” riang
sekali nada suara ayah Shafie mengemukakan cadangan.
“Rasanya kita semua masih segar, basuh muka sudah memadai,” sanggah
Jamaluddin lalu disambut dengan ketawa.
“Lepas solat Subuh kita makan ramai-ramai disini. Semua hidangan saya
sediakan,” kata ibu Shafie setelah suara ketawa berakhir.
“Ini sudah cukup baik,” saya tumpang sekaki dalam dialog Subuh.
Akibatnya saya menerima teguran dari datuk melalui jelingan mata yang tajam.
Saya adalah orang terakhir turun dari rumah ayah Shafie. Lebih kurang
dalam jarak lima belas kaki sebelum sampai ke kawasan sempadan surau, rombongan
yang diketuai oleh ayah Shafie berhenti sebentar. Kemudian mereka melencong ke
kanan, tidak ikut jalan lurus menuju ke kaki tangga surau.
“Kenapa melencong ke kanan menjauhkan perjalanan, kalau lurus lagi dekat
dan cepat sampai ke kaki tangga surau,” bisik hati saya yang berada dibelakang.
Saya buat keputusan ikut jalan lurus. Tidak mahu melencong seperti yang
dilakukan oleh ayah Shafie, datuk, Pak Habib dan Jamaluddin.
Ketika sampai ke hujung jalan, langkah saya terhenti. Dari cahaya lampu
gasolin surau terlihat tulang temulang dan tengkorak manusia berserakkan dijalan
lurus. Tulang-tulang dan tengkorak yang bertaburan disitu berukuran kecil,
sebesar tengkorak monyet. Saya jadi kaku, sepasang kepala lutut terasa lembik
tidak boleh melangkah.
Cara kebetulan (mungkin sudah
menduga) dalam saat panik itu, datuk dan Pak Habib merenung ke arah saya
tetapi, Jamaluddin lebih pantas bertindak. Dia segera datang kepada saya.
“Baca bismillah dan surah an-Anas, melencong ke kanan macam kamu buat
tadi,” Jamaluddin memberi arahan. Saya segera mematuhinya dan Jamaluddin terus
menemani hingga saya bergabung dengan datuk. Pak Habib, ayah Shafie dan
Tajuddin senyum sinis ke arah saya.
“Benda-benda begini perkara biasa di Tanah Sumatera. Perbuatan itu bukan
ditujukan pada kita. Tetapi ditujukan pada salah seorang jemaah surau oleh
musuhnya. Mungkin juga kerana dengki. Mereka lebih mengutamakan kekuatan ilmu
syaitan dari kebesaran Allah. Perbuatan orang tak beriman,” Tajudin mengeluh
didepan datuk dan Pak Habib.
WUDUK
Jamaluddin yang ditemani ayah Shafie. Pak Habib dan Tajuddin segera
menuju ke tampat mengambil wuduk. Tinggal saya bersama datuk berdiri dibucu
surau papan.
“Kenapa kamu mengasingkan diri, berjalan kemudian,” datuk renung muka
saya, tiada jawapan yang dapat saya berikan.
“Lagi satu perangai buruk kamu, bila berjalan suka menoleh kebelakang.
Apa kamu tak boleh buang tabiat buruk ni.”
Saya terus membisu. Ada kemarahan menguasai wajah datuk. Beberapa orang
kampung yang tidak dikenali menoleh kearah saya dan datuk, sebelum mereka
mengambil air sembahyang.
“Kalau semasa kamu menoleh, kamu lihat
benda-benda yang baik untunglah, kalau terlihat benda yang tak senonoh, buruk
padahnya,” sambung datuk. Dan saya yakin, orang yang lalu disisi tidak dapat
menangkap kata-kata yang datuk hamburkan.
“Pergi ambil wuduk.”
Datuk terus berlalu menuju ke tempat wuduk. Dengan rasa kesal saya
melangkah mengekorinya menuju ke tempat yang sama.
Setelah menunaikan sembahyang Subuh, kami terus pulang ke rumah. Tetapi,
tidak melalui jalan datang. Kami ikut jalan lain, terpaksa menyeberangi
sebatang tali air yang airnya mengallir keruh.
Kata ayah Shafie, jalan baru itu dipilih bagi menghindarkan diri dari
bertemu hal-hal tak diingini. Jalan baru ini agak jauh dibandingkan dengan
jalan sebelumnya.
Kiri kanan jalan penuh dengan pepokok kecil dan tanaman tebu dan pisang.
Kerana jarang digunakan rumput tumbuh hinga ke tengah jalan.
“Ahh, tebu hitam melintang jalan, berhenti dulu,” ayah Shafie bersura,
langkahnya terhenti. Begitu juga dengan langkah Jamaluddin, Pak Habib dan
datuk.
“Ada apa Tamar?”
Saya renung muka Tajudin. Dia senyum.
“Ada apa Tamar,” ulangnya lagi.
“Tebu hitam melintang jalan,” bisik saya.
Wajahnya cemas.
Empat kerat tebu hitam yang panjangnya kira-kira dua kaki bertindih
melintang, betul-betul ditengah jalan. Sebahagian dari kulitnya tersiat nipis
hingga ke pangkal ruas.
“Ketepi biar aku lihat kedudukannya.”
Datuk maju setapak kedepan, membongkok badannya melihat atur letak tebu
hitam. Agak lama juga datuk melihatnya sambil hujung jarinya menculik permukaan
jalan tanah merah. Sepasang bibirnya terus bergerak-gerak.
ANGKAT
Perlahan-lahan datuk angkat muka lalu merenung muka Pka Habib dan
Jamaluddin. Mereka berbalas senyum.
“Ada jemaah yang keluar awal dari surau sengaja meletakkan batang tebu
hitam disini. Barangkali, dia mahu menguji kebolehan salah seorang dari kita
bertiga,” selamba saja datuk bersuara.
“Nakal,” komentar Pak Habib.
“Pelik, macam mana dia orang tahu kita mengubat Shafie,” Jamaluddin
kerutkan kening. Saya juga sependapat dengannya.
“Macam mana mereka tak tahu, semua orang kampung tahu anak saya ada
masalah. Orang luar pula dapat merawatnya. Jadi dukun-dukun yang ilmunya
setengah baldi iri hati. Kenapa tak panggil mereka. Masyarakat kita memang tak
lepas dari hasad dengki,” agak panjang ayah Shafie memberikan penjelasan.
Bila dia mahu menyambung penjelasannya lagi (sebenarnya mahu meluahkan rasa
geram) Pak Habib segera menghalang.
“Sudah, aku faham. Bila kita banyak bercakap tentang orang lain, kita
mudah tersasul mencaci peribadi orang. Secara tidak sengaja kita sudah membuat
dosa,” Pak Habib menepuk bahu ayah Shafie. Dan dia menerima pandangan jujur Pak
Habib.
Tebu hitam yang terletak melintang di tengah jalan dibiarkan begitu
saja.
Perjalanan yang terganggu diteruskan. Atas permintaan Jamaluddin, kami
diminta berjalan berdua-duaan seiring. Pak Habib dipadankan dengan datuk,
Jamaluddin dengan ayah Shafie, manakala saya dengan Tajudin.
Berjalan didalam kampung yang kiri kanannya diapit dua buah bukit,
terasa dingin sekali. Kabus nipis berarak lembut dipuncak bukit. Sekali pandang
kabus itu bagaikan menyapu awan putih yang mula disuluh sinar matahari yang
mula berusaha menampakkan diri.
Semasa melintas beberapa buah rumah dibibir jalan tanah merah, terdengar
suara kanak-kanak perempuan membaca mukaddam yang diselang seli dengan suara
ustazah membetulkan pembacaan. Suasana begini mengingatkan saya pada kampung
laman dan nenek ddi Semenanjung.
Sampai dikaki tangga kami disambut oleh Shafie dan ibunya dengan wajah
eria. Perubahan pada diri Shafie mengejutkan kami yang berada dikaki tangga.
Rasa tak percaya Shafie sesihat itu.
“Semoga dia sihat terus, macam dulu,” bisik ayah Shafie pada Pak Habib.
“Mudah-mudahan, jangan lupa berdoa kepada Allah,” antara jelas dengan
tidak Pak Habib menjawab.
“Naik dengan satu syarat,” sambil ketawa kecil Shafie merenung wajah
ibunya. Mereka berdua ketawa terkikih. Kami yang berada dikaki tangga bertambah
hairan. Apakah si ibu dengan si anak bergurau atau serius.
“Syarat apa pula?”
Ayah Shafie beliakkan sepasang biji mata, menatap wajah isterinya yang
masih ketawa. Pak Habib dan datuk saling berpandangan. Dada mereka terus
digayuti persoalan tanpa jawapan pasti. Tetapi, perasaan Jamaluddin tidak
terusik dengan keadaan itu, dia senyum sinis sambil menggaru pangkal lehernya
berkali-kali.
“Ada-ada saja perkara yang tak diduga,” saya dapat menangkap suara
runggutan Jamaluddin.
Memang dia bosan menghadapi masalah yang pada hematnya sengaja
diada-adakan. Semuanya ini boleh melambatkan segaola rancangan yang diaturnya.
No comments:
Post a Comment