Wednesday, May 30, 2012

SIRI 200 BERAKHIRNYA SEBUAH KUTUKAN





DI saat saya terjaga malam, kira-kira pukul dua. Perlahan-lahan saya buka pintu bilik, saya dapati datuk sedang melakukan sembahyang tahajud di ruang rumah. Setelah daun pintu bilik dirapatkan, terdengar dengkur Andi Kamarool. Syam tidak berdengkur tetapi, saya yakin dia tidur dengan nyenyak sekali. Syukur, saya tidak mengalami sebarang kejadian, tidak diingini sepanjang malam.

PATUH

BEGITULAH, semua syarat dan nasihat yang dianjurkan oleh Kiai Musroh dipatuhi oleh, Datuk dan Haji Basilam tetap mengawasinya. Kalau ada yang salah dibetulkan, kalau ada yang terlupa diingatkan. Pokoknya, sama ada Syam, Haji Basilam, datuk malah saya dan Andi Kamarool berusaha mahu membebaskan Syam dari kehidupannya yang serba tidak kena. Dalam erti kata Iain, hidupnya terseksa dan tertekan.

Sudah diputuskan oleh Haji Basilam dan datuk, saya dan Andi Kamarool diberikan tugas, setiap pagi mesti menemani Syam pergi ke rumah arwah isterinya.

Sebelum pergi, saya diwajibkan mengerak-gerakkan otot-otot sendi

serta memanaskan badan dengan melakukan senaman silat bersama Andi Kamarool.

Bila badan sudah berpeluh dan tubuh terasa segar, barulah boleh menemani Syam. (Tugas ini dilakukan setelah mcmbaca yassin pada sebelah malamnya di masjid). Andainya, ada perkara-perkara baru atau tambahan yang mesti kami lakukan, Pak Kiai Musroh akan memberitahu datuk atau Haji Basilam untuk disampaikan kepada kami berdua (Saya dan Andi Kamarool) tanpa pengetahuan Syam.

Pagi pertama mendatangi rumah arwah isteri Syam, ternyata tidak terdapat sebarang perubahan. Ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai masih banyak. Tidak ada tanda-tanda akan berkurangan. Malah anai- anai yang melata di lantai nampak agresif sekali, bersedia menyerang kami, andainya terpijak lantai yang dikuasainya. Pagi yang kedua, keadaannya seperti pagi yang pertama.

Pagi yang ketiga terdapat sedikit perubahan, jumlah serangga mula berkurangan, tidak ganas seperti pagi-pagi sebelumnya. Serangga yang menjijikkan itu bagaikan muncul dari perut bumi atau datang bersama hembusan angin. Pagi Keempat dan kelima jumlahnya bertambah susut.

Pada pagi keenam, jumlahnya boleh dihitung dan pada pagi yang ketujuh serangga tersebut tidak kelihatan langsung. Hilang entah ke mana. Seolah-olah hukuman itu telah berakhir untuk keluarga Syam. Keikhlasan dan niat baik dihati Syam, agaknya diberkati oleh Allah, maka ulat-ulat pemakan bangkai dan anai-anai terus lenyap.

Pada sebelah petang hari yang ketujuh, Kiai Musroh mengajak kami semua meninjau keadaan sekitar kawasan rumah arwah isteri Syam. Terbayang kepuasan di wajah Pak Kiai Musroh dan dia yakin dengan kuasa Allah, kejadian yang menakjubkan itu tidak akan hadir lagi dalam hidup Syam.

"Jangan kamu lupa atau lalai membahagi-bahagikan harta bekas isteri kamu seperti yang telah diputuskan," Kiai Musroh renung muka Syam, dibawah sinar matahari petang yang kian meredup.

Syam tunduk merenung tanah.

"Sesungguhnya, apa yang kita lihat mungkin merupakan gambaran nyata hukuman bagi seseorang yang sangat kedekut atau enggan menyumbangkan sedikit hartanya untuk beramal ke jalan Allah," Haji Basilam bersuara tenang.

"Entahlah, Wallah hu alam. Itu semuanya kerja Allah yang maha

mengetahui dan maha kuasa. Tetapi, kamu semua nampak. keadaan rumah ini sudah seperti sediakala."

"lya, Pak Kiai," jawab kami serentak.

"Jadikan semuanya ini sebagai pedoman. Ingatlah, Allah itu maha benar dengan segala janji-janjiNya. Apa juga yang dikehendakinya akan nyata terjadi didepan mata kita selaku makhluk ciptaanNYA," kata kiai Musroh sambil mengajak kami semua meninggalkan kawasan halaman rumah arwah isteri Syam.

"Bila semua syarat sudah ditunaikan, bolehkah saya tinggal di situ," sambil melangkah Syam kemukakan pertanyaan.

"Sudah tentu boleh, tapi " Kiai Musroh berpaling ke arah Haji

Basilam. 'Tapi dengan syarat, kamu mesti bergaul dengan orang-orang kampung, selalu berjemaah di masjid. Rajin bersedekah ke jalan Allah," sambung Kiai Musroh.

"Lagi?" Datang lagi pertanyaan dari Syam.

"Buangkan semua barang-barang yang digunakan oleh bekas isteri kamu sebagai tempat pemujaan. Kalau kamu takut melakukannya, minta tolong pada orang lain."

"Pada siapa Pak Kiai," Syam bagaikan tidak sabar.

"Dengan dua orang ini," jari telunjuk Kiai Musroh menuding ke arah datuk dan Haji Basilam.

"Dengan izin Allah, kami bersedia membantunya," datuk meluahkan sebuah ikrar.

'Tolong dan bantu dia sebelum kamu balik ke tempat asal kamu," sudah jelas kata-kata yang dituturkan oleh Kiai Musroh untuk Datuk. Buktinya, sambil bercakap Kiai Musroh terus menepuk bahu datuk berkali-kali.

"InsyaAllah..." janji datuk yang disambut dengan ceria oleh kawan- kawan dikelilingnya.

ARAHAN

MENGIKUT jadual berikutnya, (hari yang ketujuh belas) Syam boleh tidur di rumah bekas isterinya tanpa ditemani oleh sesiapa. Tetapi, atas permintaan Syam serta arahan datuk, saya dan Andi Kamarool diperintahkan supaya menemani Syam bermalam di rumah bekas isterinya selama satu minggu. Macam selalu, arahan datuk tidak ditentang.

Setiap pagi, bila pulang ke rumah penginapan. Saya terpaks;i berhadapan dengan Haji Basilam dan datuk. Mesti menjawab segala pertanyaan yang diajukan kepada kami.

Memang membosankan. Kenapa tidak ditanya kepada Syam? Bukankah ini masalah dirinya? Mengapa saya dan Andi Kamarool mesti terkena getahnya. Sayangnya, persoalan itu hanya berlegar-legar dalam nada, tidak pernah diluahkan kepada datuk atau Haji Basilam.

Antara pertanyaan yang sering diajukan kepada kami pada setiap pagi ialah:

"Apa yang kamu kamu berdua rasakan semasa berada di dalam rumahnya waktu malam?"

"Apa benda-benda pelik yang menganggu kamu berdua?"

"Apakah Syam tidak buat perangai yang menakutkan?"

"Dia tidak mengingau atau berjalan malam?"

"Ada tetamu malam yang tidak diundang datang?"

Jawapan pasti yang kami berikan atas pertanyaan tersebut ialah: TIDAK ADA.

Memang benar, kami tidak mengalami sebarang kejadian yang tidak diingini, semasa berada dirumahnya sepanjang malam. Saya yakin (mungkin Andi Kamarool juga sama seperti saya) jawapan itu akan menamatkan tugas kami menemani Syam. Apa yang saya harapkan tidak menjadi kenyataan.

"Sambung tugas tu lagi," kata datuk.

Biji mata saya dan Andi Kamarool terbeliak. Tiba-tiba saja saya rasakan dahi berpeluh dingin di bawah sinar matahari pagi yang meninggi segalah. Memang diluar dugaan, dipagi terakhir tugas, menyusul pula arahan atau tugas baru.

"Sampai bila?" Tanya Andi Kamarool dalam nada protes.

"Dua minggu lagi."

"Dua minggu lagi," Andi Kamarool terkejut.

"Iya," angguk datuk.

Saya dan Andi kamarool saling berpandangan.

Bila saya alihkan pandangan ke arah Haji Basilam, dia tersenyum lebar. Pasti dua manusia tua dihadapan kami sudah berpakat, fikir saya dalam hati.

"Andi, Tamar dengar sini."

Lagi sekali wajah Haji Basilam jadi sasaran biji mata saya dan Andi Kamarool. Macam selalu. sebelum melanjutkan kata-kata dia senyum mesra ke arah kami.

"Ada apa Pak Haji," kami menyoal serentak.

Haji Basilam yang masih duduk di anak tangga ketiga meluruskkan kaki kananya. Manakala datuk yang berdiri disisi merenung ke arah matahari pagi yang kian meninggi.

"Ini juga pengalaman, sesuatu yang baik untuk kamu berdua. Bila banyak pengalaman boleh dijadikan contoh teladan dalam hidup. Boleh dijadikan bahan cerita untuk anak cucu kamu," kata Haji Basilam yang diakhiri dengan ketawa kecil.

Sesungguhnya Andi Kamarool kurang senang dengan cara ketawa Haji Basilam itu. Pada pendapatnya, ada unsur-unsur mengejek. Andi Kamarool menyatakan protesnya dengan menjuihkan bibirnya ke depan.

ALASAN

TIDAK ada sebarang alasan yang boleh dikemukakan kepada datuk bagi menolak perintah barunya itu. Melainkan menerima sahaja dengan mengangguk, tanda setuju sambil mensifatkan perkara tersebut adalah sebuah cabaran yang mesti dijawab.

Syukur pada Allah, tempoh dua minggu yang ditetapkan, kami lalui dengan aman dan jaya sekali. Semuanya berjalan lancar. Syam makin berani, makin percaya pada diri sendiri. Dia tidak mahu kami menemaninya lagi, pada malam-malam berikutnya.

"Mula malam esok, tak payahlah Andi dan Tamar menemani saya bermalam di rumah," secara terang-terangan Syam memberitahu datuk dan Haji Basilam.

"Kamu berani?" Sergah Haji Basilam.

"Berani."

"Kamu tak takut, makhluk halus."

"Tidak."

"Habis apa yang kamu takut?"

"Apa yang saya takut ialah Allah. Dia maha besar dan berkuasa, padaNYA saya minta perlindungan."

"Alhamdulillah," pekik Haji Basilam sambil meluru ke arah Syam. Ttibuh Syam dipeluknya dengan kemas. Beberapa minit kemudian datuk juga turut berbuat demikian.

Meskipun Syam sudah pulih dari gangguan makhluk halus, akibat dari perbuatan bekas isterinya. Datuk tidak mahu terburu-buru meninggalkan Syam. Hasrat hati segera dinyatakan kepada Haji Basilam.

"Kenapa? Kurang yakin dengan dirinya?"

"Hati aku macam keberatan meninggalkannya. Kalau aku berbuat begitu macam ada sesuatu yang tidak sempuma dalam tugas aku, macam ada sesuatu yang buruk menanti," datuk berterus terang dengan Haji Basilam.

"Jadi apa yang mahu sahabat lakukan?"

"Begini haji, aku nak duduk dua minggu lagi, agaknya kamu tak marah rancangan aku ni."

"Kenapa nak marah kalau tujuannya baik, kurang tapak tangan nyiru saya tadahkan," Haji Basilam nampak serius.

"Dalam masa dua minggu itu, aku minta kamu membantu aku mengawasi gerak- geri si Syam, secara terperinci."

"Perkara itu, tidak menjadi masalah," kata Haji Basilam sambil menepuk bahu datuk. Kemudian serentak minum kopi petang yang saya sediakan.

Masa dua minggu itu dimanfaatkan oleh datuk dengan sebaik mungkin. Dua puluh empat jam, semua gerak-geri Syam diawasi dengan teliti. Rupa-rupanya rancangan datuk itu direstui oleh Kiai Musroh. Apa juga yang bakal dilakukan oleh mereka bertiga (Datuk, Haji Basilam dan Kiai Musroh) tidak dihebahkan kepada saya dan Andi Kamarool.

Dengan ditemani Haji Basilam, Kiai Musroh, Datuk sanggup pergi ke rumah Syam menjelang dinihari. Bertahan di situ hingga terbit bintang timur di kaki langit. Mereka gembira sekali, Syam sudah berubah.

Setiap malam bangun lalu melakukan sembahyang tahajud, menjelang subuh membaca Quran. Kemudian turun ke masjid betjemaah bersama orang-orang kampung. Namanya, mula disebut-sebut sebagai manusia yang pemurah.

Besok berakhirlah tempoh yang ditetapkan oleh datuk. Dalam rencana yang di atur, datuk akan meninggalkan kampung halaman Syam, selepas sembahyang subuh atau sebelum matahari pagi terbit, menuju ke Sungai Penuh.

Dari situ bersama Haji Basilam akan menuju ke rumah Mia (gadis harimau). Bagi melancarkan perjalanan, ketua kampung dan Pak Imam sudah pun mengatur kenderaan yang bakal digunakan.

DOA

MALAM itu, selepas sembahyang Isyak diadakan majlis doa selamat jalan dengan jumuan bubur kacang dan teh. Semuanya ini atas inisiatif ktiua kampung dan Pak Imam. Doa selamat dibaca oleh Kiai Musroh.

"Sepatutnya, Haji Basilam tak perlu ikut mereka, tinggallah disini dua tiga bulan lagi, ini kampung laman awak. Buat apa ke mana-mana lagi," kata ketua kampung.

"Saya ada hal dengan anak angkat saya si Mia," jawab Haji Basilam sambil menghirup kopi. Serentak Pak Imam, Ketua kampung dan Kiai Musroh goyangkan kepala. Mereka menerima alasan yang diberikan oleh Haji Basilam.

Saya perhatikan, sejak dari sembahyang maghrib hingga ke waktu Isyak. Syam bagaikan tidak mahu berenggang dengan datuk dan Haji Basilam.

Wajahnya tidak begitu ceria. Tetapi, sering bertanya sesuatu sama ada kepada datuk atau Haji Basilam. Penduduk setempat yang ikut dalam majlis doa selamat jalan itu, memperlihatkan sikap ramah kepada saya dan Andi Kamarool, terutama pemuda yang sebaya. Malah mereka secara terang-terang menyatakan rasa senang hati terhadap saya dan Andi Kamarool.

"Begini saja, orang yang mahu meninggalkan kampung ini, diminta berdiri di muka pintu masjid. Tujuannya, bukan apa-apa, bagi memudahkan orang yang berada dalam masjid bersalaman, sebaiknya mereka berdiri sederet," ketua kampung menghamburkan cadangan.

"Satu cadangan yang baik, kami setuju," sahut seorang jemaah dari sudut sebelah kanan masjid.

"Allah huakbar," kata seorang jemaah lagi lalu disambut beramai- ramai oleh jemaah yang lain. Saya lihat ketua kampung tersenyum puas. Anak buahnya tidak menolak cadangan yang dianjurkannya.

Di tengah-tengah gema suara takbir yang menguasai ruang masjid, saya terus menyelinap ditengah-tengah para jemaah menuju ke pintu masjid dan berdiri di situ. Tidak lama kemudian, datuk, Haji Basilam dan Andi Kamarool menyusul.

Seorang demi seorang para jemaah bersalaman dengan kami, malah ada yang memeluk kami. Semuanya mendoakan semoga perjalanan yang bakal kami lalui akan terhindar dari sebarang malapetaka. Akhirnya, ruang masjid terus kosong. Dan orang terakhir menghulurkan salam kepada datuk ialah ketua kampung.

"Semuanya sudah diaturkan, lepas subuh ada kereta yang akan membawa kamu ke Sungai Penuh," kata ketua kampung.

"Bagaimana dengan bayarannya?" Haji Basilam bertanya, buat seketika ketua kampung kerutkan dahi, renung ke arah Pak Imam dan Kiai Musroh yang berdiri di sisinya. Bila ketua kampung renung ke arah Syam, saya lihat Syam anggukkan kepala, terukir senyum di kelopak bibir ketua kampung.

"Semuanya ditanggung oleh si Syam, tugas saya cuma mencarikan kereta saja."

"Dia tak mahu awak semua susah," Pak Imam mencelah.

"Subuh nanti jemaah di masjid bersama kami," Kiai Musroh renung muka Haji Basilam, seolah-olah minta sebuah kepastian yang tepat.

"Rasa-rasanya tidak, kami berjemaah di rumah," jawab Haji Basilam dengan rasa yakin.

"Kalau begitu, saya suruh drebar ambil awak di rumah, elok saja satu kereta, awak duduk di depan sebelah drebar," ketua kampung tepuk bahu kiri datuk," Haji Basilam, Tamar dan Andi Kamarool duduk di belakang," sambung ketua kampung. Dia mengatur kami duduk dalam kereta.

"Drebarnya orang muda ke atau orang tua?"

Pertanyaan saya itu membuat Pak Imam ketawa kecil.

"Kalau orang muda kenapa pula, kalau orang tua apa pula lebihnya," Kiai Musroh menghalakan pertanyaan kepada saya. Kemudian dia senyum sinis.

"Orang muda bawa laju, cepat naik darah tak fikir keselamatan penumpang. Orang tua sabar bawa kereta berhati-hati," itu alasan yang saya berikan. Semuanya mengangguk. Alasan saya memang lojik dan dapat diterima oleh semua pihak.

BERANGKAT

SETELAH menunaikan fardhu subuh, kami pun berangkat meninggalkan kampong halaman Syam. Pemandu kereta Fiat, berwarna merah hati, memperkenalkan dirinya sebagai ADI PUTRA, berusia sekitar lima puluhan. Berbadan kecil tetapi, raut wajahnya membayangkan dia seorang lelaki yang memiliki semangat waja.

Ada hubungan keluarga dengan Pak Imam. Anak saudara Pak Imam jadi isterinya. Bekas pelaut yang kini membuka kedai makan, kadangkala menjalankan khidmat kereta sewa di kalangan penduduk untuk perjalanan jauh. Tiada bayaran tetap yang dikenakan. Terpulang pada keikhlasan penyewa tetapi, minyak harus ditanggung oleh penyewa.

Di pagi yang dingin dengan kabus tebal yang menutup puncak gunung- ganang. Bukit-bukau Tanah Kerinci, kereta terus dipandu dengan cermat dan hati-hati oleh Adi Putra. Memang mempesonakan melihat matahari pagi muncul dicelah-celah pergunungan. Awan yang berarak lembut, bagaikan emas terhampar akibat terkena pancaran matahari yang kian membesar

Tuesday, May 29, 2012

SIRI199 MAKHLUK HALUS DALAM DARAH





 WALAUPUN waktu solat maghrib masih jauh, lebih kurang tiga jam lagi. Tetapi, saya dan Andi Kamarool sengaja pergi awal ke masjid kami berpendapat dari duduk di rumah, terlentang tertiarap, lebih baik duduk di masjid. Boleh juga membelek-belek kitab lama tulisan jawi.

Dengan berbuat demikian, dapat menambahkan pengetahuan tentang hukum-hukam yang ada hubung kaitnya dengan ilmu agama. Mana yang tidak faham atau ada perkara yang meragukan, bolehlah dirujukan kepada datuk atau Haji Basilam.

"Bahasa kitab lama berbelit-belit. Ejaannya masih ejaan lama," tutur Andi Kamarool.

"Datuk dan Haji Basilam, boleh menolong," sanggah saya sambil menghayunkan langkah di bawah sinar matahari petang yang kian redup.

"Betul cakap kamu Tamar."

"Mereka berdua orang tua yang banyak pengalaman."

"Kita ni orang apa Tamar."

"Kita orang muda yang serba tak tahu, mesti belajar supaya tahu," kata saya. Dan kami segera ketawa.

Langkah menuju ke masjid dipercepatkan. Bila sampai di halaman masjid, apa yang direncanakan dalam kepala menjadi sebaliknya. Kami, berhadapan dengan kumpulan anak-anak muda dengan kegiatan masing-masing.

"Andi!"

Langkah Andi Kamarool terhenti, begitu juga dengan langkah saya.

"Kenapa Tamar."

"Kita patah balik, aku takut terjadi sesuatu yang tidak baik Andi."

"Aku tidak berfikir begitu, kita mencari persahabatan, bukannya musuhnya Tamar."

"Aku bimbang Andi."

"Lapangkan hati, otak dan perasaan kamu Tamar. Ayuh."

Andi Kamarool menyambung kembali langkah yang terhenti. Saya tiada pilihan lain, terpaksa akur dengan kemahuan Andi Kamarool. Dan kami kian menghampiri kawasan masjid.

Di halaman masjid yang berumput pendek, sekumpulan anak muda sedang bermain sepak raga. Mereka menyambut kehadiran kami dengan ramah sekali. Malah mempelawa kami agar turut serta dalam kumpulan mereka. Manakala di sudut kanan surau, kelihatan sekumpulan anak muda menjalankan kegiatan latihan ilmu mempertahankan diri atau seni silat dengan diawasi oleh seorang guru berbadan tegap.

Si guru duduk atas tunggul kelapa, tidak memakai baju. Kedua-dua belah lengannya dililit dengan secebis kain berwarna kuning. Wajahnya serius bercampur bengis. Ketika saya merenung ke arahnya, secara tidak sengaja pandangan kami bertembung. Dia meluahkan senyuman keramahan, wajah yang serius dan bengis tenggelam dalam senyuman yang manis macam senyum P. Ramlee dalam filem Bujang Lapok.

Senyum yang diberi saya sambut dengan anggukkan. Kerana tertarik dengan langkah dan buah silat yang dipamerkan oleh anak-anak muridnya, saya memutuskan untuk berada di tepi gelanggang. Duduk bersila di bangku panjang yang disediakan di situ.

"Kamu mahu duduk di sini, Tamar?" Tanya Andi Kamarool.

Saya segera anggukkan kepala.

"Aku mahu ke gelanggang sepak raga," susul Andi Kamarool lagi.

"Silakan."

"Jadi, kamu tak mahu ikut aku Tamar."

'Tak mahu," kata saya tegas.

Andi Kamarool pun ubah haluan, dia melangkah lemah menuju ke gelanggang sepak raga. Saya tahu, dia memang minat dengan permainan tersebut. Biarlah Andi Kamarool dengan halnya sendiri, bisik batin saya.

BERAKHIR

SELURUH perhatian, saya tumpukan ke gelanggang silat. Dari hujung mata saya dapat mengesan gerak geri si guru di atas tunggul kelapa. Di samping melihat anak-anak muridnya, dia juga melihat gerak-geri saya, terutama cara saya duduk bersila, gerak badan saya pada setiap kali anak muridnya melakukan serangan. Saya cuba menghadkan gerak-geri, agar jangan ketara dimata guru silat. Ternyata usaha itu kurang berhasil.

Latihan di gelanggang pun berakhir, tanpa saya duga, setelah anak- anak muridnya bersurai. Si guru silat mendekati saya. Pasti, perasaan saya jadi gementar dan cemas. Bermacam-macam perkara buruk muncul dalam kepala.

"Anak tahu silat?" Tanyanya.

Saya gelengkan kepala.

"Jangan berbohong, cara anak duduk bersila serta gerak mata melihat orang bersilat. Juga bentuk tubuh anak ini, sudah cukup menerangkan yang anak ada isi," tambahnya dalam nada suara yang lembut.

"lya, tahu sikit-sikit saja," saya menjawab.

"Begitulah, bersikap jujur."

"Ilmu saya tidak setinggi mana."

"Tapi, cukup untuk diri saya."

Perlahan-lahan saya anggukkan kepala. Si guru silat senyum sambil memusingkan tubuhnya membelakangi saya. Kami melangkah mengikuti tujuan masing-masing. Pandai dia membaca rahsia diri, bisik batin sambil mempercepatkan langkah untuk mendapatkan Andi Kamarool di gelanggang sepak raga.

Dalam suasana langkah yang rancak itu. Gerak hati bagaikan memberitahu ada sesuatu yang bakal muncul cara mendadak. Jadi, harus berhati-hati. Bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan. Sukar untuk menduga dari arah mana bencana akan menjelma. Secara mendadak, saya bagaikan mendengar bunyi gumpulan ombak yang datang dari arah belakang.

Dengan secepat kilat menoleh. Memang diluar dugaan dan mengejutkan. Guru silat melakukan serangan. Kerana belum bersedia, membuat saya jadi kelam-kabut.

Tetapi, saya berjaya mengelak dan menolak buah silat yang ditujukan betul-betul ke arah dada. Kalau sasaran itu tepat, pasti jatuh terlentang dan darah keluar dari mulut. Akibatnya, saya boleh mengidap penyakit batuk darah. Mujurlah serangan itu dapat saya atasi.

Guru silat tersasar ke kanan, tidak berjaya mengimbangi kedudukan badannya. Dia jatuh, bagaikan kilat dia bangun, seolah-olah tidak jatuh tetapi, bagi orang yang tajam pandangan dan tahu gerak silat dapat mengesan kelemahan itu. Apa yang berlaku menarik perhatian beberapa orang anak muda di gelanggang sepak raga. Andi Kamarool segera meluru ke arah saya.

"Kenapa Tamar?" Tanyanya cemas.

"Aku diuji Andi."

"Siapa yang menguji kamu, Tamar."

"Akulah yang mengujinya," sahut si guru silat yang berdiri di kanan. Dia menghulurkan tangan. Saya sambut dengan ikhlas. Kemudian dia memeluk tubuh saya kemas-kemas. Orang-orang yang berada di sekeliling segera bertepuk tangan.

"Maafkan saya kerana menyusahkan kawan awak," si guru silat renung muka Andi Kamarool. Saya lihat Andi Kamarool anggukkan kepala. Beberapa detik kemudian mereka berjabat salam.

"Saya tahu awak cuma mahu menguji, bukan begitu?" Tanya Andi Kamarool.

"Iya, memang betul apa yang awak kata, orang berilmu harus diuji, barulah boleh disukat tinggi rendah ilmunya," tingkah guru silat. Saya dapat menerima alasan yang diberikan, saya tidak marah malah tidak menyimpan rasa dendam dalam hati.

"Anak memang cekap memanfaatkan gerak hati pemberian Allah untuk melindung diri. Memang, serangan yang dibuat, serangan maut. Kalau kepalang orang, pasti terima padahnya. Sengaja serangan itu aku atur dari arah yang baik, tujuannya sekadar menguji, kalau aku tewas, tidak membawa maut, begitu juga dengan kamu," siguru silat memberikan penjelasan.

"Saya faham, cuma untuk menguji, kalau betul-betul maut saya," nada suara saya lemah yang diakhiri dengan senyum. Serentak Andi Kamarool dan guru silat ketawa.

CERAMAH

SETELAH menunaikan sembahyang maghrib, kami berpeluang mendengar ceramah agama yang disampaikan oleh Kiai Musroh berhubung dengan seksa kubur. Sungguh memikat dan berkesan di hati cara Kiai Musroh menyampaikan ceramah. Pandai sungguh dia memainkan emosi pendengar. Dia boleh membuat pendengar menangis dan ketawa.

Selepas menunaikan sembahyang Isyak, lagi sekali Kiai Musroh membuat kejutan. Dia mengumumkan pada para jemaah, mulai malam esok akan diadakan pembacaan yassin selama tujuh malam yang dituruti dengan solat Qiamullai yang bertujuan untuk pengampunan dosa arwah isteri Syam. Terbukti, pengumuman tersebut menyebabkan Syam jadi marah. Dia merasa malu.

Pada hemat saya perkara itu, adalah masalah peribadi yang tidak wajar dihebahkan kepada umum, meskipun niatnya baik.

"Kurang ajar, kiai ini mahu memalukan aku," bentak Syam dan bersedia untuk melakukan sesuatu kepada Kiai Musroh.

"Jangan Syam," tahan datuk.

"Kenapa pakcik tahan saya, dia dah keterlaluan. Saya tak dapat terima perkara macam ni."

"Syam kawal perasaan kamu, memang inilah caranya untuk menolong dan menyelamatkan harta benda arwah isteri kamu."

"Ikut saja cakap Kiai tu, Syam. Niatnya baik, bukan mahu menjahanamkan kamu," Haji Basilam turut menenangkan keadaan.

Syukur pada Allah, Syam anggukkan kepala. Dia terima nasihat datuk dan Haji Basilam. Tiada seorang pun para jemaah di dalam masjid membangkang cadangan Kiai Musroh. Semuanya setuju. Para jemaah pun meninggalkan masjid dengan wajah yang tenteram.

"Tunggu."

Datuk menoleh ke arah suara itu. Belum pun sempat datuk membuka mulut, ketua kampung segera menerkam ke arahnya. Serentak dengan itu juga Kiai Musroh menghampiri datuk.

"Jangan bagi budak itu balik, bermalam di rumah arwah isterinya. Aku yakin kamu boleh mengawalnya," bisik Haji Musroh.

"Berapa lama?" Tanya datuk.

Tiada jawapan dari Kiai Musroh, dia renung muka ketua kampung dan Pak Imam, seolah-olah minta bantuan bagi mengatasi masalah sekecil ini.

"Begini saja," ketua kampung tepuk bahu Pak Imam," kamu (pak imam) Kiai Musroh pergi ke rumah mereka, di sana boleh bercakap panjang, bercakap disini tidak berapa baik, ramai orang yang mendengarnya, malu pula si Syam," sambung ketua kampung sambil merenung muka datuk, Haji Basilam, Syam, Andi Kamarool dan saya.

"Satu cadangan yang baik," celah Syam tanpa rasa malu.

"Saya setuju dengan cadangan itu, banyak perkara yang mahu saya cakapkan," Kiai Musroh meluahkan rahsia hatinya.

"Kalau begitu, kita berpisah saja di sini. Biar saya balik dulu," ketua kampung minta diri.

"Silakan tuk ketua," bersama senyum ketua kampung bersuara.

Ketua kampung pun keluar dari kumpulan kami, melangkah pulang ke rumah ikut jalan pintas di rusuk kanan masjid. Kami pun turut bergerak meninggalkan halaman masjid. Sepanjang jalan pulang, kami tidak banyak bercakap tetapi langkah kami tidak mengenal perkataan perlahan atau lambat.

Saya kira bila sampai di rumah, banyak perkara yang akan dilakukan oleh Kiai Musroh untuk menangani masalah diri Syam. Setidak-tidaknya dia akan bercakap panjang dengan Syam di samping membaca doa mentera untuk menghalau makhluk halus yang diduga sudah bersatu dengan darah dan semangat Syam. Apa yang saya andaikan tidak pula menjadi kenyataan. Kiai Musroh hanya memberikan beberapa potong ayat suci untuk dibaca oleh Syam semasa mahu tidur, ketika terkejut dari tidur (jaga malam) serta semasa mahu bangun tidur.

HUJUNG

TOLONG tengokkan dia, tegur dan betulkan bacaannya yang salah."

"InsyaAllah, Pak Kiai," datuk anggukkan kepala.

"Saya nak tanya Pak Kiai" Haji Basilam bersuara.

"Silakan haji."

"Berapa lama si Syam tak boleh balik dan tidur di rumahnya?"

"Inilah yang mahu saya terangkan. Dia boleh balik ke rumah tetapi, mesti ditemani, tidak boleh balik seorang diri. Masa yang boleh dia balik ke rumah arwah isterinya pada sebelah pagi."

"Pukul berapa Pak Kiai," datuk ajukan pertanyaan.

"Antara pukul tujuh membawa ke pukul lapan pagi. Dia tidak boleh tidur di rumah sendirian, mesti berkawan. Larangan ini berjalan selama tujuh hari tujuh malam."

"Ertinya, selama pembacaan yassin diadakan?" Tingkah Pak Imam.

"lya," angguk Pak Kiai.

"Kalau dah macam itu peraturannya, apa gunanya saya balik ke rumah waktu pagi, tak dapat nak buat apa-apa. buang masa saja," Syam memperlihatkan sikap panas barannya.

Kiai Musroh mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Syam. Dengan perlahan-lahan hujung jari kelingking Kiai Musroh mengaru hujung dagunya yang nampak berlekuk. Perlahan-lahan dia mengangkat muka, hingga sepasang anak matanya bertemu dengan sepasang anak mata Syam. Saya lihat Syam agak tergamam dengan apa yang berlaku. Kiai Musroh tetap tenang dan senyum. Anak matanya tetap terpaku ke wajah Syam.

"Begini Syam."

Kiai Musroh memperkemaskan silanya. Semua yang berada diruang rumah menumpukan perhatian ke arah Kiai Musroh. Berdebar, menanti ungkapan yang bakal diluahkan oleh si Kiai yang satu ini.

"Tujuannya untuk kamu melihat apakah ulat-ulat dan anai-anai itu bertambah atau kekurangan. Kalau kurang, ertinya usaha kita diberkati Allah, kalau bertambah atau tidak kurang, ertinya tidak diberkati dan kita terpaksa berikhtiar. Sebagai orang Islam, kita disuruh berusaha dan berikhtiar. Kita ditegah berputus asa," dalam nada suara yang lembut Kiai Musroh meluahkan penerangan.

"Hummmm. begitu," berkali-kali Syam anggukkan kepala.

"Kamu faham dan puas hati sekarang.?”

Syam membayangkan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Semua yang berada dalam rumah menarik nafas lega mendengar pengakuan daripada Syam. Jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah semakin cerah.

DINGIN

Suara cengkerik di luar rumah, jelas kedengaran. Begitu juga dengan deru angin yang menyentuh dedaun pokok. Dingin malam kian terasa mengigit kulit. Andi Kamarool panjangkan leher, melihat jam tua yang tergantung di dinding.

"Dah pukul dua belas," dia bersuara.

Saya mengangguk.

"Ada lagi perkara yang mesti dibuat," ujar Kiai Musroh yang berjanggut sejemput, bermata tajam dengan sepasang kening yang berbulu lebat. Biji mata datuk dan Haji Basilam terpaku ke wajahnya, begitu juga dengan Pak Imam.

"Apa dia yang lagi satu tu, Pak Kiai?" Syam bertanya.

"Satu perlima dari harta peninggalan si mati harus digunakan ke jalan Allah." jawab Kiai Musroh dengan wajah serius. Matanya tetap menyorot muka Syam yang tunduk merenung lantai.

Lebih dari tiga minit suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Tiada sesiapa pun yang membuka mulut. Kerana tiada sesiapa yang bertanya, Kiai Musroh menganggap kerjanya sudah selesai. Perlahan-lahan Kiai Musroh membuka sila dan terus bangun. Beberapa detik kemudian Pak Imam juga turut bangun.

"Maafkan saya, biar kami balik dulu. Pak Imam dah mengantuk nampaknya," begitulah, sambil memicit-micit pergelangan tangan kanan Kiai Musroh bersuara.

Seluruh perhatian tertumpu kepada Pak Imam yang menggeliat semacam. Sungguh lucu serentak dengan itu berderai suara ketawa, menjadikan suasana dalam rumah agak meriah. Akhirnya, semua yang duduk segera bangun, lalu mengiringi Pak Imam dan Kiai Musroh melangkah ke muka pintu. Dan berdiri di situ.

TAMAK

"SEMASA hayatnya, si mati terlalu tamak mengumpul harta hinggakan hak orang di rampas, kedekut pula tu. Tidak mahu membagi-bagikan hartanya walaupun sedikit untuk tujuan amal, menolong orang susah jauh sekali," tanpa diduga Kiai Musroh mengungkapkan kata-kata yang ditujukan untuk Haji Basilam dan datuk. Dan untuk sekian kalinya, Haji Basilam dan datuk angguk kepala, macam belatuk mematuk batang pokok yang mati meragan.

Kiai Musroh dan Pak Imam pun melangkah bendul rumah. Akhirnya, mereka hilang daripada pandangan. Hilang ditelan kegelapan malam yang kian mengisut ke dinihari.

Saya diarahkan oleh datuk supaya tidur sebilik dengan Andi Kamarool dan Syam. Sebilik dengan Andi Kamarool, tidak menjadi masalah, perkara begitu sudah biasa dilakukan. Tetapi, dengan Syam menimbulkan bermacam-macam persoalan dan prasangka yang bukan-bukan. Apakan daya, arahan datuk tidak mampu dibantah. Sama ada suka atau tidak mesti diterima.