Friday, August 30, 2013

SIRI 271 ( VS DIS 2003 ) DI BILIK MISTERI



          Jamaludin mengangguk lemah. Tetapi, riak wajahnya membayangkan yang dia mahu tahu lebih terperinci, tidak memadai dengan apa yang disampaikan oleh ayah Shafie sebentar tadi.
         “Ceritakan dari mula, macam mana anak kamu boleh jadi begini, agaknya berguru salah tempat atau otak terlalu bergeliga,” tanya Jamaludin yang diiringi dengan senyum sinis.
         “Awak tanya atau bergurau,” Pak Habib mengusik Jamaludin.
         “Hidup tak boleh serius selalu,” balas Jamaludin, Pak Habib menyambutnya dengan ketawa.
         “Kamu ceritakan pada saudara kamu ni, biar dia puas hati,” tutur Pak Habib sebaik saja ketawanya berhenti.
         Sebelum membuka kisah cerita yang dilalui oleh  anaknya, ayah Shafie merenung seketika, macam ada sesuatu yang difikirkan.
         “Wajarkah saya beritahu,” pertanyaan ini ayah Shafie ajukan pada Pak Habib.
         “Wajar, kerana dia keluarga kamu,” lemah Pak Habib menjawab.
         “Tak percaya dengan keluarga sendiri,” pintas Jamaludin.
         “Tidak pula,” ayah Shafie tersipu-sipu malu.
         Bila suasana terasa tenang, ayah Shafie membetulakan silanya. Biar selesa, baru seronok bercerita. Dan ayah Shafie pun menceritakan secara terperinci bagaimana perkara buruk itu boleh dialami oleh anaknya. Jamaludin pasang telinga dengan penuh minat. Mendengar dengan perasaan dengan apa yang diluahkan oleh ayah Shafie. Ada ketikanya dia mengeluh panjang dan pada ketika yang lain dia gelengkan kepala beberapa kali.
         “Salah kamu suami isteri.”
         Itu yang terhambur dari mulut Jamaludin sebaik saja ayah Shafie berhenti bercakap.
         “Kenapa cakap macam tu, sakit hati kami mendengarnya,” ibu Shafie meluahkan protes untuk Jamaludin. Macam tadi juga, Jamaludin tersenyum dan ketawa kecil.
         “Kamu berdua tidak peka dengan perangai, tingkah laku anak sendiri. Kalau kamu berdua peka, Shafie tak jadi macam ni, cuba kamu berdua kaji dan teliti cakap aku ni,” Jamaludin terus bangun, tanpa memperdulikan orang sekitarnya, melangkah ke ambang pintu berdiri di situ. Merenung ke arah dedaun yang bergerak lemah dirempuh angin.
         Secara mengejut Jamaludin alihkan mata dari dedaun ke arah muka Pak Habib. Pandangan mereka segera bertembung.
         “Sekarang saya tahu, kenapa awak ada di sini, melawat anak buah kita untuk memberikan bantuan, terima kasih atas pertolongan itu,” biji mata Jamaludin tertumbuk ke muka Pak Habib.
         “Ramalan awak salah,” sanggah Pak Habib.
         “Salah,” air muka Jamaludin nampak berubah seketika.
         “Iya,” angguk Pak Habib.
         “Habis macam mana boleh berada di sini,” Jamaludin bertambah pelik.
         “Semuanya berlaku secara tak sengaja, nak tahu lebih lanjut tentang kesihatan anak buah awak, tanya orang di sebelah. Pak Habib segera menuding jari ke arah datuk di kanannya.

DIALOG
Dialog antara Pak Habib dengan Jamaludin, saya ikuti dengan penuh minat. Begitu juga dialog antara Jamaludin dengan ayah Shafie. Dalam serius berdialog, orang yang mendengarnya boleh tersenyum kerana ada kata lucu yang terkeluar secara tidak sengaja.
         “Bagaimana dengan kesihatan anak buah saya,” mendadak Jamaludin mengajukan pertanyaan pada datuk. Dan datuk yang tidak bersedia, tidak dapat memberikan jawapan segera. Terpaksa berfikir seminit dua sebelum memberikan jawapan. Perhatian ayah dan ibu Shafie tertumpu ke arah datuk.
         “Saya fikir, biar ayah Shafie sendiri menjawab, kalau saya yang memberikan pendapat, tak elok nanti orang kata masuk bakul angkat sendiri,” pendek komen dari datuk.
         “Bagaimana?”
         Datang lagi pertanyaan dari Jamaludin untuk ayah Shafie. Ayah Shafie teragak-agak untuk memberikan jawapan. Bila disergah oleh isteri, barulah dia memberikan jawapan.
         “Sudah banyak berubah, saya minta mereka berdua, bermalam semalam dua  di sini,” ayah Shafie menghalakan ibu jarinya ke arah datuk dan Pak Habib. Saya lihat Pak Habib seperti mahu bersuara tetapi, tidak jadi kerana ayah Shafie meneruskan percakapan,”Bukan apa-apa sekadar untuk melihat keadaan anak saya, kalau perlu memberikan rawatan penutup. Sebelum kamu datang sudah ditanya, malangnya sampaikan sekarang tak ada jawapan.”
         Penjelasan dari ayah Shafie membuat Jamaludin menjuihkan bibir ke bawah ke depan. Kemudian sambil melerekkan ekor matanya ke arah Pak Habib.
         “Bagaimana Habib ?”
         Sepasang anak mata Jamaludin terpaku ke wajah Pak Habib minta jawapan. Tiada jawapan segera yang Pak Habib yang hamburkan. Dia terpaksa berfikir seminit dua dulu.
         “Kalau begitu saya serahkan pada sahabat saya ni,” Pak Habib pandang wajah datuk bersama renungan harapan. Tetapi, tiada sebarang reaksi dari datuk. Pak Habib dan Jamaludin menarik nafas kecewa.
         “Awak keberatan,” Pak Habib memberanikan diri bertanya.
         “Demi persahabatan, saya tunaikan. Malam ini kita buat sembahyang hajat kemudian benarkan Shafie tidur sebilik dengan Tamar dan saya, kalau keadaan berjalan baik, tidak ada gangguan, esok saya balik ke rumah Habib,” datuk meletakkan syarat.
TIDAK
Jamaludin, Pak Habib dan kedua-dua orang tua Shafie terdiam. Tiada siapa yang berani mengatakan IYA atau TIDAK. Semuanya tunduk, macam memikirkan sesuatu, seolah-olah syarat yang datuk kemukakan itu terlalu berat sangat.
         “Bagaimana,setuju dengan permintaan saya itu,” datuk minta kepastian.
         “Biar saya jawab bagi pihak ayah Shafie,” secara mengejut Jamaludin bersuara. Secara tidak sengaja saya terpandangkan ayah dan ibu Shafie, kedua-duanya anggukkan kepala.
         “Lihat mereka setuju dengan saya,” suara Jamaludin keriangan dan telapak tangannya terus memukul lantai. Telatah dan tindak-tanduk Jamaludin membuat Pak Habib ketawa.
         Itulah kali pertama saya melihat Pak Habib ketawa berlebih-lebihan. Bila menyedari perbuatannya itu agak keterlaluan dia segera menutup mulut.
         “Maafkan saya, ketawa saya berlebih-lebihan, ketawa berdekah-dekah bagaikan lupa diri, adalah ketawa digeletek syaitan. Jauhkan dari perbuatan itu, ketawalah secara sederhana,” nada suara Pak Habib lemah.
         “Lupakan tentang ketawa,” datuk masuk campur.
         ‘Iya kita lupakan, kita balik pada persoalan utama, jika ada lagi syarat-syarat sila beritahu,” ayah Shafie bagaikan mendapat semangat dan kekuatan baru. Nada suaranya, agak keras penuh keyakinan.
         “Tak ada syarat lain, orang yang mengetuai sembahyang hajat, biar sahabat saya Tuan Habib,” itu cadangan datuk.
         “Eh, kenapa saya pula, carilah orang lain,” Pak Habib cuba menolak.
         “Tak usah berdalih lagi, tunaikan permintaan itu demi persahabatan dan menolong orang. Jangan menolak,” Jamaludin terus menyambar lima jari-jemari Pak Habib, digenggam erat. Mereka berbalas senyum.
BERMULA
Malam itu setelah mengadakan sembahyang hajat dan membaca doa, datuk masuk ke bilik agak lewat. Dia tidur sebilik dengan saya dan Shafie hanya untuk beberapa jam saja, masuk ke bilik semula menjelang subuh untuk melakukan sembahyang tahajud.
         Semasa datuk mahu meletakkan kepala ke bantal terdengar satu dentuman yang amat kuat. Dalam cahaya samar-samar terlihat tubuh datuk melambung ke arah bumbung rumah. Suara dengkur Shafie terhenti. Dia terjaga dari tidur, sepasang matanya menyorot tubuh datuk yang berada diawang-awangan dengan sepasang tangan terkapai.
         Sungguh menghairakan, Pak Habib dan Jamaludin yang tidur di ruang tamu berhampiran pintu bilik tidak terjaga. Malah terus berdengkur. Saya jadi cemas dan Shafie tidak memperlihatkan sebarang reaksi samada takut atau sebaliknya. Dia kelihatan bersahaja.
         “Buuuuuuummmm....”
         Datuk jatuh terkapar di depan saya, berguling-guling macam menahan kesakitan. Shafie tidak juga bertindak, tidak juga bersuara, sekadar melihat saja apa yang berlaku. Tidak ubah macam orang bodoh.
         “Tolong saya angkat badannya.”
         Shafie tersengih saja.
         “Mari,” saya cuba menarik tangannya. Dia menepis dan mendengus panjang. Wajahnya nampak garang, matanya mula merah. Dan saya tidak berani mendekatinya.
         Datuk yang terlentang di depan mata, bergolek ke kiri, bergolek ke kanan. Mulutnya berbuih, sesekali dia mendengus dan mengerang menahan rasa sakit yang amat sangat. Kerana tidak sanggup melihat datuk terseksa begitu, saya segera menerpa ke arahnya untuk memberikan bantuan. Kaki saya dipegang oleh Shafie, tanpa membuang masa satu tendangan kencang dilepaskan ke muka Shafie.
         “Ahhhhhhhh....”
         Saya tidak peduli dengan suara keluhan Shafie. Pokoknya, dia tidak boleh lagi memaut kaki menghalang langkah saya untuk menolong datuk. Shafie terus mengerang kesakitan.
         Dalam beberapa minit saja saya sudah berdepan dengan tubuh datuk, mulutnya masih berbuih dan mengerang rasa sakit. Semasa saya memangku kepala datuk, Shafie yang mengerang kesakitan tiba-tiba ketawa terkikih macam orang dirasuk hantu.
         Entah mengapa, hati saya terasa sakit sekali mendengar suara ketawa Shafie. Bila terniat saja di hati untuk menumbuknya, ruang bilik terasa bergoyang.
         “Duuuuuummm...”
         Bunyi  yang kuat ini memekakkan anak telinga. Lebih mencemaskan sebelah kaki besar yang berbulu tebal berada di kiri. Bulu roma (bulu kaki) yang keras terus mencucuk cuping telinga kiri. Sakitnya bukan kepalang. Saya yakin, lebar telapak kaki itu melepasi dari dua kaki, panjangnya lebih kurang empat kaki. Betisnya sebesar kaki gajah.
         Semasa mahu mendongak untuk melihat betapa tingginya makhluk aneh yang tidak diundang itu, pangkal leher saya seperti ditekan seluruh muka bertemu dengan papan. Batang hidung terasa hancur, membuat saya sukar bernafas. Ketawa Shafie semakin menjadi-jadi, rasanya tidak terdaya mahu melawan.


No comments:

Post a Comment