Dibawah
sinar matahari yang kian keras, kami terus melangkah mengikut rentak
Jamaluddin. Berlegar-legar
disitu, bercampur baur dengan pedagang dan pengunjung. Sesekali secara tidak
sengaja saya terlanggar orang yang lalu. Sopan sungguh, orang dilanggar tidak
marah. Sekadar senyum dan angkat tangan kemudian terus berlalu.
Suara kenderaan dan orang ramai
bagaikan bersatu menambahkan rancak dan kemeriahan suasana ditempat tersebut.
“Ini belum berapa
sibuk,” kata Jamaluddin.
“Bila paling sibuk?” saya bertanya.
“Tunggu sejam dua lagi.”
“Hummm…”
Saya pun
tidak melanjutkan pertanyaan.
Melihat
pada kesibukan ditempat tersebut menguatkan lagi hujah Jamaluddin yang
mengatakan kawasan tersebut adalah pusat tekstil dan pakaian yang terbesar di
Tanah Jawa. Sesuai dengan usianya yang sudah melebihi satu abad.
“Disini
semuanya ada, kecuali emak dengan ayah,” dicelah-celah orang ramai itu,
Jamaluddin masih sempat berjenaka. Datuk senyum panjang dan saya ketawa kecil.
“Kita
masuk ke dalam bangunan,” ajak Jamaluddin.
Datuk renung muka saya sambil
menggigit bibir. Barangkali berfikir apa untung dan ruginya masuk ke dalam
perut bangunan itu.
“Bagaimana, setuju?” tekan
Jamaluddin.
Datuk masih macam tadi, masih
berfikir-fikir.
“Boleh
juga, tapi sebentar saja,” satu syarat dari datuk.
“Sekadar
tengok sekali lalu,” balas Jamaluddin.
Beberapa
minit berikutnya kami sudahpun berada dalam bangunan yang padat dengan pembeli
dan penjual yang menjaja serbaneka jenis kain dan pakaian. Tetapi, masalahnya
kami tidak boleh bergerak dengan selesa. Laluan yang ada dikiri kanan kedai
terlalu sempit dan bising pula. Keadaan begini membuat saya rasa sakit kepala,
sakit hati dan sakit mata.
“Panas,
tak dapat nak tengok apa, orang ramai macam ulat tahi,” secara tidak langsung
rungutan saya dapat didengar oleh datuk dan rungutan itu pun dipanjangkan ke
telinga Jamaluddin.
“Kalau
begitu kita keluar saja. Sebenarnya saya pun jarang masuk tetapi kali ini saya
sengaja mahu menunjukkan kepada awak berdua betapa sempit dan panasnya berada
dalam bangunan tu,” kata Jamaluddin sambil senyum.
Setelah
berlegar-legar lebih dari satu jam dikawasan yang sesak dan padat itu,
Jamaluddin membawa saya dan datuk memasuki sebuah lorong dan pengembaraan kami
berhenti dihujung lorong yang bercabang tiga. Kami bertiga berlabuh disebuah
gerai.
KENAL
Jamaluddin segera memperkenalkan
datuk dengan pemilik gerai tersebut. Orangnya sudah berusia lewat lapan puluhan
tetapi, masih nampak bertenaga, macam awal lima puluhan.
“Memang saya yang punya gerai ini,
tetapi yang berniaga cucu saya, sekadar jual makanan dan minuman,” kata pemilik
gerai denagn wajah ceria.
“Ha, itu cucu saya.”
Pemilik gerai menuding telunjuk ke
arah seorang anak muda, tinggi berkulit cerah. Anak muda yang pada mulanya mahu
terus pergi ke belakang gerai membatalkan rancangan bila menyedari kehadiran
kami. Dia datang ke arah kami lalu bersalam dengan kami seorang demi seorang.
Kemudian meneruskan perjalanan ke belakang gerai.
“Dia yang
berniaga digerai ini, saya suruh secara paksa. Kalau tidak diberikan
tanggungjawab, dia boleh bercampur dengan budak-budak nakal,” pemilik gerai
membuka rahsia.
“Satu
tindakan yang bijak,” datuk memuji.
Setelah
melabuhkan punggung dibangku panjang, perbualan semakin rancak. Abdul Jabbar
dipanggil oleh penduduk sekitar samada tua atau muda dengan nama Pak Jabbar,
warungnya sentiasa jadi tumpuan.
“Saya ke
sini sekadar membantu cucu, banyak masa saya habiskan disini. Warung sempit ini
jadi tempat kawan-kawan sebaya saya berjumpa saya, bercerita dan berborak
kisah-kisah muda dulu,” cerita Pak Jabbar. Kami sambut dengan ketawa.
“Terima
kasih Jamal kerana kamu bawa orang Semenanjung ke warung buruk aku. Ini satu penghormatan
yang tinggi, terima kasih Jamal.”
“Bukan
saya pak, orang ini,” ibu jari kanan Jamal menuding ke arah datuk. “Dia nak
kenal denagn sisa-sisa pahlawan Betawi.”
“Oh, begitu, ini juga
penghargaan untuk anak cucu si Pitung, Robinhood Betawi merampas harta benda
Belanda yang kaya untuk dibahagi-bahagikan kepada rakyat miskin. Tanah Abang ni
kebanyakkan penduduknya orang Betawi yang kuat berpegang pada agama,” Pak
Jabbar membetulkan duduknya sambil menatap wajah saya dan datuk silih berganti.
Dan orang tua yang memiliki sepasang
mata tajam itu memberitahu, dalam sejarahnya Tanah Abang memang kaya dengan
para pendekar. Meskipun mereka kini sudah tiada, nama mereka tetap mengharum,
dikenang dan dihormati oleh penduduk setempat. Tetapi, cerita Pak Jabbar sering
terganggu kerana kedatangan beberapa kawan-kawan lamanya. Mereka datang sekadar memberi salam, bertanya khabar, kemudian meneruskan
perjalanan.
PANAS
Dalam
panas yang keras itu, lorong-lorong didepan gerai menerbangkan habuk-habuk halus
bila dilalui motorsikal dan kenderaan ringan. Semuanya itu tidak mengganggu kami.
Awan dilangit Tanah Abang nampak ramah bergerak ke mana-mana.
“Saya bukan cakap kosong, ada
buktinya. Salah seorang darinya Sabeni, pendekar yang menjadi lagenda, namanya
bukan saja terkenal diseluruh Betawi terutama sebelum perang dunia kedua,”
sambung Pak Jabbar sambil menggaru pangkal leher. Jamaluddin termenung kosong
merenung ke arah dada lorong yang dilalui dua kanak-kanak tanpa sepatu.
Barangkali, fikiran Jamaluddin membayangkan ketangkasan pendekar yang namanya
baru disebut oleh Pak Jabbar.
“Sampai
sekarang aliran silat Sabeni masih dikembangkan oleh anak-anak muridnya
disekitar Jakarta. Khabarnya sudah dibawa ke Singapura dan Muar, ditempat tersebut
banyak terdapat keturunan Betawi menetap disitu,” nada suara Pak Jabbar lembut.
Dia renunng kiri kanan dulu bila menyebut nama Sabeni.
“Apa
istimewanya silat Sabeni?” tanya datuk.
Pak Jabbar
membetulkan duduknya. Biar selesa duduk. Buat beberapa
saat biji mata datuk ditentangnya. Seolah-olah menyelami perasaan datuk. Apakah
bertanya kerana memang tidak tahu atau pura-pura tidak tahu pada hal itu.
Pak Jabbar tarik nafas dalam-dalam
sambil melemparkan pandangan pada sekeping kertas yang melayang-layang
dipermukaan lorong kerana ditiup angin.
“Aku yakin kamu tidak pura-pura,” terhambur kata dari Pak Jabbar.
Jamaluddin tersentak tetapi, datuk tetap berada dalam keadaan tenang.
“Keistimewaan silatnya ialah pukulan mautnya yang sekarang disebut oleh
bekas anak muridnya pukulan gisawnya.
Pukulan itu masih diajar pada setiap gelanggang yang dibuka oleh anak murid
Sabeni.”
“Barangkali itu yang disebut pukulan maut,” kata saya sebaik saja Pak
Jabbar berhenti bercakap.
“Barangkali,” jawab Pak Jabbar
pendek.
MUNCUL
Cucu Pak Jabbar muncul dari belakang
gerai membawa setalam minuman dan kuih-muih. Panas terik yang memanah permukaan
lorong mulai beransur redup. Angin juga tidak bertiup membuatkan debu-debu
halus tidak berterbangan.
“Silakan minum,” tuturnya bersopan.
Kemudian
anak muda itu terus menuju ke dapur. Sepanjang masa kami berada disitu, tidak
ramai pelanggan yang singgah minum atau membeli kuih untuk dibawa pulang.
“Dia belajar silat dengan saya dan
belajar agama dengan Ustaz Shahrul. Dalam masa remajanya harus dikenakan
peraturan, kalau tak ada peraturan dia mencari kegiatan diluar yang lebih
teruk. Cucu yang satu ini saya kawal,” sambil menyuruh kami minum sempat juga
Pak Jabbar memberitahu undang-undang tidak bertulis yang dikenakan pada
cucunya.
Pak Jabbar begitu berminat dan megah
bila bercerita tentang pendekar Tanah Abang. Dia pun menyebut nama Rahmat dan Mahruf yang hampir satu angkatan dengan
Sabeni.
“Sebenarnya, selain dari nama-nama yang disebut itu ada berbelas lagi
jagoan Tanah Abang seperti Derahman, Habib Alwi dan Satiri, mereka juga
mempunyai anak murid,” sambil memicit-micit pangkal pahanya, Pak Jabbar
mengungkapkan kata-kata itu.
Bila Pak
Jabbar menyebut nama Satiri, wajah Jamaluddin nampak ceria. Senyuman berlari
disepasang bibirnya yang dilindungi misai tebalnya.
“Saya
dari keturunan Satiri,” Jamaludddin terus berdiri.
“Kalau kamu tak sebut pun aku tahu,” tingkah
Pak Jabbar dalam senyum.
“Haaa…” Jamaluddin
terus duduk.
“Kamu wajib menjaga nama baik
keturuann kamu. Kamu juga mesti tahu semua pendekar dihormati bukan
kerana kebolahen mereka dalam ilmu mempertahankan diri. Ada benda lain lagi.”
“Habis kerana apa?”
“Kerana mereka bukan sekadar seorang
pendekar tetapi, pembela kebenaran serta kuat beramal ibadah dan tak mahu
menonjolkan diri dengan kelebihan yang Allah berikan. Mereka lakukan dengan
penuh keikhlasan. Inilah yang tidak ada pada pengamal ilmu silat, malah guru
silat banyak yang jahil tentang amal ibadah. Itu sebabnya banyak perguruan
silat mengajar perkara yang sesat. Menentang raja menyanggah adat budaya bangsa
sendiri,” penuh semangat Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata itu. Jamaluddin
tunduk merenung permukaan lantai warung.
“Saya berjanji menjaga nama baik
keturunan saya,” tiba-tiba saja Jamaluddin bangun dan berikrar didepan Pak
Jabbar.
“Bagus,” Pak Jabbar segera menepuk
bahu Jamaluddin.
“Zaman kami dulu, sebelum belajar
ilmu silat mempertahankan diri atau ilmu pukul memukul, kami terlebih dahulu
mempelajari ilmu akidah agama, jadi bukanlah sesuatu yang aneh jika mahu
bertemu jagoan atau pendekar terpaksa pergi ke masjid atau majlis-majlis
agama,” Pak Jabar mengimbau kenangan lama dan dia pernah jadi Pengerusi Masjid
Al-Husna yang berada tidak jauh dari rumahnya.
Pak Jabbar juga memberitahu,
dikawasan Tanah Abang pada satu ketika dulu tidak ada ditemui manusia jahat,
penyamun atau tukang ragut. Alasannya, anak-anak muda yang rata-ratanya
sentiasa memenuhi gelanggang silat, kerana mereka patuh dengan peraturan yang
diturunkan dan mengikut tunjuk ajar guru silat.
Pak Jabbar yang sekali-sekala terkenangkan
kemesraannya dengan jagoan (pendekar)
Mahruf. Tidak mudah hilang sabar atau tergesa-gesa menjatuhkan hukum kepada
pihak yang disangsikan melakukan kesalahan. Tidak ramai jagoan Tanah Abang yang
boleh menandingi kesabaran dan ketinggian ilmu agama Mahruf.
“Arwah abang Mahruf belajar ilmu
pukul memukul ini bukan mahu tunjuk handal. Dia sentiasa mematuhi aturan, jika
dilanggar akan menerima padah. Abang Mahruf selalu mengingatkan kawan-kawan
jangan berjudi, jangan berzina, minum minuman keras, sembahyang jangan
dilupakan, ilmu silat untuk mempertahankan diri dan rumahtangga…” Pak Jabbar
tidak meneruskan percakapan ada mendung kehibaan terpamer diwajahnya.
No comments:
Post a Comment