Dalam pertemuan di ruang tamu
itu, datuk menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah semenanjung pada Pak
Habib. Buat seketika, Pak Habib atau
Syed Hamid Al-Hadad, tidak memberikan sebarang komentar. Dia tenang dan kelihatan bersahaja.
“Tak boleh tunggu, dua tiga hari
lagi?”
Satu pertanyaan dari Pak Habib
yang saya kira cukup berat untuk dijawab oleh datuk.
Angin yang masuk menerusi
jendela memberikan kesegaran pada saya.
Mungkin juga untuk datuk dan Pak Habib.
Terdengar kokok ayam dan kicau murai dihujung ranting.
“Rasanya tak perlu,” jawab
datuk.
“Maksud sahabat?”
Anak mata Pak Habib menyorot
wajah datuk. Saya lihat datuk
terpampan. Ekor mata kanannya mengecil,
mencari alasan untuk membalas pertanyaan Pak Habib. Hampir sepuluh saat suasana di ruang tamu
terasa sepi.
“Saya rasa semuanya sudah
selesai. Hajat sahabat sudah saya
tunaikan. Orang bertiga sudah balik,
sudah bekerja dengan sahabat, malahan tekun belajar agama. Jadi apa perlunya saya di sini,” tutur datuk
tenang.
“Kalau, saya katakan, saya
memerlukan khidmat sahabat bagaimana?” Pak Habib senyum.
“Ini yang sulitnya,” datuk
mengeluh.
“Tak sulit, asalkan sahabat mahu
ikut cakap saya,”
“Itu paksaan secara terhormat
namanya,” sanggah datuk.
Dua sahabat itu ketawa
terkikih. Masing-masing bertindak bijak
untuk ‘memerangkap’ antara satu sama lain secara diplomasi. Saya tersenyum. Angin terus masuk ke ruang tamu. Sayup-sayup terdengar bunyi lesung orang
menumbuk padi.
“Begini saja, saya mahu berterus
terang dengan sahabat. Ikut saya ke
Jawa,”
“Haaa.......,” mulut datuk
melopong.
“Tak susahkan diri sahabat,
mungkin menguntungkan,’ nada suara Pak Habib lembut. Mulut datuk yang terlopong kembali
bertaut. Tetapi, sepasang keningnya yang
berbulu lebat, kelihatan seakan-akan terangkat seketika. Macam ada sesuatu yang bermain dalam
kepalanya.
DOA
Hati kecil saya terus berbunga
dengan doa. Semuga datuk akan memenuhi
permintaan Pak Habib. Kembara di bumi
rumpun Melayu atau lebih tepatnya seluruh Nusantara memang menjadi minat
saya. Bukankah rumpun Melayu itu besar
dan luas, budaya adatnya tidak jauh berbeza.
Saya membina angan-angan dalam kepala.
“Jawa tu luas sahabat, tempat
sebenarnya di mana?” datuk angkat kepala.
Tentang biji mata Pak Habib.
“Tanah Abang,” suara Pak Habib
yakin.
“Tanah Abang,” ulang datuk
sedikit sangsi.
“Iya, Tanah Abang, Jakarta.”
“Hummmm?” keluh datuk.
“Bagaimana? Jadi.” Pak Habib
minta kepastian.
Tiada jawapan pasti dari datuk,
saya mula resah sendirian. Harapan untuk
melihat tempat pendekar si Pitung menjadi samar.
“Bagaimana kalau lain kali saja
sahabat?”
“Lain kali tu, boleh jadi tak
pergi langsung. Bila sahabat balik ke
tanah semenanjung. Entah bila pula
kemari. Barangkali boleh jadi tak datang
langsung,” Pak Habib menggaru hujung kening.
“Susah, saya benar-benar susah,”
datuk mengeluh.
“Apa yang sahabat susahkan.”
“Saya dah berjanji dengan kapten
kapal dagang yang mahu ke Pulau Pinang tengahari esok. Orang yang menguruskan hal ini, Tajuddin anak
saudara sahabat. Berat rasa hati nak
membatalkannya,” wajah datuk nampak sugul.
“Jangan bersusah hati, biar saya
uruskan hal ini.”
“Tapi........,”
“Saya faham, sahabat segan
dengan Tajuddin. Kapal yang mahu sahabat
tumpang tu, kapal saya. Kenapa sahabat
berahsia dari saya,” amat bersahaja Pak Habib mengungkap kata-kata.
“Bukan berahsia, tetapi tidak
mahu menyusahkan Habib,” Pak Habib pun menghadiahkan senyum sinis untuk datuk
yang tersipu malu.
“Tunggu sebentar,” tiba-tiba
saja Pak Habib berkata demikian pada saya dan datuk. Pasti saya merasa ganjil dengan
perbuatannya. Kemudian Pak Habib
tergesa-gesa masuk ke bahagian ruang tengah rumah. Terdengar Pak Habib bercakap dengan
seseorang. Kurang jelas apa yang
diperkatakannya dengan orang tersebut.
GABUNG
Pak Habib kembali ke ruang tamu
bergabung dengan kami. Topik
perbincangan tidak lagi berkisar pada persoalan pergi ke tanah Jawa. Walaupun datuk belum memberikan kata putus
sama ada pergi atau sebaliknya. Perkara
itu terus tergantung begitu saja.
Mendengar datuk dan Pak Habib
membahasakan hal-hal yang ada sangkut paut dengan agama, memang tidak menarik
minat saya.
Kerancakan perbahasan datuk
dengan Pak Habib terganggu oleh suara orang memberi salam di luar. Setelah menjawab dengan lantang. Pak Habib mempersilakan si pemberi salam naik
ke rumah. Orangnya memang saya kenali,
Tajuddin anak saudara Pak Habib.
“Panggil saya?” itulah yang
diajukan oleh Tajuddin sebaik saja merenung muka Pak Habib. Saya jeling datuk yang sedang merenung ke
arah Tajuddin. Langsir tingkap bergerak lemah
disentuh bayu. Kerana jawapan dari
pertanyaan yang diajukan oleh Tajuddin lambat dijawab oleh Pak Habib
menyebabkan Tajuddin resah, merasakan dirinya berdiri dalam keadaan yang serba
tidak kena.
“Memang aku panggil kamu.”
Tajuddin menarik nafas panjang. Lega hatinya mendengar jawapan itu. Wajahnya nampak riang.
“Beritahu kapten Nasir orang ini
tak jadi balik ke Pulau Pinang, pastikan barang dagang yang dibawanya ikut
peraturan, jangan bawa benda salah,” tambah Pak Habib.
“Saya faham. Maafkan saya kerana membenarkan Nasir membawa
orang ini ke Pulau Pinang,” Tajuddin renung muka saya dan datuk. Pak Habib mendengar dengan teliti sekali.
“Kesilapan saya kerana tak
memberitahu Pak ayah,” samung Tajuddin wajahnya nampak sedikit cemas.
“Sudahlah, tu. Lain kali jangan main pandai sendiri.”
“Maaf, saya pergi.”
“Silakan.”
Tajuddin bersalaman dengan Pak
Habib. Kemudian bersalam dengan datuk
dan saya. Ketika bersalaman itulah
Tajuddin sempat menepuk bahu saya seraya berkata: “Kamu kena duduk lama di
sini”.
Saya balas dengan senyuman yang
panjang. Penuh tanda tanya dan seribu
makna. Ruang tamu yang luas kembali
dikuasai oleh kami bertiga. Angin
semakin rancak masuk ke ruang tamu lalu menyapa wajah tiga manusia.
“Bagaimana sekarang?” Tiba-tiba
Pak Habib bersuara.
“Maksudnya,” soal datuk kembali.
“Maksudnya amat mudah, keputusan
ditangan sahabat. Tugas saya sudah
selesai. Kapten kapal dah tahu sahabat
tak jadi menumpang ke Pulau Pinang,” dalam senyum dan tenang Pak Habib
melafazkan kata.
SENYUM
Datuk renung ke arah saya
bersama segaris senyum.
“Jawapannya,” datuk ketawa
kecil, “sahabat sudah tahu. Bak kata
orang sudah terang, bersuluh lagi.
Menyeberang dengan perahu, bila perahu tak ada duduklah ditebing. Itulah ibarat diri ini.”
“Jadi sahabat setuju ke Tanah
Abang,” riang sekali suara Pak Habib.
Dia ketawa puas. Wajahnya ceria
sekali.
“Apa lagi mahu dikata, sebagai
tetamu ikut saja cakap sahabat,” datuk mengalah sambil memperkemaskan silanya.
“Niat saya baik, mahu
memperkenalkan sahabat dengan keturunan pendekar Tanah Abang. Barangkali ada ilmu yang baik untuk
diambil. Ilmu yang buruk ditinggalkan,”
Pak Habib berhenti bercakap seketika.
“Ilmu yang baik itu boleh
diambil dan dikembangkan di tempat sendiri,” sambung Pak Habib. Datuk terlalu lambat memberikan tindak
balas. Entah mengapa saya pula yang
berdebar cemas.
“Dengan keturunan siapa sahabat
mahu memperkenalkan saya?” Satu pertanyaan yang cukup positif dari datuk.
“Dengan keturunan Si Pitung, Si
Jampang Macan Kamayuran, mereka ini dinaggap jagoan Tanah Abang yang menentang
Belanda. Mereka membela rakyat yang
tertindas. Mesti ada petua langkah. Ilmu-ilmi lama yang ditinggalkan pada keturunannya. Apa salahnya kita memetik yang baik dari ilmu
itu,” pendapat dan jawapan dari Pak Habib yang positif dan berkeyakinan.
TUA
Saya kira, sebagai orang tua
yang tidak pernah putus-putus mencari dan menuntut ilmu dunia atau akhirat,
datuk pasti tidak menolak tawaran yang dikemukakan oleh Pak Habib. Malah saya kira dautk tetap berminat dan tidak
menolak peluang tersebut.
“Bila nak pergi, kalau lambat
sangat, saya kurang seronok,” bersahaja datuk bertanya. Pak Habib sandarkan badan ke dinding. Sepasang matanya merenung awan gemawan yang
bergerak lemah menerusi jendela yang terdedah.
Kerut keningnya menandakan Pak Habib sedang memikirkan sesuatu.
Kemudian lelaki berdah
Arab-Melayu menarik nafas panjang. Air
mukanya kelihatan cerah sekali.
“Hari ni, hari Isnin, besok
Selasa, kemudian Rabu. Saya cadangkan
pagi Khamis kita berangkat ke sana. Jadi
pada malam Jumaat kita berjemaah di Masjid Al-Makmur, tidak berapa jauh dari
pasar Tanah Abang, salah satu masjid tertua di Jakarta. Berjemaah malam Jumaat di masjid lama, kata
orang dapat berkat,” suara Pak Habib lemah membayangkan kebimbangan kalau-kalau
datuk menolak cadangannya.
Tiada komentar dari datuk. Kepalanya diangkat sedikit merenung lelangit
ruang tamu. Bagaikan mencongak sesuatu
dan perlahan-lahan anggukkan kepala.
Wajah bimbang Pak Habib kembali cerah.
“Boleh,” jawab datuk penuh
yakin.
“Bagus,” Pak Habib tegakkan
badannya kembali.
“Jadi sementara menanti hari
Khamis, saya terpaksa bergaul dengan ketiga-tiga manusia itu, mengajar mereka
petua-petua bagaimana nak kusyuk sembahyang, selain dari menanamkan semangat
tauhid dalam dada mereka,” datuk mengeliat.
“Memang itulah yang diharapkan
dari sahabat, ketiga-tiga manusia yang menawan kita dulu, amat serasi dan
menghormati sahabat. Kesempatan itu
mesti digunakan dengan sebaik mungkin, lagi pun orang-orang di sini terlalu
menghormati orang luar yang berilmu (agama)
dari orang tempatan,” satu pengakuan yang ikhlas dari Pak Habib.
“Barangkali perkara ini berlaku
secara kebetulan,” datuk cuba membunuh rasa kecewa di hati Pak Habib.
“Saya tahu, ini satu fenomena
biasa, berlaku di mana-mana dalam apa jenis masyarakat pun, lebih mementingkan
dan memandang mulia orang luar dari orang dalam,” Pak Habib meluahkan
pendapatnya. Ternyata datuk setuju
dengan pendapat tersebut.
BERGERAK
Menjelang keberangkatan ke Tanah
Abang (hari Khamis) datuk cukup sibuk
sekali. Dia bagaikan tidak ada masa, (mungkin terlupa) terucap. Biasanya nama nenek disebut oleh datuk
setelah melakukan solat Tahajud atau ketika selesai mengerjakan solat Asar.
Harapan Pak Habib memang
dilaksanakan oleh datuk dengan sebaik mungkin.
Setiap masa (selepas waktu kerja)
datuk mendampingi ketiga-tiga manusia laknat yang sudah insaf. Mereka sentiasa diingatkan bila melakukan
sesuatu harus ikhlas dan mencari sumber rezeki dari sumber yang halal.
Bila bekerja dengan orang (makan gaji) mesti ikhlas menjalankan tugas,
ikut peraturan Islam. Jangan sekali-kali
curi tulang tanpa sebab-sebab yang kukuh.
Bila kerja tidak ikhlas, gaji yang diperolehi tidak berkat. Sentiasa tidak cukup, sentiasa terhimpit.
Datuk juga memberitahu mereka,
setiap gerak dan nafas kita adalah milik Allah.
Jadi Allah harus lekat dikalbu.
Setiap kali bergerak atau melakukan sesuatu sama ada berjaya atau gagal,
mesti diucapkan doa kesyukuran pada Allah.
Setiap doa yang dihembus adalah doa kesyukuran pada Allah.
Datuk meyakinkan mereka menanamkan
semangat cinta agama dengan dalil dan petunjuk yang mudah. Sesuai dengan latar belakang kehidupan dari
mana mereka datang. Begitu juga dengan
pendidikan yang mereka perolehi.
Mereka tidak disuruh menjadi
Islam yang fanatik. Secara
perlahan-lahan dan teratur, datuk menyuruh mereka menjadi seorang Islam yang
progresif sesuai dengan perkembangan arus kemajuan ketika itu. Mereka disuruh melihat dunia luar secara
terbuka dan luas.
Mereka disuruh banyak membaca
buku-buku pengetahuan yang ada hubungkaitnya dengan ilmu bintang, sains dan
kedoktoran, tak kira buku ditulis dalam bahasa apa, pokoknya mereka boleh
membaca, asalkan tidak lari dari asas Islam.
Bila perkara yang sama diasak setiap hari oleh datuk, maka cara berfikir
mereka mula terbuka. Mereka benar-benar
melupakan dunia hitam yang pernah mereka lalui.
GEMPAR
Pada hari Rabu, kira-kira jam
sepuluh pagi, berlaku kegemparan tidak jauh dari kawasan surau. Seorang lelaki yang sejak dua hari lalu (Isnin dan Selasa) menumpang di surau
atas keizinan keluarga Pak Habib melakukan sesuatu yang diluar dugaan.
Keizinan menginap di surau
keluarga Pak Habib dibenarkan oleh Pak Habib, kerana lelaki yang berambut
panjang, mendakwa dirinya dari Binjai menyatakan dia mahu melakukan amal ibadah
di surau tersebut dalam waktu beberapa hari.
Dia juga memberitahu yang
dirinya dalam perjalanan ke Padang Panjang untuk menuntut ilmu agama. Atas alasan itu, permintaannya diperkenankn
oleh Pak Habib.
Memang ternyata lelaki berambut
panjang itu mengkotakan apa yang dikatanya.
Hasil intipan para tetangga membuktikan yang kebanyakkan masa lelaki
berambut panjang itu dihabiskan dengan membaca kitab-kitab yang dibawanya. Tidak seorang ahli qariah yang tahu jenis
kitab yang dibacanya kerana perkara itu amat dirahsiakannya.
“Lelaki itu gila, kita dah silap
membenarkan dia tinggal di surau,” kata Tajuddin pada Pak Habib yang datang ke
surah setelah diberitahu apa yang terjadi.
Pak Habib datang bersama datuk.
“Apa yang dibuatnya?” Tanya Pak
Habib.
“Dia mahu membakar surau dan
mahu membunuh siapa saja yang menghalang.
Dia bawa parang panjang,” jelas Tajuddin pada pamannya.
“Sekarang dia berada di mana?”
Soal Pak Habib lagi.
“Ada dalam surau.”
“Habis macamana, kamu kata dia
mengamuk,” datuk pula menyoal.
“Tadi, semasa Kamarul mahu sembahyang
Dhoha di surau dilarangnya. Dia beritahu
Kamarul tak ada sembahyang selepas sembahyang subuh. Kamarul cuba terangkan kedudukan sebenar. Dia tak mahu terima. Kamarul dihalau, dikejarnya dengan parang
panjang,” terang Tajuddin.
BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment