Tanpa sebarang pemberitahuan, Shafie terus bangun dan
meluru ke dalam biliknya. Tidak lama berselang, dia keluar dengan selembar
kertas dan sebatang pena ditangannya.
“Tolong, tuliskan:
Shafie hulurkan kertas dan pena pada datuk. Tanpa banyak
tanya dan soal. Permintaan Shafie segera ditunaikan. Sehelai kertas sudah siap
ditulis dalam tulisan jawi (Arab) segera datuk serahkan pada Shafie.
“Ingat, jangan baca dan amalkan ilmu ini, jika kamu semua
tidak sembahyang lima waktu. Ada orang mengamalkan selawat dan zikir bila
terdesak. Sembahyang semasa susah. Kikislah perbuatan yang salah ini.
Janganlah, bila susah baru ingatkan Allah, bila senang Allah dilupakan. Itulah
sebabnya amalan tidak menjadi, rezeki tak berkat,” tutur datuk dalam nada
bersahaja.
Tiada siapa berani menyanggah hujah-hujah yang datuk
hamburkan. Pak Habib seperti tadi juga, masih termenung. Macam ada sesuatu yang
bermain dalam tempurung kepalanya. Shafie bersama orang tuanya terus membaca
tulisan berkali-kali. Begitu juga dengan Tajudin.
“Baca dengan hati-hati, jangan terlalu cepat, “tegur
datuk untuk sekian kalinya pada Shafie dan ayahnya. Tajudin juga tidak
terkecuali menjadi mangsa teguran datuk. Teguran yang datuk tekankan ialah
tentang penyebutan kalimah yang tidak betul. Dan tidak mereka menerima teguran
itu dengan nada terbuka.
“Ingat, setiap sebutan dalam bahasa asal (Arab)
mesti jelas dan tepat serta betul. Kalau silap sebutan akan membawa makna atau
maksud yang lain, apa yang kita inginkan tidak akan menjadi,” sambung datuk,
wajah ketiga-tiga lelaki yang berada didepannya ditatap satu persatu.
“Faham dengan cakap aku itu,” dalam senyum datuk
bertanya.
“Faham,” sahut Tajudin.
Shafie dan ayahnya cuma mengangguk saja.
“Memang betul cakapnya,” secara spontan Pak Habib
melibatkan diri dalam perbincangan kecil itu. Semua biji mata tertumpu ke
arahnya. Pak Habib senyum sambil meraba hujung dagu.
“Sebaik-baiknya, kita faham maksud dan makna apa yang
kita kata atau ucapkan, bila kita faham maknanya akan menguatkan lagi keyakinan
kita dalam hati,” Pak Habib menyambung kembali percakapan yang terputus. Shafie
dan orang tuanya segera anggukkan kepala. Tajudin yang kurang pandai dan tak
berapa kenal huruf jawi tersengih semacam.
Suasana di anjung rumah terasa sepi. Shafie dan ayahnya
membaca dalam hati. Ibunya, yang bosan dengan suasana tersebut terus bangun dan
menuju ke dapur. Tajudin termenung tetapi, bibirnya kelihatan bergerak-gerak.
“Kalau boleh menghafal dengan lancar dan faham maknanya
memang bagus,” Pak Habib memecahkan suasana.
“Itulah sebaik-baiknya,” tingkah datuk, tiada tindak
balas dari Shafie dan ayahnya. Tajudin hanya tersenyum saja.
SEPI
Suasana di anjung kembali dicengkam sepi. Pak Habib
tunduk merenung lantai, macam ada sesuatu yang direnung di celah-celah papan
lantai. Datuk termenung panjang, bagaikan ada yang bermain difikirannya.
“Assalamualaikum...”
Semua yang berada di anjung terkejut, berpandangan sama
sendiri. Tetapi, mereka tetap menjawab salam seseorang di kaki tangga secara
serentak.
Datuk dan Pak Habib berpandangan. Dengan pantas ayah
Shafie menerka ke pintu. Dia hadiahkan senyum pada tetamu yang tidak diundang.
“Hai orang jauh silakan naik!”.
Riang sekali suara ayah Shafie. Semua di ruang anjung
tumpukan perhatian ke arah pintu.
Seorang lelaki berbadan tegap, berkulit sawo matang,
bermata galak tercegat di ambang pintu. Agak lama juga datuk merenung tubuh
lelaki berkulit saw matang itu.
Renung datuk itu tak diendahkan oleh lelaki itu. Dia
lebih berminat menatap wajah saya dan Tajudin. Ketika lelaki berbadan tegap itu
merenung muka Pak Habib, dahinya berkerut, macam mengingati sesuatu.
“Habib saudagar kapal,”
Pak Habib anggukkan kepala. Serentak dengan itu lelaki
berbadan tegao menerkam ke arah Pak Habib lalu memeluknya dengan erat sekali.
Agak lama juga mereka berpelukan.
Ayah dan ibu Shafie tercengang.
“Dia ni orang kuat, bunuh lima belas orang tentera
Belanda dengan badek.”
Pak Habib menjatuhkan sepasang tangannya dari memeluk
tubuh lelaki berkulit sawo matang. Ungkapan yang Pak Habib hamburkan ternyata
tidak disenangi oleh lelaki berkulit sawo matang.
“Oh, jangan dikenang tentang perkara itu. Itu masa
penjajah mahu tuntut kemerdekaan, lupakan tentang semuanya itu,” lelaki
berbadan tegap, berkulit sawo matang merendahkan diri.
Dengan spontan lelaki itu mendekati datuk lalu minta
ruang pada datuk agar dia dapat duduk bersebelahan dengan Pak Habib. Datuk
segera memberikan laluan.
“Dia ni kawan lama saya, sama-sama berjuang menentang
anjing kompeni,” Pak Habib terus menepuk bahu lelaki berkulit sawo matang dua
tiga kali. Penuh kemesraan.
Ayah Shafie hanya melihat saja situasi yang tidak diduga.
Sungguh melucukan hanya baru beberapa duduk, lelaki itu bangun terus bersalam
dengan Tajudin dan saya serta datuk. Dia duduk kembali tanpa menghulurkan untuk
bersalaman dengan Shafie walaupun Shafie bersedia untuk bersalam dengannya.
Hati kecil saya terus bertanya, siapakah lelaki yang tidak diundang ini ?
“Dia saudara satu moyang dengan saya. Anak Betawi jati,
namanya Jamaludin Darwis.”
Begitulah ayah Shafie memperkenalkan lelaki berbadan
tegap pada tetamunya. Datuk tersenyum. Saya dan Tajudin anggukkan kepala.
Sepasang mata saya terus menyorot ke arah lelaki berbadan tegap, wajahnya
nampak bersih.
“Sudah cukuplah tu, “ kata lelaki berbadan tegap, memintas
cakap ayah Shafie.
“Tak salah, bukannya apa-apa, mereka semua kawan saya,”
ayah Shafie mempertahankan tindakannya. Lelaki itu diam, tidak memberikan
sebarang komentar.
Gerak-geri lelaki dari Betawi itu terus saya awasi. Cara
dia duduk dan bercakap, secara tidak langsung menampakkan karisma tersendiri.
Dalam hati, terus membuat kesimpulan bahawa dia bersikap seperti kata pepatah,
bagaikan harimau menyimpan kuku. Bila ayah Shafie mahu menceritakan susur-galur
keturunannya, dia nampak gelisah semacam. Tetapi ayah Shafie.
“Maaf.”
Suara lelaki Betawi itu agak keras menyebabkan ayah
Shafie berhenti bercakap seketika.
“Kenapa?” Tanya ayah Shafie dan terus merenung biji mata
sepupunya.
“Begini, masa surat kamu sampai, aku tak ada di Keramat,
aku ke Surabaya. Lepas itu pergi ke Geylang langsung ke Tengkera Melaka,
seminggu lebih aku di sana, kemudian aku ke Gunung Semanggol, hampir dua bulan
aku berada di luar. Itulah sebabnya aku lambat datang menjenguk anak kamu.
Kalau aku ada di rumah, awal aku datang ke sini,” ujur Jamaludin dari Betawi.
“Jauh sungguh berjalan, buat apa ke sana?”
Pertanyaan yang membuat Jamaludin tersenyum. Dia berhasil
mengubah topik percakapan ayah Shafie yang amat berminat untuk memperkatakan
tentang keturunannya kepada topik lain.
“Semua tempat yang aku pergi tu, memamg kampung laman
orang Betawi. Sayangnya, aku tak jumpa golongan tua Betawi yang datang ke situ.
Aku berjumpa dengan generasi baru,” Percakapan terhenti sebentar. Jamaludin
membetulkan duduknya, biar terasa selesa.
“Semua yang aku jumpa, generasi baru yang sudah tak kenal
dengan adat budaya Betawi, apa lagi nak bercakap Betawi. Mereka sudah jadi
macam orang tempatan, malah malu mengaku keturunan Betawi,” ada nada kecewa
mengiringi penuturan kata, sepasang mata merenung sayu ke depan.
“Hiss...?” Jamaludin mendengus lalu tersenyum.
“Apa yang kau cakap tu, hanya sebuah nostalgia. Kita
harus mengaku dan menerima kenyataan,” Pak Habib terus meletakkan telapak
tangan kiri atas kepala lutut kanan Jamaludin. Digosoknya, berkali-kali dengan
lembut.
“Iya, masa sudah banyak berubah, mempertahankan sebuah
tradisi tua dalam dunia yang terus berkembang memang sulit. Kadang-kadang boleh
membuat kita terasa sayu dan menangis. Orang tua menyalahkan yang muda dan yang
muda menyalahkan yang tua sedangkan masa terus bergerak dan dunia ketawakan
kita,” Jamaludin luahkan perasaan.
“Lupakan perkara tu,” ulang Pak Habib.
“Iya kita lupakan,” sambut Jamaludin.
BUNGKAM
Suasana di anjung kembali bungkam, tiada sesiapa pun yang
bersuara. Barangkali, sedang berfikir, apakah kata-kata yang diucapkan oleh
Jamaludin sebentar tadi, betul atau sebaliknya.
“Sebenarnya kita sudah jauh tersasar dari persoalan
sebenar,” ayah Shafie bersuara memecahkan suasana bungkam.
“Barangkali terganggu kerana kedatangan aku?”
“Eh, saya tak bermaksud begitu,” lembut sekali nada suara
ayah Shafie dan dia merasa kesal kalau kata-katanya sebentar tadi menyinggung
hati Jamaludin.
“Begini Din, perbincangan kami terhenti kerana Peah
dikejar ular, kemudian tuntut ilmu nak kunci mulut ular dan buaya, kemudian
baru kamu datang, semuanya terjadi secara kebetulan,” sambung ayah Shafie dan
mengharapkan penjelasan tersebut akan membunuh rasa serba salah dalam diri
Jamaludin.
No comments:
Post a Comment