Saturday, August 31, 2013

SIRI 274 (VS MAC 2004): DIBAYANGI MAKHLUK ASING



          Dengan sedaya upaya, saya cuba mententeramkan perasaan. Usaha itu gagal, terasa semakin berkecamuk dalam hati. Memanglah boleh saya menjerit dan lari. Tetapi, untuk apa? Bukankah kehadiran datuk di sini untuk membantu.
          “Berikan ketenangan padaku Ya Allah,” muncul sebuah doa dalam kalbu.
          Perasaan kembali tenang dan tenteram. Tetapi, ada keganjilan di mata datuk. Sungguh mengejutkan sepasang biji mata hitamnya bertukar menjadi merah bara. Dari celah kelopak matanya keluar asap nipis yang lembut.
          Pada saat yang sama tidak semena-mena, anak mata saya terasa panas semacam. Keadaan yang dialami mendorong saya berpaling ke arah lain. Tidak mahu menentang anak mata datuk yang berapi.
          Tindakan itu mendatangkan keuntungan. Mata tidak terasa panas. Fikiran yang kosong segera diisikan dengan angan-angan yang tidak bertepi. Saya seperti terasa berada di taman yang indah.
          Sayangnya, keindahan itu tidak lama dinikmati. Diganggu oleh suara yang keras dan kasar sekali.
          “Renung muka dan mata aku,” bentak datuk.
          “Mata saya panas.”
          “Jangan banyak alasan, renung biji mata aku, biar terpancut biji mata kamu, jangan alihkan pandangan.”
          “Mata saya pedih dan berair.”
          “Jangan banyak alasan, ikut kata aku.”
          Saya tidak boleh melarikan diri dari arahan itu. Walau sepanas mana, saya harus bertahan. Dalam saat bertahan itu, terlihat manusia tanpa wajah berdiri menghalang pandangan saya pada datuk. Rasa panas tidak saya rasai lagi anak mata datuk yang merah tidak kelihatan tetapi, ada seketul bara kecil, (tidak tahu dari mana datang) terbang menuju ke arah kaki besar lalu melekat disitu.
          Barangkali bara api itu biji mata datuk, fikir saya. Dalam masa mencari jawapan itu terlihat manusia tanpa wajah berkaki besar membongkokkan badan ke arah datuk seolah-olah minta ampun, minta maaf, dengan pantas datuk tegakkan jari telunjuk dengan wajah bengis.
          “Jangan kamu ganggu anak Adam, nyah kamu dari sini.”
          Selesai datuk berkata demikian, manusia tanpa wajah berkaki besar terus ghaib, hilang entah kemana.
          Bagaikan diatur, Pak Habib dan Jamaluddin terus menerpa dan menolak daun pintu bilik.
          “Usung keluar,” kata datuk.
          Pak Habib dan Jamaluddin menuju kearah Shafie yang terkapar lesu. Mereka usung Shafie keluar dari bilik misteri. Datuk segera mengekori dari belakang.
          Sebelum mengikuti jejak Pak Habib dan datuk, saya renung setiap sudut bilik. Tiada apa yang ganjil, semuanya kelihatan macam biasa, kecuali sekeping kulit buah delima kering yang pada hemat saya tidak membawa sebarang makna.
          Bilik misteri segera saya tinggalkan.
          Shafie yang tidak sedarkan diri diletakkan atas lantai diruang tengah rumah. Pak Habib yang sudah mengambil air wuduk duduk terpegun dihujung kaki Shafie. Wajahnya nampak serius sekali.
          “Buka tingkap luas-luas.”
          Secara mengejut, Jamaluddin dari Betawi mengarahkan ayah Shafie. Permintaan itu segera dilaksanakan.
          “Terlalu banyak iblis disini,” tambah Jamaluddin. Tiada sebarang komentar yang diluahkan oleh Pak Habib dan datuk terhadap rungutan Jamaluddin. Ayah Shafie kembali mengambil tempatnya disebelah kanan Pak Habib. Terdengar sayup-sayup kokok ayam, bersama lolongan anjing liar berpadu dengan suara cengkerik yang iramanya tidak menentu.

ANGIN

          Angin dinihari terus menerjah masuk melalui tingkap yang terdedah menyentuh setiap wajah yang ada disitu. Ibu Shafie datang dari ruang sebelah kiri dan terus melabuhkan punggungnya yang kekurangan daging ditepi dinding tidak berapa jauh dari pintu masuk ke bilik misteri. Wajahnya nampak gusar sekali.
          “Entah mengapa, tidak putus-putus anak saya dikacau dan diganggu gugat. Alangkah baiknya kalau nyawanya diambil oleh Allah. Ya Allah, kau ambillah nyawa anakku ini, tidak sanggup aku melihat hidupnya terseksa begini,” ibu Shafie secara mendadak bersuara, penuh kekecewaan dan kekesalan yang amat sangat.
          “Subhanallah,” terdengar suara datuk dalam nada yang keras.
          “Jangan menolak rahmat Allah, jangan putus asa, mudah kecewa,” sambung datuk sambil duduk di kiri Jamaluddin. Ayah Shafie terus membatu, tidak tahu apa yang difikirkannya.
          “Beristighfar kamu, bertaubatlah kamu,” Pak Habib tujukan kata-kata itu pada emak Shafie – wanita kampung yang berwajah selamba itu menarik nafas dalam-dalam, macam tadi juga dia tetap kesal dan kecewa. Kali ini dia beristighfar tiga kali berturut-turut.
          Tuuuuuppppp!
          Sepasang daun tingkap yang terdedah tertutup sendiri. Beberapa detik berikutnya terbuka kembali. Perkara yang tidak diduga itu berlarutan lebih dari lima kali. Saya dan Tajudin mula rasa cemas. Kami saling berpandangan.
          Pak Habib dan datuk kelihatan tenang sekali. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. tetapi, Jamaluddin dari Betawi kelihatan lain macam, sedikit resah, bimbang tidak menentu. Wajahnya berkerut, urat-urat merah dikelopak mata jelas kelihatan. Kalau tadi suasana tenang, kini beberapa orang daripada mereka yang ada disitu, termasuk saya bagaikan menghadapi satu tekanan hebat.
          Diluar rumah terdengar bunyi deru angin yang kuat, bagaikan sedang berlaku ribut taufan yang menggila. Terdengar bunyi pokok tumbang yang disertai dengan jeritan orang dewasa dan kanak-kanak. Orang ramai dan binatang ternakan berlarian ke sana ke mari. Semuanya mahu menyelamatkan diri.
          “Dengar tu, jiran-jiran saya dalam kemalangan, kita yang ada disini mesti membantunya,” lantang sekali suara ayah Shafie dan terus berdiri sambil bercekak pinggang. Beberapa saat berikutnya, dia duduk semula. Orang-orang disekelilingnya tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya.
          Sambil duduk ayah Shafie mengulangi kata-kata yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut. Semua yang ada disitu buat tidak kisah. Dia kecewa. Suara-suara jiran yang dikenalinya terus menjerit-jerit minta tolong. Didorong rasa simpati dan tanggungjawab berjiran ayah Shafie berdiri buat kali yang kedua.
          “Awak semua orang luar, tidak tahu macam mana susahnya jiran-jiran saya menderita. Kalau kamu semua tidak mahu menolongnya. Biar aku yang uruskan,” selesai meluahkan suara hatinya, ayah Shafie terus melangkah. Datuk dan Pak Habib dirempuhnya. Dia menuju ke pintu yang diselak.

SEMPAT

          Sebelum sempat ayah Shafie mengangkat selak pintu, Jamaluddin segera menerkam kearah ayah Shafie dan menarik tangannya supaya duduk kembali. Tangan Jamaluddin ditepis oleh ayah Shafie.
          “Siapa kamu yang melarang niat hati aku untuk menolong jiran-jiran yang susah. Apa kamu terfikir, tak gunakan otak. Orang yang kena ribut tu adalah saudara aku dan saudara kamu,” ayah Shafie jegilkan biji mata pada Jamaluddin.
          “Sabar, kamu tak tahu apa-apa. Iblis sedang memperdayakan kita. Bila kita semua keluar dari rumah ini, anak kamu akan lari masuk ke dalam hutan, mungkin tak akan balik lagi, terus jadi tawanan makhluk jahat, ghaib terus. Suara orang menjerit yang kita dengar, bukan suara jiran kamu, begitu juga dengan bunyi hujan ribut, bukannya betul. Semuanya tipu helah,” lembut Jamaluddin memberikan penjelasan.
          “Mustahil,” ayah Shafie berkeras.
          “Betul, duduklah,” Jamaluddin terus memujuk. Ayah Shafie terus duduk.
          “Mustahil.”
          “Percayalah cakap aku ni, ilmu jahat dan dunia sudah aku lalui, sudah aku pelajari dari manusia dan alam jin. Ada ilmu dari alam jin yang baik. Pada hemat aku anak kamu ni ditawan jin jahat dengan ilmu Sapu Sejagat,” terang Jamaluddin.
          “Tak percaya,” ayah Shafie geleengkan kepala. Dia bangun dan kali ni bergerak menuju ke tingkap yang tertutup rapat. Daun tingkap dibuka. Dia masih mahu berusaha menolong orang diluar rumah dengan cara terjun ke tanah menerusi tingkap.
          Pak Habib dan datuk hanya menarik nafas dalam-dalam melihat perangai ayah Shafie. Dia seperti kemasukan roh jahat. Semua alasan dan pujuk rayu Jamaluddin ditolaknya mentah-mentah.
          “Jangan terjun,” pekik Jamaluddin sambil berlari ke arah ayah Shafie yang sudah melangkah tingkap untuk terjun. Dengan sekali rentap, ayah Shafie jatuh tergolek dilantai. Dengan pantas pula dia bangun lalu bergelut dengan Jamaluddin. Masing-masing mahu menewaskan antara satu sama lain.
          Suasana dalam rumah jadi gamat. Ibu Shafie menangis. Saya dan Tajudin tidak tahu apa yang harus dilakukan. Datuk segera memberitahu Pak Habib, perkara yang terjadi didepan mata harus dileraikan. Jika tercetus pergaduhan yang lebih dari itu, iblis akan bertepuk tangan melihat dua anak Adam bergaduh sama sendiri.
          “Din, gunakan kebolehan kamu, jangan sampai cedera sudahlah.”
          Pak Habib mengenali Jamaluddin sejak zaman pemberontakan, memberikan arahan. Tanpa disangka-sangka ayah Shafie memberhentikan perlawanan. Dia mengalah pada Jamaluddin, semua yang berada di rumah menarik nafas lega.

KEJUTAN

          Dalam kelegaan yang masih berbunga itu, ayah Shafie membuat kejutan lagi, dia beralih angin, mengalah pada Jamaluddin memusuhi datuk. Dia melompat dan membuka silat ke arah datuk. Anaknya yang tergolek didepan mata tidak dipedulikan. Ditangannya terhunus keris lama berluk tujuh.
          Tiada siapa yang tahu bagaimana keris berkarat itu boleh berada ditangannya. Keris itu diacukannya berkali-kali kearah datuk. Sekali sekala dihalakan pada Pak Habib. Kalau tidak dielakkan pasti terburai isi perut atau tercabut biji mata.
          Pak Habib memberitahu bahawa keris ditangan ayah Shafie dihulurkan oleh seseorang ketika dia berdiri ditepi tingkap tadi. Kerana gagal mencederakan datuk dan Pak Habib, ayah Shafie mengalihkan serangan kepada Jamaluddin kembali.
          “Hisssssss.”
          Satu serangan kilat dari ayah Shafie, Jamaluddin mengelak. Serangan datang lagi, bertalu-talu. Jamaluddin yang pandai menggunakan senjata api semasa pemberontakan ternyata memang seorang jaguh silat. Hujung keris berluk tujuh tidak menyentuh kulit tubuhnya.
          “Opppppp…”
          Jamaluddin berjaya menangkap pergelangan tangan ayah Shafie. Terus dikilas kebelakang lalu dihentakkan atas tempurung kepala lututnya. Ayah Shafie menjerit kesakitan, ulu keris dalam genggamannya jatuh atas lantai terus ghaib. Ayah Shafie juga turut tergolek tetapi, berjaya duduk dengan segera.
          Tummmmm…
          Datuk segera menumbuk lantai.
          “Duduk diam disitu jangan rosakkan rancangan kami,” sambung datuk. Ayah Shafie termanggu-manggu, macam orang baru bangun tidur.

No comments:

Post a Comment