Friday, August 30, 2013

SIRI 257 (VS OKTOBER 2002) : REBUT TUK GURU



“Mana tuk guru kamu?” ulang datuk.
“Di luar,” terdengar suara dari sebelah kanan.
“Di luar,” ulang datuk cemas.
“Iya,” sahut mereka serentak.
Dan tanpa mahu memberitahu apa-apa pada kami datuk terus meluru keluar surau.  Kerana tidak tahu, apa yang mesti dilakukan, saya dan Pak Habib turut keluar sama.  Tindakan kami, segera diikuti oleh orang-orang yang berada dalam surau.
Bila berada diluar, kami dihadiahkan dengan sebuah pemandangan yang tidak pernah kami fikirkan.  Perasaan saya tiba-tiba jadi celaru.  Marah dan sedih bercampur geram, bergolak dalam dada.
“Subhanallah....”
Datuk menepuk dahi dengan kuat.  Pak Habib diam tidak terkata.  Wajah Tajuddin nampak sedih sekali.
“Bagaimana boleh jadi begini!,” desis hati saya.
“Kasihan.” Tajuddian mengeluh lemah.
Walau apa pun rintihan dan tanggapan, semua biji mata tertumpu ke arah pasangan suami isteri yang sedang memangku kepala seorang pemuda.  Timbul pertanyaan dalam hati, apakah mereka sedang memangku anak sendiri atau orang lain.  Saat saya mencari jawapan dengan tenang datuk dan Pak Habib melangkah mendekati pasangan suami isteri tersebut.
“Anak kamu.”
Itu yang terkeluar dari kelopak bibir Pak Habib.
“Iya, Shafie anak kami.”
Si isteri menjawab dan terus menangis.  Dahi pemuda dalam pangkuan diusap dan dicium berkali-kali.  Si suami tertunduk merenung bumi.  Tidak memberikan sebarang komen atas pertanyaan yang Pak Habib ajukan, malah dia seakan, akan tidak mahu melihat wajah-wajah yang di sekelilingnya.
“Ahhh.....”
Cara mengejut saja si suami bersuara dan terus berdri seketika sambil bercekak pinggang membelakangi Pak Habib, datuk dah saya.
“Hissss....,”
Terdengar desis keras dari mulut si suami.  Sepasang matanya mula merenung wajah-wajah manusia yang mendewa-dewakan anaknya sebagai ualaman besar.  Kami bertiga tidak jugak ditolehnya.
Si suami terus mengubah posisi kedudukannya dari berdiri terus bertinggung, berdiri lutut menghadapi Shafie yang berada dalam pankuan isterinya.  Dahi Shafie digosok dan dicium berkali-kali.
Datuk dan Pak Habib yang berdiri di hujung kaki Shafie tidak memberikan sebarang reaksi dengan apa yang mereka lihat.  Tetapi, setiap gerak geri pasangan suami diawasi dengan teliti.  Begitu juga dengan kumpulan para pengikut Shafie.
ANGKAT
Tanpa disedari, tiba-tiba saja kami mendapati kumpulan yang mengangkat Shafie sebagai Tuk Guru terus mengelilingi kami, bergandingan tangan sambil bercakap sama sendiri.  Kurang jelas apa yang mereka cakapkan.
“Bersedia kalau mereka buat sesuatu pada kita.”
“Saya bersedia,” datuk menjawab ingatan Pak Habib.
“Boleh tidak kita duga tindakan mereka,” Pak Habib bertanya lagi.
“Mereka mahu merebut Tuk Guru dari kita,” sahut datuk.
Mendengar penjelas datuk itu, muka Pak Habib nampak cemas sedikit.  Manakala perasaan saya terus berdebar.  Tajuddin yang tidak mendengar dialog antara Pak Habib dengan datuk resah, ingin tahu.
“Bagaimana kalau terjadi, Pak Habib,” Tanya saya secara berbisik kepada Pak Habib.  Tiada jawapan pasti yang saya terima kecuali senyum sinis.
Dalam saat hati mula mahu berdebar kencang, datuk memisahkan diri dengan kami.  Saya tarik nafas dan merenung ke dada langit.  Semoga kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku di sini.  Sebuah doa dan harapan muncul dalam hati kecil.
Secara perlahan-lahan Pak Habib bergerak tiga tapak ke arah kanan, lelaki berdarah Arab itu berusaha menjarakkan dirinya dengan saya.  Tidak tahu apakah tindakan selanjut yang bakal dilakukannya.  Tajuddin masih tidak berubah dari tempat asalnya.  Renungannya ke arah saya mencerminkan keresahan dan ketakutan.
“Haa, siapa di antara kamu yang berhajat mahu mengambil ‘Tuan Guru’ dari emak dan ayahnya,” suara keras datuk membunuh rasa takut dalam hati saya.  Jari telunjuk datuk menuding ke arah ‘Tuk Guru’ yang berada dalam pankuan ibunya, datuk lagi mengulangi kata-kata yang sama.
Secara tiba-tiba saya sperti mendapat semangat baru.  Berani menghadapi apa saja yang mendatang.  Saya tidak kisah, kalau Pak Habib atau datuk menjauhkan diri dari saya.  Bersama angin yang bertiup saya tarik nafas dalam-dalam.  Dari jauh kelihatan dedaun kering di ranting berjatuhan di belakang surau dirempuh angin.
Datuk ulangi kata-kata yang sama buat kali yang kelima.  Tiada jawapan yang diterima.  Suara pengikut ‘Tuk Guru’ yang bercakap sama sendiri terus mati.  Malah mereka tidak lagi berganding tangan memagari kami.  Satu perubahan yang drastik tetapi mencemaskan setidak-tidaknya untuk saya sendiri.
Tuk guru berada dalam pangkuan ibunya masih seperti tadi, tidak bergerak terus kaku macam mayat.  Terdengar suara orang berdehem panjang, saya pasti suara orang itu datang dari kumpulan pengikut ‘Tuk Guru’.  Sukar sekali untuk mengenali siapa yang berdehem itu.
Mungkin orang yang berdehem itu memberikan isyarat pertama untuk datuk dan kami, bahawa dia bersedia merebut ketuanya, ‘Tuk Guru’ dari siapa saja.
“Jika ada sesiapa yang mahu mengambil ‘Tuk Guru’ dari emak bapanya.  Nah, mari berlawan dengan aku.  Kalahkan aku dulu,” satu cabaran yang tinggi risikonya dari datuk.
Pak Habib terkejut lalu gelengkan kepala beberapa kali.  Pada hemat saya dia tidak setuju dengan tindakan datuk itu.  Saat itu juga rasa berani saya hilang, digantikan dengan rasa cemas.  Segera saya bayangkan keadaan yang kelam-kabut, bila cabaran itu dijawab oleh para pengikut ‘Tuk Guru’.
SABUNG
Dalam situasi yang serba tegang itu, dua anak lelaki dari kumpulan pengikut ‘Tuk Guru’ menerpa ke arah datuk, macam ayam sabung yang baru dilepaskan pemiliknya ke dalam gelanggang sabung.
Belum pun sempat datuk membuka mulut, sebiji penumbuk sulung dilepaskan oleh salah seorang dari pada anak muda tersebut ke arah pipi kiri datuk.  Semasa mahu mengelak, datu tersilap langkah lalu terjatuh.  Kedua-dua anak muda itu menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya.  Mereka melepaskan sepak terajang yang bertalu-talu ke arah tubuh datuk.
Pak Habib hanya melihat saja, tidak mahu campur tangan.  Apa yang termampu dilakukan oleh datuk ialah bertahan dan mengelak sebanyak mungkin.
Pada satu saat yang baik, datuk dapat bangun lalu bertindak balas.  Kedua-dua pemuda itu bertindak lebih agresif lagi mereka gunakan parang untuk menghancur cincangkan tubuh datuk.
“Bantuan,” Pak Habib bersuara.
“Biarkan shabat selesaikan sendiri,” jawab datuk dalam keadaan tercungap-cungap.
Para pengikut Tuk Guru segera memberi sokongan moral pada kedua-dua kawan mereka yang sedang bertarung dengan suara: “Huuuu Haaaa,” berulang kali dengan kuat.
Datuk yang ternyata keletihan, tetap berusaha mengatasi masalah yang dihadapinya tanpa mengharapkan bantuan Pak Habib atau Tajuddin atau siapa saja.
Bagi datuk berjuang dulu, kalau tidak boleh baru minta bantuan kawan-kawan.  Walaupun serangan datang bertubi-tubi dari kedua-dua pemuda tersebut, terbukti datuk sukar dikalahkan.  Malah tanda-tanda kekalahan berada dipihak yang menyerang
“Ah....”
Serentak dengan jeritan itu, datuk melompat tinggi melepasi paras bahu penyerang yang sekaligus dapat menge;allam dua tetakan serentak ke arah pinggangnya.  Sebaik saja telapak kakinya menyentuh bumi dia berlari ke kanan, mengubah posisinya hingga berdiri sejajar dengan dua orang penyerang.
Semasa dua penyerang menoleh ke kanan (ke arahnya) datuk pun melepaskan satu tendangan terbang (flying kick) ke arah bahu pemuda yang agak hampir dengannya.  Badan lelaki itu rebah lalu meinpa badan kawan di sebelahnya.  Kedua-dua, pemida tersebut tersungkur, parang terlepas dari tangan, mereka muntah darah.
Tubuh mereka lembik, macam batang keladi yang dipukulnya ke perdu pokok meranti.  Kedua-duanya tidak mampu untuk bangun.  Melihat kejadian itu, semua pengikut ‘Tuk Guru’ yang memagar kami lari lintang pukang.  Mereka berlanggar sama sendiri, manakala kumpulan wanitanya terkencing dalam kain.
Dua lelaki yang mengetuai kumpulan tersebut hilang entah ke mana.  Pasangan suami isteri tergamam dengan apa yang berlaku di depan mata.  Dari wajah tergambar rasa ketakutan yang amat sangat.  Badan mereka menggeletar, tidak tahu untk berbuat apa-apa, kecuali tunduk membongkokkan badan, melindungi Shafie.
“Bawa Shafie ke pangkal pokok rambutan,” kata datuk pada saya dan Tajuddin.  Kemudian Pak Habib dan datuk bergerak pantas menuju ke pangkal rambutan.  Saya dan Tajuddin segera mendekati pasangan suami isteri.
“Kami nak bawa Shafie ke sana,” beritahu Tajuddin pada pasangan suami isteri yang nampak terkejut.
“Tak boleh,’  mereka membantah.
Saya dan Tajuddin mula berkeras.  Pasangan suami isteri juga turut berkeras lalu terjadi pertengkaran kecil antara kami dengan mereka.  Sebelum pertengkaran menjadi lebih besar, datuk pun datang.
“Jangan lupa janji kita,” kata datuk.
“Janji?” balas si isteri.
“Iya,” tegas datuk menjawab.
Pasangan suami isteri itu berpandangan sama sendiri.  Mereka bagaikan mengingati sesuatu.
“Ingat janji kita bersama, saya minta tolong jangan gagalkan,” datuk renung muka si isteri sejenak, “Jangan gagalkan usaha kita yang baru mahu bermula,” sambung datuk dengan tenang.
“Saya ingat,” si suami bersuara riang.
Tanpa diarah oleh sesiapa, pasangan suami isteri itu segera bangun.  Mereka menyerahkan Shafie pada saya dan Tajuddin.  Tanpa membuang masa Shafie segera kami usung ke arah perdu rambutan sambil diiringi oleh datuk dan pasangan suami isteri tersebut.
“Letakkan di situ, hadapkan mukanya ke langit, rapatkan kakinya.  Letakkan tangannya macam orang sedang sembahyang,”
Arahan datuk segera kami patuhi.  Atas perintahnya juga kami letakkan sehelai daun rambutan kering atas pusat Shafie.
DUDUK
Dua orang anak muda yang menyerang datuk tadi masih muntah dalam keadaan duduk mencangkung.  Kalau tidak ada usaha dilakukan untuk menahan darah, besar kemungkinan kedua-dua anak muda itu akan mati katak akibat kehabisan darah.
“Mereka mesti diselamatkan.” Sepasang mata datuk terpaku ke arah pemuda yang sebentar tadi bermati-matian mahu menamatkan riwayat hidupnya.
Datuk renung muka Pak Habib seolah-olah minta bantuan buah fikiran.  Pak Habib menghela nafas panjang sambil menggosok-gosok pangkal hidungnya berkali-kali.
“Selesaikan yang muntah darah dulu,’ cadangan dari Pak Habib.
“Anak kami bagaimana,” si isteri bersuara.
“Kita selesaikan dengan baik, percayalah.”
Si isteri renung suami.  Dengan perlahan-lahan si suami anggukkan kepala, setuju dengan apa yang diucapkan oleh Pak Habib.  Seperti tadi juga, sementara menanti tugas-tugas yang bakal dilakukan oleh datuk dan pak Habib pada Shafie, mereka kembali memangku kepala anak tersayang.
BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment