Friday, August 30, 2013

SIRI 244 RAHSIA 3 MANUSIA JAHANAM TERBONGKAR



LAMA juga Datuk dan Pak Habib membiarkan kedua-dua lelaki itu dalam keadaan yang tidak menentu.  Terhoyong-hayang macam orang mabuk, tidak dapat mengimbangi tubuh untuk berdiri dengan betul.

Salah seorang daripada mereka kerap jatuh dan kerap pula bangun. Dalam saat-saat tertentu mereka bercakap dalam bahasa yang ganjil dan sukar dimengertikan.  Bukan dalam bahasa Indonesia, bukan juga dalam Bahasa Melayu.

“Allah huakbar…..”

Secara tidak sengaja Pak Habib menyebut ungkapan itu, bila seekor kelawar sedar melintas di depannya.  Serentak pula kedua-dua lelaki yang terhoyong-hayang tersungkur di bumi.  Datuk yang berada di sisi Pak Habib menggigit ibu jari kiri.

Muka kedua-dua lelaki yang terkapar di bumi terus jadi bahan renungan Pak Habib.  Ada keresahan bermain dalam hatinya.  Renungan segera dialihkan ke muka datuk buat seketika.  Kemudian kembali semula ke muka kedua-dua lelaki yang terlentang, merenung bulan dan bintang di langit.

Tindak-tanduk Pak Habib mengundang rasa cemas dalam diri saya. Sebenarnya, saya tidak mampu bertahan lebih lama lagi, di kawasan hutan dalam suasana malam yang kian mendekati waktu Isyak.

Mungkin si pemandu dan datuk juga berfikir seperti apa yang saya fikir.  Dalam melayani perasaan hati, badan terasa dingin akibat hembusan angin malam yang lemah.  Nyamuk terus berpesta menyedut darah.  Lelaki berdarah dahi terus berdengkur.  Tidak tahu apa yang berlaku di sekitarnya.

“Bangun, berdiri.”

Suara Pak Habib lantang, bergema menguasai kawasan hutan kelcil. Datuk tersintak, pemandu dan saya terkejut besar.  Lebih mengejutkan kedua-dua lelaki yang terbaring terus bangun dan berdiri dalam keadaan yang tiada bernaya.

Tindakan selanjut yang dilakukan oleh Pak Habib di luar jangkaan. Dari garang bertukar lembut, penuh sopan.  Kembali pada jati diri sebenar.  Tangannya menepuk-nepuk bahu kedua-dua lelaki berkenaan penuh mesra sambil mengucapkan sesuatu.

BAIK

WALAUPUN dilayani dengan baik, keuda-dua lelaki tersebut tidak berani menentang muka Pak Habib.  Badan mereka kelihatan seperti menggigil.

“Pandang muka saya,”  lembut Pak Habib merayu.  Rayuan itu tidak diendahkan.

“Kamu berdua, kalau tak salah, pernah bekerja dengan aku?”

Seperti tadi, tidak ada tindak balas dari kedua-dua lelaki tersebut. Mereka buat bodoh, tunduk renung tanah.  Pak Habib terus merlegar-legar di depan mereka sambil mengosok-gosok kedua-dua belah telapak tangannya.

“Sebaiknya, kamu berdua terterus terang saja dengan aku, kalau kamu berdua tak mahu susah,”  kata Pak Habib dalam nada menggugut.  Datuk senyum, kerana dia tahu itu satu taktik dari Pak Habib.

“Pernah tuan Habib,”  balas mereka serentak.

Pak Habib segera tenyitkan ekaor mata pada datuk yang di sambut dengan senyum pendek.

“Di mana?”

Kedua-dua lelaki itu kembali membisu.

“Di mana?”  Ulang Pak Habib keras.

Kedua-dua lelaki terbabit saling berpandangan.  Ada kesulitan yang terjadi antara mereka.  Siapa yang harus dahulu menerangkan kepada Pak Habib.

Sementara menanti jawapan dari mereka, Pak Habib merenung ke dada langit.

“Di Tanjung Balai, Tuan.  Jadi penjaga gedung.  Kadang-kadang menemani keluarga Tuan ke Penang,”  jawab yang bermuka separuh bulat.

“Kamu pula?”

Pak Habib ajukan pertanyaan pada lelaki yang berkulit agak gelap.

“Sama macam dia tapi, saya bahagian gedung yang menyimpan barang dari luar,”  jawab lelaki berkulit gelap.

Penjelasan dari kedua-dua lelaki tersebut membuat Pak Habib termenung seketika.  Terus duduk atas seketul kayu.  Dahinya, berkerut macam memikirkan sesuatu yang tidak pernah diduga.  Dia segera memanggil datuk ke sisinya.

Mereka berbincang sesuatu dengan serius sekali.  Tidak lama berikutnya, datuk meninggalkan Pak Habib  yang mula bangun mendekati kedua-dua lelaki yang masih berdiri.

“Sekarang baru aku ingat, kamu berdua di tangkap pihak berkuasa Malaysia masa bekerja dengan syarikat aku,”  tutur Pak Habib.

“Benar Tuan.”  Sahut kedua-kedua lelaki tersebut.

“Aku kurang jelas, macamana kamu boleh ditahan?”

“Eeeeee……lelaki berkulit gelap tidak meneruskan percakapan.  Dengan ekor mata dia menjeling kearah kawan di sebelah.

“Berterus terang dengan saya.”

“Begini tuan besar,”  lelaki bermuka separuh bulat mengambil alih tugas dari kawannya yang berkulit agak gelap untuk meneruskan penerangan,  “Kami kadangkala mengambil kesempatan menyeludupkan rokok kretek dari gedung Tuan Habib ke Batu Uban dengan bantuan orang tengah.”

“Menarik cerita kamu,”  potong Pak Habib.

Tiada sebarang komen yang diucapkan oleh kedua-dua lelaki yang berdiri di depan Pak Habib.

TENANG

BARANGKALI mereka mahu mendenganr kata selanjut yang bakal diucapkan oleh Pak Habib.  Sepuluh saat sudah berlalu, kelopak bibir Pak Habib tidak terkuak untuk melontarkan kata.

Keresahan tidak saja di hati kedua-dua lelaki tersebut.  Malah, turut terasa di hati datuk,  saya dan si pemandu, kecuali lelaki berdarah dahi yang masih berdengkur.  Dalam suasana yang agak tenang itu, datuk menoleh ke arah saya  dan pemandu.

“Nasib kami tidak baik, semasa bot mahu rapat ke pantai Batu Uban untuk menyerahkan kretek pada kaki di Penang,  kami diserbu polis laut Malaysia, dua orang kawan kami yang jadi ketua penyeludupan lepas lari, kami berdua masuk perangkap pihak berkuasa Malaysia,”  lelaki yang berkulit agak gelap mengambil inisiatif menyambung cerita, bila menyedari yang Pak Habib tidak mahu membuka mulut.

“Lepas keluar penjara kamu ke mana?”

Dari jauh datuk campur tangan.  Anak mata kedua-dua lelaki itu segera beralih pada datuk.  Pak Habib tersenyum.

“Jawablah.”

Pak Habib keluarkan arahan untuk bekas pekerjanya.  Mungkin merasa kurang  enak dengan campur tangan datuk.  Tetapi, tidak berani meluahkan rasa kurang senang itu pada Pak Habib atau datuk.  Mereka saling berpandangan dalam usaha mencari keputusan.

“Jawab soalan sahabat saya,”  keras semacam suara Pak Habib.

“Lepas keluar penjara kami di hantar balik ke Medan, macam-macam kerja kami buat, termasuk ambil upah pukul orang.  Suatu  hari kami berdua dibelasah dengan teruk dan dicampak ke dalam sungai Deli,”  lelaki berwajah separuh bulat menyingkap kisah lalu.

“Kemudian…” datuk tidak meneruskan kata.

“Umur kami panjang, kami tak mati, bila pulih dari sakit kena belasah, kami pergi menuntut ilmu kebatinan hitam di kawasan perkampungan orang-orang KUBU,”  sambung lelaki berwajah separuh bulat dalam keadaan terketar-ketar.

NAFAS

DATUK menarik nafas panjang mendengan penjelasan dari kedua-dua lelaki tersebut.  Dalam hati datuk membuat kesimpulan,  apa yang berlaku memang sudah dirancang sekian lama.  Bukan sehari dua gerak geri Pak Habib diekori oleh mereka.

“Boleh saya cakap sikit.”

Datuk minta izin dari Pak Habib.

“Silakan sahabat.”

“Setelah kamu merasakan ilmu yang di tuntut cukup kuat, kamu berdua mahu melakukan apa saja kejahatan, asalkan kamu berdua senang.  Betul tak?

Satu pertanyaan dalam bentuk soalan datuk kemukakan kedua-dua lelaki berkenaan.  Ternyata, Pak Habib merestui apa yang datuk lakukan. Malangnya, kedua-dua lelaki itu tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya terhadap pertanyaan datuk.

“Kamu berdua sudah lama mahu mengkhianati bekas majikan kamu.  Aku yakin kamu mahu menculiknya dan kemudian menuntut wang tebusan dari keluarganya.  Jawab pertanyaan saya betul atau tidak?”  Datuk terus berhujah.

Kedua-dua lelaki itu tetap macam tadi, tunduk membisu.  Tidak berani menentang muka Pak Habib dan datuk.

“Katakan apakah cakap sahabat saya itu betul atau salah. Berterus-terang adalah satu perbuatan yang baik dan mengaku bersalah atas perkara buruk yang kita lakukan adalah amalan yang terpuji,”  Pak Habib memujuk penuh diplomasi.

Keadaan tetap tidak berubah, kedua-dua lelaki jahanam itu terus membisu, terus tunduk merenung permukaan tanah.  Suasana malam terus bergerak, membekalkan rasa dingin bersama nyayian cengkerik. Nyamuk-nyamuk terus berpesta.  Lelaki berdarah dahi tetap berdengkur.

Suara musang liar, suara anjing liar yaqng berselang seli dengan nyayian pungguk terus menyumbat lubang telinga.  Sesekali terasa seram, bila melihat pohon-pohon besar bergerak sendiri, sedangkan angin kuat tidak berlegar di sekitar saya.

Sungguh membosankan bila si pemandu yang berada di sebelah sering merungut, dia bagaikan nampak tengkorak manusia bergolek kearahnya.Bila direnung atau mahu dipegang tengkorak manusia bertukar menjadi katak besar dan terus melompat kepangkal pokok dan hilang di celah-celah akar pokok tersebut.

CEMAS

HAL-HAL begini memang mencemaskan tetapi, apakan daya saya dan pemandu tidak mempunyai kuasa untukmemaksa datuk dan Pak Habib, supaya segera keluar dari suasana yang serba mencengkam, serba mengerunkan.

“Bagaimana? Berikan jawapan segera atau menerima habuan dari aku,” lantang sekali suara datuk.  Sepasang jari-jemarinya diramas-ramas dan dikepal berkali-kali.

Pak Habib segera membisikkan sesuatu ke telinga datuk.  Perubahan segera terjadi, datuk yang tadi kelihatan agak keras dan kasar mula nampak berlembut.  Datuk segera menjauhkan diri dari kedua-dua lelaki yang berdiri kaku.

“Jangan sampai sahabat saya marah, kalau dia sudah marah saya tidak boleh membantu kamu.  Cakap saja hal yang benar, habis cerita,”  Pak Habib memujuk.

Kedua-dua lelaki itu memberikan tindak balas yang positif.  Mula berani angkat muka, renung wajah Pak Habib.  Mula berani mengerakkan sepasang tangan.

“Memang benar apa yang dikatakan oleh sahabat Tuan, kami memang mahu menculik tuan untuk di jadikan tebusan, malah kami bersedia membunuh tuan, kalau hajat kami tak ditunaikan oleh keluarga tuan.”

“Hummmm………..”  Pak Habib menarik nafas dalam-dalam, sepasang anak matanya ditujukan ke muka lelaki yang berkulit agak gelap.

“Benarkah cakap kawan kamu ini?”  Tanya Pak Habib.

“Benar,”  jawab lelaki berkulit agak gelap itu.

“Kamu berdua minta bantuan dia,” sampuk lelaki berwajah separuh bulat. Jari telunjuknya menunding kearah lelaki berdarah dahi yang berdengkur.

“Kenapa dengan dia?”  Tanya Pak Habib.

“Dialah yang memberitahu kami yang tuan melalui jalan ini balik ke Medan.  Dia ikut rombongan yang menghantar jenazah,”  sambung lelaki berwajah separuh bulat dengan tenang.

PENJELASAN

MENDENGAR penjelasan lelaki berkenaan, Pak Habib terdiam.  Memang dia tidak menyangka dalam rombongan menghantar jenazah ke Pengkalan Berandar siang tadi, ada orang rela dirinya dijadikan seperti kata pepatah, musang berbulu ayam.

Datuk yang mendengar dialog antara Pak Habib dengan kedua-dua lelaki jahanam itu hanya mampu menepuk dahi dan menggeleng-gelengkan kepala saja.  Pak Habib terpaksa membayar dengan harga yang mahal terhadap kebajikan yang dilakukannya.

“Maafkan kami Tuan.”

Kedua-dua lelaki itu bersuara serentak.  Tanpa membuang waktu terussujud di kaki  Pak Habib.

“Ampun dan maafkan kami Tuan,”  mereka terus merayu.  Pak Habib termenung sejenak.  Setelah menarik nafas panjang-panjang, dia merenung ke langit.

“Aku maafkan kamu berdua.”

Kedua-dua lelaki itu mengaalmi rasa terkejut yang luar biasa.  Mereka berpandangan sama sendiri.  Bagaikan tidak percaya dengan apa yang mereka dengar.

“Maafkan kami Tuan Besar.”

“Usah ragu, memang aku maafkan kamu berdua.  Kalau kamu memerlukan wang ringgit atau apa saja pertolongan datang jumpa aku.  Lagipun kamu dah tahu di mana aku duduk.”

“Hahahaa……..”  mulut lelaki berwajah separuh bulat terlopong.  Begitu juga dengan kawannya.  Mereka termanggu-manggu.  Mereka bagaikan antara percaya dengan tidak kata-kata itu lahir dari mulut orang yang mereka aniayai atau khianati.

Serentak kedua-dua lelaki yang di lambung kegembiraan itu merenung anak mata hitam Pak Habib.  Pada saat itu mereka merasakan anak mata Pak Habib memancarkan cahaya berkilauan membuat pandangan mereka gelap.  Urat-urat di kepala terasa tegang.  Kedua-dua jatuh lembik atas tanah.

Pak Habib menjatuhkan hujung serbannya ke atas dahi kedua-dua lelaki itu buat beberapa saat.  Kedua-dua lelaki itu tersedar dan mengulangi perkataan:  Maafkan kami untuk beberapa kali.  Dalam masa yang sama lelaki berdarah dahi berhenti berdengkur.

Lelaki berdarah dahi tergesa-gesa bangun, terburu-buru pula manggabungkan diri dengan dua orang lelaki jahanam lalu mengucapkan:

“Maafkan kami, tuan besar,” Tiga manusia bergabung mengucapkan serangkai kata yang nada suaranya, sekejap meninggi sekejap menurun.

Tiga suara berpadu menguasai keadaan  sekitar.  Menenggelamkan bunyi suara tunggas dan haiwan.  Tiga suara seirama itu ternyata memberikan sedikit hiburan kepada saya, mengusir rasa takut dan cemas.

“Bagaimana Tamar?”

Suara cemas di pemandu menolak gegendang telinga saya di saat dingin malam kian mencengkam.

Awan dilangit yang melindungi bulan, mula menyingkir ke tpi memberikan laluan untuk bulan menebarkan cahayanya ke permukaan bumi.  Sinaran bulan itu jatuh ke wajah datuk, ke wajah Pak Habib dan apa  saja yang ada di sekitar kami.

“Bagaimana Tamar?”  Ulang si pemandu.

“Bagaimana apa?”

“Wajarkah mereka bertiga dibiarkan begitu, bercakap tak henti-henti.”

“Kau dan aku hanya tengok saja,”  balas saya.

Si pemandu menarik nafas panjang.  Bulan di langit kian ghairah mengembangkan sinarnya, keadaan sekitar terang seperti siang. Maklumlah, bulan mengambang  penuh.

AWAL

PADA peringkat awal, Pak Habib tidak kisah dengan perangai ketiga-tiga lelaki itu.  Pada sangkaannya perbuatan itu adalah perbuatan biasa. Orang yang merasakan dirinya bersalah, tidak segan-segan melakukan apa saja asalkan perbuatannya diampunkan, demikian fikir Pak Habib.

Bila ketiga-tiga lelaki itu tidak memperlihatkan tanda-tanda mahu berhenti.  Malah. Makin lama, makin kuat dan rancak mereka menyebut perkataan “Maafkan kami tuan besar,”  seperti kerasukan.  Semua yang berlaku di depan mata, membuat datuk dan Pak Habib tidak senang hati. Kalau tadi mereka mengucapkan kata-kata tersebut dalam keadaan berdiri dan memeluk tubuh.  Tidak bergerak ke mana-mana.  Tetapi, keadaan segera berubah mereka yang tadi tidak bermaya sekarang sudah bertenaga.  Malah, datuk dapat mengesan yang ketiga-tiga manusia itu mula mahu bertindak agresif.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah.  Datuk terus mendekati Pak Habib.

“Ada sesuatu yang tak kena, mesti diatasi sebelum keadaan menjadi lebih parah.”

“Aku juga berfikir macam itu,”  Pak Habib menganguk dan mencadangkan supaya datuk melakukan sesuatu.

Datuk menolak saranan itu dan sebaliknya menyuruh Pak Habib yang melakukannya.  Alasan datuk amat mudah sekali, ketia-tiga orang yang terbabit ialah orang tempatan.  Dua daripadanya bekas pekerjanya sendiri. Andainya, usaha Pak Habib gagal berulah datuk masuk gelanggang.

“Satu alasan yang baik dan masuk di akal.”

MENDAKAP

DENGAN tenang Pak Habib meletakkan telapak tangan kirinya keatas bahu datuk.  Dengan penuh keyakinan datuk mendakap telapak tangan tersebut dan menjatuhkannya ke bawah.  Mereka saling bertukar pandangan saling menyimpulkan sebuah keyakinan.

“Saya mulakan,”  suara Pak Habib bergetar.

Datuk anggukkan kepala.  Setuju.

Setelah membaca beberapa potongan ayat yang dipetik dari Al-Quran. Pak Habib melagakan kedua-dua belah telapak tangannya berkali-kali. Kemudian dihembusnya tiga kali berturut-turut yang disertai dengan membaca Al-fatihah.

Kemuncak dari usaha itu, Pak Habib menepuk tangan hingga melahirkan bunyi yang kuat, macam bunyi senapang kampung berlaras satu.  Sebaik saja bunyi itu hilang, Pak Habib terus menjerit dengan kuat sambil berkata:  AKU MAAFKAN KAMU SEMUA.

Suara ketiga-tiga lelaki jahanam itu terhenti.  Pergerakan anggota mereka yang tadi rancak terus kaku.  Ketiga-tiganya berdiri tegak merenung ke satu arah, macam patung di tugu kebangsaan.

“Sekarang kamu bertiga boleh keluar dari sini.  Kalau susah, datang jumpa aku,”  suara Pak Habib dalam nada yang sederhana tinggi. Anehnya, ketiga-tiga lelaki itu masih ragu-ragu untuk melangkah.

“Silakan, keluar.”

Ketiga-tiganya mengangguk kearah Pak Habib yang memberikan laluan.  Disaat ketiga-tiga manusia jahanam mahu melangkah menuju ke arah lorong kecil yang menuju ke jalanraya datuk segera menghalang.

No comments:

Post a Comment