Dalam suasana yang agak tenang itu,
secara mengejut Zubir menghulurkan tangan kanan pada Pak Jabbar. Dengan pantas
pula Pak Jabbar menyambutnya lalu dipulas ke belakang. Muka Zubir berpeluh dan
mengerang kesakitan. Pak Jabbar melepaskan satu hentakkan dengan siku ke
pangkal pinggang sebelah kanan. Zubir tersungkur atas lantai warung.
Perlahan-lahan Zubir duduk mencangkung dengan membelakangi Pak Jabbar.
“Bersedia,” tanya Pak Jabbar.
“Bersedia.”
“Sakit sedikit, sebab ini
yang terakhir,” kata Pak Jabbar lalu mengambil secawan air sejuk dari dalam
peti kayu hitam yang sejak tadi berada tidak jauh darinya.
“Minum air.”
Zubir mematuhi perintah Pak Jabbar.
“Bersedia Zubir.”
“Sedia,” kata Zubir keras
penuh keyakinan.
Saya dan datuk serta Jamaluddin
tercengang melihat apa yang berlaku didepan mata. Sesungguhnya kami tidak tahu
apakah semuanya sudah dirancang atau berlaku secara kebetulan. Sukar untuk diteka dan mencari jawapannya. Samada suka atau tidak, samada
cemas atau takut, kejadian itu terpaksa disaksikan.
“Ahhh…”
Zubir mengerang menahan kesakitan.
“Sabar,” pujuk Pak Jabbar.
Tiada jawapan dari Zubir, Pak Jabbar
terus menghentakkan penumbuk ke belakang Zubir. Mula-mula secara perlahan-lahan, kemudian bertukar agak kasar dan keras.
“Ahh aduhhhh…”
Suara jeritan Zubir menguasai setiap
inci ruang warung, melepasi sempadan kampung, melepasi setiap liku dan lorong.
Pak Jabbar tukar taktik dari menumbuk kepada menjamah setiap urat sendi.
“Ahhh…”
Untuk sekian kalinya Zubir
menjerit. Pak Jabbar meneruskan tugasnya. Tidak memadai dengan tangan, dia
gunakan kaki. Orang yang lalu dilorong depan warung menganggap jeritan Zubir
sebagai perkara biasa saja.
“Ahhh…”
Zubir tersedak, ada sesuatu yang
terpancut dari mulut dan terus jatuh ke lantai. Dari duduk mencangkung, Zubir
terus terkapar kaku atas lantai. Pak Jabbar ambil segelas air dari peti kayu
hitam lalu dijirus ke badan Zubir. Kaki dan tangan Zubir bergerak.
“Apa rasanya?” tanya Pak
Jabbar.
“Tak sakit,” kata Zubir sambil bangun
dan terus duduk berdepan dengan Pak Jabbar.
“Tangan kanan kamu.”
HULUR TANGAN
Zubir hulurkan tangan kanan
kepada Pak Jabbar. Perlahan-lahan urutan dilakukan oleh Pak Jabbar. Dimulai
dari telapak tangan dan akhirnya ke seluruh badan Zubir dipicit, diurut dan
diramas sesuka hati.
Wajah Zubir yang tadi pucat
lesi, merah dan nampak bertenaga sekali. Pak Jabbar menyuruh Zubir melakukan
senaman anak kucing dan berjalan serta berlari anak dalam warung.
“Duduk.”
Zubir dengar perintah Pak Jabbar.
“Ini peluru terakhir yang keluar dari
rusuk kamu, lepas ini dengan izin Allah kamu tidak berjalan miring lagi.
Semuanya ada dua peluru dalam rusuk kamu, sekarang semuanya sudah aku
keluarkan,” Pak Jabbar menunjukkan peluru yang berhasil dikeluarkan dari tubuh
Zubir.
“Simpan sebagai tanda kenangan.”
Zubir menyambut peluru yang
dihulurkan Pak Jabbar kepadanya dan terus dimasukkan ke dalam sakunya.
“Semoga Allah memperkenankan niat aku
untuk menolong mengurangkan sakit yang sudah lama kau tanggung, kalau tak silap
hampir berbelas tahun,” nada suara Pak Jabbar rendah bsekali. Matanya menatap
sayu wajah Zubir, ada genangan air jernih dikelopak matanta.
“Kita berjuang bersama-sama menentang
golongan komunis, aku yang berada dalam barisan hadapan sepatutnya menjadi
korban peluru tentera yang cuba meleraikan rusuhan. Rupanya takdir Allah
menentukan dan kamu yang berada dibelakang jadi mangsa peluru tentera,” sambung
Pak Jabbar sambil merenung lantai warung.
“Allah juga menentukan
ikhtiar yang kamu lakukan untuk menolong aku dimakbulkan. Menurut doktor pakar,
peluru itu tak dikeluarkan bagi mengelakkan aku lumpuh seluruh badan, kalau
kedua-duanya dikeluarkan aku mati. Inilah kebesaran dan kelebihanNya,” Zubir
bersuara dalam sedu.
Dan kami bertiga melihat
sebuah drama pilu didepan mata. Pak Jabbar dan Zubir berdakapan bersama dengan
iringan tangisan. Dalam tangisan itu mereka menyebut beberapa nama yang
terkorban dalam satu rusuhan besar menentang pengaruh komunis yang mahu
melenyapkan rasa cinta orang Betawi terhadap agama Islam.
Sudah hampir sepuluh minit peristiwa
dakap dan sedu sedan berakhir. Malah masing-masing (Pak Jabbar dan Zubir) sudah kembali duduk dikerusi mereka duduk
tadi. Mereka masih belum bersedia menceritakan agenda ganjil yang dilakukan
didepan kami.
BERLALU
Apakah perkara itu sengaja diatur
sedemikian rupa untuk memberitahu kami betapa hebatnya manusia yang bernama Pak
Jabbar atau peristiwa itu terjadi secara kebetulan.
“Apa yang dilihat tadi, bukan mahu
menunjuk-nunjuk hebat, semuanya cara kebetulan, sebelum Jamaluddin datang
membawa kamu berdua kesini, aku sudah berjanji mahu keluarkan peluru dari badan
Zubir. Bila sampai gerak hati saya untuk melakukannya, mesti disegerakan, tak
kira tempat, tidak boleh lambat seminit pun, juga tak boleh cepat seminit. Pokoknya, mesti tepat pada waktunya, kalau tidak tak akan menjadi,” terang
Pak Jabbar.
Datuk menghela nafas
dalam-dalam, dia faham benar dengan masalah yang diutarakan oleh Pak Jabbar.
“Saya berharap tetamu saya
tak beranggapan hal-hal yang buruk pada saya,” kata-kata itu Pak Jabbar tujukan
kepada datuk.
“Saay faham,” jawab datuk pendek.
“Terima kasih,” Pak Jabbar tenung
bijij mata datuk. Mereka berbalas senyum. Sementara itu, Jamaluddin dan Zubir
sudah pun berada diluar warung. Zubir menceritakan pada Jamaluddin secara
terperinci bagaimana siksanya dia menanggung rasa sakit akibat dari peluru
senapang yang berada dalam tubuhnya.
Saya keluar dari warung lalu
bergabung dengan Zubir dan Jamaluddin. Hanya Pak Jabbar dan datuk saja yang
berada dalam warung.
“Kalau waktu malam, saya tak boleh
tidur, seluruh sendi terasa sakit, macam dicucuk dengan jarum lebih-lebih lagi
kalau waktu malam sejuk. Kalau musim hujan ada pula petir, peluru dalam badan
terasa bergerak-gerak, masa itu aku rasa maut sudah dekat benar dengan aku,”
Zubir bercerita dengan penuh perasaan.
“Macam mana boleh tahu Pak Jabbar
boleh mengubatinya?” Jamaluddin menyoal.
“Aku tak pernah menceritakan padanya,
setelah lima tahun berulang-alik ke hospital, doktor beritahu peluru itu tak
boleh dikeluarkan. Kalau aku mahu selamat mesti disimpan terus,” Zubir berhenti
bercakap kerana diganggu bunyi motor yang lalu dilorong depan warung.
“Perkara ini aku rahsiakan dari
Jabbar, hinggalah pada suatu hari semasa kami berjalan-jalan, tiba-tiba hujan
turun bersama guruh dan petir, kami berteduh dipondok tepi jalan. Jabbar
terkejut melihat muka aku jadi biru dan berguling-guling menahan kesakitan,
masa itulah baru aku buka rahsia dan Jabbar sanggup cuba mengubatinya. Dia
minta aku merahsiakan apa yang dibuatnya padaku,” Zubir menggigit bibir,
kemudian berjalan didepan saya dan Jamaluddin, langkahnya nampak teratur, tidak
terlalu miring ke kanan.
“Enam bulan berurut, sebiji peluru
dapat dikeluarkan, tiga tahun kemudian peluru kedua dikeluarkan macam mana yang
kamu saksikan tadi,” lanjut Zubir dan mengajak kami masuk ke perut warung.
Belum pun sempat kami
melangkah kaki, terdengar suara pekik sorak bersama jeritan minta tolong. Kami
tidak jadi masuk ke dalam warung. Malah datuk dan Pak Jabbar terburu-buru
keluar.
“Suara siapa minta tolong,”
tanya Pak Jabbar pada Zubir sambil matanya merenung ke arah lorong yang
terbentang didepan warung.
“Siapa yang berlari tu?”
muka Jamaluddin nampak cemas.
Semua yang berada disitu
menghalakan biji mata ke arah seorang lelaki yang sedang berlari sambil dikejar
oleh sekumpulan lelaki dengan membawa kayu dan parang. Lelaki yang dikejar itu
menjerit minta tolong dan ampun. Orang ramai mengejar sambil membalingkan kayu
dan batu ke arah lelaki itu.
“Leraikan Zubir.”
Dengan sekelip mata Zubir
hilang dari sisi saya dan Jamaluddin. Dia sudah berada ditengah-tengah lorong
menghalang orang mengejar lelaki yang diburu. Bila saya menoleh ke belakang,
datuk dan Pak Jabbar sudah lesap, sedar-sedar mereka sudah berada dilorong
memegang lelaki yang dikejar oleh kumpulan orang ramai.
“Ayuh kita ke sana, Tamar.”
“Ayuh.”
Saya dan Jamaluddin segera berlari ke
arah kumpulan yang membantah tindakan Zubir menghalang mereka memburu lelaki
yang dipegang oleh datuk dan Pak Jabbar.
“Kenapa dia dikejar?” tanya Zubir keras.
“Pencuri,” jawab
mereka beramai-ramai.
“Apa yang dicurinya?” tanya Zubir
algi.
“Dia mencopet wang saya di pasar
Tanah Abang, saya kejar dia hingga dia lari ke mari. Saya minta tolong orang ramai menangkapnya,” kata lelaki berambut panjang.
“Kami mahu bakar
hidup-hidup,” jawab kumpulan yang sedang marah. Semuanya merenung ke arah anak
muda yang mengeletar ketakutan. Pak Jabbar cuba menenangkan.
“Kamu dari mana?” lembut
Pak Jabbar menyoal.
“Saya asli Jatim,
pak.”
“Kamu yang mencuri wangnya?”
“Iya, pak.”
“Bakar dia, bakar.”
Laungan suara orang ramai bergema.
MEMERIKSA
Pak Jabbar menyuruh Jamaluddin
memeriksa badan anak muda yang mendakwa berasal dari Jawa Timur (Jatim). Sebuah dompet kulit hitam
ditemui dan terus diserahkan kepada Pak Jabbar.
“Siapa yang punya dompet ini.”
“Saya,” jawab seorang lelaki berusia
awal empat puluhan.
“Ambil dan periksa, kalau
duit kamu berkurangan.”
“Terima kasih.”
Lelaki itu mengambil dompet yang
dihulurkan kepadanya oleh Pak Jabbar, terburu-buru dia menghitung wang dalam
dompetnya.
“Ada yang hilang?”
“Tak, semuanya cukup pak,”
kata lelaki itu.
“Sekarang anggap perkara
ini selesai, pulang semua. Kalau ada yang menghukum orang ini, lehernya aku
patahkan,” keras sekali suara Pak Jabbar. Beberapa orang pemuda enggan
berganjak dari tempat berdiri, mereka memprotes keputusan Pak Jabbar.
“Tak boleh dilepaskan
begitu saja, dia harus dihukum dan harus diajar,” seorang anak muda rapat ke
arah Pak Jabbar dengan lagak berani. Beberapa orang kawannya memberikan
semangat untuk menentang Pak Jabbar.
“Eh, kamu siapa mahu
jatuhkan hukum sendiri,” sergah Pak Jabbar dengan wajah serius. Si pemuda itu
tergamam.
“Siapa yang beri kuasa
kepada kamu untuk menghukum orang, sesuka hati mahu bakar orang, kamu fikir
kamu raja disini. Aku bebaskan orang ini, jangan ganggu dia. Kalau tak puas
hati laporkan pada polis, jangan buat undang-undang sendiri.”
“Saya tak puas hati,” jerit
anak muda itu. Dengan pisau ditangan dia cuba menerkam ke arah si pencolek
saku.
“Jangannnnnnnn…” jerit Pak
Jabbar dan terus menerkam ke arah anak muda yang panas baran. Pisau ditangan
anak muda itu dirampas dan diramas hingga darah merah bercucuran dari celah
jari jemarinya.
No comments:
Post a Comment