Saturday, August 31, 2013

SIRI 275 ( VS APR 2004 ) TENGKORAK DI TENGAH JALAN



Semua yang berada di ruang tersebut hanya memperhatikan saja gelagat ayah Shafie. Lima minit masa berlalu, ayah Shafie masih berada dalam keadaan mamai. Pak Habib memberikan isyarat mata pada Jamaludin supaya melakukan sesuatu.
  Dengan segera Jamaludin mendekati ayah Shafie dan terus membisikkan sesuatu di telinga lelaki yang berkening lebat itu. Ayah Shafie mengangguk beberapa kali, malah terus menangis tersedu-sedu. Dia pun minta maaf pada Jamaludin, pada datuk, pada Pak Habib dan semua yang berada di ruang rumah.
  Suasana sekitar dibalut kesayuan tetapi,  deru angin di luar rumah masih terdengar menyentuh dedaun pokok.
  “Saya tak sedar dengan apa yang saya buat. Lubang telinga  diasak dengan suara ghaib memberitahu saya, orang yang mendampingi saya berniat buruk. Mahu menghancurkan rumah tangga saya, anak bini dan jiran-jiran saya. Sebelum kejadian itu berlaku, saya mesti bertindak. Saya buat apa yang suara ghaib itu suruh, “ tersekat-sekat ayah Shafie bersuara. Semua yang berada di ruang rumah berpandangan sama sendiri. Wajah ayah Shafie nampak gusar sekali.
  “Saya menyesal, saya minta maaf,” sambungnya penuh pilu.
  “Sudahlah tu.” Pak Habib memujuk.
  “Sekarang kita uruskan apa yang ada di depan mata kita.” Dengan tenang Jamaludin menujukan kata-kata itu pada Pak Habib.
  “Maksud kamu Din ?”
  “Selesaikan masalah Shafie.”
  “Oh,” Pak Habib tersenyum.
  Kemudian, muka datuk dipandang. Mereka bertentang mata. Masing-masing kerutkan kening, macam ada sesuatu yang bermain di dalam tempurung mereka.
  “Masih ribut lagi,” pendek datuk bersuara.
  Serentak Pak Habib dan Jamaludin mengangguk.
DERU
Memang, di luar bunyi deru ribut tidak juga berhenti. Suara pekikan dan jeritan mangsa ribut terus kedengaran. Sesekali terdengar suara tangisan kanak-kanak. Nyaring dan lantang. Syaitan sedang berpesta untuk memperdayakan penghuni rumah, saya membuat andaian sendiri.
  “Lihat tu.”
  Ibu Shafie bersuara. Jari telunjuknya menuding ke arah daun tingkap yang terdedah. Semua biji mata tertumpu ke arah tingkap tersebut. Buat seketika, semuanya bagaikan terpukau tanpa sebarang kata.
  “Ahhh....”
  Secara spontan dan serentak, semua yang berada di ruang rumah tersebut bersuara dengan sepasang biji mata masing-masing terbeliak.
  Ada kain batik jawa berbau harum, melayang-melayang di muka jendela. Bila kain batik itu hilang dari pandangan, muncul lembaga manusia yang kurang jelas bentuknya. Lembaga itu bertenggek di bendul tingkap dengan membelakangi kami. Bahagian belakangnya nampak menggerutu, macam kulit limau purut.
  Semakin direnung, semakin berani lembaga itu mempamirkan dirinya. Dia memperlihatkan bahagian belakang kepalanya yang berlubang mengeluarkan asap nipis. Bahagian belakang lehernya pula dipenuhi bulu hitam tebal dan kerinting. Beberapa helai bulu tersebut gugur dan melayang-layang menuju ke arah Shafie yang terlentang tidak sedar diri.
  “Ini merbahaya, kalau jatuh atas tubuh Shafie,” kata Pak Habib dengan wajah cemas.
  “Puuuhhhh.”
  Pantas datuk bertindak. Dia hembuskan nafas ke arah bulu hitam yang berterbangan ke arah Shafie. Hembus pertama tidak memberi kesan. Hembus kali kedua mendatangkan hasil.
  Bulu hitam itu berpusing-pusing dan berpatah balik ke arah pemiliknya. Pada saat itu juga terdengar letupan kecil di muka jendela. Lembaga manusia itu terus ghaib. Kawasan sekitar dipenuhi kepulan asap yang berwarna kemerah-merahan untuk beberapa saat sebelum hilang.
NORMAL
Bila kembali normal, semuanya menarik nafas lega. Tetapi, keadaan Shafie tak berubah, masih terkadang pengsan.
  “Nasib baik, kamu tak hilang akal dan cepat bertindak,” Jamaludin renung muka datuk. Tangan kanannya menepuk bahu datuk sebagai tanda tahniah dan terima kasih.
  “Sekarang siapa nak mulakan kerja memulihkan Shafie,” sambil menarik nafas, Jamaludin mengajukan pertanyaan.
  “Iya, pada siapa,” sampuk Pak Habib.
  “Pada hemat saya, orang dari tanah semenanjung,” Jamaludin luahkan pendapat. Sepasang matanya tidak berkedip merenung wajah datuk. Tiada tindak balas positif dari datuk.
  Dia kelihatan bersahaja. Cadangan dari Jamaludin dianggap sepi. Keadaan yang berlaku mendorong Pak Habib mengajukan pertanyaan secara terus terang pada datuk: “Bagaimana sahabat dari semenanjung. “Seperti tadi datuk tidak memberi sebarang reaksi.
  “Jangan begitu sahabat, membisu semacam. Kalau boleh katakan boleh. Kalau tak boleh, katakan tak boleh.” Pak Habib terus mendesak.
  “Maaf,”tutur datuk lembut. “Berlawan dalam bilik tadi, penatnya belum hilang lagi. Saya rasa orang yang sesuai, orang dari Tanah Betawi, barangkali dia lebih arif dari saya. Lagipun negeri ini, negeri dia, “ datuk menolak dengan penuh diplomasi. Jamaludin tersenyum sambil memperkemaskan silanya, macam sila seorang hulubalang di zaman silam.
  “Ilmu batin saya tak sebanyak mana, ilmu agama pun pula tak setampuk pinang. Jadi biarlah awak yang menyelesaikannya.” Ibu jari Janaludin menunjuk ke arah datuk.
  “Baiklah,” Pak Habib toleh ke arah datuk dan Jamaludin, kemudian dia bergerak ke depan. Belum pun sempat saya menggaru rasa gatal di kening, Pak Habib sudah menangkap pergelangan kaki kiri Shafie.
PICIT
Dengan penuh tenaga Pak Habib memicit urat-urat di kaki Shafie. Ditumbuk berkali-kali. Dari kaki kiri, jari-jemarinya bergerak dan merayap ke seluruh tubuh Shafie. Bila bertemu dengan urat-urat yang dicari terus ditekan dan disentap. Setiap kali urat disentap, ditarik, tubuh Shafie bergerak, macam ayam baru lepas disembelih menemui ajal.
  “Urut seluruh badan,” tanya datuk berbisik.
  Pak Habib anggukkan kepala.
  “Dah habis urat 44 disentuh,” datang lagi pertanyaan dari datuk.
  “Belum,” pendek jawab Pak Habib.
  “Perlukan bantuan, cakap saja.”
  “Biar saya selesaikan sendiri,” suara Pak Habib penuh yakin. Datuk pun tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Cuma melihat saja apa yang Pak Habib lakukan pada tubuh Shafie.
  Kerana tidak ada gangguan, Pak Habib dapat melakukan kerja dengan penuh perhatian dan khusyuk. Sepasang kelopak matanya kelihatan separuh rapat. Gerak jarinya terus lancar.
  “Allah, Allah, Allah.”
  Tiga kali Shafie menyebut nama Allah. Tiga kali juga Pak Habib menjentik dan menarik ibu jari kaki kirinya. Setelah itu, Pak Habib mendekatkan mulutnya ke telinga kanan Shafie sambil melaungkan azan. Sebaik saja azan diberhentikan, semua yang berada di dalam rumah terhoyong-hayang mengikut gerak rumah.
  “Apa dah jadi.”
  Itulah ucapan serentak dari bibir penghuni rumah. Agak lama juga rumah bergegar. Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu. Berkali-kali Jamaludin cuba bangun. Berkali-kali dia jatuh tergolek. Dia tidak putus asa, terus cuba bangun. Akhirnya dia dapat bangun setelah berpaut pada tiang seri.
AZAN
Tanpa membuang masa, Jamaludin terus melaungkan azan dengan lantang dan jelas. Rumah yang bergoyang terus berhenti. Belum pun laungan azan habis, kelihatan sebelah kaki besar yang berbulu (yang saya lihat semasa dalam bilik misteri) bergerak menuju ke arah tingkap di mana lembaga mempamirkan belakangnya sebentar tadi.
  Kaki besar berbulu melangkahi bendul tingkap dan terus hilang. Suara angin ribut dan pekikan orang minta tolong terus ghaib entah ke mana. Keadaan terasa agak sunyi. Semuanya terpegun dalam suasana yang menyeramkan. Suasana seram dan sepi itu akhirnya dipecahkan oleh bunyi salakan anjing liar sayup di pinggir kampung.
  “Bertenang tak ada apa yang mesti kita takutkan,” Jamaludin bersuara. Ayah dan ibu Shafie terus membisu. Sepasang mata mereka masih menyorot ke arah Shafie yang  terkapar di lantai.
  “Iya, tak ada apa yang mesti kita takutkan,” Pak Habib mengulangi kata-kata yang baru dituturkan oleh Jamaludin sebentar tadi. Saya lihat datuk anggukkan kepala. Setuju dengan Jamaludin dan Pak Habib.
  “Dia sudah pergi, diharapkan tak akan datang lagi. Selepas ini kamu berdua kena kumpulkan 44 orang untuk baca surah Yassin selama seminggu di rumah ini.” Pak Habib renung muka ayah dan ibu Shafie silih berganti.
  “Boleh kamu buat?” Cara mengejut Jamaludin ajukan pertanyaan pada ayah Shafie.
  “Boleh, kami boleh buat,” Ibu Shafie memberikan jawapan. Datuk dan Jamaludin menarik nafas lega. Seiring dengan itu, Shafie sedar dari pengsan yang panjang.
  “Subhanallah,” itu yang terucap dari mulutnya. Shafie terus bangun dan sandarkan badan ke dinding. Semua muka yang berada di rumah ditatapnya satu-persatu. Tanpa silu-silu dia menghadiahkan senyum pada semua yang ada di situ.
DIRI
Tanpa diminta oleh sesiapa pun, Shafie memberitahu yang dirinya terasa amat letih sekali, setelah bertarung dengan sekumpulan manusia berkepala anjing di kawasan tanah yang berbatu keras. Kumpulan itu mahu menjadikan dia anggota kumpulan tersebut, mahu menukarkan muka dan kepalanya menjadi kepala anjing seperti anggota itu.
  Pak Habib dan orang-orang yang berada di ruang rumah tersenyum. Semua tahu, apa yang berlaku dan dialami oleh Shafie.


No comments:

Post a Comment