Friday, August 31, 2012

SIRI 233 DUGAAN PERJALANAN

 Si dreber tumpukan perhatian kepada tugas. Kereta terus meluncur laju membelah jalanraya. Macam tadi juga, datuk dan Syed Hamid Al-Hadad masih rancak berbual.

Bila diamat-amati topik perbualan mereka lebih banyak menekankan pada akidah, tarikat. Disamping itu, mereka juga mencuit persoalan penyelewengan dalam akidah yang secara tidak disedari atau disengajakan oleh orang-orang yang dalam dan tinggi pengetahuan agamanya.

“Zeeeekkkkk..........”

Empat tayar kereta terhenti berputar secara mengejut. Semua yang ada kereta terangkat punggung dan tersengguk ke depan. Kaki dreber melekat ke pedal berek. Kedudukan badan kereta berubah 45 darjah ke bahu jalan.

“Maafkan saya Pak.”

Dreber menoleh ke belakang. Renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-duanya kelihatan terpinga-pinga sambil membetulkan duduk yang sudah berubah.

“Gajah melintas Pak, saya terpaksa berek.”

“Tak apa. Syukur pada Allah kita semua selamat,” ucap Syed Al-Hadad.

Empat ekor gajah berdiri di depan kereta.

Salah seekor dari gajah itu, paling besar dengan sepasang gading yang tajam. Panjangnya dianggarkan lebih dari tiga kaki. Sambil bertempik gajah tersebut menjatuhkan belalainya atas bonet kereta. Semua yang ada dalam kereta kecut perut.

“Tenang, jangan bising dan jangan bunyikan hon kereta,” ujar datuk perlahan.

Arahannya segera dipatuhi. Kami saling berpandangan penuh dengan kebimbangan. Dari atas bonet depan belalai gajah yang lembut bergerak ke atas bumbung kereta. Bila kaki depannya digeselkan kebadan kereta, seluruh kereta bergegar. Kami bergerak ke kiri dan ke kanan mengikuti gerak kereta yang digesel kaki gajah.

Lebih dari lima belas minit kami mematikan diri. Entah kenapa tidak ada sebuah kereta yang melintas ketka itu.

Mungkin para pemandu yang selalu menggunakan jalan raya tersebut sudah tahu, ketika kami melalui jalan tersebut, adalah ketika dan saat binatang liar melintasi jalan. Beralih tempat mencari rezeki di seberang jalan. Mungkin apa yang berlaku itu adalah secara kebetulan.

Dalam saat yang serba mencemaskan itu, gajah besar terus bertempik, dengan sekuat-kuatnya. Gajah-gajah yang lain segera mendekatinya lalu mengelilingi kenderaan kami. Tidak ada apa yang dapat dilihat kecuali kaki gajah yang hitam menutup pandangan. Kami pasrah kepada Allah.

Perlahan-lahan saya gerakkan kepala. Menoleh ke arah datuk dan pandangan kami bersambung. Sepasang bibir terasa bergerak-gerak lemah. Tetapi tidak ada sepatah kata terlontar dari mulut.

Dan datuk yang mengerti gelodak batin segera meletakkan telapak tangan kiri ke atas bahu.

“TenangTamar.”

“Tapi saya takut.”

“Mohon pertolongan dari Allah dengan ayat-ayat Quran yang aku bekalkan kepada kamu,” lembut nada suara datuk. Penuh diplomasi membangunkan sebuah keyakinan diri dalam kalbu.

Saya menggangguk dan renungan kembali pada posisi asal. Merenung cermin kereta dan kumpulan gajah liar yang masih belum berganjak. Dari celah-celah kaki gajah, gumpalan awan putih yang bergerak di dada langit, masih boleh dilihat.

KABUL

Doa kami berempat yang sengsara dalam perut kereta diperkenankan oleh Allah. Gajah besar terus bertempik, seolah-olah mengeluarkan sebuah arahan.

Beberapa detik berikutnya kumpulan gajah itu, seekor demi seekor bergerak ke arah yang ditunjukkan oleh belalai gajah besar.

Saya dan pemandu menarik nafas kelegaan. Pandangan tidak lagi dihalang oleh kaki dan badan kumpulan gajah liar. Gajah besar membawa anak buahnya memasuki hutan di kaki sebuah bukit. Barangkali di situ kaya dengan pokok bayas yang lembut umbutnya di sampingnya pisang hutan yang tumbuh merata-rata.

“Allah hu Akbar,” balas datuk.

Saya dan pemandu berbalas senyum. Wajah yang sebentar tadi cemas semacam, segera bertukar menjadi ceria. Penuh semangat dan keyakinan yang cukup tinggi. Si pemandu besedia meneruskan tugas yang terganggu.

“Bagaimana perasaan kamu? Sudah aman?” Syed Hamid Al-Hadad menatap wajah pemandunya yang berdahi luas.

“Sudah aman Pak.”

“Kalau begitu, teruskan perjalanan. Kalau lambat nanti kita senja di perjalanan. Lagi pun kawasan ini bukan kawasan aman. Banyak orang jahat.”

“Maksud tuan Syed?” secara spontan datuk bertanya.

“Kenderaan yang lalu di sini selalu dirompak. Kadang-kadang dibunuh dan mayat dibuang dalam hutan untuk makanan binatang buas.”

“Oh, begitu,” ada keresahan dihati datuk.

Sambil menarik nafas, kiri kanan jalan direnungnya. Apa yang dilihatnya ialah pokok besar yang berdiri kukuh. Entah mengapa secara tiba-tiba saya terasa seram.

“Kenapa masih belum bergerak?”

Syed Hamid Al-Hadad mencuit bahu pemandunya.

“Saya kira bapak ada urusan lagi.”

“Urusan apa? Tak ada urusan. Ayuh, sekarang jalan.”

“Baik pak”

Kereta kembalii bergerak. Mula-mula perlahan-lahan kemudian beransur laju dan terus laju. Meninggalkan pepokok, bukit bukau di belakang. Suasana di jalanan terasa agak lengang, kenderaan tidak serancak tadi. Samada yang ke Medan atau sebaliknya. Langit masih cerah. Awan juga bergerak lemah. Tetapi matahari kian condong ke barat.

Pemandu di sebelah tetap hati-hati dan teliti mengemudi kenderaan yang dikendalikan. Matanya tajam merenung dada jalan, sesekali dia menoleh ke arah kiri dan kanan jalan.

Macam ada sesuatu yang diawasinya. Dua tiga buah kenderaan berat memotong, tidak memberikan peluang kepada kenderaan kami untuk menyelit di tengah.

Secara berbisisk, pemandu memberitahu kenderaan berat yang membawa barangan dari kota raya Medan, akan bergerak secara konvoi, tidak bersendirian. Tujuan untuk keselamatan pemandu dan barang yang dibawa. Penjahat jalanan tidak akan merompak kenderaan barang yang bergerak secara berkumpulan.

Atas alasan keselamatan, pemandu kenderaan berat tidak mahu terpisah antara satu sama lain dalam jarak yang jauh. Mereka juga tidak mahu di antara jarak tersebut ada kenderaan lain menyelit.

Kerana kenderaan ang menyelit di tengah-tengah itu belum pasti penumpang atau pemandunya orang baik-baik. Siapa tahu, kalau penjahat jalanan menyamar jadi orang baik-baik untuk merompak.

“Di jalanraya ini, macam-macam boleh jadi. Orang yang nampak baik, raut muka macam orang berpelajaran , belum tentu baik. Orang yang nampak kasar dan muka macam mahu makan orang, belum tentu jahat. Pendek kata para pemandu di sini diselubungi misteri. Jadi, saya harus berhati-hati dan beringat. Salah perhitungan celaka badan,” bisik si pemandu, antara jelas dengan tidak.

OTAK

Sikap si pemandu memberitahu secara berbisik menimbulkan berbagai-bagai persoalan dalam otak. Kenapa dia tidak mahu menerangkan secara terbuka. Kenapa mesti bisik-bisik? Mungkin dia berbuat demikian kerana tidak mahu perkara tersebut sampai ke pengetahuan Syed Hamid Al-Hadad dan datuk.

Bila perkara yang tidak menyenangkan itu diketahui oleh kedua-dua orang tua yang duduk di belakang, macam-macam masalah boleh timbul. Setidak tidaknya perasaan mereka tidak akan aman. Sentiasa diburu keresahan dan rasa takut.

Dan hati kecil saya membuat kesimpulan, bahawa pemandu di sebelah saya ini termasuk istilah pemandu misteri yang disebut pada saya sebentar tadi.

“Uhhh........”

Sebuah keluhan tanpa sebab terhambur dari mulut. Ada jelingan tajam dari pemandu untuk saya. Serentak dengan jelingan itu, ada sekilas senyum pendek beralun di kelopak bibirnya. Barangkali senyum sindiran.

Dan boleh juga jadi senyum simpati. Macam-macam andaian timbul akibat senyum. Tidak salah, kalau saya mengkategorikan pemandu di kanan saya termasuk dalam golongan pemandu seribu kemungkinan.

Sesungguhnya, bermula dari bisikan, telatah dan senyum tang dipamirkan oleh si pemandu, menghimpunkan sejuta keresahan, ketakutan dan kecemasan yang memanjang dalam rongga dada. Tetapi, mujurlah apa yang memuak di rongga dada dapat dikawal dan ditenteramkan. Terutama bila melihat si pemandu memaut stering kereta seerat mungkin. Kereta terus meluncur laju.

Sinar matahari petang kian redup. Bila kenderaan melalui jalan yang di kiri kanannya ditumbuhi pepohon besar dan berdaun lebat, terasa agak gelap. Suasana begini tidak menganggu datuk dan Syed Hamid Al-Hadad yang duduk tersandar di kusyen belakang dan berborak.

Sesekali terdengar suara mereka bercakap, Biasanya, percakapan itu tidak berlangsung lama, hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian masing-masing membisu. Bercakap lagi untuk beberapa minit. Membisu lagi, begitulah silih berganti.

Dan tekanan nada suara bila bercakap cukup rendah sekali. Sukar untuk dikesan tentang perkara yang mereka perkatakan.

Sebuah lori datang meluru dari arah belakang sambil membunyikan hon dengan kuat, minta laluan. Sungguh tidak sopan pemandu lori itu. Sambil memotong dia terus menhimpit lorinya ke arah kereta yang kami naik. Pemandu sebelah saya jadi kelam kabut dan terus menekan berek serta memandu kereta ke tepi jalan.

“Sial.....’

Itu yang terkeluar dari mulut pemandu. Mukanya merah menahan kemarahan. Lori yang memotong lesap dari pandangan. Syed Hamid Al-Hadad dan datuk tidak memberi sebarang komen.

“Sial, dia memang manusia syaitan laknat,” terhambur lagi ungkapan dari rahang mulut pemandu. Api kemarahannya masih belum menurun.

“Jangan maki hamun orang macam itu. Itu bukan amalan orang yang berhati mulia,” Datuk cuba memberikan ketenangan.

“Habis macam mana saya tak marah. Dia menghimpit kereta kita. Dia mahu membunuh kita semua. Dia ingat dia seorang saja mahu hidup,” ledakan kemarahan terus diluahkan oleh si pemandu.

‘Kita mengalah saja, beri laluan kepadanya.” Syed Hamid Al-Hadad memberikan sebuah pandangan.

Si pemandu yang dadanya masih bersarang dengan api kemarahan terdiam. Dua tiga kali dia menelan air liur sambil menggosok pangkal hidungnya berkali-kali.

“Maafkan saya, memang saya tak boleh tahan dengan perangai biadabnya,” si pemandu renung muka Syed Hamid Al-Hadad dan batuk berkali-kali.

“Lupakan .”

Serentak datuk dan Syed Hamid Al-Hadad bersuara. Si pemandu yang api kemarahannya beransur reda mengangguk. Dan enjin kereta yang mati dihidupkan kembali.

TENANG

Dengan tenang setering kereta dipulas ke kanan. Empat tayar kereta yang terbabas ke dalam rumput di gigi jalan berjaya dinaikkan ke atas dada jalanraya.

Seterusnya kereta kembali bergerak lancar. Tetapi, rasa kemarahan masih belum padam seratuds peratus dari dalam hati pemandu di sebelah saya.

Buktinya, dapat dikesan dari mulutnya yang kumat-kamit. Saya kira dia masih memaki hamun, menyumpah seranah pemandu lori kecil yang tidak senonoh. Cuaca petang, kian redup. Matahari makin condong kebarat. Pada hemat saya, tidak sampai dua jam lagi, matahari akan terbenam di kaki langit. Perjalanan seterusnya di rasa cukup selesa.

“Pengalaman kereta dihimpit dan dilanggar orang dari belakang, atau terbalik dalam gaung, memang sudah saya rasakan. Tetapi, pengalaman....” Syed Hamid Al-Hadad yang memulakan percakapan dengan datuk, tidak meneruskannya.

“Kenapa berheni,” datuk mendesak.

”Saya rasa kurang sopan, kalau saya meneruskan.”

“Demi persahabatan ini, anda harus meneruskan.”

Sepasang anak mata hitam datuk tertampar kewajah Syed Hamid Al-Hadad mengangguk tanda setuju.

“Ini pengalaman pertama saya berdepan dengan gangguan gajah liar di jalanraya. Semangat saya terasa melayang. Sebelum ini, awak pernah mengalaminya?, “ jujur sekali Syed Hamid Al-Hadad memnyampaikan apa yang ada di dalam hatinya.

Datuk tidak memberikan tindak balas yang positif terhadap pertanyaan yang diajukan.

Memang ada rasa sedikit kehampaan di hati Syed Hamid Al-Hadad. Dia tidak berputus asa dan terus mengajukan pertanyaan yang sama.

“Pernah,:” balas datuk pendek.

“Mencemaskan?”

“Kali pertama memang mencemaskan. Bila masuk kali kedua dan ketiga, kurang sikit rasa takutnya.”

“Bagaimana kalau perkara macam ini berlaku masa depan.”

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah, janganlah perkara itu berlaku lagi,” tegas datuk.

“Saya pun harap begitu,” kata Syed Hamid Al- Hadad. Kedua-duanya ketawa kecil penuh dengan kemesraan dan kekeluargaan.

Saya dan pemandu yang mendengar dialog antara Syed Hamid Al-Hadad dengan datuk turut tersenyum.

Memang melucukan . Sepatutnya mereka bercakap atau berbual hal-hal yang lebih besar dari itu. Agaknya perkara itu sengaja dilakukan sebagai sebuah pelarian untuk menhilangkan rasa bosan atau takut tentang sesuatu yang bakal berlaku. Dan cara kebetulan pula, kotaraya Medan masih jauh lagi.

“Ada motor mengekori kita dari belakang,” kata pemandu sambil merenung cermin kecil di depannya. Saya anggukkan kepala dan menganggap kehadiran sebuah motosikal yang dinaiki dua insan memakai jaket hitam adalah perkara biasa.

Makin lama, motosikal itu makin dekat dengan kereta yang kami naiki. Malah jaraknya tidak sampai 50 meter. Tidak dapat dipastikan darimana motosikal yang ditunggang oleh dua insan itu mengekori kereta kami. Saya yakin, motosikal itu muncul setelah kenderaan kami melepasi selekoh tajam.

Kehadiran motosikal dengan dua insan berjaket hitam itu turut disedari oleh Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Kedua-dua orang tua tersebut bagaikan tidak kisah. Meskipun sekali sekala Syed Hamid Al-Hadad menoleh ke belakang.

KEJUT

“Tamar,” mengejut saja pemandu bersuara.

“Kenapa?.”

“Motosikal misteri dan orangnya dah hilang.”

“Kau jangan bergurau.”

“Aku tak bergurau, kau tengok ikut cermin tepi.”

Syur pemandu segera saya patuhi. Memang, dia tidak bergurau.

Motosikal yang ditunggangi oleh dua insan berjaket hitam hilang entah kemana. Dan ini mengukuhkan lagi andaian saya bahawa mereka tidak mengekori kenderaan yang kami naiki.

“Kemana mereka menghilang,” pemandu bertanya.

“Pulang ke rumah, hari dah nak malam,” jawap saya bergurau, pemandu tersenyum. Minyak kereta terus ditekan, walaupun ketika itu, kereta sedangmenuruni kawasan berbukit.

“Kurangkan laju, kamu memandu menuruni bukit dan di depan ada dua selekoh merbahaya,’ tegur Syed Hamid Al-Hadad.

Dengan serta merta jarum meter menurun dari 120km sejam kepada 70km sejam. Saya menegakkan ibu jari kanan. Pemandu yang mengerti dengan maksud saya tersenyum.

“Kau nakal,” katanya sambil menolak tangan saya, Dalam kesuraman sinar matahari petang, sayup-sayup terlihat orang berdiri di tepi jalan sambil mengangkat tangan menahan kenderaan yang lalu. Makin lama, makin jelas bentuk tubuh orang yang berdiri itu. Seorang lelaki separuh baya memakai kemeja lengan panjang berjalur hitam putih. Seluarnya berwarna kelabu taik anjing.

“Berhenti dan bantu dia.” Arahan dari Syed Hamo\id Al-Hadad kepada pemandunya.

Entah kenapa hati saya berdebar. Datuk tidak memberi sebarang komen. Air mukanya membayangkan rasa bimbang.

“Kita tak kenal dia,” kata pemandu.

“Itu bukan soal, dia manusia memerlukan bantuan. Bantu dia.” Syed Hamid Al-Hadad terus berkeras. Pemandu anggukkan kepala. Patuh pada perrintah majikan. Kira-kira dalam jarak tiga tiang telepon, mahu sampai ke tempat orang yang berdiri di tepi jalan, si pemandu memperlahankan kereta yang dipandunya.

“Hati-hati,” terdesak suara datuk dalam nada resah

“Terima kasih atas ingatan saudara, saya yakin dia orang yang memerlukan bantuan. Boleh jadi orang susah,” balas Syed Hamid Al-Hadad. Saya mengigit bibir sementara pemandu menarik nafas dalam-dalam. Tidak tahu apa yang difikirkannya.

Menyedari kereta yang kami naiki, semakin lama semakin perlahan dan menghampirinya. Orang yang di tepi jalan kian kerap menurun naikkan tangannya. Malah, dia bergerak ke tangah jalan sambil menghalakan wajah dan dadanya ke arah kereta. Tidak takut dengan kemalangan yangmenanti seandainya si pemandu bertukar fikiran dari menekan berek kepada pedal minyak.

Orang ini ada muslihat tertentu, fikir saya dalam hati, Barangkali pemandu juga berfikiran demikian. Itulah sebabnya, dia agak keberatan mematuhi arahan Syed Hamid Al- Hadad tadi. Datuk juga tidak berkecuali, buktinya dia turut mengingatkan pemilik kereta supaya berhati-hati.

Sebaik saja kereta berhenti dan enjin dimatikan. Tergesa-gesa Syed Hamid Al-Hadad memuka pintu kereta dan terus keluar.

Lelaki yang berdiri di tengah jalan segera menerpa ke arahnya menghulurkan tangan untuk bersalaman. Di saat kedua-dua telapak tangan untuk bersalaman, lelaki itu berpusing lalu menyambar pergelangan Syed Hamid Al-Hadad.

Dengan sekelip mata, tangan Syed Hamid Al-Hadad dikilasnya ke belakang. Serentak dengan itu satu tendangan padu dilepaskan kerusuk Syed Hamid Al-Hadad. Lelaki berdarah Arab Melayu itu jatuh tersungkur di bumi dan mengerang kesakitan.

Saya dan pemandu tergamam. Tidak tahu apa yang harus dlakukan. Datuk juga demikian. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan matanya.


Thursday, August 30, 2012

SIRI 232 HARUAN BESARKAN KEMALUAN



 Selain berguru dengan pamannya, Din Pawang Manis juga menuntut ilmu dunia hingga ke Siam, India dan Kemboja. Kepandaian dan kebolehannya sudah mengatasi kehebatan gurunya.

Dia boleh membesarkan serta memanjangkan alat kelamin kaum sejenisnya. Ada tiga cara dilakukan bagi melaksanakan maksud tersebut. Cara pertama urut. Kedua picit dibahagian tertentu. Kalau cara itu tidak berkesan, cara ketiga ialah memanfaatkan ikan haruan paya.

Katanya ilmu itu dikutipnya dari hasil pergaulan dengan penduduk asli di perbatasan Thailand-Kemboja. Malah dia mengakui telah memperaktikkan ilmu tersebut untuk dirinya.

Saudara Tamar,

Sungguh melucukan bila Din Pawang Manis menyatakan, sebelum menggunakan ikan haruan paya alat kelaminnya cuma 7 sentimeter. Tetapi, setelah memanfaatkan dengan sebaik mungkin khasiat haruan paya alat kelaminnya menjadi 13 sentimeter serta bertambah besar dan garang.

Dengan murah hati dia memberitahu ada empat tahap penting untuk membesarkan alat kelamin atau kejantanan dengan haruan paya. Saya perturunkan untuk pengetahuan anda. Bukan menyuruh anda melakukannya, sekadar untuk suka-suka. Tetapi kalau anda mahu suka melakukannya saya tidak menghalang. Asalkan, risikonya anda tanggong sendiri.

Begini petuanya atau caranya saudara Tamar:

· Ukur alat kelamin semasa “mati” dan “hidup” (tegang). Ukuran itu dicatatkan dalam buku peribadi.

· Pergi ke kawasan berpaya atau redang yang banyak terdapat ikan haruan. Pancing sendiri ikan haruan yang beratnya 1 kg atau lebih. Gunakan umpan anak katak, belalang, sarang kerengga dan sebagainya.

· Lakukan secara tertutup atau rahsia. Andainya tidak boleh meminta bantuan orang yang memang ahli memancing untuk mendapatkan ikan haruan yang baik.

· Sebaik sahaja memperolehi ikan tersebut samada siang atau malam, pegang kepala ikan haruan dengan kemas dan pukulkan kepada alat kelamin hingga ia bertindak balas. Bawa ikan haruan itu balik ke rumah dan masukkan kedalam baldi yang bersih. Paling elok dalam kolah (kolam) yang sederhana besarnya tetapi bersih.

· Pelihara ikan itu selama sebulan, setiap tengah malam ambil lendir haruan di kolah dan lumurkan ke bahagian alat kelamin yang sensitif. Biarkan selama sepuluh minit, kemudian basuh atau bilas dengan air panas (suam).

· Setelah cukup sebulan, ikan haruan itu dicekik dan dipanggang dan dimakan begitu sahaja tanpa nasi. Mesti dimakan habis kecuali bahagian kepala dan ekor.

· Setelah makan ikan haruan, sediakan seperempat madu tulin dari hutan bersama dua biji telur itik. Perkara itu dilakukan setiap hari selama sebulan selepas maghrib.

· Setiap setengah malam sapukan alat kelamin dengan krim minyak kelapa yang dicampur dengan bunga kenanga satu piring sambil ditarik perlahan-lahan kedepan hingga terasa sakit.

Itulah yang diceritakan pada saya Tamar. Apakah anda berminat? Sesungguhnya saya tidak berminat dalam hal hal begini. Ada lagi kisah yang lucu dan tidak masuk akal.

BOTOL

 Di rumahnya terdapat berbotol-botol minyak cenuai, berbelas-belas cula buaya dan cula tupai mati beragan di samping mani gajah liar yang sudah di awetkan. Di simpan dalam beberapa gelas kecil. Soalnya apakah benda-benda yang di simpan-nya itu memang betul atau sebaliknya.

Tamar yang baik hati,

Barangkali memang sudah ditakdirkan, mungkin juga kerana perbuatan dan amalannya tidak direstui Allah hidupnya nampak tidak bahagia. Walaupun rumahnya dikunjungi ramai, minta ubat itu ini, minta tangkal dan azimat.

Setiap orang yang minta khidmatnya  dikenakan bayaran yang agak tinggi. Pendapatannya boleh dikatakan kasar juga. Tetapi dia kelihatan seperti kesempitan saja. Barangkali rezeki yang diperolehinya tidak diberkati oleh Allah.

Memang tidak ada sesiapa yang menduga, (terutama orang-orang yang taksub dengannya), Din Pawang Manis menemui ajal dalam keadaan yang sungguh mengerikan. Rumahnya dipanah petir waktu subuh. Terbakar hangus dan mayatnya rentung tidak dapat dikenali langsung.

Seminggu selepas kematiannya, seorang wanita mencari Din Pawang Manis. Anita muda berusia awal empat puluhan itu tergamam dan hampir hysteria bila melihat kesan kebakaran rumah orang yang disanjung, dihormati dan dianggap sebagai keramat hidup.

Tujuan wanita dari Kuala Perlis menemui Din Pawang Manis untuk membuang susuk yang dipasang oleh Din Pawang Manis ke tubuhnya. Ada beberapa sebab kenapa wanita berkulit putih, berdarah campuran Cina-Melayu itu mahu membuang susuk emas yang dipakainya.

Pertama, setelah dia mendengar nasihat seorang lebai kampung yang perbuatannya itu bertentangan dengan ajaran agama. Kedua dia tidak tahan dipulaukan oleh saudara mara sebelah suaminya sebaik saja mereka mengetahui yang dia memakai susuk.

Akibat kematian Din Pawang Manis, cita-cita dan hasrat si wanita itu tidak terlaksana. Rasa bersalah mengundang tekanan perasaan yang tidak dapat dikawal. Siwanita itu jatuh sakit . Sebulan lebih terlantar di rumah, puas berubat secara moden dan tradisional, namunnya penyakitnya tidak juga sembuh. Alah bertambah berat.

Masuk hari ke 35 wanita berkulit putih menemui ajalnya dengan cara yang sungguh  aneh sekali. Semasa nyawanya mahu berpisah dengan jasad, si wanita itu mengalami satu keadaan yang sungguh menakutkan. Dia mengerang dan merintih sayu sambil menyebut nama Din Pawang Manis dengan berkata “TUK GURU, BANTULAH AKU” berulang kali.

Walaupun diajar mengucap dua kalimah syahadat oleh keluarga terdekat, dia tetap menyebut nama Din Pawang Manis. Setiap kali nama orang yang disanjungnya disebutnya dia terus mengaru-garu kulit pipi kiri dan kanan hingga mengelupas.

Wanita itu juga menjerit–jerit sambil menghentak-hentak sepasang tumit kakinya ke atas lantai.

Enam orang menjaganya, dua orang menunggu di muka pintu bilik manakala dua orang berada di bahagian kepala dan dua orang lagi berada di hujung kakinya. Wanita yang secara tiba-tiba mempunyai kekuatan luar biasa itu, berusaha untuk pergi ke arah matahari terbit, iaitu arah kedudukan bekas rumah Din Pawang Manis.

Setiap kali dia berjaya bangun , saudara mara wanita tersebut terpaksa menangkap dan memasanya baring semula di katil.  Kedua dua kaki dan tangan terpaksa dipegang dengan kuat. Malah, pernah diikat dengan tali belati. Sekali imbas, memang kejam kelihatannya. Apakan daya hal itu terpaksa dilakukan oleh keluarga.

JERIT

Dalam keadaan menjerit sambil menyebut nama orang yang disanjung, dia menghembuskan nafas yang terakhir. Matanya terbeliak, lidahnya separuh terjelir. Wajahnya segera berubah menjadi hitam legam, sungguh hodoh sekali.

Beberapa keping logam yang halus macam serbuk kopi, berkilat serta bercahaya keluar dari lapisan kulit mukanya. Bila jatuh atas lantai bertukar menjadi air yang jernih macam air embun yang akhirnya hilang entah kemana.

Paling mengejutkan, semasa jenazahnya dimandikan mengeluarkan bau busuk. Kulit mukanya relai. Ketika jenazahnya diusung ke tanah perkuburan, orang yang mengusungnya terasa amat berat sekali. Malah, ada diantara mereka mengalami sakit bahu berminggu-minggu.

Saudara Tamar,

Itulah kisah duka saat kematian orang yang memakai susuk untuk kelihatan muda dan manis.

Anda juga harus tahu tentang Din Pawang Manis . Beberapa orang melintasi kawasan rumahnya yang terbakar akibat dipanah petir, terlihat lembaga menyerupai Din Pawang Manis berjalan disitu selama tujuh senja.

Saudara Tamar,

Kalau umur dipanjangkan Allah, ada rezeki pula, saya akan datang ke Tanah Semenanjung untuk mencari bekas anak-anak murid paman saya yang sudah salah langkah.

Bagaimana kalau saya ajak anda membatu sama? Tentu anda tidak keberatan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, memang sudah menjadi tanggung jawap saya untuk membetulkan mereka.

Kalau dulu paman membawa mereka ke arah jalan yang salah. Sekarang dengan bantuan saudara, biarlah saya membawa mereka ke jalan yang betul dan benar. Rasanya, tidak begitu sempurna Islam saya, kalau membiarkan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama berlaku dan berleluasa di sekeliling kita.

Anda tentu bersetuju jika saya katakan bahawa kita yang tahu serba sedikit tentang ilmu agama, harus bertindak secara diplomasi membetulkan mereka. Saya tidak marah, kalau anda menolak pelawaan ini. Tetapi, saya berazam untuk membasmi perbuatan yang tidak menguntungkan ini, perbuatan yang merugikan agama dan bangsa sendiri. Sesungguhnya saya ingin sekali datang ke kampung halaman saudara . Saya mahu melihat sungai, gunung dan hutan rimba. Selebihnya, saya mahu berkenalan dengan ahli agama di tempat anda untuk menambahkan ilmu.

Sekian dulu Tamar, bila kita bertemu wajah, banyak kisah mahu saya bentang untuk anda. Maaf kalau ada terkasar bahasa.  Lagi sekali terima kasih untuk anda dan sampaikan salam pada datukmu. Kalau tidak ada halangan, bulan depan saya mahu turun ke Medan mahu berjumpa Syed Hamid Al-Hadad.

JARAK

Anda telah membaca surat yang ditulis oleh Ali Usman kepada saya. Tetapi anda tidak tahu apakah rentetan peristiwa yang saya alami semasa dalam perjalanan pulang dari rumah orang tua Ali Usman menuju ke kota Medan, pada petang itu.

Kira-kira dalam jarak seribu kilometre meninggalkan halaman rumah keluarga Ali Usman. Cara mengejut Syed Hamid Al-Hadad menyuruh pemandunya memberhentikan kereta. Saya dan datuk yang duduk dibahagian belakang berpandangan sama sendiri. Penuh dengan tanda tanya.

Beberapa orang pemandu kenderaan berat dan ringan yang lalu di situ, samaada menuju ke Pengkalan Beranda atau Kota Medan merenung ke arah kami. Ada yang membunyikan hon  sambil memperlahankan kenderaan. Mereka bersedia memberi bantuan, andainya kami mengahdapi masaalah.

“Kenapa Pak? Perlukan pertolongan ,” Tanya mereka.

‘Tidak ada apa-apa sengaja berhenti,” terang pemandu Syed Hamid Al-Hadad dengan senyum. Mereka membalas dengan lambaian tangan sambil membunyikan hon  tanda terima kasih.

Syed Hamid Al-Hadad terus membuka pintu kenderaan dan keluar. Begitu juga dengan datuk. Si pemandu nampak tenang dan bersahaja, seolah-olah tahu apa yang bakal dilakukan oleh majikannya.

“Saya nak keluar,”

“Jangan Tamar,” tahan pemandu kenderaan.

“Kenapa saya tidak boleh, kenapa mereka boleh,” saya memprotes.

“Mereka ada urusan dan jangan diganggu.”

“Hum...............” saya menedengus.

“Tutup Tamar.”

Pintu kereta yang terbuka separuh segera saya rapatkan kembali. Dalam masa yang sama saya toleh ke arah Syed Hamid Al-Hadad dan datuk. Ternyata mereka sedang membincangkan sesuatu. Nampaknya, mereka cukup serius.

DEBAR

Syed Hamid  Al-Hadad melangkah tenang ke arah saya. Sudah tentu hati kecil ini berdebar semacam. Tetapi, debar di hati tidak lama, bila saya lihat datuk mengekorinya di belakang. Kerana memikirkan datuk akan kembali duduk di tempat asalnya, pintu kereta segera saya buka dengan seluas-luasnya.

Satu perhitungan yang salah. Ternyata datuk tidak bersedia untuk masuk. Dia berdiri tercegat di situ sambil merenung ke arah saya. Lagi sekali hati berdebar cemas.

“Tamar.”

Segera mengengsot punggong di kusyen menghampirinya.

“Ada apa tuk?”

“Kita tukar tempat.”

“Tukar tempat?” saya kehairanan.

 

“Iya, kamu duduk di depan kawankan drebar. Aku dengan Tuan Syed Hamid duduk di belakang.

“Kenapa tuk?”

“Eh, budak ni banyak pula tanyanya. Jangan banyak cakap. Ikut cakap orang.” begitu keras sekali nada suara datuk. Sepasang anak matanya merenung ke wajah saya.

Bagaikan kura-kura saya mengesot ke bucu tempat duduk dan terus keluar dari perut kereta. Si pemandu hanya tersenyum melihat telatah saya. Syed Hamid Al-Hadad, tidak meluahkan sebarang komentar. Dia cuma memerhatikannya dengan tenang.

“Bukan apa-apa Tamar,” lembut tutur Syed Hamid Al-Hadad, “bila kami duduk satu kusyen banyak cerita yang mahu kami ceritakan. Tak payahlah kami kerap menoleh ke belakang, sakit tengkok dibuatnya, saya harap kamu tak marah dengan tindakan ini.”

Saya hanya mengangguk dalam senyum.

“Kamu tak marah,” ulangnya lagi.

“Tidak, Tuan Syed,” pendek saya menjawap.

TAPAK

Tiga tapak saya melangkah ke depan, berdiri dekat pintu sebelah dreber yang ternganga. Datuk dan Syed Hamid Al-Hadad berbalas senyum. Saya kira, masing-masing mempunyai andaian tersendiri tentang diri saya.

“Masuk,”  pelawa drebar.

Saya masih tegak kaku. Masih berfikir, wajarkah saya duduk.

“Masuk Tamar,” drebar memukul kusyen kereta beberapa kali .
“Masuk saja, jangan banyak fikir,” desaknya lagi.

Wajah drebar direnung sejenak. Bagaikan ada desakan tersembunyi di kalbu menyuruh saya masuk. Beberapa saat berikutnya, punggung pun berlabuh atas kusyen empuk.

“Biarkan mereka dengan cerita mereka Tamar.”

“Maksud kamu?”

Untuk kesekian kalinya muka drebar saya tatap. Dia menghadiahkan sebuah senyum bersahaja untuk saya. Tetapi, membawa yang tajam.

“Maksudnya mudah saja Tamar. Orang tua sesuai bercakap dengan orang tua. Biarkan, agaknya mereka mahu bernostalgia tentang zaman muda yang dilalui. Cakap mereka tak sesuai untuk kamu dan aku.,” bisik drebar kecuping telinga saya.

“Jalan.”Syed Hamid Al-Hadad memberikan arahan pada pemandu kenderaannya. Si pemandu yang setia anggukkan kepala.

Empat tayar kereta yang melekat dipermukaan jalan raya mula berputar. Mula-mula perlahan-lahan kemudian bertukar pantas dan kereta pun segera bergerak. Dan keadaan langit ketika itu cukup aneh.

Sepasang anak mata yang amat mencintai alam semula jadi, segera menangkap pepucuk dan dedaun yang bergerak lembut mengikut gerak bayu yang bertiup lembut. Pepokok besar yang tinggi menjulang dengan dahan dan ranting kukuh. Tegak berdiri di kiri kanan jalan raya. Satu pemandangan yang sungguh menyenangkan. 

Ada  kumpulan monyet liar melintas dengan bebas di jalan raya. Mereka tidakmemperdulikan kenderaan lalu lalang di situ. Bila sampai diseberang jalan, kumpulan monyet tersebut segera memanjat batang pokok dan bergayut di dahan untuk meneruskan perjalanan selanjutnya.

Dalam deru kereta yang agak keras itu, saya masih dapat mendengar bunyi  kicauan burung dan jeritan unggas lain.

Gegendang telinga masih dapat mendengar suara datuk dan Syed Hamid Al-Hadad tingkah meningkah. Sesekali mereka ketawa. Dan saya tidak ambil kisah dengan apa yang mereka bualkan. Saya kira, pemandu di sebelah juga bersikap seperti saya. Kami berkecuali.

“Kamu pernah dengar harimau mengaum Tamar..”

“Pernah.”

“Suara gajah bertempik? Pernah kamu dengar.”

Pertanyaan kedua yang dikemukakan oleh drebar membuat saya mengkedutkan dahi . memang saya pernah mendengar suara tempikan gajah. Tetapi soalnya wajarkah saya memberitahu drebar Syed Hamid Al-Hadad perkara tersebut?

“Tak pernah,” kata saya berdalih.

Si drebar menjeling tajam. Cepat-cepat saya alihkan wajah ke kanan. Saya ttidak mahu anak mata saya dengan anak matanya bertembung.

“Kamu nak tengok gajah dan harimau?”

Saya gelengkan kepala. Si drebar terus mengendalikan kenderaan dengan tenang. Anak mata masih lagi merenung ke arah kiri kanan jalan raya. Kenderaan sedang mendaki laluan berbukit. Bebunga hutan yang berjuntaian di reranting, di lereng bukit nampak indah dan cantik sekali.

“Kamu takut harimau dan gajah.”

Pertanyaan dari drebar tidak saya jawab. Tindakan saya itu mematikan hasratnya untuk memajukan pertanyaan selanjutnya.