Friday, August 30, 2013

SIRI 238 TERJEGIL BIJI MATA

Bila melihat keadaan tersebut, saya jadi serba salah. Bimbang kalau lelaki berdarah dahi bertindak ganas. Melakukan perkara yang tidak diduga. Jadi dalam menghadapi suasana begini, harus bersikap tenang dan sabar.

“Masaalah besar Tamar,” keras suara si pemandu.

“Kenapa tidak berada di tempat kamu?”saya pula bertanya.

‘’Aku bimbangkan kamu Tamar.”

“Kalau begitu, kamu hati-hati, jangan dekati dia, nanti kau terima akibatnya. Berdiri jauh darinya. Lihat saja apa yang berlaku, jangan banyak tanya dan soal,” saya memberika arahan.

“Baiklah, Tamar.”

Satu akuan yang sungguh menyenangkan hati.

Buat beberapa ketika, saya termenung. Mencari akal dan helah untuk berdepan dengan lelaki berdarah dahi  yang semakin garang mengaum macam harimau.

“Aku mahu menolong kamu, mahu membebaskan diri kamu dari sumpah,” kata saya pada lelaki berdarah dahi. Matanya, yang garang dan bersinar macam mata harimau dihalakan kepada saya. Andainya dia melakukan satu lompatan yang agak tinggi kearah saya, pasti seluruh kulit tubuh saya dikoyak-koyaknya

Dan kali ini, saya mempunyai peluang yang baik kerana berada dari sebelah kiri. Dan dari arah tersebut saya mula mengacah. Lelaki berdarah dahi sudah memusingkan tubuhnya dengan pantas. Dia hilang pertimbangan badan, lalu terlayah dan jatuh terlentang. Kesempatan ini saya gunakan dengan sebaik mungkin, Dengan sekali lompat saya sudah berada di sisinya, sedangkan dia pada saat itu terkial-kial  mahu bangun. Tanpa membuang masa kayu bercabang dua terus dibenamkan kebahagian perut atas pusatnya.

GHAIB

Bila kayu itu mahu dicabut semula, seperti ada tenaga ghaib menarik dari dalam. Terpaksa bertarung untuk beberapa saat. Usaha saya gagal. Dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi bahawa kayu bercabang dua itu boleh dicabut. Saya terus berusaha dan berusaha. Kali ini, tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran, sebaliknya menggunakan serapah jampi dan mentera sesuai seperti apa yang diajar oleh Mia pada saya dulu.

“Manusia yang memang bukan dari keturunan manusia harimau tetapi, mahu menjelma jadi manusia harimau boleh ditewaskan dengan mantera dan petua,” secara mendadak saja, saya teringat cakap Mia.

Ternyata Mia tidak berbohong. Setelah jampi serapah dibaca, segala-galanya menjadi mudah. Kayu bercabang dua yang terbenam di perut lelaki berdarah dahi dapat dicabut dengan mudah sekali. Saya kembali melompat ke tempat mula-mula melompat tadi.

Andainya lambat melompat, bencana besar mungkin dihadapi. Terutama, bila kuku di jarinya dapat mencakar kulit tubuh saya.

Episod seterusnya, lelaki berdarah dahi terus menjerit dan berguling-guling di tanah. Dia menahan rasa sakit yang amat sangat. Merangkak macam harimau sambil meneran dan mengaum. Kemudian, terus terbujur kaku, cuma kaki dan tangannya saja yang bergerak-gerak. Keadaan itu berlansung tidak lama. Kira-kira sepuluh minit saja. Akhir terus kaku dan keras

“Kamu bunuh dia Tamar?”

Jawapan yang diberikan kepada pertanyaan si pemandu, saya jawap dengan mengeleng-ngelengkan kepala. Si pemandu jadi cemas. Lebih-lebih lagi bila saya terus duduk di tanah. Dirinya, tidak saya pedulikan. Sikap bengis terus diperlihatkan. Perlahan-lahan dia menjauhkan diri dari saya. Mungkin dia terfikir saya dalam proses untuk menjadi harimau jadi-jadian.

TIDUR

Hari sudah beransur gelap. Bunyi beburung yang pulang kepohon untuk tidur, boleh dikatakan tidak kedengaran langsung. Begitu juga dengan deru kereta.

Pada hemat saya satu daripada masalah hampir selesai. Tetapi, masalah datuk dan Syed Hamid Al-Hadad masih belum diketahui. Tidak tahu bagaimana nasib untung mereka.

“Bagaimana Tamar? Kita tinggalkan dia disini?”

“Tidak.”

“Habis apa yang mesti kita buat? Kamu tahu, kita harus membantu tuan Syed Hamid dan datuk kamu.”

“Aku tahu.”

“Kalau tahu, kenapa masih di sini.”

“Kita tunggu dia pulih seperti asal. Kita memerlukan dia.”

“Tapi dia sudah mati,”

“Sudahlah, kamu jangan  banyak cakap,” saya mula meninggikan suara. Si pemandu terus tersentap, wajahnya masam dan mendengus marah. Ranting kayu di depanya terus disepak dengan sekuat hati.

Bila saya lihat perasaan si pemandu sudah tenang  dan boleh senyum. Dengan penuh sopan saya suruh dia berdiri agak jauh dari sisi saya. Dan saya pula beralih tempat , berdiri di bawah pokok, tidak jauh dari pokok senduduk putih.

Memang ada usaha dari si pemandu untuk bertanya, kenapa saya mengeluarkan arahan tersebut. Tetapi, usaha itu tidak di teruskan, bila dia melihat saya termenung macam memikirkan sesuatu.

“Hisssss.......”

Terdengar bunyi berdesir dari arah belakang. Dengan pantas saya menoleh dan melompat ke kiri lalu mengatur langkah (silat) sambil membongkok mengambil sepotong kayu yang panjangnya kira-kira empat kaki.

Pada perkiraan saya, bunyi berdesir itu, pasti seekor ular tedung. Puas dilihat dan diperhatikan, tidak nampak satu apa pun.

“Hisssss............”

Datang lagi bunyi itu, tetapi kali ini dari sebelah kiri. Dedaun dari pepokok renik di situ kelihatan bergoyang, macam dirempuh sesuatu. Kerana tidak dapat mengesan objek sebenar, saya memutuskan tidak mahu memikirkannya. Buat apa pening kepala, kerana bunyi tersebut. Saya buat keputusan.

Aneh, dalam saat-saat demikian saya seperti dapat mengesan ada objek berdiri di depan saya. Tetapi, tidak dapat dilihat dengan jelas. Benda itu bergerak bebas, menyentuh bahu dan meraba pipi saya berkali-kali. Semuanya, membuat saya bingung dan cemas semacam.

“Siapa kamu?” kata saya.

Lengan kanan saya terasa disentuh sesuatu. Dingin dan bulu roma mula tegak berdiri, bila benda yang menyentuh lengan bergerak ke pangkal tengkuk dan telinga.

“Kalau kamu berniat baik, lihatkan diri kamu,” saya mengajukan permintaan. Bersedia menghadapi apa saja , andainya objek yang tidak kelihatan itu mempamirkan dirinya yang sebenar.

“Ehemmmmm.........”

Saya tumpukan perhatian ke arah suara tersebut. Ada bebayang orang tua yang pernah hadir dimata kalbu, ketika saya bertafakur beberapa jam tadi.

Orang itu tersenyum sambil menegakkan ibu jari kanannya. Kemunculannya hanya beberapa saat saja. Sebelum bebayangnya hilang, terasa ada tangan dingin menyentuh pipi kiri.

Saya terus membuat andaian sendiri. Bila orang itu menegakkan ibu jarinnya, menandakan usaha yag saya lakukan itu sudah berhasil.

Sentuhan tangannya, mengambarkan hubungan saya dengannya akan berterusan. Sentuhan di telinga menyatakan, supaya mendengar sesuatu yang baik.

Bunyi berdesir dua kali menyarankan, bila mahu menemuinya mesti memberikan tanda dan alamat tertentu. Ertinya, saya harus bertafakur dan bermeditasi terlebih dahulu. Tetapi, sehingga kisah ini ditulis belum pernah sekalipun saya menghubunginya.

“Hai........”

Dengan pantas saya merenung ke arah suara yang datang. Lelaki berdarah dahi melambai-lambaikan tangan. Rasanya tidak percaya dengan apa yang dilihat. Dua tiga kali kelopak mata digosok. Si pemandu terus mendekati saya.

“Dia datang Tamar,” bisiknya.

“Siapa?”

“Musuh yang berkuku harimau, kita dalam bahaya, Tamar.”

“Bertenang, pastikan dulu betulkah dia atau orang lain,” kata saya.

“Betul Tamar, aku tak bohong,” ucap si pemandu dengan wajah yang serius. Saya segera menarik nafas dalam-dalam.  Si pemandu memang nampak resah sekali. Matanya tidak berkedip merenung ke arah lelaki berdarah dahi yang melangkah tenang ke arah saya.

“Bagaimana Tamar?”

“Kita tunggu, tengok apa yang mahu dibuatnya.”

“Gila kamu,” keluh si pemandu.

Ternyata dia tidak gembira dengan cara saya. Tetapi, masih setia berdiri di sisi.

TANGAN

Dan akhirnya, lelaki berdarah dahi berdiri betul-betul di depan saya dan si pemandu. Dia menghulurkan sepasang tangan ke arah kami.

“Tengok semuanya sudah kembali seperti asal,” nada suaranya riang sekali. Saya dan si pemandu berpandangan.

“Lihat ini,” lelaki berdarah dahi memperlihatkan kuku dijejari kakinya sebagai bukti yang dirinya bebas dari sebarang pengaruh buruk. Lelaki itu membuka langkah silat dan menari-nari di depan kami.

“Terima kasih kerana kamu dapat menghalang diri aku dari menjadi sekerat manusia dan sekerat harimau, kalau kamu tak tolong tak tahulah nak cakap” sepasang matanya menatap wajah saya buat beberapa ketika, sebelum berpindah ke wajah si pemandu. Saya tidak memberikan sebarang pendapat terhadap kata-kata yang diluahkannya

Lelaki berdarah dahi yang sudah pulih dari pengaruh sihir terus bercerita, semasa kuku jari kaki dan tangannya bertukar menjadi kuku harimau, dia mengalami rasa sakit yang kuat. Begitu juga bila bahagian tubuhya ditumbuhi bulu harimau. Malah, dia melihat diri  saya dan pemandu bukan sebagai sahabat tetapi, sebagai musuh yang sentiasa mahu menjahanamkan dirinya.

Katanya, “ semasa dirinya melalui proses  pemulihan dari pengaruh sihir, dia terasa seluruh tubuhnya melayang-layang di angkasa dan jatuh ke laut yang amat dalam. Bahagian tengah perutnya ditikam oleh batu karang yang tajam menyebabkan dirinya tidak bermaya.

Dari tubuhnya keluar segumpal cahaya lalu menguakkan air laut hingga dirinya muncul di permukaan.

Dari permukaan laut cahaya itu menjulang ke udara dalam bentuk tengkorak harimau. Gumpalan cahaya itu berpatah balik ke arahnya lalu mengangkat tubuhnya dari permukaan laut. Diusung di angkasa sebelun dicampakkan ke dalam gaung berbatu pejal. Seluruh tubuhnya berkecai tetapi, bercantum balik.

Tubuh yang sudah bercantum itu segera diangkat oleh dua lelaki dan dihumbankan ke dalam lubang yang sudah digali. Ketika dihempas itulah dia merasai sakit yang amat sangat. Dia menjerit dan mengerang menahan rasa sakit.

“Pada masa itulah aku terdengar suara bisikan dua kalimah syahadat dan aku terus mengikutinya dengan sekuat hati. Mata aku terbuka degan sendirinya. Dan aku terus mengucap, masa mengucap itu jugalah terasa kuku dijari kaki dan tangan tercabut satu persatu,” lelaki berdarah dahi berhenti bercerita dan terus merenung kuku-kuku di jari tangan dan kaki.

Secara sembunyi-sembunyi si pemandu menjeling ke arah tangan dan kaki lelaki berdarah dahi, diperhatikan juga bahagian lengan yang berbulu macam bulu harimau. Pergelangan buku lali kaki hingga ke belakang kaki juga ditelitinya. Di situ juga tidak terdapat tumpukan bulu harimau.

Bila aku lihat dan raba, semuanya sudah berubah, jadi macam biasa. Aku panggil nama kamu berkali-kali tapi tak ada jawapan,” sambung lelaki berdarah dahi. Anak matanya, terpanah tajam ke wajah saya. Perlahan-lahan saya anggukkan kepala.

BIBIR

“Bila tidak ada jawapan aku terus cari kamu berdua. Rupa-rupanya kamu berdua ada di sini. Aku tak bohong , lihatlah, lihatlah..........” lelaki berdarah dahi terus menayangkan jari-jemari tangan dan kakinya kepada saya dan si pemandu.

“Syukurlah, kamu sudah selamat,” tutur si pemandu bersahaja.

“Iya, aku bersyukur,” balas lelaki berdarah dahi sambil mengawasi keadaan sekeliling.

“Tunggu sebentar di sini, jangan ke mana-mana.”

Selesai berkata demikian, lelaki berdarah dahi terus meninggalkan kami yang saling berpandangan dengan seribu pertanyaan.

Dia menuju ke arah bibir jalanraya. Beberapa detik berikutnya dia pun hilang dari pandangan kami.

“Kemana dia nak pergi Tamar?”

“Entah,” jawab saya sambil gelengkan kepala. Sebenarnya jati kecil saya juga bertanya demikian. Bezanya, si pemandu meluahkannya, sedangkan saya tidak, sekadar berlegar-legar dalam hati saja.

Kepergian lelaki berdarah dahi tanpa mahu menerangkan tujuan menimbulkan berbagai reaksi dalam diri saya dan si pemandu. Mungkin ini satu taktik untuk melepaskan diri dari saya dan si pemandu.

Mungkin dia sudah pun menyusun satu strategi yang rapi untuk memerangkap kami. Bermacam-macam andaian timbul dalam dada. Timbul rasa kesal dalam diri kerana tidak cuba menahannya, agar jangan pergi.

Si pemandu bergerak ke kiri, ke kanan di depan saya. Nampaknya, apa yang dibuat serba tidak menjadi. Sekejap berdiri di depan, sekejap berdiri di belakang saya. Ada ketikanya, dia mematahkan reranting dari pepokok renik di sisinya tanpa tujuan. Ternyata fikirannya bercelaru sekali.

Dalam kesibukan si pemandu melayani perasaannya yang tidak keruan itu, saya renung ke arah di mana lelaki berdarah dahi yang menghilangkan diri. Harapan saya cuma satu saja, semoga lelaki berdarah dahi segera muncul dan kembali bersatu dengan kami.

“Haa.....itu dia datang,” saya kegirangan.

Lelaki berdarah dahi berlari ke arah kami.

“Dia ada bawa barang, Tamar.”

MENGESAN

Si pemandu yang tajam penglihatannya dapat mengesan apa yang dibawa oleh lelaki yang berdarah dahi. Dan saya tumpukan seluruh perhatian ke arah lelaki tersebut sambil mengamati apa yang dibawanya.

“Dia bawa besi dan bungkusan plastik,” itu komen saya.

Si pemandu yang resah mula mengigit bibir, mengkedutkan dahi. Bagaikan ada masalah yang bersarang dalam hatinya.

“Hiss.....”

Dia mendengus marah sambil mengenggam penumbuk.

“Bertenang sahabat,” tutur saya lembut.

“Kita dalam bahaya, kita mesti berjaga-jaga Tamar.”

“Bertenanglah,” saya cuba menyejukkan hatinya yang mula panas.

“Orang celaka ni, tak habis habis susah pada kita, aku bunuh saja manusia celaka ni, bentak si pemandu. Kemarahannya sudah tidak dapat dikawal lagi.

Si pemandu terus genggam penumbuk dan bersedia menyambut sebarang cabaran dari lelaki berdarah dahi. Saya terfikir, kalau berlaku pertengkaran yang membawa pada pergaduhan, kerugian akan berada di pihak saya dan si pemandu.

Lelaki berdarah dahi kain hampir. Hati terus berdebar-debar. Si pemandu sudah pun menyusun strategi. Dan pada hemat saya, sebaik saja lelaki berdarah dahi menghampirinya, dia akan melakukan serangan mengejut. Mudah-mudahan, tidak akan terjadi perkelahian di sini. Hati kecil saya memanjatkan doa pada Allah.

Lelaki berdarah dahi tidak tahu apa yang ada dalam kepala si pemandu, terus melangkah dengan tenang mendekati kami. Si pemandu nampak resah tidak menentu. Debaran di hati bertambah kencang. Dalam usaha menenangkan perasaan itu saya terus berselawat dan mengucap dua kalimah syahadat sekerap mungkin.

“Nanti.”

Jeritan saya mematikan langkah si pemandu  yang mahu menerkam ke arah lelaki berdarah dahi. Jeritan itu juga menyebabkan langkah lelaki berdarah dahi mendekati si pemandu terus mati.

“Kenapa Tamar?” Si pemandu meledakkan kemarahannya.

“Kena tanya apa yang dibawanya dulu.”

“Hisss.....” si pemandu terus mendengus sambil menghentakkan kakinya ke tanah. Mukanya nampak merah, menahan kemarahan. Lelaki berdarah dahi terpinga-pinga dengan apa yang dilihatnya.

“Ada apa-apa masalah ?”

Lelaki berdarah dahi renung muka saya dengan seribu kesangsian dan pertanyaan. Si pemandu yang sudah dapat mengawal perasaannya terus menguis-nguis rumput di kaki.

“Ada apa-apa masalah?” Ulang lelaki berdarah dahi.

“Kami nak tahu apa yang kamu bawa?” saya bertanya.

“Oh itu,” lelaki berdarah dahi tersenyum.

MESRA

Sungguh diluar jangkaan, huluran tangan lelaki berdarah dahi disambut penuh mesra oleh si pemandu. Sebelum lelaki berdarah dahi hulurkan tangan, saya bertindak terlebih dahulu menghulurkan tangan padanya.

“Kamu nak tahu apa yang aku bawa?”

“Tentu ,” sahut saya penuh keyakinan.

“Kita kena ke sana dulu,” jari telunjuk lelaki berdarah dahi mengarah ke pangkal perdu pokok besar. Kami segera berangkat ke situ.

Lelaki berdarh dahi pun segera menikam guni plastik hitam dengan sebatang kayu. Dari plastik yang terkoyak keluar butir-butir pasir hitam yang kelihatan berkilat.

“Apa bendanya ni?”

Saya hadapkan wajah ke muka lelaki berdarah dahi. Dia tetap tenang dan tersenyum, Kemudian terus duduk bertinggung menghadapi karung plastik hitam. Sepasang telapak tangannya meramas-ramas pasir hitam yang berkilat.

“Kamu berdua tak tahu, apa bendanya ini?” satu keadaaan yang sungguh melucukan. Sepatutnya dia menjawap pertanaan yang saya ajukan dahulu, sebelum dia menyoal kami. Akibatnya, saya dan si pemandu termangu mangu.

“Kamu berdua tak tahu apa bendanya ini?” ulangnya selamba.

“Tak tahu.” Jawap kami serentak.

 “Kamu berdua kurang pengetahuan, benda yang macam pasir hitam ni, tahi bijih namanya,” tekanan nada suaranya bagaikan menyindir. Dengan serta merta dia berhenti dari meramas-ramas pasir hitam.

Sebatang besi bulat sebesar ibu jari kaki yang panjangnya kira-kira empat kaki, berada tidak jauh dari guni plastik hitam segera diambil. Ditimbangnya beberapa kali sebelum dipacakkan ke permukaan bumi.

“Besi apa tu?” Tanya pemandu.

“Inilah besi pacak bumi, “ jawab lelaki berdarah dahi.

“Apa gunanya?’ Saya bertanya.

“Banyak khasiatnya, tetapi kita mestilah tahu menggunakannya. Barang-barang ini digunakan oleh musuh untuk melemahkan Syed Hamid Al Hadad dan datuk kamu,” jujur benar lelaki berdarah dahi memberikan penjelasan. Saya dan pemandu bertukar pandangan.


No comments:

Post a Comment