Monday, July 30, 2012

SIRI 231 : PAWANG 99 ISTERI


 
 Sayup-sayup terdengar suara menyebut nama saya dan Ali Usman.  Bila saya mengerakkan kepala dan menoleh ke kiri dan ke kanan, ternyata kami berada di pangkal pokok angsana, berdahan besar dan berdaun lebat.

Ayah Ali Usman, Syed Hamid Al-Hadad dan orang-orang kampung mengelilingi kami.  Malah beberapa orang daripada mereka cuba mengangkat tubuh kami ke tempat yang lebih selamat dan selesa.

“Hampir satu jam kami menunggu.  Kamu bertiga tidak juga balik-balik.  Aku ajak orang-orang kampung mencari ke rumah tua ni.  Sebaik saja kami sampai di halaman rumah terdengar letupan, kami nampak kamu berdua tercampak keluar dari rumah,” Ayah Ali Usman memberi penjelasan dan diakui oleh orang kampung yang berada di situ.

“Datuk kamu di mana?” Tanya Syed Hamid Al-Hadad.

“Entah, tadi kami bertiga berada di dalam rumah,” jelas saya.

“Api”

Jerit lelaki yang berdiri di sebelah kanan pokok angsana.  Semua bji mata tertumpu ke arah rumah lama milik raja susuk.  Api terus menjilat bahagian depan rumah dengan rakus sekali.  Asap hitam tebal, kelihatan menuju ke dada langit.

Beberapa letupan kecil turut kedengaran.  Pokok besar yang selama ini gagah melindungi rumah raja susuk turut dijamah api.  Binatang-binatang liar yang selama ini berkeliaran di dahan pokok besar, di bumbung rumah dan kaki tangga hilang entah ke mana.

“Datuk kamu di mana?” Tanya Syed Hamid Al-Hadad lagi.

“Dalam rumah”

“Subhanallah,” sahut Syed Hamid Al-Hadad sambil menepuk dahi.

Semua wajah di situ nampak cemas. Malah ada yang cuba mahu masuk ke dalam rumah yang terbakar.  Tetapi, segera dihalang oleh Syed Hamid Al-Hadad.

“Kita berdoa, semoga dia selamat,” cadangan dari Ali Usman diterima dengan sebulat suara.  Semua yang berada di situ segera berdoa.

Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu.  Rasa sedih, hampa dan putus asa berbaur dalam hati.  Mahu rasanya, saya rempuh api yang menyala.  Mahu rasanya saya menjerit.  Syukur, apa yang difikirkan tidak pula terjadi.  Saya masih dapat mengawal perasaan.  Surrah ALAM NASRAH tidak lekang dibibir, tidak terpisah dari hati saya.

Allah yang maha penyayang dan pengasih menerima doa orang kampung.  Dalam api yang menyala ganas bersama kepulan asap tebal, kelihatan datuk melangkah tenang mendatangi ke arah Ayah Ali Usman dan Syed Hamid Al-Hadad.  Mereka berdakapan.  Pakaian datuk tidak dijamah api.

“Kamu hebat.”

Ayah Ali Usman menatap tubuh datuk dari kepala hingga ke kaki.  Syed Hamid Al-Hadad tidak memberikan sebarang komentar.  Berkali-kali dia mengucap syukur pada Allah kerana datuk selamat.

“Apa ilmu kamu,” Ayah Ali Usman seperti mendesak.

“Semuanya atas kemahuan Allah.  Sebagai hambanya, aku berusaha dan berdoa.  Alhamdulillah doa aku diperkenankan oleh Allah dan aku selamat.  Sebagai orang Islam tempat paling baik meminta pertolongan ialah Allah yang Maha Besar.  Dalam meminta pertolongan itu kita mesti berusaha dan berdoa, melakukan apa yang disuruh dan membuang apa yang ditegah,” secara tidak langsung datuk memberikan ceramah.

Semua yang berada di situ anggukkan kepala.  Mereka sependapat dengan saranan datuk itu.

KERAS

Dalam tempoh tidak sampai satu jam.  Rumah besar milik raja susuk punah ranah menjadi abu.  Kecuali tiang, tegak tiga yang dibuat dari kayu keras.  Tetapi, bahagian bucunya nampak hitam dan mengeluarkan asap nipis.  Beberapa patung dari tembaga bergelimpangan.  Tidak ada sesiapa pun yang berminat untuk mengambilnya.

Berdasarkan pada keterangan dari ayah Ali Usman. Memang tidak lama kami berada di dalam rumah raja susuk yang sudah menjadi debu itu.  Namun dugaan demi dugaan yang dialami menyebabkan kami terasa seperti berada lebih dari lima jam dalam rumah tersebut.

Ketika kami dan orang-orang kampung meninggalkan kawasan rumah raja susuk yang terbakar.  Api sudah padam sama sekali.  Hanya bara saja yang masih menyala.  Sekejap garang, sekejap malap, mengikut irama tiupan angin yang berlegar di situ.

TAUBAT

“Tamar, rasanya kehebatan dan kemasyhuran bapa saudara aku sudah habis.  Aku bersyukur kerana dapat menyedarkannya, membimbingnya.  Dia sempat bertaubat sebelum mati,” kata Ali Usman kepada saya, di saat mahu berangkat ke Kota Medan.

“Sebenarnya, masih belum selesai lagi Ali,” secara mendadak datuk campur.

“Maksudnya?.” Soal Ali Usman.

“Fikirkan sendiri,” datuk menjawab.

Ali Usman termenung sejenak.  Anak matanya merenung ke wajah datuk.  Dua tiga kali Ali Usman menggosok-gosok pangkal hidungnya.  Ternyata dia masih belum dapat menyelami maksud ungkapan kata dari datuk.

“Saya tak faham.” Ali Usman mengaku kalah.

“Maksud aku begini Ali, anak-anak murid bapa saudara kamu masih ramai, berselerak di tanah semenanjung, di Sumatera dan tanah Jawa.  Barangkali ada di antara anak-anak muridnya itu lebih handal, lebih hebat darinya.  Boleh jadi mereka menambahkan lagi amalan ilmu susuk dari ilmu dari Siam, Tibet dan macam-macam lagi.  Kemudian mereka campur adukkan dengan ayat-ayat Quraan.”

“Betul juga.  Ini masalah besar, bukan mudah mengatasinya,” keluh Ali Usman.  Syed Hamid Al-Hadad yang dapat menangkap perbualan antara datuk dengan Ali Usman hanya anggukkan kepala.

Ayah Ali Usman bersama sekumpulan orang kampung berborak kosong dekat tangga rumah.  Mereka seolah-olah tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku antara datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan Ali Usman.  Barangkali, mereka masih memperkatakan tentang diri datuk yang dapat menyelamatkan diri dalam kebakaran.

“Perkara begini bukan mudah diatasi.  Banyak cubaan dan rintangannya,” Ali Usman mengulangi keluhannya.  Datuk meraba pangkal hidungnya.  Syed Hamid Al-Hadad segera mendekati Ali Usman.

“Berikhtiar dulu, jangan banyak mengeluh sebelum berjuang.  Kita yang tahu harus menunjukkan jalan yang betul pada orang Islam yang sudah tersalah langkah.  Kalau kita biarkan, kita berdosa,” Syed Hamid Al-Hadad menepuk lembut bahu kiri Ali Usman.

“Saya setuju dengan pendapat tuan Syed,” datuk mencelah.  Mereka bertukar senyum.  Ali Usman menarik nafas.

TUBUH

Angin yang bertiup mengerakkan hujung rambut Ali Usman.  Beberapa orang kampung yang berkumpul di kaki tangga mula berpecah.  Masing-masing dengan tujuan tersendiri.  Hembusan angin membuat tubuh terasa sejuk.

“Membenteras perbuatan begini memang susah.  Tapi kalau ada keyakinan boleh berhasil,” Syed Hamid Al-Hadad memulakan percakapan yang sudah terhenti.

“Pada hemat aku, semakin maju cara manusia berfikir, semakin kuat perkara tahyul, syirik berlaku.  Sebabnya dalam kemajuan dunia moden, manusia selalunya lupa pada asas agama.” Dengan teratur Syed Hamid Al-Hadad menyusun kata.

“Mereka mengutamakan kebendaan dan kemajuan dunia.  Mereka lupa pada hal-hal kerohanian.  Kemajuan pembangunan dan fikiran yang tidak berlandaskan hukum agama akan membawa manusia kembali kepada perkara-perkara yang karut, tahyul hingga terkeluar dari akidah agama,” sambung Syed Hamid Al-Hadad lagi.  Datuk setuju dengan pendapat itu.  Tetapi, Ali Usman tidak memberikan sebarang komen.

Dua tiga kali Ali Usman berlegar-legar di depan datuk, Syed Hamid Al-Hadad dan saya, macam ada sesuatu yang difikirkannya.  Tiba-tiba Ali Usman berhenti menjawab.  Dia mendonggakkan kepala merenung ke langit, melihat awan yang berarak lembut seketika.  Ali Usman cuba mencari ketenangan mengikut caranya sendiri.

“Ali, apa masalah kamu?”.  Tanya datuk.

Dengan langkah yang pantas dia menuju ke sisi datuk.  Telapak tangan datuk disambarnya dan digenggam dengan erat.

“Dengan ilmu yang sedikit ini, perkara itu tidak akan berulang lagi di sini.  Kalau panjang umur dan ada rezeki, saya cari anak-anak murid bapa saudara saya di semenanjung atau mana saja,” satu ikrar dari Ali Usman, bekas pelajar salah sebuah pusat pengajian tinggi di Arab Saudi.

“Mudah-mudahan Allah memberkati cita-cita kamu,” serentak Syed Hamid Al-Hadad dan datuk berkata.  Ali Usman melepaskan telapak tangan datuk yang digenggamnya.  Dia beralih kearah Syed Hamid Al-Hadad lalu memeluknya.

Perbuatan mereka bertiga menarik perhatian ayah Ali Usman dan orang-orang kampung.  Mereka segera mendekatinya.

“Berpeluk kerana mahu berpisah, kami nak berangkat ke Medan,” saya sekadar berjenaka.  Dan tanpa diduga kata jenaka menjadi kenyataan.  Bila Syed Hamid Al-Hadad menyuruh pemandunya menghidupkan enjin kereta.

Orang-orang kampung pun segera menghulurkan tangan untuk bersalaman sambil mendoakan perjalanan yang bakal kami lalui terhindar daripada kejadian yang tidak diingini.

Sebahagian daripada mereka memeluk datuk dan Syed Hamid Al-hadad.  Air mata ayah Ali Usman mengalir dipipi.  Suasana perpisahan pada petang itu terasa hiba dan pilu sekali.  Ali Usman saya lihat dua tiga kali mengesat kelopak mata dengan telapak tangannya.

SEMENANJUNG

Beberapa tahun berikutnya, atas undangan pihak tertentu Ali Usman datang ke bahagian utara semenanjung.  Dia diminta memberikan ceramah agama oleh pihak yang mengundangnya.  Malah, dia sempat tinggal di tempat tersebut (negeri) selama enam bulan untuk berkhidmat secara sukarela mengajar tafsir Al-Quran dari surau ke surau.

Sebenarnya, di samping mengajar Ali Usman ada tujuan lain.  Dia mahu mengesan dan mencari bekas anak murid bapa saudaranya.  Bak kata pepatah sambil menyelam minum air.  Dengan izin Allah semasa dia mengajar di salah sebuah surau di Daerah Kuala Muda, dia sempat bertemu dengan salah seorang bekas murid arwah pamannya.

“Ustaz orang Medan?.”

“Iya,” lembut suara Ali Usman.

“Saya pernah belajar di sana Ustaz.”

“Belajar apa?”

“Ilmu dunia ustaz.  Guru saya tu memang handal dalam hal-hal dunia.  Dia duduk di kawasan Pengkalan Berandan.”

“Haaaa……………,” kata Ali Usman.  Dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Kenapa Ustaz?.”

“Tak ada apa-apa, mari kita ke warung kopi.”

Dialog itu terjadi di halaman sebuah masjid, sebaik sahaja Ali Usman selesai menyampaikan kuliah subuh.  Dan mereka pun segera menuju ke sebuah warung.

Terlalu banyak yang ditanyakan oleh Ali Usman sebelum dia memperkenalkan dirinya pada bekas anak murid bapa saudaranya itu.  Setelah diyakininya orang itu tidak berbohong, barulah Ali Usman menerangkan kedudukan yang sebenar.

Dalam pertemuan yang tidak disengajakan itu.  Bekas anak murid pamannya dengan bangga memberitahu yang dia sudah berhasil memperisterikan sembilah puluh sembilan (99) wanita.

Dua puluh orang terdiri dari anak dara yang berusia bawah dua puluhan.  Lima puluh lima (55) anak dara tua.  Berusia dari tiga puluh lima (35) hingga lima puluh (50) tahun.  Selebihnya, dua puluh empat (24) terdiri daripada janda beranak satu hingga lima.  Kahwin cerai, sudah menjadi perkara biasa dalam hidupnya.

Pernah terjadi, dalam tempoh waktu sebulan, si anak murid menikah empat kali.  Dan dalam waktu yang lain, dia menceraikan empat isteri sekaligus untuk menikah lagi.  Kebanyakan isteri yang dicerai tidak mahu kahwin lagi.  Kalau kahwin pun tidak lama usianya, paling tinggi enam bulan.

KEBATINAN

Alasan yang diberikan oleh para janda bekas anak murid pamannya ialah tidak puas.  Suami baru tidak sehebat dengan suami yang dulu, sama ada dari segi kebatinan, kerukunan rumahtangga dan kemesraan.  Kalau yang baru tidak menyamai dengan yang lama, lebih baik menjanda sampai akhir hayat.

Terlalu banyak perkara yang diceritakan oleh si murid tentang kehebatan bekas gurunya.  Hebat dalam dunia persilatan.  Handal memikat kaum hawa, dengan sekali jeling kaum hawa boleh diajak jadi teman tidur.  Boleh menghilangkan diri, tubuh tidak lut senjata tajam.  Boleh mengekalkan kejelitaan wajah, kaum Adam tidak kelihatan tua.

Bila diberitahu, bekas gurunya sudah meninggal dunia.  Si murid terkejut, termenung panjang dan menggelengkan kepala.  Lebih-lebih lagi bila mengetahui bekas gurunya mati dalam masjid dan sempat bertaubat.

“Kenapa mati begitu, Ustaz?”

“Kenapa tanya macam tu, bukankah setiap yang bernyawa lawannya mati.”

“Bukan begitu, tuk guru beritahu saya, dia mati dalam air.  Kerana itu sumpahnya, nyawanya tidak berpisah dengan badan selagi kakinya memijak bumi.”

“Siapalah yang boleh melawan kuasa Allah.  Guru awak sudah silap dan takbur.  Mahu melawan kudrat Allah.”

“Hummmmm……………” si anak murid mengeluh.

“Esok kita jumpa di sini lagi.  Nanti saya ceritakan, apa yang kamu tidak tahu tentang guru kamu,” kata Ali Usman.

“Saya setuju.”

Serentak mereka bangun dan bersalam.  Si anak murid menjelaskan bayaran minuman.  Kemudian mereka melangkah menuju haluan masing-masing.

SURAT

 Bekas anak murid paman saya cukup megah dan bangga.  Hasil dari kahwin cerai, dia mempunyai 80 orang anak, tidak termasuk yang meninggal semasa lahir.  Malah, ada di antara anak-anaknya itu tidak dikenalinya langsung.  Tidak hairanlah bila anak tak kenal ayah, sebabnya ayah tidak kenal anak,” tulis Ali Usman dalam sepucuk suratnya kepada saya.

Surat itu diposkan di Medan, setelah dia kembali ke kampung halamannya.  Apa yang menghampakan saya, kenapa semasa berada di negeri jelapang padi, dia tidak menghubungi saya? Tetapi, kehampaan itu berakhir begitu saja, bila memikirkan yang dia kesuntukan waktu.

Dalam suratnya itu, Ali Usman menyatakan bekas anak murid pamannya dikenali dengan nama DIN PAWANG MANIS.  Terkenal di kalangan para penyanyi, pelakon filem dan bangsawan.  Din Pawang Manis diburu oleh golongan tersebut untuk pasang susuk.  Agar tidak kelihatan tua.  Beberapa isteri orang besar, tokoh politik dan perniagaan juga memburunya minta minyak pelaris, pengasih, agar disayangi suami.

Ada juga para isteri tokoh perniagaan yang separuh umur datang menemuinya untuk mengunci nafsu suami.  Alat kelamin tidak berfungsi, lembik macam batang keladi patah pangkal, bila berhadapan dengan wanita terutama yang cantik dan muda.  Tetapi, bila berhadapan dengan isteri sendiri alat kelaminnya berfungsi kembali.  Lebih garang dan hebat.

Din Pawang Manis juga boleh mengurut orang terseliuh, patah dan sengal-sengal tulang.  Tetapi, urut yang selalu dilakukannya, ialah urut tenaga batin.

Pelanggan urut tenaga batinnya terdiri dari lelaki yang sudah berusia enam puluhan ke atas terutama yang beristeri dua.  Muda dan cantik pula.  Berapa bayaran yang dikenakan tidak kisah.  Pokoknya pengayuh tua mampu mengawal perahu di laut bergelora.

“Apa yang lucu…….” tulis Ali Usman lagi, “pada suatu hari Din Pawang Manis dikunjungi oleh seorang anak muda.  Pada hemat Din Pawang Manis, anak muda itu mahu memasang susuk.  Dia pun menyediakan kelengkapan yang sepatutnya.

Sungguh mengejutkan, kedatangan anak muda itu bukan mahu memasang susuk pemanis, bukan mahu minta minyak pengasih atau ubat-ubat guna-guna.  Tetapi, mempunyai maksud yang lain, terlalu peribadi.  Semuanya ini membuat Din Pawang Manis agak cemas.  Sepanjang kerjanya sebagai pawang, belum pernah dia berhadapan dengan kejadian seperti ini.

Si pemuda terus menceritakan rentetan peristiwa diri dan ibunya secara terperinci.  Berdasarkan cerita dari pemuda itu.  Tidak dapat disangkal lagi.  Tidak daya dinafikan dan Din Pawang Manis mengaku, budak lelaki yang tertonggok didepannya adalah anaknya dari isterinya yang ketujuh.

Sebaik saja Din Pawang Manis memberikan pengakuan.  Si pemuda didepannya terus bangun lalu melepaskan penampar sulung ke muka Din Pawang Manis.  Dalam keadaan yang terpingga-pingga itu, si pemuda yang baran terus meluahkan geram dan dendam kesumatnya.

Din Pawang Manis dituduh ayah tidak bertanggungjawab.  Bijak mengatur nikah cerai diri sendiri.  Tetapi, tidak pandai memikul tanggungjawab sebagai suami dan ayah.  Belum pun sempat Din Pawang Manis menjelaskan kedudukan yang sebenar, anak muda yang berdarah panas meninggalkan rumah.

Dalam beberapa pertemuan berikutnya, saya pernah menasihati Din Pawang Manis supaya jangan mengamalkan ilmu salah.  Di samping itu saya beritahu, dia sudah tua.  Hidup sendirian, di sebuah pondok di kaki bukit.  Terasing daripada orang ramai.  Malangnya, nasihat saya tidak diendahkannya.

“Usah mengajar aku,” kata Din Pawang Manis.

“Bukan mengajar tetapi, nasihat.  Pintu taubat masih terbuka.  Allah sayang kepada hambanya yang menyedari kesilapan lalu.”

“Kalau kamu ini bukan anak saudara guru aku, di sini aku cekik sampai mampus.  Ehhh…Kamu tahu, aku datang di masjid kerana mendapat tahu yang memberi kuliah subuh orang dari Medan.  Aku datang bukan nak kuliah subuh, aku merisik bekas guru aku,” jawab Din Pawang Manis.


SIRI 230 WANITA BERKAKI IKAN




Keadaan ini membuat saya resah semacam. Rasanya ingin menjerit sekuat hati untuk menarik perhatian datuk. Biar dia tau apa yang sedang kami alami. Tetapi, bila memikirkan keadaan itu akan menimbulkan masalah pada datuk, saya tidak jadi melakukannya.

Dalam perasaan yang kacau bilau itu, kulit kepala terasa perit dan pedih. Tiba-tiba Ali Usman mengeluh kecil dan batuk berkali-kali. Saya rasa ini merupakan usaha untuk menarik datuk pada kami berdua. Helai-helai rambut terus jatuh ke lantai.

Saya kira kalau keadaan ini berlanjutan lebih dari satu jam. Tidak mustahil kepala saya dan Ali Usman akan botak. Entah mengapa saya jadi marah lalu menghentakkan kaki ke lantai.

"Jangan banyak karenah, bertenang dan terus tunduk." tutur datuk lantang.

"Tengkuk rasa tak selesa." balas Ali Usman.

"Jangan membantah." herdik datuk.

Saya dan Ali Usman menarik dan melepaskan nafas. Rambut atas kepala terus luruh, bagaikan daun kering.

Sekumpulan anai-anai dalam jumlah yang besar bersama bunyi mengaum, macam bunyi lebah, keluar dari bawah tulang selonggok.

"Dari mana datangnya binatang ni?" Saya bertanya.

"Bukankah dari anai-anai, jadinya kalkatu," sahut datuk

"lya.”  balas Ali Usman.

"Bila kalkatu tak ada sayap, dia pun jadi anai-anai semula.” sebuah penjelasan dari datuk yang membunuh keraguan hati saya.

Seperti kalkatu tadi, kumpulan anai-anai ini bergerak menuju ke arah saya dan Ali Usman. Kerana bergerak dalam kumpulan yang banyak. Bunyi kaki kumpulan anai-anai itu jelas kedengaran, macam bunyi orang menarik kertas di lantai papan. Saya dan Ali Usman jadi cemas dan takut.

Macam-macam yang saya fikirkan, apakah nasib kami berdua seperti nasib wanita hodoh. Seluruh daging yang melekat di tulang akan menjadi habuan anai-anai. Kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan, saya dan Ali Usman pasrah saja.

Sungguh mengejutkan, bila kumpulan anai-anai itu, mendekati rambut yang berserakan di lantai entah mengapa, kumpulan anai-anai itu berpatah balik ke arah tulang selonggok. Tetapi, hanya separuh jalan, kumpulan anai-anai itu mencari rekahan papan lantai lalu menyelinap dan hilang dari pandangan kami berdua.

"Sekarang luruskan badan kamu berdua," ungkap datuk.

Arahannya segera kami patuhi. Rasa lenguh di batang leher mula beransur hilang. Dua tiga kali leher saya pusingkan ke kiri dan ke kanan. Datuk senyum.

"Begini" datuk sandarkan badan ke dinding."sebenarnya yang jatuh atas lantai itu bukan rambat kamu. Itu bulu kabung, memang sumpah dan pantang makhluk jadian berdepan dengan bulu kabung." sambung datuk tenang.

Tanpa membuang  masa datuk terus mengambil bulu kabung atas lantai. Dengan tenang dimasukkan ke dalam pundi kecil yang dibuat dari kain hitam. Dan pundi itu dimasukkan ke dalam saku baju sebelah dalam.

"Aku rasa selepas ini tak ada lagi hal-hal yang menakutkan. Semuanya sudah sampai penghujung," lemah benar suara datuk. Dia terus duduk di lantai. Tetapi, kami masih berdiri terpacak.

“Saya juga berharap begitu” Ali Usman meluahkan rahsia hati.

"Terus terang saya katakan, saya dah tak larat," saya mengeluh.

“Huummmm...,” suara datuk terkulum

“Zuuummmm........”

Enam biji mata tertumpu ke arah bunyi tersebut, tidak jauh dari longgokan tulang. Kepulan asap nipis muncul dan terus mengelilingi tulang selonggok dalam tempoh waktu kurang dari lima minit, asap nipis itu bersatu.  Kemudian asap itu naik menegak menuju ke arah tulang bumbung rumah.

HARUM

BAU harum bercampur dengan bau kemenyan dan kayu cendana mula menyumbat lubang hidung kami bertiga. Kalau tadi lubang telinga saya disumbat dengan bunyi deru angin dan suara lebah, tetapi, kali ini diasak dengan suara binatang liar.

"Ada cubaan lagikah datuk," tanya saya hiba.

“Bertenang Tamar,” balas datuk. Saya terlihat bahagian lantai yang pecah dan membentuk bulatan seperti telaga yang bersimen, kian jelas kelihatan. Saya juga terdengar bunyi kocakan air telaga yang diiluti dengan suara perempuan bercakap sesuatu.

“Telaga buta dalam rumah.” Ali Usman terkejut.

“Iya,”  jawab datuk. “Kita tengok apa yang akan terjadi.”

Sekarang di hadapan tertonggok sebuah perigi lama. Asap yang menjulang ke arah tulang bumbung bergerak perlahan-lahan menuju ke arah bibir telaga yang bahagian tepinya bersimen. Dan dalam sekelip mata permukaan telaga lama tidak kelihatan hilang dalam pelukan asap nipis yang sudah menjadi tebal. Begitu juga dengan longgokkan tulang, hilang entah ke mana.

Harum kemenyan dan cendana masih dapat  kami hidu. Sungguh mengejutkan, rasanya tidak percaya dengan apa yang ada di depan mata. Dua tiga kali mata saya gosok dan pejam celikan.

“Aku bermimpikah Ali." tanya saya.

“Maksud kamu Tamar?”

"Barangkali kamu tidak melihat apa yang aku lihat Ali."

"Maksud kamu bayang-bayang perempuan."

"lya"

“Kalau begitu kita melihat benda yang sama.” Nada suara Ali Usman cemas dan takut.

Kami melihat objek yang sama. Di tempat asap berkepul yang memanjang ke atas segera diisi dengan bebayang tubuh wanita yang memberahikan. Sebagai orang muda, berdebar juga hati. Dan makin lama, bebayang itu makin jelas kelihatan. Dan akhirnya wujud di depan kami seorang wanita.

Berkulit putih, berambut panjang hingga paras pinggang dengan sepasang mata bundar yang menarik. Telaga lama yang hilang wujud kembali di depan mata. Si wanita memberikan senyuman bersama jelingan yang tajam menggoda. Pada saat itu saya segera mengingati wajah beberapa orang pelakon wanita filem Melayu dan Hindustani. Memang tiada seorang pun yang menyamai kecantikan paras, ketinggian dan bentuk tubuh wanita tersebut.

Dengan langkah yang bergaya, goyang punggung yang mendebarkan serta gerak payu dara yang lembut membuat saya menarik nafas. Pada hemat saya, datuk yang tua juga tergugat. Ali Usman usah disebut, gelora rasanya tetap macam saya.

Si wanita cantik terus melangkah hingga sampai ke bibir telaga lama. Dia menoleh ke arah kami lalu melemparkan senyuman dan jelingan tajam. Semasa kaki kanannya diangkat untuk memijak bibir telaga yang dibuat dari simen, lagi sekali hati saya berdebar. Buah betisnya yang putih merah nampak terserlah.

Mungkin untuk menggoda atau memang terpaksa, kain batik jawa yang dipakai terus diselak hingga ke pangkal paha. Entah mengapa rasa geram dan berahi terus mengegar kalbu. Serta merta tubuh saya menggeletar. Antara sedar dengan tidak, saya dapati wanita itu sudah berada betul-betul di tengah-tengah mulut telaga.

Dari segi logiknya, tubuh itu mesti jatuh ke dalam perut telaga. Kenyataan di depan bagaikan menafikan kelojikan tersebut. Si wanita cantik masih berdiri di situ seperti berada di awang –awangan.

TERANGKAT

BEBERAPA saat berikutnya.

Tubuh wanita cantik secara perlahan-lahan terangkat melepasi tembok telaga lama. Dari bahagian pinggangnya hingga hujung kaki terbuai-buai, macam daun pisang dirempuh angin.

Pada peringkat awal gerakannya nampak perlahan-lahan dan lembut. Kemudian bertukar kencang beserta dengan deru angin.

Bila bunyi deru angin terhenti, bahagian tubuh yang terbuai-buai juga berhenti. Sukar untuk mempastikan dari arah mana bunyi deru angin itu datang.

Dan dengan secara mengejut bunyi deru angin terus mati. Bahagian bawah tubuh wanita itu terus kaku, tidak bergoyang lagi. Tetapi, ada perubahan terjadi di bahagian tu­buh yang kaku itu. Dari pinggang hingga ke kaki keadaannya sudah bertukar menjadi badan ikan. Manakala separuh lagi (bahagian atas) dalam keadaan tubuh manusia biasa. 

“Manusia ganjil.”  kata saya.

“Separuh manusia, separuh ikan,” sahut Ali Usman.

"Jangan banyak cakap, tengok saja." sergah datuk.

Saya dan Ali Usman berpandangan. Dan wanita separuh ikan, separuh manusia masih berada ditempatnya, terawang-awangan. Masih mempamirkan senyuman yang menyenangkan. Masih berkesempatan memberikan jelingan yang mempesonakan mengundang rasa geram dalam hati saya.

"Kamu puteri duyung," kalbu bertanya sama sendiri. Wanita cantik menggelengkan kepala. Dia bagaikan tahu apa yang bergelora dalam hati.

Dalam erti kata lain wanita itu dapat membaca suara hati saya secara batin. Mungkin gerak tubuh juga dapat ditafsirkannya. Kalau begitu ada baiknya berdialog dalam hati.

"Kamu puteri duyung?"

Wanita cantik gelengkan kepala.

"Jadi siapa kamu yang sebenarnya"

Wanita cantik itu memusingkan tubuh­nya, membelakangi kami bertiga sambil menggerak-gerakkan pinggangnya.

“Hussss.......”

Ali Usman mengeluh dan pada masa itu juga, wanita cantik kembali kepada kedudukan asalnya. Berhadapan dengan saya dan Ali Usman. Datuk bagaikan tahu, apa yang bakal dilakukan oleh wanita cantik. Datuk segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia membelakangi wanita cantik itu.

Memang, sejak kemunculan wanita cantik itu, datuk kelihatan tidak berapa senang. Dia lebih banyak memejamkan mata dari celik. Kain yang membalut tubuh si wanita terlalu nipis, semua liku tubuh nampak dengan jelas. Cara ini memang menghiburkan hati saya dan Ali Usman. Tetapi, mengundah- gelanakan hati datuk.

“Ahhhhhhhh..............”

Mulut Ali Usman terlopong. Si wanita cantik menjatuhkan kain yang membalut bahagian atas tubuhnya. Saya sesak nafas, dua ketul daging mentah yang tumbuh di dada, turun naik mengikut gerak nafasnya. Tubuh saya menggeletar menahan ghairah nafsu yang membakar.

Saya tidak tahu perasaan Ali Usman ketika itu. Walaupun tidak melihat ke arah datuk, tetapi, saya yakin orang tua itu sedang merapatkan kedua-dua belah kelopak matanya. Mungkin juga dia menggunakan kedua belah telapak tangannya untuk menutup mata.

"Kamu berdua mahu tahu tentang diri aku. Inilah aku yang sebenarnya. "

Sebaik saja wanita cantik menamatkan kata, paras rupanya terus bertukar menjadi hodoh. Dia kelihatan amat tua sekali. Seluruh kulitnya barkedut. Ada bahagian-bahagiannya berbonjol-bonjol. Bau hapak dan busuk mula menyumbat lubang hidung saya dan Ali Usman.

Bahagian badan dari pinggang hingga ke kaki yang tadi bertukar menjadi ikan, kembali pada keadaan asal. Tetapi, kulit bahagian itu kelihatan bersisik macam sisik ular sawa. Dia masih berada diawang-awangan. Rambut putihnya yang lebat dan panjang menutup sebahagian daripada wajahnya.

Proses yang berlaku cukup cepat. Semuanya secara mengejut dan tiba-tiba.

RAMBUT

KADANG-KADANG perkara yang tidak terfikir, berlaku secara sepontan. Contohnya, rambut yang hitam pendek, menjadi panjang dan memutih hingga ke kaki.

“Ehem.”

Saya dan Ali Usman segera merenung ke arah datuk. Biasanya, ada sesuatu yang mahu datuk katakan bila dia bersuara sedemekian.

"Berhati-hati dengan tipu helahnya." Amaran dari datuk. Dan kami pun segera anggukkan kepala.

"Silap bertindak, buruk padahnya." Datuk menambah.

“Tak adakah cara lain untuk keluar dan rumah neraka ni tuk,” saya memberanikan diri bertanya.

“Kita mesti sabar,” nada suara datuk lemah.

“Heeeheeeeee......................”

Wanita cantik bertukar hodoh mengilai panjang terasa seram dan bulu roma segera tegak. Kalau tadi perhatian tertumpu ke arah datuk. Kali ini terpaksa diarahkan semula kepada wanita cantik bertukar hodoh.

“Dia orang tua yang pandai,” ucap si wanita sebaik saja ketawanya yang menakutkan itu berhenti. Datuk tidak memberikan sebarang komen.

Berada dalam suasana yang tidak menentukan, ibarat berada di tepi unggun api yang membara besar. Sentiasa takut dan cemas. Bau busuk dan hapak yang mencucuk lubang hidung membuat tekak terasa loya dan mahu muntah.

“Huuuuuhhhhhhhh....................”

Si wanita di depan kami menggeliat. Kulitnya yang berkedut dan bersisik kelihatan relai, satu persatu. Macam daun tua lekang dari ranting. Dari hujung dagu, pipi dan mata keluar melilih air menyerupai minyak kelapa. Terus terjatuh ke dalam mulut telaga yang ternganga.

“Ahhhh....uuuuhhh......”

Dari gerak badan dan kerut muka. Ternyata wanita cantik bertukar hodoh sedang menahan rasa sakit yang amat sangat. Memang ada usaha darinya untuk menyembunyikan apa yang dialami dari pengetahuan kami. Tetapi, rintihan dan keluhan yang terkeluar dari mulutnya membuka rahsia dirinya.

"Jangan sampai terpedaya "

Datuk terus mengingatkan kami. Si wanita yang terawang-awangan di permukaan mulut telaga lama, kurang senang dengan tindakan datuk itu.  Kemarahannya di sampaikan dengan jelingan yang tajam. Penuh rasa benci dan dendam kesumat yang tiada akhirnya.

“Kerana bapa saudara kamu ......”

Wanita cantik bertukar hodoh tidak meneruskan kata-katanya. Renungannya bertukar dari wajah datuk ke wajah Ali Usman yang berada di sisi.  Renungan itu bagaikan ada kuasa yang menyebabkan sepasang kepala lutut Ali Usman menggeletar.

“Tenang Ali, aku ada di sini,” datuk memberikan semangat.

Wajah Ali Usman yang pucat kembali merah berdarah. Dengan tenang dia menggigit bibir dan menggenggam penumbuk. Ali Usman sedang berusaha membina sebuah keyakinan dalam dirinya.

“Kerana bapa saudara kamu,” si wanita mengulangi dan menyambung percakapan yang terputus. “kerana bapa saudara kamu memelihara aku dan dipergunakan untuk wanita-wanita lain hingga membolehkan aku tidak kelihatan tua. Setiap orang yang dipasang susuk oleh bapa saudara kamu, aku dapat mencuri kecantikan asal orang itu, aku dapat menikmati darah manisnya.”

Bibir dan mulut si wanita itu tidak bergerak. Tetapi, suaranya yang tersekat-sekat dan termengah-mengah dapat kami dengar dengan jelas. Pada saat itu juga terdengar suara tangisan kanak-kanak seperti baru dilahirkan.

“Sekarang biarlah aku pulang ke tempat asal aku,” kata wanita cantik bertukar hodoh.

“Silakan,” sahut datuk.

“Sial,” kutuk si wanita.

Seiring dengan itu, rumah terasa bergoncang dengan kuatnya. Saya dan Ali Usman saling berpaut bagi menghindari tubuh jatuh di lantai.

“Drummmmm........”

Satu ledakan kuat bergema. Saya terpana sebentar seperti berada di awang-awangan. Badan rasa terbuai ke sana dan ke mari. Dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya lihat papan lantai yang terkopak bertaut kembali.

Telaga lama yang muncul secara tiba-tiba terus hilang entah ke mana. Tempat di mana telaga itu muncul segera diganti dengan api kecil, seperti api sumbu pelita minyak tanah. Melintuk-liuk mengikut arah angin yang bergerak dalam kawasan sekitar. Dalam sekelip mata api yang kecil menjadi besar.

BESAR

API itu terus marak dan bergerak dengan pantas mengelingi kami. Tidak tahu apa yang mesti dilakukan. Paling mengejutkan, datuk berada di luar lingkaran api. Tidak tahu macamana datuk mesti berada di luar.

Apakah semasa api menjalar datuk sudah bersedia menyelamatkan diri atau api sendiri tidak mahu mendekati datuk. Selain dari itu, saya juga terfikir bagaimana boleh terjadi lingkaran api, kenapa api itu tidak merebak ke tempat lain. Apakah sebelum api itu datang, sekitar tempat kami berdiri sudah disimbah dengan minyak petrol.

Saya mula terasa susah untuk menarik dan melepaskan nafas. Api yang marak terus melepasi kepala kami berdua. Haba panas membuat kulit pedih. Asap tebal membuat kami hampir lemas, tersedak dan batuk. Kerongkong terasa kering, sukar untuk memanggil datuk. Tetapi, dicelah-celah lidah api yang sebentar meninggi dan sebentar menurun, da­tuk masih dapat dilihat.

Datuk masih berdiri di tempatnya. Nampak cemas dan bimbang sekali. Bibirnya bergerak membaca sesuatu. Tetapi, hasilnya masih kosong. Datuk membuka silat, bergerak ke kiri dan ke kanan, sambil menarik dan melepaskan nafas. Setiap kali nafas ditarik dan dilepaskan mulutnya tetap bergerak. Seluruh kulit mukanya nampak tegang dan berpeluh.

Semua kerja-kerja yang dilakukan oleh datuk menjurus pada kehampaan dan kekecewaan. Barangkali, kerana tidak ada cara lain atau datuk sudah kehabisan usaha dia terus melaungkan azan. Saya dan Ali Usman mengalami kejutan. Punggung terasa seperti dipukul dengan benda keras.

Tubuh kami terangkat ke udara dan melayang-layang tidak tentu arah. Saya berusaha untuk menjerit dengan sekuat hati, bila menyedari tubuh kami di tolak angin ke arah sebatang pokok besar. Belum pun suara jeritan keluar, tubuh kami terus melanggar batang pokok besar. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.