Datuk menghadapi situasi genting dengan tenang. Ular tedung panggungkan
kepala, bersedia untuk melakukan serangan maut. Wajah penduduk yang berada di
situ dibalut ketakutan.
Sungguh mengejutkan, ular
tedung yang garang itu merendahkan badannya dan terus menyusur di celah-celah
dedaun kering dan akar. Akhirnya hilang entah ke mana. Peah yang ketakutan
dapat ditenangkan oleh ayah Shafie.
Peah segera memberitahu ayah
Shafie bagaimana mulanya dia dikejar oleh ular tedung.
“Sudah berkali-kali suami
saya mengingatkan, jangan lalu di bawah pokok besar berlubang jika mahu ke
sawah. Kata suami saya, di situ ada ular tedung bertelur. Saya tak endahkan
cakap suami, sambil lalu saya baling puntung kayu ke arah pangkal pokok besar,”
Peah berhenti bercerita.
“Saya tak terima apa-apa
akibat buruk. Tetapi petang ini, petang ketujuh ular itu keluar dari lubang dan
buru saya,” sambung Peah, semua yang mendengarnya gelengkan kepala dengan mulut
terlopong.
“Kamu baliklah ke rumah. Lain
kali jangan melawan cakap suami. Ular tedung bertelur jangan diganggu,” nasihat
ayah Shafie pada Peah, wanita keras kepala.
“Terima kasih membantu saya,”
tutur Peah pada datuk.
“Sama-sama.”
Peah pun beredar dari situ
dan orang kampung yang berkumpul segera bersurai. Pulang ke rumah
masing-masing, menyambung kembali kerja yang terganggu.
Kami kembali duduk di ruang
tamu rumah orang Shafie. Topik perbincangan tergelincir dari merawat sakit
Shafie kepada ular tedung.
“Awak pukau ular tedung
tadi?” soal ibu Shafie.
Datuk tersenyum sambil
gelengkan kepala.
“Jadi apa yang awak buat
dengannya. Barangkali awak pengamal ilmu hitam.”lancang sekali mulut ibu
Shafie.
“Itu bukan amalan kita,”
sanggah datuk.
“Awak puja ular?” Ibu Shafie
masih belum puas hati.
“Kita bercakap dengannya!”
jawapan datuk membuat ibu dan ayah Shafie panggungkan kepala. Mereka menatap
muka datuk penuh kehairanan. Bagi menghilangkan keraguan yang tumbuh dalam hati
pasangan isteri itu. Datuk segera menjelaskan kedudukan yang sebenar.
“Ular dan buaya. Jenis haiwan
melata yang mudah kita jumpai, terutama di kawasan berair seperti kawasan
berpaya, sungai hutan bakau dan kuala sungai,” datuk mula merintis jalan
penjelasan. Semua yang ada di situ pasang telinga terutama kedua-dua ibu bapa
Shafie.
“Ada masanya tak payah pergi
jauh. Kita boleh jumpa ular di sawah di kebun pisang, malah dalam kawasan rumah
kita. Dalam jenis tertentu binatang yang melata ini cukup bahaya. Ular bahkan
buaya, sebenarnya makhluk Allah yang sangat dekat nalurinya dengan manusia,”
sambung datuk.
DAHI
Ayah Shafie kerutkan dahi sambil merenung keluar menerusi jendelah yang
terdedah. Tajudin menggigit bibir, masih ragu-ragu untuk mempercayai kisah yang
dituturkan oleh Datuk.
“Binatang dapat memahami apa
yang ada dalam hati manusia. Sama ada
berniat jahat atau sebaliknya. Mereka dapat merasakan getaran halus yang tidak
disedari dipacarkan oleh manusia melalui kuasa tenaga semula jadi.
“Kerana itulah, bukan sesuatu
yang pelik, bila terdapat ramai pawang ular dan buaya berbanding pawang
binatang buas lain seperti harimau atau singa. Ular dan buaya banyak kaitannya
dengan lagenda kehidupan manusia,” Datuk berhenti seketika, panjangkan leher
merenung keluar macam ada sesuatu yang mahu dilihatnya.
Beberapa orang kampung dapat
dilihat dengan jelas melalui jalan tanah merah yang berdebu. Mereka pulang dari
ladang. Angin nan bertiup menerbangkan debu-debu merah singgah di daun pokok
yang tumbuh memagari kiri kanan jalan.
“Bila kita jumpa ular, apa
yang mesti kita buat?” Kita lari atau kita pukul sampai mati,” Shafie bertanya.
“Bila kita jumpa ular, memang
kita tidak diperkenankan terus membunuhnya. Kita halau terlebih terlebih
dahulu, kalau dia pergi, jangan diganggu lagi. Boleh jadi pertemua (manusia
dan ular) tanpa disengajakan. Bila dia melawan dan mahu menyerang baru kita
boleh bunuh,” jawab Datuk tenang.
“Itupun dengan cara yang tidak menyiksakan,” sambung Datuk penuh
ghairah,” ada juga ular yang mematuk manusia dilarang membunuhnya. Sebelum
orang yang kena patuk itu sembuh. Jika ular itu dibunuh, mungkin orang yang
kena patuk itu mati.
“Ohhh....”
Saya segera menoleh ke arah
Tajudin yang bersuara cemas. Pak Habib senyum. Ayah Shafie masih merenung
keluar.
“Macam mana dengan ular yang
mengejar Peah tadi? Boleh kita bunuh, kalau dia mematuk perempuan yang
membantah cakap suaminya?”. Ibu Shafie buat sekian kalinya mengajukan
pertanyaan.
“Ular tadi ular biasa, dia
marah kerana kawasan tempat dia bertelur dihampiri manusia. Saya katakan tadi,
ular jangan diganggu”.
“Apa yang awak cakap dengan
ular tadi?”. Datang lagi soalan dari ibu Shafie.
Datuk terdiam seketika, belum
sempat anak wanita itu ditentangnya. Ibu Shafie segera alihkan pandangan ke
arah lain. Tidak berani menentang anak mata datuk yang dirasakannya seperti ada
getaran yang membuat perasaannya jadi cemas.
“Buaya, ular, harimau, dan
binatang liar lainnya memang tidak suka bertemu dengan manusia. Itulah
sebabnya, bila mereka terserempak dengan manusia, mereka terus menyerang. Ada
semacam sumpah atau pantang larang dalam dunia mereka. Kalau ada cerita manusia
dimakan buaya. Itu sebenarnya bukan salah buaya. Tetapi, salah manusia yang
mengejutkannya,” kata-kata yang datuk luahkan seolah-olah ditujukan kepada ibu
Shafie.
Saya menarik nafas
dalam-dalam sambil mengeliat. Rasa lenguh di setiap sendi terasa hilang. Kalau
boleh, memang saya mahu datuk segera menamatkan kisah yang dibincang dan
kembali kepada topik asal sama ada mahu bermalam di rumah orang tua Shafie atau
sebaliknya.
TARIK
“Bila satu masa kita bertemu dengan ular buaya, jangan takut dan panik.
Bila kita panik atau takut, boleh membahayakan jiwa kita. Kalau boleh mengelak,
eloklah mengelak. Kalau sudah tak boleh, tak ada salahnya kita membekali diri
dengan ilmu kunci mulut buaya atau ular,” datuk terbatuk kecil. Setelah
mengurut dadanya dua tiga kali. Datuk minta segelas air dingin.
Ibu Shafie segera bangun dan
beredar ke ruang dapur. Datang semula dengan segelas air dingin. Dihulurkan
kepada datuk.
“Terima kasih”, kata datuk
lalu minum air dingin senafas. Ibu Shafie ke ruang dapur kembali membawa gelas
kosong.
“Macam mana caranya, nak
kunci mulut ular dan buaya? Apa petua dan amalan yang mesti dibuat?”.
Saya terkejut kerana
pertanyaan itu datang dari Tajudin. Ayah dan Ibu Shafie anggukkan kepala setuju
dengan pertanyaan yang diajukan oleh Tajudin.
“Petua dan ilmu tu, ada
syarat dan pantang larangnya,” datuk renung muka Tajudin dan pasangan suami
isteri.
“Apa syaratnya”, Tajudin kian
ghairah
“Jangan takut dan tetap
yakin, nyawa setiap makhluk di tangan Allah”, datuk berhenti seketika.
BERSANDAR
Perlahan-lahan datuk rapatkan belakangnya ke dinding. Bersandar di situ
dengan wajah ceria sekali. Kemudian menggerakkan lehernya ke kanan dan ke kiri
hingga berbunyi kruuukkkk.
Bila merasakan duduknya sudah
aman dan selesa, datuk terus menuturkan: “Bila bertemu ular atau buaya ucapkan
salam”.
“Salam? Mulut Shafie
terlopong.
“Iya”, angguk datuk.
“Bagaimana salamnya”, susul
Tajudin.
“Bila bertemu ular atau buaya
ucapkan ini sebanyak tiga kali: “Assamu’alaikum
‘alaa sayyidinal khadiri ‘alaihis salam. Assalamu ‘alaikum ‘alaa sayyidinaa
aliyyin radhiayallahaanu’ anhu
. “Semasa
memberi salam itu, renung ular dan buaya dengan penuh keyakinan terhadap
pertolongan dari Allah”, dan apa yang dituturkan oleh datuk diikuti dengan
penuh perhatian dan minat.
Memang tidak menghairankan,
bila datuk bercakap, mereka termanggu-manggu dengan mulut terlopong. Kalau
boleh, mereka mahu datuk terus bercakap dan bercerita tanpa berhenti.
“Cuma itu saja?” datang lagi
pertanyaan dari Shafie.
“Ada lagi”, jawab datuk.
“Apa dia yang ada lagi itu”.
Pak Habib tersenyum mendengar
pertanyaan yang diajukan oleh ayah Shafie.
“Selanjutny, bacalah doa ini
sebanyak tiga kali iaitu: Yaa ‘ibaadallooh a’iinuunii, selanjutnya
bacalah Laa ilaha illallah sambil membaca perlahan-lahan menjauhi ular
atau buaya atau tunggu binatang itu menjauhkan diri dari kita.
“Ada
lagi”, desak Tajudin.
“Tak ada”, datuk gelengkan
kepala.
Terdengar keluhan hampa dari
pasangan suami isteri, Tajudin dan Shafie. Mereka bagaikan tidak percaya dengan
apa yang datuk luahkan. Mereka yakin masih ada yang disembunyikan atau sengaja
dirahsiakan oleh datuk dari pengetahuan mereka.
“Percayalah pada saya, memang
tidak ada lagi. Cuma itu saja yang saya tahu untuk mengunci mulut buaya dan
ular”, ujar datuk seiringan dengan senyum.
Setiap wajah yang ada di
ruang tamu ditatapnya satu persatu, kecuali wajah Pak Habib. Apa yang dapat
saya rumuskan dari ungkapan datuk sebentar tadi ialah: kesangsian dengan
keraguan yang bersarang dalam kepala Shafie bersama orang tuanya dan Tajudin
sudah dibersihkan.
No comments:
Post a Comment