Friday, August 30, 2013

SIRI 237 DIRESAPI SEMANGAT HARIMAU


 

Lelaki berdarah dari terus lembik, macam batang pisang. Sepasang kaki dan tangannya tergedang. Muka dan tubuh tengadah ke langit. Dadanya berombak lemah, menarik dan melepaskan nafas.
Saya dan pemandu tidak dapat berbuat apa-apa. Kami sekadar memerhatikan saja. Dua tiga helai dedaun kering yang lekang dari tangkainya melayang-layang di udara, sebelum jatuh di permukaan bumi.
“Haaa.........” saya menjerit terkejut.
“Kenapa, Tamar?”
“Cuba kamu tengok tangan dan kakinya,”
Saranan saya segera dipatuhi oleh si pemandu. Matanya, terus merenung ke arah kaki dan tangan lelaki berdarah dahi yang tergedang. Dia mengerutkan dahinya, kemudian merenung ke arah saya semula.
“Tak ada apa-apa, Tamar.”
“Cuba renung baik-baik dan lama sikit,” kata saya.
Macam tadi, si pemandu terus mematuhi saranan saya. Kali ini, agak lama juga dia merenung ke arah tangan dan kaki lelaki berdarah dahi. Wajahnya nampak cemas sekali.
Renungannya segera diarahkan kepada saya. Kami berpandangan, bagaikan tidak percaya dengan apa yang kami lihat.
“Kaki dan tangannya berbulu, berbelang-belang macam harimau. Benarkan apa yang aku lihat atau sekadar pandangan saja, Tamar, “ si pemandu minta sebuah kepastian.
“Apa yang kamu tengok, itulah jugalah yang aku tengok,” tutur saya.
“Kita terperangkap Tamar.”
“Aku juga berpendapat macam tu.”
“Apa yang mesti kita buat, Tamar?”
“Sabar, biar aku cuba mengatasinya.”
Si pemandu anggukkan kepala. Seolah-olah menyerahkan sebuah tugas untuk saya atasi, walau dengan apa cara sekalipun. Satu tugas yang berat tetapi, perlu diselesaikan untuk menambahkan keyakinan kepada si pemandu bahawa saya memang berkebolehan dan bukan sekadar cakap saja.
Dengan tenang saya menyinsing sepasang baju hingga paras siku. Membongkok, melipatkan kaki seluar kiri hingga paras lutut. Tujuh helai rambut di ubun-ubun terus dicabut sekaligus. Tujuh helai rambut disimpul satu-satu. Dan akhirnya diselitkan di celah gigi bawah.
Semua pergerakan diperhatikan oleh si pemandu dengan teliti. Ada ketikanya dia menggaru pangkal dagu, membayangkan dirinya berada dalam keresahan. Mungkin juga tidak begitu yakin dengan keupayaan saya mengatasi masalah ini.
Beberapa gerak dan langkah yang diatur dan disusun ternyata tidak selari apa yang diingini dan dipelajari. Terpaksa diulangi kembali. Sudah tentu perkara ini membosankan si pemandu.
“Kenapa langkah yang sama diulang-ulang Tamar.”
“Aku terlupa, kau sabarlah. Ini petua, kalau tak menjadi tak mengapa, kita lari saja.”
“Haaaaa.................” si pemandu membeliakkan biji matanya ke arah saya. Dan saya dengan senyum sinis.
PETUA
Setelah diulang berkali-kali. Petua yang dikutip dari datuk dapat disempurnakan dengan sebaiknya. Dan ketika kata sumpah menghalang manusia bertukar menjadi harimau mahu dilafazkan, lelaki berdarah dahi yang terkapar di rumput terus menjerit. Dia melompat-lompat dan berguling-guling di tanah, macam kucing mandi pasir.
Saya terkejut jadinya. Si pemandu lagi terkejut. Badannya kelihatan menggigil semacam. Apa yang kau baca, Tamar.”
“Mantera dalam bahasa Melayu, tidak berlawan dengan hukum Allah. Aku mohon pada Allah,” kata saya.
“Hissss.................,” si pemandu mendengus.
Saya menarik nafas kecewa. Usaha ini ternyata gagal. Mungkin ketika bermohon pada Allah sebentar tadi, tidak sepenuh dan seikhlas hati. Disulam dengan rasa sangsi.  Jadi saya harus berusaha dan berikhtiar cara lain. Lelaki berdarah dahi terus berguling-guling di tanah. Tangannya, mencakar apa saja. Kuku tangan dan kakinya mula terkeluar. Memang ada usaha darinya untuk mencakar dan mengoyakkan seluar yang kami pakai. Saya dan si pemandu berusaha menjauhkan diri darinya.
“Tolong saya, kalau saya tahu begini jadinya, tidak saya “tawarkan” kawasan ini. Ilmu saya makan diri kerana melanggar janji, siapa di antara kami mengkhianati sumpah inilah jadinya, sambil berguling-guling dan menghempaskan tubuh di bumi, lelaki berdarah dahi dapat berkata-kata. Suaranya tersekat-sekat.
Saya lihat ke dada langit, awan masih macam tadi. Tetapi, matahari kian condong, kedudukannya kelihatan sama tinggi dengan pucuk meranti di puncak bukit.
Terdengar suara kumpulan gagak liar bersahut-sahutan, disambut dengan jeritan  kumpulan monyet dan mencari tempat berlindung. Deru kenderaan sudah jarang kedengaran dan tempatnya, digantikan oleh ngauman harimau dan tempikkan gajah. Terasa suasana yang dihadapi tidak menyebelahi kami.
“Tolong Tamar, jangan jadikan saya sengsara seumur hidup. Saya tak mahu kaki dan tangan saya jadi macam harimau,” lelaki berdarah dahi merayu dan terus menangis teresak-esak,” saya langgar sumpah, kerana mahu menolong awak berdua, tolong pulihkan saya. Carilah sesiapa yang boleh menolong saya, “ sambung lelaki  berdarah dahi.
Dalam esak tangisnya itu, sesekali bagaikan terdengar  suara ngauman harimau dari mulutnya. Dia berusaha untuk memegang mana-mana bahagian kaki saya dan si pemandu. Dengan sedaya upaya saya cuba mengelak supaya kuku jari kaki dan tangannya yang bertukar menjadi kuku harimau dari mencakar kaki.
Setiap kali saya mengelak, sama ada mengundur atau bergerak ke kiri dan kanan. Si pemandu saya ajak bersama. Bila kukunya mengenai mana-mana bahagian tubuh, maka tempat yang kena sentuhan akan bertompok dengan bulu roma tebal yang menyerupai bulu harimau.
TUBUH
Dalam keadaan yang tidak begitu membahagiakan itu. Saya bisikkan kepada si pemandu. Bahagian tubuh yang sering menjadi sasaran orang seperti itu (lelaki berdarah dahi) ialah di pangkal belikat, bahagian belakang, bawah pusat hingga membawa ke bahagian atas alat kelamin.
Pangkal tengkuk, pangkal paha kiri juga menjadi sasaran. Tempat-tempat tersebut menurut ilmu perubatan Melayu tua merupakan himpunan atau jalur saraf yang agak penting dalam tubuh. Jika salah satu daripada saraf itu rosak akan mendatangkan gangguan fikiran pada seseorang. Malah akan menyuburkan bulu-bulu roma baru akibat kesan yang dicakar lelaki berdarah dahi.
“Tolong saya,” rayunya.
Tanpa diduga, dia menerkam ke arah kami sambil mengembangkan lima jarinya yang berkuku harimau ke arah muka saya. Bagaikan kucing dipulas ekor, saya melompat tinggi. Si pemandu saya tarik hingga dia terjatuh di sebelah kanan.
TERKAPAR
Kerana saya dan pemandu cepat mengelak. Menyebabkan lelaki berdarah dahi jatuh betul-betul di tempat di mana saya berdiri. Terkapar di situ.
“Tolong saya,” rayunya lagi.
Saya membisu dan bergerak ke belakang, meninggalkan lelaki berdarah dahi yang tercungap-cungap itu agak jauh. Melihat saya, tidak begitu berat mengambil tahu rayuan lelaki berdarah dahi, si pemandu tergamam dan kebingungan.
“Kenapa tak tolong dia Tamar.”
“Merbahaya.”
“Tapi, dia sudah  banyak kali merayu, kalau begitu biar aku tolong dia, Tamar.”
“Jangan,” tahan saya.
Si pemandu tidak kisah dengan larangan saya. Dia terus melajak ke arah lelaki berdarah dahi. Sebaik saja sampai, terus membongkok  mahu memeluk tubuh lelaki berdarah dahi. Saya pun segera bertindak. Dengan pantas saya, menerpa ke arah si pemandu. Tubuhnya saya tolak ke belakang hingga jatuh terduduk.
“Aku baru saja beritahu, macam mana merbahaya bila kukunya kena kulit badan kamu. Apa kamu mahu jadi macam dia,” suara jeritan saya bergema menguasai suasana.
“Haaa, aku kesian dengannya, sampai terlupa pada cakap kamu Tamar, “ perlahan-lahan si pemandu bangun. Wajah saya ditatapnya penuh rasa kesal. Bagi memulihkan ketenangan perasaannya. Dua kali bahunya saya tepuk penuh mesra. Lelaki berdarah dahi masih terkapar di bumi.
Matahari kian merendah. Bayu yang berhembus terus membawa suara gagak, monyet, ungka dan sekali-sekali bunyi harimau memanggil anak. Suasana begini seolah-olah memberitahu kami, masa semakin suntuk. Tak lama lagi senja pasti datang dan berikutnya malam pula menjatuhkan tirai. Ketika itu segala usaha menjadi punah-ranah.
“Sekarang bagaimana Tamar?”
Sukar untuk menjawab pertanyaan tersebut. Dua tiga kali lubang telinga yang tidak gatal saya korek. Si pemandu berlegar-legar di depan. Lelaki berdarah dahi terus merintih. Bunyi suara harimau semakin jelas. Setiap kali suara harimau berbunyi, lelaki berdarah dahi menjawab dengan ngauman yang perlahan antara dengar dengan tidak.
“Bagaimana Tamar. Kamu harus melakukan sesuatu, “ si pemandu terus mendesak.
“Tak apa…..”
“Apa yang tak apa Tamar, masa semakin suntuk, “ seperti ada sebuah paksaan dari si pemandu. Cara ini memang kurang saya senangi. Saya lebih aman melakukan sesuatu tanpa ada desakan dan paksaan.
“Tak apa, biar aku cuba petua ini dulu, aku tahu serba sedikit kerana dulu, aku pernah berkawan dengan manusia keturunan harimau.”
“Haa………” terbeliak biji mata si pemandu. Dia segera menjauhkan diri dari saya.
“Aku harap cerita ini tak benar, Tamar,” katanya.
“Kalau benar bagaimana?”
“Aku harap kamu tidak membaham aku.” Katanya. Saya ketawa kecil. Tetapi, si pemandu kelihatan serius.
MISAI
Lelaki berdarah dahi terus mengguling-gulingkan tubuh di bumi. Ada perubahan pada dirinya. Misai, sudah bertukar menjadi misai harimau. Tidak ada lagi kata-kata “tolong saya” terkeluar dari mulutnya. Cuma yang ada suara ngauman yang keras. Renungan matanya cukup garang ke arah saya dan si pemandu.
Saya cuba membaca beberapa potong ayat Al-Quran, semuanya tidak menjadi. Sering terlupa dan silap. Entah mengapa, seluruh tubuh saya menggeletar. Perasaan jadi cemas semacam. Dan saya rasakan seperti ada tenaga ghaib meresap ke dalam tubuh. Saya pasti, semangat harimau mula meresap ke dalam tubuh.
Kalau tidak dikawal. Saya akan memiliki ciri-ciri seperti seekor harimau. Cuma batang tubuh saja tetap macam manusia. Bagi mengawal diri dan perasaan dari diresapi anasir jahat. Sepasang kelopak mata segera dirapatkan. Seluruh hati dan perasaan saya serahkan kepada Allah. 
Sedikit ruang lapang segera dicari. Di situlah saya duduk bersila dengan mata terpejam. Mungkin dengan berkat doa serta diizinkan oleh Allah fikiran saya tidak berserabut. Beberapa potong ayat Quran yang memang sudah menjadi amalan, bila menghadapi saat-saat kesusahan dan godaan iblis, segera dibaca dengan khusyuk.
Saya berusaha dengan sedaya upaya dan selebihnya saya serahkan pada Allah. Tidak ada apa dalam batin selain dari Allah yang Maha Besar.
Hasilnya, keadaan diri kembali normal. Tidak resah dan gelisah. Perasaan terasa cukup tenang. Dada begitu lapang. Saya bagaikan mendapat satu kekuatan baru, penuh yakin pada diri dan kuasa Allah. Lelaki berdarah dahi yang tangan dan kakinya berbulu harimau. Ternyata sudah tidak sekuat tadi lagi. Kelihatan amat lemah sekali, suaranya bagaikan tidak bermaya.
Tetapi, gerak matanya liar macam gerak mata harimau kumbang. Tajam menyorot ke setiap sudut kawasan lapang. Saya pun mengajak si pemandu beredar dari situ. Membiarkan lelaki berdarah dahi sendirian, berguling-guling di bumi. Kata-kata yang diluahkannya tidak jelas. Dia masih mengaum macam anak harimau.
“Apa kau mahu membiarkan dia terseksa, di situ Tamar,” si pemandu kerutkan dahi sambil merenung ke arah saya penuh kehairanan. Suasana hari bertukar lagi. Senja mula memperlihatkan bayangnya. Di kaki langit ada awan berwarna kemerah-merahan. Rasa cemas kembali menguasai diri.
SUNTUK
Keadaan sudah semakin suntuk. Datuk dan Syed Hamid Al-Hadad yang terpisah tidak tahu cerita. Apakah mereka berdua dalam keadaan selamat atau sebaliknya.
“Tamar, apa tindakan kita selanjutnya?”
“Aku sedang memikirkan sesuatu.”
“Tapi, masa semakin suntuk. Kalau seluruh tubuhnya bertukar menjadi harimau, jawabnya kita jadi habuannya,” resah benar hati si pemandu.
Saya tidak memberikan sebarang reaksi. Malah terus duduk bersila di bumi. Sepasang mata dipejamkan. Dalam erti kata lain, saya bertafakur sejenak. Memisahkan diri dan ingatan dari dunia nyata. Buat kali kedua saya lapangkan hati, lapangkan otak dan perasaan. Semua tumpuan saya halakan ke arah mata hati Mia, gadis harimau.
Mia pun hadir dalam mata kalbu dengan senyum penuh ghairah.
“Memerlukan bantuan?” pendek dialognya.
Saya pun angguk kepala.
“Kamu dalam bahaya, Tamar.”
Macam tadi juga, saya terus anggukkan kepala.
“Baiklah sekejap lagi, ada oarang yang membantu kamu, Tamar, dalam senyum Mia-gadis harimau mengakhiri kata. Dan dia pun lesap dari mata kalbu saya.
Mata kalbu saya didatangi seorang lelaki yang amat  tua. Kulit mukanya sudah berkedut. Janggutnya separas dada tetapi, wajahnya nampak bersih cerah. Susunan giginya nampak rapi dan kukuh.
KALBU
“Pulihkan dengan kekuatan kamu. Dengan keyakinan kamu. Semuanya sudah disampaikan oleh Mia kepada kamu. Manfaatkan sekarang,” selesai sahaja berkat-kata, orang  tua itu terus menghilang. Dan saya masih mengharapkan tempatnya digantikan oleh Mia.
Apa yang saya harapkan tidak kesampaian. Sesungguhnya, amat senang menatap bola matanya yang lembut. Kulit pipinya yang licin. Aduh! Senyumannya sungguh mengesankan bersama lesung pipit dan susunan gigi yang sungguh rapi.
Dalam keadaan yang separuh khayal itu, saya bagaikan melihat samar-samar gerakan seorang wanita. Apa yang pasti wanita itu bukan Mia. Seorang wanita yang asing yang tidak dikenali.
Dalam keadaan samar-samar itu, si wanita misteri menegakkan ibu jari dan kelingking sebelah kanan. Perlahan-lahan diterbalikkan. Kemudian ditegakkan semula. Diterbalikkan kembali dan terus ditikamkan ke perutnya. Wanita misteri terus menghilangkan diri.
Saya teringat perkara seperti itu pernah diajar oleh Mia kepada saya ketika mahu menentang binatang buas. Dengan cara tersendiri satu rumusan diambil. Saya harus mencari pokok renik yang bercabang dua. Tidak kira jenis pokok apa. Ditikam ke bumi sebelum ditikam ke badan musuh. Dan saya kira andaian yang dibuat tidak lari dari maksudnya.
“UUuhhhhhh…………”
Seperti ada benda berat yang memukul dari belakang. Saya tersengguk dan muka hampir tersemban ke bumi. Bila sepasang kelopak mata dibuka, saya sudah berada di alam nyata.
Saya toleh ke kiri dan kanan, mencari siapa gerangan yang memukul belakang saya. Tidak bukti yang nyata, kalau tuduhan mahu diletakkan atas bahu si pemandu. Dia seperti terpinga-pinga bila melihat saya membuka mata.
“Aku pelik dengan kamu, Tamar,”
“Apa yang peliknya.”
“Orang dalam bahaya, kamu tidur duduk.”
“Aku tak tidur, aku bertafakur dan berdialog dengan seseorang.”
“Heeee…..,”keluh si pemandu penuh kebingungan.
Suara raungan lelaki berdarah dahi masih belum putus. Saya dan pemandu segera menghampirinya. Sungguh mengejutkan, dia terkapar dan bergolek-golek. Seluruh tangan kanan sudah penuh dengan bulu harimau.
Bila melihat kehadiran kami, dia terus mengaum dan membongkokkan tubuhnya, macam harimau yang mahu menerkam sesuatu.
Menyedari keadaan semakin kritikal dan bunga senja semakin berat. Pokok renik bercabang dua, segera dicari di sekitar kawasan tersebut. Tidak susah mencarinya lima langkah ke kanan, sudah ada pokok yang diingini.
Tanpa membuang masa, pokok renik dipatahkan. Buang mana yang tidak perlu. Dengan pantas, bahagian yang bercabang ditikamkan ke bumi.
“Kau nak buat apa Tamar,” tanya si pemandu.
Saya segera memberikan isyarat tangan padanya supaya diam. Jangan banyak soal dan tanya. Duduk diam-diam dan lihat apa saja yang bakal saya lakukan. Syukur si pemandu mengerti dengan bahagian isyarat tersebut.
PANTAS
Dengan pantas saya bergerak ke arah lelaki berdarah dahi yang mula bangun mahu bertindak liar. Saya segera berdiri di depannya sambil memusingkan kayu bercabang dua di matanya. Dalam  masa yang sama saya membaca ayat-ayat penunduk dengan harapan dapat melancarkan kerja. Harapan tidak menjadi kenyataan dia bertambah marah dan ganas, terus menerkam.
“Sabar aku mahu menolong kamu,” secara jujur saya menyatakan kepada lelaki berdarah dahi. Dia tidak boleh berkata-kata selain dari mengaum, keadaannya sudah bertambah parah.
Tidak mengejutkan kalau dalam masa empat puluh lima minit lagi, seluruh tubuhnya bertukar menjadi harimau seiring dengan suasana hari yang semakin (malam).
Kerana memikirkan masa begitu terhad. Saya terus melompat melangkah tubuh lelaki berdarah dahi. Sudah diduga, apa yang bakal berlaku lelaki berdarah dahi terus bertindak balas. Dia bangun untuk menentang.





No comments:

Post a Comment