Friday, August 30, 2013

SBDJ SIRI 268 (VS SEPT 2003 ) BERMALAM SAJA DI SINI



Buat seketika, suasana menjadi bungkam sekali. Semuanya membisu, malah desiran angin dan kicau burung bagaikan terhenti. Perhatian tertumpu kepada datuk yang bakal mengeluarkan arahan selanjutnya.
    “Kita melangkah sekarang, jangan peduli apa yang berlaku semasa dalam perjalanan nanti,” itu arahan dari Pak Habib, bukannya dari datuk yang diharapkan. Semua yang berada di situ anggukkan kepala. Tanda setuju.
“Kita melangkah sekarang,” tambah Pak  Habib.
Semuanya akur. Tiada seorang pun yang membantah.
Tidak sampai lima puluh kali melangkah. Secara mengejut Shafie rebah di bumi. Bergolek-golek menahan rasa sakit. Mulutnya berbuih dan terus kaku. Semua jadi kelam-kabut.
“Usah risau, dia cuma pitam,” tenang ibunya bersuara.
Pak Habib dan datuk segera bertindak membantu memulihkan Shafie. Tetapi, ibunya menghalang keras.
“Kenapa?” Tanya datuk kehairanan.
“Perkara biasa,” jawab ibunya.
“Biasanya?” Pak Habib membeliakkan biji mata.
“Iya,” angguk ibunya, “perkara ini tidak berpanjangan, sekejap lagi dia pulih.”
Cakap ibunya memang benar. Tidak lama berselang, keadaan Shafie pulih seperti sediakala. Boleh duduk dan berdiri tetapi, tidak boleh melangkah kerana masih belum mampu mengimbangi tubuhnya.
“Selalukah dia pitam macam ini?” Soal Pak Habib.
“Selalu, ini penyakit semula jadi. Kalau dia tidak pitam atau berbuih mulut, kesihatan dirinya tidak baik. Dalam setahun sekurang-kurangnya sekali dia pitam dan berbuih mulut. Sekarang dia cukup sihat,” lanjut ibu Shafie.
“Bila dia pitam, ertinya dia cukup sihat,” ayah Shafie menguatkan lagi pengakuan isterinya. 
“Inilah keistimewaan anak kami,” ibunya menambah dengan nada yang membayangkan kebanggaan.
Datuk dan Pak Habib kerutkan dahi. Mereka berdepan dengan dunia yang sungguh pelik. Orang sihat dianggap sakit dan orang sakit yang selalu pitam, berbuih mulut dikira cukup sihat. Saya dan Tajuddin saling bertukar pandangan penuh kehairanan.
“Anak kamu berdua bukannya istimewa,” kata datuk terus terang. Pasangan suami isteri itu jegilkan biji mata ke arah datuk dan Pak Habib.
“Kalau bukan istimewa, apa dia?” sanggah ibu Shafie.
“Anak kamu menghidap penyakit ganjil, ada masanya hilang ingatan, “ sahut datuk.
“Mustahil,” serentak pasangan suami isteri menjawab sambil termenung lalu menatap wajah Shafie.
“Kami dah jumpa dukun, pawang bomoh, semuanya mengatakan anak kami ini bertuah, boleh bawa kesenangan pada kami. Itulah sebabnya, kami hantar dia belajar. Lagi pun dia pitam dan berbuih mulut, semasa di kampung, bila di luar kampung, dia tak muntah dan pitam,” si ayah memberikan penjelasan.  
MAAF
Menyedari perasaan pasangan suami isteri itu tersinggung, Pak Habib segera meminta maaf. Datuk cuba menenangkan keadaan yang agak tegang dengan membawa kisah ‘Abu Nawas berkokok macam ayam jantan’ di tepi kolam.
    Semua yang di situ ketawa terkikih. Shafie juga turut ketawa besar. Perjalanan yang terganggu seketika diteruskan kembali.
    “Sudah dekat, tengok di depan itu, ada kawasan kampung. Di situ rumah kami, kata Shafie.
    Memang benar. Di depan mata terbentang kawasan yang menghijau. Pepohon kelapa dan pinang tegak damai. Daunnya melintuk-liuk, seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami.
    “Sebentar lagi, kita semua sampai,” tambah Shafie keriangan. Ayah dan ibunya tersenyum.
    Dua puluh minit kemudian, kami pun sampai di halaman rumah orang tua Shafie. Sebuah rumah berbumbung lima yang sederhana. Berdindingkan papan berdiri. Ada ukiran di pintu dan tingkap. Papan penahan tempias hujan di hujung atap, juga diukir dengan awan larat yang sungguh menarik.
    Kawasan sekitar bersih sekali. Di sudut rumah, kiri dan kanan ada pohon mangga dan langsat yang mula berbunga. Suasana demikian mengimbau ingatan saya ke kampung halaman di tanah semenanjung.
    “Assalamualaikum.....
    Semua biji mata tertuju ke arah lelaki tua yang secara mendadak tersembul dari balik pokok renik. Dan salam orang itu dijawab dengan lantang oleh Pak Habib. Dengan pantas orang tua berdiri di depan ayah dan ibu Shafie. Menghalang langkah menuju ke kaki tangga.
    “Semasa kamu berdua tak ada di rumah, macam-macam bunyi dalam rumah. Pinggan mangkuk, periuk berlaga sesama sendiri. Bila diintai tak ada apa-apa,” lanjut orang tua berjanggut dan bertongkat itu.
    Tiada sebarang komentar yang terhambur dari mulut ayah dan ibu Shafie. Mereka sekadar berpandangan dengan seribu tanda tanya.
    Lelaki tua yang diamanahkan oleh pasangan suami isteri untuk melihat dan menjaga rumah segera menyerahkan kunci rumah.
    “Syukur, kamu berdua dapat membawa anak kamu yang hilang balik ke rumah. Jaga baik-baik jangan sampai hilang kali kedua,” lelaki tua itu memberikan kursus pendek kepada kedua-dua orang tua Shafie.
    Lelaki tua itu segera melangkah mendekati datuk dan Pak Habib. Sinar matanya membayangkan rasa ingin tahu yang amat terhadap Pak Habib, datuk, Tajudin dan saya.
    “Siapa mereka?”
    Anak matanya menatap batang tubuh kami. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke bawah yang dilakukannnya berulangkali. Seolah-olah kami dari angkasa lepas.
“Manusia berempat ini yang menangkap dan menyorok anak kamu,” tanya lelaki tua itu pada pasangan suami isteri. Wajah ibu Shafie nampak resah.
    “Tidak,” pantas ayah Shafie bersuara.
    “Mereka menyelamatkan saya,” Shafie bersuara lantang
    Orang tua itu anggukkan kepala. Kali ini dia menatap wajah kami dengan senyum.
    Kemudian dia kembali merenung muka ayah Shafie.
    “Tadi aku terdengar suara orang bercakap dalam rumah. Aku cuba mengintai dari luar. Tiba-tiba aku terasa macam ada orang memerhatikan aku dari belakang. Bila aku nak toleh, pangkal tengkuk aku dipukul, tak tahu siapa memukulnya. Kamu berhati-hati sikit. Orang yang kamu bawa ni, kena jaga-jaga. Takut musang berbulu ayam,” lelaki tua itu meninggalkan pesan, sebelum angkat kaki meninggalkan kedua-dua orang tua Shafie dan kami.
    “Lupakan cakap orang itu,” ujar ayah Shafie pada datuk dan Pak Habib. Dia meneruskan langkah menuju ke kaki tangga. Ayah Shafie segera membuka kunci dan pintu rumah.
JEMPUT
Sebelum menjemput kami semua ke dalam rumahnya. Dia menyuruh isterinya masuk dulu. Memeriksa keadaan dalam rumah.
    “Siapa orang tadi?” Pendek datuk bertanya.
    “Dia jiran kami,” jawab ayah Shafie.
    Pertanyaan selanjutnya, tidak diteruskan oleh datuk.
    “Tak ada apa yang tak kena. Semuanya macam biasa,” kata ibu Shafie dari muka pintu. Kami pun dijemput masuk ke rumah.
    Sebagai tetamu, kami dijamu kopi panas dan pisang nangka goreng yang sungguh menyelerakan.
    “Bermalam saja di sini,” tahan ibu Shafie, sebaik saja selesai solat Asar dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah Pak Habib. Satu permintaan yang agak sulit untuk dijawab oleh Pak Habib atau datuk.
    Bila menyedari tidak ada tindak balas yang positif dari Pak Habib atau datuk. Ibu Shafie mengajukan pertanyaan yang sama khusus untuk Pak Habib. Pak Habib tidak memberikan jawapan muktamad. Kehampaan terpeta di wajah ayah dan ibu Shafie. Saya resah semacam, begitu juga dengan Tajudin tetapi, Shafie bersahaja sekali.
    “Sebenarnya, saya mengharapkan bantuan awak berdua. Masalah anak saya belum selesai lagi. Saya berhajat nak mengadakan sembahyang hajat malam ni, tengahari esok lepas sembahyang zohor, saya nak adakan kenduri kesyukuran,” secara terbuka ayah Shafie meluahkan rancangannya.
    Pak Habib garu pipi kiri dengan jari manis dua tiga kali. Sementara itu datuk merenung keluar, melihat dedaun yang disentuh angin.
    “Tapi........
    Macam ada sesuatu yang menghalang datuk dari meneruskan kata-kata. Saya kedutkan dahi dan melepaskan nafas. Rasanya macam ada sesuatu yang tidak kena. Shafie yang tadi saat setia di sisi ayahnya berdepan dengan datuk dan Pak Habib segera bangun menuju ke dapur.
    Shafie keluar dari ruang dapur dan duduk semula di sisi ayahnya.tetapi, datuk masih belum menyambung kembali kata-kata yang terhenti.
    Suasana diluar terasa tenang. Beburung melompat dari dahan ke dahan. Bagaikan gembira dengan sinar matahari petang yang kian meredup.
    “Usah bertapi lagi, saya memang memerlukan ikhtiar awak berdua. Tidur semalam saja di rumah ini. Esok saya suruh anak buah saya menghantar awak balik ke rumah,” tanpa disangka-sangka ibu Shafie muncul di ruang tamu dan terus melibatkan diri dalam dialog singkat. Ayah Shafie setuju dengan apa yang dituturkan oleh isterinya.
    “Alang-alang membantu, biarlah sampai selesai,” sampuk Shafie sambil merenung muka Pak Habib dengan tepat sekali. Ibunya masuk ke ruang dapur semula. Ayahnya sandarkan badan ke dinding.
    Entah macamana, saya terasa hati. Dalam dialog antara ayah dan ibu Shafie dengan datuk dan Pak Habib. Nama saya, Tajudin tidak disebut langsung. Kalau kami berdua tidak diperlukan, ertinya kami harus pulang ke rumah Pak Habib. Ini satu penyeksaan, fikir saya sendirian.
TAMU
Suasana di ruang tamu terasa bungkam sekali. Tiada siapa yang bersuara, semuanya termanggu macam memikirkan sesuatu. Suasana bungkam itu dikejutkan dengan suara jeritan seorang wanita awal tiga puluhan. Semua yang ada di ruang tamu segera berdiri.
    “Peah dikejar ular tedung,” kata seseorang di kaki tangga.
    “Bantu,” kata ayah Shafie.
    Semua yang ada di ruang tamu turun ke halaman rumah. Wanita yang bernama Peah terus menjerit. Berlari bagaikan tidak cukup tanah. Seluruh kampung jadi gempar. Penduduk keluar ke tanah lapang. Tiada seorang pun yang berusaha menahan Peah dari lari dan menjerit.
    “Selamatkan keadaan,” bisik Pak Habib ke telinga datuk.
    “Baiklah,” jawab datuk.
    Datuk segera minta bantuan ayah Shafie agar menghalang Peah berlari ke arah utara menuju hutan kecil. Ketika datuk mahu melangkah ke depan lagi memintas larian Peah seekor ular tedung muncul. Semua yang ada di situ menjerit cemas.


No comments:

Post a Comment