Thursday, August 29, 2013

SIRI 236 MANGSA RAJA SIHIR

Buat beberapa detik terasa cemas. Kuku di hujung di kelingking terus digigit. Bermacam-macam perkara buruk bermain di kepala. Semuanya berkisar tentang hal diri. Apakah kami boleh melepaskan diri dari dikuasai lelaki berdarah dahi. Apakah selepas ini masih ada perkelahian yang tidak diminta ?

           “ Perkara itu berlaku waktu malam ?”

           Saya kira, si pemandu sengaja mengemukakan pertanyaan demikian untuk memancing rahsia. Lelaki berdarah dahi masuk perangkap. Pertanyaan itu membuat dia termenung seketika. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

           “Iya, betul,” jawab lelaki berdarah dahi.

           “Perkara itu terjadi di depan mata kamu ?”

           Iya, “ lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.

           Si pemandu menarik nafas dalam-dalam. Kemudian berdehem beberapa kali sambil menjeling ke arah saya. Semasa mengalihkan pandangan merenung ke arah kawasan yang ditumbuhi pepohon renek, renungan kami bertembung. Tanpa disengajakan, masing-masing melepaskan senyum yang dibalut keraguan terhadap lelaki berdarah dahi.

           “Kamu kagum dengan kebolehan mereka?”

           “Iya,” angguk lelaki berdarah dahi.

           “Seterusnya, kamu berjinak-jinak dengan mereka untuk menuntut ilmu harimau jadi-jadian,” si pemandu terus bertanya.

           “Betul,” lelaki berdarah dahi mengaku macam orang bodoh. 

           “Kamu tahu, orang itu boleh menjadi harimau pada waktu malam, waktu siang ilmu itu tidak menjadi.”

           “Tak tahu,” berkali-kali lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

           Dia macam terkejut.

           “Orang tu tak beritahu kamu?”

           Lelaki berdarah dahi gelengkan kepala.

           “Ertinya, kamu belajar ilmu setengah tiang, si pemandu terus memperkecilkan lelaki berdarah dahi. Saya ketawa dan sikap saya itu memang tidak disenangi oleh lelaki berdarah dahi. Rasa marah dan geram dilahirkannya dengan satu jelingan yang tajam.

JELING

Menyedari kesalahan itu, saya segera menundukkan kepala. Merenung rerumput di kaki. Tidak berani menentang sinar matanya yang tajam penuh dengan api kemarahan.

           Dengan ekor mata saya menjeling ke arah lelaki berdarah dahi. Dia masih marah. Jalan tengah segera diambil. Wajahnya saya tatap bersama senyum persahabatan dan kemaafan. Niat baik dipersendakan. Sungguh menyakitkan hati. Dia menjuihkan bibir ke arah saya.

           “Eh.” Si pemandu memetik jarinya ke arah lelaki berdarah dahi. Satu perbuatan yang memang tidak disenangi. Nasib baik lelaki berdarah dahi tidak menunjukkan tindak balas agresif. Kalau tidak, perkelahian yang padam akan kembali menyala.

           “ Kau nak cakap apa ?” Tiba-tiba saja lelaki berdarah dahi menyergah si pemandu.

           “Kamu tahu, ilmu dua lelaki yang boleh menjadi harimau itu tak mampan buat Tuan Syed. Dia boleh mengatasi kebolehan mereka,” kata si pemandu.

           Saya tidak tahu, apakah cakap itu benar atau sekadar memperdayakan lelaki berdarah dahi tadi. Tetapi apa yang pasti, setelah mendengar si pemandu, lelaki berdarah dahi terus kerutkan dahi.

LANGIT

Dua tiga kali dia renung ke dada langit, melihat gumpalan awan yang bergerak perlahan ke arah laut. Sesekali merapatkan sepasang kelopak matanya dari dimasuki debu yang dibawa angin petang yang bertiup agak kencang.

           “Kamu jangan cuba mempermainkan aku,” secara mendadak lelaki berdarah dahi bersuara separuh menjerit. Mungkin dia berbuat demikian kerana mahu menutup kelemahan dirinya.

           “Terpulanglah pada kamu, sama ada mahu percaya atau tidak,” satu jawapan tegas. Lelaki berdarah dahi menggosok pangkal hidungnya dua tiga kali. Kemudian dia menggelengkan kepala. “Mustahil Tuan Syed mempunyai ilmu setinggi itu.”

           “Terpulang,” balas si pemandu.

           Saya semakin bertambah bingung menghadapi suasana  yang dikira serba tidak kena. Kenapa mesti banyak bercakap daripada bertindak, fikir saya dalam hati.

           Muka si pemandu saya renung. Mata pun saya kenyitkan. Maksudnya saya mahu dia bertindak lebih pantas menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Si pemandu mengerti keinginan saya.

           “Tamar, kamu sayang datuk kamu?” muncul pertanyaan dari si pemandu yang nampaknya resah.

           “Kamu jangan bergurau,”

           “Aku tak bergurau, kalau kamu sayang ikut aku. Jangan banyak berdalih, mari kita bantu dia bersama Tuan Syed, “ Si pemandu minta sebuah kepastian.

           Saya tiada pilihan lain, mesti patuh dengan ajakkannya. Saya kira lelaki berdarah dahi juga tidak dapat menolak. Dia terpaksa menolong si pemandu yang satu merga dengannya. Malah kawan seperguruan semasa menuntut di Kasiran Sumatera Utara satu ketika dulu.

           “Apa yang ditunggu lagi Tamar, mari.”

           “Ayuh, saya menjawab.

           Dan kami pun melangkah serentak dengan pantas sekali.

           “Aku ikut sama,” jerit lelaki berdarah dahi.

           Dia yang ketinggalan beberapa langkah di belakang mempercepatkan langkahnya hingga menyamai langkah di pemandu dan saya. Tetapi, apa yang dirasakan sungguh ganjil. Macam ada sesuatu yang tidak betul.

           Si pemandu yang menjadi kepala jalan seperti kehilangan arah. Rasanya, sudah jauh benar berjalan hingga seluruh tubuh berpeluh. Tetapi, bila menoleh ke belakang batu besar masih dekat dengan kami.

PELUH

Dalam erti kata lain, langkah kami tidak ke mana-mana. Masih berlegar-legar sekitar batu besar. Pada hal kami bertiga terasa amat penat sekali. Peluh yang keluar, usah dikira, kalau dikumpulkan hampir setengah baldi.

           “Kita berhenti, aku penat,” dalam keadaan tercungap-cungap saya memberitahu si pemandu. Keluhan itu disokong oleh lelaki berdarah dahi.

           Dan si pemandu terus simpati, langkah perjalanan segera dimatikan. Kami bertiga tersadai dan terbaring atas rumput di kawasan lapang merehatkan diri dari kepenatan.

           “Tamar,”

           “Iya, kenapa?”

           Dalam kepenatan yang belum berakhir itu, maka si pemandu saya renung. Dia nampak keletihan sekali. Nafasnya tercungap-cungap. Sedangkan lelaki berdarah dahi dengan tenang mendepangkan sepasang tangannya atas rumput.

           “Aku rasa kita diperdayakan orang Tamar.”

           “Boleh jadi,” balas saya.

           Si pemandu terus mengesat peluh yang mengalir di kiri kanan keningnya dengan telapak tangan. Buat seketika, tidak ada komentar yang lahir dari mulut lelaki berdarah dahi.

           Suasana hari terus beranjak ke petang. Dalam tempoh beberapa jam lagi,  matahari pasti jatuh di kaki langit. Dan dewi senja mengambil alih tugas dari matahari. Kalau suasana hari sudah didatang berbunga senja, segala-galanya akan menjadi sukar.

SUASANA

Usaha mencari datuk dan Syed Hamid Al-Hadad akan menjadi bertambah sulit.  Satu perbincangan kecil segera diadakan antara saya dengan si pemandu. Lelaki berdarah dahi hanya mendengar saja.

           Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk kembali semula ke arah batu besar, tempat di mana kami mula bertolak tadi.

           Sambil menyandarkan badan ke batu besar, langit yang terbentang luas menjadi habuan mata. Keluang dan bangau terbang  tinggi bagaikan berlumba-lumba di awan.

           Suara agak liar jelas kedengaran. Bunyi deru kenderaan yang lalu di jalanraya di balik terus menyumbat lubang telinga.

           “Bagaimana semuanya ini boleh berlaku?” terhambur pertanyaan dari kelopak bibir. Muka si pemandu saya renung. Dan si pemandu pula merenung muka lelaki berdarah dahi. Pokoknya, wajah kami terus dibalut keresahan. Terus diselubungi kecemasan dan ketakutan.

           “Kita disihir,” Terpancut kata dari sepasang bibir tebal lelaki berdarah dahi.

           “Kenapa kamu cakap macam tu? Soal si pemandu sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah berkali-kali. Tiada daya dia menyembunyikan rasa marah dan geram.

           Tiada jawapan yang diberikan oleh lelaki berdarah dahi. Si pemandu bergerak ke kanan dan ke kiri. Akhirnya berhenti dan berdiri di sebelah kanan saya. Sepasang matanya kembali tertumpu kulit muka lelaki berdarah dahi.

           “Tentu ada sebab kamu cakap macam itu. Kalau tak ada angin, mana mungkin pokok bergoyang. Cakap sekarang,” keras benar tekanan nada suara si pemandu. Tiada reaksi dari lelaki berdarah dahi. Hati si pemandu terus membara.

           “Cakap, bedebah.”

           Telapak tangan kanan pemandu yang kasar dan lebar jatuh ke atas bahu kiri lelaki berdarah dahi. Cengkaman dari lima jari yang panjang dengan otot-otot yang menonjol di belakang tangan membuat lelaki berdarah dahi merendahkan tubuhnya menahan rasa sakit. Wajahnya nampak berkerut.

           “Cakap,” si pemandu terus mendesak.

           Lelaki berdarah dahi tetap membatu.

           Kemarahan terus membakar hati nurani si pemandu. Cengkaman jari-jemarinya semakin kuat menekan tulang selangka. Makin lama, makin rendah kedudukan lelaki berdarah dahi. Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi. Dengan sekali tolakan, lelaki berdarah dahi terkejut dan terpampan.

           Saya memang merestui tindakan si pemandu. Entah mengapa, saya seperti didorong sesuatu terus menerpa di sisi lelaki berdarah dahi. Leher bajunya terus dicekak. Wajahnya pucat lesi.

           “Jangan bunuh aku,” dia merayu.

           Baju yang dicekak saya lepaskan sambil kaki menyepak lemah ke punggungnya.

           “Kamu mesti membantu kami,” si pemandu terus mengherdiknya.

           “Sebenarnya, aku tidak mampu melawan, selain dari ilmu tikus putih, kamu juga mempelajari ilmu (silat)  harimau melindungi anak, ilmu yang tidak ada pada aku, “ lelaki berdarah dahi meluahkan sebuah pengakuan.

           Si pemandu terus merenung ke arah saya sambil mengangkat tangan kanan separas telinga kiri, memberi isyarat minta bantuan.

           “Kamu bercakap jujur dengan kami. Bekerjasama dengan kami. Itu saja yang kami minta, “ kata-kata itu terhambur dari mulut sebagai memenuhi isyarat dari si pemandu.

           “Bantulah kami,” saya terus merayu dan memujuk.

           Tiada jawapan yang diberikan. Lelaki berdarah dahi lebih menggigit ibu jari dari memberikan perhatian terhadap kata-kata yang saya hamburkan.

PUJUK

Walau apapun, saya memang mengharapkan pujukan itu akan berhasil. Kalau tidak berhasil, saya dan si pemandu akan menghadapi jalan sukar. Mungkin nasib Syed Hamid Al-Hadad dan datuk akan menjadi lebih teruk lagi.

           “Saya bersetuju bekerjasama dengan kamu berdua.”

           Satu jawapan yang memang diharapkan. Saya dengan pemandu berbalas senyum dan bertepuk bahu antara satu sama lain.

           “Dengan ikhlas,” tanya saya.

           “Sudah tentu,” sahut si pemandu.

           Kami bertiga terus berjabat tangan. Kemudian berpelukan penuh kemesraan sambil membulatkan azam untuk melawan musuh.

           “Ceritalah, apa yang kamu tahu,” sengaja saya lembutkan tekanan nada suara. Penuh diplomasi.

           “Semuanya sudah diatur. Sejak kami tahu Syed Hamid Al-Hadad melalui jalan ini untuk ke Medan. Semua persiapan sudah kami aturkan......” lelaki berdarah dahi berhenti bercakap.

           Dengan penuh sopan dia mengajak saya dan si pemandu duduk atas batang nibung yang sudah lama rebah. Sudah tentu permintaannya tidak kami tolak begitu saja. Kami juga mengharapkan, semoga dia tidak berdalih atau berhelah.

           Semoga dia tidak akan mengambil kesempatan dari kebaikan kami untuk memperlambatkan apa yang bakal kami lakukan. Dengan berhelah atas berdalih boleh membuatkan kami terleka. 

           Dan masa akan terus berjalan menuju ke senja, akhirnya menyambut malam. Bila hal ini terjadi, akan memberi kesempatan kepada dua lelaki yang memburu Syed Hamid Al-Hadad menjadi harimau.

           Andainya, dua lelaki itu boleh menukarkan bentuk tubuhnya dari manusia menjadi harimau. Sudah pasti, Syed Hamid, datuk, si pemandu dan saya tinggal nama saja.

           “Cakaplah cepat, jangan berbelit-belit dan bercerita tentang kisah lain,” dengan pantas saya memotong, bila menyedari yang lelaki berdarah dahi memulakan cerita tentang keturunan yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang sedang dihadapi.

           Sialnya, lelaki berdarah dahi senyum sinis. Hati saya terbakar dibuatnya.

           “Masa semakin suntuk,” tekan saya meninggi.

           “Tahu,” jawabnya acuh tak acuh.dua tiga kali, dia meraba dan menggosok-gosok hujung dagunya dengan kuku jari kelingking.

           Memang menyakitkan. Tindak-tanduknya mengundang kemarahan saya dan si pemandu. Tetapi, kami berdua masih dapat mengawal perasaan. Tidak ada gunanya berkeras boleh menimbulkan ketegangan. Bila ini terjadi, tiada siapa yang untung dan orang yang paling rugi kami berdua.

           “Kalau terus begini, diri kita semua yang celaka.” Ungkapan yang dihamburkan oleh si pemandu membuat saya menghela nafas panjang. Tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku. Lelaki berdarah dahi mendongakkan mukanya ke dada langit.

           Barangkali dia melihat langit biru dan awan gemawan yang putih berarak lembut. Mungkin juga mencari ilham untuk membuat keputusan yang bakal diambil. Hembusan angin semakin rancak menyentuh pepucuk daun sekitar.

           “Ceritalah, apa yang kamu tahu.” Sebuah rayuan bersama air muka minta dikasihani dari si pemandu. 

           Ternyata taktik ini berkesan.

RENUNG

Lelaki berdarah dahi renung kiri, renung kanan. Kemudian dia mendongak wajah ke langit macam tadi. Bagaikan ada sesuatu yang dicarinya. Dua langkah pula dia undur ke belakang. Dengan cepat dia menukar tempat.

           Berdiri di tengah-tengah, antara saya dan si pemandu, saya kira ini satu perbuatan yang luar biasa. Dan saya tersenyum, bila dia menjolok lubang hidungnya yang luas dengan jari telunjuk.

           “Uhhu..........”

           Tanpa memberi sebarang amaran, lelaki berdarah dahi melepaskan dua penumbuk serentak, kiri dan kanan pada perut kami. Hasilnya, saya dan si pemandu tersedak dan batuk panjang. Air liur bersemburan dan mata terus berair. Perut terasa sakit (senak) yang amat sangat. Tidak dapat menegakkan tubuh, terpaksa membongkok menahan sakit.

           Di saat hati tertanya-tanya. Kenapa perkara begini dilakukan, lelaki berdarah dahi terus mengeluarkan arahan yang agak ganjil dan dan aneh bunyinya.

           “Buka baju kamu berdua.”

           Arahan itu segera dipatuhi.

           “Sapukan ke muka kamu berdua, inilah usaha terakhir kita,” tambah lelaki berdarah dahi. Seperti tadi, arahannya kami patuhi tanpa memikirkan buruk baiknya.

           Kami bagaikan dipukau. Mengikut apa saja arahan darinya. Bila semua arahannya dipatuhi, pandangan saya jadi samar-samar. Lubang hidung terus disumbat dengan bau cabai kering dan bawang bakar. Lagi sekali kami berdua tersedak serentak.

           Keadaan ini memang tidak disenangi, ada keraguan dalam sanubari. Mungkin ini satu helah untuk memerangkap saya dan si pemandu. Dan ini mungkin amaran secara halus, seolah-olah memberitahu, pintu kematian sudah berada di depan kami.

           Si pemandu menggigit bibir sambil merenung ke langit. Matahari sudah condong benar. Sinarannya tidak segarang tadi. Percayalah, dalam sedikit masa lagi, matahari pasti terbenam di kaki langit. Senja pasti datang berlenggang. Ketika itu, semua usaha tidak bermakna lagi.

           “Ada tercium bau bawang dan cabai kering terbakar.”

MENGGIGIT

Suara dari lelaki berdarah dahi, membunuh kesangsian yang berbunga dalam dada. Si pemandu saya lihat menggigit hujung jari sambil mengecilkan kelopak mata kanannya. Pasti, dia masih ragu-ragu untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh lelaki berdarah dahi yang nampak masih berdiri dalam keadaan bersahaja.

           “Ada.”

           Saya mendahului si pemandu memberikan jawapan.

           “Ertinya, pantang dan petua berjaya saya tawarkan,” lelaki berdarah dahi bersuara lantang. Ada tanda kepuasan bermain dimukanya. Buat beberapa minit, dia berlari dan mengelilingi batu besar berulang kali.

           “Gila,” saya merungut.

           “Kita tengok dulu,” balas si pemandu.

           Kalau tidak silap menurut hitungan rambang, tujuh kali lelaki berdarah dahi mengelilingi batu besar. Dalam keadaan yang amat penat dia melangkah longlai ke arah kami, sebaik sampai dia terus rebah di bumi, kira-kira setengah kaki dari hujung jari kaki kami.

           Berguling-guling sambil memeluk sepasang lutut. Bunyi nafasnya cukup keras macam bunyi nafas kerbau yang sedang marah.

           Kalau pada mulanya, dia menggulingkan tubuh di bumi dengan penuh tenaga dan cepat, begitu juga dengan bunyi nafas. Tetapi, setelah sepuluh minit masa berlalu, gulingannya tidak sehebat tadi. Begitu juga dengan bunyi nafasnya. Semakin lama, semakin lemah dan akhirnya terus berhenti.

No comments:

Post a Comment