Monday, August 30, 2010

SIRI 130 SI TUA MISTERI DARI SOLOK



DARI ambang pintu, saya perhatikan langkah nenek yang teratur .Sinar matahari tidak dapat menyentuh rambut dan tempurung kepalanya yang dibalut dengan selendang kuning. Wajahnya yang kemerahan dan berpeluh masih mampu mengukir senyum untuk saya.
“Nek dari mana?” Tanya saya kehairanan, sebaik saja nenek melintas di depan saya untuk masuk ke rumah.
“Dari surau, aku hantar kuah ayam seperiuk.”
“Kenapa tak nanti saya nek?”
“Kamu mandi lama sangat di perigi, jadi aku hantar dulu mana yang senang,” tutur nenek lalu duduk bersimpuh di lantai. Dengan hujung selendang dia mengesat peluh di wajah.
Saya segera menggigit bibir bawah. Sepasang anak mata menyorot wajah nenek dan hati saya segera berkata :Memang, kau nenek yang baik. Tidak mahu membebankan cucumu dengan kerja-kerja yang sukar .Terima kasih nenek. Suara hati saya terus beralun dan berombak dalam rongga dada.
“Kenapa Tamar? Kamu suka tengok kulit muka nenek yang dah berkedut ni,” kata nenek bersahaja. Senyumannya masih terukir di bibir. Saya menarik nafas dalam-dalam.
“Bukan fasal tu nek.”
“Habis fasal apa Tamar,”
“Nenek terlalu baik.”
“Sudah , jangan merepak, pergi bawa barang-barang ke surau. Tak lama lagi waktu Asar tiba,” wajah nenek nampak serius.
Dan saya segera mematuhi arahannya Dalam perjalanan ke surau, sambil menatang talam besar yang berisikan pulut. Fikiran saya masih tertumpu kepada mimpi yang saya alami tadi. Kerana itu, saya tidak ambil peduli tentang nenek yang mengekori saya sambil memikul setandan pisang emas masak. Memang saya berhasrat, mahu menceritakan apa yang saya alami dalam mimpi itu pada datuk.Biar dia membuat tafsiran yang boleh menyenangkan hati saya. Mungkin bukan sekarang. Tidak mengapa, kalau tak boleh hari ini, esok lusa pasti saya ajukan kepadanya. Saya mahu mendengar pendapat atau komen datuk sendiri.
Sampai di surau, pulut kuning satu talam saya serahkan pada Mat Upeh, (siak surau yang berasal dari Pengkalan Baru, dekat Pantai Remis). Nenek meletakkan setandan pisang emas atas pelantar .Urusan selanjutnya terletak atas bahu Mat Upeh.
“Air kopinya macam mana?” Tanya Mat Upeh.
“Datuk si Tamar tak cakap apa-apa dengan awak?” Sahut nenek. Mat Upeh gelengkan kepala. Saya dan nenek berpandangan.
“Aku minta pertolongan kamu menyediakannya. Gula dan kopi aku sediakan,” saya dan nenek segera merenung ke arah datuk yang secara mendadak muncul dari sebelah kiri pelantar surau.
Kerana memikirkan tugasnya sudah selesai, nenek tidak mahu membabitkan dirinya dalam dialog antara datuk dengan Mat Upeh. Nenek angkat kaki dan terus pulang.
“Macam mana Encik Mat, boleh ke tolong saya,” datuk minta kepastian.
“Bagi saya tak ada apa-apa masalah.” jawapan dari Mat Upeh amat menyenangkan datuk.
Saya lihat datuk menyeluk saku baju. Dia mengeluarkan sesuatu dan saya kurang pasti, apakah barang yang dikeluarkan oleh datuk itu. Datuk hulurkan barang itu kepada Mat Upeh seraya berkata:
“Nah duit ni, belilah kopi dan gula. Kamu agak sendiri berapa banyak yang mesti dibeli, jemaah dianggarkan kira-kira dua puluh orang .Wang lebihnya ambil untuk kamu.”
Dengan senang Mat Upeh menerima tugas tersebut, kalau tidak salah penglihatan saya wang yang dihulurkan oleh datuk kepada Mat Upeh berjumlah sepuluh ringit.
“Saya terima amanah awak,” tutur Mat Upeh sambil menepuk bahu kanan datuk dengan mesra.
                                          ARAHAN

Waktu Asar sudah masuk, datuk menyuruh saya memukul beduk. Saya juga diarahkan supaya melaungkan azan. Semua arahan datuk saya patuhi.
Sebaik saja saya menamatkan laungan azan, para jemaah datang berduyun ke surau kecil yang terletak berhampiran dengan kolam. Di hujung kolam, sebelah barat terbentang sawah padi yang sedang tumbuh menghijau.
Kerana saya berdiri di muka pintu surau, semua jemaah yang masuk menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya. Dengan penuh hormat dan bangga saya menyambutnya.
Datuk yang berdiri di tangah surau merenung ke arah saya dengan senyum. Mungkin datuk berasa puas dan bangga kerana saya pandai melayan para jemaah, pandai melaungkan azan dan sebentar lagi saya akan melakukan qamat.
Tiba-tiba hati dan perasaan saya tersentak, apabila telapak tangan seorang lelaki tua yang tidak saya kenali. Secara mendadak saya terbayangkan wajah Shiekh Abu Bakar Al-Patani yang datang dalam mimpi saya.
Setelah saya amati wajahnya ternyata lelaki tua yang sedang saya genggam telapak tangannya itu bukan Sheikh Abu Bakar Al-Patani. Di saat fikiran dan perasaan saya berperang memikirkan siapakah lelaki tua misteri? Datuk segera mendekati saya.
“Ini cucu saya tuan haji,” beritahu datuk pada lelaki tua itu. Dia menarik telapak tangannya yang saya genggam dan terus memeluk tubuh saya.
“Kamu yang azan tadi?” Soalnya sambil melepaskan tubuh saya yang dipeluknya.
“Iya,” sahut saya sambil cuba menjauhkan diri dari lelaki tua itu.
“Tuk, siapa dia ni tuk, sebelum ni tak pernah saya tengok wajahnya,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya.
Tidak saya duga sama sekali bahawa datuk kurang senang dengan cara saya mengemukakan pertanyaan terhadapnya. Aikbatnya, datuk jegilkan biji mata serta membayangkan kemarahan di wajahnya. Tetapi, api kemarahannya segera berakhir apabila sepasang biji mata orang tua itu tertumbuk ke wajahnya.
“Jangan bengis dengan cucu sendiri,” saya terdengar orang tua itu melafazkan kata-kata. Datuk tersengih dan cuba tersenyum.
“Tamar.”
Saya yang bersedia mahu melangkah ke tengah surau untuk melakukan qamat, terpaksa membatalkan niat tersebut. Sebaliknya saya terus melangkah setapak ke arah datuk. Saya renung wajah datuk.
“Kenapa tuk?”
“Kau nak tahu Tamar, inilah Tuan Haji Yatimi. Dia ni baru datang dari Solok,” beritahu datuk kepada saya.
“Solok tu di mana tuk?”
“Di Sumatera Barat, letaknya kira-kira 24 km dari Kota Padang. Dia ni ulama besar, datuk banyak belajar darinya,” sambung datuk lagi, cukup bersemangat datuk menjelaskan tentang biodata orang tua itu di depan saya.
“Usah dikisahkan tentang aku padanya, suruh sesiapa qamat segera,” orang tua itu memotong cakap datuk.
“Cucu saya qamat,” sahut datuk.
“Bagus, pergi segera,” orang tua itu terus tepuk bahu kanan saya. Dan saya pun melangkah ke tengah surau.
Beberapa saat kemudian kalimat-kalimat qamat pun bergema dalam surau. Para jemaah pun segera mengambil tempat masing-masing. Saya kira datuk yang akan menjadi imam, rupa-rupanya tetamu baru yang mengambil alih tugas datuk.
                                             PUJI
Semua orang memuji Haji Yatimi, kata mereka pembacaan doa yang dilakukannya cukup baik. Kalimat-kalimat yang disebut cukup jelas dan terang, pembacaannya cukup fasih.
Dia melayan para jemaah dengan ramah, tidak kira muda atau tua. Malah, dia melahirkan rasa bangga kerana datuk menyuruh dia menjadi imam dan membaca doa kesyukuran kerana penyakit yang dideritai oleh Khoja Lisut sudah sembuh.
“Enaknya,” kata Haji Yatimi sebaik saja dia menikmati hidangan yang disediakan oleh Mat Upeh untuk para jemaah. Datuk senyum panjang.
“Lepas makan ni, orang yang saya ikhtiarkan itu mahu berikrar di depan para jemaah. Dia mahu bertaubat dan tidak mahu melakukan sebarang kejahatan,” bisik datuk kepada kepada Haji Yatimi.
“Apa dia sudah bertaubat betul-betul atau main-main,” semacam ada keraguan dalam diri Haji Yatimi.
Datuk tersentak mendengar pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Dua tiga kali saya lihat datuk kerutkan kening , ekor matanya mengerling tajam ke arah Khoja Lisut yang duduk di sudut surau. Seolah-olah mahu mengasingkan diri dengan para jemaah yang sudah kenyang makan pulut kuning berlaukkan ayam. Mat Upeh terus mengumpulkan pinggan, piring dan cawan kosong. Kulit pisang emas ditaruh dalam baldi plastik warna merah.
“Kalau dia benar-benar mahu bertaubat memang bagus. Kalau sekadar mahu main-main, nanti akibatnya memakan diri,” tutur Haji Yatimi tenang.
“Orang-orang yang berubat dengan saya itu memang benar-benar mahu bertaubat,” penuh yakin datuk bersuara. Tetapi tidak semudah itu Haji Yatimi mahu menerima kata-kata dari datuk.
“Sudahkah orang itu buat sembahyang taubat?” Sepasang biji mata Haji Yatimi terpaku ke wajah datuk.
“Sudah tuan haji.”
“Bagus, mana orangnya? Doa kesyukuran sudah dibaca tetapi orangnya tak mahu diperkenalkan pada aku. Sebelum dia baca ikrar, aku nak berkenalan dengannya,” Haji Yatimi mengajukan permintaan kepada datuk. Saya kira tanpa disedari, datuk sudah melakukan kesilapan besar kerana tidak memperkenalkan Khoja Lisut kepada tetamunya.
“Oh, maafkan saya tuan haji, saya terlupa.”
“Tak mengapa, kita ni manusia tidak lepas dari kesilapan dan lupa. Bukankah manusia itu memang tidak sempurna, manusia itu hamba Allah yang dhaif,” sambil berkata-kata, Haji Yatimi merenung setiap muka para jemaah. Semua yang hadir anggukkan kepala. Setuju dengan perkara yang dikatakan oleh Haji Yatimi.
“Khoja, ke mari kamu,” suara datuk meninggi.
Khoja Lisut segera bangun, berjalan dengan tunduk dari sudut surau menuju ke arah datuk dan Haji Yatimi. Semua biji mata para jemaah tertumpu ke arah Khoja Lisut. Ada di antara para jemaah itu berbisik sama sendiri. Khoja Lisut duduk bersila di depan Haji Yatimi dan datuk.
“Aku perkenalkan Haji Yatimi dari Solok,” suara datuk lantang. Semua yang berada dalam perut surau mendengarnya. Haji Yatimi lebih awal menghulurkan tangan kepada Khoja Lisut. Mereka bersalam erat, mata Haji Yatimi menyorot tajam ke bola mata Khoja Lisut.
Dengan sedaya upayanya Khoja Lisut cuba mengelakkan biji matanya dari bertembung dengan biji mata Haji Yatimi. Dia berasakan sinar mata orang tua itu amat tajam menusuk ke jantung kalbunya. Dadanya berdebar tanpa sebab.
“Kenapa tangan kamu menggeletar?” Tegur datuk setelah melihat lengan kanan Khoja Lisut menggeletar. Semua biji mata dalam surau tertumpu ke arah Khoja Lisut. Cepat-cepat Haji Yatimi melepaskan telapak tangan Khoja Lisut yang dirangkumnya. Wajah Khoja Lisut kelihatan pucat sekali.
“Kamu sakit Khoja?” Pertanyaan datuk dijawab oleh Khoja Lisut dengan menggelengkan kepala.
                                          TANGAN

Dalam masa yang sama Khoja Lisut memberi isyarat tangan kepada datuk menyatakan yang dia mahu kembali duduk di tempat asalnya, di sudut surau. Apa yang dilakukan oleh Khoja Lisut dapat dikesan oleh Haji Yatimi.
“Duduklah dulu, di depan saya.”
“Kurang manis rasanya duduk di sini, terkeluar dari barisan jemaah yang lain,” tingkah Khoja Lisut sambil merenung ke arah datuk untuk meminta sokongan agar permintaannya direstui oleh datuk.
“Duduklah di situ Khoja, agaknya ada hal mustahak yang nak dicakapkan Haji Yatimi kepada kamu,” kata-kata yang diucapkan oleh datuk itu amat mengecewakan diri Khoja Lisut. Dia tidak ada pilihan lain dan terpaksa duduk di depan Haji Yatimi.
“Boleh aku tanya kamu?” Haji Yatimi tatap wajah Khoja Lisut.
“Silakan,” sahut Khoja Lisut.
“Bagus, aku nak tahu, kamu benar-benar nak bertaubat atau sengaja suka-suka nak bertaubat. Cakap jujur dengan aku, perkara agama tak boleh dibuat main-main begitu juga dengan perkara taubat ni, jangan diolok-olok nanti taubat makan diri,” nada suara Haji Yatimi sekejap meninggi dan sekejap merendah. Semua yang ada dalam surau terus pasang telinga.
Kata-kata itu membuat Khoja Lisut bertambah cemas. Para jemaah penuh debar menanti jawapan dari Khoja Lisut. Beberapa jemaah yang tidak mahu mengikuti perkembangan selanjutnya segera beredar. Bagi mereka itu tidak penting, apa yang penting ialah sembahyang berjemaah, menikmati pulut kuning bersama lauk ayam, pisang sudah memadai. Cuma itu yang disebutkan oleh datuk kepada mereka. Dan permintaan datuk datuk itu sudah mereka laksanakan.
“Saya sudah insaf, saya tak mahu ulang perkara yang sudah saya buat,” begitu tegas suara Khoja Lisut tetapi ,dia masih belum mahu menatap wajah Haji Yatimi. Tiba-tiba para jemaah bertepuk memberi sokongan atas keazaman yang diluahkan oleh Khoja Lisut.
“Khoja....” mulut datuk terlopong, tidak dapat meneruskan kata-kata. Datuk terkejut melihat tindakan Khoja Lisut yang terus membuka bunga silat dan berdiri betul-betul di tengah surau. Beberapa orang jemaah bangun lalu menuju ke pintu.
“Dengan nama Allah yang maha besar, saya berjanji mahu menjadi manusia yang baik, taat pada hukum Allah, tidak akan menganiaya sesama manusia. Jika saya melanggar sumpah ini, saudara atau sesiapa saja boleh menhukum saya..”
“Nanti,” jerit Haji Yatimi.
Khoja Lisut tergamam dan terus duduk. Datuk menggigit bibir dan saya lihat jemaah yang masih ada dalam surau, lebih kurang lima orang saja.
“Kenapa tuan haji?” Tanya Khoja Lisut.
“Jangan minta orang lain menghukum diri kamu. Bila kamu berbuat macam itu, ertinya kamu tidak jujur pada diri sendiri, kamu tak payah minta orang lain menghukum kamu, sesungguhnya perbuatan kamu ini sudah menampakkan riak,” Haji Yatimi berhenti bercakap, dia menarik nafas dalam-dalam.
Datuk tidak berkata apa-apa. Lima orang jemaah yang berada di situ nampak resah. Khoja Lisut tunduk merenung lantai surau.
“Dengar sini, bila kamu sudah bertaubat, ubahlah sikap. Tak payah nak beritahu pada orang lain , kamu bertaubat dengan Allah bukannya dengan manusia, apa perlunya bila bertaubat beritahu orang lain,” Haji Yatimi seperti memberi ceramah.
Semasa Haji Yatimi mengungkapkan kata-kata itu, saya lihat datuk sentiasa berada dalam resah gelisah.Macam ada sesuatu yang tidak kena.
“Dari mana kamu belajar semuanya ni?” Haji Yatimi terus menyoal datuk. Dengan serta-merta Khoja Lisut merenung ke arah datuk. Renungan itu dapat ditafsirkan oleh Haji Yatimi lalu dia tersenyum.
“Kalau itu yang kamu beritahu dia, kamu sudah membuat kesilapan besar,” Haji Yatimi tujukan kata-kata itu untuk datuk.
“Inilah kesilapan saya,” datuk mengakui kesilapannya kerana memberi penerangan yang kurang tepat untuk Khoja Lisut.
“Lain kali jangan buat lagi, aku tahu ada benda yang belum selesai dalam diri orang ini, dia tidak ikhlas dengan dirinya sendiri,” terbeliak biji mata datuk mendengar ungkapan dari Haji Yatimi dan datuk menggigit bibir.
Rasa geram dan marah terhadap Khoja Lisut terpamer di wajah datuk. Datuk genggam penumbuk, dia merasakan dirinya telah diperdayakan oleh Khoja Lisut dengan cara terhormat.
                                           MUNCUL

Lima orang jemaah yang masih berada dalam surau mula naik bosan dengan gelagat Khoja Lisut. Mereka pun segera angkat punggung, meninggalkan ruang surau. Sebaik saja lima jemaah itu pergi, muncul pula Mat Upeh lalu duduk tidak jauh dari saya.
“Aku cuma nak tengok saja,” bisiknya ke telinga saya. Sya pun anggukkan kepala.
“Kamu benar-benar mahu bertaubat?” Datang lagi pertanyaan dari Haji Yatimi untuk Khoja Lisut.
“Berapa kali saya mahu terangkan,” Khoja Lisut mula naik darah.
“Sudah kamu buang apa amalan yang tak baik dalam diri kamu?”
Kali ini Khoja Lisut renung kiri kanan, bagi memastikan apakah kata-kata itu memang ditujukan untuknya. Sepasang kelopak bibirnya seperti menggeletar.
“Tuan haji ni tanya kamu,” jari telunjuk datuk menunding ke arah muka Khoja Lisut.
“Saya,” suara Khoja Lisut agak cemas.
“Iya,” angguk Haji Yatimi.
Di saat Khoja Lisut berada dalam keadaan serba salah, tanpa memberitahu datuk dan Mat Upeh, Haji Yatimi terus memegang pergelangan tangan kiri Khoja Lisut lalu menarik ke muka pintu surau.
“Mahu dibawa ke mana,” tanya Khoja Lisut kepada Haji Yatimi.
“Turun ke tanah kita berbincang di halaman surau, ada sesuatu yang mesti kita selesaikan di situ.”
“Maksud tuan haji?” Tingkah datuk sambil bangun.
“Banyak perkara disembunyi dari kamu, ada ilmu jahat yang tidak dikeluarkannya,” balas Haji Yatimi. Tidak ada bantahan atau bangkangan dari dari Khoja Lisut. Ikut saja kata Haji Yatimi.
Sebaik saja berada di halaman surau, Haji Yatimi segera mengarahkan datuk berdiri di sebelah kanan Khoja Lisut, sementara Mat Upeh pula diarah berdiri di kiri. Saya disuruh duduk di kaki tangga surau. Haji Yatimi berdiri betul-betul di depan Khoja Lisut, bayangnya memanjang di tanah. Kerana matahari sudah beransur redup, datuk, Mat Upeh dan Khoja Lisut tidak merasai kepanasan. Angin petang yang bertiup lembut memberikan kesegaran kepada mereka.
“Kamu yang berdiri di sebelah kanan dan kiri mesti bertindak cepat. Lakukan apa saja, jika orang yang berada di tengah mahu melarikan diri, jatuhkan dia,” Haji Yatimi mengeluarkan perintah kepada Mat Upeh dan datuk. Saya lihat Khoja Lisut tetap berada dalam keadaan tenang.
“Kamu mahu bertaubat?” Haji Yatimi renung Khoja Lisut.
“Iya,”
“Kamu harus membuang segala ilmu pelindung, pendinding diri yang sudah sebati dengan darah daging kamu. Jika ilmu ini tidak ditawarkan, kamu yang susah nanti, di saat ajal kamu sudah sampai, nyawa kamu susah berpisah dengan badan. Walaupun tubuh kamu hampir binasa tetapi, kamu masih bernyawa.” muka Haji Yatimi kelihatan merah padam.
Khoja Lisut yang tadi tenang, tiba-tiba berubah sikap, mukanya jadi bengis, matanya liar. Dia terus mendengus tidak tentu arah. Badannya nampak menggigil.
“Sebenarnya yang bernyawa tu bukannya kamu. Kamu sudah mati, roh kamu sudah tiada, apa yang dilihat oleh orang lain itu adalah ilmu syaitan yang cuba menipu orang-orang yang hidup, mahu meyakinkan orang-orang yang hidup bahawa ilmu syaitan itu lebih tinggi,” sambung Haji Yatimi.
Saya lihat Khoja Lisut bertambah resah. Dua tiga kali dia menghentakkan pangkal sikunya ke bahagian perut datuk dan Mat Upeh. Datuk tidak menghadapi apa-apa masalah dengan tindak-tanduk Khoja Lisut itu tetapi, Mat Upeh mengalami rasa sakit dan senak di perut setiap kali Khoja Lisut menghentakkan siku ke perutnya.
“Sekarang kamu bersedia menggugurkan ilmu yang ada itu?” Haji Yatimi minta kepastian.
“Saya setuju, ilmu itu tidak saya tuntut tetapi datang sendiri waktu saya menuntut ilmu kebatinan, guru saya meresapkan kepada saya,” terang Khoja Lisut.
“Aku faham, guru kamu mahu membuang ilmu itu dan dia menggunakan kamu sebagai warisnya. Dan kamu mahu membuang ilmu itu dan sekarang berusaha untuk melepaskan pada orang lain. Betul atau tidak?”
“Iya, saya mengaku,”
Terbeliak biji mata datuk mendengar pengakuan Khoja Lisut. Mat Upeh gelengkan kepala dan saya tidak menduga sama sekali yang Khoja Lisut masih mahu menyembunyikan sesuatu dari datuk.
Setelah menerima pengakuan dari Khoja Lisut, Haji Yatimi termenung sejenak. Tumit kaki kirinya ditekan ke bumi sambil mengangkat tangan kanannya ke arah datuk dan Mat Upeh agar jangan berada terlalu dekat dengan Khoja Lisut. Angin petang yang bertiup terus menggerakkan dedaun pokok.
“Di sinilah kamu tidak ikhlas, kamu mahu menurunkan ilmu itu kepada budak ini,” Haji Yatimi segera meluruskan telunjuknya ke arah saya.
“Kamu mahu memasukkan ilmu itu ke dalam dirinya secara pertukaran nafas waktu tidur, tapi kamu masih belum berpeluang.” sambung Haji Yatimi.
“Hei!!!,” pekik Khoja Lisut sekuat hati, dia terus melompat setinggi pohon kelapa dara. Kedua belah kakinya lurus ke arah dada Haji Yatimi dan tangan kanannya bersedia untuk melepaskan pukulan ke arah leher Haji Yatimi. Melihat keadaan yang agak gawat itu, datuk segera bertindak. Dia berlari ke arah Haji Yatimi dan berdiri di depan lelaki tua itu. Datuk pun membuka silat untuk melindungi Haji Yatimi, tetamu terhormat yang tidak diundangnya. Datuk pun membuka silat. Datuk luruskan kedua belah lengannya. Dan sepasang telapak tangannya dikembangkan ke arah sepasang telapak kaki Khoja Lisut yang laju menuju ke dada datuk, saya lihat tubuh Khoja Lisut berputar-putar di udara lalu berpatah balik ke arah tempat dia berdiri. Khoja Lisut jatuh tersembam di sisi Mat Upeh. Datuk segera melangkah mahu menerkam ke arah Khoja Lisut. Tetapi, Haji Yatimi bertindak dengan pantas memegang lengan kanan datuk lalu dipulaskan ke belakang.
“Kenapa tuan haji,”
“Jangan dilayan, dia tak sedar apa yang dibuatnya. Dia dikuasai oleh ilmu sesatnya,” kata Haji Yatimi lalu melangkah ke arah Khoja Lisut yang tersungkur di bumi.
“Hatinya mahu bertaubat tetapi, pendindingnya menjadi batu penghalang,” bisik Haji Yatimi ke telinga datuk. Haji Yatimi terus bertinggung di sisi Khoja Lisut. Saya dan Mat Upeh berdiri tidak jauh dari datuk. Saya terdengar suara Khoja Lisut mengaum macam harimau, tubuhnya mula membongkok dan kedua belah tangannya mencakar-cakar tanah, perbuatannya itu tidak ubah macam kelakuan harimau liar. Dia terus mengaum dan cuba beberapa kali mahu mencakar muka datuk tetapi, datuk dapat mengelak dengan cepatnya. Saya mula melihat kuku di jarinya bertukar menjadi macam kuku harimau serentak menghalakan wajah kearah saya, kearah Mat Upeh dan datuk.


Sunday, August 29, 2010

SIRI 129 API KELUAR DARI KUBUR



Nenek sambut kepulangan saya dengan senyuman.  Dia gelengkan kepala, bila melihat baju saya basah kuyup akibat peluh.  Saya sambut geleng kepala nenek dengan senyum megah.
“Kenapa begini, Tamar?”
“Saya disuruh membuat kerja berat.”
“Pergi mandi, cepat.”
“Mandi di perigi?”
Nenek tidak menjawab pertanyaan saya.  Dahinya Nampak berkerut.  Jejari kanannya terus melurut rambut sebelah kanan beberapa kali.  Ternyata rambut hitam sudah hampir separuh dikuasai oleh rambut putih.
“Jangan mandi di perigi, kamu mandi di sungai saja, Tamar.”
“Sungai jauh nek, mandi di perigi saja,” saya protes cadangan nenek.  Dengan tenang nenek menghela nafas, sepasang mata tuanya tertumbuk ke wajah saya.  Nenek seperti berada dalam keadaan serba salah.
“Jangan mandi di perigi, datuk kamu ada hal di skitu.”
“Apa halnya nek?” Nada suara saya meninggi.
“Aku tak tahu apa halnya.  Pesannya pada aku, jangan benarkan sesiapa datang ke perigi waktu begini,” terang nenek dengan tenang.
Kalau kamu tak percaya dangan cakap aku, pergi tengok sendiri,” sambungnya lagi.
“Hiss….” Keluh saya dengan rasa serba salah.
Secara mendadak saya teringatkan Khoja Lisut.  Saya berpisah dengannya di hadapan halaman rumah.  Dia menujuk kearah datuk yang menantinya di bawah pokok manggis.  Saya menuju kearah pintu dapur kerana saya ternampak nenek tercegat di situ.
“Tak kuasa saya nak tengok sendiri, nek.”
“Kenapa pula, Tamar.”
“Takut di marah daruk.”
“Itu keputusan yang bijak, dia memandikan tetamunya.”
“Saya tahu, tetamunya tu, Khoja Lisut.”
“Ya,” nenek anggukkan kepala.
Tanpa banyak bicara, saya ambil kain basahan di ampaian lalu dibelitkan ke leher.  Tanpa mengucapkan sesuatu pada nenek, saya terus menuju ke sungai.  Setelah membuka pakaian, kain basahan pun saya ikat ke pinggang.  Dari tebing sungai saya melakukan terjun menjunam, macam gaya seorang Tarzan.
Macam biasa, bila berada dalam perut sungai, saya bagaikan seekor memerang.  Berenang dan menyelam dengan bebas.  Bila kulit telapak tangan dan jari menjadi kecut, badan menggeleter kesejukan.  Barulah perut sungai saya tinggalkan.  Berlari-lari anak menuju ke rumah.
Saya masuk ke rumah ikut tangga bahagian tengah.  Dari situ menyelinap masuk ke kamar sendiri, tanpa disedari oleh nenek yang sibuk di ruang dapur.  Saya memilih kain pelekat kotak, tiga warna iaitu biru, merah dan putih.  Baju Melayu potongan teluk belanga jadi pilihan untuk saya pakai pada hari itu.  Rambut pun saya sikat dengan rapi.
                                         CERMIN
Di depan cermin saya berdiri, mencipta jambul di kepala.  Dua tiga kali saya melihat jambul dari pelbagai sudut.  Saya yaki, jambul saya mirip jambul P.Ramlee.  Boleh menarik perhatian orang lain andainya saya berjalan ke kedai atau ke mana-mana.  Tiga empat kali saya tersengih di depan cermin, merasa diri cukup segak sekali.
“Tamarrr…”  Suara nenek keras.
Saya bergegas menuju ke ruang dapur.  Saya lihat ada hidangan tersembunyi di bawah tudung saji.  Bau dari hidangan membuka selera.  Perut terasa lapar.
“Nek suruh saya makan?”
Saya terus duduk bersila di depan hidangan.  Secara mendadak nenek terus ketawa terkekeh melihat telatah saya.
“Belum lagi,” tegah nenek, saya tidak jadi membuka tudung saji.  Memang terasa kecewa mendengar kata-kata nenek itu.
“Habis bila lagi nak makan?” Tutur saya separuh kesal.
“Sembahyang Zuhur dulu, pergi ambil air sembahyang.  Datuk kamu menunggu kamu di ruang tengah.”
“Huh….” Terpancut keluhan dari kelopak bibir saya.
Saya segera mengambil air sembahyang.  Kemudian melangkah ke ruang tengah.  Datuk dan Khoja Lisut sudah berdiri di situ.  Mereka menanti kedatangan saya untuk memulakan solat Zuhur secara berjemaah.
“Kenapa lambat, Tamar?” Datuk renung muka saya.
“Haaa….,” mulut saya terlopong.
“Bila masa nak sembahyang, sengaja kamu buat lambat-lambat.  Bila masa nak makan, kamu nak cepat-cepat,” cukup tajam sindiran dari datuk untuk saya.
Apa yang terdaya saya lakukan ialah tersengih memandang kearahnya.  Dandalam masa yang sama saya renung juga muka Khoja Lisut.  Sakit rasa hati, bila Khoja Lisut melemparkan senyum sinis kepad saya.  Kerana datuk sudah bersedia untuk menjadi imam, saya segera berdiri sebaris dangan Khoja Lisut.
Selesai sembahyang dan berdoa, kami terus ke ruang dapur.  Duduk bersila, menghadapi hidangan yang terbuka.  Seperti biasa, sebelum menjamah makanan datuk membaca doa pendek.  Bila doa berakhir, kami pun menjamu selera dari hasil kerja seni dapur nenek.  Masakannya enak sekali, selesai makan saya pun tersandar ke dinding.
Pengat labu kuning yang disuakan oleh nenek kepad saya buat pencuci mulut, terpaksa saya tolak.  Perut saya sudah tidak mampu untuk menampung makanan, walaupun sedikit.  Saya kepenatan dan nafas terasa amat sesak sekali.
“Mari kita duduk di anjug, Khoja.  Dapat sikit angin,” datuk kemukakan cadangan untuk Khoja Lisut.  Tidak ada bantahan, Khoja Lisut angguk kepala.  Tanda setuju.  Dia segera bangun bila melihat datuk sudah berdiri.  Saya cuba bangun tetapi, tidak Berjaya.
“Kamu Tamar, nak duduk di sini?”
Datuk jegilkan matanya dan saya segera tegakkan badan.  Rasa penat dan mengantuk akibat kekenyangan serta merta hilang.  Saya renung muka datuk.  Ada imbasan senyuman terpamer di wajahnya.  Barangkali, dia terasa amat lucu dengan telatah saya.
“Kamu tolong nenek di dapaur, lepas tu kalau kamu nak tidur, bolehlah tidur,” sambung datuk, matanya tidak berkedip menatap wajah saya, “Ingat, masuk waktu Asar, kamu mesti ada di rusau, kita berjemaah bersama orang-orang kampong,” lanjut datuk lagi.  Dia mengakhiri kata-katanya dengan batuk kecil beberapakali.
Datuk pun melangkah menuju ke anjung rumah dengandiikutioleh Khoja Lisut.  Saya tembira kerana datuk sudah meninggalkan saya.  Semoga datuk tidak akan berpatah balik untuk member apa-apa arahan, bisik batin saya sendirian.  Saya terasa aman dan berhasrat mahu baring dan terus tidur di situ.
Nenek terus mengumpulkan pinggan dan piring dalam talam.  Saya perhatikangerak-geri nenek dengan mata separuh terbuka.  Walaupun usianya sudah agak lanjut tetapi, gerak kerjanya cukup pantas macam orang muda.
“Saya tak dapat nak tolong nek.”
"Tak apalah Tamar, kau pergi rehat dulu. Cuma nenek nak minta tolong satu saja...," nenek berhenti bercakap. Saya segera meluruskan badan. Nenek membawa pinggan dan piring yang ada dalam talam ke dapur.
                                              RESAH

Saya jadi resah, dada saya terus digayuti dengan persoalan. Kenapa nenek tidak mahu meneruskan kata-katanya? Kerana masih ada dua cawan kosong yang tertinggal, memaksa nenek datang semula ke ruang makan. Kedatangannya kali ini tidak harus dipersia-siakan begitu. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin. Demikian saya memutuskan dalam hati.
"Tadi nenek kata, minta saya tolong. Tolong apa nek?" tanya saya dengan nada suara yang lembut dan hati-hati. Tiada jawapan yang terkeluar dari mulut nenek. Saya kian resah.

"Tolong apa nek?" untuk kali kedua saya bertanya.
"Kamu tolong bawakan pulut kuning dan pisang emas ke surau. Datuk kamu nak buat jamuan kesyukuran kerana tetamunya dah sembuh dari sakit," nenek memberikan penjelasan.

Sesungguhnya, penjelasan nenek memberikan tanggungjawab baru kepada saya. Sukar untuk saya melarikan diri dari tanggungjawab yang diamanatkan oleh datuk, meskipun tanggungjawab itu tidak disampaikan secara terus kepada saya.
"Banyak pulut kuning yang nenek kukus? Apa lauknya?"
"Tak banyak, segantang sahaja, lauknya ayam."
"Sedap tu nek."
"Jangan sebut sedap sebelum makan, sekarang kamu pergi berehat, sampai masanya nenek panggil kamu."
"Baiklah, biar saya masuk bilik dulu nek."
"Pergilah."

Nenek meninggalkan saya. Dia menuju ke ruang dapur kembali. Meneruskan tugasnya yang masih belum selesai.
Sebelum bangun, saya menggeliat dua tiga kali. Menguap dengan semahu-mahunya. Pangkal pinggang, pangkal betis dan sendi saya urut dua tiga kali hingga badan terasa selesa. Bila terasa diri sudah cukup bersedia, saya pun segera bangun. Melangkah menuju ke kamar lalu merebahkan badan atas ranjang. Bahang panas luar terasa menyengat seluruh badan.

Entah macam mana terlintas difikiran saya untuk membaca. Mungkin dengan membaca boleh mempercepatkan saya tertidur. Tidak ada bahan bacaan yang benar-benar menarik minat saya. Majalah hiburan, Gelanggang Filem dan Majalah Filem yang ada dihujung ranjang sudah saya baca.
Bagaimana kalau saya mengambil buku-buku lama bertulisan jawi dikamar datuk? Timbul pertanyaan dalam diri. Dan datuk pernah berpesan pada saya, kalau ada masa eloklah membaca buku-buku lama yang tersimpan dalam biliknya dari membaca majalah hiburan yang tidak begitu mendatangkan manfaat pada diri saya.
Saya terus ke kamar datuk mengambil senaskah buku lama tulisan jawi. Sebaik saja saya berada diatas ranjang kembali. Sehelai demi sehelai halaman buku saya buka. Mencari tajuk yang sya fikirkan menarik. Akhirnya saya sampai ke bahagian hikayat Orang Yang Melalaikan Solat.
Saya betulkan kedudukan badan, biar selesa ketika membaca. Di samping itu, saya berharap sebaik saja tamat membaca kisah tersebut, saya akan tertidur dengan nyenyaknya. Begini kisahnya:
                                       PEREMPUAN

Dizaman dahulu, seorang lelaki menangis kehibaan kerana kematian saudara perempuannya yang dikasihi. Kemudian lelaki itu bersama orang-orang kampung terus menguburkan saudara perempuannya dikawasan perkuburan.
Semasa lelaki itu menimbus mayat saudaranya itu, tanpa disedari pundi-pundi yang berisikan wang dan barang-barang lain terjatuh dalam longgokan tanah.
Tidak ada seorang pun teman-teman lelaki itu melihat yang pundi-pundi berisi wang itu jatuh dan bersatu dengan tanah. Apa yang dirasakan oleh lelaki itu ialah rasa kesedihan dan kehampaan yang memanjang. Maklumlah, dia kehilangan seorang saudara perempuan yang amat disayanginya.
Setelah selesai menguburkan saudara perempuannya, lelaki itu bersama kawan-kawannya terus pulang. Sampai separuh jalan, baru disedarinya pundi-pundi berisi wang miliknya sudah hilang.
"Kamu balik dulu, aku nak ke kubur semula," kata lelaki itu pada kawan-kawannya. Sudah tentu kata-kata itu mengejutkan kawan-kawannya.
"Kenapa?" tanya salah seorang kawannya.
"Pundi-pundi wang aku tercicir di kubur."
"Kalau begitu kata kamu, pergilah. Kami tak dapat bersama-sama kamu," jawab kawannya itu.
"Tak apalah, biar aku uruskan sendiri," balas lelaki itu, lalu meninggalkan kawan-kawannya.

Sampai di kubur lelaki itu terus mengais-ngais tanah disitu. Pundi-pundi beisi wang tidak juga ditemuinya. Lelaki itu mula menggali sebahagian dari tanah kubur. Sedang dia asyik menggali tanah (kubur), tiba-tiba keluarlah api yang menyala-nyala dari dalam kubur. Lelaki itu terkejut dan takut. Tanah kubur itu segera ditimbusnya.
Tubuh lelaki itu mengeletar ketakutan. Dia ingin segera pulang dan mahu menceritakan apa yang dialaminya kepada ibu dan saudara-saudaranya yang lain. Dengan rasa gementar, cemas dan tidak tentu arah, lelaki itu berlari pulang ke rumah.
Sampai saja dirumah, dia terus menceritakan kepada orang tuanya dan saudaranya mengenai kejadian tersebut. Saudara-saudaranya agak terkejut tetapi, ibunya tetap tenang. Lelaki itu pun terus bertanya kepada ibunya:
"Ibu! Cuba terangkan, apakah perbuatan yang tidak baik yang dilakukan oleh saudara perempuanku itu semasa hidupnya?"
"Wahai anakku! Amal perbuatan saudara perempuanmu semasa hidupnya, suka melalaikan solat dan kadang-kadang mengakhirkannya sampai habis waktu."
Setelah mendengar penjelasan ibunya, lelaki itu bermuafakat dengan saudara-saudaranya (termasuk ibunya) berdoa kepada Allah supaya dosa saudara perempuannya itu diampuni oleh Allah.
"Dahsyatnya," keluh saya lalu menutup buku lama itu. Saya merenung sejenak dan saya segera berfikir, begitulah kecelakaan atau keburukan yang menimpa terhadap orang-orang yang melalaikan solat. Bagi orang yang meninggalkan solat tentu lebih ganjaran yang diterimanya.

"Sesungguhnya, Allah berkuasa atas segala-galanya, tidak pernah mungkir janji terhadap hambanya," terpancut kata-kata dari mulut dan secara mendadak saya teringatkan sepotong ayat dari Al-Quran yang bermaksud: "TidakKu jadikan manusia dan jin, melainkan semata-mata untuk beribadat kepadaKu." Dan saya merasakan diri saya semakin kecil, bagaikan segumpal buih disamudera nan luas.
Saya tidak berhasrat untuk membaca hikayat-hikayat yang termuat dalam buku itu lagi, walaupun semuanya boleh dijadikan cermin dan teladan dalam kehidupan. Buku lama bertulis jawi saya campakkan ke sudut kamar. Membacanya, beerti memaksa saya berfikir. Bila sudah berfikir pasti mata tidak mahu mengantuk. Begitu rumusan yang saya buat sendiri.
                                             PANAS

Dua tiga kali saya menguap, bahang panas diluar membuat badan saya terasa bergetah. Bagi menghilangkannya saya terpaksa menggunakan cebisan kotak untuk dijadikan pengipas angin. Barulah terasa dingin tetapi, saya kehabisan tenaga untuk mengipas, seiring dengan itu mata saya mula terasa mengantuk.
Bunyi kicau burung terdengar sayup-sayup, begitu juga dengan bunyi pinggan dan piring yang dibasuh oleh nenek, berlaga sama sendiri.
Lama-kelamaan semua bunyi-bunyi itu terus mengilang. Apa yang saya alami seterusnya, saya dapati diri saya berada di sebuah padang pasir yang maha besar dan maha luas. Saya melihat ribut pasir yang amat menakutkan hingga memaksa saya berlindung disebalik pokok kurma yang hanya tumbuh sepohon saja disitu.
Saya tidak sanggup melihat ribut pasir beserta dengan bunyi yang amat menggerunkan itu. Saya tutup mata dengan kedua belah tangan saya. Pada saat itu, saya terasa bahu saya dipegang orang dari arah belakang. Saya tidak ada pilihan selain dari membuka mata untuk melihat, siapakah orang yang berani memegang bahu saya.
Sebaik saja mata terbuka, saya lihat seorang lelaki Arab tersenyum kearah saya. Bermisai tebal, wajahnya berjambang dengan pedang terselit dipinggang. Kuda putih milik lelaki Arab itu kelihatan jinak sekali dan tidak takut dengan bunyi ribut pasir.
"Assalam-mualaikum..."

"Walaikumussalam," sahut saya.
"Nama kamu Tamar Jalis?" tanyanya lagi.
"Ya."

Secara mendadak lelaki Arab itu memeluk tubuh saya, pipi kami berlaga, bau peluhnya tidak begitu menyenangkan saya tetapi, kerana orang sudah menunjukkan rasa persahabatan saya wajib menerimanya dengan ikhlas.
"Aku Sheikh Abu Bakar Al-Petani," lelaki itu memberitahu namanya pada saya. Cepat-cepat saya anggukkan kepala. Kemudian kami terus duduk dipasir berhampiran perdu kurma.

"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" kata saya dengan tenang. Sheikh Abu Bakar Al-Petani tersenyum sambil mengurut-urut janggutnya.
"Tunggu sekejap, bila ribut pasir berhenti kita bercerita panjang," tutur Sheikh Abu Bakar Al-Petani dalam Bahasa Malaysia yang cukup terang. Dengan kehendak Allah yang Maha Besar, beberapa saat kemudian ribut pasir pun berhenti.
"Ya, kita sambung cerita kita Tamar," Sheikh Abu Bakar Al-Petani menghidupkan kembali cerita yang terputus.
"Apa yang boleh saya tolong tuan Sheikh?" pertanyaan yang sudah saya kemukakan, saya ulangi lagi. Tuan Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang sukar ditentukan kerakyatannya samada orang Arab tulin atau orang Melayu yang sudah lama tinggal didunia Arab dan bersikap atau berperangai lebih dari Arab.
"Kamu baru saja membaca cerita yang menarik?" soalnya dengan tenang.
"Ya, kenapa tuan Sheikh?"
"Apakah hikmah yang dapat kamu ambil untuk cermin dalam kehidupan kamu. Agar kamu jadi manusia Muslim yang baik," tanyanya lagi dengan penuh semangat. Saya terpaksa mengerutkan dahi.
Saya sebenarnya tidak suka memikirkan apa-apa tentang cerita lama yang saya baca. Aneh! Mengapa Sheikh Abu Bakar Al-Petani yang tidak ku undang, harus bertanyakan perkara tersebut.

"Saya tak dapat buat kesimpulan Pak Sheikh," jawab saya tegas.
"Begini kesimpulannya, pertama Allah memperlihatkan keburukan orang yang melalaikan solat," tuturnya.Saya segera anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diluahkan oleh Sheikh Abu Bakar Al-Petani.
"Lagi apa yang dapat kita jadikan panduan, Pak Sheikh?"
"Kejadian itu menunjukkan kekuasaan Allah untuk memperlihatkan adanya seksa kubur, supaya diketahui oleh orang ramai," sepasang biji mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merauti seluruh wajah saya. Ada rasa gementar dan cemas bergolak dalam jantung hati saya. Dan saya tidak mahu mengajukan sebarang persoalan kepadanya.
"Kejadian itu bukan hanya menimpa mayat perempuan itu saja malah akan berlaku juga kepada mayat-mayat lain yang melalaikan solat. Cuma tidak diperhatikan oleh Allah kerana alam kubur itu adalah alam ghaib, sesungguhnya alam kubur itu bukanlah sekadar kubur melainkan alam sesudah mati iaitu alam sebelum hati akhirat.
Walaupun seseorang mati dibaham harimau, ghaib dalam laut, pasti berada dialam kubur walaupun tubuh mereka tidak ditanam kedalam bumi," begitu hebat sekali Sheikh Abu Bakar Al-Petani begitu senang dengan sikap saya itu. Dia terus menepuk bahu saya berkali-kali bersama dengan ketawa parau.
"Tamar." jeritnya keras.
Saya toleh kearahnya dengan rasa terkejut.
"Kenapa Pak Sheikh?"
"Aku nak balik, sebelum balik dengar sini..." Sheikh Abu Bakar Al-Petani menggeliat dan membetulkan hujung jubahnya yang terkena pasir.
"Kamu tahu, hikayat yang kamu baca itu memperkuatkan firman Allah dalam surah Al-Maun dalam Al-Quran, tentang seksaan bagi orang yang melalaikan solat, kamu baca dan kaji surah tu," nada suara Sheikh Abu Bakar Al-Petani cukup tinggi dan saya rasakan kata-kata yang diluahkan itu adalah sebuah arahan.
Kerana tidak mahu diri diarah atau diperintah oleh orang yang tidak saya kenali secara terperinci, saya segera memperlihatkan reaksi tindak balas.
"Bukan urusan saya mahu membacanya, Pak Sheikh."
"Apa kata kamu Tamar, kamu tidak mahu mengikut arahan aku yang baik ini?"

"Ya," saya segera bangun dan bersedia melepaskan penumbuk kalau Sheikh Abu Bakar Al-Petani bertindak kasar.
Ternyata Sheikh Abu Bakar Al-Petani merasai dirinya tercabar. Dia juga bangun. Undur lima tapak kebelakang. Dia mencabut pedangnya, mata pedangnya yang tajam kelihatan berkilau-kilau bila kena sinar matahari.
"Kerana kamu tidak mahu mendengar nasihat orang untuk kebaikan kamu harus dibunuh dan ditanam dalam pasir. Biar kamu kena seksa kubur," dengan pedang ditangan, Sheikh Abu Bakar Al-Petani segera menerkam kearah saya.
Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit dengan sekuat hati, dengan harapan jeritan itu akan dapat didengar oleh orang lain. Kemudian akan datang untuk menyelamatkan saya.

"Kamu menjerit ya," ugut Sheikh Abu Bakar Al-Petani sambil melepaskan penumbuk kearah saya. Tubuh saya rebah dipasir dan mata pedang Sheikh Abu Bakar Al-Petani kian mendekati batang leher saya. Kematian didepan mata, dengan penuh khusyuk saya mengucap dua kalimah syahdat.
"Huh, nasib baik kamu mengucap," jerit Sheikh Abu Bakar Al-Petani. Tubuhnya kelihatan menggeletar menahan kehampaan. Tanpa banyak cakap, dia terus melompat kebelakang kuda putihnya.
"Semoga kamu bahagia," tuturnya lagi sambil memasukkan mata pedang kesarungnya. Dengan sekali tampar dibahagian punggung kudanya terus bergerak meninggalkan debu-debu pasir untuk saya lihat. Dalam sekelip mata Sheikh Abu Bakar Al-Petani dan kudanya hilang dari penglihatan saya.
Dengan penuh tenaga saya cuba bangun tetapi, tidak berhasil. Dua tiga kali saya terjatuh hinggalah ada sepasang tangan menggoncang tubuh, barulah saya terasa badan kembali bertenaga dan kelopak mata saya boleh digerakkan dan dibuka. Nenek terpaku didepan saya.

"Bangun, dah dekat waktu Asar, pergi mandi," nenek keluarkan perintah. Saya terus pejam celikkan kelopak mata, dahi terus saya kedutkan. Betulkah nenek yang tertonggok didepan saya atau Sheikh Abu Bakar Al-Petani menjelma menyerupai nenek.
"Ini nenek?"
"Habis kalau bukan nenek kamu, aku ni hantu. Makan terlalu kenyang tidur siang sampai mengigau terpekik terlolong, bangun pergi mandi."
"Astagh..." kata saya dan terus bangun menuju ke perigi.