Malam itu penghuni kampung jadi
gempar. Semuanya menyerbu rumah orang
tua Shafie.
Seluruh kawasan rumah terang
bederang dengan cahaya andang daun kelapa.
Apa yang berlaku segera diterangkan dengan terperinci oleh orang tua
Shafie pada orang kampung.
Orang kampung yang berkumpul di
halaman rumah mengambil keputusan untuk menjejaki dua insan yang lari. Kedua orang tua Shafie tiada daya untuk
menghalangnya. Cuma mereka berpesan,
jika dukun berhasil ditangkap jangan diapa-apakan. Suruh dia pulang. Pujuklah Shafie supaya balik ke rumah. Jangan dipukul dan dijentik batang tubuh
mereka.
Ternyata, orang kampung bersedia
mematuhi pesanan ayah dan ibu Shafie.
Seluruh belukar dan hutan dijenguk.
Semua rumah kosong dimasuki. Gua
dan parit disusupi. Orang yang dicari
tidak juga ditemui. Tetapi, orang
kampung tidak putus asa dan terus mencari.
Malam yang hening menuju ke
subuh terus dikocak dengan tempik sorak.
Mereka bertembung dengan seorang lelaki terperosok dalam perigi
buta. Ramai-ramai mereka menaikkan orang
tersebut dari dalam perut telaga buta.
Dan orang yang ditolong itu ialah orang tua berjanggut putih separas
dada. Tetapi, sudah berubah menjadi
hitam kotor.
Maka orang tua berjanggut putih
separas dada itu, segera diusung oleh orang kampung ke rumah orang tua
Shafie. Segala apa yang melekat
ditubuhnya segera dibersihkan. Luka dan
bengkak segera diubati. Bila didesak dan
ditanya oleh orang-orang kampung. Secara
jujur orang tua berjanggut putih separas dada menerangkan, hasratnya sekadar
mahu menolong.
Dia juga mahu menguji formula
barunya bagi menolong orang yang bermasalah.
Formula barunya ialah mencantumkan cara perubatan tradisional dengan
perubatan moden menggunakan pil vitamin yang dibeli di kedai farmasi.
Beberapa pesakit yang diubati
mengikut formula barunya berhasil. Cara
kebetulan dua orang pembantunya pernah bekerja di klinik swasta.
Seorang sebagai pembancuh ubat,
manakala seorang lagi pembantu kanan pada doktor klinik berkenaan.
Sesungguhnya, dia tidak menduga
akan mengalami perkara yang memalukan dirinya sebagai dukun. Lelaki tua berjanggut putih separas dada
mengakui tendangan yang dilepaskan Shafie membuat dirinya terasa
berpusing-pusing. Dua batang gigi
tercabut dari gusi.
Ketika Shafie mengejarnya, dia
berusaha berlari dengan sekuat hati. Apa
yang ada dalam kepalanya ketika itu ialah kematian yang belum diketahui di mana
tanah kuburnya. Malah, dia sendiri tidak
pasti bagaimana dia boleh berada dalam perut perigi buta.
MELAYANG
Semasa dia berlari tiba-tiba dia
merasai tubuhnya melayang di atas awang-awangan, kemudian terjatuh dalam tempat
yang gelap. Seluruh badannya basah. Dalam masa yang sama didepannya berdiri orang
hitam berbadan besar dan terus memukul kepalanya sekuat hati.
Setelah itu, dia tidak sedar apa
yang berlaku. Bila bergerak ke kanan
terasa seluruh tubuhnya sakit. Saat dia
membuka mata didapati dirinya sudah berada di rumah orang tua Shafie dan
melihat dua orang pembantunya berada dalam kandang buluh, di mana Shafie
ditempatkan.
Lelaki tua berjanggut paras
dada, tanpa diminta memberitahu orang kampung, kejadian yang memalukan di rumah
orang tua Shafie, mungkin menjadi malam penamat kerjaya sebagai bomoh. Hasratnya untuk memperkenalkan formulanya di
Kedah (Malaysia) sebagai sumber
rezekinya terpaksa dibatalkan.
Kejadian malang di rumah orang
tua Shafie seolah-olah menyedarkan dirinya supaya berhenti menjadi bomoh yang
diakuinya banyak melakukan perbuatan tidak benar daripada yang benar. Banyak bercakap berbelit-belit tidak lurus,
gunakan ayat Quran untuk kepentingan perut, pura-pura jadi orang warak pada hal
pengetahuan tentang agama tidak sebanyak mana.
Pengakuan yang jujur dan ikhlas
itu membuat orang kampung simpati dan kasihan.
Semua yang ada di situ bermuafakat memberikan sedekah setakat mana yang
mampu dalam bentuk rupiah.
Kedua-dua orang pembantu yang
berada dalam kandang di ruang rumah segera dikeluarkan. Mereka juga diberikan sedikit habuan.
Sebelum dilepaskan, orang tua
berjanggut separas dada bersama dua orang pembantunya diingatkan supaya jangan
datang ke kawasan mereka untuk menjaja dan mempamerkan ilmu kebomohan yang
bersalut dengan penipuan.
Andainya, mereka datang juga,
belum tentu mereka boleh pulang dengan selamat.
Apa yang dilakukan oleh Shafie adalah merupakan amaran pertama. Amaran selanjutnya, mungkin isi perut
terburai atas tanah atau kepala terpisah dari tubuh.
Memang mengejutkan, bila orang
tua berjanggut putih paras dada berjanji, tidak akan datang lagi ke kampung
tersebut, walaupun diundang. Kata-kata
itu mendapat tepukan dan sorakan dari orang kampung. Mereka segera mengiringi lelaki berjanggut
putih paras dada bersama dua orang pembantu keluar dari kawasan kampung mereka.
SAMPAI
Setelah mendengar cerita sebenar
yang disampaikan oleh pasangan suami isteri malang itu, saya lihat datuk dan
Pak Habib menarik nafas panjang. Saya
termenung dan Tajuddin tidak menunjukkan sebarang reaksi, sama ada sedih atau
sebaliknya. Susah mahu diteka apa yang
ada di dalam tempurung kepala Tajuddin.
Tajuddin menudingkan telunjuk ke
arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap.
Semua perhatian tertumpu ke arah yang ditunjukkan oleh Tajuddin. Kumpulan tersebut sedang mengurung lelaki
yang mereka panggil sebagai Tuk guru yang kadang-kadang mereka sebut juga sebagai
Pak Guru.
“Halang mereka, Pak Habib,” saya
bertanya.
“Jangan, biarkan,” jawab Pak
Habib.
“Nanti mencemarkan surau kita,”
tingkah Tajuddin.
“Jangan, bila berada dalam
surau, lebih mudah kita bertindak, kalau mereka robohkan surau, baru kita
halang,” ujar Pak Habib. Saya dan
Tajuddin berpandangan.
Barangkali Pak Habib sudah
memikirkan buruk baiknya jika bertindak terburu-buru, kumpulan itu akan menang,
Shafie tidak dapat diselamatkan dan terus jadi milik mereka, fikir saya.
Datuk minta suami malang menyambung
ceritanya kembali. Permintaan datuk
segera ditunaikan.
Kejadian malam itu merupakan
malam perpisahan antara pasangan suami isteri dengan anak mereka, Shafie. Hilang entah ke mana. Perasaan sedih tiak dapat dibendung oleh si
isteri.
Tiga bulan terpisah membuat si
isteri merana dan jatuh sakit.
Bermacam-macam usaha dilakukan, sakit yang ditanggung oleh wanita malang
itu tidak juga sembuh.
Si isteri yang rindukan Shafie
dibawa oleh suaminya ke hospital.
Setelah diperiksa dah duduk dalam wad lebih dari dua minggu, doktor
mendapati wanita itu tidak mengalami sebarang sakit. Dia mengalami tekanan perasaan yang agak
hebat, rasa putus asa, kecewa dan marah sentiasa bermain dalam batinnya.
Menurut doktor yang merawatnya,
penyakit itu boleh dikurangkan secara bertahap-tahap. Dan akhirnya boleh baik terus.
Satu saranan yang cukup mudah,
tetapi agak berat untuk dilaksanakan.
Sebagai ikhtiar, si suami malang tetap mencuba dan berusaha. Dia segera memulakan langkah untuk
mengubatinya dan mencari anaknya dengan cara berpesan-pesan pada orang yang
dikenalinya.
Usaha lain yang dilakukannya
ialah menulis risalah sebanyak-banyaknya dalam tulisan jawi. Risalah itu ditampalkan di semua surau dan
masjid seluruh daerah.
Bila ada masa terluang, dia akan
melakukan sembahyang fardhu dari surau ke surau atau masjid dengan harapan ada
jemaah yang tahu tentang Shafie.
TETAMU
Pada suatu malam Jumaat, di
bulan rabiulakhir, seorang kenalan dari kampung berdekatan datang ke
rumah. Kenalan itu menceritakan,
kira-kira jarak tiga buah kampung dari kediamannya tersebar berita seorang muda
yang baru keluar dari tempat pertapaan.
Hebat dengan ilmu dunia dan akhirat.
Anak muda itupun segera
dimuliakan oleh penduduk kampung berkenaan dianggap sebagai ‘manusia keramat hidup’. Mulutnya masin, sebut apa saja terus
menjadi. Boleh menyembuhkan apa saja
jenis penyakit dengan cara menyentuh ibu jari pesakit. Banyak benar kehebatan orang muda tersebut.
Suami malang segera tertarik
dengan cerita tersebut. Dia ingin
melihat bagaimana rupa anak muda ahli pertapaan itu. Di samping itu, dia mahu juga menyuruh
isterinya berubat dengan orang alim dan warak.
Satu persetujuan diikat oleh suami malang dengan kenalan dari kampung
berdekatan. Pada hari jumaat akan
datang, mereka berdua akan menunaikan fardhu jumaat di kampung tersebut.
Hari yang dijanjikan pun sampai
kira-kira setengah jam lagi mahu masuk waktu, suami malang dan kenalannya duduk
dalam masjid. Setiap jemaah yang masuk
jadi perhatian suami malang.
Entah macamana dia terpandangkan
satu kumpulan memakai pakain serba putih masuk ke dalam masjid. Kumpulan itu berada di saf atau barisan
tengah masjid. Orang yang mereka panggil
‘Tuk guru’ menutup sebahagian mukanya, macam kebiasaan yang dilakukan
orang-orang Arab dipadang pasir ketika menjaga kambing.
Kerana jaraknya agak jauh,
pandangan sering diganggu oleh gerak kepala para jemaah dan muka orang mahu
dikenali separuh tertutup, maka suami malang tidak dapat melihat dengan jelas
wajah individu yang mahu dikenalinya itu.
Selesai sembahyang dan berdoa
para jemaah menerkam pintu masjid mahu keluar.
Suami malang dan rakannya segera menuju ke arah kumpulan berpakaian
serba putih. Belum pun sempat sampai,
kumpulan itu sudah mengiringi ketua mereka ke bawah pokok kekabu. Sebahagian daripada para jemaah terus menuju
ke arah pokok tersebut.
BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment