Friday, August 30, 2013

SIRI 245 BAJU KOYAK AZIMAT BERTABUR



   “Nanti, jangan lepaskan mereka dulu.” Pak Habib tersentak dan segera menoleh ke arah datuk. Lama juga datuk direnungnya. Langkah ketiga-tiga lelaki terus terhenti. Perlahan-lahan Pak Habib menyorot keadaan sekitar, kalau-kalau ada sesuatu yang aneh terjadi.

    Tidak memadai dengan semuanya itu, wajah ketiga-tuga lelaki dalam keadaan tidak tentu arah itu direnung oleh Pak Habib seorang demi seorang.Tidak ada sesuatu yang ganjil. Semuanya nampak normal. Secara tidak langsung suasana demikian mengundang rasa hairan dalam hati Pak Habib.
"Kenapa kawan?"
"Ada sesuatu yang belum selesai lagi Habib. Ilmu Iblis ini banyak helahnya. Banyak pula cabangnya. Kalau kita tidak hati-hati, habis semua kita masuk lubuknya. Dalam jahatnya terserlah kebaikan dan dalam kebaikannya tersimpan keburukan."
"Maksudnya?" Tanya Pak Habib, "mereka bertiga mesti didera mesti dihukum?"
"Tidak, ada niat nak membalas dendam kerja membalas dan menghukum  orang jahat, itu tugas Allah  tak usahlah kita ambil tugas itu. Semuanya kita serahkan kepadaNya
Pak Habib nampak sukar sekali untuk menangkap atau memahami maksud dari kata-kata yang datuk luahkan.
"Susah nak menangkap maksud kata," Pak Habib berterus terang.
"Usah bimbang, niat kita baik. Sebenarnya permainan mereka bertiga belum habis."
' Saya serahkan pada sahabat untuk rnenyelesaikannya."
"Saya cuba” itu pengakuan datuk.
Bulan di langit terus menggambang indah. Saya dan si pemandu yang bergerak setapak demi setapak, tanpa disedari sudah berada dalam jarak beberapa kaki dari datuk dan Pak Habib
KOMEN
Menyedari kedatangan kami datuk terus mengingatkan kami supaya melihat apa yang  terjadi tanpa memberi sebarang komen atau bertanya sesuatu. Sudah tentu arahan itu kami patuhi.
Dengan langkah yang tenang datuk mendekati ketlga-ketiga lelaki itu.
Sambil rnerenung batang hidung ketiga-tiga lelaki jahanam tu seorang demi seorang. Datuk bergerak dari kiri dan ke kanan. Perbuatan yang serupa dilakukannya sebanyak tiga kali berturut-turut,
Datuk beralih posisi, berdiri di belakang ketiga- tiga lelaki tersebut. Macam tadi juga, datuk bergerak dan kiri dan kekanan sebanyak tiga kali. Akhirnya berhenti bersententangan dengan lelaki berwajah separuh bulat. Lelaki itu cuba menoleh ke belakang. Tetapi, datuk mengarahnya supaya merenung ke depan. Dia patuh dengan arahan datuk.
"Dengar sini, jawab semua pertanyaan aku dengan jujur dan ikhlas," kata datuk lemah.
Ketiga-tiga lelaki jahanam yang membelakanginya mengangguk. Tetapi, lelaki berdarah dahi cuba menjeling ke arah datuk dengan ekor matanya.
Dengan pantas datuk dapat mengesan perbuatannya.
"Usah main-main jeling. Itu perbuatan orang tak ikhlas."
Menyedari dirinya disindir, cepat-cepat lelaki berdarah dahi membetulkan kedudukan anak matanya pada posisi yang sebenar. Beberapa detik masa berlalu dengan tenang.
"Kamu bertiga memang sudah bertaubat?".
Datuk minta kepastian.
Ketiga-tiga lelaki jahanam itu anggukkan kepala serentak. Pengakuan ini menimbulkan kesangsian dalam hati datuk Dia pun berdehem kecil, seolah-olah memberi isyarat tertentu pada Pak Habib yang bertindak selaku penonton saja. Saya dan si pemandu berpandang wajah.
"Bila sudah bertaubat, ertinya kamu bertiga tidak akan mengulangi perbuatan buruk kamu."
"Iya, kami berjanji," balas ketiga-tiga lelaki tersebut.
"Semua ilmu hitam dan tangkal di badan sudah kamu tawarkan bisanya?".
Tiada jawapan yang diberikan oleh mereka bertiga terhadap pertanyaan yang datuk ajukan. Mereka kelihatan macam serba tidak kena. Ada yang raba cuping teliga. Ada yang garu kepala dan gosok pangkal hidung.
"Semua ilmu hitam sudah dibuang?".
Tiba-tiba saja datuk menjerit sambil rnenghentakkan sepasang tumit kaki kanannya ke tanah hingga berlubang. Ketiga -tiga lelaki yang terkejut itu terus mengucapkan serentak perkataan: KAMI SUDAH BUANG.
JAHANAM
DATuK  yang tadi berada di belakang mereka dengan sekelip mata berubah tempat. Berdiri di depan ketiga-tiga lelaki jahanam. Cukup cepat datuk melakukannya, membuat Pak Habib terpinga-pinga.
Bila menyedari perbuatan yang datuk lakukan itu mempunyai motif tertentu, Pak Habib mengambil sikap tunggu dan lihat.
"Sekarang, letakkan tapak tangan kamu bertiga atas lengan kiri aku."
Datuk pun menghulurkan lengan kirinya yang berselirat dengan urat-urat hijau. Lama juga datuk menanti tidak ada seorang pun diantara  mereka bertiga yang berani meletakkan telapak tangan atas lengan kiri datuk.
“Mulakan sekarang, siapa saja boleh memulakannya.”
Dari riak wajah, ternyata lelaki tersebut amat keberatan sekali untuk memenuhi permintaan datuk.
“Kenapa tak buat apa yang aku suruh,” sergah datuk.
Ketiga-tiga lelaki tersebut tidak memperlihatkan tindak balas yang positif. Perbuatan mereka yang menyinggung perasaan datuk hingga mendorong dia (datuk) mengambil inisiatif yang agak keras.
“Kamu mulakan dulu.”
Jari datuk menuding batang hidung lelaki berwajah separuh bulat. Si lelaki itu tidak bergerak dari tempat asalnya. Kemarahan datuk terus membara.
“Kamuuuuuuu...........” jerit datuk.
“Biar dia buat dulu.”
Lelaki wajah separuh bulat mengelak, menyuruh kawannya yang berkulit agak gelap melakukannya. Dan lelaki berkulit agak gelap juga mengelak, dia menyuruh lelaki berdarah dahi melakukannya.
Sikap acuh tak acuh ketiga-tiga lelaki itu membuat datuk hilang sabar. Dia merasakan dirinya di perbudak-budakkan, Dengan pantas datuk menyambar pergelangan tangan lelaki berwajah separuh bulat lalu dikilasnya kebelakang dengan sekuat hati.
Wajah lelaki separuh bulat nampak bersahaja tidak cemas atau takut apa lagi merasa sakit.  Tidak pula senyum. Situasi begini secara tidak langsung mengerakkan hati datuk supaya berwaspada. Ada tanda-tanda tentangan secara batiniah dari lelaki tersebut. Datuk segera menukar taktik. Pergelangan tangan lelaki berwajah separuh bulat dilepaskan. Kemudian, berubah tempat dengan berdiri betul-betul di belakang lelaki berwajah separuh bulat. Dengan pantas datuk memasukkan lengan kirinya ke celah kangkang lelaki ber wajah separuh bulat.
Jari-jemari datuk terus mencengkam dan memulas kulit perut bahagian atas pusat lelaki tersebut. Dengan kekuatan luar biasa, perlahan-lahan datuk angkat lengan kiri separas bahu. Tubuh lelaki berwajah separuh bulat turut terangkat, sepasang tangannya terkapai-kapai dan sepasang kakinya terbuai-buai.
Lelaki wajah separuh bulat terus mengimbangi kedudukan tubuhnya yang berada atas lengan datuk.Ada ketika tubuhnya terdorong ke depan. Dalam waktu yang lain, bagaikan mahu terlentang ke belakang. Ada masa-nya terlayah ke kiri dan ke kanan. Kedua-dua belah kaki dan tangan dimanfaatkan, agar tubuhnya tidak jatuh ke tanah.
Lelaki berwajah separuh bulat rnula menjerlt dan menangis. Dia merayu hiba supaya tubuhnya diletakkan kembali ke permukaan bumi. Datuk mempersetankan rintihan dan rayuan lelaki tersebut.
Datuk terus membuai-buaikan pergelangan tangannya ke kiri, ke kanan dan ada saatnya ditinggikan melepasi paras bahu. Bila direndahkan. kaki lelaki berwajah separuh bulat tidak |uga menyentuh permukaan bumi.
Wa|ah lelaki separuh bulal pucat. Baju bahagian belakang nya kelihatan basah kerana diresapi peluh. Setiap kali datuk gerakkan tangan kirinya sama ada arah ke kanan atau ke kiri. Dua tiga azimat atau tangkal yang dibuat dari teras kayu, tulang temulang dan batu batu lucut dari tubuh lelaki tersebut lalu jatuh ketanah
YAKIN
Bila datuk yakin tiada lagi tangkal atau azimat yang melekap di tubuh lelaki berkenaan, perlahan-lahan datuk merendahkan lengan kirinya   perlahan-lahan  yang keras,  suara lelaki berwajah separuh bulat terus berenti.
Sebaik sahaja sepasang telapak kakinya menyentuh permukaan tanah, Tubuh lelaki itu nampak lembik (macam agar-agar) dan terus rebah ke bumi dalam keadaan tertiarap.
Setelah mengeluarkan lengan kirinya dari celah kangkang lelaki berwajah separuh bulat, datuk mengeliat panjang. Dua tiga kali lengan kirinya diurut dengan telapak tangan kanan secara songsang, dari bawah keatas. Senafas hembusan datuk halakan pada lengan tersebut, seolah-olah menghembus sesuatu yang melekat di situ.
Sungguh mengejutkan sekali, baju yang dipakai oleh lelaki wajah separuh bulat (di bahagian belakang) terbelah dua mengikut kedudukan tulang belakangnya.
Bermula dari bahagian bawah tengkuk hingga ke bahagian tulang punggung, macam ada kuasa tertentu yang mengoyakkan bajunya
Jelas kelihatan ada tanda melintang  dibahagian atas punggung. Manakala dikiri kanan bahunya ada ukiran (tatoo) bentuk kala jengking sedang bertarung. Lebih dari sepuluh minit lelaki wajah separuh bulat tertiarap mencium bumi.
“Huuuuu.........” saya mendengus.
TERTIARAP
Lelaki berwajah separuh bulat yang tertiarap mula bergerak. Menelentangkan tubuhnya mengadap langit malam.
“ Aduh sakitnya,” keluh lelaki itu sambil duduk.
Datuk yang berada di sisi hanya melihat sahaja apa yang bakal dilakukan oleh lelaki terbabit.
Dua orang kawannya bagaikan terpukau, anak mata mereka sahaja yang bergerak menyorot apa yang dilakukan oleh temannya, sedangkan mulut, bagaikan terkunci untuk melontarkan sebarang kata.
Dari duduk lelaki berwajah separuh bulat berusaha untuk berdiri. Usaha pertama menemui kegagalan, cuba kali kedua masih gagal juga. Cuba kali yang  ketiga, tetap tidak berhasil. Dia terpaksa duduk semula dengan muka menghala ke wajah datuk.
“Mengapa saya dibuat begini?” Tanyanya pada datuk.
“Tanyalah diri kamu sendiri.”
“Haaaa...............” si wajah separuh bulat cuba protes.
Datuk senyum lalu merenung ke arah dua orang sahabat lelaki tersebut yang macam orang dungu.
“Apa kamu berdua mahu jadi macam dia?”
Itulah pertanyan yang datuk ajukan kepada kedua-dua lelaki yang berdiri kaku, mata terkebil-kebil macam mata katak kena sembur air.
“Kalau tak mahu jadi macam dia, patuh dan dengar cakap aku!”
Kedua-dua lelaki itu tidak mengeluarkan sepatah kata pun. Tetapi mereka mengangguk tanda setuju.
“Sekarang, hulurkan tangan kamu.”
Kedua-dua lelaki tersebut berebut-rebut menghulurkan tangan hingga datuk jadi kebingungan. Sukar buat keputusan huluran tangan siapa yang harus disambut dulu.
“Tarik tangan kamu semula.”
Kedua-dua lelaki tersebut patuh dengan arahan.
Tindak tanduk kedua-dua penjenayah itu sungguh melucukan buat saya. Dan secara tidak segaja saya ketawa. Dengan pantas terasa, hujung siku si pemandu menghentak rusuk sebelah kiri saya. Ketawa yang baru berbunga mati terus.
DULU
“ Kamu dulu hulurkan tangan kanan pada aku.”
Telunjuk datuk menuding kearah lelaki berkulit agak gelap. Tanpa berlengah-lengah lagi dia hulurkan tangan kanannya yang kurus kecil itu kepada datuk.
“Genggam empat jari kamu dan tegakkan ibu jari kanan dan tahan nafas kamu macam ini........” Datuk segera menunjukan cara-cara yang harus dilakukan oleh lelaki, berkulit separuh gelap.
“Sekarang kamu sudah faham?” sambung datuk.
“Faham, “ jawapnya.
“Kalau dah faham, lakukan sekarang juga. Jangan buat silap nanti kamu terima akibat buruknya.’”
Dan lelaki berkulit  agak gelap. Segera melaksanakan apa yang harus dilaksanakan seperti apa yang diarahkan oleh datuk.
“Tahan nafas kamu sekarang.”
Lelaki berkulit separuh gelap dengan pantas mengangguk. Mukanya nampak serius. Urat-urat di leher dan dahi kelihatan menonjol akibat dari menahan nafas.
“Sekarang aku tolak ibu jari kanan kamu. Tahan jangan sampai ibu jari tangan kanan kamu bergerak,” datuk mengingatkan lelaki berkulit agak gelap.
Dari kerdipan mata yang dilakukan oleh lelaki itu menghantar pesanan kepada datuk bahawa dia sudah bersedia. Apa saja yang akan datang akan dihadapinya. Datuk senyum senang. Hati saya berdebar, menanti penuh cemas apa yang akan berlaku.
Setelah dapat tempat berdiri yang baik dan selesa, ibu jari kiri datuk yang bulat berisi, bersama ruas yang agak panjang mula bercantum dengan ibu jari kanan lelaki berkulit agak gelap.
Dengan penuh bergaya dan bersistematik datuk menolak dan menekan ibu jari kanan lelaki tersebut. Dengan penuh daya dan tenaga lelaki berkulit agak gelap mempertahankannya. Dia mempastikan telapak kakinya tidak bergerak walau satu inci pun. Dari jauh kelihatan dua ibu jari seperti bercantum menjadi satu.
Satu pertarungan yang sungguh hebat, penuh debar dan cemas. Masing-masing tidak mahu kalah.
Ternyata tekanan berpihak kepada lelaki berkulit agak gelap. Datuk tetap berada dipihak yang selesa. Kalau tewas tidak membawa apa-apa kesan pada dirinya. Andainya, lelaki berkulit agak gelap gagal, ibu jari kanannya patah atau mungkin tercabut dari sendi.
TERANGKAT
Bila datuk meluruskan (mengangkat) tangan melepasi kepalanya, tubuh lelaki agak gelap, turut terangkat.
Dengan ibu jari kiri datuk menjulang tubuh lelaki tersebut. Tubuh lelaki itu terus dipusingkan berkali-berkali di atas kepalanya, macam kipas helikopter. Lelaki seperti berada di awang-awangan.
Semasa tubuh dipusing berkali-kali, baju yang dipakainya terkoyak teruk. Bermacam-macam tangkal yang lekat di tubuh lerlaki berkulit agak gelap bertaburan di bumi. Kebanyakan tangkal itu dibuat dari tulang-tulang binatang buas, disamping beberapa jenis batu tertentu dalam berbagai bentuk dan rupa.
Lelaki berkulit separuh gelap terus memekik minta diletakkan atas anah semula. Dan permintaannya segera datuk tunaikan.
Sebaik berada di tanah, lelaki itu tidak boleh berdiri, terus jatuh terduduk. Dia berkata-kata sesuatu tetapi suaranya tidak terkeluar, Mulutnya berbuih dituruti dengan muntah yang banyak. Lelaki itu kelihatan tidak bermaya sekali. Dia amat keletihan dan terus terbaring di bumi.
Pak Habib hanya menyaksikan saja apa yang datuk lakukan terhadap kedua-dua lelaki itu. Dia tidak memberi sebarang komentar. Sedangkan apa yang datuk perlihatkan itu membuatkan si pemandu makin kagum pada datuk.
“Datuk kamu memang luar biasa orangnya Tamar,” bisiknya pada saya. Dan saya tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kekagumannya itu.
DINGIN
Kerana saya bersikap dingin, si pemandu segera bergerak ke depan saya. Dia menegakkan ibu jari kanannya pada saya sambil mulutnya tajam menghala kearah datuk. Saya buat tak nampak dengan apa yang dlakukannya di depan saya.
“Berdiri tegak, jangan buat macam itu pada saya. Sembah manusia bukan perbuatan yang baik. Hanya Allah yang wajib disembah,” ujar Pak Habib.
Dengan pantas sekali, lelaki berdarah dahi berdiri tegak macam kayu. Sepasang anak matanya menyorot lembut ke muka Pak Habib minta dikasihani.
Bila dirasanya, Pak Habib tidak memberi reaksi postif,anak matanya beralih pula kepada datuk.
“Kamu berurusan dengan dia, bukan dengan saya. Kamu selesaikan dengannya,” tenang dan bersahaja Pak Habib bersuara. Datuk anggukkan kepala, setuju dengan apa yang dkatakan oleh Pak Habib.
“Kamu berusan dengan aku, bukan dengan Pak Habib,” tegas datuk.
Lelaki berdarah dahi segera bergerak ke arah datuk dan berdiri kaku di depannya.  Bersedia menerima arahan atau hukuman dari datuk. Dua orang kawan lelaki berdarah dahi tetap macam tadi. Lebih banyak merehatkan badan.
“Kamu sudah dengar apa yang Pak Habib kata.”
Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala.
“Kamu mesti patuh arahan aku,” lembut suara datuk.
Macam tadi juga, lelaki berdarah dahi tetap mengangguk. Saya dan pemandu kembali resah, bimbang dengan apa yang bakal berlaku. Pak Habib macam biasa, tetap tenang. Bibirnya bergerak lemah, saya yakin dia sedang berzikir.
“Sekarang buka semua tangkal dan azimat di badan kamu.”
Lelaki berdarah dahi anggukkan kepala. Beberapa detik berikut dia terus membuka baju. Malah dia bersedia melucutkan seluar hitam yang dipakainya.
:Jangan,” tahan datuk.
“Kenapa pula? Saya rela,” lelaki berdarah dahi bersuara.
“Kamu tidak ikhlas, masih mahu berdalih. Kamu tak pakai selar dalam, jangan berhelah, cukup setakat ini.”
Lelaki berdarah dahi gigit bibir. Memang dia tidak menduga sama sekali yang datuk tahu dirinya tidak memakai seluar dalam. Peluangnya untuk mempermainkan datuk secara sepontan berkecai.
“Orang yang mengamalkan ilmu salah, biasanya tak pakai seluar dalam. Kalau pakai pun mesti warna hitam atau merah. Sebabnya bila sesak atau terdesak terus telanjang. Perbuatan itu boleh melambatkan atau melemahkan kekuatan musuh buat seketika, kamu jangan mempermain-mainkan aku,” datuk memberi amaran keras.                                   

 
:

Lelaki berdarah dahi ketakutan. Rahsianya sudah dapat dikesan. Dalam usaha melindungi keburukannya, dia terus menerpa ke arah datuk dengan harapan untuk berpelukan sambil memohon maaf.

Semasa lelaki berdarah dahi membuka sepasang tangannya selebar mungkin untuk merangkum tubuh datuk, dengan pantas mula datuk mengelak. Memang datuk tidak mengizinkan tubuhnya disentuh oleh lelaki berkenaan.

Menyedari datuk mengelak, lelaki berdarah dahi merasa malu. Dia kembali berdiri ditempat asalnya. Tanpa segan segan terus memasukkan tangan kedalam seluar di bahagian belakang. Meraba kulit punggung sambil menggerakkan jari jemari kebahagian kemaluannya.

Datuk hanya melihat telatahnya, begitu juga Pak Habib. Tetapi saya dan pemandu merasa ganjil dengan perbuatannya itu. Apakah yang dicari dan diraba dari punggong hingga ke tempat alat kelaminnya?.

“Ini azimat yang akhir.”

Tangan lelaki berdarah dahi menghulurkan serangkai azimat yang disalut dengan tembaga putih pada datuk. Datuk tidak menyentuhnya.

“Ini pula tangkal ibu besi.”

Lelaki berdarah dahi membuka telapak tangan kiri yang digenggamnya. Ada seketul bebola besi kecil tergolek di bahagian tengah telapak tangan.

“Saya sekadar menolong mereka,” lelaki berdarah dahi seakan akan merungut panjang. Datuk buat tidak kisah, tetapi Pak Habib hanya senyum saja.

AZIMAT

Tanpa disuruh lelaki berdarah dahi menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan sehelai kain empat segi, bentuknya lebih besar sehelai sapu tangan biasa. Kain dua warna, merah dan hitam itu dibentang atas tanah.

Semua azimat milik dua orang kawannya dan miliknya yang ada di situ dikumpul dan dibungkusnya.

“Semua tangkal ini diberi orang KUBU. Mereka berpesan tangkal tidak boleh dilangkah, jika tak mahu digunakan dibuang ke laut dalam.” Lelaki berdarah dahi bagaikan memberi sebuah ceramah pendek. Pendengar setianya (Pak Habib) tetap memberikan senyuman.

Bungkusan yang berisi azimat itu diikat dibuat semacam uncang. Semasa bungkusan azimat mahu diubah ke tempat lain, datuk segera melarangnya. Lelaki berdarah dahi mempertahankan perbuatannya.

“Bukan apa apa saya taruh di situ dulu, bila kita mahu keluar dari tempat ini, saya ambil kemudian saya ke laut Selat Melaka.”

“Petua cara lain tak ada,” Soal datuk lagi.

“Tak ada,mesti dibuang ke laut,” satu jawapan yang serius dari lelaki berdarah dahi.

“Bagaimana kalau ada orang lain yang tahu cara baru,” datuk mula menguji.

“Mustahil ada yang tahu.”

“Bagaimana kalau saya katakan ada orang yang tahu,” hujah datuk lagi.

“Kalau ada silakan .”

Datuk terdiam. Dalam baik lelaki itu mencubanya. Kalau tidak dijawab, lelaki berdarah dahi dapat mengukur sejauh mana kemampuannya.

“Hummmmm……….” keluh datuk.

“Tamatkan saja disini,” Pak Habib mengeluarkan pendapat.

“Sabar dulu, kita selesaikan cara kita,” datuk tidak mahu mengalah.

Dalam usaha mencari akal dan helah untuk mengatasi persoalan yang dihadapi, dua tiga kali datuk gosok pangkal hidung sambil merenung ke dada langit.

LARUT

Malam beransur larut, terasa titik embun jantan gugur menyentuh rerumput dan dedaun. Bulan yang mengambang masih setia menebarkan sinarnya.

Dalam kesamaran cahaya bulan itu, sepasang mata nakal saya sempat menjeling ke arah dua orang rakan lelaki berdarah dahi. Kedua duanya termenung dalam gaya tersendiri. Nampak lesu sekali. Seolah-olah tidak berminat dengan apa yang berlaku di depan mata mereka.

“Aku tahu ada caranya untuk menghancurkannya, tak payah pergi ke laut untuk memusnahkannya.

“Haaaaaa…….” mulut lelaki berdarah dahi terlopong. Matanya menatap wajah datuk, “kamu memang orang pandai yang hebat,” sambung lelaki berdarah dahi. Senyum sinis berlari di bibirnya.

Datuk menerima sanjungan itu dengan air muka yang tenang. Dan setenang itu pula dia merenung ke arah bungkusan kain berwarna merah hitam. Dua orang lelaki sahabat kepada lelaki berdarah dahi yang tadi kelihatan lesu, tiba-tiba seperti bertenaga. Bulat biji mata mereka merenung ke arah datuk.

“Tamar, ambilkan aku ranting kayu bercabang tiga, tidak jauh dari belakang kamu, sebelah kanan.”

Saya segera menoleh ke arah yang datuk maksudkan. Puas renung sekeliling pokok bercabang tiga yang dimaksudkan tidak kelihatan. Sukar mencari sesuatu dalam keadaan yang samar-samar.

“Masa masuk ke mari tadi aku dah nampak pokok tu. Langkah tiga tapak ke kanan, nanti pokok itu kamu temui, ” datang arahan dari datuk. Saya garu kepala.

Akhirnya, arahan itu dipatuhi, pokok yang datuk maksudkan berhasil ditemui.  Batang pokok bercabang tiga segera dipatahkan dan tanpa membuang masa terus diserahkan kepada datuk. Saya tergesa gesa kembali pada kedudukan asal.

“Allah hu akbar.”

Itu yang terkeluar dari mulut datuk. Saya dan pemandu berpandangan sementara Pak Habib (Syed Hamid al-Hadad) terus berzikir.

“Apa yang datuk kamu nak buat Tamar?” si pemandu gatal mulut menyoal.

“Tengok saja, jangan banyak cakap,” bentak saya keras. Mka pemandu nampak masam sekali.

“Allah hu Akbar,” ulang datuk.

Daun dari pokok bercabang tiga yang ada ditangannya segera dibuang sehelai demi sehelai. Begitu juga dengan bahagian hujung ranting. Di bahagian tengah batang pokok di patah dua. Bahagian batang yang tidak diperlkan (termasuk ranting dan daun) datuk campak jauh jauh.

Sesuatu yang menarik dan boleh dikategorikan sebagai pelik dapat dilihat pada bahagian batang yang dipatahkan (berada dalam tangan datuk) kelihatan sama rata seperti dipotong atau dikerat dengan gergaji.

“Ehem…….”

Datuk renung muka Pak Habib sambil tersenyum.

“Sukat, “ sambung datuk.

“Dengan apa?” lembut Pak Habib bertanya.

“Sukat pakai jengkal dengan jari, semasa saya menjengkal (sukat) batang kayu ini awak bacalah ayat kursi.”

“Insya Allah, saya usahakan” janji Pak Habib.

SUKAT

Datuk pun menyukat batang kayu bercabang tiga dengan jari kiri, dari pangkal hingga ke rantingnya sekali. Selesai disukat, ranting pokok bercabang tiga ditikam kebumi tiga kali berturut-turut. Tiada perkara luar biasa berlaku.

“Terima kasih membantu saya,” tutur datuk pada Pak Habib.

“Berterima kasih dan berilah pujian pada Allah yang Maha besar. Tanpa bantuan darinya, kerja kita tak bermakna.”

“Betul,” datuk mengiyakan kata-kata Pak Habib. Mereka tersenyum puas. Lelaki berdarah dahi bersama dengan dua orang kawannya tidak bersuara. Tetapi, gerak geri datuk tetap jadi perhatian mereka.

“Tikam yang saya nak buat ni, tikaman keempat atau tikaman terakhir. Kalau gagal, bererti syaitan tetap menguasai mereka bertiga,” datuk menudingkan telunjuknya ke arah lelaki berdarah dahi dan kawan-kawannya. Pak Habib mengangguk faham.

“Apa yang perlu saya bantu?” Pak Habib menawarkan diri.

“Tolong doakan supaya kerja saya berhasil,” minta datuk.

“Saya cuba, niat awak baik, Insya Allah berjaya.”

“Terima kasih.”

“Segala pujian untuk Allah,” sahut Pak Habib dan datuk tersenyum hambar, terasa dirinya dipersendakan dalam suasana yang sungguh sopan.

“Saya mulakan sekarang.”

“Silakan sahabat,” balas Pak Habib.

Datuk pun memulakan tugas beratnya, sasaran tikaman kayu bercabang tiga, bukannya permukaan bumi. Tetapi bunkusan kain berwarna merah hitam. Kayu bercabang tiga tepat mengenai sasarannya. Serentak dengan itu terdengar letupan kecil, macam letupan mercun berserta dengan percikan api yang terus membakar bungkusan kain merah hitam sehingga menjadi abu.

No comments:

Post a Comment