“Kamu salah orang, dia baru datang dari Medan bersama aku,” ulang datuk
cuba menenangkan perasaan si pemandu lori.
“Ah…” si pemandu mendengus marah.
Dia tidak dapat mengawal perasaannya bila ada orang lain mahu campur tangan
dalam urusannya. Dia alihkan muncung pistol dari kepala Jamaluddin ke dada
datuk.
“Kamu jangan campur, kamu diam,” jeritnya.
“Sabar,” pujuk datuk.
“Kamu diammm…” sergahnya lantang. Muka datuk diludahnya sambil muncung
pistol dihalakan ke kepala Jamaluddin semula.
Beberapa orang yang baru datang ke situ dan menerima penjelasan dari
kawan-kawan si pemandu segera menyalahkan Jamaluddin kerana cuba memasukkan
pasir ke dalam periuk nasi orang lain.
“Bertenang dulu, biar saya jelaskan semuanya,” datuk bagaikan merayu. Ternyata usaha datuk sia-sia. Rasa marah terus membara dalam dada si
pemandu. Dengan siku kiri, bahu datuk disingungnya. Tetapi, datuk masih
berlembut juga.
“Eh, kamu siapa?” untuk kesekian
kalinya si pemandu menyergah datuk.
“Saya kawannya, dia bukan orang sebarangan. Tak baik buat kawan saya
begitu. Menjatuhkan maruah orang ditengah khalayak ramai dilarang oleh agama,”
datuk masih berlembut.
“Ehh syaitan tuaaaaa, puhhh…”
Buat kesekian kalinya bersemburan air liur pemandu lori singgah diwajah
datuk. Dia sudah tidak mampu mengawal perasaan. Kemarahannya sudah meluap-luap.
Seperti tadi juga, datuk dengan tenang mengesat air liur si pemandu diwajahnya.
Datuk masih mampu tersenyum. Masih mahu memujuk si pemandu yang sudah diresapi
hantu syaitan. Dalam keadaan yang tegang itu, dua orang pemuda menarik datuk ke
satu sudut.
“Jangan campur.”
Itulah yang dibisikkan oleh kedua-dua
lelaki ke cuping telinga datuk. Buat seketika datuk termanggu. Kemudian dia
gelengkan kepala sambil menolak bahu kedua-dua lelaki yang berada disebelah
kanan dan kirinya. Kedua-dua lelaki itu bertindak balas. Pemuda sebelah kanan
menekan bahu kanan datuk dengan siku. Manakala yang sebelah kiri memegang
tangan kiri datuk lalu dipulas ke belakang.
“Eh kenapa ni,” kata datuk lembut.
Tiada jawapan yang diterima. Tetapi,
pemuda sebelah kanan mula main kasar. Dia menghentak kepala lututnya ke pangkal
paha datuk. Akibatnya datuk terasa sakit dan kebas.
“Lepaskan saya,” pinta datuk.
“Jangan lepaskan,” pemuda sebelah
kiri keluarkan arahan.
“Kenapa buat saya begini,” datuk
minta kepastian.
“Kamu Melayu Semenanjung?” pemuda
sebelah kanan menyoal.
“Iya,” sahut datuk tegas.
“Kalau begitu jangan tunjuk jaguh di
Jakarta. Jangan campur dalam urusan orang disini,” pemuda sebelah kanan
memberikan amaran tanpa tulis.
TOLAK
Kedua-dua anak muda itu menolak datuk
serentak ke arah longkang kotor. Kerana datuk sudah bersedia menghadapi
sebarang kemungkinan, tolakkan itu tidak mendatangkan kesan. Datuk tidak
bergerak walau seinci pun dari tempatnya berdiri. Sepasang kakinya seolah-olah
melekat dibumi.
“Ah… tak bergerak.”
Serentak kedengaran suara kedua-dua anak muda separuh menjerit. Mereka
merasakan ada tangan ghaib yang merentap (menarik)
mereka dari belakang hingga kedua-duanya jatuh terkapar dibumi, tidak mampu
bangun. Saat kedua-dua anak muda berusaha untuk berdiri, datuk
segera meninggalkan mereka.
Datuk bergegas menuju ke tempat
Jamaluddin yang sedang diugut oleh pemandu lori. Keadaan tidak banyak berubah
dari tadi. Si pemandu masih menghalakan muncung pistolnya ke kepala Jamaluddin.
Mulutnya bertambah celupar mengutuk dan memaki hamun Jamaluddin.
Dan orang ramai yang mengerumuni (Jamaluddin dan pemandu) masih tidak
berganjak dari tempat masing-masing. Mereka mahu melihat bagaimana drama yang
mendebarkan itu berakhir. Mereka mahu melihat siapa yang handal diantara
mereka. Orang ramai mahu melihat siapa yang berdiri tegak dan siapa pula yang
terbujur kaku menjadi mayat.
Secara tiba-tiba saja si pemandu
melepaskan tembakan ke udara. Sebahagian daripada penonton bertempiaran lintang pukang.
Sebahagiannya tidak bergerak. Pemandu lori masih memcekak leher baju
jamaluddin.
“Eh kamu salah orang.”
Semua biji mata tertumpu ke arah
datuk yang melangkah dalam keadaan tempang. Pahanya masih terasa sakit akibat
dihentak oleh pemuda dengan kepala lutut. Kerana perjalanan agak terganggu,
datuk bertindak agak kasar. Orang ramai yang berada dikiri kanan laluannya
ditolak.
PROTES
Memang ada yang memprotes cara datuk bertindak. Tetapi, mereka tidak
berani bersuara.
“Tolong ke tepi, saya nak jumpa
mereka,” datuk minta laluan.
“Kaki kacau,” terdengar suara sumbang
dari arah belakang. Datuk mempersetankan semuanya itu. Datuk terus melangkah
dalam keadaan kelam-kabut dan tolak menolak itu datuk berhasil juga menghampiri
Jamaluddin dan pemandu.
“Jangan pengapakan sahabat saya,”
datuk merayu.
“Ini bukan urusan awak,” sergah
pemandu lori lebih tegas dan lebih berani dari tadi. Malah dia mencebekkan
bibirnya ke arah datuk.
“Tapi, dia sahabat saya,” jawab
datuk.
“Kamu mempertahankan perbuatannya
yang salah?”
“Tidak, saya mahu menerangkan keadaan
sebenar.”
“Tak perlu, apa kamu mahu aku tembak
kepala kamu,” si pemandu mula alihkan muncung pistol ke arah datuk. Gementar
juga perasaan si pemandu bila melihat datuk tidak memperlihatkan rasa cemas
atau takut. Malah kelihatan tenang dan bersahaja.
“Awak pergi jauh kalau sayangkan
nyawa. Kalau tak bergerak saya tembak awak sampai awak mati,” kata si pemandu
sambil melepaskan tembakan ke udara. Datuk tidak juga menjauhkan diri darinya.
“Awak tak takut mati?” tanya pemandu
lori.
“Orang pengecut dan tak beriman saja
yang takutkan mati. Awak tahu, mati itu perkara biasa. Semua orang mati. Awak
juga mesti mati.”
“Eh, pelik, ada orang tak takut
mati,” keluh si pemandu.
“Saya mahu cari penyelesaian dan mahu
menerangkan kedudukan sebenarnya. Dia memang tak tahu hal ini. Ada orang mahu
mengkhianati dirinya, saya kenal dia.”
“Huhhhh,” si pemandu menarik nafas
panjang. Pistol segera dimasukkan ke dalam kotak khas seterusnya disembunyikan
dalam baju labuh yang dipakainya.
SURAI
Orang yang berkumpul segera bersurai, mereka mengira semuanya sudah
berakhir. Jamaluddin menarik nafas lega dan cuba menerangkan
sesuatu pada si pemandu lori.
Belum pun sempat dia membuka mulut.
Pemandu lori terus menampar muka Jamaluddin. Dan Jamaluddin yang merasakan
dirinya dicabar untuk sekian kali, mahu bertindak balas. Datuk segera memberi
isyarat pada Jamaluddin supaya jangan bertindak.
Jamaluddin segera mematuhi arahan
tersebut, walaupun hatinya panas membara. Dia tahu, datuk berbuat demikian
mempunyai tujuan tertentu. Mungkin datuk mengambil sikap mengalah dulu sebelum
bertindak.
“Aku yakin kamu salah orang,”
perlahan-lahan datuk bersuara sambil menatap biji mata si pemandu lori.
“Ah…” si pemandu lori mengeluh sambil
menggosok-gosok pangkal hidungnya dengan hujung jari kelingking, “mana budak
dua orang tadi, mereka beritahu aku yang kamu melaporkan perbuatan aku pada
polis,” sambung pemandu lori.
“Kamu dipermainkan oleh kawan-kawan kamu
sendiri,” kata Jamaluddin.
“Ah kamu diam.”
Jerit pemandu lori pada Jamaluddin
sambil mengangkat tangan kanannya setinggi mungkin.
Belum pun sempat telapak tangan itu
singgah dimuka Jamaluddin, pergelangan tangan si pemandu lori segera disambar
oleh datuk dan terus dikilas ke belakang dan ditolak ke depan. Si pemandu lori
jatuh tersungkur dibumi. Jamaluddin segera menerkam kerahnya dan mengambil
pistol yang disembunyikan.
Secara mendadak dua pemuda yang mahu
menjatuhkan datuk ke dalam longkang segera datang. Mereka menerkam ke arah
Jamaluddin.
“Kamu berdua yang menfitnah aku?
Kenapa ini kamu lakukan pada aku Kudus, kenapa kamu buat aku begini Kamsah,”
kata Jamaluddin pada kedua-dua pemuda.
BERTARUNG
“Kita bertarung dulu, kemudian baru
kita jelaskan,” serentak mereka menjawab. Tanpa membuang masa mereka terus
membuka langkah silat menyerang Jamaluddin. Datuk memberikan ruang untuk Jamaluddin
bertarung dengan orang yang dikenalinya. Orang pertama yang datang menyerang
tewas ditangan Jamaluddin.
Melihat kawannya jatuh tidak bergerak, orang kedua tidak jadi melakukan
serangan pada Jamaluddin. Dia segera minta maaf pada Jamaluddin dan menerangkan
memang mereka berdua memberitahu pada pemandu lori yang Jamaluddin memberikan
laporan pada polis atas kegiatan mengedar dadah secara kecil-lecilan dikawasan
tersebut. Mereka berbuat demikian kerana Jamaluddin selalu
menasihatkan supaya jangan menjadi ’barua’
pada pemandu lori tolong jualkan dadah.
Sebaik saja penjelasan diberikan oleh
kedua-dua pemuda, sebuah peronda polis sampai ke tempat kejadian. Rupa-rupanya
ada orang mengubungi pihak polis ketika si pemandu lori melepaskan tembakan ke
udara buat pertama kali tadi.
Semasa si pemandu lori dan dua
kawannya masuk ke dalam perut kereta peronda polis, kami dikejutkan dengan
jeritan orang ramai: “Gedung terbakar, gedung terbakar.”
Tidak jauh dari tempat kami berdiri,
beberapa orang segera berlari ke arah bengunan papan membawa baldi dan kayu
untuk memadamkan api yang kian marak memusnahkan bangunan tersebut.
Kami segera membantu orang ramai. Dan kami diberitahu bangunan papan itu
sengaja dibakar oleh anak buah pemandu lori agar kegiatannya tidak dapat
dikesan oleh pihak berkuasa.
Seminggu setelah peristiwa itu, saya dan datuk berpisah dengan
Jamaluddin. Kami pulang ke tanah air.