Friday, August 30, 2013

SIRI 267 ( VS 0G0S 2003 ) KUBUR MAHAGURU GHAIB




 “Silakan,” keras suara datuk.
“Dua hari, sebelum mati dipanah petir. Dia melantik saya menjadi panglima, menjaga keselamatan Imam Shafie,” lelaki menggelar dirinya panglima itu menyambung cerita yang terputus. Datuk tidak memberi sebarang komen.
         “Di mana kubur mahaguru?” Soal Datuk.
         “Dalam hutan, sekarang dah ghaib,”
         “Ghaib,”datuk terkejut.
         “Iya,” jawab kedua-dua lelaki itu serentak.
         Buat beberapa ketika datuk termenung panjang. Seolah-olah putus asa. Malah bersedia melepaskan kedua-duanya pergi.
         Bila datuk merenung ke arah Pak Habib ternyata Pak Habib memberikan lampu hijau agar melayani kedua-duanya hingga rahsia diperolehi. Sama ada mahu atau tidak, datuk terpaksa akur dengan permintaan kawan baiknya, Pak Habib.
         “Setiap tahun kami memperingati kematian mahaguru di kawasan itu di mana kami percaya kuburnya ghaib. Kami sembelih kerbau atau lembu, kalau binatang itu tidak ada, kami sembelih tujuh ekor kambing jantan,” penuh semangat si panglima bercerita.
         “Lagi apa yang kamu buat di situ,” risik datuk.
         “Darah dan tulang binatang yang disembelih dibiarkan di situ. Dagingnya diberikan pada para pengikut mahaguru atau diberikan kepada orang-orang kampung.”
         “Bagaimana kalau ada anak murid yang tak mahu mengikut pesannya?”
DIMAKAN SUMPAH
“Dimakan sumpah mahaguru, mati dalam keadaan yang mengerikan, biasanya mati patah leher diterkam harimau, disambar buaya atau mati dalam kemalangan, ditimpa pokok dan sebagainya.”
         “Apa kebaikan yang pengikutnya dapat?” datang lagi pertanyaan dari datuk.
         Si panglima terdiam, dia seperti bosan atau kepenatan untuk meneruskan cerita tentang mahaguru yang hilang. Tetapi kawan di sebelah bersedia mengambil alih tugsanya.
         “Mahaguru sebenarnya tak mati, kalau perlu bantuan atau pertolongan seru namanya, dia akan datang dalam macam-macam bentuk dan rupa.”
         “Biasanya dalam bentuk macam mana?” tekan datuk.
         “Selalunya harimau.”
         Datuk menggelengkan kepala sambil mengucap panjang. Dua tiga kali hujung dagu diraba dan dipicit berkali-kali. Semakin maju dunia berkembang, semakin mundur cara bangsaku berfikir terutama dalam hal-hal agama, mereka makin sempit dan mahu kembali ke zaman animisma, fikir datuk sendirian.
         “Semasa merebut Imam Shafie dari kumpulan tuan, mahaguru banyak kali datang membantu. Harimau yang tuan tewaskan tu jelmaan mahaguru, bila harimau dengan sendirinya tuan guru mati kali kedua, betul-betul mati,” nada suara lelaki di sebelah panglima bernada kecewa. 
         Pak Habib minta Shafie dan kedua orang tuanya yang kelihatan resah supaya bertenang dan bersabar. Bila urusan datuk dengan kedua-dua manusia itu selesai, perjalanan tetap diteruskan. Permintaan Pak Habib diterima oleh insan tiga beranak.
JEMU
Sebenarnya, saya dan Tajuddin sudah jemu menanti. Kami mahu urusan datuk dengan kedua-dua manusia segera selesai. Tidak sabar kami mahu mendengar kesimpulan yang datuk buat terhadap mereka. Apakah mereka harus dihukum atau dilepaskan begitu sahaja.
         “Sekarang kamu kata mahaguru sudah mati, apakah selepas ini kamu mahu meneruskan perjuangan mahaguru kamu?” tanya datuk.
         Kedua-dua lelaki itu, serentak gelengkan kepala.
         “Kenapa?”
         “Kejadian yang berlaku tadi, membuka mata hati kami ke jalan yang betul dan benar. Selama ini kami dalam pencarian dan menemui jalan sesat. Sekarang kami sudah nampak jalan terang,” spontan panglima bersuara.
         “Maksud kamu?”
         “Kami mahu balik ke pangkal jalan dan bertaubat.”
         “Syukurlah.”
         Kedua-dua lelaki itu sering berpandangan. Datuk menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya, ditadahkan ke langit seketika. Pada saat itu terdengar batuk kecil dari ayah Shafie. Datuk segera menoleh ke arahnya. Suasana sekitar terasa aman, tidak membimbangkan.
         Saat bayu mengusik dedaun di reranting, datuk menundukkan muka ke bumi. Dia masih menahan rasa terharu dengan perubahan sikap dua lelaki itu. Tanpa disedari, Pak Habib sudah berdiri di sisinya.
         “Tahniah.”
         Pak Habib hulurkan tangan. Datuk angkat muka, pandangan bertembung. Mereka berpelukan erat. Angin bertiup menyentuh dua tubuh. Dua lelaki pengikut setia Shafie terpesona dengan kejadian di depan mata. Mereka seperti enggan angkat kaki, meninggalkan tempat di mana mereka berdiri.
         Si panglima melangkah setapak demi setapak mendekati datuk dan Pak Habib. Tidak lama berselang, kawannya pula melangkah setapak demi setapak.
         Si panglima berdiri di depan datuk, bertentang muka. Kawannya berdiri di depan. Pak Habib bertentang wajah. Perbuatan kedua-dua lelaki menimbulkan tanda tanya di dalam hati Pak Habib dan datuk.
         Sebagai persedian datuk segera mengendurkan kedudukan sepasang kakinay. Lebih tepat disebut sebagai mengatur kedudukan mempertahankan diri. Kedudukan Pak Habib tidak berubah. Dia menerima kedatangan tetamu itu dalam keadaan bersahaja.
TANGAN
Tanpa berkata apa-apa, si panglima hulurkan tangan pada datuk. Sementara kawannya pula hulurkan tangan pada Pak Habib. Sungguh mengejutkan, telapak tangan yang erat dan kejap dalam genggaman datuk dan Pak Habib segera direntap dengan kasar.
         Seperti tadi juga, tanpa sepatah perkataan, mereka segera bertukar tempat berdiri. Si panglima berdiri di depan Pak Habib dan kawannya berdiri di depan datuk. Mereka melakukan perkara yang sama berjabat salam sambil menggoncang tangan.
         Kedua-dua tersenyum dan sekaligus membongkok, bersedia mahu mencium tangan Pak Habib dan datuk. Mereka terkejut dan cemas bila Pak Habib dan datuk serentak menarik tangan masing-masing.
         “Maafkan kami, memang kami tak suka orang mencium tangan kami,” kata datuk dengan tenang. Pak Habib anggukkan kepala, setuju dengan apa yang datuk ungkapkan.
         “Tak apa, kami yang sepatutnya minta maaf, bukannya tuan berdua,” si panglima nampak tenang.
         “Kenapa pula begitu?” Tanya datuk.
         “Sebabnya kami banyak  menyusahkan tuan berdua. Tapi, kerana kehebatan tuan berdua, mata hati kami terbuka. Menyedarkan kami, apa yang kami lalui selama ini salah,” sinar mata si panglima sayu menatap wajah Pak Habib, menghantar rasa kesal berpanjangan.
         Datuk dan Pak Habib berpanjangan, tiada sebarang kata-kata yang Pak Habib dan datuk luahkan untuk mereka.
         Dalam hati masih ada keraguan dan kesangsian yang pengikut Shafie akan melaksanakan ikrar yang diluahkan. Maklumlah, orang jahat sukar untuk menjadi baik. Itu yang datuk fikirkan.
         “Kami pergi dulu ,”kawan si panglima bersuara.
         “Ke mana?” Tanya Pak Habib.
         “Balik ke pangkuan keluarga untuk bertaubat, mahu minta pada orang yang kami lukakan perasaannya, “ jawab si panglima.
         Ketika Pak Habib mahu membuka mulut untuk memberi kata perangsang bersama doa restu, kedua-dua lelaki itu membelakanginya dan terus melangkah pergi.
         Ternyata Pak Habib merasa amat kecewa dengan sikap kedua-dua lelaki tersebut. Tetapi sepasang anak matanya terus menyorot langkah kedua-dua lelaki itu hingga hilang di sebalik rimbunan pepohon yang tegak berdiri di tepi sempadan antara tanah sawah dengan kawasan perkampungan.   
         Bila kedua-dua lelaki itu berada di bawah pokok besar yang rendang, mereka menoleh ke arah datuk dan Pak Habib sambil melambai-lambaikan tangan. Lambaian itu segera dibalas oleh datuk Pak Habib. Beberapa saat kemudian, kedua-dua lelaki itu hilang dari pandangan.  
         “Mudah-mudahan Allah akan memperkenankan cita-cita mereka,” datuk memujuk Pak Habib.
         “Memang itu yang diharapkan, semoga taubat dan amalan mereka diterima oleh Allah,” balas Pak Habib sambil mengalihkan pandangan dari merenung pokok besar ke arah muka datuk.
         “Mari,” tambahnya.
         Tangan datuk segera ditarik ke arah orang tua Shafie. Datuk tidak membantah, mengikut saja. Mereka melangkah bersaingan. Beberapa helai daun kering yang gugur hampir saja mahu jatuh kepala datuk dan Pak Habib.
LAMA
“Boleh kita teruskan perjalanan, sudah lama sangat kita berhenti di sini ?” Ayah Shafie menyuarakan kebimbangan pada Pak Habib.
         Datuk terus tersenyum tanpa memberikan sebarang komentar. Wajah ibu Shafie bermandikan peluh. Shafie terus mengeliat, menghilangkan rasa lenguh di sendi. Maklumlah terlalu lama menunggu, dari duduk terus berdiri. Melangkah setapak mendekati datuk.
         “Dah selesai.”
         Datuk tentang biji mata Shafie seketika.
         “Bagaimana,semuanya dah selesai?” Ulang Shafie serius. Datuk masih lagi menentang biji matanya. Shafie menyedut nafas dalam-dalam. Ada rasa hampa dalam dada kerana datuk tidak menjawab pertanyaan yang diajukan.
         “Semuanya dah selesai?” Ulang Shafie untuk kali ketiga.
         “Selesai.”
           Datuk segera merenung ke kiri dan kanan sekitar. Ayah dan ibu Shafie  merenung ke langit. Melihat awan nipis yang berarak. Melihat sekawan pipit tuli terbang rendah menuju sempadan kampung.
         “Kita bergerak sekarang,” secara mengejut datuk memberi arahan. Shafie dan kedua orang tuanya agak terkejut. Pak Habib nampak tenang dan bersahaja, seolah-olah dia tahu perkara itu akan berlaku. Semua yang berada di situ (termasuk saya) segera membentuk satu barisan.
         Seperti dalam perjalanan awal tadi, tanpa disuruh Shafie mengambil tempat di tengah-tengah barisan. Saya dan Tajuddin kembali pada tugas asal, mengawal Shafie sepanjang perjalanan ke rumahnya.
         Kalau dia melakukan sesuatu yang boleh membahayakan dirinya dan orang lain, saya dan Tajuddin wajib bertindak dalam apa cara sekalipun.
         Selesai saja Pak Habib membaca doa pendek, dia merenung ke arah kami memastikan jumlah kami tidak berkurangan atau berlebihan. Datuk pula mengelilingi barisan dari depan hingga ke belakang. Keadaan sekitarm kiri kanan barisan juga diawasi. Datuk mahu kami semua berada dalam keadaan selamat. Bebas dari sebarang gangguan semasa dalam perjalanan kelak.
            



No comments:

Post a Comment