Friday, September 24, 2010

SIRI 134 : LEMBAGA DI TEPI LAUT

"Yang kamu ambil, kayu arang atau buluh?" tanya nenek kepada saya.

"Kayu arang," jawab saya.

"Bukan urusan kamu untuk mengetahui semuanya ini, ini urusan aku," kata datuk yang secara tiba-tiba memusingkan badannya ke arah saya dan nenek. Dia bagaikan mengetahui dengan apa yang kami perkatakan.

Saya dan nenek berpandangan. Datuk kembali menghadapkan dada dan wajahnya ke halaman rumah. Kayu arang masih ditangannya. Dengan tenang datuk mengangkat kayu arang melepasi kepalanya.

"Bukan di sini tempat untuk bergurau. Orang lain boleh diajak main-main. Dengan aku jangan dibuat begitu nanti buruk padahnya, aku tak mencari musuh, pengikut kamu datang jumpa aku dengan niat untuk memisahkan diri dari kamu," tutur datuk dan kayu arang terus dihumbankan keluar. Nenek menarik nafas lemah.

Saya menggigit bibir dan timbul persoalan dalam diri saya sendiri. Dengan siapa datuk bercakap? Disaat saya memikirkan perkara tersebut, terdengar suara menyebut nama Khoja Lisut sebanyak tiga kali berturut, semuanya itu kedengaran sayup-sayup, dituruti dengan ketukan di dinding rumah berkali-kali.

Datuk masih juga berdiri di ambang pintu, tidak mahu ambil peduli dengan apa yang didengarnya. Sebaik saja bunyi ketukan berhenti, saya terdengar bunyi buah mangga muda berguguran ke bumi akibat pohonnya digoncang bertalu-talu. Pada hemat saya, peristiwa aneh itu terjadi selama lebih kurang lima minit. Setelah itu suasana terasa sepi kembali.

"Iblis tu masih belum puas."

Datuk bergerak dari tempat dia berdiri. Daun pintu dirapatkan. Kunci dan selak dikenakan kembali. Tiga kali datuk menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan. Dimulai dari hujung dagu membawa ke atas, hingga ke hujung dahi.

"Benda-benda yang macam itulah yang saya dengar waktu awak belum balik, kalaulah benda itu merupakan manusia atau binatang, saya tetak dengan golok," sambil berkata-kata nenek menggayakannya sekali. Melihat telatah nenek itu, secara spontan saya teringatkan pelakon filem Normadiah yang bertarung dalam filem SEMERAH PADI.

Rupanya, saya tidak keseorangan dalam menghadapi kelucuan dari nenek itu. Buktinya, bila saya menoleh ke arah datuk, dia tersenyum sinis.

"Sudahlah, memang iblis tidak mahu mengaku kalah, dia selalu mengusik dan menakut-nakutkan kita. Sudahlah," datuk segera menarik tangan saya mengajak ke ruang dapur. Saya segera patuh dengan kemahuannya.

"Kenapa dia sebut nama Khoja Lisut tuk?"

"Itu menunjukkan yang iblis mahu menguasai Khoja Lisut, mahu memperdayakan Khoja Lisut supaya masuk ke dalam kekuasaannya, walaupun dia tahu Khoja Lisut sudah kembali ke pangkal jalan," demikian datuk menjelaskan kepada saya. Penjelasan itu dapat saya terima.


HIDANGAN


Semasa menghadapi hidangan makanan nenek mengulangi pertanyaan yang telah saya ajukan kepada datuk. Jawapannya, sama seperti apa yang datuk ucapkan kepada saya sebentar tadi.

Nenek pun tidak mengemukakan soalan susulan. Tetapi, dari gerak-geri yang ditunjukkan oleh nenek dia tidak puas hati dengan apa yang datuk tuturkan kepadanya.

"Tak puas hati dengan jawapan saya?" datuk menduga.

"Tidak."

"Kenapa pula?"

"Jawapannya macam melepaskan batuk ditangga."

"Habis apalagi yang mahu saya terangkan, syaitan hanya berani pada orang yang takut."

"Hum...," suara nenek terkulum dan dia terus menyuapkan nasi ke mulutnya.

Suasana selanjutnya tidak diganggu oleh sebarang pertanyaan. Kami terus makan dengan tenang hingga selesai. Sebenarnya, hati saya ingin mengetahui misteri yang terjadi secara terperinci. Tetapi, saya takut mengemukakan pertanyaan. Takut kena marah dan kena herdik.

Macam biasa, bila selesai makan masing-masing membawa diri. Nenek dengan tugasnya di dapur, saya berkubang dalam bilik membelek dan membaca novel-novel ringan dan majalah-majalah lama. Datuk tetap dengan kegemarannya membaca kitab yang ada hubungkaitnya dengan hal-hal keagamaan hingga tertidur.

Bila terjaga waktu tengah malam, datuk terus melakukan sembahyang tahajud dan akhirnya mambaca Quran hingga menjelang waktu Subuh. Mungkin kerana kekenyangan atau keletihan saya terus tertidur tanpa memadamkan lampu. Tidur saya yang nyenyak itu berakhir, bila tubuh saya digoncang bertalu-talu. Perlahan-lahan saya bukakan kelopak mata.

"Kenapa tuk."

"Aku dah sembahyang Subuh, terlupa nak kejutkan kamu."

"Iya, saya bangun sekarang."

"Cepat mandi dan ambil wuduk," tutur datuk bila melihat saya melangkah agak lambat menuju ke perigi. Memang kalau boleh ingin saya meneruskan tidur. Bila sudah dikejutkan oleh datuk memanglah mustahil untuk saya lanjutkan perbuatan itu.

Selalunya, saya menunggu datuk sembahyang tetapi, kali ini datuk terpaksa menunggu saya. Memang terasa lucu bila datuk menunggu cucu. Kerana menyedari diri dalam perhatian datuk, terus saja saya berusaha dengan sebaik mungkin membetulkan pembacaan mengikut hukum tajwid.

Bila pembacaan saya tidak betul atau tidak lancar, datuk segera menegur dengan cara yang paling sopan sekali. Datuk batuk kecil berulangkali, bila perkara begitu terjadi fahamlah saya tujuan sebenar datuk. Terus terang saya katakan, apa yang datuk lakukan itu kurang menyenangkan hati saya.

Setelah memberi salam, saya menarik nafas kelegaan. Tidak ada sebarang komen dari datuk. Saya pun membuat kesimpulan bahawa pembacaan saya betul, rukun sembahyang lengkap, tidak ada yang salah. Saya pun segera bangun.

"Nanti dulu, Tamar."

"Kenapa tuk?"

"Kenapa kamu tidak berdoa, Tamar?"

"Masa dah suntuk tuk, sebelum berdoa mesti berwirid, ini memakan masa tuk, saya tahu tuk nak pergi cepat."

"Satu tanggapan yang silap," kata datuk dan saya terus kerutkan kening dalam suasana Subuh yang damai.


DETIK


Buat beberapa detik, saya dan datuk tidak berkata apa-apa. Kami saling berpandangan dan saya tetap mengharapkan datuk memberi alasan yang kukuh kenapa dia berkata demikian. Dua tiga kali saya lihat datuk menggaru pangkal dagunya.

"Nabi Muhammad, pernah berkata berdoalah setelah sembahyang, ertinya setelah memberi salam kita boleh terus berdoa meminta berkat dari Allah yang Maha Besar," tutur datuk dengan tenang.

"Tapi biasanya bila kita sembahyang berjemaah, kita berwirid dulu ikut Pak Imam sebelum berdoa," tanya saya.

"Perbuatan itu tidak salah, kalau tak mahu ikut Pak Imam berdoa pun tak mengapa, kita berdoa sendiri. Bila kita dah berjemaah eloklah ikut Pak Imam."

"Begitu," kata saya lemah.

"Macam kamu ni, kalau ada masa memang eloklah kamu berwirid sebelum berdoa, kerana tak cukup masa, kamu terus saja berdoa. Satu perkara yang mesti Tamar..." datuk tidak meneruskan percakapannya, dia gosok pangkal hidungnya berkali-kali.

"Apa dia perkara yang tuk nak cakap dengan saya," soal saya tanpa sabar. Hati saya semakin resah, datuk buat tidak kisah dengan pertanyaan saya itu. Dia terus meraba-raba hujung dagunya pula.

"Apa dia tuk?" susul saya lagi.

"Oh, iya kita cakap fasal apa tadi Tamar?"

"Fasal doa tuk."

"Iya aku ingat sekarang. Begini Tamar, satu perkara yang mesti tu, maksudnya begini, sebaik-baiknya cuba amalkan selepas sembahyang terus berdoa. Itu perbuatan yang baik, tanda kita berterima kasih pada Allah," begitu lembut nada suara datuk menuturkan kata nasihat.

"Saya cuba buat, apa yang tuk suruh," saya lahirkan sebuah ikrar didepannya. Hasil yang saya perolehi, sebuah senyuman terpamer di kelopak bibir datuk.

"Bagus Tamar," dengan manja datuk menepuk bahu kanan saya berkali-kali. Gelombang ria beralun dalam danau hati saya.

"Engkau tahu Tamar," cetus datuk lagi. "Terlalu banyak nikmat yang kita terima dari Allah, tetapi terlalu sedikit tanda kesyukuran yang kita berikan kepada-Nya."

Saya anggukkan kepala, setuju dengan apa yang datuk tuturkan. Dengan ekor mata saya jeling ke wajah datuk. Ternyata wajah datuk nampak hiba penuh keinsafan.

Melihat datuk berkeadaan demikian, saya amat terharu. Buat beberapa ketika suasana terasa amat hening sekali. Perlahan-lahan datuk bangun lalu melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, datuk melilhat ke dada langit. Kemudian daun jendela dirapatkan kembali.

"Sekarang kita berangkat, Tamar."

Datuk segera masuk kekamarnya dan keluar dengan pakaian serba hitam. Datuk membalut kepalanya dengan songkok putih.

"Nampaknya tuk mahu berjalan jauh?" tanya saya.

"Kenapa kamu bercakap begitu Tamar?"

"Biasanya, kalau dah pakai serba hitam, mesti ada sesuatu yang mahu tuk buat."

Pertanyaan yang saya ajukan itu membuat datuk mengerutkan kening. Dia senyum panjang dengan sepasang mata tajamnya menyorot wajah saya.

"Aku tak pergi jauh, aku nak pergi ke Teluk Senangin, menunaikan janji aku dengan Haji Yatimi, memang sudah menjadi kebiasaan aku kalau ke Teluk Senangin mesti berpakaian begini, lebih-lebih lagi bila ada Haji Yatimi," datuk memberi penjelasan.

Datuk tidak memberi peluang kepada saya untuk mengemukakan sebarang pertanyaan. Dia menggesa saya supaya menukar pakaian dengan segera, sekiranya saya berhasrat mahu menemaninya ke Teluk Senangin. Tergesa-gesa saya sarung seluar kuning ke tubuh. Rambut saya sikat tanpa membuat jambul di dahi.

"Sudah siap Tamar?"

"Sudah tuk."

"Beritahu nenek, kita nak pergi,"

Saya segera mendapatkan nenek. Bila saya mendekati datuk semula saya lihat pintu sudah dibuka dan datuk sudahpun berdiri di ambang pintu.

"Mari cepat."

Saya segera berlari kearahnya lalu turun. Sebaik saja saya berada di halaman, sebelum memulakan langkah saya toleh ke arah pintu rumah. Saya lihat pintu itu tertutup sendiri. Siapa yang menutupnya, barangkali nenek yang melakukannya, saya membuat kesimpulan sendiri.


PERJALANAN


Saya kepenatan, langkah datuk cukup pantas. Saya harus mengimbangi langkahnya, kalau lambat saya terus ditinggalkan. Akibat langkah yang pantas itu, rasa dingin Subuh bagaikan tidak terasa, seluruh tubuh saya berpeluh dengan cepat. Rasa mengantuk dan lesu terus hilang.

Sepanjang perjalanan itu, datuk tidak bercakap, kecuali kalau ada sesuatu maklumat yang mahu disampaikan kepada saya. Biasanya maklumat itu datuk kesan menerusi keadaan alam sekeliling seperti bunyi deru angin, kicau burung dan bunyi geselan dedaun. Andainya bunyi itu agak luar biasa, datuk segera memperingatkan saya supaya berhati-hati.

Setelah melintasi sebuah bukit kecil dan belukar yang ditumbuhi pepohon renek, saya dan datuk pun sampai ke kawasan pantai. Deru ombak jelas kedengaran dan angin laut terasa menyentuh kulit muka, agas mula menggigit kulit tubuh yang terdedah.

Saya dan datuk rapat ke gigi pantai. Serentak kami merenung ke arah sebuah teluk yang berada di bahagian utara pantai.

"Macam ada orang disitu, tuk."

"Iya, aku juga nampak begitu," nada suara datuk agak lemah. Matanya tidak berkedip melihat ke arah sekujur tubuh manusia yang berpakaian serba putih sambil memeluk tubuh. Wajahnya dihadapkan ke arah laut lepas.

Angin laut yang bertiup agak kencang membuat tubuh saya kedinginan.

"Kita ke situ Tamar."

Saya keberatan untuk memulakan langkah. Saya masih ragu-ragu apakah lembaga putih yang kelihatan samar-samar di hujung teluk itu manusia atau sebaliknya.

"Tuk yakin itu Haji Yatimi."

"Iya, aku yakin tapi...," datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia agak keberatan untuk memulakan langkah pertama, dahinya nampak berkedut dan dari raut wajahnya, saya yakin datuk sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Datuk renung muka saya sambil berkata: "Haji Yatimi jarang berpakaian serba putih. Ah! Walau macammana pun mari kita tengok."

"Tapi tuk."

"Tak usah banyak tapi lagi, mari ikut aku. Kita bukan nak cari musuh. Kalau Haji Yatimi kita bersyukur pada Allah, kalau bukan kita minta maaf saja pada yang terbabit."

Saya masih keberatan, kaki terasa amat berat untuk mengatur langkah. Hati pula mengelabah tidak menentu. Melihat saya tidak memperlihatkan sebarang reaksi, datuk segera memegang pergelangan tangan kanan saya.

"Mari Tamar."

Saya tidak dapat berbuat apa-apa, melainkan mengikut saja perintah dengan rela. Bila datuk sudah yakin yang saya tidak akan kemana-mana, barulah pergelangan tangan saya dilepaskan.

Saya tidak dapat berjalan dengan pantas atas pasir pantai, seringkali kaki saya terpijak dahan dan ranting kering. Ada kalanya saya tersasul memijak pasir pantai yang berair, akibatnya kaki dan selipar saya terbenam dalam pasir.

Kesukaran yang dihadapi terpaksa ditanggung sendiri. Tidak ada gunanya mengeluh atau mengadu kepada datuk. Dia bukan simpati dengan apa yang dialami, malah tanpa usul periksa dia terus mengherdik saya. Daripada kena tengking lebih baik tanggung susah.

Lebih kurang dalam jarak dua rantai mahu sampai ke kawasan teluk tersebut, saya dapati manusia yang berpakaian serba putih sudah ghaib entah kemana.

"Tuk, benda tu dah hilang."

"Tidak, masih ada disitu."

"Saya tak nampak tuk," tutur saya cemas.

"Aku nampak dia masih disitu."

Saya terdiam dan menarik nafas panjang. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Hasilnya tetap sama, manusia berpakaian serba putih memang tidak ada disitu. Ternyata penglihatan saya dengan datuk berbeza.

"Tamar, kita tunggu di sini," kata datuk.

"Baiklah tuk."

Saya terus duduk atas batang kelapa tumbang yang bahagian hujung pucuknya terendam dalam laut. Di kaki langit, saya melihat ada warna kemerah-merahan yang membawa alamat, tidak lama lagi matahari akan muncul. Saya merenung ke tengah laut yang dikuasai kabus nipis.

"Orang tadi ke mana perginya tuk."

"Entah aku tak tahu, lagi pun bukan urusan kita nak mencarinya. Kita tak ada urusan dengannya, kalau dia nak berurusan dengan kita, dia datanglah jumpa kita."

"Hum..." kata saya pendek.

Saya jadi bingung dengan tindak-tanduk datuk itu. Dia bercakap macam orang bodoh. Sebentar tadi dia mengatakan orang berpakaian putih itu ada di situ. Tetapi, sekarang lain pula cakap, seolah-olah lembaga yang kelihatan berpakaian putih itu adalah makhluk asing. Dengan tiba-tiba saya bulu tengkuk saya meremang. Saya jadi cemas dan takut.


KANAN


"Assalamualaikum..."

Saya segera menoleh ke kanan, ke arah suara itu datang. Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh Haji Yatimi berdiri di bahagian pangkal perdu kelapa yang tumbang. Dia membalut tubuhnya dengan jubah warna hijau, serbannya juga berwarna hijau. Haji Yatimi menghadiahkan senyum kepada saya. Senyuman itu segera saya balas.

Haji Yatimi mengalihkan pandangannya kearah datuk. Mereka bertukar senyum, bersalaman dan berpelukan.

"Dah lama sampai?"

"Baru, ada kira-kira lima minit."

"Saya terlambat kali ini, selalunya saya menanti awak tetapi, kali ini terbalik pula, awak menanti saya," Haji Yatimi mengakhiri kata-katanya dengan ketawa kecil. Datuk juga turut ketawa, saya masih lagi merenung ke arah ombak yang memukul pantai, iramanya amat menyenangkan hati saya.

Tiba-tiba saya terfikir, bagaimana Haji Yatimi mahu memijak bumi Pulau Sumatera, bagaimana dia mahu menyeberangi Selat Melaka tanpa kapal atau perahu. Mungkin dia berenang? Itu perbuatan yang mustahil. Haji Yatimi pasti tidak mampu melawan ombak. Barangkali Haji Yatimi mampu berjalan atas ombak? Macam-macam yang timbul dalam kotak fikiran saya.

"Tolong saya tolak perahu," kata Haji Yatimi kepada datuk.

"Boleh, dimana awak sembunyikan perahu awak," soal datuk dengan nada suara yang tenang.

"Di sana, mari ikut saya."

Datuk terus mengekori langkah Haji Yatimi menuju ke arah rumpun kecil.

Haji Yatimi dan datuk segera menguak dedahan dan dedaunan rimbunan pepokok kecil. Mereka menarik perahu atas dada pasir dan akhirnya menolak ke laut. Saya segera berlari mendekati perahu yang terumbang-ambing dimain gelombang.

"Dengan perahu ni nak balik ke Solok," tanya saya kepada Haji Yatimi.

"Iya, kenapa Tamar."

Saya teliti perahu itu dari pelbagai sudut. Saya kurang percaya dan yakin dengan perahu sekecil itu, Haji Yatimi boleh menyeberangi Selat Melaka. Lagipun keadaan papan perahu sudah lapuk, bila dipukul ombak kencang boleh pecah. Paling mengejutkan saya ialah pendayung perahu dibuat dari batang nipah.

"Dengan perahu ni nak balik ke Solok?" saya renung muka Haji Yatimi. Dia tersenyum dan terus menepuk bahu saya beberapa kali.

"Iya, kenapa Tamar."

"Saya tak yakin."

"Kamu ni, kenapa cepat bercakap macam tu, aku sudah berbelas kali berulang-alik dari Solok ke sini dengan perahu ni. Kalau sudah janji aku dengan Allah, mahu mati karam di laut, aku terima saja. Bukankah kita ni hamba-Nya, kita berusaha dengan sedaya upaya, yakin dengan kebesaran-Nya dan kepada-Nya kita minta tolong," begitu bersemangat Haji Yatimi menuturkan kata-kata kepada saya.

"Kau faham apa yang tuan haji katakan kepada kamu," susul datuk sambil merenung batang hidung saya dengan tajam. Saya segera anggukkan kepala.


Thursday, September 23, 2010

SIRI 133 RAHSIANYA MULA KETARA



Datuk termenung sejenak. Kemudian dia basuh tangan dan mengakhiri minuman petangnya. Nenek membawa cawan dan piring kosong ke dapur untuk dibersihkan.

Datuk mengajak saya duduk di ruang anjung rumah. Datuk minta saya membantunya meraut bilah buluh untuk dibuat lokah. Permintaan itu saya tunaikan.

"Pada aku dia tidak cakap apa-apa, tiba-tiba dia menghaibkan diri," keluh datuk tanpa merenung ke arah saya, pisau kecil ditangannya terus meraut bilah buluh.

"Pelik juga tuk, apa silapnya kita tuk."

"Tak ada yang silap tapi...," datuk tidak meneruskan kata-kata. Dia berhenti meraut bilah buluh, keningnya dikedutkan, macam ada sesuatu yang difikirkannya, "tapi Mat Upeh ada beritahu aku yang Haji Yatimi nak pergi ke sebelah utara dan pantai timur. Dia minta Mat Upeh sampaikan berita pada aku, dia juga kirim salam pada kau," sambung datuk dengan wajah tenang.

"Buat apa dia ke sana tuk?" soal saya.

"Dia memang selalu macam tu, kalau dah datang ke sini, dia mesti ke Kedah, Perlis ke Kelantan dan Terengganu, ramai kawan-kawannya di situ," jelas datuk.

"Jangan-jangan dia balik ke kampung halamannya tuk."

"Semuanya tu boleh jadi, usah fikirkan tentang dirinya Tamar. Bila kita ke Sumatera kita cari dia. Dunia ini bukannya luas, panjang umur dan diizinkan Allah bertemu juga."

"Hum...," saya menghela nafas. Cukup mudah datuk menyelesaikan masalah. Dia tidak mahu membebankan fikirannya dengan kehilangan Haji Yatimi itu.

Lebih kurang setengah jam lagi mahu sampai waktu Maghrib, saya dan datuk meninggalkan rumah menuju ke surau.

Seperti selalu bila masuk waktu Maghrib, saya disuruh oleh datuk melaungkan azan. Selesai sembahyang Maghrib, sementara menanti waktu Isyak, saya dan datuk bersama penduduk-penduduk kampung mengikut pengajian Tauhid dari seorang guru agama yang datang dari daerah Krian. Guru itu keturunan Banjar yang datuk neneknya berasal dari Kalimantan.

Disamping mengajar agama di surau dan masjid, guru tersebut menulis buku-buku agama yang jadi bahan rujukan guru-guru pondok di tanah air, di Patani, di Kemboja (Kampuchia) dan di beberapa kepulauan Indonesia. Buku agama itu dicetak di Pulau Pinang dalam tulisan Jawi lama.

Menurut cerita datuk, guru agama itu dilahirkan di Banjamasin tetapi sejak berusia lapan bulan dibawa oleh kedua orang tuanya ke Teluk Medan, dekat Bagan Serai. Bersekolah Melayu di situ dan masuk pengajian pondok di Kelantan. Menghabiskan masa lebih kurang dua tahun menuntut ilmu agama dan belajar bahasa Arab di Makkah dan Madinah. Khabarnya, semasa di bumi Arab Saudi itu, dia berkawan dengan cendiakawan dari Kuala Lumpur iaitu Mohamad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari.

Bila pulang ke Bagan Serai, dia dilantik menjadi guru agama di Istana Iskandariah Kuala Kangsar dan pernah berkhidmat di bawah pemerintahan tiga sultan. Bila berhenti, ditauliahkan untuk mengajar agama di masjid-masjid dan surau di seluruh negeri Perak secara percuma.

Pengajian Tauhid yang disampaikan secara mudah itu ternyata meninggalkan kesan pada yang hadir malam itu. Semua pertanyaan agama dijawab dengan mudah. Sesuatu yang berkesan di hati saya, bila guru agama itu mengingatkan para jemaah supaya jangan memusuhi orang-orang yang tidak seagama dengan kepercayaan dan kebebasan mereka harus dihormati selagi mereka tidak mengganggu-gugat agama Islam.

Setelah menunaikan sembahyang Isyak, para jemaah menikmati hidangan ringan yang disediakan. Kemudian para jemaah bersalaman dengan guru agama yang mahu pulang ke kampungnya dengan kereta Austin Eight hitam yang dipandu oleh cucunya.

"Bulan depan saya datang lagi," katanya pada Ketua Kampung sebelum masuk ke kereta.

"Kami nanti kedatangan tuan guru."

"Terima kasih, dengan izin Allah apa yang saya katakan tu akan jadi," tuan guru terus masuk ke kereta.

Setelah memastikan semua tingkap dan pintu surau dikunci, saya pun segera mendapatkan datuk yang menunggu di kaki tangga.

"Sudah kunci semuanya, Tamar."

"Sudah tuk."

Sebelum meninggalkan surau, datuk menghalakan muncung lampu picitnya ke arah pepohon dan hutan kecil yang berada tidak jauh dari surau.


LAMPU


Cahaya lampu picit itu menangkap sinar mata kucing yang menanti mangsanya di tepi belukar. Saya juga melihat musang melarikan diri dari cahaya lampu picit datuk. Suara cengkerik dan bunyi suara kucing jantan memanggil kucing betina jelas kedengaran. Dedaun terus bergerak disentuh angin malam.

"Tamar."

Saya menoleh ke kanan, di situ tercegat Haji Yatimi lengkap dengan pakaian hajinya. Datuk segera menghalakan muncung lampu picit ke wajahnya.

"Aku terlambat, aku ingat aku sempat berjemaah Isyak dengan orang-orang kampung," tutur Haji Yatimi.

"Awak dari mana?" tanya datuk.

"Aku dari Kedah, sampai ke Taiping dah petang. Selepas sembahyang Maghrib di Taiping aku naik teksi ke sini. Entah macam mana, teksi yang aku naik buat hal di Batu 10 Terong, itulah yang menyebabkan aku lambat sampai ke sini."

"Tak apalah, sudah begitu kehendak Allah," balas datuk.

Mungkin kerana mahu melakukan amalan waktu malam atau tidak mahu mengganggu rumah orang yang ditumpanginya, Haji Yatimi minta kebenaran datuk untuk bermalam di surau.

"Di rumah kita saja," pelawa datuk.

"Biarlah di sini saja, itupun kalau dibenarkan."

"Mesti boleh, surau milik orang yang mahu beribadat," balas datuk. Ternyata Haji Yatimi berbesar hati atas kerelaan datuk itu. Saya terpaksa menghidupkan lampu surau, membentangkan tikar dan menyediakan bantal (tikar, bantal dan selimut memang disediakan untuk guru agama yang mahu bermalam di surau) untuk Haji Yatimi.

"Lepas sembahyang Subuh, aku nak balik ke Solok," sepasang anak mata Haji Yatimi tertumpu ke wajah datuk.

"Cepat sangat nak balik, duduklah empat lima bulan di sini," suara datuk parau.

"Lain kali aku datang lagi."

"Apa yang boleh saya tolong Subuh esok."

"Macam selalu."

Datuk termenung sejenak, ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk renung bebintang di dada langit. Kemudian datuk tatap wajah Haji Yatimi bersama senyuman kepuasan. Keinginan Haji Yatimi sudah dapat dikesan oleh datuk.

"Maksudnya, saya tunggu di pantai Teluk Senangin?"

"Iya, memang tepat," Haji Yatimi anggukkan kepala.

"Kalau kamu datang jemaah, kita sama-sama bertolak dari surau ni. Aku harap kamu tak menghampakan harapan aku."

"Insya-Allah, kalau tak ada aral melintang, saya tetap menanti haji. Usahlah bimbang," datuk memberikan kata putus. Saya lihat Haji Yatimi tersenyum riang dengan tenang dia menepuk bahu datuk beberapa kali.

"Pulanglah aku nak ambil wuduk," Haji Yatimi menggenggam jari-jemari datuk dengan erat sekali.

"Silakan, kalau tak selesa tidur di surau, pintu rumah saya terbuka untuk tuan haji."

"Terima kasih, dengan izin Allah, saya selesa di surau. Selamat jalan. Jangan lupa beramal malam dan jangan lupa dengan janji kita."

"Insya-Allah, Tuhan beserta kita," nada suara datuk cukup riang. Dan Haji Yatimi pun kami tinggalkan. Semoga amalannya diberkati Allah dan tidurnya lena tidak diganggu mimpi yang menakutkan. Doa hati kecil saya.

Sepanjang jalan menuju ke rumah fikiran saya didatangi dengan berbagai-bagai pertanyaan. Kenapa Haji Yatimi mesti pulang ke Sumatera waktu Subuh? Bukankah waktu Subuh itu menyulitkan dengan keadaan hawa yang sejuk, pandangan agak terhad kerana cuaca masih gelap.

Mungkinkah ini merupakan syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh Haji Yatimi. Kenapa dia harus merahsiakan kepulangannya dari para jemaah yang lain?

"Barangkali ada tetamu datang tuk?"

"Tetamu? Mustahil," datuk gelengkan kepala. Sepasang anak matanya tetap tertumpu ke arah pintu rumah yang terdedah.

"Ha, lapang dada aku."

Saya agak terperanjat mendengar kata-kata datuk itu. Tanpa membuang masa saya tatap wajahnya. Mata datuk tidak berkedip merenung ke arah pintu. Dia memerhatikan gerak-geri nenek yang muncul di muka pintu dari arah sebelah kiri, nenek membawa tepak sirih dan gobek.

Sebelum duduk, nenek terlebih dahulu meletakkan golok perak di atas lantai. Bila nenek duduk bersila, golok perak itu berada betul-betul di hujung kepala lutut kanannya.

"Bijak nenek kamu, dia bawa senjata untuk keselamatan dirinya," dalam tenang datuk bersuara tetapi, keresahan hatinya masih tergambar di wajah.

"Pelik juga, kenapa dia buka pintu dan menunggu di situ, mesti ada sesuatu yang tidak kena," datuk menyambung kata yang terputus.

"Agaknya menanti kawan tuk," kata saya.

"Tak mungkin, Tamar."

"Agaknya dia buat begitu, biar cahaya lampu sampai kehalaman rumah. Tujuannya untuk memudahkan kita pulang."

"Pendapat yang tak dapat aku terima, Tamar."

"Entah, kenapa nenek buat macam tu, saya pun tak tahu tuk," saya segera mengangkat kedua belah bahu saya sambil menggigit lidah. Perjalanan yang terhenti kami teruskan.

"Hai! Kenapa didedahkan pintu, ada janji dengan lelaki lain," jerit datuk sebaik saja berada tidak jauh dari kaki tangga. Saya tahu kata-kata itu merupakan gurauan. Sesungguhnya, begitulah cara datuk mengusik atau bergurau dengan nenek. Bunyinya agak kasar dan keras. Tetapi, dalam kasar dan keras itu teriring kemesraan yang cukup kental. Tidak boleh dihancurkan oleh rasa cemburu melulu, fitnah atau hasutan. Saya lihat nenek terus menerpa ke ambang pintu, berdiri di situ dengan senyuman.

"Kalau janji dengan orang lain, bukan begini caranya, disuruh masuk ikut pintu belakang cara sembunyi, hati masih belum berubah," kata nenek lalu disambut dengan ketawa oleh datuk. Saya tersenyum riang.

"Jadi kenapa dibuka pintu?" tanya datuk.

"Masa saya sembahyang ada benda mengacau saya, pintu rumah diketuk berkali-kali kemudian digoncang dengan kuat, sembahyang saya jadi tak khusyuk," terang nenek bersungguh-sungguh.

Kata-kata yang dituturkan oleh nenek tidak mendatangkan rasa cemas atau terkejut pada datuk. Dia buat acuh tak acuh saja. Datuk pijak anak tangga dan akhirnya melabuhkan punggung di bendul.

"Kamu tunggu apalagi di situ Tamar? Naiklah," dalam sinar lampu gasolin, sepasang biji mata datuk tertumbuk ke wajah saya.

Tanpa membuang masa saya terus panjat mata tangga. Melintas di depan datuk dan nenek berhati-hati. Penuh sopan santun. Saya menuju ke ruang dapur. Tudung saji saya buka. Aduh! Makan malam yang disediakan oleh nenek amat menyelerakan. Saya ambil pinggan dan bersedia untuk mengambil nasi.

"Tamar."

Tangan saya terhenti mahu mengambil nasi.

"Tunggu, kita makan sama-sama, mari ke sini dulu," sambung nenek.

Dengan wajah kesal, pinggan saya letakkan ketempatnya dan tudung saji terus menutup hidangan. Dengan langkah yang longlai saya segera datang ke bahagian depan rumah. Duduk dekat nenek. Datuk masih lagi bertenggek di bendul. Matanya tetap merenung ke arah halaman rumah.

"Tutup pintu Tamar," datuk segera berdiri dan dalam beberapa detik saja dia sudah berada di dalam rumah.

Saya segera mematuhi arahannya. Daun pintu saya rapatkan, saya kunci. Kayu palang pintu saya masukkan ketempatnya. Dari segi teguh, memang sudah teguh, tidak mudah dipecahkan dari luar. Itulah kesimpulan yang saya buat terhadap pintu rumah datuk. Saya segera melangkah ke ruang dapur mengikut datuk dan nenek.

Sambil melangkah, saya bayangkan keenakkan makan ikan terubuk bakar, cicah air asam. Bawah tudung saji yang saya lihat tadi, memang sudah tersedia ikan terubuk bakar bersama air asam. Malam ini, saya mahu makan sekenyang-kenyangnya, fikir saya sendirian.

"Paaaaannnnnnnngggggggg..."

Saya segera melompat sambil mencipta langkah silat, menghalakan wajah dan dada ke arah pintu rumah. Saya yakin pintu rumah dipukul dengan kayu dari luar.

Datuk menerpa ke arah saya. Tubuh saya dipeluknya.

"Kau tak kena apa-apa, Tamar?"

"Saya tak apa-apa tuk."

"Alhamdulillah, cucuku selamat," datuk berhenti dari memeluk tubuh saya. Datuk pun melangkah untuk memeriksa daun pintu. Setiap inci papan pintu ditelek, diraba dengan teliti. Bila hatinya sudah puas, barulah datuk mendekati saya semula.

"Aku sangkakan tadi, rumah kita kena tembak dengan  senapang," tutur datuk dengan nada suara yang lemah. Nenek tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku di ruang depan. Dia asyik dengan tugasnya di dapur.

"Saya pun pada mulanya menyangkakan begitu tuk."

"Rumah kita dibaling orang dari luar, Tamar."

"Kerja siapa tu tuk?"

"Entah."

Datuk gelengkan kepala sambil mengerutkan dahi. Tanpa berkata apa-apa, datuk terus menuju ke pintu. Kunci dan kayu penyelak pintu dibuka. Amat mengejutkan bila datuk membuka daun pintu lebar-lebar.


PINGGANG


Datuk berdiri di tengah-tengah pintu, bercekak pinggang. Dia kelihatan bagaikan seorang pendekar merenung ke halaman rumah. Datuk tarik nafas dalam-dalam seolah-olah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Ahhh..."

Serentak dengan pekikan itu, saya lihat datuk melompat dan menepis sepotong kayu arang yang dilemparkan kearahnya dari luar. Kayu arang yang ditepis oleh datuk itu terkena dinding lalu terdampar atas lantai.

Perlahan-lahan datuk memalingkan mukanya ke kanan melihat kayu arang di lantai. Sinar matanya nampak tajam sekali tetapi, keresahan dan kebimbangannya tidak dapat saya kesan, dibunuh oleh senyuman yang terukir di kelopak bibir datuk.

"Buangkan kayu arang tu Tamar."

Saya jadi ragu-ragu, sama ada mahu  mematuhi arahan datuk itu atau sebaliknya. Saya bimbang kalau kayu arang itu disentuh akan terjadi sesuatu pada diri saya.

"Tuk saaayyyaaaaaa...," kata-kata tidak dapat saya teruskan, bila sepasang biji mata datuk menikam wajah saya. Tiba-tiba saja saya jadi resah gelisah tidak menentu.

Bila melihat saya teragak-agak dan serba salah, datuk terus menjerit dengan sekuat hatinya.

"Jangan banyak dalih lagi, ambil cepat."

Jeritan datuk membuat saya melompat dan bagaikan kilat tangan saya menjamah kayu arang. Entah kenapa saya merasa gementar dengan  tiba-tiba. Bahu kanan saya terasa lemah, macam ada sesuatu menekan sendi lengan hingga terasa sengal-sengal tulang.

Rupa-rupanya jeritan datuk sebentar tadi menarik perhatian nenek. Dia bergegas melangkah dari ruang dapur ke ruang tengah. Berdiri di tepi dinding melihat gerak-geri saya dan datuk dengan tenang.

"Bawa kemari Tamar."

Kayu arang yang panjang lebih kurang satu hasta itu saya serahkan kepada datuk. Buat beberapa saat datuk terus menatap kayu arang itu dari pelbagai sudut.

Kerana yakin datuk tidak akan mengeluarkan sebarang arahan untuk saya, cepat-cepat saya beredar dari sisinya mendekati nenek. Perlahan-lahan datuk mengalihkan tubuhnya, wajah dan dadanya dihalakan ke halaman rumah yang dikuasai malam pekat

Wednesday, September 22, 2010

SIRI 132 BUKAN MUNTAH DARAH




Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang Khoja Lisut. 

Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri Khoja Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat. Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit tengkuk ayam jantan yang sudah tua.
    
Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh kaki.
    
"Kenapa?" Saya segera mendekati Khoja Lisut yang terjatuh di bumi. Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan perlahan ke surau.
    
"Semuanya sudah habis, Tamar."
    
"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut yang tercungap-cungap itu. Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.
    
"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi, Tamar."
    
Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia tidak jatuh untuk kali kedua.
    
Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat Upeh dan datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja. Oleh kerana terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.
    
"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" Tanya datuk.
    
"Kau nampak aku sudah cukup tua?" Dalam tercungap-cungap Khoja Lisut  bersuara. Kelopak matanya berkedip-kedip dan biji mata hitamnya berputar-putar.
   
"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun," semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi.  “Kalau tak percaya dengan aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung dagunya. Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. dia mahu buang air kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia menuju ke arah tandas.
   
Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan datuk dan Mat Upeh.
    
Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka. Hati kecil saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang diucapkan oleh Haji Yatimi.
 
TURUN
      
Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau. Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.
    
Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung legan baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.
    
“Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan tadi?" Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh. Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja Lisut.
    
"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada mereka?"
    
"Tidak," jawab Khoja Lisut.
   
"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada mereka," Haji Yatimi seperti mendesak. Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut tidak boleh berdalih lagi.
    
"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.
    
Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut. Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan datuk jangan mendekatinya.
    
Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya. Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok Sentul. Dia muntah darah di situ.
    
"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di situ."
    
Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut, setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi. Barangkali dia mahu menyeksa Khoja Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati kecil saya.
    
"Kenapa tak boleh bantu dia?" Ternyata saya tidak dapat menahan gelora batin. Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji Yatimi yang amat dihormati oleh datuk.
 
"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk campur,"
 
Tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan buat datuk. Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan lima jarinya. Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari datuk singgah ke pipi. Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hintungan, saya tidak mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelenggangan datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi. Mat Upeh tersenyum lebar tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah datuk.
    
"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan tangan datuk yang dipegangnya.Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.’ Saya menelan air liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa dari sikap panas baran datuk itu.
    
"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan yang datuk berikan kepada Haji Yatimi.
    
"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir. Bukankah islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan ajaran yang baik itu?"
    
"Tapi...," sanggah datuk.
    
"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam dirinya terhadap kamu.
    
"Saya faham," datuk seperti mengalah.
    
Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut yang masih muntah. Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji Yatimi merenung saya kembali.
    
"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah darah."
    
"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” Saya pintas cakap Haji Yatimi. Saya jeling ke arah datuk. Dia menggigit lidah. Cukup geram dengan tindak tanduk saya itu.
    
"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."
    
"Saya faham,” kata saya.
    
"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."
    
"Terima kasih tuan haji, saya dah faham sekarang," kata saya. Mat Upeh dan datuk ketawa kecil melihat telatah saya itu.    Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.
    
Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka Khoja Lisut.
    
"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada datuk.
    
"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke subuh sebagai tanda terima kasih kita kepasa Allah kerana kamu sudah kembali ke jalan yang benar," aneh skali, bukan datuk yang menjawab pertanyaan Khoja Lisut tetapi, Haji Yatimi.
    
"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.
 
"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk kebaikan.  
”Mungkin ada yang mahu ikut sama,” tingkah datuk.
    
"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan allah berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat Upeh.
    
"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu. Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.
    
"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini, baiklah buat saya."
    
"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.

 
PULANG
    
Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib. Waktu saya memusingkan badan ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba datuk memaut bahu kiri saya dari belakang.
    
"Nak ke mana Tamar?"
    
"Balik, tuk."
    
"Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang balik ke sini, bawa makanan tu."
    
"Baik tuk," kata saya.
    
Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh datuk. Secara mendadak gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang. Saya segera menoleh, datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.
    
"Kenapa tuk?"
    
"Aku terlupa nak cakap dengan kamu," datuk berhenti bercakap. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum berlari di wajahnya.
    
"Apa dia perkara yang datuk terlupa nak cakapkan tu," ulang saya.
 
"Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat, sehelai baju kemeja, sehelai Baju melayu dan dua helai kain basahan," tutur datuk dengan tenang.
    
Saya terkejut mendengar permintaan datuk itu. Lama juga saya termenung, brfikir kenapa datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin datuk mahu pergi ke mana-mana.
    
"Buat apa semuanya tu datuk?"
   
"Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa sembahyang, begitu juga dengan baju."
    
"Kain basahan pula?"
    
"Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja."
    
Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan oleh datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.
    
"Barang-barang tu, kamu hantar sekarang."
    
"Ha.." mulut saya ternganga. Terkejut dengan arahan baru datuk itu. Tidak diduga begitu cepat datuk mahukan barang-barang tersebut. Pada awalnya, saya kira datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau, semasa azan dilaungkan.
    
"Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa."
   
 "Macam mana, kalau lepas azan saya datang tuk?"
   
"Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap aku. Kamu siapa dan aku siapa?" Suara datuk mula meninggi, dia terus menjengilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.
    
"Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa barang-barang yang datuk mahu tu."
  
 "Hum, cepat datang."
    
Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau lalu melangkah. Dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang.
Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi. Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri. Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.
    
Seperti yang dijadualkan 'Qiamullail' malam itu berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja Lisut sudah insaf.
    
Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis Qiamullail malam itu dengan baik sekali. Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya diperlihara dengan baik.

 
BELAJAR
    
Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia beragama Islam kerana datuk neneknya memang beragama Islam. Kemudian belajar atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan. Dia tidak menghayati agama itu secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang muslim sejati.
    
Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya raya. Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari datuk neneknya.
    
Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnmya. Khoja Lisut menjadikan dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat setelh mendengar pendapat Haji yatimi terhadap Khoja Lisut.
    
Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh. Wang perbelanjaannya dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat datuk. Dia minta datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.
    
Matahari bersinar lembut, menjamah reruput di halaman surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering. Khoja Lisut sudah pun mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk nerangkat ke arah selatan tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.
    
"Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk dulu," Haji Yatimi mengemukakan cadangan.
    
"Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar."
    
"Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf, malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama."
    
"Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian."
   
 "Aku doakan kamu bahagia," kata Haji Yatimi.
    
"Aku juga begitu,” celah datuk sambil menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.
    
"Apa bendanya ni?" Tanya Khoja Lisut.
   
 "Untuk tambang dan perbelanjaan kamu balik."
   
 "Terima kasih."
    
"Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau bertemu jodoh eloklah mendirikan rumahtangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada isteri yang kamu tinggalkan. Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu bertanggungjawab pada emaknya."
    
"Mana tuan haji tahu semuanya ni?'
    
"Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa kamu yang sebenarnya.”
    
Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat. Bila perasaannya sudah tenang, diapun bersalam dengan datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu yang tiba.
    
"Selamat tinggal."
    
"Selamat jalan," kata kami serentak.
    
Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik. Dan akhirnya, Khoja Lisut hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas untuk ke bandar.

 
LAUT
    
Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji Yatimi pulang menghilang secara mengejut. Kehilangannya itu meninggalkan kesan yang mendalam tehadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah kemsraan.
    
Dia saya anggap sebagai datuk sendiri. Bertimbang rasa dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya Haji yatimi datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran datuk terus menurun.
    
Haji yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawan, rasa cinta pada Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya. Dia menyuruh saya menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya, "Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar faedahnya," itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.
    
Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya bertanyakan hal itu kepada datuk. Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya ajukan itu akan menimbulkan kemarahan datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu yang baik.
    
Sebaik sahaja datuk pulang dari kebun, saya segera mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan di atas pelantar. Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya, saya serahkan kain basahan padanya.
    
"Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat yang kamu nak minta dari aku," kata datuk sambil menyambut huluran kain basahan dari saya.
    
"Tak ada apa-apa,” balas saya.
    
"Hmmm.." suara datuk mendatar. Tetapi senyum sinis yang terukir dibibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya. Dan saya tetap bersikap selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.
    
"Saya nak tanya datuk satu perkara."
    
"Apa dia, Tamar?"
    
Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.
    
"Apa dia Tamar?” Ulang datuk.
    
"Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari datuk kamu. Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang," nenek bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh datuk. Saya sekadar senyum sahaja.
    
Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan petanyaan, datuk angkat cawan kopi lalu mengirupnya dengan tenang. Kemudian dia mengunyah kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.
    
"Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu basikal."
    
“Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan datuk kamu ni? Aku tengok kamu takut-takut aje," nenek seolah-olah mahu saya mengemukakan pertanyaan dengan segera.
    
"Saya nak tanya tentang Pak.."
    
"Haji yatimi?" Datuk segera memintas percakapan saya.
 
"Iya Tuk."
 
"Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?"
    
"Tak ada tuk," jawab saya seraya menggelengkan kepala.