Friday, June 12, 2009

SIRI 012 TOYOL JADI-JADIAN


    Kalaulah bukan Datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana Datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, mesti pun hati meradang dengan perbuatannya.
“Kenapa tok?” tanya saya sambil menggesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut bergerak.
“Kita sudah hampir pada matlamatnya.”
“Matlamat apa tuk?”
“Mencari orang yang jadi tuan toyol.”
“Kalau kau faham baguslah.”
Datuk merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana Datuk bangun. Bila saya buka kelopak mata, Datuk sudah pun selesai sembahyang subuh. Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya patuh dengan cakapnya itu.
Datuk tidak dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu-batu sambil membasuh muka dan badannya dengan air embun waktu pagi. Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. Dia memulakan dari pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.
Kemudian Datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam langkah ke arah matahari jatuh. Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang Datuk lakukan saya terpaksa membuatnya dan Datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mantera yang perlu dibaca bila mandi air embun.
Pagi itu, berjalanlah saya bersama Datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang kilau-kilauan di celah-celah pokok besar. Bila sinar matahari itu menikam air embun di hujung daun, kelihatan bermanik-manik dan sungguh menarik sekali.
Damai dan terhibur hati saya mendengar bunyi kicau berburung hutan yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil berjalan Datuk memberitahu nama-nama burung yang saya nampak. Bila matahari mula meninggi satu galah, saya dan Datuk sudah jauh meninggalkan pinggir Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak bukit. Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh langkah mahu sampai ke halaman pondok itu Datuk berhenti berjalan.
“Kenapa Datuk?” tanya saya ragu-ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke depan dan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. Bila mata dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, Datuk kelihatan tersenyum.
“Memang tidak salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini, “dengan tenang Datuk bersuara. Saya jadi termangu-mangu.
“Kita balik, kalu kita maju, kita bahaya,” Datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah balik menuju ke rumah adik Datuk.
Sepanjang jalan pulang itu Datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan gerak geri rumput dan dedaun. Saya faham benar, bila Datuk berbuat demikian ertinya dia menumpukan seluruh perhatiannya pada sesuatu benda yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya tertumpu ke satu alam yang lain.
Saya tidak berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau Datuk naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau Datuk tidak maki, dia akan menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan.
“Jauh berjalan pagi ni,” soal adik Datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum panjang.
“Macam biasa,” balas Datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.
Di rumah tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta kelapa parut.
“Rumah siapa dekat belukar tu,” Datuk mengemukakan soalan. Adik Datuk terdiam mengingati sesuatu.
“Rumah Kidon.”
“Orang sini jati?”
“Tidak, macam kita juga berasal tanah seberang.”
“Orang Padang ke orang Jambi.”
Pertanyaan Datuk itu segera dijawab oleh adiknya. Saya sudah pun berhenti makan ubi rebus, Isteri adik Datuk sudah turun ke tanah pergi ke ladang. Bila pertanyaan itu tidak mendapat jawapan, Datuk tidak lagi mahu mengemukakan pertanyaan. Dia terus menghirup air kopi dengan tenang.
“Dari Sumatera katanya dari keturunan Batak,” tiba-tiba saja adik Datuk bersuara.
“Ada bini tak?” cara tidak sengaja saya bertanya. Datuk menjeling tajam pada saya.
“Dah mati, bininya orang Kedah, emak bapanya bininya menetap di Kuala Kangsar” terang adik Datuk dengan jujur.
“Ada anak?’ cepat-cepat Datuk meningkah.
“Tak ada, bininya tu mati bersalin anak sulung,”
“Hummmm…,” suara Datuk perlahan. Dia menekan pipi kirinya dengan tangan kanan. Terus-terang Datuk menyatakan pada adiknya, bahawa dia perlu duduk di Ulu Kuang paling kurang enam bulan. Datuk juga meminta adiknya membuat sebuah pondok untuk diri dengan alasan senang untuk beramal ibadat serta berusaha menghancurkan tuan punya toyol jadi-jadian. Permintaan Datuk itu tidak keberatan untuk dipenuhi oleh adiknya.
Seminggu kemudian, terpacaklah sebuah pondok baru di Ulu Kuang Chemor yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk di situ. Saya dan Datuk pun pindahlah ke pondok baru.
Perkara yang tidak menyenangkan hati saya, bila duduk di pondok baru, ialah bila bulan mengambang penuh. Ketika itu kelihatanlah beberapa ekor harimau besar di depan pondok. Dari atas pondok Datuk melompat ke tanah lalu bersilat dengan harimau-harimau itu.
Sekiranya, Datuk malas ke tanah kerana badannya terlalu letih. Harimau-harimau itu akan menjulurkan ekornya dari celah lantai buluh. Datuk akan mencium atau mengurut-urut ekor harimau itu sambil membelitkan ke batang lehernya. Bila terdengar bunyi suara burung jampuk atau burung hantu, barulah Datuk memerintahkan harimau-harimau peliharaannya pulang.
“Ambilkan aku kain putih, mangkuk putih, taruh air dalam mangkuk putih separuh, kain putih letakkan ke dinding,” Datuk mengeluarkan perintah pada saya malam itu. Kalau tidak silap, malam itu malam Rabu kira-kira pukul sepuluh . Apa yang diperintahkan Datuk saya lakukan dengan senang hati.
Datuk duduk bersila di tengah pondok, Asap kemenyan dari dupa melentuk-liuk memenuhi ruang pondok. Baunya semerbak. Datuk mengatur tujuh piring di depan. Piring tepi sebelah kanan ditaruh batang lengkuas, sementara di sebelah kiri ditaruh sebatang serai. Piring tengah ditaruh darah ayam yang disembelihnya petang tadi.
Tiba-tiba seekor kucing hitam melompat masuk ke tengah pondok melalui pintu yang terdedah. Kucing itu merenung muka Datuk dengan tajam. Datuk menghalaunya, kucing itu tidak mahu bergerak. Saya lihat Datuk mengeluarkan secekak tulang-tulang ikan dari karung yang terletak sebelah kanannya. Datuk melemparkan tulang-tulang ikan kering itu pada kucing hitam. Dengan tiba-tiba batang lilin yang menyala padam. Saya menyalakan lilin tersebut. Saya lihat kucing hitam sudah hilang dan tempatnya diganti oleh sebungkus kain hitam. Saya kenal, kain hitam itu kepunyaan Datuk.
Datuk menyuruh saya memadamkan lampu minyak tanah. Sebatang lilin yang bercahaya dipadamkannya. Keadaan dalam rumah jadi agak samar-samar dan sepi sekali. Bunyi katak dan cengkerik jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara burung hantu ganas di ranting. Atap pondok bagaikan bergerak-gerak di tempoh angin. Serentak dengan itu terdengar bunyi air menimpa atap pondok. Bulu roma saya tegak berdiri bila terdengar bunyi suara orang perempuan ketawa dan menangis tersedu-sedu, dekat pokok tembusu di belakang pondok.
“Suara langsuir, bertenang cucuku, bertenang kita mencari jalan kebaikan dan bukan jalan jahat,” bisik Datuk ke telinga saya.
Datuk tidak bergerak bila seketul batu besar meluru masuk ke dalam pondok. Batu itu tepat mengenai pangkal bahu kiri Datuk. Bila batu jatuh atas lantai, pondok kecil bergegar Datuk tidak peduli. Dengan pertolongan cahaya lilin saya merenung ke muka pintu. Satu lembaga besar tanpa tangan, tanpa kaki dan kepala berdiri di situ.
Datuk menarik muka saya. Dia suruh saya melihat air dalam mangkuk putih. Di luar guruh bersahut-sahutan sedangkan cuaca malam itu cukup baik.
“Pedulikan semuanya itu, sekarang kau tengok kain putih tu, apa yang kau lihat, jangan kau ceritakan pada sesiapa, kalau kau buat juga padahnya kau tanggung sendiri,” kata Datuk, dia terus menabur kemenyan atas bara dalam dupa.
Saya terpaku, saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat pada kain putih. Saya raba ibu jari kaki saya, saya raba telinga kanan saya, semuanya ada dan saya tahu, bahawa apa yang saya lihat itu bukan mimpi. Saya melihatnya dalam keadaan sedar dan siuman.
Saya melihat pada kain putih itu, batang tubuh seorang lelaki sedang menggali kubur. Lelaki itu melakukannya waktu malam, Badannya kelihatan berpeluh.
“Itulah Kidon mengorek kubur anaknya,” Datuk memberi tahu saya.
Saya lihat mata cangkul Kidon menyentuh papan keranda. Kidon meletakkan cangkul ke tepi lalu menyapu peluh di dahi sebentar.
Kidon mengambil sebatang besi lalu mencungkil papan keranda. Bau busuk membuat dia hampir-hampir muntah. Kidon tidak peduli semuanya itu. Dia turun ke dalam lubang kubur. Dia menatang mayat anaknya keluar dari dalam kubur. Diletakkan dekat pokok.
Kidon masukkan papan keranda kembali, kemudian menimbus lubang kubur seperti sedia kala. Kidon masukkan mayat anaknya ke dalam guni plastik berwarna hijau. Dia memikul cangkul dan besi di bahu kiri. Tangan kanannya menjinjing mayat anaknya, macam menjinjing ikan dari pasar.
Sampai di rumah Kidon membuka kain kapan anaknya. Mayat anaknya diletakkan atas para yang sudah disiapkannya terlebih dahulu. Dia membasuh mayat anaknya dalam baldi besar.
“Air basuh mayat itu, diambil dari tujuh kuala anak sungai,” beritahu Datuk pada saya. Saya angguk kepala. Mata tidak berkelip melihat kain putih, macam menonton wayang gambar, cuma tidak ada iringan muzik saja. Datuk hanya menerangkan sesekali saja pada saya. Anehnya Datuk tidak melihat apa yang terjadi pada kian putih. Kedua matanya pejam rapat seperti orang tidur, dengkur nafasnya macam orang yang sedang tidur lena.
Ketika itu, saya seperti tidak berada di dalam pondok. Saya berada di satu tempat asing sungguh sunyi sepi sekali.
“Air itu diambil ketika remang-remang senja, bersama bunyi gagak,” ujar Datuk.
Saya lihat Kidon membuka semua pakaian di badan. Dia sudah bogel. Tujuh bunga yang berlainan warna dimasukkan ke dalam baldi. Selesai memandikan mayat anaknya, Kidon merenjiskan pula dengan air sebanyak tujuh kali, mulutnya membaca sesuatu Kidon basuh muka dan minum air yang telah digunakan membasuh mayat anaknya tadi.
Saya perhatikan,. Kidon melakukan semuanya itu dengan teliti. Setitik air pun tidak jatuh ke atas lantai. Mayat anak itu diletakkan atas para. Kidon ambil air mandi mayat anaknya. Disiramkannya ke atas kepalanya hingga ke hujung kaki.
Selesai dengan tugas itu, Kidon melumurkan mayat anaknya dengan abu dapur dan minyak kelapa. Mayat anaknya itu dibawa masuk ke dalam satu bilik. Di situ sudah tersedia sebuah salai tergantung. Mayat anaknya diletakkan atas salai tersebut dan ditutup dengan kulit kambing.
Kidon keluar dari kamar itu. Masuk semula dengan membawa zink buruk. Zink itu diletakkan di bawah salai. Atas zink itu ditaruh kayu arang dan habuk-habuk papan. Kidon menghidupkan api. Bila kayu arang sudah menjadi bara, barulah dia beredar.
“Mayat itu disalai selama empat puluh empat hari, dan Kidon terpaksa berpuasa selama tujuh hari tujuh malam, amalan itu dikenali dengan nama puasa pati Geni,” Datuk membisikkan ke telinga saya. Di kain putih saya lihat Kidon duduk dengan meletakkan kedua belah tangannya atas lutut kiri dan kanan. Dia membilang biji tasbih. Menurut Datuk pekerjaan itu dilakukan tanpa diketahui oleh orang lain, selepas menjalani puasa tujuh hari barulah Kidon keluar rumah membuat pekerjaan biasanya iaitu menoreh getah di kebun Haji Ahmad Alam Shah. Bila mayat bayi sudah cukup disalai selama empat puluh empat hari, Kidon pun mencari dan menyediakan manisan lebah, pisang emas dan pisang embun. Kidon juga menyediakan sebuah katil lengkap dengan cadar dan bantal untuk seorang bayi.
Waktu tengah malam mayat itu pun diturunkan dari tempat salai, panjangnya cuma sejengkal dan besar lebih kurang sama besar dengan anak yang berusia dua tahun, sambil memangku bayinya di tangan kiri, Kidon membasahkan tubuhnya dengan air dengan tangan kanan. Dia terus berbisik dengan tenang ke telinga anaknya begini :
“ Dengarlah anakku, Perasaan dan hatimu, Bersatu dengan aku,Dua tubuh Satu harapanku.Kaulah yang mengerjakannya, Tujuh lapis bumi, Tujuh lapis langit, Bersatu di Bukit Kaf, Bersemadi dalam diri kita."
Selesai Kidon membisikkan pada telinga anaknya, dia menarik nafas panjang-panjang, kemudian bibir bayi yang kering itu ditiupnya. Dia melakukan ini selama tujuh pagi dan tujuh malam. Mayat bayi kering itu diletakkan di tempat tidur dengan berteman lampu yang terus menyala selama dua puluh empat jam. Kidon yang berbadan kurus itu, bertambah kurus kerana kurang tidur. Tapi dia merasa puas. Dalam tempoh beberapa hari lagi mayat anaknya akan dapat digunakan untuk mencari harta orang kampung. Dia terus membayangkan tentang kemewahan dan kesenangan dirinya sendiri.
Masa yang ditunggu pun tiba. Kidon masuk ke dalam bilik bayi keringnya. Dia mencium ubun-ubun bayi kering itu. Tiba-tiba ubun-ubun bayi kering itu mengeluarkan asap setelah Kidon menggunakan jampi serapah. Bayi kering itu menjelma menjadi kucing jantan hitam. Menjilat-jilat tapak tangan Kidon. Kidon pun menepuk-nepuk kepala kucing hitam. Kidon menjilat kaki kucing dengan lidahnya. Kemudian Kidon memberikan belut kering pada kucing itu. Dalam masa beberapa saat saja, belut kering itu habis dimakan oleh kucing itu.
“Kau pergi ke rumah orang kaya, kau ambil wangnya separuh dan bawa ke mari,” Kidon memerintah kucing hitam.
Kucing itu menggaru-garu papan lantai akhirnya terjun ikut tingkap. Tugas Kidon setiap malam ialah menumpukan perhatian pada pelita minyak tanah di depannya. Jika api pelitanya bergoyang tanpa angin ertinya toyol jelmaannya dalam bahaya, bagi mengatasinya dia harus memadamkan api pelita itu dengan secepat mungkin. Toyol jelmaannya akan ghaib dari pandangan orang. Saya terkejut bila melihat Kidon tersungkur di kain putih.
“Ilmunya sudah aku tawarkan,” suara Datuk keras.
Dia membuka mata. Air dalam mangkuk putih tertumpah dengan sendirinya. Lilin yang padam menyala sendiri begitu juga dengan pelita minyak tanah. Saya lihat dari kain hitam keluar asap berkepul-kepil. Tulang-tulang ikan yang berserakan atas lantai berkumpul dengan sendiri dan bergerak masuk ke dalam karung di samping Datuk. Bila asap dari kain hitam hilang. Datuk pun mengangkat kain hitam itu.
“Kau lihat,” ujar Datuk pada saya. Saya menggigit bibir. Saya lihat mayat kering terdampar atas lantai pondok. Baunya cukup busuk. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah dibuatnya. Datuk membiarkan mayat kering itu di situ.
“Kau pulangkan pada yang berhak,” Datuk bersuara lagi sambil menyiramkan darah ayam pada mayat kering. Saya perhatikan mayat kering itu bagaikan bergerak-gerak. Bila Datuk melangkah mahu duduk di tempat asalnya. Seorang lelaki muncul di muka pintu membawa parang panjang. Badannya kurus. Di luar bunyi suara burung hantu kembali menguasai malam yang sepi. Di bawah pondok terdengar bunyi suara perempuan menangis.
“Kau datang Kidon,” lantang suara Datuk.
“Jangan buat aku begini, aku mahu hidup, jawab Kidon.
“Kerjamu salah di sisi agama. Kau menyeksa mayat anakmu. Kau jadi tuan pada toyol jelmaan ini. Aku tahu dalam minggu ini kau mahu mencari pasangannya, bukan begitu Kidon.”
“Memang benar, begitutah rancangan aku, tapi aku terpaksa membatalkannya, kerana menurut firasatku ada orang yang tahu rancangan aku tu, orang itu adalah kau.”
“Sekarang, apa yang kau mahu dari aku Kidon?”
“Pulangkan toyol jelmaan itu pada aku, aku sembah kau, aku sujud pada kau, janganlah perkara ini dihebohkan.”
“Aku tidak mahu menghebahkan pada sesiapa tapi toyolmu akan aku pulangkan ke tempatnya malam ini juga.” Datuk memberi keputusan muktamad.
Kidon terdiam seketika. Dia melompat turun dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Suara langsuir ketawa kedengaran dengan jelas. Bila suara itu hilang, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong. Saya renung muka Datuk. Dia kelihatan muram. Niat saya mahu bertanya padanya suara siapa yang menjerit itu jadi terbantut melihat wajahnya dalam keadaan begitu. Suara siapa itu? Saya bertanya dalam hati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada saya. Dia pun rapat pada saya.


Thursday, June 11, 2009

SIRI 011 MENUNGGANG HARIMAU DI TENGAH MALAM


        Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibaling pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melimpah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepok dalam perut sampan.
“Dia sudah pergi,” kata Datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ Datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa Datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.
Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke banglonya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown menyuruh saya dan Datuk tidur di banglonya. Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan banglonya sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan banglonya dengan rotan seni. Dan Datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulans dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasukkan ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.
Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.
“Orang putih tu tak jujur,” Datuk mengadu pada saya.
“Kenapa tok kata macam tu ?”
“Aku yakin dia tak jujur,” suara Datuk merendah. Saya bertambah bingung kerana Datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.
“Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri,” Datuk merungut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.
“Buat apa Datuk ke rumah dia ?” Dia bukan ada.”
“Kau mana tau, ini urusan aku.” Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima petang Datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja Datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.
“Jangan pegang bungkusan tu.”
“Apa bendanya tok ?”
“Tanah yang diambil Mat Salleh bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg.”
“Tok nak buat apa dengan tanah itu.”
“Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.
Mendengar cakap Datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani Datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa Datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan kumat-kumit membaca sesuatu.
Seminggu selepas Datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England. Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di banglo. Setiap kali dia tidur di banglo tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr.Brown. Kadang-kadang pengurus baru itu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman banglo. Jadi, banglo besar yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 banglo besar itu dibakar oleh seorang pekerja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam banglo tersebut. Sebaik saja banglo itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam banglo itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.
Semua peristiwa itu dijadikan Datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini : Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Terlalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiaannya.
Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, Datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana Datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama Datuk pergi ke tempat tersebut.
“Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi,” Datuk mengingatkan saya.
“Baguslah tu tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik.”
“Kau bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?” tanya Datuk.
“Saya malaslah Datuk.” Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, Datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian. Pada suatu petang. Selepas Datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.
“Ada apa Datuk ?”
“Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit.”
“Habis Datuk nak pergi ke sana ?”
“Hajat tu memanglah begitu.”
“Kata Datuk, Datuk nak pergi ke Kampung Sadang.”
“Itu tak mustahak yang penting adik beradik.” Saya terdiam mendengar cakap Datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu Datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalan raya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan Datuk terpisah dengan keluarga.
Petang itu juga kami bertolak dari rumah Datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.
Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, Datuk mengejutkan saya.
“Bangun kita pergi ke Hulu Kuang.”
“Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar.”
“Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah,” suara Datuk keras.
Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.
“Sebentar lagi dia datang,” Datuk beritahu saya.
“Apa yang datang tok ?” tanya saya ingin tahu.
“Kau jangan banyak cakap,” Datuk menyergah saya.
Mukanya kelihatan bengis. Masa itu Datuk sudah pun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri Datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman darurat.
“Ke tepi,” Datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. Kemudian Datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya menggeletar. Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.
“Makanlah kau lapar,” suara Datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung Datuk. Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan Datuk. Datuk menggosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya Datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan Datuk tujuh kali.
“Bangun, kau dah kenyang.” Mendengar cakap Datuk itu , harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu mengaum lagi. Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.
“Ini cucu aku,” Datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah Datuk. Datuk berdeham tiga kali berturut-turut. Harimau itu melunjurkan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau.
Bulu harimau yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.
“Peluk tengkuknya kuat-kuat,” Datuk mengingatkan saya.
Antara sedar dengan tidak saya lihat Datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.
“Ke Hulu Kuang,” saya terdengar suara Datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk. Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudah pun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu Datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.
Sebelum harimau meninggalkan kami, Datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh Datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. Lagi sekali Datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh Datuk kerana telinganya bergerak-gerak.
“Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita,” suara Datuk meninggi. Harimau itu menguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut Datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu Datuk terkejut , bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus menyoal Datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh Datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.
Sambil minum kopi pagi, adik bongsu Datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu Datuk. Perbualan Datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.
“Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni,” saya terdengar suara Datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat Datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.
“Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula,” jawab adik bongsu Datuk.
“Hai, musim darurat pun kena berjaga malam ?”
“Berjaga dalam rumah ?” sahut isteri adik bongsu Datuk dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah Datuk. Datuk saya lihat mengerutkan keningnya.
“Kenapa pula tu. Ada pencuri ke ?” Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu Datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.
“Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya,” Datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu Datuk tersenyum. Adik bongsu Datuk termenung panjang.
“Susah orang nak menolongnya,” begitu hampa nada suara adik bongsu Datuk.
“Susah macam mana ?” tanya Datuk.
“Kerja iblis.”
“Kita lawan cara iblis.”
“Begini, di kampung ni ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus.” Adik bongsu Datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga Datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. “biasanya toyol jadi-jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada dia masuk ?”
“Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri.” Dengan penerangan adik bongsunya itu Datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.
Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.
“Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi,” jelas Datuk dengan tenang.
“Macam mana caranya ?” soal isteri adik bongsu Datuk. Mendengarkan pertanyaan itu Datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.
“Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. ” Cakap Datuk itu membuat adik bongsu Datuk dan isterinya berpandangan.
Dalam kepala isteri adik bongsu Datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang Datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang mengganggu kampung mereka. Nasib Datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, Datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.
Tetapi, sebaik sahaja Datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam.
Dia didatangi dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah Datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, Datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.
Datuk pun mengejutkan saya.