Monday, September 14, 2009

SIRI 074 PEREMPUAN CANTIK KOYAK KAIN


       DATUK terus mengangkat kaki kiri. Dengan tangan kiri, dia terus menepuk tapak kaki lima kali berturut-turut. Kucing hitam terus mengiau sekuat hati sambil berdiri di kaki. Mulutnya terbuka luas. Mata merah bagaikan seketul bara api dari kayu bakau.

Perlahan-lahan datuk menjatuhkan kaki kirinya sambil menahan nafas. Bila dia menghembuskan nafas, tangan kiri terus diluruskan. Sebaik sahaja tapak kaki kiri bertemu dengan batu jalan. Kucing hitam terus menjerit serta melompat separas kepala saya. Kucing hitam terus ghaib.

Sekujur tubuh saya dibasahi peluh. Panas bagaikan menyengat menggigit kulit muka. Mulut Tajuddin dan Maniam terlopong. Muka mereka bertambah pucat. Datuk menatap muka Maniam dan Tajuddin. Deru kenderaan yang lalu di dada jalan raya menyumbat lubang telinga.

Debu-debu dan kenderaan yang bergerak dalam suasana panas amat membosankan. Beberapa orang anggota polis yang bertugas di balai merenung ke arah kami. Ganjil bagi mereka melihat kami bercakap dalam panas yang amat membahang.

“Ular, ularr..” suara itu datang dari arah pasar. Perhatian terus ditumpukan ke arah pasar. Suasana di situ kelihatan kelam-kabut, penjual dan pembeli bertempiaran keluar dari pasar. Mereka berlari tidak tentu arah. Jerit mereka sambung-menyambung.

Dua orang penjual ikan dengan pisau pemotong ikan di tangan, melintasi jalan raya. Sebuah kereta terpaksa melakukan brek kecemasan. Sebuah lori membawa durian yang berada dalam jarak dekat dengan kereta itu, tidak dapat melakukan brek kecemasan. Akibatnya, lori itu terus menyondol punggung kereta.

Pemandu dan penumpang kereta tidak mengalami kecederaan. Begitu juga dengan pemandu dan kelindan lori yang membawa durian. Suasana menjadi bertambah kacau. Cerita ular muncul dalam pasar terus merebak dengan cepatnya.

Penjual ikan yang selamat dari dilanggar kereta kecil terus masuk ke kawasan depan balai polis. Datuk segera menangkap tangannya. Datuk merampas pisau pemotong ikan darinya. Manakala yang seorang lagi terus lari ke arah belakang pekan. Tidak muncul-muncul lagi.

Mungkin penjual ikan bangsa Cina itu pulang ke rumahnya, fikir saya. Bila saya menoleh ke arah Maniam dan Tajuddin saya dapati mereka sudah pun meninggalkan saya. Mereka lari masuk ke balai polis

Beberapa orang anggota polis segera pergi ke tempat kejadian. Mereka mengawal keadaan supaya perjalanan kenderaan di jalan raya berjalan dengan lancar. Beberapa orang anggota polis yang tidak bertugas segera mencari kayu dan buluh untuk pergi ke pasar.

“Jangan,” kata datuk pada anggota polis itu. Mereka patuh dengan cakap datuk. Sarjan 1000 segera mendapatkan datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Sarjan 1000 segera meyuruh anggota-anggota polis yang membawa kayu dan buluh pulang ke balai.

“Macam mana rupanya ular tu?” Tanya datuk pada penjual ikan yang berasal dari Kedah.

“Hitam besar, sebesar pinang dara, menjilat darah ikan lantai pasar.”

“Kamu tahu dari mana dia datang?”

“Tak tahu, yang saya ingat sebelum tu ada seorang lelaki tua, bau badannya busuk masuk pasar.”

“Apa yang dicarinya?”

“Dia berjalan dalam pasar, bila saya kata ada bau busuk lelaki itu hilang, lima minit kemudian tempat lelaki itu hilang, muncul ular besar, lidahnya menjilat bangkai ikan dan darah.”

“Hummmmmmmmmm...,” datuk mengeluh pendek.

Sarjan 1000 yang mendengar perbualan antara datuk dengan penjual ikan itu menggigit bibir. Dahinya terus dikedutkan. Sementara itu kereta dan lori yang berlanggar segera diubahkan ke tepi jalan.

“Mari kita pergi tengok,” datuk menarik tangan penjual ikan.

“Minta maaf,” penjual ikan itu menolak.

“Tak apalah kalau kamu tak mahu.”

“Saya takut.”

“Tak apa, kamu pergi ke balai,” sebaik sahaja selesai datuk bercakap, penjual ikan itu terus menuju ke balai polis. Datuk terus bercakap dengan Sarjan 1000. Datuk tidak dapat menenma cadangan dan Sarjan 1000 untuk menembak ular tersebut.

“Kalau tidak dibunuh, ular tu boleh mengancam keselamatan orang ramai,” kata Sarjan 1000.

“Saya tahu Sarjan, kita cari jalan lain.”

“Apa caranya?”

“Begini saja, kita tunggu di sini, awak suruh orang yang ada dua tiga orang tepi jalan ni pulang, jangan suruh mereka tunggu di situ.”

“Baik.”

                                           PULANG

Sarjan segera menyuruh orang-orang itu pulang. Keadaan kembali tenang. Beberapa orang suri rumah yang masuk ke pasar disuruh pulang. Keadaan dalam pasar sunyi sepi. Panas tengah hari kian mencengkam, batu di jalan kelihatan seperti ada air.

“Sekarang awak berdiri di belakang saya dalam jarak sepuluh kaki, Tamar pula berdiri di belakang awak dalam jarak yang sama,” datuk mengeluarkan perintah pada saya dan Sarjan 1000. Perintah itu segera kami patuhi. Kenderaan kian berkurangan melalui jalan raya di depan pasar.

Datuk terus memeluk tubuh sambil merenung ke arah pasar. Saya lihat sebuah teksi berhenti mengejut di jalan raya. Di depan teksi tersebut kelihatan seekor ular hitam sebesar batang pinang dara, berwarna hitam melintasi jalan raya dalam panas tengah hari yang membahang.

Bila teksi itu bergerak semula, ular hitam sebesar batang pinang dara sudah pun berada di depan datuk. Ular itu mengelilingi datuk. Dalam sinar matahari yang keras itu, saya lihat mulut itu mengeluarkan asap nipis.

Datuk angkat kaki kanan, melangkah tiga tapak ke depan. Datuk membuka tangan yang memeluk tubuh dan undur tiga tapak ke belakang akhirnya datuk membuka silat. Serentak dengan itu terdengar satu ledakan yang kuat macam suara petir. Dari sebelah kanan datuk memancar cahaya kilat yang memanjang menuju ke arah pucuk kelapa.

Suara ledakan di tengah bandar itu didengar oleh para penduduk beberapa buah kampung sekitar pekan kecil tersebut. Bila ledakan itu berakhir, ular hitam sebesar pinang dara itu terus ghaib.

Saya lihat tubuh datuk dibasahi peluh. Nafasnya tercungap-cungap. Rumput hijau yang berada tidak jauh dari datuk nampak hangus. Manakala batu jalan menuju ke balai polis, tempat ular hitam sebesar pinang dara itu bergerak, kelihatan merkah.

Datuk meletakkan hujung jari telunjuknya di hujung dahi. Dari hujung dahi, dia menjatuhkan jarinya perlahan-lahan hingga ke pangkal dagu. Peluh yang disapu oleh jari telunjuk berjatuhan atas dada.

“Masih belum selesai lagi,” rungut datuk. Sarjan 1000 menarik nafas panjang sambil merenung muka saya dengan seribu macam persoalan.

“Sekarang orang yang berniaga bolehlah pulang ke tempat berniaga,” datuk beritahu Sarjan 1000. Dan Sarjan 1000 segera menghebahkan perkara itu pada orang-orang yang berada di situ. Sepuluh minit kemudian, pasar ikan dan sayur berdenyut kembali dengan manusia. Mereka seolah-olah lupa dengan apa yang berlaku.

Beberapa orang kampung yang berdekatan, datang ke balai polis. Mereka mahu mengetahui punca ledakan yang mereka dengar. Mereka kecewa, tidak seorang pun anggota polis di balai tersebut dapat memberi penjelasan dengan terperinci.

“Tidak ada sesuatu yang ganjil dan saya sendiri tidak dapat menerangkannya, kalau awak mahu tahu tanyalah pada penjual ikan dan sayur di market,” itulah jawapan yang datuk berikan pada salah seorang lelaki yang bertanya padanya berhubung dengan perkara aneh itu. Orang yang bertanya menggigit bibir lain meninggalkan datuk.

Kerana waktu Zuhur sudah tiba, saya dan datuk menuju ke masjid. Setelah menunaikan fardu Zuhur serta berwirid pendek, kamipun meninggalkan masjid yang letaknya tidak berapa jauh dari Sungai Perak.

Sebabnya saya beranggapan demikian, kerana pakaian lelaki itu bertampung di sana, bertampung di sini, tidak jauh darinya terdapat tongkat dan tempurung.

Datuk berhenti melangkah. Dia terus menyeluk saku bajunya. Bersedia untuk mencampakkan seringgit dua ke dalam tempurung peminta sedekah. Saya sudah masak benar dengan perangai datuk. Terlalu murah hati dengan peminta sedekah, sanggup berlapar asalkan peminta sedekah diberi wang.

“Berikan padanya” datuk hulurkan wang kertas lima ringgit pada saya.

“Banyak sangat ni tuk.”

“Berikan saja, jangan banyak cakap,” datuk membeliakkan biji mata. Saya terkejut dan terus melangkah mendapatkan peminta sedekah.

Bila saya berdiri di depan peminta sedekah, bulu tengkuk saya terus berdiri. Perasaan saya terus berdebar, macam ada sesuatu yang kurang menyenangkan. Saya rasa sepasang mata lelaki itu begitu tajam menyorot tiap langkah saya. Badan saya terus menggeletar.

“Apa lagi yang kau tunggu Tamar,” jerit datuk.

“Saya takut tuk?”

“Apa yang kamu takutkan, bukankah dia makhluk macam kamu juga.”

“Saya tak mahu tuk,” saya segera berpatah balik ke arah datuk yang berdiri tidak jauh dan saya.

Tidak saya duga, perbuatan saya itu menimbulkan rasa marah pada datuk. Dia segera mengheret saya ke arah peminta sedekah di bawah pokok. Sebaik sahaja saya dan datuk berdiri di depan peminta sedekah tersebut, tanpa diduga peminta sedekah itu segera bangun.

Dia melemparkan tempurung dan tongkatnya arah utara. Perbuatannya itu memang aneh sekali. Saya dan datuk merenung ke arah kawasan dia melemparkan tongkat dan tempurung. Bila kami merenung kembali ke arahnya. Peminta sedekah itu, sudah tiada lagi di situ. Saya dan datuk terhidu bau busuk yang amat kuat.

“Sudahlah, kita dipedaya lagi.”

“Siapa yang mempedayakan kita tuk?”

“Nantilah, aku terangkan kemudian.”

“Saya boleh agak orangnya tuk.”

“Sudahlah, jangan nak merepek.”

Nada suara datuk yang keras itu, membunuh hasrat saya untuk menunjukkan sebarang pertanyaan. Tetapi, otak saya segera memikirkan tentang Kamal. Semua gerak-gerinya timbul dalam kepala. Dua tiga kali, saya menggosok kelopak mata, saya bagaikan terpandang-pandang tubuh Kamal dan kakinya yang tokak wujud di depan saya.

“Berusaha melupakannya, bila kau ingat atau terkenangkan dirinya, dia datang dekat kamu,” kata-kata datuk it membuat seluruh bulu roma saya tegak berdiri. Saya tidak berjaya melupakannya, makin kuat saya mahu melupakannya, makin kuat pula ingatan itu berlegar-legar dalam kepala.

Datuk segera mengeluarkan sapu tangan. Muka saya digosoknya dengan saputangan dua warna iaitu hitam dan kuning, bentuknya tiga segi. Dua kali muka saya digosok dengan saputangan. Kepala saya terasa berdesing sebentar kemudian terasa cukup lapang. Bayang Kamal terus hilang

                                                                   MAKAN

Saya dan datuk singgah di kedai makan, tidak jauh dari tebing sungai. Saya minta nasi dan gulai tempoyak ikan baung. Datuk hanya meminta segelas air sejuk. Sebelum, air itu diteguk datuk membaca sesuatu.

Sementara menanti saya selesai makan, datuk terus termenung. Sesekali dia menggaru batang lehernya. Dua orang lelaki yang duduk tidak jauh dan meja kami, bercerita dengan rancaknya tentang buaya putih yang dilihat o1eh beberapa penduduk di kampung seberang.

Menurut cerita kedua lelaki itu, buaya putih tersebut muncul di tengah sungai waktu bulan mengambang penuh. Buaya itu mengekor sampan yang digalah oleh orang-orang yang pulang malam dari pekan Parit. Setakat ini belum ada orang yang diganggu oleb buaya putih itu.

Buaya itu sekadar memperlihatkan dirinya sahaja. Bila ada orang memaki hamunnya, buaya putih akan membuka mulutnya luas-luas sambil ekornya memukul air sungai.

“Buaya putih tu, buaya keramat, malam esok orang-orang kampung aku akan mengadakan jamuan untuk buaya putih,” saya menjeling ke arah lelaki yang bercakap itu. Orangnya berbadan kurus, ada misai nipis melintang di bibir. Di dagunya tergantung sejemput janggut. Saya menyebut janggut jenis itu sebagai janggut kambing.

“Buaya putih itu berasal dan manusia, kalau tak dibuat jamuan atau semahan akan mendatangkan bala pada kita,” sambung lelaki itu. Kawannya yang tertonggok di depan anggukkan kepala. Datuk segera mencuit bahu saya. Dia suruh saya makan cepat. Datuk tidak begitu minat mendengar perbualan kedua orang lelaki itu.

Dari cara kedua lelaki itu bercakap (dengan nada suara yang keras), seolah-olah mahu menanik perhatian pelanggan-pelanggan lain yang berada dalam kedai makan. Saya tidak tahu tujuan sebenar kedua-dua orang lelaki itu.

“Bangun,” kata datuk. Saya anggukkan kepala dan terus bangun. Saya terus menuju ke meja penerima wang. Saya jelaskan bayaran makan dan minuman yang dipesan. Kami tinggalkan kedai makan.

“Memuja dan membuat jamuan tu kerja khurafat, mana ada buaya keramat,” bisik datuk pada saya.

“Habis buaya itu, buaya apa tuk.”

“Boleh jadi memang ada buaya putih, boleh jadi itu kerja syaitan.”

“Sudahlah, jangan tanya perkara macam tu pada aku Tamar.”

Kerana patuh dengan permintaannya, saya tidak mengajukan sebarang pertanyaan pada datuk. Kami menuju ke arah stesen minyak. Dan situ kami bergerak menuju ke kedai menjual kain baju. Berdiri di situ menanti bas. Hampir sepuluh minit berdiri bas yang ditunggu tidak juga datang.

“Kita cari teksi Tamar,” kata datuk.

“Elok juga tu, kalau tak dapat teksi betul, kita baik teksi sapu tuk.”

“Mana-mana pun boleh.”

Saya dan datuk menuju ke tempat teksi. Nasib kami cukup baik. Malik Cina (kawan datuk) yang membawa teksi sapu bersedia untuk menghantar saya dan datuk pulang dengan percuma.

Pada mulanya, datuk enggan menerima tawaran itu tetapi setelah dipujuk beberapa kali oleh Malik Cina datuk menerimanya.

Datuk memberitahu saya, sebab kawannya itu dipanggil Malik Cina kerana wajahnya mirip orang Cina serta boleh bercakap bahasa Cina dengan lancar sekali.

“Ini cucu awak,” tanya Malik Cina pada datuk.

“Ya,” datuk anggukkan kepala. Malik Cina senyum lalu mempersilakan saya dan datuk masuk ke keretanya.

“Setahu aku, kamu dulu pindah ke Kelantan, habis macam mana kamu boleh bawa teksi di sini.”

“Betul, itu dulu, malah aku sudah mengambil keputusan nak menetap di Kuabang Kerian,” Malik Cina meraba batang lehernya.

“Habis kenapa balik ke sini?”

“Bila anak perempuan sulung aku kahwin, nasib buruk menimpa keluarga kami.”

“Nasib buruk macam mana? Rumah kamu terbakar, harta benda kamu dirampas orang atau kamu dapat menantu orang jahat.”

“Bukan itu,” jawab Malik Cina pendek.

Saya lihat muka Malik Cina gusar. Sesekali dia menarik nafas panjang sambil memandu kereta dengan tenang. Datuk menggigit bibir sambil merenung ke arah pepohon yang tumbuh subur di kaki kiri kanan jalan. Kereta yang dipandu oleh Malik Cina melalui liku jalan yang tajam.

Angin terasa memukul wajah saya. Rambut saya mengerbang tidak tentu arah. Terpaksa disikat dengan rapi tetapi, rambut yang disikat itu mampu bertahan untuk beberapa minit sahaja.

“Menantu kamu tu orang mana?” tanya datuk.

“Orang Mersing, sama-sama kerja satu pejabat dengan anak perempuan aku.”

“Apa kerjanya?”

“Kedua-duanya kerja di Jabatan Parit dan Taliair,” Malik Cina menjeling datuk dengan ekor mata.

Datuk mengkepal-kepal kedua belah tangannya. Sesekali meraba hujung mata dengan jari kelingking. Saya sandarkan badan ke kusyen berlagak macam orang kaya. Bergerak ke sana, bergerak ke sini dengan bebas maklumlah duduk seorang diri di belakang.

“Tiga minggu lepas nikah, anak perempuan aku buat perangai, masuk saja waktu asar, dia terus menjerit dan mengoyak pakaiannya hingga hancur. Dah puas aku bawa jumpa doktor pakar jiwa, sakitnya tak juga berubah.”

“Berubat cara kampung kau tak cuba.”

“Sudah, berpuluh pawang dan bomoh yang lari lintang pukang.”

“Kenapa jadi macam tu?”

“Bila dia tengok pawang atau bomoh, sakitnya menjadi jadi kekuatannya macam orang lelaki, tiga orang tak mampu memegangnya, api bara dipijak dan dimakan.” Malik Cina menelan air liur.

Saya tumpukan seluruh perhatian pada cerita yang disampaikan oleh Malik Cina pada datuk. Menarik tetapi tetap terasa seram. Saya terus menyikat rambut yang menutup dahi. Bila tayar kereta melanggar lopak, badan dan kereta terasa bergegar, bagaikan dinding dan pintu mahu tercabut rasanya maklumlah kereta tua.

"Setelah berfikir panjang, semua tanah dan rumah saya di Kubang Kerian saya jual dan menantu saya pula mengizinkan saya membawa isterinya dengan tujuan nama berubat, dah lima bulan aku menetap di Sungai Siput,” sambung Malik Cina.

“Jauh sungguh kamu cari penumpang sampai ke sini.”

“Pagi tadi, ada orang sewa kereta aku ke Teluk Intan. Dari Teluk Intan, aku dapat penumpang nak ke Parit, supaya jangan pulang kosong aku cari penumpang untuk ke Kuala Kangsar, dari Kuala Kangsar aku cari penumpang untuk ke Sungai Siput, tiba-tiba aku jumpa kamu,” Malik Cina ketawa berdekah-dekah.

“Lepas kamu hantar aku ni, kamu nak cari penumpang lagi?” tanya datuk.

“Tidak, aku nak terus balik,” jawab Malik Cina.

Malik Cina memberhentikan teksi sapunya di tepi jalan. Datuk hulurkan wang sewa teksi sapu. Malik Cina meno1ak dengan alasan apa yang dilakukan itu sebagai tanda persahabatan. Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat berjumpa dengan datuk. Perjumpaan itu tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit.

“Aku cuma nak minta tolong pada kau satu saja,” suara Malik Cina mendatar masuk ke lubang telinga datuk.

“Apa dia Malik?”

“Kalau kau ada kenal bomoh atau pawang handal, sila beritahu aku. Aku nak berikhtiar nak ubat anak aku.”

“Tak usahlah, kau berubatlah ke hospital.”

“Aku bukan tak percaya dengan doktor tapi, aku dah berusaha ke arah itu, hasilnya kurang berkesan, aku juga tak percaya pada bomoh dan pawang, banyak bomoh dan pawang menipu tapi, aku mencuba,” Malik Cina menelan air liur.

Datuk termenung panjang. Dia renung muka saya sejenak. Angin petang di bawah sinar matahari yang redup terasa menampar-nampar kulit muka saya. Perlahan-lahan saya menarik nafas dalam-dalam.

Nantilah aku tanya orang-orang kampung kalau ada yang tahu pawang atau bomoh,” datuk memberikan jawapan. Cepat-cepat Malik Cina menyambar tangan datuk. Dipegangnya erat-erat. Mukanya kelihatan berseri-seri.

“Aku ingin nak tengok penyakit anak kamu tu Malik?” tambah datuk.

“Bila, kamu nak datang bagi tahu, biar aku ambil kamu.”

“Tak tentu, boleh jadi dalam minggu depan.”

“Macam tu susahlah.”

“Tak susah, kau lukis rajah ke rumah kamu Malik,”

“Ya, tunggu sekejap,” Malik Cina mengambil sekeping kertas dan pensel dari dalam kereta.

Kemudian Malik Cina melukis rajah jalan ke rumahnya. Setelah siap dilukis kertas itu diserahkan pada datuk. Datuk meneliti rajah yang dibuat oleh Malik Cina dengan teliti. Datuk anggukkan kepala dua tiga kali.

“Aku tahu, tanah dan rumah yang kamu beli tak jauh dari Kampung Bahagia.”

“Betul, tapi kena lalu Kampung Bahagia dulu baru sampai ke rumah aku, pada hal jaraknya dengan jalan raya Kuala Kangsar - Ipoh tak jauh, kerana tak ada jalan pintas semuanya jauh.”

“Tanah siapa yang kamu beli?”

“Tanah Cina, jangan terkejut bila kamu datang ke rumah aku, kamu melihat anak perempuan aku berpakaian tak senonoh, macam orang separuh bogel dan memaki hamun kamu.”

“Itu perkara biasa,” balas datuk.

Datuk mempelawa Malik Cina ke rumah untuk menikmati kopi petang. Malik Cina menolak dengan alasan dia mahu pulang segera. Lagi sekali datuk dan Malik Cina bersalam-salaman. Beberapa saat kemudian teksi sapu milik Malik Cina meninggalkan saya dan datuk di bibir jalan.

Sampai di rumah datuk memberitahu saya, umurnya dengan Malik Cina berbeza hampir lapan tahun. Tetapi, Malik Cina nampak lebih tua dari datuk. Datuk juga memberitahu saya, Abang Malik dikenali maka Suhaimi Jepun, jadi kawan rapat datuk ketika menuntut ilmu silat.

Tetapi, Suhaimi Jepun mati gantung diri kerana malu isterinya dilarikan oleh orang. Malu dengan peristiwa yang dilakukan oleh abangnya yang bertentangan dengan ajaran agama Islam itu, Malik Cina pindah ke tempat lain. Itulah latar belakang keluarga Malik Cina yang dinyatakan oleh datuk pada saya.

                                         BERJALAN

Saya terkejut bila datuk menyatakan dia mahu pergi ke rumah Malik Cina. Saya termenung panjang, padahal semalam datuk memberitahu Malik Cina dia mahu pergi ke tempat tersebut dalam minggu depan.

“Kenapa mendadak saja tuk nak pergi?”

“Itu soal aku, bukan soal kamu,” tebal rasa kulit muka saya.

“Pukul berapa kita nak pergi tuk.”

“Sekejap lagi, aku mahu sampai ke rumahnya sebelum waktu Asar, kau pergi dulu naik bas,” terkejut lagi saya mendengar kata-kata dari datuk.

Belum pernah datuk menyuruh saya pergi ke sesuatu tempat seorang diri. Ke mana-mana kami tetap bersama barang kali datuk mahu menguji saya? Apakah saya mampu pergi ke mana-mana seorang diri. Cabaran ini mesti dijawab. Saya anak jantan bukannya pondan, timbul azam dalam diri saya.

“Datuk pula macam mana?”

“Itu urusan aku, kamu pergi dulu, nanti aku dekat simpang masuk ke Kampung Bahagia.”

“Baiklah tuk,” balas saya.

Datuk memberikan wang tambang. Dia juga memilih pakaian yang perlu dibawa dan memasukkan ke dalam beg sandang. Nenek tidak dapat berbuat apa-apa.

Saya terpaksa naik bas sendirian. Terasa bosan kerana tidak ada kawan untuk dilawan bercakap. Semuanya saya hadapi dengan perasaan yang tenang dan tabah. Saya beruntung dalam perjalanan itu, saya bertemu dengan seorang pemuda yang sebaya dengan saya. Namanya, Zainuddin dan nama bapanya Ismail.

Saya bertemu dengan Zainuddin di perhentian bas Kuala Kangsar. Dia dalam perjalanan ke Ipoh. Dari Ipoh dia akan meneruskan perjalanannya dengan bas ekspres ke Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur dia naik has untuk ke Melaka menziarahi ayah saudaranya yang bertugas sebagai tentera di Terendak Kem.

Akhirnya saya sampai juga ke simpang masuk ke Kampung Bahagia. Saya tersentak bila melihat datuk sudah ada di situ. Dia menyambut saya dengan wajah yang manis. Dia bertanya pengalaman saya naik bas. Semuanya saya ceritakan. Bila saya bertanya, bagaimana datuk boleh berada di situ. Apakah dia naik teksi atau bas? Datuk tidak mahu menjawab.

Bila saya tanya berulang kali, datuk jadi marah. Dia jegilkan biji mata ke arah saya. Saya dan datuk terus berjalan kaki melalui kawasan perumahan. Lebih kurang 200 meter mahu sampai ke rumah Malik Cina, kami bertemu dengannya.

"Naik kereta saya, kenapa semalam tak mahu cakap, kalau cakap siang-siang bukankah mudah,” Malik Cina menyatakan nasa kesalnya. Datuk hanya ketawa sahaja sambil masuk ke kereta (teksi sapu).

“Kamu tak cari penumpang hari ni, Malik?”

“Hari ini cuti, semalam dapat lebih.”

“Ini kerja orang malas namanya.”

“Kerja sendiri.”

“Betul cakap kamu, kerja sendiri tak ada siapa yang marah kalau tak buat, kalau tak ada beras di rumah pun orang tak marah,” usik datuk, serentak kami ketawa.

                                                DADA

Setelah menunaikan sembahyang Asar, datuk mengajak saya melihat keadaan anak perempuan Malik Cina. Orangnya cantik, berkulit putih, hidung mancung tinggi lampai dengai rambut panjang separas dada. Usianya sekitar dua puluhan. Saya merasa kasihan melihat gadis secantik itu tidur dalam keadaan kakinya dirantai.

Saya dan datuk kembali ke ruang anjung rumah. Datuk mencungkil rahsia dari Malik Cina. Tanpa berselindung-selindung Malik Cina memberitahu, bila perempuan cantik itu terjaga dari tidur dia akan menjerit, untuk memberhentikan dirinya dari menjerit, terpaksa diberi kain. Kain itu akan dikoyaknya hingga hancur.

“Sekarang ni, saya menggantikan kain itu dengan kertas nampaknya dia dapat menerima kertas tu, saya terpaksa menyediakan lima enam kati kertas sehari, kalau tak diadakan, dia akan menjerit sambil mencubit kulit badannya dan membuka pakaian,” sebaik sahaja Malik Cina habis berkata kami terdengar suara perempuan menjerit. Bulu roma saya terus berdiri.

Malik Cina meninggalkan kami. Dia membuka rantai kaki anak perempuannya. Isteri Malik Cina segera membawa setimbun kertas dan diletakkan di bawah pokok manggis di belakang rumah. Bila rantai kakinya dibuka perempuan cantik itu segera mendapatkan timbunan kertas.

Dia terus mengoyak kertas sesuka hati, ketika itu kalau dibersihkan makanan atau air minuman, semuanya habis dicampakkan ke mana sahaja mengikut sesuka hatinya.

Jiran-jiran yang berdekatan, segera mengerumuni perempuan cantik itu. Mereka merasa terhibur melihat perempuan cantik mengoyak kertas, malah ada yang datang itu membawa kertas dan kain untuk diberikan padanya.

Saya merasa perbuatan jiran-jiran itu sudah keterlaluan, mereka mencari hiburan dari orang yang sedang sakit. Sepatutnya mereka bersimpati dengan penderitaan gadis tersebut.

“Mari Tamar, kita lihat lebih dekat lagi perangainya,” kata datuk.

“Boleh juga tuk,” balas saya. Kami terus melangkah ke arah pokok manggis. Malik Cina dan isterinya yang ada di situ kelihatan sugul melihat kedatangan kami.

Datuk berhenti di depan gadis cantik. Datuk bertinggung di depannya. Perempuan itu terus mengoyak-nyoyak kertas.

Sunday, September 13, 2009

SIRI 073 DISERANG KUCING HITAM


KAMI bertiga terus menuju ke Balai Polis. Sarjan 1000 menyambut kami dengan wajah yang riang. Setelah datuk bercakap-cakap sebentar dengan Sarjan 1000, kami terus menuju ke tebing sungai. Sarjan 1000 memerintah seorang anggoa polis keturunan India menemani kami ke tempat tersebut.

Sampai sahaja di tebing sungai, datuk terus berdiri tempat ia bertinggung waktu siang tadi. Saya disuruhnya berdiri dekat pokok besar. Manakala Tajuddin dan anggota polis keturunan India pula berdiri tidak jauh dari saya.

Dua tiga kali saya menampar nyamuk yang menyerang daun telinga saya. Menampar nyamuk dalam gelap merupakan kerja yang sia-sia. Tidak ada nyamuk yang dapat dibunuh malah nyamuk kian banyak datang dan berdengung di keliling telinga.

Saya merenung ke sungai, tidak ada sesuatu yang dapat dilihat semuanya nampak hitam belaka, Sekali-sekala saya terpandang cahaya pelita berkelip-kelip di seberang sungai. Sudah hampir lima belas minit berdiri, datuk tidak memperlihatkan kesungguhannya untuk menjalankan tugas. Ia kelihatan macam orang mengelamun tidak tentu arah.

Apa yang datuk lakukan itu memang tidak saya senangi. Saya sudah tidak mampu untuk menyerahkan badan saya pada nyamuk di dalam gelap. Telinga saya sudah tidak mampu mendengar suara cengkerik dan katak. Mata juga sudah tidak terdaya merenung kegelapan.

Bila kepala didongakkan ke langit, cuma yang nampak kerdipan bintang-bintang. Saya tidak tahu apakah perkara yang saya alami itu dirasai juga oleh Tajuddin dan kawannya.

Darah saya tersirap, sehelai daun menimpa batang tengkuk, sedangkan angin malam tidak bertiup, bulu roma saya terus berdiri, bunyi cengkerik dan katak kian rancak. Datuk masih lagi berdiri merenung ke arah dada sungai yang diselimuti kegelapan.

“Tamar,” suara datuk separuh keras.

“Ada apa tuk.”

“Nah, bakar lilin ni,” datuk pun menyerahkan pada saya sebatang lilin dan sekotak mancis. Cahaya lilin itu terus menerangi kawasan sekitar. Anda sendiri dapat membayangkan sejauh mana kekuatan dari cahaya lilin sebatang.

Datuk terus memicit kedua belah lengannya, kemudian kedua belah buah betisnya hingga sampai ke buku lali. Tajuddin dan kawannya segera menghampiri datuk. Dari cahaya lilin yang samar-samar saya dapat melihat kedua-dua wajah mereka yang didakap keresahan.

“Bila nak dimulakan?” Tajuddin membuka mulut.

“Sekejap lagi kenapa? Kalau kamu rasa jemu kamu boleh balik, biar aku selesaikan sendiri.”

“Bukan begitu, saya rasa dah lama benar kita duduk di sini.”

“Kerja begini mesti sabar,” balas datuk lalu merenung wajah Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Mereka terdiam dan terus duduk dalam lingkungan cahaya lilin.

“Sekarang aku nak mulakan tetapi, ingat pesan aku ni, jangan gunakan lampu picit, kecuali bila kamu mendengar suara aku di tengah sungai,” lagi sekali datuk merenung anggota keturunan India dan Tajuddin.

Saya lihat mereka anggukkan kepala. Setuju untuk mematuhi cakap datuk, bila datuk melangkah, saya terdengar suara kucing mengiau panjang dan saya terasa seram.

“Bunyi kucing,” anggota polis keturunan India bersuara, ia renung muka Tajuddin dan saya. Datuk merenung ke kiri dan ke kanan.

Saya lihat Tajuddin seperti orang serba-salah dan bersedia untuk menggunakan lampu picitnya untuk menyuluh ke arah suara kucing tersebut.“Aku juga terdengar suara kucing, pedulikan,” datuk mengingatkan kami. Ia terus melangkah. Saya menoleh ke kanan pada rimbunan pokok kecil yang terdapat di situ.

Nafas saya jadi sesak, ada sepasang mata binatang yang kelihatan kemerah-merahan merenung ke arah saya. Serentak dengan itu, saya terdengar ranting-ranting kering seperti dipatah-patahkan oleh manusia.

“Tuk,” saya bersuara separuh cemas.

“Aku tahu apa yang kamu dengar dan lihat, pedulikan perkara tu Tamar,”

“Tapi tuk.”

“Sudah jangan banyak cakap.”

Saya tercengang datuk meneruskan langkahnya menuruni tebing sungai. Saya jadi tak tentu arah, begitu juga dengan Tajuddin dan anggota polis keturunan India. Datuk sudah pun menyelam. Bunyi deru air sungai yang melanggar reranting dan dahan pohon yang rebah ke sungai cukup jelas.

Dengan tujuan untuk menghilangkan rasa takut, saya, Tajuddin serta seorang anggota polls keturunan india duduk berdekatan, kami mengelilingi cahaya lilin yang memancar samar.

Suara cengkerik terus menyanyi dengan hebat. Perasaan cemas kami terus bertambah cemas bila terdengar suara lolongan anjing liar dari arah pekan Parit.

Daun-daun dan pohon kami berlindung terus berguguran, macam ada tangan manusia yang berusaha menceraikan daun daun itu dan rantingnya. Paling mencemaskan daun yang gugur itu bukanlah daun yang sudah tua tetapi daun yang masih hijau dan muda.

Suara kucing jantan mengiau muncul dengan mendadak dituruti dengan bunyi kuku kucing menggaru papan. Semuanya muncul dari arah pokok-pokok kecil di sekeliling kami.

Perasaan takut, cemas dan bimbang terus menghantui perasaan kami bertiga. Dua tiga kali Tajuddin mengeluarkan lampu picit dari saku seluarnya. Ia berhasrat mahu menyuluh seluruh kawasan sekeliling.

Tetapi, setiap kali lampu picit berada dalam tangannya, anggota polis keturunan India selalu membisikkan ke telinganya tentang pesan datuk. Hidung saya terhidu bau bunga tanjung. Cukup wangi. Dedaun muda terus berguguran. Perhatian dan ingatan saya tidak lagi tertumpu pada datuk. Suara kucing tetap mengiau. Saya terus mencapai sebatang kayu dengan niat kalau ada binatang melintas di depan, pasti saya pukul. Kami terus duduk berhimpit-himpit.

“Pukul berapa sekarang?” Tanya anggota polis keturunan India pada Tajuddin. Cepat-cepat Tajuddin melihat jam di tangan.

“Pukul dua belas, Maniam.”

“Patutlah aku terasa air embun.”

“Saya juga kena titis embun,” kata saya.

Serentak kami menoleh ke belakang kerana terdengar bunyi kaki binatang memijak daun-daun kering. Dari cahaya lilin yang samar-samar itu, kami melihat seekor kucing hitam yang menjilat bulunya. Sesekali kucing itu membuka mulutnya melihatkan taringnya yang putih tajam pada kami.

Dalam keadaan yang gelap itu saya terdengar Tajuddin menjerit. Saya segera mengeluarkan mancis dan menyalakan lilin yang padam.

Saya terkejut melihat tangan kanan Tajuddin yang berdarah.

“Dicakar kucing” Maniam (anggota polis keturunan India) memberitahu saya. Tanpa membuang masa lagi saya terus mengoyakkan hujung baju saya. Dengan cebisan kain itu saya mengesat darah di lengan Tajuddin.

Belum pun selesai saya mengesat darah di lengan Tajuddin, terdengar bunyi tapak kaki orang berlari yang jaraknya tidak begitu jauh dari pohon tempat kami duduk. Bau bunga Tanjung kian menjadi-jadi. Lolongan anjing bersahut-sahutan, Suara cengkerik kian hebat.

Kami terus rapat ke perdu pokok. Kami menanti orang yang berlari dalam gelap itu menghampiri kami. Bunyi tapak kaki itu terus hilang digantikan dengan bunyi orang menggali tanah kubur dan bunyi orang mengoyakkan kain.

“Kucing hitam,” kata Maniam, seekor kucing hitam tercegat di depan kami sambil membuka mulut, lidahnya menjilat daun-daun kering di depannya. Matanya memancarkan cahaya merah macam bara.

Tajuddin segera berlindung di belakang Maniam. Dari cahaya lilin, saya lihat kucing itu melengkungkan badannya sambil mengiau garang, misainya kelihatan keras dan tajam.

Kami bertiga terpaku dan tidak tahu untuk berbuat apa-apa bila melihat kucing hitam itu mengembangkan bulunya sambil menjelirkan lidahnya yang panjang. Ekornya ditegakkan. Bentuk kucing itu agak besar dari kucing biasa. Bentuk mukanya amat menyeramkan dan biji matanya agak besar.

Kucing itu mengiau garang dan terus menerkam ke arah Maniam dengan pantas sekali. Maniam tidak sempat mengelak dan kucing hitam itu membenamkan kukunya ke kulit pipi Maniam. Cepat-cepat Maniam meraba kulit mukanya yang dicakar oleh kucing hitam.

Dalam keadaan yang tak tentu arah itu kucing tersebut menyerang ke arah Maniam lagi sekali. Tetapi, kali ini Maniam sempat mengelak dan melepaskan satu penumbuk ke arah kucing hingga terpelanting.

Darah dan muka Maniam terus menitis atas daun-daun kering. Maniam mengeluarkan sapu tangan dari seluarnya dan terus mengesat darah di wajahnya.
Saya tidak tahu sama sekali, macam mana kucing hitam yang terpelanting jauh itu boleh berada di depan Maniam dan Tajuddin. Kucing hitam itu berlegar-legar di situ sambil menjilat kesan darah yang melekat di daun kering. Saya tidak tahu, apa yang harus saya lakukan.

“Sial, kucing sial,” jerkah saya sambil menghentakkan kaki ke bumi. Tidak saya duga sama sekali perbuatan itu menjadikan kucing hitam itu bertambah garang. Ia mengiau ganas sambil membukakan mulutnya pada saya. Giginya yang putih tajam kelihatan kemerah-merahan dilekati darah.

Kucing itu memperlihatkan rasa marahnya dengan mencakar-cakar tanah dan kayu yang ada di depannya. Melompat ke sana ke sini seolah-olah memperlihatkan kehebatannya di malam yang kian beransur tua. Kucing itu terus menyerang lengan tangan Tajuddin untuk kali kedua.
Tajuddin terus menjerit dan berusaha dengan sedaya upaya memisahkan gigi kucing yang menggigit lengannya. Usaha Tajuddin itu tidak berhasil, kucing hitam terus menggigit sambil mencakar-cakar tangan Tajuddin. Melihat keadaan yang cemas dan membimbangkan itu, saya segera mencari kayu dan membelasah badan kucing hitam dengan sekuat hati sehingga ia berhenti menggigit daging lengan Tajuddin.

Kali ini kucing hitam yang ganas itu terus menyerang saya. Waktu menyerang Maniam, ia memilih daging pipi sebagai sasaran dan daging lengan menjadi matlamatnya bila menyerang Tajuddin. Bila ia menyerang saya daging paha pula jadi sasaran. Saya terpaksa mempertahankan daging paha saya dari jadi mangsa giginya dengan kayu.

Setiap kali saya menghayunkan kayu ke badannya, kucing itu dapat mengelakkan dan menggunakan kepintarannya menyerang saya dari arah belakang, kanan dan kiri.

Akibatnya saya keletihan dan terhoyong-hayang, ketika itulah kucing yang tidak mengenal belas kasihan mengoyakkan seluar dari daging paha saya hingga berdarah. Saya menjerit dan terus berusaha untuk menewaskannya.

Saya terus mencekik tengkuk kucing dengan sekuat hati. Kedua belah tangan saya terus dicakarnya hingga berdarah. Walaupun begitu saya tidak begitu mudah untuk melepaskan batang lehernya yang saya cekik. Usaha saya kali ini berhasil, kucing itu berhenti menggigit dan mencakar lengan saya.

Sebaik sahaja leher kucing itu saya lepaskan, saya terus jatuh atas tanah. Kucing hitam terus ghaib entah ke mana. Maniam dan Tajuddin segera menghampiri dan menyandarkan saya ke perdu pokok. Tajuddin membukakan baju saya lalu mengikatkan ke paha saya yang luka. Maniam mengesat darah di lengan saya.

Kami mengambil keputusan mengejut untuk pulang ke Balai Polis. Belum pun keputusan itu dilaksanakan, kami terdengar suara datuk dari tengah sungai. Perasaan kami bertambah lega.

Maniam dan Tajuddin terus menggunakan lampu. Menyuluh kiri kanan, bimbang kalau kucing hitam yang ghaib muncul mendadak.

“Dari marna kucing sial itu datang,” tanya Maniam.

“Entah,” jawab saya.

“Jangan pedulikan semuanya itu, suluh orang yang di tengah sungai,” Tajuddin bersuara, serentak dengan itu juga dua lampu picit memancarkan suluhannya ke sungai. Saya lihat datuk berenang ke tebing sambil menarik sesuatu.

“Dah jumpa mayat,” Maniam beritahu Tajuddin.

“Agaknya,” jawab Tajuddin. Mereka terus rapat ke tebing dan cahayĆ  lampu picit mereka tetap tertumpu ke arah datuk.

Saya terus mengumpulkan daun-daun kering dan kayu, kemudian terus membakarnya. Hasil dari usaha itu, kawasan sekitar tebing terang-benderang, memudahkan saya bergerak ke mana-mana. Nyamuk terus lari.

Saya terfikir, kalau kucing hitam itu muncul kembali, saya pasti menggunakan puntung-puntung yang berapi itu untuk menentangnya.

“Mari kita tolong dia,” Maniam terus menarik tangan Tajuddin. Mereka terus menuruni tebing sungai. Saya merasakan diri saya lebih selamat, kalau bersama Tajuddin dan Maniam. Tanpa membuang masa saya terus memburu mereka menuruni tebing sungai yang agak curam.

Badan mula terasa dingin dirempuh angin yang bergerak dari permukaan sungai. Langit tetap cerah bersama gumpalan awan yang bersih. Kami bertiga berdiri di gigi air. Terasa amat sejuk, bila air sungai menyentuh kulit kaki. Tajuddin dan Maniam tetap menghalakan muncung lampu picitnya ke arah datuk.

“Tolong pangku mayat ni,” datuk minta bantuan. Maniam dan Tajuddin menyerahkan lampu picit pada saya. Tugas saya sekarang menyuluh ke arah mereka. Tajuddin dan Maniam terus mengharung air sungai, Mereka membantu datuk memangku mayat Saadun dan dibawa atas tebing.

Mayat Saadun terus dibaringkan atas daun-daun kering. Saya terus mencampakkan ranting dan daun-daun kering dalam unggun api. Datuk menukarkan pakaian yang basah dengan pakaian yang kering. Ia mendiangkan badannya dekat api.

“Biar kami ke balai dulu, melaporkan perkara ni pada Sarjan 1000 dan minta jeep untuk membawa mayat ni ke hospital,” Maniam menyatakan pada datuk sambil menyandangkan riffle ke bahu. Tajuddin kelihatan cemas sedikit.

“Eloklah tu, tapi sebelum pergi nanti dulu,” kata datuk lalu memetik beberapa helai dedaun yang hijau berkilat dari pepohon kecil sekitarnya.

Datuk melekapkan dedaun hijau segar ke bahagian badan Tajuddin dan Maniam yang luka akibat digigit dan dicakar oleh kucing hitam.

“Ini untuk menahan bisa, gigi dan kuku kucing cukup bisa, ada jenis daun dan rumput yang boleh digunakan menahan bisanya, perhatikan daun atau rumput yang dimakan kucing bila ia sakit, daun dan rumput tu boleh dijadikan penawar bisanya,” terang datuk pada Tajuddin dan Maniam.

Mayat Saadun terkapar atas dedaun kering, biji matanya terbeliak dan mulutnya separuh terbuka. Dari kedua belah telinganya meleleh air jernih.

Saya tak berani merenung mayat Saadun lama-lama, bila direnung biji matanya bergerak ke sana sini. Menyorot tiap langkah dan gerak-geri saya.

“Pergilah, biar saya nanti di sini,” ujar datuk tenang. Maniam, terus melangkah tetapi, Tajuddin masih ragu untuk melangkah, macam ada sesuatu yang ditakutinya.

“Pergilah Tajuddin, dengan izin Allah kamu selamat dalam perjalanan,” kata datuk. Tajuddin terus melangkah. Meninggalkan saya dan datuk.

Saya menceritakan pada datuk apa yang kami alami ketika ia menyelam tadi, Datuk tidak memperlihatkan rasa terkejut atau cemas. Ia hanya tersenyum sambil melipatkan hujung lengan bajunya. Suasana yang agak tenang di malam yang hitam itu diganggu oleh suara kucing yang cukup keras. Datuk mengedutkan dahinya sambil mencampakkan ketul-ketul kayu ke dalam unggun api.

Suara kucing terus meninggi dan nyaring, daun-daun kering nampak bergerak-gerak macam ditolak oleh sesuatu. Ranting-ranting yang bertaburan dekat kaki saya juga bergolek perlahan-lahan. Ada bunyi tapak kaki orang melintas di depan saya tetapi orangnya tidak dapat dilihat.

Kejadian-kejadian begitu amat menakutkan bagi saya. Datuk tetap tenang. Ia tidak tergugat dengan kejadian-kejadian yang saya anggap agak luar biasa itu. Ia curna menggigit bibir, bila melihat beberapa ekor ulat bulu bergerak ke arahnya. Dengan ranting kayu datuk menolak ulat-ulat itu ke pangkal pokok.

Beberapa ekor semut api meluru ke arah mayat Saadun. Datuk berusaha menghalau semut-semut api dan memanjat mayat Saadun. Datuk menghalau semut-semut itu dengan daun-daun segar yang dipatahkan dari dahan pokok kecil berhampiran.

“Kucing hitam,” jerit saya.

Seekor kucing hitam muncul dekat unggun api. Kucing itu menyapu-nyapu mukanya dengan kaki depan. Renungannya lembut ke arah datuk seolah-olah minta simpati, bentuk tubuhnya agak kecil sedikit dari kucing hitam yang mencakar Tajuddin dan Maniam serta saya.

Kucing hitam yang baru muncul ini, tidak memperlihatkan sebarang keanehan, tidak memperlihatkan lidah dan taringnya. Ia kelihatan cukup manja sambil menjilat-jilat tubuh di badannya.

“Kamu sesat, kalau sesat baliklah,” ujar datuk sambil merenung kucing hitam. Kucing hitam itu mengiau manja, tidak mahu berganjak dari tempat ia duduk.

“Baliklah pada tuan kamu,” suara datuk keras. Kucing hitam itu menegakkan ekor serta membongkokkan badannya. Bersedia untuk menerkam ke arah datuk. Saya lihat datuk menggeliat dan akhirnya menggenggam penumbuk. Ia melangkah dua tapak ke depan macam orang mahu bersilat.

“Balik sebelum kamu binasa,” ujar datuk lalu membuka silat. Kucing hitam itu terus mengiau garang dan cuba menerkam ke arah datuk. Cepat-cepat datuk membongkok lalu mengambil sekepal tanah. Tanah itu dilemparkan ke arah kucing hitam. Terdengar bunyi jeritan kucing hitam yang amat kuat, macam menahan kesakitan kerana ekornya tersepit.

Kucing hitam itu dengan serta-merta ghaib. Datuk terus membersihkan kawasan keliling tempat mayat Saadun. Pada mulanya, ingin saya menyoal datuk tentang kemunculan kucing hitam yang aneh itu. Malam itu juga mayat Saadun d bawa ke hospital Batu Gajah.

Esoknya, mayat Saadun pun dikebumikan di kampung halamannya. Menurut doktor, Saadun mati akibat salah satu urat di saluran pernafasannya putus seperti dikerat dengan benda rajam. Saadun bukan mati kerana lemas.

Datuk memberitahu saya, mayat Saadun sukar diambil kerana tersepit pada timbunan kayu besar di sebuah lubuk yang dalam. Setiap kali mayat itu ditarik keluar, seluruh sendinya merasa lemah dan tenaganya bagaikan tiada dan pandangannya jadi kabur.

“Boleh jadi perkara tu berlaku, kerana aku terlalu penat dan kurang tidur,” itulah alasan datuk tetapi, saya merasakan alasan itu sekadar untuk alasan cuma. Datuk bagaikan mahu menyembunyikan sesuatu dari saya. Sesungguhnya saya kurang puas hati dengan cakap datuk itu. Tunggu, satu waktu yang baik, pasti saya menyoalnya.

Dua minggu setelah pengkebumian Saadun, datuk menemui Sarjan 1000, mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan pada datuk. Datuk juga menemui Maniam dan Tajuddin. Bengkak di muka Maniam sudah pun beransur surut, begitu juga dengan bengkak di lengan tangan Tajuddin.

Walaupun begitu, mereka menghadapi masalah kerana diganggu oleh kedatangan kucing hitam pada setiap malam.

“Pukul berapa kucing itu datang?” Tanya datuk pada Tajuddin.

“Tepat pukul dua belas malam, mencakar-cakar dinding rumah hingga ke subuh, kami sekeluarga tak dapat tidur, bila dicari kucing itu tidak nampak.”

“Begini, sebelum kejadian itu, macam mana kamu tahu, kucing itu kucing hitam.”

“Begini, sebelum kejadian tu, saya pemah terserempak dengan kucing hitam ganjil dikaki tangga rumah saya waktu Maghrib kucing itu menyapu-nyapu mukanya dengan ekor, saya pukul dengan pelepah kelapa, sejak itu kami sekeluarga terus diganggu,” jelas Tajuddin pada datuk.

Maniam pula menceritakan pada datuk begini: bila ia bekerja malam, ia selalu sahaja diekori oleh kucing hitam dari jarak yang agak dekat, kalau ia tidak hati-hati kucing hitam itu akan menerkam ke arahnya sambil memperlihatkan lidah dan taringnya yang tajam.

“Saya orang bujang yang tidak tinggal di berek, saya takut balik ke rumah saya, setiap kali saya balik dengan basikal kucing itu mengejar saya, pernah saya nak membunuhnya tapi kucing itu bagaikan tahu niat hati saya, sentiasa saja menjauhkan diri dari saya,” Maniam menerangkan pada datuk. Datuk termenung panjang mendengar cerita aneh dari dua anggota polis itu. Datuk renung muka Maniam dan Tajuddin yang duduk atas batu di depan pintu masuk kawasan ke balai Polis.

Dalam panas terik itu, saya merenung ke arah pasar yang terletak di depan balai. Beberapa orang lelaki dan wanita yang keluar dari perut pasar membawa ikan dan sayur. Saya jeling ke arah jam tangan Tajuddin. Sudah pukul sebelas, patutlah panas terik.

“Pemah tak, kamu terjaga malam dan tengok kucing hitam ada dekat kamu,” pertanyaan itu datuk tujukan pada Maniam.

“Ada.”

“Apa yang dibuatnya?”

“Kucing itu jilat ibu jari kaki sebelah kanan.”

“Hum, lepas tu apa yang kamu buat?”

“Saya cuba bangun tetapi, tak terdaya, seluruh kaki kanan saya terasa lemah, bila kucing tu bilang, rasa lemah terus hilang.”

“Pelik,” rungut datuk.

Saya renung muka Tajuddin yang didakap keresahan. Datuk mengecilkan kedua belah mata. Kening lebatnya hampir mahu bertemu. Seluruh muka saya sudahpun diruap peluh-peluh halus.

“Apa yang patut saya buat?” Tanya Maniam mendadak.

“Sabar, dua hari lagi, aku jumpa kamu berdua, kalau dalam tempoh dua hari kucing hitam itu mengganas juga, kau berdua carilah aku,” datuk memberi pengakuan. Matanya masih mengecil lagi. Saya lihat mata hitamnya tidak bergerak bagaikan melihat sesuatu yang berada dalam jarak yang amat jauh.

Bila melihat datuk dalam keadaan demikian, saya tidak mengizinkan Maniam atau Tajuddin mengajukan sebarang pertanyaan pada datuk. Perbuatan itu boleh mengganggu penghayatan datuk pada sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa kecuali datu sendiri.

Saya segera menulis alamat rumah datuk pada sekeping kertas. Kertas itu saya serahkan pada Maniam dan Tajuddin. Ketika mereka menatap alamat rumah datuk di kertas. Cara mengejut sahaja datuk batuk.

Saya tersengih, batuk itu sebagai tanda amaran yang tugas datuk sudah berakhir. Datuk renung ke arah saya sejenak. Dia senyum, bagaikan mengucap sejuta terima kasih kerana saya telah membantunya.

“Rahsiakan semuanya ini pada orang lain,” datuk bersuara lembut. Saya renung muka Maniam dan Tajuddin. Mereka jadi panik. Tidak ada rahsia yang mereka terima dari dauk, tiba-tiba datuk memberi amaran.

“Maksud aku, alamat rumah aku dan janji aku pada kamu berdua jangan diceritakan pada sesiapa, kalau pesan ini kamu langgar, aku tak dapat membantu kamu berdua,” datuk menenangkan rasa risau dalam kepala Maniam dan Tajuddin.

“Kami berjanji,” sahut Tajuddin.

“Kalau sudah berjanji, peganglah pada janji,” balas datukku dalam nada suara yang cukup lembut.

Tajuddin dan Maniam segera bangun. Muka mereka nampak pucat. Kedua-duanya segera mendapatkan datuk, macam ada sesuatu yang mengikuti mereka. Paling mengejutkan badan kedua-duanya menggeletar, tidak, tentu arah macam orang kesejukan. Aneh macam mana mereka kesejukan dalam pancaran matahari yang garang.

“Kenapa?” Tanya saya.

“Kami dengar suara kucing,” jawab Tajuddin. Saya segera pergi ke longkang, renung kiri, renung kanan. Tidak ada kucing di situ kecuali beberapa ekor katak puru bersembunyi di celah-celah rumput yang tumbuh liar di bibir longkang.

Bau hapak bercampur hanyir dan air longkang yang mengalir lambat itu membuat saya mahu muntah. Saya terus mendapatkan datuk.

“Tak ada kucing pun,” kata saya.

“Kalau tak ada kucing macam mana boleh ada suara kucing, cuma perasaan kamu berdua saja,” datuk menyokong saya.

“Saya dengar,” kata Maniam.

“Saya dengar, saya yakin itu suara kucing hitam,” kata Tajuddin.

Dalam keadaan yang membingungkan itu. Seekor kucing hitam muncul di depan kami. Tidak ada seorang yang dapat rnempastikan dari arah mana kucing hitam itu muncul. Kucing itu menguap di depan kami, memperlihatkan gigi tajam dan lidah panjang yang merah pada kami. Kucing itu menjilat jilat di jarinya.