Friday, August 30, 2013

SIRI 239 DARAH LENGAN SEBAGAI IMBALAN

Suasana yang samar-samar, bertukar menjadi bertambah gelap. Tiada suara unggas kedengaran, kecuali nyanyian cengkerk hutan.
Teringat cakap nenek. Waktu-waktu begini, makhluk halus berkeliaran. Singgah ditubuh manusia lalumenyerap ke dalam  darah.  Mangsa utamanya orang yang lemah semangat. Kurang rasa takwa kepada Allah. Bila darah sudah diresapi makhluk halus orang terbabit terus hysteria, meracau tidak tentu arah.
Entah mengapa, macam tidak semena-mena anak tekak terasa gatal semacam. Air liur segera ditelan. Akibatnya saya tersedak lalu diikuti dengan batuk kecil. Lelaki berdarah dahi tersenyum sumbing.
“Barangkali nama kamu disebut nenek?” katanya.
Dan hati terasa panas. Apa hak dia membabitkan nenek saya dalam hal ini. Ini sudah keterlaluan.
Satu renungan yang penuh dengan api kemarahan dilepaskan ke wajah lelaki berdarah dahi. Menyedari renungan itu membawa satu mesej tertentu, cepat-cepat dia mengalihkan pandangan kearah lain.
“Sial,” cetus hati.
Dan saya yakin dia dapat membaca apa yang tersirat dalam kalbu. Buktinya, walaupun pandangannya tidak kepada saya, senyum sinis masih berlarutan di kelopak bibirnya.
“Kamu berdua meragukan keikhlasan aku?” terlontar kata dari mulut lelaki berdarah dahi. Sesuatu yang diluar jangkaan saya dan pemandu.
“Tidak,” satu jawapan pasti dari pemandu.
“Kami berdua tidak berfikir begitu,” saya menyokong kata pemandu dalam nada suara yang agak meninggi.
Secara jujur saya mengakui, jauh di sudut hati, masih ada lurah kesangsian dan kecurigaan terhadap nya.
Perlukah kami menunjukkan bukti sebagai tanda keikhlasan kami berdua,” si pemandu mengemukakan pertanyaan. Danlelaki berdarah dahi termenung sejenak. Menarik nafas dalam-dalam.
Jari jemarinya kembali meramas-ramas pasir hitam. Dari tindak tanduk dan gerak gerinya itu, membayangkan dia puas hati dengan pengakuan yang kami luahkan.
Masa terus berlalu. Nyanyian cengkerek hutan yang tadi agak lemah bertukar menjadi rancak dan gamat sekali. Tidak tahu, siapakah di antara kami akan memulakan buah percakapan yang terhenti.
Wajarkah saya memulakannya? Tidak mungkin saya. Barangkali si pemandu kepada Syed Hamid Al-Hadad boleh memulakannya? Sukar untuk dipastikan. Mudah-mudahan lelaki berdarah dahi boleh jadi penghulu pembuka kata. Semua persoalan itu bergolak dalam rongga dada, tidak terucap oleh mulut.
“begini saja,” si pemandu membuka gelanggang kata.
Sepasang anak mata lelaki berdarah dahi dan saya tertumpu ke wajah pemandu yang mempamirkan senyuman singkat.
“Kalau harapkan kami bertanya, sampai besok pun kami tak akan bertanya,” sambung pemandu dengan tenang dan bersahaja. Lelaki berdarah dahi renung saya,” seulas senyum didermakan.
Dan saya sambut dengan rasa hambar. Menyedari yang saya member reaksi dingin, senyumnya segera dialihkan kepada sipemandu.
MESRA
Balasan senyum dari pemandu disambut oleh lelaki berdqarah dahi dengan bunga kemesraan yang penuh makna, sebagai pembuka jambatan hati yang mengurangkan percikan kemarahan di dada. Dalam suasana yang dihembus angin kedamaian, masing-masing melepaskan nafas kelegaan. Nanyian cengkerik hutan tidak juga berhenti.
“Kenapa kamu cakap macam tu”
Kelopak mata sudut kiri lelaki berdarah dahi Nampak mengecil. Kemudian dahi yang masih terdapat kesan darah kering dikerutkannya. Si pemandu tetap seperti tadi, Masih tenang dan bersahaja.
“Macam mana kami nak bertanya ? Benda yang ditunjukkan itu tak pernah kami tengok selama ini. Baru hari ini kami menengoknya. Apa lagi tentang kegunaannya,” jawap pemandu.
Perasaan saya mula berdebar, menanti tindakan dan reaksi selanjutnya dari lelaki berdarah dahi.
“Hissssss…… kamu,” desis lelaki berdarah dahi.
Saya mengigit bibir. Tetapi, iras kemarahan sudah pun hilang dari permukaan wajah lelaki berdarah dahi.
“Kenapa pulak hiisssss…. Kami memang tak tahu,” dalam rasa takut dan cemas itu, saya beranikan diri menyampuk. Buat beberapa detik berikut, lelaki berdarah dahi termenung sambil menelan air liur. Buah halkumnya yang melekat di batang leher nampak bergerak-gerak lemah.
“Kamu berdua memang jujur.”
Satu pengiktirafan yang tidak pernah diduga dari lelaki berdarah dahi. Kami ternganga seketika kerana terkejut.
Sungguh melucukan bila dia ketawa terkikih. Tidak memadai dengan ketawa, bahu pemandu ditumbuknya berkali-kali. Matanya, tidak berhenti-henti menyorot ke wajah saya. Seolah-olah ada sesuatu yang mahu dicari dari sinar anak mata saya.
“Ok, biar aku terangkan khasiat dan kegunaan barang-barang yang sudah aku tunjukkan kepada kamu berdua tadi,” itu yang terlontar dari mulutnya, sebaik sahaja ketawa luar biasanya berhenti. Serentak kami anggukkan kepala. Seluruh perhatian segera ditumpukan kepada barang-barang yang dikatakan berkhasiat itu.
Tanpa membuang masa dia menceritakan tentang kekuatan ghaib serta khasiat dari dua barang yang menjadi persoalan  utama. Lagaknya tidak ubah meacam penjual dikaki lima.
MEMANGGIL
Katanya tahi bijih atau pasir hitam boleh dimanfaatkan untuk memanggil makhluk halus dengan tujuan untuk menganiaya sesaorang. Boleh membutakan atau mengaburkan penglihatan sesaorang untuk seketika.
“Aku buktikan pada kamu berdua, kamu nak tengok?.” Nada suaranya agak sombong sedikit.
“Boleh juga,” jawab kami serentak.
“Jangan lari dan takut, hadapilah dengan tenang walau apa yang datang,” satu amaran yang membuat saya terrasa seram.
Dengan menggunakan dahan kayu yang panjangnya sekitar satu kaki, dia mengorek lubang sedalam setengah kaki. Kemudian lengan kirinya digigit sehingga berdarah. Bibir dengan giginya penuh dengan darah. Seram juga melihat mukanya. Darah yang keluar segera dijatuhkan kedalam lubang yang dikoreknya.
“Cuma 13 titik, jangan lebih dan jangan kurang, campurkan dengan segenggam tahi bijih timah dan timbus lubang yang dikorek tadi,” jelas lelaki itu sambil membaca mantera yang bercampur aduk dengan ayat-ayat Quraan.
Dia seorang yang memang pantas melakukan sesuatu. Mulut bercakap, tangan dan kaki terus bekerja. Dengan tumit kaki kiri dia meratakan tanah di permukaan lubang. Semua yang dilakukannya, kami perhatikan dengan penuh teliti.
“Sebentar lagi dia tiba,” suara yang bersulam keyakinan.
Saya dan pemandu menganggok. Hati terus digaru kecemasan.
GELAP
Suasana sekitar menghadiahkan cuaca gelap yang agak berat. Pepohon sekitar mula bergoyang diremouh angin yang bertiup agak keras.
Nyanyian cengkerik tetap seperi tadi. Cuma ditambah dengan bunyi jeritan ungka bersahut-sahutan. Sesekali terdengar juga bunyi kuang liar dan kokok ayam hutan. Semuanya bersahut-sahutan dalam irama yang tidak menentu.
“Jangan cemas, aku Cuma membuktikan kepada kamu berdua dengan tahi bijih, orang halus boleh dipanggil,” lelaki berdarah dahi menghiburkan hati kami yang mula tudak tentu arah. Segala-galanya terasa seram dan mencemaskan.
Dalam saat cemas begitu, terdengar suara perempuan menjerit panjang, menangis tersedu dan mengilai.
“Bertenang, masanya sudah hamper.” lelaki berdarah dahi terus bersuara.
“Kami berdua masih tenang,” saya menjawab dan pura-pura lagak berani.
“Sekarang lihatlah, aku bukan bercakap kosong.” Hujung siku kiri dihenaknya tujuh kali berturut-turut berhampiran lubang yang ditimbus bersama darah dan tahi bijih.
Sambil melakukan kerja-kerja tersebut, mulutnya terus mengucapkan mantera memanggil makhluk halus. Memang tidak saya fahami dengan apa yang dicakapkan, kecuali kata-kata: kalimah Adam, berkat kalimah Muhammad. Datanglah.
Dari mencangkung terus duduk bersila, memeluk tubuh. Kata-kata itu terus diucapkan hingga dia kesurupan (dirasuk syaitan). Jatuh terbaring dibumi dengan kaki dan tangan mengeletar. Mulut pula tidak kenal penat mengucapkan mentera. Bila mulut terkunci dari berkata, terdengar bunyi suara orang menggeruh.
Serentak dengan itu, semua pokok di kawasan sekitar bergoyang dengan hebat, samada besar mahu pun kecil.
Reranting reput dan dedaun matang jatuh berguguran. Bumi yang dipijak seperti bergerak. Seekor kerbau jantan hitam sebesar gajah hadir di depan mata kami, hanya untuk beberapa detik cuma.
Bla kerbau jantan sebesar gajah itu menghilang tempatnya segera diambil alih oleh busut jantan yang besar dan tinggi. Rupanya mengerutu semacam. Dan secara perlahan-lahan busut jantan berputar dan bertukar rupa dan bentuk menjadi makhluk yang berukuran luar biasa dengan rupa yang menakutkan. Tinggi dan hitam legam.
“Bagaimana ini?” bisik saya pada pemandu.
“Kita tunggu dan lihat,” jawabnya dengan wajah yang gusar.
Seiring dengan kemunculan makhluk ganjil itu, bergemuruh kedengaran bunyi air terjun. Saya lihat matanya sebiji berada betul-betul ditengah-tengah dahi, memancarkan cahaya hijau kemerah-merahan. Hidungnya macam hidung orang hutan, Bila menarik dan melepaskan nafas, kami terhidu bau busuk, macam bau bangkai kering.
Makhluk ganjil itu terus membongkok. Lelaki berdarah dahi yang terlentang di bumi diangkatnya lalu diletakkan di sebelah kanan pokok asam jawa yang tumbuh liar di situ. Sebaik saja diletakkan di situ, lelaki berdarh dahi terus bangun.
RAKSASA
“UUUHHHHHHHHH..................”
Lembaga raksasa itu menggeruh sambil sepasang tangannya yang menyerupai kaki monyet dihayunkan kekiri dan kekanan.
“Bukan apa-apa mereka mahu tengok rupa dan kehebatan kamu sebagai penunggu kawasan ini,” lelaki berdarah dahi dongakkan mukanya ke arah lembaga yang menakutkan.itu.
Dan makhluk raksasa itu bagaikan faham apa yang dikatakan oleh lelaki tersebut. Buktinya, kelopak mata yang tebal dan berlapis digerakkan ke atas ke bawah.
“Terima kasih penunggu hutan,” suara lelaki berdarah dahi meninggi.
“Hiiisssss..............”
Makhluk raksasa menarik dan melepaskan nafas. Bau busuk dan hapak tersebar. Saya dan pemandu terpaksa menekup lubang hidung dan mulut. Sakit rasa hati, bila lelaki berdarah dahi menjeling ke arah kami bersama senyum sinis.
“Busuk, saya tak bau apa-apa.”
Saya dan pemandu membisu. Tidak ada guna menjawab pertanyaan yang tidak bernilai itu. Biarkan dia begitu, bisik batin saya.
Lelaki berdarah dahi terus mendekati kaki kiri raksasa yang berbulu-bulu hitam lebat itu . Digosok dan dibelainya bulu yang keras tebal macam bulu kabung.
Baliklah, istirehat di tempat kamu. Mereka dah lihat rupa kamu,” sambil bercakap, lelaki berdarah dahi terus menepuk-nepuk kaki makhluk raksasa.
Tiba-tiba secara mengejut terpancut suara yang menakutkan serta memekakkan anak telinga dari mulut makhluk raksasa. Tidak  ubah bunyi “sirin” kereta bomba.
Beburung yang bertenggek di ranting dan monyet yang bergayut di dahan bertempiaran. Cengkerik hutan berhenti menyanyi, keadaan terasa sunyi sepi. Agaknya unggas dan haiwan terkejut dengan bunyi tempikan yang luar biasa itu.
Dan dalam sekelip mata, makhluk raksasa ghaib dari penglihatan kami, lelaki berdarah dahi duduk bersila di bekas tapak kaki makhluk raksasa berdiri.
Dari mulutnya terkeluar ungkapan-ungkapan mentera yang sukar difahami. Tidak jauh dari tempat dia duduk bersila, terdapat kepulan asap yang berwarna hitam keputih-putihan. Ternyata kepulan asap itu tidak menganggu lelaki berdarah dahi yang sedang membaca mentera.
“Lubang.”  
Saya segera merenung ke arah lubang yang dimaksudkan oleh pemandu. Lubang tersebut berukuran sebesar muncung cawan teh, keliling lubang nampak bersih.
“Pelik, macammana lubang itu boleh berada disitu , Tamar?”
“Kalau tak silap aku, di situlah tadi lelaki berdarah dahi, korek lubang tanam tahi bijih dan darah. Satu penjelasan yang memuaskan hati si pemandu. Dalilnya, dia mengagguk kepala berkali-kali.
LUBANG
 Dari bentuk bibir yang bersih dan rata diyakini, lubang itu digali dentan tangan atau dengan benda keras. Jadi, siapa yang menggalinya? Untuk apa lubang itu digali? Mungkinkah makhluk raksasa yang menggali untuk mencari darah lengan lelaki berdarah dahi? Semuanya bermain-main dalam tempurung kepala.
“Tamar.”
Sata menoleh ke arah pemandu. Suara lelaki berdarah dahi membaca mentera yang tidak tentu buah butirnya terus bergema. Hari bertambah gelap. Dan saya merasakan ada sesuatu yang terlepas dari kotak fikiran.
“Kita macam terlupa dengan diri datuk kamu dan Tuan Syed Hamid Al-Hadad, pelik ya Tamar.”
“Iya,” sahut saya.
Sesuatu yang terlepas dari kotak fikiran sudah ditemui jawapannya dari sipemandu. Si pemandu masih lagi merenung ke arah mulut lubang yang ternganga.
Macam ada satu misteri  tersembunyi dipermukaan lubang tersebut. Si pemandu mahu mencari jawapan dari misteri tersebut.
“Darah dan tahi bijih yang ditanam sudah disedut lembaga hitam menerusi ibu kakinya. Lubang kita tengok ini bukan dikorek tetapi disedut . Masa lelaki berdarah dahi mengosok-gosok bulu di kaki lembaga hitam itu tadi, secara tidak langsung dia memberikan darahnya untuk dihisap makhluk itu menerusi bulunya yang melekap ditangan lelaki berdarah dahi.”
IMBALAN
“Kamu bergurau dengan aku?”
“Tidak Tamar, setahu aku setiap makhluk halus yang dipanggil mesti mahu imbalan atau upah darah.Kalau tidajk diupah dia tidak datang. Hal-hal begini, aku tahu juga serba sedikit Tamar.”
“Jadi apa yang mesati kita buat?”
Kita ikut dulu, bila dah teruk baru kita bertindak.”
“Kalau itu yang kamu mahu, aku ikut saja, Asalkan kita jangan rugi,” sebuah jaminan saya berikan pada pemandu. Dia senyum sambil menegakkan ibu jari kanannya.
Lelaki berdarah dahi berhenti membaca mentera. Dia bangun dan mengeliat sambil mendongakkan kepala ke langit. Nafas ditarik dan dilepaskan secara bertahap-tahap dan teratur. Perlahan ;ahan kepalanya dijatuhkan lalu sepasanga anak matanya memanah kea wajah saya dan pemandu.
“Aku sudah buktikan yang aku tidak menipu kamu berdua. Aku bercakap benar dan jujur,’ muka lelaki berdarah dahi kelihatan merah dan berpeluh. Dia tersenyum dengan penuh kepuasan, “ kalau mahu membutakan mata dan mengabur pandangan seseorang ada caranya..................” kata kata itu tidak diteruskan oleh lelaki tersebut.
Dia melihat kesan gigitan di lengan kirinya. Darah kering yang melekat di lengan dijilat-jilatnya berkali-kali. Kemudian telapak tangan kirinya mengosok pergelangan tangan kanan berkali-kali. Kemudian telapak tangan kirinya mengosok pergelang tangan kanan berkali-kali .
“Bulu kaki lembaga hitam mencucuk lubang bulu roma lengan kanannya untuk menyedut darah, macam nyamuk menyedut darah kita. Kesan gatal dan pedih masa terasa, itulah sebabnya dia gosok tangan,” bisik pemandu ke telinga
Berhati-hati saya anggukkan kepala supaya perkara yang dibisikkan oleh pemandu tidak dikesannya.
KELUARGA
“Caranya mudah saja,” lelaki berdarah dahi menyambung kembali percakapannya yang terputus,,  “ taburkan pasir hitam garam dijalan yang menjadi laluan orang yang kita maksudkan sambil sebut namanya dan nama emaknya. Ada jampi dan mentera yang mesti dibaca. Semuanya kena belajar.”
Sambil bercakap, sepasang kakinya tidak berhenti bergerak ke kiri dan ke kanan. Ke depan dan ke belakang, macam ada sesuatu yang dilakukannya. Rahsia dari gerak kakinya dapat dipecahkan. Gerak kakinya, ada maksud dan tujuan, mengumpulkan reranting, dedaun dan rerumput kering untuk menutup lubang sebesar mulut secawan teh yang ternganga.
Pada sangkaannya, apa yang dilakukannya tidak dapat kami lihat.
“Tahi bijih itu banyak gunanya, bagi orang yang tahu. Pada orang yang tak tahu macam kamu berdua, tak ada makna dan ertinya,” lekai berdarah dahi menyelitkan sebuah sindiran yang bisa untuk saya dan pemandu.

No comments:

Post a Comment