Agak lama juga Pak Jabbar termenung. Renungan redupnya melepasi lorong
dan bangunan didepan, bagaikan menyorot sejauh mungkin kisah lampau.
“Saya tak berniat mahu menyusahkan
anda. Kalau berat rasanya tak usahlah disebut kisah Mahruf,” lembut nada suara
datuk meluahkan kata.
“Bukan apa-apa, saya terasa hiba bila
menyebut nama Mahruf, orangnya baik berhati mulia. Saya masih ingat cakapnya,
menuntut ilmu mempertahankan diri adalah sunnah Nabi.”
“Nabi Muhammad s.a.w suka dengan gusti,
memanah dan naik kuda. Bukan sesuatu yang pelik kalau dulu pendekar Tanah Abang
belajar ilmu mempertahankan diri dikawasan masjid,” Pak Jabbar berhenti
bercakap. Dia membetulkan silanya, bertindih betis, macam pahlawan lampau.
“Dia selalu berpesan pada
kawan-kawan...” Pak Jabbar menambah kata tetapi, tidak melanjutkannya.
Jamaluddin dan datuk tersentak dengan tindakannya itu.
“Apa pesannya?” tanya Jamaluddin.
“Jangan menjual dan menunjuk-nunjuk. Tetapi
bersedialah membeli dari orang yang mahu menjual,” sebaik menamatkan ungkapan
itu. Pak Jabbar tentang biji mata Jamaluddin.
“Ada lagi pesannya yang lain?” datang
lagi pertanyaan dari Jamaluddin.
“Ada, apa kamu mahu tahu?” Pak Jabbar
ketawa.
“Mahu,” Jamaluddin bertambah
semangat.
“Apa moyang kamu tidak meniggalkan
pesan pada datuk kamu untuk disampaikan kepada ayah kamu?”
Jamaluddin gelengkan kepala.
“Barangkali pesan itu sampai pada ayah
kamu, tetapi, ayah kamu terlupa untuk menyampaikan kepada kamu, Jamal.”
Mereka pun ketawa serentak.
Sebuah motorsikal Honda bearak
gagah dilorong depan warung. Debu-debu halus kembali berterbangan. Beberapa
orang penduduk yang berjalan dalam debu melambaikan tangan ke arah Pak Jabbar
dan Jamaluddin. Melihat situasi tersebut, sesiapa pun boleh membuat kesimpulan
bahawa Pak Jabbar adalah orang tua yang dihormati dan disegani dikawasan tersebut.
Beberapa ekor burung merpati terbang berlegar-legar lalu hinggap
dibumbung warung seketika. Kemudian terbang lagi dan terus bertenggek didahan
pokok besar dihujung lorong. Jamaluddin dibalut kegelisahan, Pak Jabbar masih
belum mengungkapkan pesan Mahruf padanya.
“Wajarkah aku mengingatkan atau
menunggunya dengan penuh sabar atau melupakan terus.” perasaan Jamaluddin terus
diamuk keresahan. Berkali-kali dia menggigit bibir.
“Pesannya...”
Biji mata Jamaluddin terbeliak.
Seluruh perhatian tertumpu ke arah Pak Jabbar sambil mengharapkan kata-kata
yang baru berhenti diucapkan akan disambung semula.
“Pesannya,” sambung Pak Jabbar, “bersabarlah dengan sebaik mungkin.
Kalau dicaci maki boleh diterima, anggap macam anjing menyalak bukit, tidak
mengigit, buat apa dilayan. Tetapi, kalau tangan sudah naik ke badan, jangan
fikir panjang terus melawan, kalah atau mati jangan dihitung, pokoknya maruah
diri harus dipertahankan,” Pak Jabbar tersengih, Jamaluddin telan air liur.
“Sesuai dengan pepatah Melayu yang berbunyi: buat baik berpada-pada,
buat jahat jangan sekali. Kalau sudah berbuat jahat, buruknya tak terkata,
macam Hang Jebat mengamuk satu kota,” secara spontan saya bersuara.
“Betuk cakap kamu, itulah tradisi adat rumpun Melayu, maruah bangsa,
tali persahabatan dan taat setia tiada ternilai harganya, hanya nyawa dan badan
jadi gantinya,” sahut Pak Jabbar penuh semangat, belakang saya ditepuknya
berkali-kali. Datuk hanya senyum, Jamaluddin ketawa terkikih. Dia merasa lucu
bila belakang saya ditepuk Pak Jabbar.
“Cucu kamu bijak,” Pak Jabbar memuji. Saya tersengih macam kerang busuk.
“Pendekar Betawi mengamalkan rasmi padi, semakin berisi semakin
menunduk, itu kata ayah saya,” Jamaluddin menambahkan lagi rancak suasana.
“Kamu juga harus bersikap macam itu,” Pak Jabbar menudingkan telunjuk ke
arah Jamaluddin.
“Saya cuba,” sebuah ikrar diluahkan oleh Jamaluddin. Buat beberapa
ketika suasana terasa sepi, sayup-sayup terdengar bunyi enjin kenderaan
dikejauhan.
TETAMU
BARU
“Asalammualaikum…”
Semua yang berteduh dibawah bumbung warung menoleh ke arah orang yang
memberi salam. Serentak salamnya dijawab. Memang kedatangan tetamu yang tidak
diundang agak ganjil. Sepatutnya, dia datang dari arah depan warung bukannya
dari tepi sebelah kiri warung.
Mengikut petua orang Malayu dulu-dulu, tetamu yang datang tidak menerusi
pintu hadapan, menandakan kurang ikhlas atau mengamal ilmu yang bertentangan
dengan hukum agama. Begitu juga dengan orang yang melakukan sesuatu dari
sebelah kiri (kecuali kidal) kita
harus berhati-hati, mereka boleh jadi bersikap gunting makan dalam lipatan.
“Silakan duduk,” ramah sekali suara
Pak Jabbar.
Semua yang bermain dalam kepala saya hilang. Mata saya menyorot tubuh
tetamu yang tidak diduga itu.
“Silakan duduk,” ulang Pak Jabbar untuk kali yang kedua.
“Iya, terima kasih,” sahutnya
tersengih.
Sebelum duduk, lelaki yang berusia
hampir sebaya dengan Pak Jabbar hulurkan tangan
bersalam seorang demi seorang dengan kami.
Sambil bersalaman, Pak Jabbar terus
memperkenalkan diri datuk dan saya pada tetamu tersebut. Semasa tetamu itu mahu
berjabat salam dengan Jamaluddin, Pak Jabbar tersenyum.
“Yang ini bukan orang seberang, dia orang Betawi,” kata Pak Jabbar.
“Ohh..., tak rupa macam orang Betawi.”
Tetamu itu terus menepuk bahu
Jamaluddin dan kemudian memeluknya penuh mesra.
“Saya cuma bergurau, awak memang
orang Betawi tulin,” bisik si tetamu ke lubang telinga Jamaluddin. Saya lihat
mereka tersenyum. Selepas selesai dakap mendakap dan berlaga pipi si tetamu
jeling datuk.
“Menginap dimana?” si tetamu menyoal.
“Dijalan Raden Salleh,” balas datuk.
“Dirumah siapa?” si tetamu terus
mencungkil sambil menggigit bibir, “bukan apa-apa, di Jalan Raden Salleh itu
ramai kenalan saya, pendek kata semuanya saya kenal,” tambah si tetamu sambil
menatap wajah datuk dalam-dalam.
“Menginap dirumah Pak Habib, dia jadi
tetamu Pak Habib,” Jamaluddin menjelaskan.
“Ohh...”
Si tetamu bersuara panjang dan
anggukkan kepala. Dari raut mukanya, membayangkan dia bagaikan kenal dengan
orang yang dimaksudkan oleh Jamaluddin.
“Jamaluddin yang bawa mereka jumpa
aku,” Pak Jabbar bersuara, mahu menjelaskan kedudukan sebenar.
“Sebabnya?” si tetamu memintas cakap
Pak Jabbar.
“Mereka mahu kenal dengan pendekar Tanah Abang.”
“Semua jaguhnya sudah tidak ada,” si
tetamu ketawa dia merasakan keinginan datuk itu sesuatu yang mengelikan hati.
Pak Jabbar dan Jamaluddin kurang senang dengan tindak-tanduk si tetamu itu,
mereka bimbang perasaan datuk tersinggung.
“Si pendekar memang tak ada tetapi,
keturunannya masih ada. Keturunan itulah yang dicari sahabat saya ini, mungkin
diantara mereka itu ada pertalian darah dengannya. Bukankah kita ini serumpun
bangsa,” tutur Jamaluddin, datuk mengangguk setuju dengan apa yang diluahkan
oleh Jamaluddin.
“Sebenarnya sebagai orang tua, aku
merasa bangga bila ada orang luar terutama dari Tanah Melayu yang sebangsa,
mahu mengesan jejak pahlawan yang sudah banyak berjasa,” Pak Jabbar menguatkan lagi
hujah Jamaluddin dan secara tidak langsung memberikan sokongan moral pada
datuk.
“Ahhh...” itu yang terkeluar dari
mulut tetamu.
MELANGKAH
Si tetamu yang berkulit cerah segera bangun. Orangnya berbadan tegap.
Bila berjalan banyak miring ke kanan, dilengan kanannya ada parut memanjang
hingga ke pergelangan tangan. Dua tiga kali dia melangkah didepan datuk dan
saya, misai tebal yang lebat menambahkan garang wajahnya. Dia kembali duduk
ditempatnya.
Saya perhatikan ada gerakan tubuhnya yang agak ganjil tetapi, tidak
berapa ketara jika tidak diperhatikan dengan teliti. Dia sentiasa berwaspada
dan agak curiga dengan saya dan datuk. Jamaluddin juga tidak terlepas dari
pengawasannya.
“Orang Inggeris banyak melatih orang-orang Melayu supaya menjadi
pengintip dan pengkhianat pada bangsa sendiri,” tiba-tiba tercetus kata-kata
itu dari mulut tetamu. Datuk bagaikan tidak terjejas dengan kata-kata tersebut,
masih nampak tenang.
“Tak semua orang Melayu macam itu, satu kesilapan kalau menuduh orang
Melayu macam itu,” Jamaluddin membantah. Datuk tidak memberikan sebarang
reaksi. Tetapi, matanya sentiasa awas.
“Kamu Zubir, kalau ada apa yang kamu
tahu, bolehlah diceritakan pada mereka. Zubir, kamu mesti ingat mereka tetamu
dan setiap tetamu mesti dihormati,” Pak Jabar menenangkan keadaan.
“Maafkan saya,” kata tetamu yang
bernama Zubir.
Datuk terus diam, angguk tidak menggeleng juga tidak. Dia masih
bersahaja macam tadi.
“Tak rugi bercerita,” Pak Jabbar bersuara dan Zubir yang berada
disisinya tersenyum. Dengan spontan dia meraba parut dilengan, kemudian angkat
tangan berparut separas dahi dan terus dihalakan kepada datuk.
“Ini parut menangkis tetakan parang penjahat di Tanah
Abang.”
Datuk terkejut dengan tindakan yang diluar dugaan. Datuk renung muka
saya ambil memberi isyarat supaya berjaga-jaga, kalau terjadi sesuatu yang
buruk.
“Nasih baik tak putus dua,” Zubir
berkata, kali ini nada suaranya meninggi. Dia seolah-olah mahu menarik
perhatian datuk yang kelihatan amat dingin.
“Macam mana dengan penyerangnya?” tanya
Jamaluddin.
“Dapat saya tangkap, parangnya saya
rampas. Kemudian saya lepas setelah muka kirinya saya tampar. Menampar musuh
dipipi kiri sambil selawat Nabi, boleh membuat musuh jadi bodoh.”
“Agaknya dia tu orang Betawi, Tanah Abang?” bertalu-talu pertanyaan dari
Jamaluddin, kalau orang yang ditanya mempunyai panas baran, sudah tentu
Jamaluddin disergah. Tetapi, Zubir tidak melakukan demikian.
“Orang luar,” jawab Zubir dengan keras sambil gelengkan kepala.
“Orang Tanah Abang, orang Betawi tak ada yang jadi maling (pencuri), mereka cari rezeki cara halal.
Orang yang buat kacau tu, mesti orang luar. Orang beriman tak buat kerja macam
itu, biar susah macam mana mereka tetap cari rezeki cara halal,” tekan Pak
Jabbar dengan nada suara yang mendatar, tetapi prnuh bersemangat. Zubir
tersengih sambil anggukkan kepala.
Ketika menyedari Pak Jabbar menyokongnya, gerak-geri Zubir nampak
berubah, penuh keyakinan dan tidak sangsi. Ekor matanya tidak lagi mencuri
pandang ke arah datuk dan saya. Saya tidak tahu bagaimana dia boleh berubah
sikap demikian. Mungkin dia merasakan selain dari dirinya, dia ada Pak Jabbar
dan Jamaluddin. Kemudian dia menyedari datuk tidak mempamerkan sikap yang
mencurigakan, lebih banyak mendengar dari bercakap. Mungkin dia membuat
kesimpulan bahawa datuk memang ikhlas. Disamping itu dia merasakan Jamaluddin
sudah lama mengenali datuk. Jadi tidak perlu curiga atau bimbang.
No comments:
Post a Comment