Wednesday, November 9, 2011

SIRI 184 PENGAWAL BERTELINGA KUDA


 
 ANDI KAMAROOL memperlihatkan reaksi yang sungguh berbeza. Dia meluruskan badan, menegakkan kepala. Sepasang matanya bercahaya garang terpanah ke wajah Haji Simpul. Pandangan mereka bertembung, sama-sama tidak mahu mengalah. Hati saya kembali berdebar, bimbang terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Lebih dari lima minit mereka beradu kekuatan, selama itu jugalah jantung saya berdenyut kencang.

Ternyata dalam pertarungan itu, kekalahan berada di pihak Andi Kamarool. Matanya, berair dan meleleh di cerun pipi. Andi Kamarool tidak mampu menandingi kekuatan anak mata Haji Simpul.

Dengan segera Andi Kamarool mengalihkan pandangan ke arah lain. Dia merenung ke lantai. Suasana dalam rumah terasa sepi sekali. Sukar untuk diramalkan, siapakah di antara kami bertiga akan bersuara lebih awal.

"Bagaimana Andi?" Andi Kamarool panggungkan kepala. Dengan sinar mata yang layu dia renung muka Haji Simpul.

"Apa dia tuan haji."

"Boleh kamu beritahu keputusannya sekarang," kata Haji Simpul.

"Maafkan saya, susah nak buat keputusan. Nanti dululah, tuan haji. Bila sampai masanya, saya beritahu tuan haji."

Jawapan Andi Kamarool itu membuat Haji Simpul mengkerutkan dahi dan termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Tiba tiba dia senyum sinis sambil merenung keluar, melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk ditolak angin rembang.

"Nanti dulu tu, bila Andi?" Haji Simpul minta kepastian. Andi Kamarool terus membisu dan resah. Dua tiga kali dia menelan air liur.

"Seminggu, sebulan atau dua bulan?" Tambah Haji Simpul.

"Nanti, saya beritahu kemudian, tuan haji."

"Tapi…… kamu suka pada Mia."

"Iya tuan haji," angguk kepala Andi Kamarool.

"Mia juga sukakan Andi, tuan haji," sampuk saya. Air muka Andi Kamarool berubah. Dia tersipu-sipu.

"Perkara tu, saya tak tahu tuan haji," Andi Kamarool gelengkan kepala tanpa mahu merenung ke arah saya.

"Kalaulah cakap Tamar betul, jangan persiakan hajat Mia," tambah Haji Simpul bersama senyum panjang. Penuh makna dan kiasan. Ternyata senyuman yang terukir di kelopak bibir lelaki tua itu, membuat Andi Kamarool menundukkan wajahnya merenung lantai.

SALAH

BILA melihat Andi Kamarool berada dalam keadaan serba salah, saya tersenyum panjang. Andi Kamarool tahu, senyuman saya itu menyindirnya. Buktinya Andi Kamarool, mencubit paha saya sambil menunjukkan penumbuk. Haji Simpul yang nampak gelagat Andi Kamarool ketawa kecil.

"Mahu bergaduh," katanya.

Kami berdua cuma mampu tersenggih saja.

Setelah hampir dua jam berlabuh di rumah Haji Simpul, banyaklah rahsia tentang rumah batu, tentang ladang peninggalan orang tua Mia, kami ketahui. Apa yang kami perolehi tetap menjadi rahsia, tidak boleh disebarkan kepada orang lain. Itu pesan Haji Simpul yang pasti patuhi. kalau dilanggar, padahnya sedia menanti. Apakah padah yang menanti, tidak pula diberitahu kepada kami.

Saya dan Andi Kamarool segera minta diri untuk pulang. Dengan senang hati Haji Simpul merestui kepulangan kami.

"Silakan, hati-hati dengan orang yang kamu temui. Kalau boleh, rahsiakan kedatangan kamu berdua ke sini jika ada yang bertanya. Kalau tak ada yang bertanya, lagi bagus," dari muka pintu Haji Simpul mengingatkan kami. Apa yang mampu kami lakukan ialah menganggukkan kepala.

Sebaik saja telapak kaki memijak bumi, secara tidak semena-mena hujan panas turun berderai. Kami terpaksa naik ke rumah kembali. Haji Simpul turut merasa hairan dengan peristiwa yang terjadi.

Menurutnya, jarang terjadi hujan panas turun mendadak tanpa sebarang tanda. Dia bergegas turun ke kaki tangga lalu mendonggakkan kepala ke langit.

"Hujan biasa," katanya selamba. Dia naik semula ke rumah. Bersila seperti tadi di ruang tamu yang luas. Kali ini perbualan dan cerita sudah habis diluahkan. Bagi mengatasi kesepian. saya dan Andi Kamarool lebih hanyak bercerita tentang minat diri kami pada Haji Simpul. Orang tua yang baik hati itu sedia mendengarnya. Meskipun cerita yang kami tuturkan tidak layak untuknya dan membosankan.

Haji Simpul mempelawa kami makan tengah hari dan sembahyang zuhur di rumahnya. Permintaannya tidak kami hampakan. Makan nasi dengan sayur lemak pucuk ubi, sambal belacan berulamkan jering muda yang dihidangkan oleh piut Haji Simpul memang menyelerakan.

Kira-kira pukul tiga petang, rumah Haji Simpul kami tinggalkan. Saya dan Andi Kamarool menyusuri jalan tanah merah hingga sampai ke kawasan kedai sederet.

Kerana cuaca tidak begitu panas, angin bertiup berterusan menyebabkan badan kami kurang berpeluh. Kedai runcit paling hujung kami masuki.

Andi Kamarool membeli kira-kira tiga kepul beras, ikan masin, tiga biji telur ayam dan sedikit sayur segar.

"Cukup tak, untuk kita makan malam Tamar."

"Lebih dari cukup, Andi."

Andi Kamarool segera menjelaskan harga barang yang dibeli kepada si penjual bertubuh kecil, berkulit hitam manis dan sentiasa senyum.

"Terima kasih, saya jual, halal," katanya.

"Saya beli, halal," balas Andi Kamarool. Mereka berbalas senyuman dan akhirnya saling bersalaman.

ASING

MUNGKIN kerana kami orang asing,sudah tentu kedatangan kami ke kedai runcit paling hujung itu jadi perhatian para pelanggan kedai sederet.

Semasa mahu keluar dari kedai runcit, secara tidak sengaja bahu kiri saya berlaga dengan bahu seorang lelaki setengah baya yang mahu masuk ke kedai runcit.

"Maafkan saya."

"Tak mengapa, sepatutnya saya yang minta maaf bukannya kamu, saya yang tak merenung orang," kata lelaki yang setengah baya. Kami segera bersalam. Kemudian Andi Kamarool juga turut bersalaman.

"Tetamu Mia?"

Kami segera anggukkan kepala. Hairan, bagaimana lelaki setengah baya itu tahu yang kami jadi tetamu Mia. Saya renung batang tubuh lelaki itu dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas hingga dia resah semacam.

"Adik saya bekerja di ladang Mia, dia jadi mandor parit. Dia yang ceritakan kepada saya tentang kamu berdua."

"Begitu," sahut kami serentak dengan perasaan lega.

Kerana berdiri di laluan orang keluar masuk, kami segera beredar dari situ. Berlabuh di kaki lima kedai runcit. Orang yang lalu di situ, kalau merenung akan menjeling ke arah kami.

"Bagaimana dengan pengalaman di sana?"

Pertanyaan yang menimbulkan rasa cemas dalam hati. Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan. Saya beri laluan pada Andi Kamarool untuk menjawab.

"Macam biasa," jawab Andi Kamarool.

"Tak mengalami perkara-perkara ganjil."

"Maksudnya?" celah saya.

Lelaki itu terdiam, macam berfikir sesuatu.

"Maksudnya," sambung lelaki setengah baya," kata orang kawasan rumah tu ada penunggu, hebat juga bila awak berdua boleh tinggal di situ."

"Hummmmm...kami tak alami semuanya itu," saya membohonginya.

Andi Kamarool tersenggih. Dia mula menyedari yang saya mula jual temberang. Apa yang pasti, kata-kata saya tadi membuat lelaki setengah baya itu termenung panjang. Saya tidak tahu, apakah dia percaya atau tidak. Pokoknya, saya dan Andi Kamarool tidak mahu dia bertanya lebih terperinci tentang kami, tentang rumah batu, tentang Mia.

"Dah jumpa Haji Simpul."

Lagi sekali kami dikejutkan oleh lelaki setengah baya. Kami kini, berada di saat yang sungguh genting. Kalau tidak berhati-hati, semua rahsia akan terbongkar.

"Kami tak kenal dia," sahut saya.

"Tak adakah pekerja Mia yang beritahu tentang kehebatan Haji Simpul."

"Tak ada," Andi Kamarool mula menjawab.

"Pembantu rumah Mia, si Harisun."

Jawapan saya itu membuat lelaki setengah baya menarik nafas dalam- dalam. Dia mengigit bibir sambil merenung orang yang lalu lalang di jalan tanah merah. Kemudian merenung bungkusan yang dibimbit oleh Andi Kamarool. Dari air mukanya, dapat diduga keinginannya untuk mengetahui apa yang ada dalam bungkusan.

"Barang dalam bungkusan tu, untuk makan malam."

"Ha..." lelaki setengah baya tersentak. Dia terkejut kerana tidak menduga yang saya mahu memberitahu barang dalam bungkusan (di tangan Andi Kamarool) kepadanya.

"Nampaknya, awak berdua ni bukan sebarang orang, dada awak berisi," nada suaranya lembut.

"Itu sangkaan saja," balas saya.

Mungkin menyedari yang kami tidak memberi tindak balas yang baik dan berfaedah untuk dirinya, membuat lelaki separuh baya itu tawar hati untuk mengajukan sebarang pertanyaan kepada kami.

"Biar saya masuk kedai dulu, saya nak beli rokok," dia minta diri secara hormat dan spontan.

"Silakan," saya memberi laluan.

"Terima kasih."

Lelaki setengah baya itu pun masuk ke kedai runcit. Dan kami pun beredar dari kaki lima kedai runcit tersebut.

SELATAN

MUNGKIN rencana yang disusun begini, setelah membeli barang di kedai runcit, kami harus meninjau arah selatan kawasan kedai sederet.

Kemudian bergerak lagi menyusuri sebatang parit kecil yang airnya tidak seberapa. perjalanan akan berakhir di satu kawasan lapang, di mana terdapat kira sepuluh buah rumah papan.

Kami harus minta tolong pada para penghuni rumah di kawasan tersebut agar menunjukkan di mana rumah kaum kerabat Kak Sun.

Ternyata, rancangan kedua tidak terlaksana. Baru kira-kira setengah rantai menyusur tepi parit, kami bertembung dengan seekor ular sawa sebesar batang pinang.

Ular sawa itu, seolah-olah menanti kedatangan kami dengan perasaan marah. Si ular membuka mulut dengan luas, bersedia untuk membelit tubuh salah seorang dari kami.

Saya dan Andi Kamarool mencari jalan selamat. Kami berpatah balik dan lari dengan sekuat-kuat hati, meredah onak dan duri. Sebaik saja kami memasuki kawasan ladang Mia, Kak Sun menanti di bawah pohon sena yang berdahan rendang.

"Kamu jumpa Haji Simpul," katanya.

Kami tidak menjawab dan meneruskan perjalanan ke rumah papan. Kak Sun terus mengekori.

"Kenapa tak beritahu aku," tambahnya.

Kami terus membisu. Langkah dipercepatkan. Kak Sun tidak putus asa. Dia terus bertanya.

"Kamu berdua memang tidak tahu menghargai budi baik orang. Menyesal aku berbudi kepada kamu," Kak Sun tidak dapat mengawal perasaan, seperti tadi juga, kami buat tidak kisah dengan apa yang dituturkannya.

Kami berpisah dengan Kak Sun sebaik saja sampai di halaman rumah batu. Tergesa-gesa dia masuk ke rumah batu dan kami meneruskan perjalanan ke rumah papan.

Peristiwa bertemu ular sawa di tepi parit, meninggalkan kesan yang mendalam di hati kami. Pelbagai tanggapan dan andaian muncul dalam kepala saya dan Andi Kamarool.

Kesimpulannya, ternyata Kak Sun mempunyai peranan yang tersembunyi dalam perkara ini. Dia menjadi dalangnya. Dia menjadi orang suruhan penunggu rumah batu.

"Paling baik untuk keselamatan berdua. kita jangan ke mana-mana malam ni," turut saya sambil menatap wajah Andi Kamarool yang gusar. Dia bersandar di dinding.

Kita tak pergi jemaah maghrib dan Isyak dengan orang kampung sebelah?"

"Tak payah, kalau kita pergi entah apa pula yang terjadi."

"Ok, sahut Andi Kamarool. Dia tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

PENDEK

SETELAH menunaikan sembahyang Isyak dan melakukan wirid pendek. Kami terus ke dapur, masak ala kadar untuk makan malam. Kali ini Andi Kamarool memperlihatkan bakat tersembunyi dalam bidang masak memasak.

"Sedap," itu komen yang setelah perut kenyang.

"Itu baru permulaan," sahut Andi Kamarool, saya sambut dengan ketawa yang panjang. Ketawa saya terhenti dengan serta merta.

Andi Kamarool menahan nafas, pinggan dan piring di depan bergerak ke kiri dan ke kanan. Terdengar seperti orang bersilat di ruang tamu. Dinding rumah seperti dipalu dengan kayu. Pada saat itu juga muncul lembaga hitam dengan sepasang tangan dan kaki yang berbulu.

"Pengawal rumah batu," bisik Andi Kamarool.

"Barangkali, segala-galanya akan berakhir di sini, Andi," kata saya cemas.

"Bertenang, Tamar."

Lembaga hitam itu kian berani, wajahnya yang selama ini disembunyikan dari kami dipamerkannya. Bentuk wajahnya agak bulat, bibirnya tebal melentur ke bawah, menutup bahagian dagunya yang tajam macam muncung musang. Telinganya macam telinga kuda. Sepasang biji matanya yang sebesar telur ayam tersembul keluar, memancarkan cahaya merah dan biru silih berganti. Kulit mukanya berbulu, macam bulu kuda. Dalam tempoh lima minit, wajahnya boleh bertukar menjadi harimau, anjing, ular tedung atau orang utan.

Apa yang terjadi membuat saya tergamam, mati akal untuk berikhtiar. Semua ayat-ayat Quran yang saya amalkan selama ini, tidak dapat saya ingati. Saya lupa dan bodoh. Segala-galanya saya serahkan kepada Andi Kamarool untuk mengendalikannya.

"Biar aku uruskan semuanya, Tamar."

"Terpulanglah pada kamu Andi."

Dengan perlahan-lahan Andi Kamarool berdiri, berdepan dengan lembaga yang mengerunkan. Bau nafas si lembaga hitam amat busuk sekali, macam bau bangkai. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah.

"Aku terpaksa menentangnya, Tamar," kata Andi Kamarool setelah dia berdiri di sudut yang baik untuk melakukan serangan. Biji mata lembaga menyorot setiap gerak-geri dan langkah Andi Kamarool dengan teliti. Sepasang tangan yang berbulu digerakkan ke kiri dan ke kanan.

"Aku terpaksa, Tamar."

Selesai saja dia bersuara, Andi Kamarool terus melompat dan membuka silat bangau putih, tubuh lembaga diserang dengan tendangan yang padu, buah penumbuk dilepaskannya ke sasaran yang dikirakan dapat melemahkan si lembaga hitam. Temyata semuanya tidak berbasahi badan.

Andi Kamarool merangkak perlahan-lahan mendekati saya. Lembaga hitam yang berbulu tebal terus menyeringgai memperlihatkan deretan gigi sebesar kapak.

"Aku mesti mencuba dengan pelbagai cara, kau bantu Tamar."

"Bantu dengan apa Andi?"

"Dengan apa saja," kata Andi Kamarool.

Dia terus mengambil air sembahyang. Kemudian duduk bersila di kanan saya. Kerana saya hafaz yassin, saya terus membacanya dalam hati. Andi Kamarool terus berzikir. Lembaga hitam, tidak berganjak di depan kami. Dia semakin garang, pinggan dan piring terus berterbangan dan hancur berderai.

Saya terkejut besar, secara mendadak Andi Kamarool melompat ke arah tangan kanan lembaga hitam yang berbulu. Tangan lembaga itu, dipegangnya sekuat hati dan pada saat itu juga wajah lembaga yang mengerunkan itu bertukar menjadi wajah Kak Sun.

"Muka Kak Sun," jerit saya sekuat hati.

Dengan sekelip mata, lembaga hitam ghaib depan mata kami. Di tangan kanan Andi Kamarool tergenggam seruas buluh kuning yang sudah hampir reput. Manakala di sebelah kiri saya terdapat cebisan kain kafan yang dilekati tanah merah. Saya menggigit lidah menahan rasa cemas yang menggoncang dada.

"Kita berhasil mengusirnya.Tamar" nada suara Andi Kamarool riang.

"Semoga dia tak datang lagi."

"Aku juga harap begitu, kita bersihkan serpihan pinggan. piring dan gelas," Andi Kamarool segera mencampakkan seberkas penyapu lidi kepada saya.

Ruang dapur yang berserakkan dengan serpihan tembikar pinggan, piring dan kaca gelas terus dibersihkan. Dilonggokkan di suatu sudut ruang dapur, sebelum disumbatkan, ke dalam raga sampah. Tetapi bau busuk masih berlegar-legar di ruang dapur. Beberapa helai bulu, seperti bulu nibung terlekat di dinding.

"Aku fikir bulu tu, milik makhluk aneh," kata saya.

"Aku fikir juga macam tu, biarkan di situ. Jangan di usik," jawab Andi Kamarool.

BEREDAR

KERANA semuanya sudah selesai. Kami pun beredar ke ruang tamu. Andi Kamarool terus berzikir. Dan saya juga turut berzikir.

Suara Andi Kamarool yang keras beransur menjadi lemah dan perlahan, akhirnya terus hilang. Bila saya toleh ke arahnya. saya dapati dia sudah rebah di lantai. Dia keletihan, fikir saya.

Bila berseorangan, saya tidak dapat meneruskan wirid dengan baik. Macam-macam yang datang dalam tempurung kepala. Badan saya rebahkan di sisi Andi Kamarool dengan harapan dapat tidur segera.

Setengah jam masa berlalu tetapi, saya masih belum tidur. Masih mengiring ke kanan, mengiring ke kiri, menelentang menatap lelangit rumah. Berpuluh-puluh kali, kelopak mata saya rapatkan tetapi, mata saya masih terbeliak, masih segar tidak ada sedikit pun tanda-tanda mahu mengantuk.

Suasana malam yang sepi membuat saya tidak tentu arah. Rasa takut dan cemas silih berganti datang dalam diri.

Bila terdengar suara lolongan anjing, suara burung hantu, desiran dedaun yang berlaga sama sendiri membuat bulu roma yang tegak berdiri. Rasanya, pada saat itu juga saya mahu mengejutkan Andi Kamarool. Biarlah dia tidur, saya membuat keputusan.

Saya terus duduk mencangkung memeluk sepasang lutut, merenung tiap sudut ruang. Beberapa ekor cicak berlarian di dinding dan ke langit mengejar seranga yang merayap di situ. Apa yang peliknya, saya sentiasa merasa cemas, takut dan seram.

Bagi mengatasi masalah tersebut, saya harus melakukan sesuatu. Dengan berbuat demikian secara langsung rasa seram dan takut akan terusir dari saya.

Tiba-tiba secara tidak sengaja, saya terpandangkan dupa tembaga di tepi tiang. Di kaki tembaga terdapat beberapa ketul kemenyan. Tanpa berfikir panjang, saya terus membakar dan menghidupkan bara api dalam dupa. Ketul kemenyan saya pecah-pecahkan menjadi butir-butir kecil. Bahang bara dari dupa menghangatkan tubuh.

Butir-butir kemenyan saya campakkan ke dalam dupa. Asap nipis mula mengembang bersama bau yang kurang menyenangkan.

Dua tiga kali saya tersedak dan mata terus berair. Bila sudah begitu. saya sepatutnya berhenti mencampakkan butir-butir kemenyan dalam dupa. Tetapi, saya tidak berbuat demikian, sebaliknya saya terasa seronok bermain dengan bara dan asap kemenyan.

Akibat dari keseronokkan tanpa batas itu, seluruh ruang dipenuhi dengan asap kemenyan membuat saya sesak nafas.

Dalam kepulan asap itu, saya terlihat pintu sebelah kanan dan kiri (yang pernah digunakan oleh datuk dan Haji Basilam) bergerak dengan kuat memukul dinding.

Bunyinya memekakkan anak telinga. Rumah bergegar semua barang yang tergantung dan berada di tempat tinggi, jatuh berserakkan di lantai. Batang tubuh Andi Kamarool bergolek ke arah pintu ruang dapur, terkandas di bendul. Anehnya, Andi Kamarool tidak terjaga dari tidur.

Saya cuba berdiri tetapi, tidak berhasil. Saya mula terasa rumah seperti berpusing, macam gasing. Pandangan saya berpinar-pinar. Saya cuba menjerit malangnya suara tidak keluar. Saya benar-benar takut dan cemas. Andi Kamarool masih terbujur macam mayat.

Sunday, November 6, 2011

SIRI 183 MATANYA MULA MERAH


 
Penjelasan dari Haji Simpul itu, secara tidak langsung seolah-olah menyuruh kami berfikir tentang Kak Sun.

Hati kecil saya lantas membuat kesimpulan, Kak Sun memang tidak ikhlas. Dialah, batu penghalang hasrat kami bertemu dengan Haji Simpul.

“Aku kadang-kadang, risau dengan perangai si Harisun. Dia suka, dengan keadaan yang tidak baik itu terjadi kepada diri Mia dan dirinya. Berkali-kali aku terangkan padanya, masaalah Mia boleh diatasi, begitu juga dengan masaalah dirinya. Salah seorang dari mereka, harus mengadu hal pada aku atau minta bantuan aku. Kemudian barulah aku berusaha memecahkan masalah yang mereka hadapi.”

“Agaknya, Kak Sun merasakan perkara itu susah,” tingkah saya.

“Memanglah susah, rohani mereka berdua mesti dibersihkan dengan amalan-amalan yang terpuji. Perkara begini, tidak boleh dibuat dalam sekelip mata. Mesti diamalkan secara berterusan, mesti sanggup menghadapi godaan,” Haji Simpul berhenti bercakap, matanya merenung lantai. Barangkali dia berfikir apakah perkara itu harus dibentangkan kepada kami atau dimatikan begitu saja.

Sesungguhnya, saya memang mengharapkan Haji Simpul menghuraikan secar lebih terperinci tentang Mia dan Kak Sun. Malangnya, saya tidak berani menyatakan hasrat tersebut secara terang-terangan.

Syukur ! Tanpa diminta Haji Simpul menjelaskan secara terperinci, bahawa apa yang terjadi pada diri Mia dan rumah batu lama itu adalah akibat keterlanjuran nenek moyangnya yang bekerjasama dengan makhluk ghaib yang disebut SAKA. Selagi zuriat nenek moyangnya ada dibumi ini, saka itu akan menjaga mereka dan mereka pula mesti membela saka mengikut ketetapan syarat yang dibuat dengan nenek moyang dahulu.

“Bila dipersia-siakan syarat dan janji, macam macam yang datang, seperti yang terjadi pada Mia dan melarat kepada orang gajinya. Kalau dibiarkan para pekerjanya akan turut terlibat. Andi, kamu harus menyelamatkan Mia,” dari cara Haji Simpul bercakap dan renungan mata, ternyata kata-kata yang dihambur adalah untuk Andi kamarool.

“Tuan haji suruh saya.”

“Iya, “ balas Haji Simpul.

“Saya seorang,” tanya Andi Kamarool cemas.

“Aku bantu kamu,” Haji Simpul memberi jaminan.

Jaminan yang diberikan itu, membuat Andi Kamarool menoleh kearah saya dua tiga kali. Walaupun begitu dia nampak tenang. Tidak gugup macam tadi.

Anehnya, saya pula berdebar dan cemas, tidak tentu fasal. Apakah harapan dan permintaan Haji Simpul itu akan memulakan sebah babak baru yang lebih baik untuk saya dan Andi Kamarool. Mungkinkah kami akan terus terpenjara di daerah asing ini dalam jangka waktu yang tidak dapat ditentukan. Semanya berputar ligat dalam tempurung kepala.

“Bagaimana caranya tuan haji?” Apa saya boleh ikut sama?”

Haji Simpul tersenyum. Lagisekali wajah saya jadi tumpuan anak matanya yang hitam tajam. Bila direnung begitu, saya jadi serba salah. Tidak senang rasanya hati.

“Sudah tentu kamu boleh ikut sama, kamu boleh menolongnya dengan ilmu petua yang ada pada kamu, tapi…., dengan serta merta Haji Simpul alihkan renungan ke arah Andi Kamarool.

“Kamu ada kelebihan tersendiri yang tidak ada pada orang lain,” tambah Haji Simpul.

“Maksud tuan haji…,” celah Andi Kamarool.

“Datuk nenek kamu , mengamalkan ilmu dunia yang sealiran dengan ilmu nenek moyang Mia. Mereka berguru dengan orang yang sama. Tetapi, menuntut di tempat yang berlainan. Mereka sama-sama SAKA yang berpenghulukan jin, bapanya harimau. Mereka sudah berjanji untuk memelihara SAKA itu, selagi zuriat mereka ada dimuka bumi.”

“Janji yang mencelakakan keturunan sendiri,” terhambur dari mulut saya.

“Ahh kamu…,” nada suara Haji Simpul meninggi. Dia memperlihat rasa kurang senangnya, dengan membeliak biji mata kepada saya.

“Maafkan saya.”

“Jangan cepat melatah, jangan cepat marah. Berbalik pada diri si Andi ini. Kelebihannya, berjaya mengawal diri dan membuang SAKA datuk neneknya dengan amalan mengikut hukum-hukum Allah. Disamping itu, dia turut dibantu oleh alim ulama,” penuh perasaan Haji Simpul bersuara.

“Tetpi, saya tewas juga tuan haji, terjebak juga dengan kepintaran dan penipuan syaitan,” potong Andi Kamarul. Tiba-tiba dia menangis tersedu.

Tangisan dan sedu sedan Andi Kamarool berakhir, setelah dipujuk oleh Haji Simpul. Satu suasana yang berlaku diluar dugaan, inilah kali pertama saya melihat Andi Kamarool yang keras hati itu menangis.

BERJAYA

“Tetapi. akhirnya kamu berjaya keluar dar sarang kejahatan itu. Kau menggunakan apa yang ada pada kau untuk menyelamatkan Mia, sekali gus menolong, Harisun yang menjadi hamba penunggu rumah batu, tu.”

Saya tak…,”

“Jangan cepat menolak,” pintas Haji Simpul. Andi Kamarool terdiam. Dia membiarkan haji Simpul meneruskan percakapan.

“Jangan cepat menolak sebelum berusaha. Menyelamatkan manusia dari kuasa syaitan satu amal jariah. Membetulkan kepercayaan orang Islam yang sudah terpesong, satu kewajipan yang memang dituntut. Apakah kamu berdua tdak mahu membuat amal jariah semasa hidup?”

“Mahu,” jawap kami serentak.

“Kalau begitu mulakan, jangan berdolak dalik lagi, Andi,” sebuah permintaan yang murni tetapi penuh cabaran.

“Aku sedia membantu,kamu berdua,” Haji Simpul melafazkan janji sambil mengenggam penumbuk.

“Bagaimana kalau tuan haji saja menjalankan kerja itu,” saya kira kata-kata yang diungkapkan oleh Andi Kamarool merupakan satu helah untuk melepaskan diri tugas berat itu.

“Kamu memang bijak, cara hormat kamu mahu menguji kesungguhan dan kejujuran aku Andi. Dalam hal ini, ada syaratnya untuk akumemulakan tugas tu,”

“Apa syaratnya tuan haji.”

“Aku tak boleh jual murah bak kata orang, hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Mia tidak pernah minta tolong, begitu juga dengan Harisun, bagaimana aku mahu memulakan. Kamu suka dengan Mia, Andi>” Haji Simpul tidak berselindung lagi. Andi Kamarool, tidak boleh berdalih lagi di hadapan orang tua yang boleh membaca apa yang terasirat dalam kalbunya.

“Iya tuan haji, saya sukan dia,” pengakuan yang tidakmengejut saya. Memang sudah diduga Andi Kamarool akan berterus-terang.

“Kalau begitu jangan bertangguh lagi,” Haji Simpul membakar semangat Andi Kamarool. Saya lihat muka Andi Kamarool mula merah. Dia merasakan dirinya seperti tercabar.

“Tunjukkan jalan untuk saya tuan haji,”

“Ada dua jalan, kamu boleh pilih mana yang kamu mahu. Apa yang pasti, semuanya mempunyai risiko yang tinggi.”

“Terangkan tuan haji, “ saya mengeluarkan usul.

“Bila aku terangkan, mesti dibuat, jangan berdalih. Paling lewat dalam masa tiga bulan perkara itu mesti berjalan. Kalau tidak dibuat, padahnya kita tanggung bersama.”

“Apa padahnya tuan haji?”

“Syaitan menggoda keimanan kita hingga terpesong.”

“Ohhhhhh…,” serentak kami bersuara.

Haji Simpul memperkemaskan sila, menyandar badan ke dinding. Sepasang tangannya memeluk tubuh dengan kejap sekali. Sepasang matanya merenung ke depan, bagaikan menembusi dinding mengembara jaug ke kawasan yang tidak bertepi. Dia seperti menafikan kehadhiran kami disisinya. Kelopak matanya tidak berkelip.

KEMAS

Cara pertama, Andi menikah dengan Mia. Boleh bersam selama satu bulan tetapi, tidak boleh membuat hubungan badan. Biasanya dalam tempoh seminggu lawan jenis kamu tarsus memberontak dan dia akan memperlihatkan tanda-tanda peninggalan nenek moyang di tubuhnya, kalau saka jin harimau, badanya berbelang dan memperlihatkan ciri- ciri seekor harimau,” Haji Simpul menarik nafas dan sepasang tangan yang memeluk tubuh segera dijatuhkan ke lantai.

Sebaik telapak tangannya bertemu dengan papan lantai, tudung saji, keris panjang dan pedang jepun yang digantungkan di dinding jatuh ke lantai, macam ada sesuatu yang menjatuhkannya.

“Itu amaran kerana aku mahu campur urusan orang lain, aku sudah bersedia. Datanglah,” saya dan Andi Kamarool tercengang-cengang, tidak tahu kepada siapa kata-kata itu ditujukan oleh Haji Simpul.

Kami segera merenung ke halaman rumah, dalam panas terik itu kami seakan-akan melihat kemunculan beberapa ekor binatang aneh dalam keadaan yang samar-samar.

Sekali pandang macam kucing hitam, bila dilihat kalo kedua seperti musang. Bila mahu diamati-amati, binatang it uterus hilang.

“Jangan pedulikan apa yang ada di luar. Aku bercakap kepada kamu tentang perkara yang lebih besar dari apa yang ada di luar, “ Haji Simpul melahirkan protes keras.

“Maafkan saya,” kata Andi Kamarool.

“Begitu juga dengan saya,” saya pula mencelah.

“Masa dia dalam pengalihan itu, kamu juga naik darah kerana kamu memang satu saka dengannya. SEcara perlahan-lahan kamu juga turut mengalami masa peralihanmenjadi harimau. Bila kamu menyedari perkara itu, kamu mesti bersedia,” Haji Simpul telan air liur.

“Apa yang mesti disiapkan?” Tanpa segan sili Andi kamarool bertanya.

“Bacalah surah penghalau syaitan seperti yang diberikan guru agama atau ustaz tempat kamu menuntut ilmu agama. Kamu bertasbih dan kawal perasaaan , hingga peralihan itu terbantut. Bila kamu terbantut, Mia juga terbantut.

“Berapa lama tuan haji?”

“Selama satu bulan, sepanjang masa itu kamu sentiasa diduga dan dicabar. Lepas waktu itu, kamu jadikan rumah batu sebagai surau. Panggil semua pekerja Mia berjemaah disitu pada setiap waktu. Setiap malam Jumaat baca yassin selama empat puluh hari ,” lagi sekali Haji Simpul berhenti bercakap. Dia mengeliat dan meraba pipi kanannya yang kemerah-merahan seperti dicakar sesuatu.

“Aku minta pertolongan Allah berusaha untuk membebaskan anak Adam dari cengkaman kamu,” Haji Simpul menunjukkan kata-kata itu pada sesuatu yang tidak nampak dilihat oleh mata kasar kami.

“Kemudian melakukan perkara yang lebih berat dari itu. Bilik kosong di bahagian dapur rumah hendaklah dibersihkan. Buang semua kain atau sebarang benda yang ada disitu. Jadikan bilik itu tempat kamu membaca Quran setiap malam, jadikan tempat kamu bersembahyang sunat. Akhirnya kubur lama dibawah pokok buluh kamu buang, memang tidak ada rangka manusia di situ.”

“Macam mana dengan penunggu rumah batu tu, tuan haji,” saya pula menyoal.

“Bila rumah batu itu dijadikan tempat ibadat, sentiasa dipenuhi dengan ayat-ayat suci dengansendiri kepercayaan dan keyakinan para pekerja Mia, si Harisun terhadap penunggu itu dapat dileburkan, penunggu itu akan terus lari. Sekarang dah faham?”

“Iya kami faham,” serentak kami menjawap.

Akibat terlalu lama duduk, seluruh sendi terasa lenguh dan sengal. Kami minta izin dari Haji Simpul untuk berjalan-jalan di ruang rumah. Permintaan kami diperkenankan. Kami bergerak bebas sambil sesekali merenung keluar. Akhirnya, kami duduk baersimpuh di depan Haji Simpul kembali.


DUDUK

“Bagaimana ? Dah hilang rasa lenguh, “

“Lenguh dah hilang tapi, rasa sengal-sengal masih ada,” saya jawap sambil tersengih. Andi Kamarool sudah duduk bersila terus sambil memicit-micit pangkal pehanya berkali-kali. Semua gerak-gerinya dalam perhatian Haji Simpul.

“Berat juga syaratnya. Susah kerjanya tuan haji,” kata saya memberi komentar. Saya lihat Haji Simpul tersenyum.

“Didalam dunia ini, mencari kebaikan dan membuat kebajikan bukannya mudah. Mesti keras semangat, tabah dan yakin,” balas Haji Simpul.

Dan Andi Kamarool buat tidak kisah dengan apa yang diungkapkan oleh Haji Simpul. Pada hal kata-kata yang dihamburkan itu memang ditujukan khas untuknya. Dia tetap seperti tadi terus memicit-micit pangkal pehanya.

“ Cara kedua macam mana ?” susul saya lagi.

Haji Simpul gosok pangkal hidung dua tiga kali. Dia merenung ke arah saya sambil mengecilkan (seperti hujung mata kanannya).

“Huh…,” keluhnya sambil membesarkan sepasang mata. Dia merenung ke siling rumah sebelum merenung ke arah saya untuk kesekian kalinya. Sudah tentu perbuatan Haji Simpul itu menimbulkan keresahan pada saya.

“Kau memang tak sabar, kalau kau tak tanya pun, aku tetap terangkan. “

Saya jadi tersipu-sipu dengan kata-kata yang terpancut dari kelopak bibir Haji Simpul. Andi kamarool menghadiahkan senyum sinis sambil pura-pura batuk. Saya menarik nafas dalam-dalam.

Sebelum memulakan penerangancara (syarat) kedua, haji Simpul menggeliat, macam orang baru bangun tidur. Seperti tadi juga, dia terus merenung syiling rumah, macam ada sesuatu yang dilihatnya di situ. Di luar, panas terik terus berkuasa. Tetapi, didada langit kelihatan awan bertompok putih bertukar menjadi tompok-tompok hitam.

“Ada tanda nak hujan,” kata Haji Simpul.

Saya dan Andi Kamarool merenung kedada langit, Tompok-tompok hitam itu, bergerak agak lemah kearah selatan.

“Cuaca elok, panas terik. Awan pula bertompok hitam,” rungut Haji Simpul. Serentak kami anggukkan kepala, mengiakan kata-kata Haji Simpul.

“Mudah-mudahan hujan tak jadi,” jawap saya.

“Aku pun harap hujan pun lambat, boleh jadi pada sebelah petang atau sebelah malam.”

Saya kira, apa yang Haji Simpul ungkapkan adalah berlandaskan pengalaman silamnya. Semua yang dilalui dan dirasainya dikutip dan disimpan dalam khazanah diri. Ia dimanafaatkan bila diperlukan tanpa mengira waktu dan masa. Perkara yang patut dicontohi dari Haji Simpul.

Perlahan-lahan saya menghela nafas panjang dan Andi Kamarool terus merenung dedaun yang bergerak disentuh angina. Buat beberapa detik, suasana dalam rumah terlalu sepi.

“Cara kedua, tuan haji,’ saya memecah kesunyian.

Haji Simpul memperkemaskan silanya. Seluruh perhatian kami tertumpu kearahnya. Tidak terkedip kelopak mata merenung batang hidungnya.

“Cara kedua…,” Haji Simpul tidaj melanjutkan kata-kata. Kami jadi resah. Hamper dua tiga minit masa terbuang begitu saja. Dia bagaikan tidak berminat untuk menyambung kata-kata yang terhenti.

“Huhh…,” saya mengeluh lemah.

“Kamu resah Tamar?”

Saya tidak menjawap. Memang saya sudah duga , Haji Simpul menyambung perkataan yang terputus. “Setelah menikah dengannya, tinggal tempat itu. Tetapi, cara itu merugikan, tanah dan rumah terbiar, sedangkan syaitan penunggu yang mahu dihalau, tidak mahu lari. Dia sudah dapat pendamping baru.”

“Siapa pendamping barunya tuan haji?” mendadak saya bertanya.

“Harisun.”

Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan.

Cerita yang diluahkan oleh Haji Simpul membuat kening dan dahi Andi Kamarool berkerut. Hati saya mola digoncang keresahan. Saya kira jalan penyelesaian suduh tertutup. Rumah batu dan Mia harus dilupakan. Saya kira Andi Kamarool tidak bersedia melakukannya.

“Bagaimana, kalau rumah batu dan tanah dijadikan tempat beribadat dan diwakafkan?” saya bertanya lagi.

Wajah Andi Kamarool dihiasi senyum. Ibu jarinya ditegakkan kea rah saya. Dia bersetuju dan memuji pertanyaan yang saya hamburkan. Sokongan moral yang diberikan membuat saya lebih bersemangat untuk menghujani Haji Simpul dengan pelbagai pertanyaan.

“Boleh Tamar tapi…,”

“Tapi, apa tuan haji?”

“Kena usaha menghalaunya dulu, kalau diwakafkan dengan tidak menghalaunya, memang kerja sia-sia. Nanti tak ada orang yang ahu datang kesitu, rumah terbiar, tanah jadi hutan. Kalau dijual pun, tak ada orang yang mahu membelinya,” terang Haji Simpul.

TINGKAP

Dia segera bangun. Berjalan ke arah tingkap dan berdiri sebentar di situ. Pepohon dan bebunga yang berkembang di halaman ditatapnya seketika. Dada langit yang digayuti awan hitam juga direnungnya. Haji Simpul kembali duduk bersila di hadapan kami.

“Pelik, semua yang didengar dan dilihat. Pelik belaka,” saya merungut sendirian.

“ Diadlam dunia ini, tak ada yang pelik. Kalau Allah mengizinkan, semuanya boleh terjadi,” Haji Simpul mendengar rungutan dan terus memberi komentarnya.

“Kenapa datuk nenek Mia membuat perkara yang menyusahkan cucunya?”

“Sebabnya mudah sekali, masa itu mereka kurang memahami ajaran Islam yang sebenar, mereka lebih yaking dengan pertolongan makhluk ghaib.”

“Salahnya, orang yang tahu tentang ugama tidak mahumenunjukkan jalan yang benar. Biasanya orang yang tahu tentang ugama sombong, terlalu memandang rendah pada orang yang tidak tahu jahil. Semua perkara kurafat dan karut ini, berpunca dari alim ulama juga,” daya tidak bermaksud mahu membahaskanperkara tersebut, semuanya terjadi secara kebetulan.

“Aku setuju pendapat kamu tu, Tamar”

Dengan wajah yang ramah Haji Simpul menerima pandangan saya. Andi Kamarool tetap seperti tadi, membisu semacam. Barangkali dia sedang mencari rumusan yang terbaik untuk dirinya.

Mungkin salah satu syarat yang diungkapkan oleh Haji Simpul mampu dipenuhinya. Saya tahu kasihnya terhadap Mia terus membuang tetapi, melepaskan Mia dari penunggu rumah batu bukanlah satu tugas yang mudah. Terlalu banyak liku yang harus dilalui. Apakah Andi Kamarool bersedia melakukannya. Muka Andi Kamarool yang keresahan saya tatap.

“Bagaimana, kamu bersedia?” Haji Simpul menghalakan pertanyaan kepada Andi Kamarool.

“Saya bersedia tuan haji.”

Jawapan itu mengejutkan saya. Sukar rasa mempercayai yang kata-kata itu terpancut darikelopak bibir Andi Kamarool.

“Kamu pilih yang mana, pertama, kedua dan ketiga’” Haji Simpul minta kepastian. Mulut Andi Kamarool terlopong., sukar untuknya meluahkan sebuah kepastian.

Lagi sekali saya lihat kening Andi Kamarool berkerut dan dahinya berkedut. Andainya, dia minta pendapat saya, sudah tentu saya menyarankan kepadanya begini, segeralah menikah dengan Mia, kemudian berhijra ditempat lain. Sesungguh saya juga akan berbuat demikian, jika berpeluang memiliki Mia.

“Bagaimana? Boleh bagi tahu cara mana yang kamu pilih?”

Saya tersentak, nada suara Haji Simpul cukup keras kali ini.