Saturday, August 31, 2013

SIRI 277 VS JUN 2004: SELAMAT TINGGAL SHAFIE


           Bagi mendamaikan perasaan, Jamaluddin berlegar-legar di halaman rumah. Angin pagi yang bertiup terus menyentuh kulit. Sementara matahari sedikit demi sedikit mula menebarkan sinarannya. Datuk segera membisikkan sesuatu ke telinga ayah Shafie. Dua tiga kali, lelaki berwajah cengkung itu anggukkan kepala.
          “Cakaplah, apa syaratnya,” jerit ayah Shafie. Dia terus menerkam ke arah anak tangga. Dua tiga kali kepala tangga yang berukir kepala ular digoyangnya. Wajah isterinya nampak cemas. Dia tidak menduga gurauan dipagi yang cerah itu menimbulkan kemarahan suaminya.
          “Cakaplah apa syaratnya, takkan biarkan kami terpacak disini, macam rusa masuk kampung,” sambung ayah Shafie, nada suaranya tetap macam tadi, malah bertambah keras lagi.
          “Sabarlah bang,” ibu Shafie memujuk.
          “Huuuuhh…” keluh ayah Shafie.
          Jamaluddin, datuk dan Pak Habib melihat suasana yang berlaku didepan mata mereka.
          “Mudah saja syaratnya.”
          “Mudah ke, senang ke, cakap cepat,” suara ayah Shafie semakin keras, semakin tinggi.
          “Begini, sebelum makan pagi, Shafie mahu baca Quran kemudian baru berdoa.”
          “Haaa.”
          Serentak Pak Habib dan datuk bersuara.
          “Fikirkan syarat apa, kalau itu tidak jadi masalah,” lemah nada suara ayah Shafie. Wajahnya nampak sedikit kesal.
          “Bagaimana bolehkah dibuat?” secara spontan Jamaluddin ajukan pertanyaan pada Pak Habib.
          “Jarang dibuat orang, boleh menimbulkan syak tak baik pada orang lain yang kita melakukan amalan baru. Dibimbangkan menjadi buah mulut orang dan jadi ikutan pula. Bagaimana sahabat?” satu pertanyaan dari Pak Habib untuk datuk.
          “Niatnya untuk membuktikan kepada kita semua yang Shafie sudah baik. Boleh baca Quran, bukan apa-apa. Baca sekadar untuk dapat kita dengar, maksudnya tidak kuat.”
          Penjelasan itu dapat diterima dan tanpa membuang masa, ibu dan ayah Shafie mempersilakan semua yang ada dihalaman naik ke rumah. Semua syarat dan permintaan ibu Shafie dilaksanakan. Ada rasa kagum dalam diri, pembacaan Shafie lancar sekali. Sebutannya jelas. Selesai membaca Quran dan doa, semua yang ada disitu hulurkan tangan meengucapkan syabas dan tahniah untuk Shafie. Kemudian, makan pagi pun bermula.

SEMBAHYANG

          Sementara menanti datuk dan Pak Habib menyelesaikan sembahyang dhuha, saya dan Tajudin terus berborak dengan Shafie dan ibunya. Jamaluddin dan ayah Shafie turun ke halaman rumah. Mereka memperagakan bunga-bunga silat untuk menegangkan urat-urat yang kendur disamping mengundang peluh membasahi tubuh.
          “Sudah kemas pakaian?” tanya ibu Shafie dengan sepasang mata yang layu.
          “Sudah. Saya tak banyak bawa pakaian,” jelas saya tenang. Dan seterusnya tiada lagi pertanyaan diajukan untuk saya. Tetapi, gerak geri saya dan Tajudin tetap berada dalam kotak matanya.
          Suasana hening itu sesekali dipecahkan oleh alunan suara Shafie membaca beberapa ayat dari surah al-Baqarah. Bacaannya begitu menarik sekali dan saya terpesona dengan kelunakan suara dan nafasnya yang panjang.
          Saya tidak tahu kenapa dia berbuat demikian. Mungkin dia mahu membuktikan kepada saya dan Tajudin bahawa dia sudah pulih seperti sedia kala. Bebas dari gangguan makhluk halus.
          “Bagaiman bang?” tanya Shafie sebaik saja berhenti membaca Quran.
          “Bagus, ingatan kamu sudah pulih,” Tajudin memuji. Ada genangan air jernih dikelopak mata ibu Shafie.
          “Kamu sudah baik,” kata saya.
          Secara tiba-tiba Shafie mendekati saya dan Tajudin. Kami dipeluknya silih berganti. Dia menangis tersedu-sedu. Kami berdua terpaksa mengambil masa untuk menenangkan fikirannya.
          “Saya bersyukur kepada Allah kerana telah mempertamukan saya dengan kamu berempat, terutama dua orang tua yang bersama kamu, tanpa ikhtiarnya mungkin saya tak pulih lagi,” tutur Shafie. Bila menyedari perbuatan Shafie tak berapa kami senangi, ibunya segera mengubah topik perbualan.
          “Bila sudah balik ke tempat masing-masing, jangan lupakan saya disini. Kalau ada masa lapang jengguklah kami,” selamba saja ibu Shafie bersuara.
          “Insya Allah, panjang umur kita jumpa lagi,” Tajudin renung biji mata Shafie. Mereka berbalas senyum. Dengan lembut Shafie menepuk bahu Tajudin.
          “Awak dari Medan?” ibu Shafie bertanya.
          Tajudin anggukkan kepala.
          “Siapa yang datang dari Semenanjung?” Shafie renung batang idung saya.
          “Saya.”
          Anak dan ibu anggukkan kepala serentak. Wajah saya jadi tamparan biji mata mereka berdua.
          Ssaat Shafie mahu mengajukan pertanyaan, ayahnya datang ke ruang tamu. Kemudian diikuti oleh Jamaludin.
          “Mahu tanya lagi,” saya ajukan pertanyaan untuk Shafie.
          “Tak ada,” jawabnya pendek.

TERDIAM

          Pak Habib dan datuk datang ke ruang tamu. Setelah menyatakan hasrat pada ayah dan ibu Shafie, mahu berangkat ke Medan, pasangan suami isteri itu terdiam. Keadaan itu berlanjutan hampir beberapa saat. Wajah mereka nampak hiba dan sedih sekali.
          “Ingat pesan yang saya beritahu dulu,” Pak Habib memecahkan suasana sepi. Ayah dan ibu Shafie anggukkan kepala. Kesedihan yang membalut kalbu membuat mereka tidak dapat melahirkan kata-kata.
          “Bila datang ke Jakarta cari saya, ini alamatnya,” Jamaluddin menghulurkan sekeping kertas kecil pada datuk. Tetapi, kertas itu datuk serahkan pada Pak Habib.
          “Saya ikut dia, jadi biar dia simpan alamat itu,” datuk memberikan penjelasan.
          “Oh, tak mengapa saya mahu bawa awak berjumpa pendekar Tanah Abang, bukan apa-apa sekadar untuk bertemu dengan keturunan mereka,” Jamaluddin memberikan sebuah janji.
          “Sebenarnya, saya mahu terus balik, tapi kawan saya nak bawa saya ke sana. Lagipun saya rasa inilah kedatangan saya terakhir ke Sumatera dan Tanah Jawa,” lembut dan teratur datuk bercakap.
          “Kenapa?” sanggah Jamaluddin.
          “Bukan apa-apa, kesihatan saya sejak akhir-akhir ni kurang baik,” lalu kata-kata datuk disambut dengan ketawa oleh Pak Habib dan Jamaluddin. Kemudian mereka mendoakan agar datuk panjang umur. Akhirnya, kira-kira pukul sepuluh pagi, rumah orang tua Shafie kami tinggalkan untuk ke kotaraya Medan.

LAMA

          Saya dan datuk tidak tinggal lama di rumah keluarga Pak Habib. Kami sampai pagi Selasa. Pada tengahari Rabu kami berlepas ke Jakarta dengan pesawat Garuda. Turut serta Tajudin.
          “Di Betawi Tajudin boleh bawa kereta ke mana saja,” Pak Habib memberi penjelasan kenapa Tajudin ikut serta dalam rombongan kecil ke Jakarta.
          “Ini memudahkan kita semua, lagipun dia kenal semua jalan dan tempat,” tambah Pak Habib sambil merenung ke arah saya. Sungguh ganjil dan lucu sekali saya rasakan. Sebabnya, Pak Habib lebih suka menyebut nama Betawi sebagai ganti nama Jakarta. Rupanya Tajudin sependapat dengan saya.
          Kadangkala, saya dan Tajudin tersenyum panjang. Betapa tidak, kami sebut Jakarta, dia sebut Betawi. Bila kami sebut Betawi, Pak Habib sebut Jakarta. Dalam perut Garuda datuk dan Pak Habib banyak bercakap dan berbahas hal-hal yang ada sangkut paut dengan agama. Saya dan Tajudin hanya pasang telinga saja.
          Setelah mendarat di lapangan terbang Kemayoran (lapangan terbang lama) kami disambut oleh pekerja Pak Habib dari etnik Batak. Orangnya berbadan tegap, berkulit agak gelap tetapi peramah.
          “Ke rumah mana Pak?”
          Pak Habib kerutkan dahi sambil merenung ke arah anak saudaranya, Tajudin.
          “Kemana Din? Rumah baru atau rumah lama?”
          Tajudin yang tidak menduga Pak Habib akan bertanya padanya, nampak termanggu-manggu menggosok-gosok pangkal hidung dengan jari kelingking. Kemudian dia menarik nafas lega.
          “Saya fikir di rumah lama di Jalan Raden Salleh,” kata Tajudin.
          “Iya,” angguk Pak Habib.
          “Kesana Pak?” pekerjanya minta kepastian.
          “Iya, bawa kami ke sana,” lembut nada suara Pak Habib.
          Kami segera masuk ke perut kereta. Beberapa saat kemudian, kereta yang dinaiki menghala ke kawasan Jakarta Pusat. Akhirnya berhenti didepan rumah batu lama yang besar. Halamannya cukup luas. Reka bentuknya macam bangunan di negara Belanda.
          “Kamu balik ke pejabat, petang nanti kamu suruh Warto hantar kereta, kamu ikut sama bawa kereta ini, bila pulang nanti Wartono naik kereta ini dan hantar dia kerumahnya,” Pak Habib memberi arahan.

TETAMU

          Pagi Sabtu, kira-kira pukul sepuluh, Jamaluddin mengunjungi kami. Pak  Habib menyambutnya di muka pintu dengan bersalaman dan berpelukan, berlaga pipi. Macam orang Timur Tengah bertemu kawan. Perbuatan yang sama juga dilakukan oleh datuk. Dan orang yang paling ceria atas kedatangan pemuda Betawi ialah datuk.
          “Janji datang semalam, tetapi ada hal terpaksa ditunda ke pagi ini,” itu yang Jamaluddin ucapkan sebaik saja daging punggungnya bertemu kerusi panjang bertilam empuk.
          “Apa halnya?” susul Pak Habib.
          “Urusan keluarga.”
          “Kita masuk bilik sebelah, boleh bercakap panjang.”
          Pak Habib memepersilakan kami masuk ke bilik sebelah yang lebih luas dan selesa. Semua alat perabut didalamnya dibuat dari kayu jati jenis mahal. Sepasang kipas angin yang berputar memberikan rasa nyaman.
          Menurut Tajudin orang tertentu dan agak istimewa dari pandangan Pak Habib saja yang dibawa masuk ke dalam bilik tersebut. Barangkali, Jamaluddin, datuk dan saya tergolong dalam orang istimewa, fikir saya dalam hati.
          “Bagaimana, ada rancangan nak kemana-mana hari ini?” Jamaluddin bertanya pada datuk.
          “Setakat ini belum ada,” pendek balas datuk.
          “Awak ada rancangan nak bawa kawan kita ni ke mana-mana?” Jamaluddin arahkan sepasang anak mata kepada Pak Habib.
          “Saya bercadang nak membawa dia ke Kampung Melayu. Saya nak perkenalkan dia dengan beberapa orang pejuang dari Semenanjung melawan Belanda untuk kemerdekaan negara kita,” Pak Habib bertutur tenang dan berhati-hati sekali. Wajahnya membayangkan rasa kecewa.
          “Sayang setelah berjaya membebaskan rakyat negara jiran tetangga dari penjajah, mereka tak dapat kembali ke Semenanjung. Inggeris tuduh mereka sebagai pengkhianat kepada kerajaan Inggeris. Mereka terpaksa menetap disini dan melancarkan penentangan lawan penjajah Inggeris dari jauh,” sambung Pak Habib.


        

No comments:

Post a Comment