Friday, August 30, 2013

SIRI 260 (VS JANUARI 2003) : DISERANG PENGIKUT SETIA




Kami dikejutkan dengan bunyi deru angin yang datang dari arah belakang surau.  Rempuhan angin membuat kami (saya, Tajuddin datuk dan Pak Habib) hampir terjatuh.  Sentuhan angin yang kencang itu tidak dirasai oleh pasangan suami isteri, kerana mereka tidak berdiri.
Sejadah yang menutup sebahagian dari tubuh pengikut Shafie yang terbaring (di kiri dan kanannya) diterbangkan oleh angin hingga tersangkut di ranting pokok rambutan.
Sungguh aneh, sejadah yang menutup muka Shafie tidak berubah.
Bila angin kencang berhenti, orang di kiri kanan Shafie berubah tempat, berada di muka pintu surau, duduk di situ sambil merenung sejadah yang tersangkut di dahan rambutan.  Tiada seorang pun sedar bagaimana mereka berdua boleh berada di pintu surau.
“Lihat Shafie.” Kata Tajuddin.
Semua biji mata tertumpu ke arah Shafie.  Sejadah yang menutup mukanya bergerak sendiri lalu terletak atas tanah.  Macam ada tangan tersembunyi yang melakukannya.  Dada Shafie nampak berombak, menandakan dia sudah mula bernafas.  Perkara ini tidak berlanjutan lama.  Dada Shafie tidak bergerak kembali.  Nafasnya terhenti dengan serta merta.
Pada saat itu terlihat seperti ada pantulan cahaya atau bebayang nipis berkaca keluar dari tubuh Shafie.  Dedaun kering yang ada dekatnya bergerak-gerak macam dipijak sesuatu, ada kesan telapak kaki yang cukup besar dengan bentuknya menyerupai kaki manusia, mempunyai tiga jari.  Kesan telapak kaki itu hanya dapat dilihat dalam waktu yang amat singkat sekali.  Kemudian hilang tanpa meninggalkan sebarang kesan.  Cuma yeng kedengaran bunyi orang memijak reranting kering hingga patah.
Terdengar bunyi daun tinggkap dan pintu surau dihempas dengan kuat.  Sekeping daun tingkap terkopak.  Dua pengikut Shafie di muka pintu surau, tidak terusik dengan kejadian yang berlaku.
“Sekejap lagi semuanya selesai,” ujar datuk dengan penuh keyakinan sambil merenung muka Pak Habib.  Pandangan itu beralih pula kepada pasangan suami isteri yang masih tidak berganjak dari menatap Shafie.
“Kerja-kerja begini, mesti banyak sabar,” secara spontan Pak Habib bersuara.  Datuk angguk kepala sambil tersenyum.
“Aahhhhhhh..........”
Dengan mengejut saya menoleh ke arah pasangan suami isteri.  Tubuh Shafie mual bergerak-gerak.  Batuknya tidak kedengaran lagi.  Digantikan dengan suara mengerang, bagaikan orang yang sedang menanggung rasa sakit yang amat sangat.
MEMICIT
Jari jemari pasangan suami isteri itu terus berlari memicit tubuh Shafie.  Sesungguhnya, saya amat terharu dengan apa yang ditunjukkan oleh pasangan suami isteri itu terhadap anak tunggal mereka.  Saya kira Tajuddin juga mengalami perasaan yang sama seperti saya.
Kerana jemu melihat pandangan yang sama, sepasang mata saya alihkan ke angkasa.  Awan kelihatan bersih, beberapa ekor burung terbang bebas diangkasaraya.
“Ada tanda-tanda yang baik, nampaknya,” kata datuk pada Pak Habib.
Reaksi dari Pak Habib macam selalu juga, dia mengangguk dan diakhiri dengan puji-pujian pada Allah yang maha besar.  Datuk menerima reaksi itu sebagai sesuatu yang membanggakan.
“Ahhhh......” Shafie mengerang.
Kemudian Shafie cuba sedaya upaya mengalihkan kedudukan badannya ke kanan.  Usaha itu gagal.  Di kembali terlentang menadah langit.  Kaki kanannya bergerak-gerak.  Dua tiga kali cuba membuka kelopak matanya.  Beberapa helai bulu keningnya gugur sendiri.
“Dia anak kita, biar apa yang terjadi kita tunggu dia di sini.  Saya sanggup mati kering dari meninggalkannya,” si suami memberikan sebuah ikrar pada isterinya.
“Sama-samalah kita bang.” Jawab si isteri.
NAFAS
Mendengar ikrar pasangan suami iseri itu, saya menarik nafas panjang sambil merenung ke arah Tajuddin.  Secara mendadak saja Tajuddin mengeleng-gelengkan kepala.  Dari gerak-gerinya itu, saya membuat kesimpulan yang Tajuddin juga turut mendengar apa yang dikatakan oleh pasangan suami isteri tersebut.
Si isteri merapatkan mulutnya ke telinga Shafie.
“Shafie, ni emak.” Katanya.
Shafie tidak memberikan sebarang tindak balas.  Manakala si suami terus memicit seluruh tubuh Shafie.  Mulutnya nampak bergerak-gerak macam ada sesuatu yang dikatakannya.  Malangnya suara si suami tidak dapat didengar.
“Shafie, buka mata tengok emak,” rayu si isteri.
Macam tadi juga, Shafie tidak memberikan sebarag reaksi.  Terus terbujur kaku, sekali-sekala mengerang seperti kesakitan.  Si suami tidak berhenti dari memicit anak kesayangannya.
Dua orang pengikut setia Shafie, masih lagi berada di pintu surau.  Masih merenung sejadah yang tersangkut dan terbuai-buai di dahan rambutan di main angin.
“Saya berganjak,” pendek suara datuk.
Dia berubah tempat, menjarakkan dirinya dengan Pak Habib.  Berdiri di kawasan tanah yang bergonggol tidak ditumbuhi sehelai rumput pun, kedudukkannya berada di tengah-tengah antara surau dan kami.
“Apa dia nak buat di situ?” Tanya saya pada Tajuddin.
“Entah,” balas Tajuddin pendek.
“Semuanya kerja pelik dan gila,” lanjut saya.
“Ehhheeemmm.”
Pak Habib beri isyarat, menyuruh saya diam.  Apa yang boleh saya lakukan ialah menarik nafas dalam-dalam sebagai tanda kecewa.  Sepasang mata kembali menyorot ke arah sepasang suami isteri.
Saya lihat si isteri sedang menggosok-gosok kepala Shafie.  Sesekali menyapu mukanya dengan telapak tangan.  Manakala si suami terus memicit-micit bahagian sendi leher Shafie.  Dari situ bergerak hinggake telapak kaki.
Dalam suasana yang serba mencengkam itu.  Tiba-tiba si isteri menangis tersedu seketika.  Rupa-rupanya Shafie mula menyebut nama emaknya berkali-kali dan terus duduk.  Shafie dan ibunya berpelukan.  Sementara ayahnya tertunduk pilu.
Pak Habib mula mendekati mereka.  Tetapi, melarang saya dan Tajuddin mengikutnya.
Tindakan Pak Habib itu memang tidak disenangi oleh pasangan suami isteri tersebut.  Mungkin mereka beranggapan perbuatan itu mencampuri urusan keluarga mereka yang mula mahu berputik segar.
“Bersedia...........”
Suara jeritan datuk yang lantang membuat kami semua merenung ke arahnya.  Dua orang pengikut setia Shafie yang duduk di muka pintu surau bertindak pantas.
Tiada siapa yang sedar dan melihat, bagaimana mereka menjatuhkan datuk di kawasan tanah yang berbonggol.
Datuk tertiarap di situ.  Secepat kilat pula kedua-dua lelaki itu berlari ke arah kami dengan sepotong kayu di tangan masing-masing.  Saat mereka menerkam, terhambur kata-kata yang sukar difahami.  Apa yang pasti, awajah mereka penuh dengan api kemarahan.
“Tamar, Tajuddin lindungi Shafie dan orang tuanya,” Pak Habib mengeluarkan arahan.
Merasakan kurang senang dengan arahan tersebut, bahu Tajuddin saya singgung dengan maksud supaya dia bertanya.  Tajuddin gelengkan kepala.
“Kenapa, ada Pak Habib?” Saya memberanikan diri.
“Ikut saja kata saya.”
Sebaik saja Pak Habib berkata begitu, dia terus menuju ke arah dua lelaki yang meluru ke arahnya.  Dengan tenang Pak Habib mendepangkan kedua belah tangannya untuk menghalang dua lelaki itu menghampiri Shafie dan orang tuanya.  Perbuatan Pak Habib tidak menakutkan kedua-dua lelaki berkenaan.
Dengan wajah marah, penuh rasa geram beserta dengan sepotong kayu di tangan masing-masing.  Mereka terus menerpa ke arah Pak Habib sambil mencuba menghayunkan kayu ke tubuh Pak Habib.  Andainya, mereka menghayun kayu serentak dan tepat pada sasarannya, sudah pasti Pak Habib yang berdarah campuran Arab-Melayu lembik.  Terkulai dengan tulang-temulangnya patah remuk.
“Allah hu akbar......”
Suara tempikkan Pak Habib menguasai suasana sekitar.  Serentak dengan tempikkan itu, Pak Habib hentakkan sepasang tumit kakinya ke bumi.  Dua lelaki pengikut setia Shafie terhenti dan jatuh terlentang, bagaikan ada tenaga ghaib yang menolak mereka dari depan.  Kayu ditangan mereka terpelanting jatuh.
BANGUN
Sebelum kedua-duanya sempat bangun, Pak Habib menerkam mereka.  Datuk yang berada di kawasan tanah bonggol segera menerpa dari arah belakang.  Dalam keadaan yang kelam kabut itu, semua pergerakan berlaku dengan pantas sekali.  Tetapi, saya dapat melihat antara Pak Habib dengan datuk, ternyata datuk bertindak cukup agresif sekali.  Dia melepaskan hentakkan siku kiri ke pangkal bahu kanan kedua-dua lelaki itu.
Kemudian Pak Habib dan datuk segera mengkilas tangan kedua-dua lelaki tersebut ke belakang.  Mereka tidak melawan langsung.  Dengan ibu jari kiri datuk tekan pangkal leher lelaki dalam tangannya.  Lepas itu lelaki di tangan Pak Habib pula dikerjakannya.
“Lepaskan mereka.”
“Tak merbahaya pada kita?” Pak Habib ragu-ragu.
“InsyaAllah tak apa-apa.” Jawab Datuk.
Kedua-dua lelaki itu dilepaskan, mereka kelihatan amat lemah sekali.  Wajah yang tadi geram, bertukar menjadi wajah orang bodoh dan dungu.  Sungguh melucukan, meskipun mereka dibebaskan, kedua-dua lelaki itu tidak mahu pergi ke mana-mana.  Mereka asyik berlegar-legar di sekeliling datuk dan Pak Habib saja.
“Kenapa mereka jadi macam ini?” Pak Habib bertanya.
“Dengan izin Allah, saya berjaya menguncikan pergerakan tubuh dan akal fikiran mereka.”
“Ini merbahaya, kenapa tidak dihalau saja merek dari sini.”
“Sabar dulu, banyak rahsia yang boleh kita korek dari mereka,” jelas datuk.
“Apa yang mesti kita buat seterusnya,” ghairah sekali Pak Habib bertanya.
“Kita kena bertindak pantas, sebelum hati dan perasaan mereka dikuasai iblis semula.”
“Cakaplah, apa yang disuruh, saya buat,” Pak Habib nampak tak sabar.  Dia mahu menamatkan suasana yang dihadapinya dengan segera.  Sedangkan datuk, berpendapat biar lambat asalkan akar umbi dari kejadian ini dapat dicantas terus.  Supaya tidak menggangu gugat orang lain di masa mendatang.
“Cakaplah, apa yang mesti saya buat seterusnya,” Pak Habib terus mendesak.
“Sebelum kita uruskan mereka berdua, kita pulihkan Shafie terlebih dahulu. Biar dia kembali ke alam nyata.  Shabat hafal surrah yassin, kita baca bersama dalam hati, semasa kita membetulkan pergerakkan darahnya.”
“Caranya, saya tak tahu,”
Mendengar kata-kata itu datuk senyum.  Muka Pak Habib direnungkan seketika.  Kemudian mereka berbalas senyum.
“Baiklah, saya menurut saja,” kata Pak Habib.
“Kalau begitu, ikut apa saya buat,” datuk renung biji mata Pak Habib.

No comments:

Post a Comment