Saturday, August 31, 2013

SIRI 284 (VS JAN 2005): SELAMAT JALAN KAWAN



          “Kamu salah orang, dia baru datang dari Medan bersama aku,” ulang datuk cuba menenangkan perasaan si pemandu lori.

          “Ah…” si pemandu mendengus marah.

          Dia tidak dapat mengawal perasaannya bila ada orang lain mahu campur tangan dalam urusannya. Dia alihkan muncung pistol dari kepala Jamaluddin ke dada datuk.

          “Kamu jangan campur, kamu diam,” jeritnya.

          “Sabar,” pujuk datuk.

          “Kamu diammm…” sergahnya lantang. Muka datuk diludahnya sambil muncung pistol dihalakan ke kepala Jamaluddin semula.

          Beberapa orang yang baru datang ke situ dan menerima penjelasan dari kawan-kawan si pemandu segera menyalahkan Jamaluddin kerana cuba memasukkan pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

          “Bertenang dulu, biar saya jelaskan semuanya,” datuk bagaikan merayu. Ternyata usaha datuk sia-sia. Rasa marah terus membara dalam dada si pemandu. Dengan siku kiri, bahu datuk disingungnya. Tetapi, datuk masih berlembut juga.

          “Eh, kamu siapa?” untuk kesekian kalinya si pemandu menyergah datuk.

          “Saya kawannya, dia bukan orang sebarangan. Tak baik buat kawan saya begitu. Menjatuhkan maruah orang ditengah khalayak ramai dilarang oleh agama,” datuk masih berlembut.

          “Ehh syaitan tuaaaaa, puhhh…”

          Buat kesekian kalinya bersemburan air liur pemandu lori singgah diwajah datuk. Dia sudah tidak mampu mengawal perasaan. Kemarahannya sudah meluap-luap.

          Seperti tadi juga, datuk dengan tenang mengesat air liur si pemandu diwajahnya. Datuk masih mampu tersenyum. Masih mahu memujuk si pemandu yang sudah diresapi hantu syaitan. Dalam keadaan yang tegang itu, dua orang pemuda menarik datuk ke satu sudut.

          “Jangan campur.”

          Itulah yang dibisikkan oleh kedua-dua lelaki ke cuping telinga datuk. Buat seketika datuk termanggu. Kemudian dia gelengkan kepala sambil menolak bahu kedua-dua lelaki yang berada disebelah kanan dan kirinya. Kedua-dua lelaki itu bertindak balas. Pemuda sebelah kanan menekan bahu kanan datuk dengan siku. Manakala yang sebelah kiri memegang tangan kiri datuk lalu dipulas ke belakang.

          “Eh kenapa ni,” kata datuk lembut.

          Tiada jawapan yang diterima. Tetapi, pemuda sebelah kanan mula main kasar. Dia menghentak kepala lututnya ke pangkal paha datuk. Akibatnya datuk terasa sakit dan kebas.

          “Lepaskan saya,” pinta datuk.

          “Jangan lepaskan,” pemuda sebelah kiri keluarkan arahan.

          “Kenapa buat saya begini,” datuk minta kepastian.

          “Kamu Melayu Semenanjung?” pemuda sebelah kanan menyoal.

          “Iya,” sahut datuk tegas.

          “Kalau begitu jangan tunjuk jaguh di Jakarta. Jangan campur dalam urusan orang disini,” pemuda sebelah kanan memberikan amaran tanpa tulis.


TOLAK


          Kedua-dua anak muda itu menolak datuk serentak ke arah longkang kotor. Kerana datuk sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, tolakkan itu tidak mendatangkan kesan. Datuk tidak bergerak walau seinci pun dari tempatnya berdiri. Sepasang kakinya seolah-olah melekat dibumi.

          “Ah… tak bergerak.”

          Serentak kedengaran suara kedua-dua anak muda separuh menjerit. Mereka merasakan ada tangan ghaib yang merentap (menarik) mereka dari belakang hingga kedua-duanya jatuh terkapar dibumi, tidak mampu bangun. Saat kedua-dua anak muda berusaha untuk berdiri, datuk segera meninggalkan mereka.

          Datuk bergegas menuju ke tempat Jamaluddin yang sedang diugut oleh pemandu lori. Keadaan tidak banyak berubah dari tadi. Si pemandu masih menghalakan muncung pistolnya ke kepala Jamaluddin. Mulutnya bertambah celupar mengutuk dan memaki hamun Jamaluddin.

          Dan orang ramai yang mengerumuni (Jamaluddin dan pemandu) masih tidak berganjak dari tempat masing-masing. Mereka mahu melihat bagaimana drama yang mendebarkan itu berakhir. Mereka mahu melihat siapa yang handal diantara mereka. Orang ramai mahu melihat siapa yang berdiri tegak dan siapa pula yang terbujur kaku menjadi mayat.

          Secara tiba-tiba saja si pemandu melepaskan tembakan ke udara. Sebahagian daripada penonton bertempiaran lintang pukang. Sebahagiannya tidak bergerak. Pemandu lori masih memcekak leher baju jamaluddin.

          “Eh kamu salah orang.”

          Semua biji mata tertumpu ke arah datuk yang melangkah dalam keadaan tempang. Pahanya masih terasa sakit akibat dihentak oleh pemuda dengan kepala lutut. Kerana perjalanan agak terganggu, datuk bertindak agak kasar. Orang ramai yang berada dikiri kanan laluannya ditolak.

          
PROTES


          Memang ada yang memprotes cara datuk bertindak. Tetapi, mereka tidak berani bersuara.

          “Tolong ke tepi, saya nak jumpa mereka,” datuk minta laluan.

          “Kaki kacau,” terdengar suara sumbang dari arah belakang. Datuk mempersetankan semuanya itu. Datuk terus melangkah dalam keadaan kelam-kabut dan tolak menolak itu datuk berhasil juga menghampiri Jamaluddin dan pemandu.

          “Jangan pengapakan sahabat saya,” datuk merayu.

          “Ini bukan urusan awak,” sergah pemandu lori lebih tegas dan lebih berani dari tadi. Malah dia mencebekkan bibirnya ke arah datuk.

          “Tapi, dia sahabat saya,” jawab datuk.

          “Kamu mempertahankan perbuatannya yang salah?”

          “Tidak, saya mahu menerangkan keadaan sebenar.”

          “Tak perlu, apa kamu mahu aku tembak kepala kamu,” si pemandu mula alihkan muncung pistol ke arah datuk. Gementar juga perasaan si pemandu bila melihat datuk tidak memperlihatkan rasa cemas atau takut. Malah kelihatan tenang dan bersahaja.

          “Awak pergi jauh kalau sayangkan nyawa. Kalau tak bergerak saya tembak awak sampai awak mati,” kata si pemandu sambil melepaskan tembakan ke udara. Datuk tidak juga menjauhkan diri darinya.

          “Awak tak takut mati?” tanya pemandu lori.

          “Orang pengecut dan tak beriman saja yang takutkan mati. Awak tahu, mati itu perkara biasa. Semua orang mati. Awak juga mesti mati.”

          “Eh, pelik, ada orang tak takut mati,” keluh si pemandu.

          “Saya mahu cari penyelesaian dan mahu menerangkan kedudukan sebenarnya. Dia memang tak tahu hal ini. Ada orang mahu mengkhianati dirinya, saya kenal dia.”

          “Huhhhh,” si pemandu menarik nafas panjang. Pistol segera dimasukkan ke dalam kotak khas seterusnya disembunyikan dalam baju labuh yang dipakainya.


SURAI


          Orang yang berkumpul segera bersurai, mereka mengira semuanya sudah berakhir. Jamaluddin menarik nafas lega dan cuba menerangkan sesuatu pada si pemandu lori.

          Belum pun sempat dia membuka mulut. Pemandu lori terus menampar muka Jamaluddin. Dan Jamaluddin yang merasakan dirinya dicabar untuk sekian kali, mahu bertindak balas. Datuk segera memberi isyarat pada Jamaluddin supaya jangan bertindak.

          Jamaluddin segera mematuhi arahan tersebut, walaupun hatinya panas membara. Dia tahu, datuk berbuat demikian mempunyai tujuan tertentu. Mungkin datuk mengambil sikap mengalah dulu sebelum bertindak.

          “Aku yakin kamu salah orang,” perlahan-lahan datuk bersuara sambil menatap biji mata si pemandu lori.

          “Ah…” si pemandu lori mengeluh sambil menggosok-gosok pangkal hidungnya dengan hujung jari kelingking, “mana budak dua orang tadi, mereka beritahu aku yang kamu melaporkan perbuatan aku pada polis,” sambung pemandu lori.

          “Kamu dipermainkan oleh kawan-kawan kamu sendiri,” kata Jamaluddin.

          “Ah kamu diam.”

          Jerit pemandu lori pada Jamaluddin sambil mengangkat tangan kanannya setinggi mungkin.

          Belum pun sempat telapak tangan itu singgah dimuka Jamaluddin, pergelangan tangan si pemandu lori segera disambar oleh datuk dan terus dikilas ke belakang dan ditolak ke depan. Si pemandu lori jatuh tersungkur dibumi. Jamaluddin segera menerkam kerahnya dan mengambil pistol yang disembunyikan.

          Secara mendadak dua pemuda yang mahu menjatuhkan datuk ke dalam longkang segera datang. Mereka menerkam ke arah Jamaluddin.

          “Kamu berdua yang menfitnah aku? Kenapa ini kamu lakukan pada aku Kudus, kenapa kamu buat aku begini Kamsah,” kata Jamaluddin pada kedua-dua pemuda.


BERTARUNG


          “Kita bertarung dulu, kemudian baru kita jelaskan,” serentak mereka menjawab. Tanpa membuang masa mereka terus membuka langkah silat menyerang Jamaluddin. Datuk memberikan ruang untuk Jamaluddin bertarung dengan orang yang dikenalinya. Orang pertama yang datang menyerang tewas ditangan Jamaluddin.

          Melihat kawannya jatuh tidak bergerak, orang kedua tidak jadi melakukan serangan pada Jamaluddin. Dia segera minta maaf pada Jamaluddin dan menerangkan memang mereka berdua memberitahu pada pemandu lori yang Jamaluddin memberikan laporan pada polis atas kegiatan mengedar dadah secara kecil-lecilan dikawasan tersebut. Mereka berbuat demikian kerana Jamaluddin selalu menasihatkan supaya jangan menjadi ’barua’ pada pemandu lori tolong jualkan dadah.

          Sebaik saja penjelasan diberikan oleh kedua-dua pemuda, sebuah peronda polis sampai ke tempat kejadian. Rupa-rupanya ada orang mengubungi pihak polis ketika si pemandu lori melepaskan tembakan ke udara buat pertama kali tadi.

          Semasa si pemandu lori dan dua kawannya masuk ke dalam perut kereta peronda polis, kami dikejutkan dengan jeritan orang ramai: “Gedung terbakar, gedung terbakar.”

          Tidak jauh dari tempat kami berdiri, beberapa orang segera berlari ke arah bengunan papan membawa baldi dan kayu untuk memadamkan api yang kian marak memusnahkan bangunan tersebut.

          Kami segera membantu orang ramai. Dan kami diberitahu bangunan papan itu sengaja dibakar oleh anak buah pemandu lori agar kegiatannya tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

          Seminggu setelah peristiwa itu, saya dan datuk berpisah dengan Jamaluddin. Kami pulang ke tanah air.

             



SIRI 283 (VS DIS 2004) PENDEKAR DIUGUT PEMANDU LORI



          Seluruh perhatian tertumpu ke arah wajah lelaki bertubuh besar, tegap dan tinggi. Sepasang telapak tangannya berpaut pada jenang pintu warung.

          “Saya waris terdekatnya,” ujar lelaki itu lalu membuka bajunya, “memang dia pahlawan, ini warisnya kiri kanan, siapa mahu mencuba, silakan,” lelaki itu terus menepuk dada bidangnya berkali-kali.

          Pak Jabbar angkat tangan ke arahnya seraya tersenyum. Lelaki berkulit sawo matang itu membalas angkat tangan Pak Jabbar. Senyum Pak Jabbar dibalasnya.

          “Kamu memang keturunan pahlawan Betawi,” kata Pak Jabbar.

          “Iya, memang betul cakap aku. Orang tua ini mengakuinya.”

          “Sila masuk, Rahmat,” pelawa Pak Jabbar.

          “Terima kasih Pak Jabbar. Beritahu mereka aku keturunan Si Pitung.”

          “Iya, aku bagi tahu,” jawab Pak Jabbar.

          Lelaki itu terus memusingkan badan ke arah muka lorong. Dia melangkah dengan tenang. Dia bersiul-siul kecil. Saya tak tahu lagu apa yang disiulkannya.

          Pak Jabbar terus menyorot ke arah lelaki itu, hingga hilang dibalik liku jalan. Sebelum itu, dia (lelaki) menoleh ke arah kami yang berada dalam perut warung. Dua tiga kali Pak Jabbar gelengkan kepala.

          “Siapa dia yang sebenarnya Pak Jabbar,” Jamaluddin ajukan pertanyaan. Pak Jabbar buat tidak kisah dengan pertanyaan itu. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu.

          “Kesian dia,” Zubir seperti mengeluh.

          Keadaan itu membuatkan Jamaluddin semakin resah.

          “Dia orang gila,” kata saya keras.

          “Tamar, jaga mulut, ini tempat orang,” herdik datuk.

          “Maafkan saya,” kata saya pada Pak Jabbar yang masih termenung.

          “Kamu tak salah, sesiapa pun akan beranggapan seperti kamu,” lembutnya suara Pak Jabbar, macam suara seorang datuk kepada cucunya.

          “Kamu terangkan pada mereka Zubir,” satu arahan untuk Zubir. Suara Pak Jabbar tidak selembut tadi. Keras dan tegas, penuh keyakinan. Zubir menarik nafas dalam-dalam, kemudian anggukkan kepala, tanda akur dengan arahan teman rapatnya.

          “Apa yang dikatakan Rahmat tu memang benar. Memang dia waris terdekat Si Pitung. Tapi, fikirannya tak betul,” Zubir bersuara dengan nada suara yang lemah.

          “Maksudnya gila,” kata Jamaluddin seperti berbisik. Zubir geleng kepala berkali-kali.

          “Ada gangguan perasaan,” celah datuk.

          “Itu bahasa yang baik,” sahut Pak Jabbar.


BERSILAT SENDIRI


          “Ada ketikanya dia bercakap seorang diri dan bersilat sendiri ditengah-tengah jalan. Mencabar siapa saja untuk bertarung dengannya. Kerana orang-orang disini tahu masalahnya, semuanya buat tak kisah,” lanjut Zubir. Anak matanya menatap setiap wajah yang berada didepannya.

          “Selain dari dia, ada lagi tak waris Si Pitung?” saya bertanya dengan harapan tidak mendapat teguran dari datuk.

          “Ada, malah ada diantara mereka jadi saudagar dan orang penting kerajaan. Cuma si Rahmat yang tak menjadi. Dia jadi begitu akibat dilanggar kereta, kepalanya terhempas ke batu. Berbulan-bulan dia koma. Pulih dari koma, itu yang dia dapat,” Pak Jabbar cuba menerangkan kedudukan sebenar.

          “Itu sebabnya, bukan kerana sumpah,” sampuk Jamaluddin.

          “Eh, kamu,” kata datuk.

          Semua yang ada disitu ketawa geli hati. Pertanyaan yang diajukan Jamaluddin lucu sekali.

          “Hebat juga Si Pitung ini,” bisik hati saya.

          “Iya, dia memang hebat.”

          Saya terkejut, Pak Jabbar bagaikan tahu apa yang bermain dalam hati. Ini membuat saya cemas.

          “Si Pitung memang rapat dengan orang-orang miskin. Perbuatannya itu menimbulkan kebimbangan dikalangan orang-orang Belanda. Mereka sentiasa mengawasi kegiatan Si Pitung. Mereka tahu, disamping rapat dengan orang miskin, Si Pitung juga menanamkan rasa benci dihati orang miskin terhadap orang Belanda,” Pak Jabbar terbatuk.

          Setelah batuk, dia tidak meneruskan percakapan yang terhenti. Membuat suasana dalam warung bungkam sejenak.


MERENUNG


          Pak Jabbar bangun, berlegar-legar dalam perut warung sebelum berhenti disatu sudut. Tangan kanannya memegang tiang warung, sementara tangan kirinya terletak dibibir meja. Dia merenung sayu ke dada lorong.

          “Ahhh...”

          Berkali-kali Pak Jabbar menumbuk tiang warung. Semua mata tertumpu ke arahnya. Wajah Zubir nampak cemas tetapi, datuk masih bertenang. Dia bagaikan tahu apa yang bergelora dalam batin Pak Jabbar.

          “Dia dikhianati bangsa sendiri,” mengejut saja datuk bersuara lantang. Pak Jabbar segera memusingkan badan, menghadapi datuk.

          “Semasa rakyat miskin gembira melihat orang Belanda jadi kelam kabut dan cemas, akibat tindakan Si Pitung. Dia dikhianati bangsa sendiri. Inilah kelemahan orang kita,” suara Pak Jabbar mula kendur, dia melangkah kerana mahu bergabung semula dengan kami.

          “Jaguh rakyat dikhianati bangsa sendiri, dia dapat ditangkap Belanda, dibicarakan dimahkamah ikut acuan Belanda. Dia dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah penjajah pada 1896. Sungguh malang nasib Si Pitung,” suaranya bergetar.

          Wajahnya nampak sedih sekali. Datuk segera mendekatinya dan membisikkan sesuatu padanya. Saya lihat Pak Jabbar mengukir senyum sambil merenung ke arah Zubir.

          “Kata sahabat kita dari Tanah Melayu, perkara yang sama berlaku juga dinegaranya. Orang Inggeris menggunakan undang-undang sendiri untuk membunuh pejuang bangsa. Kita dengan hukum tembak sampai mati. Disana dihukum gantung sampai mati seperti yang dilakukan oleh Inggeris terhadap wira Melayu yang bernama Datuk Sagor,” sambil berdiri Pak Jabbar mengungkapkan kata-kata itu, penuh semangat, anak matanya tetap menatap wajah datuk.

          “Bila kita ke sana, kamu tunjukkan makam pahlawan Perak yang berani. Kenalkan aku dan Zubir pada warisannya,” Pak Jabbar mengutarakan sebuah permintaan. Datuk anggukkan kepala.

          “Selain dari dia siapa lagi pahlawan Perak yang berjaya menggerakkan semangat kemerdekaan dan bencikan Inggeris. Mereka patut dihargai, tanpa tiupan semangat dari mereka, kita tak akan merdeka atau bebas dari penjajah,” Zubir pula menyoal.

          “Ada,” kata saya menyampuk.

          “Siapa?” Jamaluddin juga turut buat kacau daun.

          “Datuk Maharaja Lela,” penuh bangga saya menyebut nama orang saya kenal, pada nama saja.

          “Memanglah kita bangsa dua serumpun.”


PARANG DITANGAN


          Ada suara asing diluar warung. Semua yang ada dalam warung halakan biji mata pada lelaki yang bernama Rahmat. Dia tersengih dengan parang ditangan. Kepalanya dililit dengan kain merah. Sepasang kaki seluar panjang digulung sehingga paras bawah lutut. Peluh mengalir ditubuh tanpa baju.

          “Aku sudah dengar apa yang kamu semua cakap, cuma aku nak tanya satu perkara.”

          Saya dan Jamaluddin berpandangan.

          “Apa yang mahu kamu tanyakan, Rahmat,” Pak Jabbar renung mukanya sejenak. Rahmat tersengih. Dua tiga kali dia garu hujung dagunya.

          “Ada yang kurang bila menyebut nama saya.”

          “Apa yang kurangnya, Rahmat.”

          “Tak sebut nama Si Pitung selepas nama saya.”

          “Aku minta maaf Rahmat,” ujar Pak Jabbar.

          “Tadi masa mula-mula aku datang ke sini tadi, kau tak sebut pun nama Pitung selepas sebut nama aku. Itulah sebab aku datang ke sini semula.”

          “Lagi sekali maaf, Rahmat,” ujar Pak Jabbar. Semua yang ada dalam warung senyum sinis.

          “Apa lagi yang mahu kamu tanya, Rahmat,” susul Pak Jabbar, “tanyalah sekarang supaya perkara yang kamu fikir dapat diselesaikan, macam Si Pitung selesaikan masalah. Kamu waris Si Pitung mesti pandai macam dia,” Pak Jabbar cuba berdiplomasi dengan harapan Rahmat akan cepat beredar dari situ.

          Tetapi, si Rahmat bagaikan terkhayal bila namanya digandingkan Si Pitung. Senyumnya terus melebar dibibir.

          “Antara Si Pitung dengan Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, siapa yang kuat dan gagah?”

          “Sama kuat sama gagah Rahmat.”

          “Mana boleh macam tu.”

          “Mesti boleh, mereka semua benci orang kulit putih. Si Pitung bencikan Belanda. Maharaja Lela benci Inggeris. Semuanya lawan orang Eropah.”

          “Kalau macam tu, kita tak boleh gaduh dengan bangsa dua serumpun.”

          “Itu yang betulnya, Rahmat pewaris Si Pitung tak boleh bergaduh sama-sama sebangsa,” Pak Jabbar bagaikan separuh menjerit meluahkan kata-kata itu. Rahmat ketawa terkikih. Dia membuka silat sambil menyeru nama Si Pitung. Kemudian beredar dengan tenang.


MELAMBAI TANGAN


          Bila Rahmat sudah beredar agak jauh dari kawasan warung menuju ke lorong yang sedang dilalui beberapa kenderaan ringan, pemandu kenderaan melambai-lambaikan tangan pada Rahmat. Kepalang gembira Rahmat, dia menerima lambaian.

          “Dalam tak betulnya itu, ada kata-katanya yang boleh membuat kita berfikir,” Jamaluddin memberi komentar.

          “Kerana kita dah cap dia gila. Cakap betul pun kita kata cakap orang gila,” pintas Zubir.

          “Sekarang kamu mahu ke mana lagi,” tanya Pak Jabbar pada Jamaluddin.

          “Mahu bawa mereka ni berjalan lagi. Saya nak bawa mereka ke kawasan rumah peninggalan Si Pitung dan beberapa kawasan sejarah,” jelas Jamaluddin.

          “Bagus,” sahut Zubir.

          Saya dan datuk minta diri pada Pak Jabbar. Begitu juga dengan Jamaluddin. Kami meniggalkan warung Pak Jabbar menuju lorong yang bersambung dengan jalan besar. Sambil berjalan tu, kami bertiga berharap tidak akan terserempak dengan Rahmat.

          Dibawah matahari petang yang kian redup, kami rancak melangkah. Lorong warung Pak Jabbar sudah jauh ditinggalkan. Kami, kini berada dijalan besar yang sibuk dengan kenderaan besar dan kecil.

          “Hati-hati, pemandu disini kurang ajar sedikit,” Jamaluddin mengingatkan datuk yang secara tidak sengaja berada agak jauh ke tengah jalan menyebabkan dirinya hampir dihimpit lori kecil.

          Saat kami berada dilaluan yang betul. Kami bertiga terkejut dengan tindakan pemandu sebuah lori besar yang berhenti secara mengejut. Belum sempat berkata apa-apa, pemandu lori melompat turun terus menerkam ke arah Jamaluddin sambil mengacukan muncung pistol ke kepala Jamaluddin. Leher baju Jamaluddin dicekaknya.

          Kejadian yang tidak diduga itu menarik perhatian ramai. Jamaluddin dan lawannya terus dihurungi orang ramai, beberapa buah kenderaan turut berhenti. Lalu lintas terganggu, kawasan yang dikiri kanannya terdapat bangunan batu lama mula sesak dan sibuk.

          “Apa salah saya,” kata Jamaluddin cemas.

          “Kamu jadi tali barut kerajaan, menyebabkan aku dilokap seminggu, lori aku disyaki bawa dadah.”

          “Kamu salah orang.”

          “Tidak, aku pasti kamu, sudah lama aku cari kamu,” kemarahan si pemandu tidak dapat dibendung lagi, orang kian ramai berpusu datang ke situ. Mereka hanya menanti saat pistol meletup dan melihat mayat terbujur kaku.

          “Kamu silap orang, dia baru dari datang Medan bersama aku,” datuk cuba menenangkan si pemandu yang macam harimau lapar.  

SIRI 282 (VS NOV 2004) JAGUH ORANG MISKIN

Kamu semua pulang, jangan sampai aku patah-patahkan tulang-tulang kamu, jangan buat kacau di kampong,” Pak Jabbar memberi amaran. Tetapi anak muda yang tidak dapat mengawal perasaan terus menerpa ke arah Pak Jabar dengan niat mahu melepaskan penumbuk sulung. Belum pun sempat penumbuk sulung sampai ke tubuh Pak Jabbar, sepasang lengan anak muda ditangkap oleh Pak Jabbar. Anak muda itu di julang tinggi dan dilambung ke udara.

Semasa tubuh anak muda yang dilambung mahu jatuh ke tanah, Pak Jabbar mendepangkan kedua-dua belah tangannya menyambut tubuh anak muda tersebut. Bila tubuh anak muda berada di atas sepasang tangan Pakk Jabbar, dia terus mennjerit minta ampun. Serentak dengan itu anak muda tersebut terkencing.

Saat Pak Jabbar mahu menghempaskan anak muda itu ke bumi kawan-kawan anak muda segera melutut minta ampun pada Pak Jabbar supaya kawan mereka tidak diapa-apakan oleh Pak Jabbar.

Datuk dan Zubir pun juga turut memainkan peranan penting menenangkan serta menyabarkan Pak Jabbar. Api kemarahn Pak Jabbar terus menurun dengan drastic sekali. Anak muda itu segera diletakkan atas bumi. Dia tidak mampu berdiri.

“Bawa kawan kamu keluar dari kampong ini. Jika aku lihat kamu semua berkeliaran dalam kampung ini, buruk padahnya. Masa itu jangan salahkan aku,” Ujar Pak Jabbar.

“Baik Pak, taubat kami tak buat lagi perkara macam ini. Kami tak akan kejar pencuri hingga kesini,” itu janji ketua kumpulan ank muda.

“Bagus, lain kali kalau tangkap orang jahat, serahkan pada polis, jangan buat undang-undang sendiri,” sambung Pak Jabbar.

Kumpulan anak muda segera bersurai dan beredar dari kawasan tersebut. Kammi kembalimasuk ke warung milik Pak Jabbar. Dan Zubir kembali menyambung kisah tentang Betawi.

“Awaak tahu, sejarah Jakarta ini cukup panjang. Sejak dipanggil Betawi lagi, pennuh dengan cerita pahlawan jagoan membela nasib rakyyat yang ditindas,” Zubir bagaikan member ceramah pada saya dan datuk.

“”Setiap kampung di sini ada pendekarnya. Mereka jadi banteng dan galaang ganti, kalau ada musuh mahu mengacau mereka akan kedepan. Macam kata orang tua-tua, setiap hutan ada harimaunya,” Zubir berhenti bercakap. Dia toleh kiri, toleh kanan.

“Hubungan antara seorang pendekar dengan pendekar lain cukup erat dan rapat sekali. Begitu jjuga hubungan antara pendekar dengan alim ulama, macam isi dengan kuku,” sambung Zubir. Gerak tubuh dan cara dia bercakap mengingatkan saya pada tuan guru Haji Nawawi yang mengajar ilmu Tasauf di surau kampung saya paqda setiap Selasa, selepas waktu maghrib.

TUBUH

Dilihat dari sisi, bentuk tubuhnyaq dan tingginya saling tak tumpang macam ustaz tersebut. Cuma perbezaan yang ketara ialah dari segi pengucapan bahasa. Zubir menggunkan dialek Jakarta (Betawi), sedangkan Haji Nawawi bercakap dalam loghat Perak. Dan sesekali tersasul loghat Kedah atau Pulau Pinang.

“Jagoan (pendekar) memang perlu ada dan amat penting. Kalau sesebuah kampung didatangi perompak, jagoan kampung tersebut merasa nama baiknya tercemar. Orangyangmembuat kejahatan itu tidak menghormatinya, Bagi memulihkan namanya si jaghoan itu akan berusaha menangkap orang yang membuat kejahatan tersebut,” cukup bersemangat Zubir bercakap. Tetapi beberapa detik selanjutnya, Pak Jabbar mengeluh panjang.

Dengan ekor mata Zubir menyorot keadaan sekitar. Semuanya macam biasa, tiada perkara ganjil terjadi.

“Kenapa nampak resah,” datuk yang tadi banyak mendengar mula bersuara. Muka Jabbar direnungnya. Biji mata Jamaludin sering berubah matlamat. Sebentar renung batang hidung datuk, sekejap tatap wajahPak Jabbar. Zubir bagaikan enggan mahu meneruskan cerita tentang bumi Betawi.

“Kenapa nampak resah?,” ulang datuk lagi.

“Tak ada apa-apa,” jawap Pak Jabbar bersama segaris senyum panjang. Tetapi senyuman itu tidak dapat membunuh keresahan yang bersarang dalam dada Zubir.

“”Kurang senang dengan saya?” Tanya Zubir tiba-tiba.

”Kenapa akku mesti kurang senang dengan kamu,” sanggah Pak Jabbar,, tanpa merenung muka Zubir.

“Saya banyak bercerita tentang Betawi pada tetamu-tetamu.”

“Eh kamu, aku tak fikir ke  arah itu,” bersahaja Pak Jabbar menjawab. Semua yang ada di situ berpandangan sesama sendiri.

“Kamu bercakap perkara yang benar,” ucap Pak Jabbar. Semua yang berada di situ tersenyumdan menarik nafas panjang terutama sekali Zubir.

TENANG

Bila suasana terasa tenang dan damai, Pak Jabbar mengulangi cerita zaman pemerintahan Belanda. Dia menyebut perbezaan ekonomi rakyat peribumi dengan kkaum pendatang (penjajah) amat jauh bezanya. Orang Belanda yang dipanggil tuan besar hidup mewah. Sementara orang Betawi jadi pengemis di bumi sendiri. Duduk di pondok using beratapkan rumbia.

“Paling celaka pemerintah Belanda masa itu membenarkan orang Belanda memiliki tanah seluas-luasnya. Tanah itu dirampas dari rakyat peribumi. Tetapi ada juga  yang dibeli,” Ungkap Pak Jabbar.

“Tanah itu mereka buat apa?” Jamaluddin menyoal.

“Mereka jadikan ladang pertanian, yang mengusahakan tanah itu orang kita. Datuk nenek kita,” jelas Pak Jabbar. Setiap kali Pak Jabbar berhenti bercerita, Zubir anggukan kepala, mengiakan apa yang diungkapkan oleh orang tua tersebut.

Saya lihat datuk mendengar penuh minat.. Tiada sebarang komentar yang terluah dari kelopak bibirnya. Barangkali dalam hati kecilnya lanun yangsuka merampas hak orang yang dijajahnya.

“Penjajah ni di mana-mana sama,” Jamaludin mengeluh kecil sambil menelan air liur.

“Iya,” angguk datuk..

“Para petani yang mengusahakan tanah orang Belanda itu hidupnya tertekan, mereka dikenakan cukai, sedangkan sebahagian besar hasilnya diserahkan pada pemilik tanah. Sesiapa yang ingkkar dikenakan hukuman yang berat,” tanpa diminta Zubir masuk campur.

“Keadaan yang menimpa penduduk Betawi semakkin parah, bila tuan-tuan tanah yang dianggap sebagai raja memelihara tukang-tukang pukul dan samseng sebagai penngutip cukai,,” tambah Zubir.

“Betul cakap kamu,” sahut Jamaludin.

Tetapi,, kisah selanjutnya diserahkan oleh Zubir kepada Pak Jabbar untuk meneruskannya. Alasannya,  Pak Jabbar lebih tahu dan banyak pengalaman.

Kata Pak Jabbar , akibatt tekanan itu rakyat melawan dan muncul nama-nama seperti si Pitung, Si Jampang, Macan Kemayoran, merreka di gambarkan sebagai pendekar yang menentang Belanda, membela rakyat tertindas.

Ketika menyebut nnama para pendekar tersebut, Pak Jabbar nampak bersemangat sekali. Malah ada seketikanya dia memperliihatkan gaya dan cara pendekar itu bertarung.

HIBUR

Kami yang berada di situ terhibur melihat gaya Pak Jabbar bercerita. Beberapa orang yang lalu di tepi warung tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku dalam warung..

Pada hemat mereka, Pak Jabbar yang secara diam-diam dikenali sebagai dukun sedang meneranngkan sesuatu pada pelanggannya.

“Macam si Pitung, jaguh silat dari Rawabelang ini suka merompak tapi, bagi penduduk dia bukanlah penjahat biasa. Kerana yang di rompaknya adalah harta oorang Belanda, terutama di kawasan Betawi dan Master Cornelis (Jatinegara). Semua harta rompakan itu diberiikan kepada rakyat miskinn, kerana itulah si Pitung dipanggil “Robinhood Betawi,,”  tutur Pak Jabbar.

“Memang, dia pahlawan.”

Terdengar suara jeritan seseorang diluar warung. Kami segera menoleh ke arah tersebut. Seorang lelaki separuh baya berdiri betul-betul di depan pintu masuk warung. Tiada siapa yang tahu apakah dia mendengar perkara yang dibincangkan.