Bila air
yang dijerang sudah masak, datuk suruh saya buat secawan air kopi tanpa
gula. Dua tiga helai daun seribu kapit
anak dipetik dan di masukkan ke dalam cawan kopi bersama beberapa buku garam.
Sebahagian
daripada air panas itu dituangkan ke dalam baldi kecil yang dibuat dari tanah
liat, (bentuknya macam periuk tanah,
tingginya sekitar satu kaki dan tebalnya tidak sampai setengah inci) kemudian batang dan daun seribu kapit anak
dimasukkan ke dalam baldi tanah.
“Sekarang…….,”
Datuk
tidak menghabiskan kata-kata itu. Dia
melihat awan di langit, dia melihat beburung yang terbang dan gerak dedaun yang
disentuh angin petang. Datuk kedutkan
dahi lalu menelan air liur. Bibirnya
kelihatan bergerak perlahan-lahan.
“Kamu bawa
air kopi ni pada Khoja, paksa dia minum.”
“Nanti dia
muntah darah tuk?”
“Kali ini,
dia tak muntah darah, lepas tu kau keluarkan dia dari dalam pasir,”
“Baik
tuk.”
Dengan
hati-hati saya membawa secawan kopi kepada Khoja Lisut. Bila saya dekatkan air kopi ke bibirnya,
Khoja Lisut segera menolak. Bila saya
paksa, dia bertindak balas dengan meludah muka saya. Darah saya tersirap. Bila saya ingatkan yang dia masih sakit dan
masih berubat dengan datuk, kemarahan saya segera menurun.
Kali ini,
saya bertindak agak kasar. Saya segera
mengepit kepala Khoja Lisut ke celah paha.
Sebelah tangan menekan rahangnya hingga mulunya terbuka dan sebelah lagi
saya gunakan untuk menuangkan air kopi ke mulunya.
Khoja
Lisut tidak dapat mengelak lagi. Dia
teguk air kopi hingga habis, malah sebahagian dari air itu masuk ke lubang
hidungnya. Khoja Lisut bersin air kopi
yang bersembur di lubang hidung mengenai muka saya. Khoja Lisut meraung macam gajah patah kaki.
Datuk
segera berlari kearah saya dengan wajah yang amat cemas. Dia melihat kepala Khoja Lisut terlentuk atas
pasir.
“Apa yang
kamu buat padanya, Tamar?”
“Tak ada
apa, saya suruh dia minum air kopi.”
“Kamu
suruh atau kamu paksa dia?” datuk jegilkan biji mata kearah saya. Tidak ada jawapan yang saya berikan terhadap
pertanyaan itu.
“Sudahlah,
kamu gali pasir dan keluarkan dia dari sini, kamu mesti selesaikan semua
kerja-kerja ni sebelum waktu Maghrib tiba, bila matahari ada di pucuk pokok tu,
kerja mesti selesai,” sambung datuk sambil menudingkan jari telunjuk kearah
pucuk pokok di pinggir belukar.
“Ini
pencebak dan cangkul, gunakan dengan hati-hati, jangan sampai kepala Khoja
terputus dengan badan,” datuk melemparkan pencebak dan cangkul ke hujung kaki
saya. Wajah datuk cukup serius.
“Semuanya
nak aku selesaikan malam ni juga. Dengan
izin Allah usaha yang aku buat akan diperkenankanNya,” suara datuk
bergementar. Dia mula memeluk tubuh dan
merapatkan sepasang kakinya. Saya, ambil
cangkul dan mula menggali pasir di sekeliling Khoja Lisut.
Dengan
berpeluk tubuh, datuk terus melangkah menuju ke pondok pisang sesikat, tanpa
menghiraukan apa yang saya lakukan.
“Semuanya
aku selesaikan malam ni juga…,” terngiang-ngiang suara datuk di cuping telinga,
membuat saya berhenti mencangkul pasir.
“Jagan berhenti
teruskan,” pekik datuk dari pondok. Saya
kembali menggali pasir. Sikap datuk
cukup berbeza, suaranya sentiasa keras dan suka marah-marah bila saya berhenti
menggali pasir.
Tugas saya
menggali pasir sudah selesai. Khoja
Lisut saya tarik dengan kasar sekali.
“Menyusahkan
saya.”
“Tak baik
merungut dan marah-marah Tamar, hari ini, hari pak cik, hari kamu bnelum tahu
lagi. Entah lebih buruk dari ini,” suara
Khoja Lisut terketar-ketar.
“Sudahlah,
cakap banyak pula dia,” saya menengking.
“Barangkali
semuanya kerana perbuatan pak cik yang lalu,” Khoja Lisut seperti mengeluh.
Saya terus
menjuihkan bibir kearahnya. Hati saya
cukup panas, kerana dia saya terpaksa melakukan kerja-kerja begini. Kalau diturutkan kata hati, mahu saja saya menyepak Khoja Lisut yang terjelepuk
atas pasir.
Dalam
pergelutan perasaan marah dan benci itu, saya angkat kepala lalu renung ke
pondok pisang sesikat. Saya lihat datuk
tegak di situ merenung tajam kearah saya.
Hati saya terus berdebar menanti perintah dan arahan darinya.
SEPARUH
Cuaca
mula samar-samar, matahari cuma
kelihatan separuh di kaki langit, di kelilingi awan berwarna jingga. Beburung sudah pun berhenti terbang. Angin tidak lagi bertiup, pepokok kelihatan
kaku, seolah-olah menghormati kepulangan matahari ke peraduannya, setelah
menaburkan bakti kepada makhluk Allah di permukaan bumi ini.
Dalam
cuaca yang samar-samar itu datuk berlari-lari anak kearah saya. Sebaik saja sampai dekat saya, datuk tanpa
berkata apa-apa terus mencampakkan baldi yang berisikan pokok dan daun seribu kapit anak kepada saya.
Nasib baik
saya tangkas menyambut. Kalau tidak,
sudah pasti baldi tanah jatuh terhempas ke pasir dan besar kemungkinan akan
pecah.
Saya amat
terkejut dengan tindakan datuk itu. Dalam
keadaan tergamam itu, saya kira datuk akan mengeluarkan arahan tertentu kepada
saya. Ternyata apa yang saya harapkan
tidak menjadi kenyataan. Datuk terus
berlalu dari sisi saya menuju ke sungai.
Kerana
tidak mendapat apa-apa arahan baldi tanah itu terus saya peluk dengan
erat. Saya terdengar bunyi gemercik air
sungai. Rupanya, datuk mandi dan saya
bertambah resah, terlalu banyak perkara ganjil yang datuk lakukan. Semuanya membuat saya jadi pening dan
menimbulkan seribu persoalan dalam kepala.
“Sekarang
kamu terjun ke dalam sungai,” datuk tiba-tiba berdiri dekat saya sambil
mengeluarkan arahan. Saya tidak sedar
waktu bila dia mendekati saya.
“Dengan
pakaian begini tuk?”
“Tidak,
gunakan kain basahan ini.”
Datuk pun
memberikan pada saya kain basahan berwarna hitam yang setiap bucunya ditampal
dengan secebis kain warna merah.
Jarang-jarang datuk menggunakan kain basahan itu.
Belum
pernah dia membenarkan kain basahan milik peribadinya itu digunakan oleh orang
lain. Lagi sekali saya menjadi terkejut
dan takjub dengan sikapnya itu. Kenapa
datuk membernarkan saya memakai kain basahannya?
“Pergi
cepat,” berdik datuk.
Saya yang
masih terpaku di sisinya segera mengorak langkah bersama rasa cemas dan
takut. Maklumlah, terpaksa mandi seorang
diri di sungai yang ada buaya dalam suasana senja yang kian memberat.
Sampai
saja di tebing sungai, kain basahan segera saya ikat ke pinggang. Kemudian saya terjun dalam sungai. Dua kali selam, saya terus berhenti mandi. Kerana memikirkan tidak lama lagi waktu
Maghrib akan tiba, saya segera mengambil air sembahyang. Bila saya datang semula ke tempat datuk dan
Khoja Lisut, saya dapati mereka sudah tiada di situ.
Dalam
suasana samar senja itu, saya masih dapat melihat kesan orang merangkak di
pasir. Saya yakin, datuk sudah mengeret
Khoja Kisut dan saya bayangkan bagaimana Khoja Lisut merintih ketika diheret.
Setelah
menoleh dua tiga kali kawasan sekitar, saya teruskan perjalanan ke pondok. Sampai di pondok saya lihat pelita minyak
tanah sudah terpasang. Khoja Lisut terbaring
di sudut pondok memeluk baldi tanah dengan erat sekali. Datuk duduk bersila di tengah pondok
menghadapi sejadah.
“Masuk,
tunggu apa lagi.” Saya melangkah dua
tapak dan berhenti kerana saya terdengar sesuatu dari sebelah kanan saya.
“Masuklah,
Maghrib dah tiba.”
“Qamat,
Tamar.
Perintah
datuk segera saya patuhi. Dan sembahyang
saya tidak begitu khusyuk, sering terganggu oleh keluhan dan tangisan Khoja
Lisut.
Selesai
saja sembahyang dan wirid, datuk menyuruh saya menghidupkan api di halaman
pondok. Saya tidak pula bertanya, kenapa
datuk menyuruh saya berbuat demikian.
Saya menduga, api itu dihidupkan untuk menghalau nyamuk.
“Tentukan
api itu sentiasa menyala, biar senang kita berjalan,” tutur datuk sambil bangun
mendekati Khoja Lisut di sudut pondok.
Dengan berbekalkan semangat, saya terpaksa mencari kayu.
Nasib saya
agak beruntung, saya tidak perlu bergerak jauh dari pondok. Datuk sudah menyediakan setimbun kayu api di
belakang pondok. Kewajipan saya ialah
membawa kayu sebesar paha yang sudah kering ke halaman pondok. Kerja ini tidaklah sukar sangat.
“Sudah,
pergi ke sungai mandi dan ambil air sembahyang, waktu Isyak dah sampai,” entah
mengapa saya jadi gementar mendengar perintah datuk.
“Pergi
sekarang,” sambungnya lagi.
Saya tidak
ada pilihan selain dari mematuhi perintahnya itu.
“Kita
sudah sembahyang Isyak, kamu boleh menolong aku,” itu yang datuk ucapkan kepada
saya, sebaik saja dia menamatkan wirid Isyak yang panjang. Saya hanya tersenyum, tanda bersedia menerima
perintah.
“Kamu dah
baca ayatuklursi empat puluh kali, macam yang aku suruh, Tamar?”
“Sudah
tuk.”
“Sekarang…”
datuk berhenti bercakap, dia bangunlalu mendekati Khoja Lisut, kulit tubuh
Khoja Lisut ters dijamahnya dangan tenang.
“Sekarang
kamu pergi rebus batang dan daun seribu kapit anak, rebus dampai airnya
mendidih,” datuk menyambung kata-kata yang terputus.
“Baik
tuk.”
Saya
segera ke halaman rumah, mencari kayu yang keras untuk saya jadikan tungku dan
api pun saya hidupkan. Dengan hati-hati
saya letakkan baldi tanah atas tungku.
Sementara menanti air rebusan mendidih, saya segera masuk ke pondok lalu
duduk di sisi datuk yang sedang mengurut tubuh Khoja Lisut.
KATAK
Dingin
malam mula terasa cara kebetulan pula angin mula bertiup agak lemah. Kayu di halaman pondok terus dimamah api,
suara katak dan cengkerik terus berbunyi di samping suara ungas malam yang
sering bertingkah antara satu sama lain.
Saya perhatikan jari jemari datuk berlari lembut di permukaan kulit
Khoja Lisut.
Bila jari
jemari itu bherhenti di sendi-sendi tubuh untuk menyentuh urat, saya lihat
Khoja Lisut menggeliat menahan kesakitan sambil merintih. Datuk tidak ambil kisah dengan semunya
itu. Mangkin kuat Khoja Lisut mengeran
sakit, mangkin kerap jari jemari datuk mencari urat-urat tersimpul dalam
tubuhnya. Pertama kali, saya lihat
sekujur tubuh Khoja Lisut bermandikan peluh.
“Bangun.”
Datuk
renung biji mata Khoja Lisut dan bagaikan orang kena pukau, Khoja Lisut menurut kata datuk. Dia bangun dalam kepayahan yang amat
sanga. Tiga kali Khoja Lisut mencuba dan
tiga kali pula dia berdepan dengan kegagalan.
Datuk terus memakan kerana sering bangun dan sering pula jatuh dan
bangun.
“Tamar,
kamu pergi angkat air tadi dari atas api,” mata datuk cukup tajam menikam sajah
saya. Tanpa berlengah-lengah saya terus
keluar dari pondok. Baldi tanah saya
angkat , lalu diletakkan atas pasir. Tidak sampai lima minit kemudain datuk keluar
dari pondok dengan Khoja Lisut atas bahunya.
Dengan
perlahan-lahan datuk meletakkan Khoja Lisut atas pasir. Datuk terus ke belakang pondok mengambil kayu
dan dicampakkan ke dalam api yang sedang marak.
Bebunga
api terus naik ke udara. Datuk mahu
seluruh halaman pokok terang dan cerah dengan cahaya api dari longgokan kayu
yang terbakar itu. Bila datuk sudah puas hati dengan cahaya api yang didapati
di situ, dia pun berhenti membawa kayu dari belakang pondok ke tempat api yang
sedang menjulang tinggi tiu.
Datuk pun
mengenakan baju hitam dan seluar hitam, kain bengkung dari kain berwarna
kuning. Seperti biasa, kepalanya diikat
dengan secebis kain merah.
Perlahan-lahan dia mendirikan Khoja Lisut sambil menyuruh saya menjirus
air rebusan daun seribu kapit anak
kearah kedua belah tempurung lutut Khoja Lisut.
Saya
melakukannya lebih kurang hamper sepuluh minit, saya menggunakan tempurung dan
jumlah air yang dijirus untuk kedua tempurung lutut itu ialah berjumloah
sepuluh tempurung semunya.
Selesai
saja saya melakukannya, saya merasa takjub.
Khoja Lisut boleh berdiri tegak.
Kecacatan lain di bahagian tubuh badannya, saya lihat beransur hilang.
“Kamu
melangkah perlahan, setiap kali melangkah kamu baca bismillah dan selawatkan
nabi,” kata datuk kepada Khoja Lisut, cepat-cepat Khoja Lisut angkat kaki kanan
untuk melangkah, tiba-tiba datuk menjerit.
“Nanti
dulu, aku belum suruh buat.”
“Maafkan
saya,” suara Khoja Lisut lemah.
Datuk
keliling Khoja Lisut tiga kali, iaitu dari kanan ke kiri. Kemudian datuk duduk bersila atas pasir di
sebelah kanan Khoja Lisut.
Badan saya
mula terasa seram sejuk. Angin malam
kian keras bertiup. Suara cengkerik
cukup hebat berbunyi. Lolongan anjing
liar jelas kedengaran dibawa angin malam.
Semuanya itu membuat saya resah gelisah.
“Tamar.”
Saya tumpukan sepasang mata kearah datuk.
Bersedia mendengar apa juga perkara yang akan diutarakan kepada saya.
“Bila saja
Khoja melangkah, kau pukul kakinya dengan batang seribu kapit anak, kau pukul
sekuat hati kamu,” datuk keluarkan arahan.
Kemudian datuk memandang kearah Khoja Lisut.
“Mula kamu
berjalan, kemudian lari dan elakkan kaki kamu dari kena pukul oleh si Tamar,
kamu faham tak,” cukup keras suara datuk.
“Faham,”
jawab Khoja Lisut.
“Kamu pula
macam mana Tamar?”
“Saya juga
faham tuk.”
“Bagus.”
Dia atas
pasir datuk terus memeluk tubuh.
Sepasang matanya dirapatkan, nafasnya ditarik dan dilepaskan
perlahan-lahan.
Deru angin
terasa amat menggerunkan. Begitujuga
dengan suara burung hantu, lolongan anjing dan cengkerik.
“Bersedia.”
Datuk
tepuk tangan dan terus melompat.
Akhirnya dia berdiri tegak macam patung sambil memeluk tubuhnya.
“Mulakan
Khoja.” Khoja Lisut pun mula melangkah.
“Tugas
kamu, Tamar.”
Saya pun
terus memukul sepasang kaki Khoja Lisut dengan batang seribu kapit anak. Saya
pukul dengan sekuat hati, mungkin kerana pukulan yang tepat itu membuat Khoja
Lisut mengalami rasa sakit. Dia berusaha
mengelakkan dirinya dari jadi sasaran pukulan saya.
Dan saya
pula berusaha untuk memukul dengan tepat seperti apa yang datuk arahkan. Antara kami sudah menjadi seperti musuh pada
saat itu, saya mengejar untuk menyakitkan Khoja Lisut dan Khoja Lisut pula lari
kerana tidak mahu jadi sasaran pukulan dari saya. Dalam usaha mengelakkan
dirinya dari jadi korban. Khoja lisut
lupa tentang dirinya yang lumpuh. Dia
seperti mengalami kekuatan luar biasa, berlari dengan kencang.
Bila saya
cuba berhenti, datuk segera menjerit sambil membawa kayu panjang untuk memukul
saya. Begitu juga dengan Khoja Lisut,
kalau berhenti, datuk akan melemparkan punting yang terbakar kearahnya. Jadi, kami terpaksa berlari.
Saya
mengalami kepenatan yang amat sangat, tidak terdaya mahu melangkah. Seluruh sendi saya terasa lemah dan saya
jatuh atas pasir. Sayup-sayup terdengar
suara datuk memaki hamun saya, setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.
CERAH
Bila
saya membuka mata, saya lihat hari sudah cerah.
Datuk duduk bersimpuh di depan, Khoja Lisut berjalan dengan senang hati
di halaman pondok.
“Kamu
pengsan.” Itu yang datuk tuturkan kepad
saya.
“Khoja
macam mana?”
“Sakit
lumpuhnya sudah baik, dia sudah boleh berjalan seperti sediakala, begitu juga
dengan sakit-sakitnya yang lain,” terang datuk dengan nada suara yang lembut.
Bagi
memulihkan kekuatan yang hilang, datuk suruh saya minum air dari dedaun yang
dibuatnya. Rasanya cukup pahit dan
bagaikan tidak tertelan dan mahu muntah dibuatnya. Kerana terpaksa dan dipaksa, saya terpaksa
juga minum. Setengah jam, sesudah minum
air dari dedaun itu, badan saya terasa segar dan berpeluh.
“Kamu
tak usah bimbang, Tamar, kamu tetap siaht,” datuk memberi jaminan. Dan saya amat senang sekali mendengar
kata-kata itu.
“Khoja
ke mari,” laung datuk. Tergesa-gesa
Khoja Lisut berjalan kearah datuk.
“Jangan
berjalan, kamu mesti berlari,” jerit datuk.
Khoja
terpaksa berlari. Bila sampai di pondok,
saya lihat Khoja Lisut tercungap-cungap.
Kepenatan terbayang di wajah.
Tetapi, kecacatan yang terdapat di tubuh badannya dulu, semuanya sudah
hilang.
Kini,
saya dapat melihat wajah Khoja Lisut yang sebenar. Ternyata dia seorang lelaki yang tampan dan
gagah. Melihat dari bentuk tubuh dan
wajahnya, memanglah layak dia memegang gelaran sebagai seorang guru silat. Ciri-ciri seorang pendekar memang ada pada
dirinya. Tetapi, kerana kurang sabar
ilmunya tercabar, fikir saya sendirian.
“Khoja,
janji aku dengan kamu sudah selesai,” tutur datuk sambil menatap wajah Khoja
Lisut yang terpaku di depannya. Saya
lihat Khoja Lisut tunduk penuh terharu.
“Saya
tahu…” Khoja Lisut tidak meneruskan kata-katanya, saya lihat dia menangis
tersdu.
“Jangan
menangis,” datuk menjatuhkan telapak tangan kanannya atas bahu kiri Khoja
Lisut, “cakaplajh apa yang mahu kamu cakapkan Khoja,” sambung datuk lagi,
tetapi Khoja Lisut tidak dapat menahan kesedihan. Bagi menenangkan keadaan, datuk mengajak saya
beredar ke luar pondok.
Melihatnya
dari tingginya matahari masa itu, saya dapat menduga waktu itu lebih kurang
pukul lapan pagi. Andaian saya itu
dikuatkan lagi dengan kehadiran burung murai dan merbah batu yang kerap
menyanyi bila jam lapan pagi.
“Biarkan
dia menangis,” bisik datuk kepad saya.
“Kesian
dia tuk.”
“Aku
harap apa yang berlaku akan menginsafkan dirinya,” tingkah datuk lagi. Saya anggukkan kepala.
Lebih
dari setengah jam saya dan datuk bnerada di luar pondok, barulah Khoja Lisut
dating. Kali ini saya lihat wajahnya
cukup riang, tidak ternampak kesan kesedihan, kehampaan dan kekecewaan di
wajahnya.
Dia
berdiri di depan datuk, tanpa diduga dia terus memeluk tubuh datuk dengan erat
sekali.
“Dengan
apa mahu saya balas budi, tuan.”
Saya
terpempan, mendengar perkataan ‘tuan’ yang ditujukan oleh Khoja kepada
datuk. Dan saya kira tentu datuk kurang
senang bila dirinya dipanggil begitu.
“Mengapa
bertuan dengan saya, bukankah elok panggil saya abang saja, sesuai dengan umur
aku yang lebih tua dari kamu,” dengan senyum datuk bersuara.
“Dengan
apa mahu saya balas budi baik, abang.”
“Tak
payah balas, apa yang aku lakukan selama ini adalajh usaha atau ikhtiar
aku. Dan ikhtiar itu diperkenankan oleh
Allah, pada Allah kau harus bersyukur dan berterima kasih, bukannya pada aku.”
“Haaa….,”
mulut Khoja ternyanga mendengar kata-kata datuk itu.
“Tak
usah banyak cerita lagi, ikut aku ke rumah.
Di sana kita boleh cerita panjang,” datuk menarik tangan Khoja Lisut
mengajak pulang. Bila saya memulakan
langkah mahu mengikut merek, saya segera dihalang.
“Kerja
kamu belum selesai, Tamar.”
“Apa
dia kerja saya tuk?”
“Timbus
lubang dan padamkan api dengan air.”
“Saya
buat seorang saja tuk.”
“Ya.”
Dengan
tarikan nafas panjang, saya melihat datuk dan Khoja menlangkah dengan tenang
meninggalkan saya. Rasanya, mahu saja
saya menjerit memprotes sikap datuk itu.
Ah! Siapa yang mahu menolong dan siapa pula yang dapat mendengar jeritan
saya, timbul persoalan dalam diri sendiri.
Saya
segera ambil cangkul dan memulakan tugas menimbus lubang. Berpeluh saya seorang diri. Saya mengambil masa hamper satu jam untuk
menimbus lubang. Kemudian saya beralih
untuk memadamkan bara api yang masih merah.
Termenung saya memikirkan bagaimana untuk membawa air dari sungai ke
tempat bara.
“Tamar.”
Khoja Lisut tercegat di depan saya.
“Datuk
izinkan aku membantu kamu, Tamar.”
“Ini
dah cukup baik, nampaknya kita kena bawa air dari sungai,” kata saya.
“Tak
payah, kita padamkan dengan pasir,” Khoja Lisut pun mula mencangkul pasir dan
ditimbus ke bara api. Saya segera
membantunya. Dan kerja itu selesai tidak
sampai dua jam.
“Aku
terpaksa tinggalkan rumah datuk selepas waktu Asar,” Khoja Lisut buka rahsia
ketika kami sama-sama berjalan pulang ke rumah datuk.
“Sebelum
aku pergi, aku terpaksa sembahyang Asar di surau, datuk kamu nak adakan kenduri
kesyukuran kerana sakit aku sembuh,” tambah lagi.
“Ikut
saja apa katanya,” sanggah saya. Dan
kami terus melangkah.
No comments:
Post a Comment