Sebaik sahaja air sejuk berlari di kerongkong, urat saraf
di setiap sendi badan terasa seperti disentap-sentap. Serentak dengan itu
terdengar bunyi dentuman yang kuat di telinga macam bunyi petir. Cawan di
tangan terlepas lalu jatuh di atas lantai. Pecah berderai. Tenaga saya makin
lemah.
“Tamar dengar cakap aku ini. Allah itu maha ESA, berkuasa
atas segalanya. Pada Allah kita minta pertolongan, bacalah surah Al-Ikhlas,
Qulhuwallah…,” Uda Lamat memberi arahan. Saya terus mengikuti arahannya. Tiga
kali saya baca surah Al-Ikhlas dengan penuh khusyuk.
“Tamar, renung ke sini.”
Bagaikan kilat saya menoleh ke arah datangnya suara
datuk. Serentak dengan itu datuk memegang pergelangan tangan kanan saya. Dia
memaksa saya merenung ke arah biji matanya.
“Renung biji mata aku, Tamar.”
“Baik, tuk.”
“Ikut gerak bibir aku, Tamar.”
“Ya, tuk.”
“Tumpukan perhatian padanya, pasang telinga kau. Dengar
apa yang dicakapkan,” Uda Lamat memberikan petunjuk. Saya terus anggukkan
kepala. Sedia patuh dengan apa jua perintah.
Memang tidak sukar bagi saya mengikuti kalimah-kalimah
yang diucapkan oleh datuk. Datuk membaca beberapa rangkaian ayat dari al-Quran
yang pernah saya baca pada setiap malam Jumaat. Ayat-ayat itu bagaikan luput
dari ingatan sejak suara aneh menguasai diri saya.
Bila datuk menyebutnya di depan saya, barulah saya
teringat dengan ayat-ayat tersebut. Pada mulanya, pembacaan saya memang tidak
lancar. Setelah tiga kali berturut-turut mendengar dan mengikuti gerak bibir
datuk barulah saya faham.
Tidak saya nafikan, setiap kali ayat-ayat yang datuk
lafazkan itu, saya ikuti dengan penuh perasaan, dada terasa amat panas. Hati
tidak tentu arah, menggelabah tanpa sebab. Uda Lamat, orang tua yang banyak
pengalaman dan asam garam dalam kehidupan itu, tidak mahu meninggalkan datuk
sendirian di ruang anjung rumah. Setiap gerak geri saya diawasinya, hinggakan
gerak telinga, pernafasan, jejari saya tidak terlepas dari pengawasan Uda
Lamat.
Pada hemat saya, kedatangan Uda Lamat memang dirancang
untuk jadi pembantu datuk dalam usaha memulihkan diri saya.
“Bertenang, Tamar,” kata Uda Lamat. Bila melihat tubuh
saya tersentap-sentap macam terkena kejutan elektrik. Badan saya berpeluh
dengan banyak. Mungkin peluh itu terjadi akibat cuaca pagi yang kian membahang
di luar atau akibat dari tekanan perasaan dalam diri saya.
“Dia dah lemah tu,” sayup-sayup terdengar suara datuk.
“Baca lagi, hingga lemah betul,” suara Uda Lamat masih
dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya. Ketika itu, saya merasai diri saya
berada dalam keadaan fana dan sepi. Antara fana dan sepi tiu, saya terlihat ada
bayang-bayang nipis yang keluar dari tubuh saya, (lebih tepat dari bahagian
dada). Kepulan asap yang nipis itu berpusu-pusu di sebelah kiri saya. Aneh
sekali, kepulan asap yang nipis itu membentuk sifat diri saya.
Saya tidak berkata apa-apa. Suara saya tidak keluar.
Mulut bagaikan terkunci. Cuma tangan daya tergapai-gapai ke kiri dan ke kanan.
Maksud saya itu, tidak dapat ditangkap oleh datuk dan Uda Lamat. Mungkin mereka
tidak sedar dengan apa yang terjadi. Bayang-bayang nipis dan halus yang
menyerupai diri saya itu terus bergerak ke pintu rumah. Berdiri di ambang
pintu, saya lihat diri saya menangis dan meratap hiba di situ. Menghempaskan
diri pada jenang pintu hingga mengeluarkan darah dari kepala dan muka.
Paling akhir, saya lihat diri saya bertukar menjadi
batang tubuh Amjal Kamal, pamerkan diri di depan datuk. Tetapi, bila datuk
melafazkan beberapa ayat dari surah Al-Imran, bebayang tubuh amjal Kamal
berkecai dan hancur lalu bersatu dengan udara. Keluar dari rumah dengan
meninggalkan jeritan yang halus dan cukup nyaring.
Saya bertambah lemah. Dalam usaha memulihkan saya, sama
ada dari segi kekuatan tubuh dan otak, datuk lagi sekali menggunakan ramuan
tradisional. Dia tidak memerlukan pertolongan dari nenek, kecuali untuk
menyediakan dua gelas air panas, kali ini datuk memerlukan tenaga dari Uda
Lamat yang begitu matang dengan akar kayu dan pepucuk berkhasiat.
PERTAMA
Petua pertama datuk dan Uda Lamat lakukan terhadap saya
ialah mandi di ambang pintu. Kemudian disuruh berjemur di tengah panas untuk
kira-kira lima minit. Masa berjemur saya diawasi oleh Uda Lamat. Datuk merebus
pepucuk daun. Akar kayu diketuk atau dihimpit dengan satu alat keras dan berat
hingga mengeluarkan air.
Pepucuk daun yang direbus, disuruh makan begitu sahaja.
Kepalang pahitnya, apakan daya saya tidak terdaya membantah. Saya disuruh
berehat selama lima minit dengan berbaring hingga saya tertidur. Saya
dikejutkan semula, disuruh minum air madu lebah yang dicampurkan dengan air
dari akar kayu.
“Minum dengan sekali nafas sebelum minum. Baca Bismillah
dan mohon pada Allah supaya diberikan kekuatan fikiran seperti sediakala,
terhindar dari pengaruh tidak sihat,” datuk mengingatkan saya.
“Apa doanya tuk?”
“Berdoa dalam Bahasa Melayu. Allah mengerti apa bahasa
yang diucapkan oleh makhluknya. Apa yang penting permintaan itu mesti ikhlas,”
sahut datuk. Saya lakukan apa yang datuk suruh. Manisan lebah yang bercampur
dengan air akar kayu terus saya teguk. Rasa pahit dengan manis terus menguasai
anak tekak. Datuk tersenyum melihat muka saya mula kemerah-merahan.
“Madu lebah ni, memang banyak khasiatnya. Sayangnya,
orang kita tak tahu menggunakannya. Orang tua-tua yang tahu macam mana
menjadikan madu lebah ini sebagai ubat, tidak pula menurunkan petua itu pada
orang-orang terkemudian darinya,” datuk memulakan satu ceramah kecil di depan
saya dan Uda Lamat. Saya tidak memberikan sebarang komentar, dada saya terasa
lapang. Dalam beberapa saat sahaja badan saya berpeluh. Terasa bertenaga
kembali. Fikiran tidak pula bercelaru, terasa amat lapang sekali.
“Kadang-kadang orang tua-tua ada memberikan petua.
Tetapi, golongan baru tak mahu amalkan petua tu, kononya, petua adalah pendapat
kuno, tidak sesuai dengan peredaran zaman sains dan teknologi. Akibatnya petua
itu dilupakan. Kita ni, setinggi melangit sekalipun pelajaran, pandai bergaul
dan berbudaya moden, sebaik-baiknya petua orang tua-tua jangan dilupakan,” Uda
Lamat seperti menyokong pendapat datuk. “Bila kita tidak lupa asal budaya,
petua nenek moyang kita sendiri, selamat kita dalam hidup,” tambah datuk. Saya
tersenyum.
Di luar panas kian terik, angin pun tidak bertiup. Entah
mengapa, dalam cuaca yang agak panas itu, saya rasa mengantuk. Uda Lamat
menasihatkan saya supaya membasuh muka. Saya terus ke dapur dan masuh muka.
“Macam mana Tamar?” Tanyanya ketika saya melintasi di
ruang tengah.
“Setakat ini, tidak ada apa-apa,” kata saya.
“Kamu kena badi hutan.”
“Entah,” saya terus gelengkan kepala. Meneruskan langkah
yang terhenti. Sebenarnya, saya tidak mahu mengingati dengan apa yang telah
saya alami. Dan secara kebetulan pula, beberapa bahagian dari peristiwa itu
bagaikan terus hilang dari ingatan saya,. Jika ada orang yang meminta saya
menceritakan kembali, mungkin sebahagian kecil sahaja yang saya ingati.
“Duduk sini,” Uda Lamat memanggil saya. Bila dilihatnya
saya mahu duduk di sudut kanan anjung rumah. Sebaik sahaja saya duduk datuk
terus bangun, dia menuju ke halaman rumah membetulkan kedudukan beberapa batang
buluh yang dijemurnya.
Menjemur batang-batang buluh yang baru ditebang, memang
kerja datuk. Bila buluh-buluh itu berubah warna, datuk terus membelahnya untuk
dijadikan bilah lokah atau dibuat raga besar bagi mengisi pisang. Saya
tersenyum, melihat muka datuk berkerut-kerut menahan panas, kedua belah
pelipisnya mula ditumbuhi peluh-peluh halus.
“Saya nak tanya,” kata saya pada Uda Lamat.
“Silakan, Tamar.”
“Benarkah apa yang terjadi pada saya ni, kerana ketegur
atau kena badi orang mati bunuh diri?” Tanpa segan-segan saya ajukan pertanyaan
pada Uda Lamat, sata rasa gembira angin yang bertiup di luar rumah masuk ke
ruang anjung, badan terasa sejuk. Saya renung jam yang tersangkut di dinding,
sudah hampir pukul sebelas pagi.
“Kamu jangan tak tahu Tamar, itu bukannya badi, bukannya
penunggu atau ketegur, tetapi semuanya itu kerja iblis,” suara Uda Lamat
meninggi. Matanya merenung ke arah datuk yang melangkah dalam panas ke arah
anjung rumah.
“Saya membaca ayat-ayat suci, waktu berdepan dengan
perkara-perkara yang pelik yang saya fikirkan ada iblis atau syaitan terlibat
sama,” ujar saya penuh yakin. Datuk sampai ke ruang anjung, terus duduk.
“Soalnya, masa kamu menyebut ayat-ayat suci itu, adakah
kamu yakin yang hati dan perasaan kamu tidak was-was padanya. Dengan bisikan
jahat dan was-was inilah iblis telah menipu Nabi Adam. Menimbulkan rasa
was-was, memang kerja iblis,” tanpa diduga datuk turut campur dalam perbualan
saya dengan Uda Lamat.
SERONOK
Bila datuk campur tangan dalam hal seperti ini, hati saya
tidak begitu seronok. Datuk selalu bertindak mahu mengajar dan membetulkan
kesilapan diri saya di depan tetamu, perbuatannya itu secara tidak langsung
memperbodoh-bodohkan diri saya. Inilah perkara uyang memang tidak saya gemari.
Sebabnya, saya merasakan diri saya bukan budak-budak yang berusia antara
sembilan hingga sepuluh tahun.
“Apa yang datuk kamu cakap itu memang betul,” Uda Lamat
renung muka saya. Sebagai mengambil hati dan rasa hormat pada orang tua, saya
terus tersengih. Datuk anggukkan kepala. Matanya merenung ke halaman rumah yang
kelihatan membahang dengan cuaca panas.
“Selain daripada bentuk asalnya, iblis dan syaitan
kadang-kadang menyerupai manusa. Boleh bercakap-cakap dengan manusia, memberi
nasihat pada kita,” lanjut Uda Lamat dengan wajah yang serius.
“Peliknya, iblis boleh menyuruh dan menegah manusia
daripada melakukan sesuatu,” sampuk datuk. Uda Lamat kelihatan bertambah
bersemangat. Kemudian, datuk dan Uda Lamat terus menceritakan tentang peranan
iblis dalam tingkah laku anak Adam. Biasanya, iblis atau syaitan akan menggoda
manusia ketika seseorang itu berada dalam keadaan: Marah dan bernafsu.
•Melalui rasa dengki yang membara pada diri.
Waktu manusia terlalu kenyang dengan makanan dan minuma
Ketika manusia menyukai perhiasan yang berlebihan,
seperti hiasan bangunan, pakaian dan barang-barang kemas.
Sifat tamak.Sifat terburu-buru.Menerusi sifat
bakhil.Menerusi rasa fanatik mazhab.Waktu manusia mementingkan diri sendiri.
Menerusi rasa atau sifat prasangka buruk terhadap
saudaranya yang Islam.
Demikian datuk dan Uda Lamat menguraikan peranan iblis.
Saya menerima keterangannya itu sambil berfikir bahawa iblis ada seribu cara
untuk meruntuhkan dan mendorong manusia ke arah jalan yang tidak diredhai oleh
Allah. Saya terus menarik bafas panjang.
“Bila dalam diri manusia terdapat perkara-perkara yang
disebutkan tadi, mudah saja syaitan dan iblis menjalankan jarumnya,” dengan
nada suara yang lembut datuk mengungkapkan kata-kata itu. Dia renung ke arah
saya. Cepat-cepat saya menundukkan kepala. Terasa angin yang berlegar-legar
dalam ruang anjung menyentuh hujung rambut di pelipis kiri.
Tanpa diduga, nenek menghidangkan satu teko kopi panas
bersama dua cawan kosong. Saya kira nenek terlalu lambat menyediakan semuanya
itu. Kenapa sudah berjam-jam Uda Lamat berada di rumah, baru disogokkan dengan
kopi. Apakah datuk mengeluarkan perintah agar nenek berbuat demikian? Timbul
pertanyaan dalam diri saya.
“Minta maaf,saya terlambat,” nenek bersuara.
“Awak buat apa hingga terlambat?” Soal datuk.
“Tadi, saya ke kedai nak beli tepung untuk buat kuih nak
jamu awak dan Uda Lamat, sampai ke kedai runcit saya tersangkut.”
“Mendengar cerita orang tau belajar mengumpat,” datuk
membuat tuduhan secara terbuka pada nenek.
Saya lihat wajah nenek berubah. Sesungguhnya, tidak ada
sesiapa yang gembira bila dituduh secara melulu di depan tetamu. Sebagai isteri
yang penyabar,kaya dengan pengalaman serta asam garam kehidupan, Nenek tidak
memperlihatkan kemarahannya. Dia tetap tenang dengan senyum segar di bibir tua.
“Beberapa orang menasihatkan saya.. ,” nenek berhenti
bercakap. Dia tuangkan air kopi ke cawan untuk datuk.
“Apa yang mereka nasihatkan awak?” Tanya datuk lalu
berdirikan lututnya. Telapak tangan kanannya diletakkan ke atas tempurung
kepala lutut kiri. Dia terus termenung sambil mengerutkan dahinya. Tetapi
sepasang matanya tertumpu ke wajah Uda Lamat.
“Siapa yang menasihatkan awak tu?” Datuk mula cungkil
rahsia. Nenek tetap tenang. Dia bersila di depan datuk.
“Tuan kedai menasihatkan kita supaya mengadakan jamuan
atau semahan,” nenek mulakan cerita dengan wajah bersahaja. “Tujuannya, untuk
menjamu penunggu hutan, penunggu gunung, penunggu paya supaya jangan mengganggu
cucu kita dan orang-orang kampung yang lain,” nenek berhenti bercakap. Dia
menelan air liur.
“Tuan kedai tempat awak mengambil barang tu namanya, Haji
Taufik?” Uda Lamat kemukakan pertanyaan. Nenek anggukkan kepala. Saya lihat
datuk resah, macam ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman dirinya.
“Kenapa Pak Haji menyuruh kita membuat sesuatu yang
bertentangan dengan hukum Allah,” Uda lamat seperti mengeluh. Nenek terus
bangun, menuju ke ruang dapur. Datang kembali ke anjung rumah membawa segelas
air halia yang sudah ditaruh dengan beberapa titik madu lebah. Air itu, adalah
untuk saya. Mungkin air halia bercampur dengan madu lebah mempunyai khasiatnya
tersendiri. Tidak mengapa, bila Uda Lamat pulang, perkara itu akan saya
tanyakan pada nenek atau datuk.
“Perbuatan khurafat,” suara datuk keras. Sepasang biji
matanya terbeliak merenung muka saya. Menggigit bibir bersama rasa kesal yang
amat sangat.
“Iblis memang tidak pernah berhenti dari berusaha
menjadikan manusia memandang yang buruk itu baik, yang baik itu buruk, memang
sudah aku duga perkara seperti ini akan timbul,” lanjut datuk lagi.
“Tak mengapa, kita harus membetulkan anggapan yang silap
itu. Kita beritahu tempat kita mengadu dan meminta hanyalah pada Allah yang
Maha Besar, bukannya pada penunggu, bukannya pada keramat,” Uda Lamat cuba
menyejukkan hati datuk. “Ya, kita berusaha ke arah itu,” sahut datuk.
Saya kira, perkara yang dibincangkan itu habis di situ
sahaja. Ternyata perkiraan saya itu tidak tepat, datuk dan Uda Lamat terus
bercerita tentang masalah yang bersangkut paut dengan pendirian masing-masing.
Tentu sahaja perkara semacam ini, tidak mengembirakan saya.
“Saya nak keluar, jalan-jalan keliling kampung tuk,” saya
ajukan permintaan pada datuk. Uda Lamat renung muka saya.
“Jalan keliling kampung tu di mana?” Datuk meminta
kepastian. Biji matanya tertumbuk ke wajah saya. Rasa cemas kembali bertandang
dalam diri saya.
“Saya nak ke kebun, saya nak tengok pokok pisang, betik dan
lain-lain lagi,” ungkap saya penuh ikhlas.
“Tak payah,” datuk memberikan kata muktamad. Saya menelan
air liur kecewa. Uda Lamat dapat membaca rasa hampa dalam diri saya melalui
riak muka.
“Tak payah pergi Tamar, dengar cakap datuk kau tu. Kamu
tak berapa sihat,” Uda Lamat menyejukkan hati dan perasaan saya. Nasihatnya itu
saya terima.
“Sebagai orang Melayu beragama Islam, kita adalah orang
yang bertuah dan beruntung di dunia,” Uda Lamat lunjurkan kedua belah kakinya,
membayangkan dia mahu bercerita secara serius dan panjang pula.
“Kenapa awak kata macam tu?” Tanya datuk.
“Apa yang ada pada kita, tidak ada pada orang Jepun,
tidak ada pula pada orang Inggeris dan tidak ada pada orang Amerika,” jawab Uda
Lamat. Jawapannya itu tidak menyenangkan diri datuk. Saya mula merasakan
keterangan Uda Lamat itu kebudak-budakkan. Sebabnya, pada hemat saya
orang-orang Jepun, Perancis, Amerika dan Inggeris satu bangsa yang maju dapat
bergerak dan berkembang seiring dengan arus zaman abad kedua puluh. Masakan
orang dapat mengikuti atau memiliki dengan apa yang ada pada diri mereka.
“Apa yang tak ada pada mereka tu? Kau nak kata mereka tak
berilmu? Tak ada Tuhan, tak ada adat dan budaya, sedangkan mereka menguasai
semua bidang dalam dunia ini,” datuk menyanggah pendapat Uda Lamat. Dalam hati
kecil, saya setuju dengan pendapat datuk itu. Saya kira Uda lanat tidak dapat
menghujah pendapat datuk. Uda lamat terus termenung. Agaknya berfikir untuk
mencari jawapan.
“Apa yang tak ada pada mereka?” soal datuk lagi.
“Mereka tak ada IMAN,” jawab Uda Lamat, membuat saya dan
datuk berpandangan sesama sendiri.
No comments:
Post a Comment