Saya
kira setelah selesai membaca surah Al-Kahfi, tetamu ganjil yang tidak diundang
itu akan pergi. Ternyata perkiraan saya tidak tepat. Tetamu ganjil masih berada
di depan pintu, cuma dia tidak ketawa mengilai atau menangis.
Kali
ini dia duduk dengan membongkokkan badannya. Menyembunyikan wajahnya di celah
kangkang agar tidak dapat kami lihat. Bunyi nafasnya cukup kuat.
"Biarkan
dia di situ," bisik Haji Taslim Singasari pada saya dan datuk, "Masa
arwah hidup, dia selalu datang tidak tentu masa," penjelasan Haji Taslim
Singasari yang membuat saya dan datuk terkejut besar.
"Begitu,"
kata datuk.
"Biar
saya uruskan semuanya," itu jaminan Haji Taslim Singasari.
Saya
makin lemas dengan keadaan yang saya hadapi. Menyesal rasanya, saya ikut datuk.
Kalau saya tahu begini jadinya, lebih baik saya tidur di rumah Mat Prai.
"Kita
makan," Haji Taslim Singasari letakkan hidangan malam di depan saya dan
datuk. Hebat juga masakkannya, ikan keli masak rempah, ada ikan gelama kering
yang digoreng bersama cabai kering dan bawang besar. Ada sambal kelapa dengan
ulam pegaga.
Melihat
hidangan itu, saya jadi kagum. Masa bila Haji Taslim Singasari menyediakan
semuanya ini? Sungguh cekap dia bekerja. Fikir saya dalam hati.
"Ya,"
angguk Haji Taslim Singasari sambil menaruh nasi ke dalam pinggan saya dan
datuk, "Masa menanti awak datang, saya siapkan semuanya ini. Masak sendiri
dah jadi perkara biasa bagi saya," Haji Taslim Singasari menyelesaikan
persoalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.
Ketika
kami menjamu selera, tetamu ganjil tidak mengganggu. Tidak bergerak dari tempat
duduknya. Bunyi hembusan nafasnya beransur lemah. Meskipun dia tidak mengacau
tetapi, rasa cemas tetap berada di hati saya.
"Sin..."
Secepat
kilat saya menoleh ke arah tetamu ganjil. Saya yakin, suara yang menyeramkan
itu datangnya dari tetamu ganjil. Bunyinya macam bunyi belalang pelesit. Kerana
datuk dan Haji Taslim Singasari ada disisi saya, rasa takut terus hilang.
Selesai
makan, kami terus berehat di ruang tengah rumah. Saya sandarkan badan ke
dinding. Ternyata datuk tidak senang, kalau masa yang terluang dibiarkan
berlalu begitu saja. Setiap saat yang hadir harus diisi dengan mengingati
Allah.
"Macam
mana kalau kita membaca Quran, datuk meluahkan usul. Rupanya, usul itu disambut
oleh Haji Taslim Singasari dengan aman.
"Memang
elok tu, saya juga berfikir macam tu. Tapi, mesti sekejap lagi kita mulakan,
biar nasi dalam perut hancur," Haji Taslim Singasari renung ke arah jam
tua yang tersangkut di dinding.
"Baru
pukul sebelas," tambah Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang
kakinya. Senyum datuk berlari di kelopak bibir.
Suasana
jam sebelas malam di pinggir kampung memang terasa amat sepi. Desiran angin
yang menolak cucor atap rumah jelas kedengaran. Suara pungguk merayu bulan
terus mendayu-dayu begitu juga dengan bunyi cengkerik dan katak.
Mungkin
kerana saya makan terlalu kenyang menyebabkan saya terasa amat mengantuk
sekali. Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk. Pada saat itu, saya sudah
terlupa dengan makhluk ganjil.
"Makan
tak jemput orang pun."
Saya
segera jegilkan mata. Saya pasti, itu suara dari tetamu ganjil. Saya segera
merenung ke wajah datuk. Dari kedutan keningnya, saya dapat membayangkan yang
datuk berada dalam keresahan.
"Usah
bimbang," Haji Taslim Singasari bersuara. Matanya tertampar ke wajah saya
dan datuk.
"Dia
tu kembar si mati, inilah kali kedua dia datang. Kali pertama waktu arwah
sakit. Dia datang merawatnya. Ini semuanya iblis," sambung Haji Taslim
Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya.
"Hal
begini, tak boleh dibiarkan," cetus datuk seraya menjeling tajam ke arah
tetamu ganjil. Gegendang telinga saya terdengar bunyi suara orang mengeluh
dengan sayu sekali.
"Sahabat
apa namanya, kalau tak boleh menolong sahabat sendiri," datang lagi
kata-kata dari tetamu ganjil. Saya jadi resah tidak menentu.
Tiba-tiba
pelita yang menyala terpadam seperti dihembus sesuatu. Bagaikan kilat saya
terus meluru ke arah datuk. Terus duduk di hujung lututnya. Haji Taslim
Singasari terus meraba-raba mencari mancis api.
"Rumah
ni bergegar, macam di goncang orang," kata datuk sambil memegang
pergelangan tangan kanan saya erat-erat. Dia berbuat demikian agar saya tidak
terpisah dengannya. Apa yang datuk kata memang benar. Saya sendiri
mengalaminya, terasa punggung saya seperti bergerak sendiri atas papan lantai.
"Jangan
disentuh barang yang jatuh, walaupun ada di hujung tangan kamu," Haji
Taslim Singasari mengingatkan. Dia menyalakan mancis lalu membakar sumbu pelita.
"Alhamdulillah,"
datuk bersuara setelah cahaya pelita menerangi ruang. Haji Taslim Singasari
membuka baju Melayu potongan teluk belanga lalu disangkut ke dinding.
Baju
singlet yang masih lekat di tubuhnya kelihatan berwarna agak kekuningan.
Beberapa bahagian ada yang koyak sebesar telapak tangan orang dewasa. Tanpa
berkata apa-apa Haji Taslim Singasari terus menuju ke dapur.
KEMBALI
Dia
kembali mendekati saya dan datuk, muka dan kedua belah tangannya terdapat kesan
air. Dia membiarkan air di hujung jarinya menitik atas lantai.
"Ambil
air sembahyang?" datuk bertanya.
Haji
Taslim Singasari anggukkan kepala. Dengan hati-hati dia mengangkat
barang-barang yang berserakkan di lantai lalu diletakkan ke tempatnya.
"Jangan,
biar saya uruskan sendiri," tegah Haji Taslim Singasari. Saya tidak jadi
membantunya mengangkat kitab tua bertulis jawi ke atas rak.
Datuk
masih lagi bersandar di dinding. Matanya merenung sayu ke arah Haji Taslim
Singasari. Semua gerak-geri Haji Taslim Singasari ada dalam bola mata datuk.
Datuk bagaikan mentafsir segala gerak langkah Haji Taslim Singasari yang
mempunyai makna dan maksud tertentu. Semua barang-barang yang bertaburan
dikembalikan ke tempat asalnya. Haji Taslim Singasari kembali duduk disisi
datuk.
Tiba-tiba
daun tingkap yang dikunci terbuka dengan sendiri. Angin malam menerbus masuk,
mengusap wajah dan tubuh kami bertiga. Saya melihat ke arah tingkap yang
terdedah. Cuaca di luar amat gelap.
"Kamu
pergi rapatkan tingkap."
Perintah
datuk segera saya patuhi dengan rasa hati yang amat berat sekali. Ketakutan
menguasai diri saya.
Bila
saya hadapkan muka keluar, apa yang dilihat ialah kegelapan malam yang
memanjang. Saya terasa seram dan bulu roma saya terus berdiri.
Bila
daun tingkap saya tarik untuk rapatkan, secara tidak sengaja mata saya
terpandang kain putih melayang-layang di udara diterbangkan oleh angin ke atas
ke bawah. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya terus terpaku di situ.
Kain
putih yang dimainkan angin bergerak ke arah saya. Hati kecil berdetik
mengatakan kain putih yang saya nampak itu adalah kain kafan Suhaimi Keraba,
saya tercium bau kapur barus, sintuk dan bau-bauan lain yang sering digunakan
untuk memandikan mayat.
"Tamar,
kenapa lama sangat kamu di situ?"
Suara
Haji Taslim Singasari cukup lantang. Saya mempersetankan teguran itu. Haji
Taslim Singasari berbuat demikian kerana melihat saya berdiri di situ agak
lama. Daun tingkap tidak juga dirapatkan, masih terdedah.
"Tamar,
apa yang kamu tengok dalam gelap tu?" suara datuk menyusul. Saya terus
membisu dengan sepasang mata tertumpu ke arah kain putih yang melayang-layang
di udara.
Angin
kian bertiup, dedahan yang berlaga sama sendiri mengeluarkan bunyi yang
berbagai-bagai. Sesekali terdengar macam bunyi orang mengeluh, orang menangis
dan bernyanyi yang tidak berapa jelas senikatanya.
Gegendang
telinga terus disumbat dengan suara lolongan anjing yang sayup-sayup dari arah
kaki bukit. Suara burung hantu terus tingkah meningkah dengan suara burung
jampuk.
Makin
gamat suara lolongan anjing dan suara burung hantu, kian rancak kain putih
melayang-layang di udara macam orang menari. Kalau pada awalnya saya dapat
mengagak panjang kain putih itu kira-kira enam kaki tapi kali ini panjangnya
kian bertambah hampir mencecah awan.
"Tamar."
Bahu
kanan saya di tepuk dengan kuat. Saya menoleh ke kiri. Saya lihat datuk berdiri
di sisi saya dengan wajah yang cemas. Saya toleh ke kanan, saya lihat Haji
Taslim Singasari berdiri si situ. Saya cuba mahu menutur sesuatu tetapi, suara
saya tidak keluar.
"Budak
ni kena pukau iblis," tutur Haji Taslim Singasari.
Dia
menentang wajah saya sambil mulutnya berkumat-kumit. Saya tidak tahu apa yang
dibacanya. Seluruh kulit muka saya terasa panas seperti terkena api.
Haji
Taslim Singasari meletakkan telapak tangan kanannya atas dahi saya. Dari dahi,
telapak tangan itu bergerak perlahan-lahan menyapu wajah saya hingga ke hujung
dagu. Haji Taslim Singasari mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali
berturut-turut.
"Aiicccuuuummmmmmmmmmmmmmmmmmmm..."
Saya
bersin hingga terasa hingus keluar dari hidung. Seluruh badan terasa seram
sejuk. Saya rebah di lantai.
Ketika
itulah saya terpandangkan tetamu ganjil seolah-olah berdiri di depan saya. Kali
ini wajahnya amat menakutkan. Dia menjelirkan lidah hingga ke perut. Telinganya
yang sebesar telinga gajah jatuh atas bahunya. Kelopak matanya merah seperti
bara dan dari lubang telinganya keluar asap yang nipis. Dia bagaikan ketawa
melihat saya terkapar di lantai. Haji Taslim Singasari terus merawat saya.
Bila
Haji Taslim Singasari berada di bahagian kepala saya, tetamu ganjil itu segera
berubah ke hujung kaki. Kehadiran tetamu ganjil itu memang tidak dapat dilihat
oleh Haji Taslim Singasari. Dia bergerak bagaikan bayang-bayang. Saya menelan
air liur dan cuba menuturkan beberapa patah perkataan. Ternyata saya sudah
boleh bersuara.
"Di
hujung kaki saya," tutur saya meninggi.
"Apa
dia Tamar?" soal Haji Taslim Singasari kehairanan. Dia renung ke kiri dan
ke kanan. Dia gelengkan kepala sambil berkata: "Tak ada apa-apa pun yang aku
nampak."
Mendengar
ungkapan dari Haji Taslim Singasari itu, tetamu ganjil menyeringaikan giginya
tanda suka.
"Saya
nampak apa yang cucu saya katakan," datuk bersuara dengan sepasang matanya
tertumpu ke arah hujung kaki saya. Gerak-geri si tetamu ganjil dalam biji mata
datuk.
"Saya,"
sahut tetamu ganjil lalu mempamerkan tubuhnya ke alam nyata. Datuk dan Haji
Taslim Singasari berpandangan.
"Kita
mesti bertindak," kata datuk.
"Caranya?"
soal Haji Taslim Singasari.
"Begini,
kau ambil surah Yasin dan baca di situ," datuk segera menuding jari
telunjuknya ke arah sudut ruang.
"Kalau
itu, memang ada rancangan dalam kepala saya," sahut Haji Taslim Singasari
mematuhi cakap datuk.
Datuk
terus berdepan dengan tetamu ganjil itu. Kedua-dua kelopak bibir datuk bergerak.
Pasti datuk membaca ayat-ayat suci penghalau iblis. Datuk seperti menghadapi
kesulitan kerana bibir tetamu ganjil itu ikut bergerak mengikut gerakan bibir
datuk, dia dapat menyebutnya dengan fasih, malah membetulkan pembacaan datuk
yang tersilap.
SUARA
Datuk
buat tidak kisah dengan telatah tetamu ganjil itu. Dia teru membaca ayat-ayat
suci penghalau iblis dengan tenang. Haji Taslim Singasari yang mendengar suara
tetamu ganjil mengajuk cakap datuk, terus membaca surah Yasin dengan lantang.
"Sampai
di sini saja kita berkawan Haji, kamu memang selama-lamanya bermusuh dengan
sahabat kami," tiba-tiba saja tetamu ganjil meloncat ke arah Haji Taslim
Singasari. Dia jadi marah kerana Haji Taslim Singasari tidak menjawab
kata-katanya. Dia menjerit dengan sekuatnya.
Dan
bersama gema jeritan yang memekakkan anak telinga itu, seluruh tubuh tetamu
ganjil bercahaya macam manik-manik kaca disinari matahari. Pada mulanya
membesar, kemudian mengecil dan hilang macam debu-debu dibawa angin. Tidak ada
apa yang dapat kami lihat.
Suasana
terasa amat sepi tetapi, bau kemenyan dan kapur barus bagaikan memenuhi ruang
rumah. Saya rasa seluruh badan berpeluh dan bertenaga. Saya segera bangun
duduk.
"Saya
fikir semuanya dah selesai," kata datuk.
"Saya
harap pun begitulah, tapi iblis ni pandai menipu kita," sahut Haji Taslim
Singasari agak ragu-ragu. Dia renung kiri kanan. Dia bangun dan dan memeriksa
seluruh ruang. Akhirnya daun tingkap yang terdedah dirapatkannya. Lolongan
anjing masih sayup-sayup terdengar. Haji Taslimi Singasari dan datuk tidak
memberi sebarang komen tentang lolongan anjing itu.
"Bagaimana?
awak yakin dia tak dapat datang lagi?" tanya datuk sambil menatap wajah
Haji Taslim Singasari. Saya lihat Haji Taslim Singasari seperti tergamam. Dia
segera mengedutkan dahi dan keningnya.
"Saya
rasa semuanya dah selesai."
"Awak
yakin, dia tak datang lagi?" datuk minta kepastian.
Haji
Taslim Singasari anggukkan kepala.
"Jadi
sekarang, apa yang patut kita buat, Haji."
Pertanyaan
datuk tidak mendapat jawapan. Haji Taslim Singasari menelan air liur.
"Apa
yang patut kita buat, Haji?" ulang datuk lagi. Haji Taslim Singasari
senyum sinis. Dia terus meluru ke ruang dapur.
Buat
beberapa saat, saya dan datuk saling berpandangan. Malam yang kian tua membuat
suasana terasa hening. Kedinginan terasa menggigit seluruh tubuh. Sesekali
terdengar kokok ayam dari hujung kampung. Datuk ambil senaskah Quran dari atas
rak. Badannya disandarkan ke dinding. Dengan wajah yang tenang, datuk membuka
Quran dan bersedia untuk memulakan pembacaan.
"Nanti
dulu, ini yang patut kita buat," biji mata saya dan datuk tertumbuk ke
arah Haji Taslim Singasari yang berdiri di ambang pintu. Dia menatang talam
bulat yang berisikan teko dan cawan kosong, "Tadi awak tanya saya apa yang
patut kita buat. Jawapannya inilah dia," sambung Haji Taslim Singasari
lalu duduk. Talam yang berisikan teko dan cawan diletakkannya atas lantai.
"Apa
benda ni," tanya datuk sambil menutup Quran. Datuk bangun dan terus
meletakkan Quran atas rak.
"Kita
minum dulu, lepas tu baru kita buat yang lain," Haji Taslim Singasari pun
menuangkan air kopi ke dalam cawan.
Saya
terus memerhatikan asap nipis yang bangkit di permukaan cawan. Haji Taslim
Sinagsari menjeling ke arah saya tetapi, tangannya terus meletakkan cawan yang
berisi kopi di depan saya dan datuk.
"Minum,
biar panas badan, bila kena kopi O keras macam ni, barulah seronok. Sampai ke
siang kita boleh berjaga," tutur Haji Taslim Singasari. Dia ketawa kecil,
mempamerkan giginya yang kelihatan putih dan tersusun rapi. Tidak ada satupun
giginya yang patah atau rosak.
Nanti,
bila ada masa lapang, saya nak himpit orang tua ni. Saya nak minta petua dan
amalan yang dipakainya untuk gigi tahan lama, bisik batin saya.
Wajahnya
saya tatap dan Haji Taslim Singasari bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada
saya. Dia senyum sambil anggukkan kepala lalu meneguk air kopi O panas. Dia
bangun dan terus menuju ke ruang dapur untuk kali kedua.
Saya
dan datuk merasa agak ganjil dengan sikap yang ditunjukkan oleh Haji Taslim
Singasari. Jangan-jangan dia lebih hebat dari Suhaimi Keraba dalam bersubahat
dengan iblis, timbul semacam perasaan dalam diri saya.
Datuk
terus memeluk tubuh erat-erat. Kamudian dia meluruskan tangan dan
jari-jemarinya. Kedua belah cuping telinganya diraba tiga kali berturut-turut.
Datuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk tarik nafas dalam-dalam.
Dilepaskannya perlahan-lahan. Tangan yang diluruskan segera dijatuhkannya.
Jari-jemarinya digenggam kemas-kemas. Wajah datuk nampak aman sekali.
"Tak
ada apa-apa Tamar, dia jujur," tutur datuk.
"Saya
tahu, tetamu saya ni meragui kejujuran saya," kata Haji Taslim Singasari,
kami segera menoleh ke kanan. Memang saya dan datuk tidak sedar bila Haji
Taslim Sinigasari berada di situ. Datuk merasa malu kerana rahsianya dapat
dikesan oleh orang lain. Haji Taslim Singasari terus duduk di sisi saya.
"Bukankah
beringat-ingat dan berhati-hati tu, memang disuruh oleh agama kita," itu
dalih datuk.
"Ya,
perkara semacam tu memang harus ada pada setiap manusia, kita tidak disuruh
menyerah pada takdir. Bukankah agama kita mengajar kita supaya berfikir,"
begitu bersahaja Haji Taslim Singasari bersuara. Dia terus meneguk air kopi O
panas.
"Kalau
kita ikhlas dan jujur sesama manusia, apa yang menjadi kesangsian pada orang
lain mudah dikesan, buktinya, awak dapat mengesan kejujuran saya. Antara kita
berdua saling ingat mengingati," datuk melanjutkan kata-kata.
MELAWAN
Haji
Taslim Singasari bangun lagi terus menuju ke ruang dapur untuk kali ketiga.
Beberapa detik berikutnya, Haji Taslim Singasari datang kembali menatang
pinggan. Dia duduk meletakkan pinggan atas lantai.
"Saya
ke dapur tadi memasakkan ini," jelasnya.
"Kalau
tak silap saya, ini pulut kuning," mata datuk merenung ke arah pulut
kuning yang ada dalam pinggan.
"Ya,
memang betul cakap awak tu."
"Bila
Haji memasaknya?"
"Tadi,
biasanya bila saya berjaya melawan hantu syaitan, saya mesti makan pulut
kuning. Memang sejak kematian sahabat saya, saya yakin kembarnya mesti datang,
jadi saya bersedia terlebih dahulu.
"Ini
ajaran guru awakkah Haji?" datuk menyoal lagi. Haji Taslim Singasari tidak
menjawab. Dia terus mengepalkan pulut kuning dan diberikan kepada kami.
"Ini
bukan ajaran atau amalan, ini petua guru saya. Tidak ada kena mengena dengan
agama, sudah penat berlawan kita mesti berehat dan makan barang yang boleh beri
kita tenaga, itu saja maksudnya," dengan wajah yang tenang Haji Taslim
Singasari menjelaskan. Dia menghirup kopi O panas dan mengunyah pulut kuning.
"Makan,
lepas ni kita membaca Quran atau melakukan sembahyang tahjud, kalau kamu tidak
mahu kamu boleh tidur," Haji Taslim Singasari renung wajah saya. Datuk
ketawa.
"Budak
ni, kalau disuruh tidur memang jadi, dia ni kaki tidur," kata datuk. Hati
saya jadi panas dengan usikkan datuk itu. Kalaulah datuk itu kawan sepermainan,
sudah tentu saya maki. Menjatuhkan nama baik saya di depan orang.
"Tak
apa, kalau kamu nak tidur, tidurlah, tapi orang yang pandai selalu memilih
berjaga dari tidur. Berjaga banyak mendatangkan manfaat, kalau digunakan untuk
menambah ilmu," Haji Taslim Singasari terus menepuk belakang saya dengan
mesra sekali.
"Kalau
waktu berjaga digunakan berborak kosong, membaca buku yang tidak berfaedah,
berangan-angan, tentulah merugikan diri sendiri," sambung Haji Taslim
Singasari, bagaikan berfalsafah di depan saya.
"Cakap
awak tu, Haji memang betul," sampuk datuk dengan senyum yang memanjang.
Entah
macam mana di malam yang dingin itu, datuk berjaya memujuk Haji Taslim
Singasari supaya menceritakan pengalaman petualangnya di Tanah jawa mengisi
ilmu akhirat dan dunia di dalam dadanya.
"Saya
tak banyak mengambil ilmu dunia. Awak tahu, ilmu dunia kadang-kadang bercanggah
dengan agama Islam. Tetapi..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan
kata-katanya. Dia renung kiri, renung kanan. Macam ada sesuatu yang
dibimbangkannya.
"Tetapi
saya ada juga belajar untuk tahu saja," sambung Haji Taslim Singasari yang
secara tidak langsung membuka rahsia dirinya.
"Saya
pernah ikut arwah ke tempat perguruan di hutan. Saya melihat arwah sahabat saya
bersemadi di bawah batu besar. Makan sebiji beras sehari dan minum dua hari
sekali. Air minuman dari embun di hujung daun," Haji Taslim Singasari
memperkemaskan silanya.
"Itu
untuk ilmu apa, Haji?" soal datuk.
"Untuk
melihat muka orang halus, bertutur dan berkampung sama-sama mereka," jelas
Haji Taslim Singasari. Haji Taslim Singasari juga menyatakan arwah (Suhaimi
Keraba) diiktiraf murid yang terbaik oleh gurunya. Arwah dikurniakan kain ikat
kepala warna merah.
Arwah
Suhaimi Keraba (ASK) juga menuntut ilmu 'Telapak Pasir Merah'. Khasiat dari
ilmu ini, bila ASK menghentam atau menumbuk seseorang pasti orang yang kena
hentam itu akan muntah darah segar.
Ketika
mangsanya mengeletek kesakitan ASK menghilangkan diri dan berada di tempat
lain. ASK juga menuntut ilmu 'Cakra Dewa', khasiatnya boleh membunuh orang dari
jauh, juga boleh digunakan sebagai ilmu guna-guna.
Selain
dari ilmu-ilmu yang disebutkan itu, ASK juga menuntut ilmu 'Cakar Dewa'. Orang
yang mengamalkan ilmu ini, bila dia mengerakkan jemarinya ke wajah seseorang,
maka rosaklah wajah orang yang tersebut ketika itu juga.
"Ini
ilmu dunia yang tidak pernah saya amalkan. Tetapi saya tahu kehebatannya. Saya
juga merasa pelik macam mana arwah boleh kalah dengan awak?" sepasang biji
mata Haji Taslim Singasari meraut wajah datuk yang sudah mula berkedut itu.
"Entahlah,
setiap kali saya berdepan dengannya, saya mohon pada Allah supaya usaha-usaha
saya diberkati. Tujuan saya ialah mahu mengajak sahabat awak ke jalan yang
benar." Datuk memberikan pengakuan.
JAKARTA
Dalam
bulan Februari 1980, saya berkunjung ke Jakarta kerana urusan peribadi. Sebaik
saja sampai di sana, semua akhbar dan majalah memuatkan berita tentang seorang
penjenayah yang handal bernama Kunsi Kandut. Kunsi Kandut dihukum mati kerana
kesalahan merompak, membunuh dan sebagainya.
Kunsi
Kandut terkenal sakti dan berilmu, sehingga ramai yang mengatakan tubuhnya
tidak boleh ditembusi peluru. Kematiannya disangsikan. Maka dalam penjara dia
diberikan beberapa keistimewaan, disediakan peti tv dan sebagainya. Tetapi
Kunsi Kandut berjaya menghilangkan diri dari tembok batu. Setiap kali dia
bolos, pihak berkuasa berjaya memberkasnya.
Hasil
dari penyelidikan sendiri, ternyata ilmu yang dimanfaatkan oleh Kunsi Kandut,
sama dengan ilmu yang diamalkan oleh ASK. Saya terfikir, mungkinkah dua insan
ini seperguruan, sayangnya mereka sudah tiada lagi. Kalau salah seorang
daripada mereka masih ada mungkin saya boleh bertanya.
"Saya
tahu, arwah pernah menyatakan pada saya yang dia mahu mengajar ilmunya pada
orang-orang yang berminat, caranya dia mahu mendirikan gelanggang silat
dulu," Haji Taslim Singasari terus bangun. Berjalan dari sudut ke sudut di
ruang tengah.
"Ada
anak muridnya?" tanya datuk.
Haji
Taslim Singasari telan air liur. Dia tidak dapat memberikan jawapan dengan
segera. Haji Taslim Singasari duduk kembali.
"Ada."
Jawab Haji Taslim Singasari selamba.
"Dimana,
Haji?"
"Saya
tidak tahu dengan tepat, boleh jadi ada di Perak, Kedah, Selangor. Maklumlah
dia tu boleh pergi ke mana-mana dengan sekelip mata.
"Hum..."
datuk mengeluh kehampaan.
Buat
beberapa saat, suasana dalam rumah dicengkam kesepian. Tiga kepala cuba
berusaha memecahkan persoalan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Keraba.
Saya
segera terfikir, banyak kejadian ganjil di dunia yang dapat diterima oleh akal.
Ada pula yang tidak logik! Ah semuanya ini menjadi misteri yang membingungkan
orang. Apa yang jelas kematian Suhaimi Keraba mendatangkan masalah pada datuk
dan Haji Taslim Singasari.
"Kalaulah
benar, dia ada anak muridnya, kita harus berusaha mencegahnya supaya ajaran ini
tidak merebak ke mana-mana," datuk memberikan cadangan.
"Ya,
kita mesti menyedarkan mereka yang perbuatan itu memang bertentangan dengan
agama," sahut Haji Taslim Singasari.
"Kita
berjanji," kata datuk.
"Ya,
saya berjanji," sahut Haji Taslim Singasari ambil berjabat tangan dengan
datuk. Mereka bergoncang tangan, memperkuatkan tekad.
"Awak
mesti ikut saya ke kampung laman saya minggu depan, saya memerlukan bantuan awak,
sebelum ke tempat saya kita ke tempat lain dulu," tiba-tiba Haji Taslim
Singasari bersuara sambil menarik telapak tangannya yang bercantum dengan
telapak tangan datuk.
No comments:
Post a Comment