Kerana sudah
kerapkali berdepan dengan kejadian demikian, saya jadi arif untuk menjawab dan
memberhentikan suara yang bergema dari setiap sudut ruang. Seluruh perhatian,
saya tumpukan ke arah orang di atas pentas yang wajahnya tidak berapa jelas.
“Ya, dia memang musuh
kita,” terkeluar kata-kata dari kelopak bibir saya. Suara orang ketawa bergema
di ruang dewan. Bila gema ketawa berakhir, gegendang telinga saya menangkap
suara orang berbentuk perintah.
“Kau mesti membunuhnya.
Kau nampak kerlipan di bahagian dada kirinya?”
“Saya nampak kerdipan
itu, saya mesti membunuhnya.”
“Bagus, kaulah
perwira satria. Ayuh lakukan!” Pujian muncul dari setiap ruang dewan. Telinga
saya terasa pekak. Semangat baru meresap ke dalam urat saraf. Hidup mati saya
semata-mata untuk mematuhi perintah suara aneh itu.
“Ya, saya mesti
melakukannya sekarang. Saya mesti menikamnya dengan pisau sampai mati,” satu
tekad yang bulat berpadu dalam diri saya.
“Ya, untuk kebenaran
dan keadilan, kau lakukan segera. Jangan berlengah-lengah lagi, jangan
bertangguh-tangguh.”
“Ya, kata saya penuh
semangat.
Pisau yang terselit
di pinggang segera saya pegang. Saya cabut dari sarungnya. Dengan tenang dan
penuh keyakinan, saya ,melangkah ke arah lelaki di tengah pentras. Saya
berlagak dan berpura-pura memberi penghormatan padanya. Makin lama, makin dekat
saya dengannya.
Kerlipan di bahagian
dada kirinya terus memancar. Menyilaukan mata tetapi semuanya itu tidak
menghalang saya untuk menghampirinya. Saya pasti kerlipan itu tidak menghalang
saya untuk menghampirinya. Sata pasti, kerlipan yang memancar dari bahagian
kirinya itu ialah sebuah medal berbentuk empat segi yang melambangkan seekor
tupai bertarung dengan ular senduk. Medal itu dibuat dari tembaga kuning yang
berkilat.
Saya naik ke pentas
dari sebelah kanan. Dari tepi pentas, saya menghintung langkah hingga sepuluh.
Berhenti betul-betul di depan lelaki yang wajahnya tidak berapa jelas.
Pencarian dari medal yang dipakainya tetap menyilaukan mata saya. Tanpa
membuang masa, saya terus menundukkan kepala memberi hormat padanya.
“Kamu,” lelaki itu
bersuara dengan rasa terkejut.
“Ya”’ jawab saya.
TAHU
Seperti mengetahui
apa yang akan saya lakukan terhadapnya, lelaki itu memusingkan badannya,
membelangkangi saya. Kerlipan dari medal yang dipakainya tidak dapat saya
lihat. Pandangan saya jadi gelap, dalam keadaan yang agak cemas itu pisau di
tangan saya angkat tinggi-tinggi. Saya cuba menahan diri dari melakukan
sesuatu. Kerana pisau sudah di angkat tinggi, usaha saya menemui kegagalan.
Cukup pantas sekali
saya rasakan gerakan tangan. Pisau terus terbenam ke bahagian belakang lelaki
itu. Saya lihat tubuh lelaki itu berkecai dalam percikan cahaya bersinar. Medal
yang berkilau-kilau bergeral pada setiap ruang dewan. Akhirnya, berlaga dengan
dinding dewan, berkecai menjadi serpihan yang halus. Di mana-mana saya lihat
api menyala dengan marak sekali.
Saya juga terdengar
suara dari setiap sudut dewan, bergema dengan sejuta pujian. Semuanya memberi
ucapan tahniah dan menganggap saya sebagai seorang pahlawan besar yang berjaya
menghancurkan kedurjanaan demi untuk menegakkan keadilan dan kebenaran. Saya
terasa dan melihat jambangan bunga tidak putus-putus di campakkan ke arah saya.
Berlonggok-longgok di tengah ruang dewan. Saya tersenyum bangga, suara pujian
terus bergema.
“Kamu dah jalankan
tugas suci,” terdengar suara Amjal Kamal. Segera saya toleh ke kiri, dalam
keadaan yang samar-samar itu, saya lihat Amjal Kamal tersenyum ke arah saya.
Bila saya membuka kelopak bibir untuk mengucapkan sesuatu, Amjal Kamal terus
hilang dari penglihatan saya.
Kerana yakin masih
ada perintah selanjutnya, saya terus berdiri di tengah ruang dewqn dengan pisau
di tangan. Masa terus berlalu, perintah yang diharapkan tidak juga muncul. Saya
terus memandang ke arah longgokkan bunga di tengah ruang dewan. Aneh sungguh,
longgokan bunga itu bergerak secara perlahan-lahan.
“Aduh, sakitnya,”
terdengar suara dari celah-celah longgokan bunga. Suasana cukup sepi sekali.
Antara sedar dengan tidak, diri terasa mengembara dari alam khayal menuju ke
alam nyata.
PANGKAL
Di saat-saat
terumbang-ambing itu, saya terasa pangkal peha kanan saya dihentak oleh sesuatu
dengan kuat sekali. Tubuh saya terpelanting ke dinding. Dari dinding bergerak
ke kanan lalu terkandas pada almari cermin. Kaca almari pecah berderai.
“Ah,” saya mengeluh
seprti tersedar dari mimpi. Pecahan kaca terdampar atas kepala, bahu dan
belakang. Saya masih bernasib baik kerana tidak luka. Saya cuba bangun tetapi
tidak berjaya. Bahagian rusuk kanan saya terasa pedih bila saya cuba berdiri.
Saya terpandangkan
nenek yang berdiri di sebelah kiri. Dengan lembut perempuan itu mengutip
pecahan kaca di tubuh saya. Semua pecahan kaca itu di isi di dalam baldi
plastik.
“Apa kena kamu ni,
Tamar. Tak habis-habis buat hal,” nenek merungut.
“Kenapa nek?” Tanya
saya.
“Kamu tengok
sendiri,” nada suara nenek separuh keras. Jari telunjuknya menghala ke arah
datuk. Saya lihat datuk mengerang kesakitan. Kesan darah masih dapat dilihat
pada kain putih yang melilit bahagian rusuk kirinya. Di hujung sejadahnya, saya
terlihat pisau pemotong bawang tersadai berlumuran darah.
Beberapa orang jiran
tetangga bermunculan di muka pintu di pagi yang bening itu. Barangkali, mereka
dapat mengikuti apa yang terjadi dalam rumah sejak subuh tadi.
“Kenapa dengan Tuk
ini?” soal saya dengan rasa terkejut. Nenek gelengkan kepala.
“Kamu tikam dia,
Tamar,” jelas nenek.
“Ya Allah,” saya mula
meraung sekuat hati. Seluruh isi kampung menjadi gempar.
Raungan saya itu
menambahkan lagi para jiran berdatangan ke rumah. Semuanya terpaku dan terpukau
melihat apa yang terjadi. Beberapa orang jiran bersedia untuk mengusung datuk
ke hospital tetapi datuk menolak budi para jiran itu. Menurut datuk, luka yang
dialami tidak besar, boleh diubati secara kampung. Beberapa orang lelaki terus
menangkap saya. Mereka juga memerintahkan nenek supaya menyimpan benda-benda
tajam di tempat selamat.
“Ikat,” ujar jiran
kepada seorang jiran yang lain. Dalam beberapa saat sahaja sepasang tangan saya
diikat dengan tali belati. Begitu juga dengan sepasang kaki saya. Tidak ada
perlawanan yang saya lakukan kerana saya sendiri tidak sedar bagaimana saya
melakukan perkara tersebut.
“Kita serahkan pada
polis, biar dibawa ke hospital. Boleh otaknya diperiksa. Budak ni dah gila.
Kalau dibiarkan di rumah, ramai orang yang mati,” seorang perempuan bermulut
celupar mengeluarkan pendapat. Saya lihat kebanyakan jiran bersetuju dengan
pendapatnya itu.
Nenek termenung,
macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk meraba ke arah balutan lukanya.
“Jangan dipengapakan
dia. Apa yang dibuatnya, dia sendiri tidak tahu. Ada kuasa lain yang meresap ke
dalam dirinya,” kata datuk. Dia berdiri sambil menekan ke arah bahagian
berbalut. Nenek tidak berkata apa-apa. Matanya masih terpaku ke arah tali
belati yang membelit sepasang tangan dan kaki saya.
“Saya mengucapkan
terima kasih di atas perhatian kawan-kawan. Bukakan tali belati itu,” datuk
mengeluarkan arahan. Ikatan di tangan dan kaki saya segera dibuka. Beberapa
orang jiran berpandangan sesama sendiri. Mereka kurang senang dengan tindakan
datuk yang enggan menyerahkan saya kepada pihak polis untuk ditahan dan
dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental.
KELUAR
Memang wajar mereka
memprotes tindakan datuk itu, kerana perbuatan yang saya perlihatkan pada
mereka membayangkan diri saya kurang waras. Orang yang berfikiran warsa, tidak
akan menikam datuknya yang mahu bersembahyang. Mereka bimbang kalau perbuatan
itu melarat keluar rumah. Mungkin satu ketika, saya menyerbu ke masjid lalu
menikam orang-orang yang sedang berjemaah di situ.
“Saya tahu, apa yang
semua bimbangkan. Percayalah pada saya, dengan izin Allah, masalah cucu saya
ni, boleh diselesaikan dengan baik,” datuk memberitahu para jiran yang
seakan-akan enggan bergerak dari ruang rumah.
“Saya berjanji kalau
tak boleh diatasi, saya serahkan pada awak semua untuk dihantarkan ke Tampoi
atau Tanjung Rambutan,” datuk memberikan janji yang padu.
“Kami bukan apa-apa,
kami takut kalau dia mengacau orang lain,” para jiran menyatakan pendapatnya.
“Saya faham. Kalau
awak susah, saya lagi susah. Dia cucu saya, berapalah berat mata memandang,
berat lagi bahu memikul. Saya tak suka perkara begini, apakan daya sudah takdir
untuk saya menerimanya,” datuk merayu penuh keikhlasan. Wajahnya berkerut.
Mungkin dia menahan rasa sakit.
“Kami faham, sebagai
jiran kami juga ada rasa bimbang dan takut,” sambung jiran itu lagi.
“Bimbang dan takut
tu, memang hak kamu. Aku tak marah dan tak kecil hati. Berilah kesempatan pada
aku untuk memulihkannya,” begitu lembut nada suara datuk.
Tanpa banyak cakap,
para jiran meninggalkan rumah dengan wajah yang tenang, beberapa orang daripada
mereka terus memeluk datuk menyatakan rasa simpati sambil berjanji tidak akan
membiarkan datuk bersendirian di dalam masalah ini.
LUKA
Bagi menyembuhkan
segera luka yang dialami, datuk memanfaatkan perubatan secara tradisional. Dia
menggunakan ramuan beberapa helai daun dan kulit pokok. Bahan-bahan itu
disatukan lalu ditumbuk hingga lumat dan dicampurkan dengan setitik embun
jantan.
Sebelum bahan-bahan
itu digunakan, datuk membersihkan luka di rusuk kiri dengan air panas. Setelah
bahan-bahan itu disapukan ke tempat yang luka, datuk terus minum segelas air
kunyit dan segelas air rebusan dari akar-akar kayu. Dalam beberapa jam luka itu
terus kering. Tidak bengkak dan tidak bernanah. Datuk boleh bergerak ke mana
sahaja, seolah-olah dia tidak mengalami sebarang kecelakaan.
“Tak apalah Tamar,
semuanya terjadi masa kau tak sedar,” itulah ungkapan pertama dari datuk
setelah empat jam peristiwa yang mengerikan itu berlalu. Datuk tidak
memperlihatkan rasa kurang senang dan gundah gulana dengan apa yang telah
berlalu. Dia tetap melayani saya seperti biasa. Masih mahu bercerita tentang
akar dan dedaun kayu yang boleh dijadikan ubat luka. Datuk menasihati saya
supaya jangan susah hati.
Saya kira sebagai
seorang tua, rasa bimbang dan cemas itu pasti ada di dalam diri datuk. Dia
tahu, sejak tadi saya tidak berubah tempat, masih termenung. Mungkin juga dia
tahu yang seluruh pemikiran saya masih berpusat pada suara-suara ghaib yang
menyuruh saya melakukan sesuatu. Apa yang pasti, datuk tidak mahu dirinya
berada dalam jarak yang jauh dengan saya. Gerak-geri saya sentiasa di dalam
pengawasannya.
“Tamar,” itu suara
datuk. Saya renung ke arahnya dan melihat kelopak bibirnya bergerak. Saya tidak
menjawab panggilan datuk itu kerana saya merasakan itu bukanlah suara datuk
tetapi suara Amjal Kamal yang keluar dari kelopak bibir datuk.
“Tamar, Tamar, dengar
sini.”
“Ya, saya faham dan
bersedia patuh dengan perintah.”
“Tamaaaaaarrr…,”
jerit datuk lalu badan saya digoncangnya berkali-kali. Serentak dengan itu dia
membaca surah Al-Ikhlas.
“Tamar,” nada
suaranya bertambah lunak.
“Tamar,” ulang datuk
lagi. Nada suaranya kali ini cukup lunak. Saya raba jejari saya, saya raba
pipinya dan datuk membiarkan sahaja yang saya lakukan.
“Ini datuk?”
“Ya.”
“Tadi suara datuk
panggil nama saya?”
“Ya, Tamar.”
“Jadi, tadi bukanlah
suara Amjal Kamal? Apakah yang saya dengar tadi, suara datuk?” Saya seperti merungut.
Datuk anggukkan kepala. Perlahan-lahan datuk memaut tubuh saya, disuruhnya saya
berdiri. Kemudian saya dibimbingnya ke anjung rumah. Disuruh duduk menghala ke
arah matahari jatuh.
“Amjal Kamal tu,
kawan kamu Tamar?” Soal datuk.
Saya gelengkan kepala.
Datuk menarik nafas panjag. Sesekali datuk renung ke arah halaman rumah yang
disinari matahari pagi.
“Tapi kau kenal dia,
walapun kau tidak begitu rapat dengannya?” menyusul lagi pertanyaan daripada
datuk yang membuat saya lemah. Perasaan saya kian resah. Entah mengapa, saya
begitu cemas dan takut bila nama Amjal Kamal disebut-sebut. Setelah berfikir
panjang beberapa kali, saya terus menceritakan apa yang telah saya lalui pada
datuk.
“Ini perkara biasa
Tamar. Orang yang lemah semangat, lemah iman dan tidak ada kekuatan batin
selalu dikuasai oleh pihak yang mahu menjahanamkan manusia,” itu komentar datuk
setelah mendengar cerita dari saya.
“Apa saya memang
lemah?”
“Boleh jadi,” datuk
tersenyum lalu merenung ke kaki tangga. Dia menyambut salam Uda Lamat.
“Naiklah,” jemput
datuk.
“Tak disuruh pun saya
tetap naik,” sahut Uda Lamat lalu naik ke anjung dan duduk dekat datuk.
ZIARAH
Kedatangan Uda Lamat
pagi itu, semata-mata untuk menziarahi saya. Dia amat gembira kerana keadaan
saya agak baik. Semua pergelengangan kaki dan tangan serta sendi-sendi saya
diperiksa dan dipicit. Kemudian Uda Lamat membuka kelopak mata kiri dan kanan
saya.
“Tidak begitu baik
lagi,” bisiknya lembut kepada datuk.
“Apa yang patut
dibuat?”
“Berikhtiar minta
pertolongan dari Allah. Syaitan, kalau sudah meresap ke dalam tubuh payah mahu
keluar,” tambah Uda Lamat lagi. Datuk menarik nafas panjang-panjang.
Tiba-tiba badan saya
menggeletar. Suara-suara aneh mula terdengar. Wajah Amjal Kamal tenggelam
timbul di depan mata. Saya mula terasa tubuh memiliki kekuatan yang luar biasa.
“Tamar,” sergah
datuk.
“Apa yang kamu mahu?”
saya mula menentang wajah datuk. Saya rasa datuk terlalu kecil berdiri di depan
saya. Walaupun demikian, setiap kali datuk malafazkan kalimat-kalimat Allah ke
arah saya, seluruh badan sata terasa panas.
“Jangan, saya tak
tahan,” rayuan saya tidak dipedulikan oleh datuk. Dia terus membaca hingga saya
tidak sanggup menetang biji matanya. Saya rebah di depan datuk.
Ketika itu saya
terdengar suara aneh yang mengutuk diri saya. Mereka tuduh saya pengkhianat,
tidak setia pada perintah. Mereka mahu menamatkan riwayat hidup saya dengan
membenamkan tubuh saya ke dalam tasik yang berbuih. Saya segera merenung minta
tolong.
“Tamar,” seru datuk
serentak dengan itu satu baldi air jatuh ke muka.
“Tamar kau tidak
apa-apa, ingat Allah berkuasa atas segala-galanya,” Uda Lamat bersuara lembut.
Dia duduk mencangkung di depan saya. Biji matanya dengan biji mata saya
berlaga.
“Mengucap Tamar,
Ashaduan la...,” tambah Uda Lamat. Tanpa bertanguh-tangguh lagi saya terus
mengikut Uda Lamat mengucap hingga akhir.
“Bagus, bagus,” Uda
Lamat terus menepuk bahu saya bertalu-talu. Tidak memadai dengan itu, tubuh
saya yang basah terus dipeluknya erat-erat. Datuk tidak berkata apa-apa. Dia
kelihatan tenang. Bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Pasti datuk membaca
ayat-ayat suci.
“Saya dahaga,” kata
saya pada Uda Lamat. Cepat-cepat Uda Lamat memberitahu kepada nenek. Tidak
sampai dua saat, secawan air sejuk sudah berada di depan saya. Ketika tangkai
cawan saya sentuh, datuk segera menarik cawan yang berisi air dingin ke
arahnya. Perbuatan datuk itu menghampakan saya.
“Saya dahaga,” saya
merayu.
“Aku tahu, apa kau
tak boleh sabar sedikit,” tengking datuk.
“Haaa..,” saya
terkejut dan hampir menitiskan air mata.
Uda Lamat
memperkemaskan duduknya bersedia melakukan apa sahaja andainya saya bertindak
secara mengejut. Rasa dahaga bagaikan tidak tertahan, tekak terasa pedih dan
perit. Apa yang saya fikirkan, ialah air untuk membasahkan tekak. Tidak terniat
di hati saya untuk melakukan sesuatu, apatah lagi untuk melawan datuk. Datuk
terus mmbaca sesuatu di bibir cawan. Bila pembacaannya selesai, cawan berisi
air itu diserahkan pada Uda Lamat.
“Berikan padanya,”
datuk mengeluarkan perintah.
“Awak baca surah
apa?” Tanya Uda Lamat.
“Saya baca Al-Fatihah
20 kali, dengan izin Allah, syaitan dan Iblis yang berlindung dalam diri cucu
saya akan keluar.
“Saya faham, Allah
berhak melakukan sesuatu, kita memohon padanya,” sanggah Uda Lamat. Saya resah,
terasa cukup lama cawan itu berada di tangan Uda Lamat. Kenapa saya diseksa
begitu kejam.
“Nah, Tamar.”
Uda Lamat
menghulurkan cawan berisi air kepada saya. Cepat-cepat saya menyambutnya lalu
dilekatkan ke bibir.
“Nanti dulu, baca
Bismillah sebelum diminum,” Uda Lamat pegang pergelangan tangan saya. Apa yang
disuruh oleh Uda Lamat segera saya patuhi. Setelah selesai membaca Bismillah,
saya terus meneguk air tersebut.
No comments:
Post a Comment