Dentuman
petir membuat telinga saya seperti pekak. Tanah yang dipijak seperti
bergegar.Saya pun rebah ke dada bumi. Antara sedar dan tidak, terasa tubuh
diangkat serta diusung oleh datuk dan Haji Taslim Singasari ke perdu macang
(bacang). Saya disandarkan di situ, datuk segera memulihkan semangat saya yang
hilang.
Bila
terasa diri semakin pulih, saya celikkan mata. Apa yang saya lihat sungguh
mengejutkan. Lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba terbakar hangus dipanah petir.
Hancur menjadi debu lalu diterbangkan oleh angin ke mana-mana.
Penduduk
kampung berdekatan menjadi gempar. Mereka merasa sungguh takjub kerana dalam
cuaca petang yang terang, boleh terjadi ledakan petir yang sungguh hebat.
“Kita
sudah melihat kekuasaan Allah, sesungguhnya Allah berhak melakukan sesuatu yang
tidak terjangkau oleh akal fikiran kita,” Pak imam yang tadi membisu mula
bersuara. Matanya menatap wajah datuk dan Haji Taslim Singasari.
“Itu
pilihan sahabat saya, Pak Imam.” Nada suara Haji Taslim Singasari mengundang
kehampaan.
“Itu
takdir dirinya,” celah datuk.
“Apa
boleh buat Haji, saya harap perkara yang terjadi di depan mata kita ni, jangan
dihebohkan dengan sesiapa. Nanti boleh timbul macam-macam cerita pula,” Pak
Imam menatap permukaan bumi sambil menarik nafas panjang.
Pak
Imam angkat kepala lalu memandang ke arah kami dengan senyuman penuh keyakinan.
Dia percaya yang kami akan mematuhi permintaannya. Pak Imam melangkah ke kaki
tangga untuk naik ke rumah. Perbuatannya itu segera dituruti oleh saya, Haji
Taslim Singasari dan datuk.
Bila
berada dalam rumah, bilik si mati segera kami serbu. Saya jadi bingung. Semua
barang miliknya menjadi abu, bersepah-sepah seluruh bilik. Malah ada yang
melekat pada dinding akibat ditolak angin.
“Jangan
disentuh,” Haji Taslim Singasari mengingatkan kami. Kami terus membuka tingkap.
Dua keping papan dinding yang menghala ke arah sawah dikopaknya dengan jari
telunjuk.
“Kenapa
rosakkan dinding rumah?” Tanya datuk. “Biar angin masuk dan terbangkan
debu-debu yang ada dalam rumah ni.
Debu-debu ini tak boleh disentuh, kalau kena tubuh kita, kulit boleh
terbakar dan daging badan jadi busuk,” jelas Haji Taslim Singasari.
Saya
segera meninggalkan bilik si mati. Beberapa minit kemudian Pak Imam, Haji
Taslim Singasari dan datuk turut keluar dari bilik si mati. Kerana waktu Asar
hampir tiba, kami terus ke masjid untuk menunaikan solat. Atas persetujuan para
jemaah yang ada, maka Haji Taslim Singasari pun disuruh menjadi imam.
Selesai
sembahyang dan berdoa, para jemaah mula bercerita tentang bunyi petir yang
mereka dengar. Ada bermacam-macam andaiannya dan ramalan yang mereka buat.
Kebanyakkannya, dihubungkaitkan dengan kematian Suhaimi Keraba.
Ada
yang mendakwa, sebelum petir meledak mereka melihat Suhaimi Keraba menari-nari
di jalan raya. Ada pula yang melihat Suhaimi Keraba minum kopi dan makan laksa
di warung Simpang Empat.
Cerita-cerita
yang sampai ke telinga membuat saya tersenyum panjang. Betapa mudahnya, orang
mengadakan cerita yang bukan-bukan, mereka pandai menggunakan kesempatan dari
kematian Suhaimi Keraba yang semasa hidupnya tidak melakukan kebaikan.
Beberapa
orang jemaah yang berani terus mendekati Haji Taslim Singasari dan Pak Imam.
Mereka terus mengajukan pelbagai pertanyaan tanpa mempedulikan kehadiran kami. Mungkin
kerana kami orang luar.
“Minta
maaf, kami tak tahu pula bunyi petir itu ada hubungan dengan si mati,” itu
jawapan Pak Imam pada pertanyaan mereka. Ternyata jawapan itu tidak memuaskan
hal orang yang bertanya.
“Mustahil
awak tak tahu?” Tanya lelaki berkulit hitam manis dengan misai lebatnya
menutupi bibir atas. Pertanyaan ditujukan khas untuk Haji Taslim Singasari
mencari jawapannya di samping berusaha menjauhkan diri dari lelaki berkulit
hitam yang usianya sekitar lima puluhan.
“Petir
berbunyi waktu cuaca terang benderang, perkara biasa,” sahut Pak Imam. Ternyata
lelaki berkulit hitam tidak puas hati kerana jawapan itu bukannya datang dari
Haji Taslim Singasari.
Matahari
petang yang memancar membuat dahi saya dan datuk berpeluh. Pak Imam merenung ke
arah kolah masjid.
“Bagi
saya, itu bukan perkara biasa,” lelaki berkulit hitam manis bersuara. Dia
menatap wajah Pak Imam dan Haji Taslim Singasari.
“Kenapa
awak kata macam tu?” Datuk ajukan pertanyaan pada lelaki berkulit hitam manis.
Dia tidak berminat mahu bercakap dengan datuk. Mungkin kerana datuk orang luar.
Datuk dan Pak Imam berpandangan. Akhirnya mereka tersenyum
“Bagi
saya,” ulang lelaki berkulit hitam, “perkara itu ada kaitannya dengan sahabat
Pak Haji yang mati. Dia tu manusia jahat, isi neraka,” begitu senang lelaki
berkulit hitam manis bercakap.
“Mulut
awak celupar. Tak baik menuduh begitu. Saya tak suka cara awak, kita tak boleh
menentukan seseorang itu isi neraka atau syurga kerana ia adalah kuasa Allah,”
nada suara Haji Taslim Singasari mula meninggi. Mukanya nampak merah.
“Maafkan
saya, Pak Haji.”
“Awak
tahu, Allah boleh melakukan sesuatu apa yang diingini-Nya, apa lagi petir waktu
hari bercuaca panas,” Haji Taslim Singasari berhenti bercakap. Dia menarik nafas
dengan perlahan-lahan. Matanya menoleh ke arah saya dan datuk.
“Kenapa
dalam setiap kejadian kita tidak mahu memikirkan tentang kebesaran Allah?
Kenapa mesti dikaitkan dengan manusia yang kita cap atau kita kira sebagai
manusia jahat. Ini ertinya kita bercakap dan berfikir menurut perasaan bukannya
menggunakan otak,” lanjut Haji Taslim. Dia tentang biji mata lelaki berkulit
hitam manis. Bahu lelaki itu ditepuk dengan mesra.
“Ini
kesilapan saya, suka mendengar cakap-cakap orang,” terpamer kekesalan di wajah
si hitam manis.
“Lain
kali, jangan cepat sangat percaya dengan cakap-cakap orang, selidik dulu
sebelum membuat tuduhan, barulah hidup selamat,” Pak Imam mengurui si hitam
manis.
“Maafkan
saya.”
“Sudahlah,
lain kali berhati-hati. Kami tak ada apa-apa dengan awak,” tutur Pak Imam
mengakhiri kata dengan senyum. Si hitam manis tergesa-gesa meninggalkan kami.
Sebenarnya
kami bertiga (Pak Imam, datuk dan saya) tidak perlu pergi ke rumah Haji Taslim
Singasari. Pak Imam boleh pulang terus ke rumahnya. Sementara saya dan datuk
boleh balik ke rumah Mat Prai. Oleh kerana basikal kami masih berada di rumah
Haji Taslim Singasari perkara tersebut tidak dapat dilakukan. Terpaksa pergi ke
rumahnya dulu.
Bila
sampai di rumah, Haji Taslim Singasari menahan kami agar minum petang. Dia
sendiri yang membuat air kopi dan menggoreng pisang nangka. Minum petang sambil
berborak memang menyeronokkan, ketika sedang berborak tanpa disengajakan Haji
Taslim Singasari telah menceritakan serba sedikit kebolehan yang ada pada
dirinya. Rupanya, perkara yang tidak disengajakan itu telah berbekas dalam diri
datuk. Timbul minat dalam hatinya untuk mengetahui beberapa perkara tertentu
dari Haji Taslim Singasari.
Bagaimanakah
datuk mahu menyatakan hasrat hatinya itu? Dan amat mengejutkan saya, bila datuk
mahu menerima pelawaan dari Haji Taslim Singasari agar bermalam di rumahnya
untuk sama-sama membaca Yasin.
“Macam
mana dengan basikal yang saya pinjam, saya tak boleh bawa dua basikal sekali,”
Pak Imam meyatakan keresahannya sambil meletakkan cawan di tangan ke dada
piring.
“Ya
juga!” Datuk terkejut dan menyedari yang perbuatannya itu menyusahkan orang
lain.
“Itu
mudah saja, suruh cucu awak bawa basikal saya, awak naik basikal yang dipinjam.
Bila datang ke sini semula, awak naiklah basikal saya bersama cucu awak,” Haji
Taslim Singasari menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Bijak
juga awak cari jalan selesai,” Pak Imam terus menatap wajah Haji Taslim
Singasari .
“Kalau
tak ada apa-apa hal, lepas sembahyang Isyak saya datang ke sini. Saya juga nak baca
Yasin,” sambung Pak Imam bersama senyum.
“Kalau
awak datang saya gembira, kalau tak datang saya tak marah,” tingkah Haji Taslim
Singasari lalu disambut dengan ketawa. Haji Taslim Singasari mengumpulkan cawan
dan piring kosong lalu dibawa ke ruang dapur.
Kami
turun dari rumah. Haji Taslim Singasari keluarkan basikal tua dari bawah rumah.
Diserahkan pada saya. Basikal tua itu masih berhabuk tetapi, brek dan tayar
masih elok.
“Saya
jarang menggunakannya,” tutur Haji Taslim Singasari sambil menepuk tempat duduk
basikal dua tiga kali.
“Jangan
bawa laju-laju,” datuk mengingatkan saya.
“Kalau
bawa laju nanti tercabut tayar,” Pak Imam berjenaka. Saya tersenyum panjang.
Kami
keluar dari kawasan rumah Haji Taslim Singasari. Pak Imam berada di depan,
datuk di tengah dan saya berada di tempat terakhir, semuanya membongkok kayuh
basikal.
Matahari
petang yang kian condong mencipta bebayang diri kami memanjang di dada jalan.
Angin yang bertiup memberikan keseronokan dan kesegaran pada diri saya. Sambil
kayuh basikal saya bersuil-siul kecil membawakan lagu Terkenang Semasa Dulu.
Lagu
tersebut cukup popular ketika itu. Kecil besar tua muda kenal dengan suara
penyanyi R. Azmi yang setiap hari berkumandang di radio Malaysia (ketika itu
disebut Radio Malaya). Akhirnya kami sampai di rumah Pak Imam. Tidak dapat saya
gambarkan kegembiraan yang melonjak dalam dada, bila Pak Imam menyuruh saya
menghantar basikal yang dipinjam ke rumah adiknya.
Inilah
peluang terbaik bagi saya untuk melihat wajah Masitah, si putih kuning penggoda
jiwa. Doa saya, semoga emak dan ayah Masitah tak ada di rumah. Kali ini, saya
mahu bercakap panjang dengannya. Mahu Tanya kegemarannya. Lagu apa yang
diminatinya, pandaikah dia membaca Quran dan berkasidah? Bolehkah dia masak
gulai tempoyak, yang jadi kegemaran saya dengan nenek. Kalau boleh dialah bakal
isteri saya. Engkau cantik, engkau menawan Masitah.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikum
salam,” terdengar suara halus nyaring. Engkaukah itu Masitah? Saya tersengih
sendirian dengan sepasang biji mata tertumpu ke arah pintu yang terdedah.
“Siapa
tu?” Orang di dalam bersuara lunak.
“Saya
Tamar, nak pulangkan basikal yang saya pin..," saya tidak dapat meneruskan
kata-kata. Jantung saya berdebar.
Oh!
Tuhan apakah saya bermimpi? Dua tiga kali saya mengucap panjang. Benarkah yang
berdiri di muka pintu itu Masitah? Bisik batin saya. Sudah jelas yang berkemban
di muka pintu adalah Masitah.
Mata
jantan saya tertumpu ke arah bahagian dada yang tidak bertutup. Kulitnya putih
melepak dan lembut. Basikal yang dipegang terlepas dari tangan. Jatuh terdampar
atas bumi. Masitah yang berdiri di muka pintu menghilangkan diri. Basikal yang
rebah saya tegakkan lalu disandarkan pada tiang seri di bawah rumah.
“Basikal
bawah rumah, saya nak balik,” kata saya sambil keluar dari bawah rumah. Hati
kecil saya tetap kesal kerana Masitah cukup cepat menghilangkan diri. Waktu
saya mahu melintas di depan tangga, saya lihat Masitah berdiri di situ. Dia
tidak berkemban lagi. Pakaiannya cukup kemas dengan baju kurung berkain batik.
Dia tidak memakai kain kelubung. Rambutnya disikat rapi.
“Nama
awak, Masitah!” Saya memberanikan diri sambil berjenaka. Tiada jawapan yang
saya terima dari Masitah kecuali sebuah jelingan tajam penuh makna dan
mendebarkan.
“Basikal
yang dipinjam tadi, ada di bawah rumah,” saya menambah. Masitah tiada juga
bersuara, tetapi ada senyum di kelopak bibirnya. Saya tidak mahu senyumnya.
Saya mahu mendengar suaranya.
“Sampaikan
salam saya pada emak dan ayah awak,” kata saya tanpa melihat ke arahnya. Saya
terus melangkah dengan wajah yang serius.
MENGENA
Ternyata,
tektik yang saya lakukan itu mengena. Saya kira, kalau saya jual murah, Masitah
jual mahal. Bila saya jual mahal, Masitah jadi serba salah lalu menegur saya.
Ini sebuah pengalaman yang amat berharga.
“Macam
merajuk aje nampaknya, pagi tadi bukan main berani,” Masitah mengusik dan
menyindir. Bagaikan ada kuasa tertentu, langkah saya terhenti dan wajah saya
bagaikan diarahkan kuasa ghaib memandang ke arah wajah Masitah. Kami tersenyum.
“Pergi
ke mana bawa basikal ayah saya?”
“Ke
Kampung Terang.”
“Ada
apa di sana?”
Saya
rasa agak sukar mahu menjawab pertanyaan dari Masitah. Kalau saya katakan yang
benar, mungkin dia tidak percaya dan menuduh saya berbohong.
“Saya
tak boleh cakap, kalau nak tahu tanyalah ayah saudara awak,” kata saya.
“Kenapa
tak boleh cakap?”
“Itu
rahsia.”
“Alahaiii
menyampah,” Masitah juihkan bibir bawah ke depan bersama kerdipan dan jelingan.
Tidak memadai dengan itu, dia tunjukkan penumbuk ke arah saya. Sungguh melucukan
tetapi amat menghiburkan diri saya.
“Tamarrr.”
Suara
datuk meninggi dan memanjang dalam nada marah. Kegembiraan yang melonjak dalam
dada terus hilang. Saya terus berlari dengan sekuat hati menuju ke rumah Pak
Imam. Sebelum sampai ke rumah Pak Imam dua kali saya terjatuh tersepakkan akar.
Rasa sakit sudah tak terasa lagi, akibat dikuasai rasa takut pada datuk.
“Heiii,
kamu ni.” Datuk beliakkan mata, saya tidak angkat muka. Cuma renung permukaan
bumi saja. Rasa gementar terus bersarang di dada. Saya berdoa agar kemarahan
datuk berakhir di situ saja.
“Apa
yang kamu buat di situ? Hantar basikal sampai berjam-jam. Apa yang kamu cari di
rumah orang, ha?” Sambung datuk. Suaranya makin meninggi.
“Sudahlah
tu,” Pak Imam memujuk.
“Kalau
tak ditegur inilah jadinya,” ada perubahan pada tekanan suara datuk. Nadanya
merendah. Dada saya terasa lapang bia dia berbalas senyum dengan Pak Imam.
“Saya
pergi dulu,” datuk hulur tangan pada Pak Imam. Mereka bersalaman.
“Dengar
cakap datuk kamu, jadilah cucu yang baik,” kata Pak Imam bila saya bersalaman
dengannya.
“Terima
kasih,” saya tatap wajah Pak Imam yang tersenyum. Segera saya sorong basikal
tua ke arah jalan besar. Datuk mengekori dari belakang. Bila sampai dekat pokok
kelapa condong datuk berpatah balik menemui Pak Imam.
“Awak
datang malam ni ke rumah Haji?”
“Insya-Allah
lepas isyak saya sampai,” itu janji Pak Imam pada datuk. Dan datuk meneruskan
perjalanan tanpa mahu menoleh ke belakang lagi.
Sampai
di tepi jalan raya, datuk ambil basikal dari saya. Tanpa berkata apa-apa dia
terus kayuh basikal. Saya terpinga-pinga kerana datuk terus meluru ke depan
tanpa menyuruh saya naik basikal.
“Tuk,”
jerit saya.
Datuk
tidak peduli dia terus kayuh basikal. Saya jadi cemas dia semakin jauh dari
saya.
“Tuk,”
jerit saya.
Datuk
tidak juga menoleh ke belakang. Terus membongkok kayuh basikal. Ini tidak boleh
jadi, datuk dah buat perangai gila-gilanya. Saya buka langkah dan terus
memburunya. Bila langkah saya bersaing dengan basikal yang datuk kayuh, tanpa
membuang masa saya terus melompat ke atas pelantar basikal. Saya
tercunggap-cunggap, tetapi datuk buat endah tak endah dengan kehadiran saya tu.
“Tuk,”
“Hum,
ada kamu. Aku ingatkan tadi kamu tak tahu berusaha, nak hidup,” kata-kata itu
amat menyakitkan hati saya.
“Agaknya
datuk terlupa nak ajak saya naik basikal.”
“Aku
tak terlupa, aku sengaja tinggalkan kamu. Nak tengok kamu tu cerdik ke bodoh?”
“Hum,”
saya mengeluh dalam hati. Sikap datuk itu amat mengecewakan. Saya ambil
keputusan tidak mahu bercakap dengannya.
Basikal
yang dikayuh oleh datuk agak laju, habis rambut saya mengerbang. Angin terasa
begitu kuat memukul kulit pipi dan mata mula berair. Tenaga datuk bagaikan
tenaga orang muda.
“Duduk
diam-diam,” datuk mengingatkan saya, bila datuk mendapati saya bergerak ke kiri
dan ke kanan atas pelantar basikal. Saya berbuat demikian kerana saya terasa
cukup lenguh.
“Baik
tuk,” kata saya.
Dari
jalan raya datuk belok basikal ke kanan, masuk ke lorong kecil menuju ke rumah
Haji Taslim Singasari. Cuaca tidak secerah tadi, matahari sudah mengisut ke
kaki langit. Sebentar lagi cuaca samar akan menguasai seluruh kampung yang
menandakan malam mula mengusir siang.
Cukup
cekap datuk mengendalikan basikal yang dikayuhnya. Dia bijak mengelakkan tayar
basikal dari melanggar tunggul dan akar kayu yang berselirat di dada lorong.
Bila
tayar basikal terlanggar lopak kecil atau akar kayu secara tidak sengaja, tubuh
datuk bergerak ke kiri dan ke kanan untuk mengimbangi badan dan basikal dari
masuk parit. Secara tidak langsung, saya juga turut bergerak. Akibat terlalu
kerap bergerak, badan saya berpeluh.
“Cepat
datang.”
Sambut
Haji Taslim Singasari di kaki tangga Saya terus melompat turun dari pelantar
basikal. Kerana saya melompat tanpa memberitahunya, datuk tidak dapat mengawal
basikal dengan baik hingga dia terbabas ke arah perdu pisang. Basikal dan datuk
jatuh di situ. Haji Taslim Singasari segera menerkam ke arah datuk.
“Kamu
tak mahu fikir tentang orang lain, bila mahu berbuat sesuatu. Tengok apa dah
jadi,” biji mata datuk tertumpu ke wajah saya. Kali ini saya tidak merasa
takut, kerana nada suara datuk tidak meninggi.
“Lain
kali jangan buat macam tu lagi,” sambung datuk bersama senyum.
Entah
mengapa datuk tidak naik darah kali ini. Mungkin dia segan dengan Haji Taslim
Singasari. Datuk tolak basikal ke bawah rumah. Disandarkan pada tiang kayu
bulat. Kemudian Haji Taslim Singasari terus memeriksa tangan kanan datuk. Pada
hematnya, tangan kanan itu mesti bengkak atau luka. Semasa datuk jatuh tadi
tangan kanan itu terkandas atas kayu bulat.
“Tak
ada apa-apa, saya sempat mengelak. Dari jauh memang nampak yang tangan saya ni
kena kayu bulat,” jelas datuk.
“Cekap
juga awak.”
“Semuanya
dengan izin Allah,” balas datuk.
“Mari
naik,” pelawa Haji Taslim Singasari.
BEKU
Sementara
menanti masuk waktu maghrib, saya duduk di anak tangga bongsu melihat ke
kawasan hujung sawah. Damai melihat pepucuk pisang yang meliuk-liuk diterpa
angin, begitu juga dedaun pinang dan kelapa.
Datuk
dan Haji Taslim Singasari terus berborak panjang di anjung. Mereka bertukar
pendapat, berbincang tentang hal-hal agama.
“Islam
itu tak beku, sesuai pada setiap zaman. Tetapi, para penganutnya sendiri yang
membuat Islam tu jadi beku,” tutur Haji Taslim Singasari.
“Maksud
awak?” Sanggah datuk.
“Mudah
saja, apa yang dicari orang hari ini, sudah ada dalam Islam sejak beratus tahun
dulu. Sama ada tentang kehidupan di langit, di bumi dan di laut. Malah kejadian
budak dalam perut ibunya sudah dinyatakan dalam Quran. Sayangnya orang Islam
sendiri tak mahu mencarinya.” Jelas Haji Taslim Singasari.
“Kalau
hidup berpegangkan ajaran agama, selamat kita dunia akhirat,” tingkah datuk.
“Ya,”
Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat datuk.
Hari
beransur gelap. Pepohon di hujung sawah sudah tidak jelas lagi. Beburung tidak
lagi terbang untuk pulang ke sarang. Cahaya merah dan biru di kaki langit sudah
pun menghilang . Beduk di sudut masjid pun dipalu orang lalu disusuli dengan
suara azan mendayu hiba. Menyeru penduduk kampung supaya menunaikan kewajipan.
Kami
pun menunaikan solat Maghrib, imamnya Haji Taslim Singasari . Kami membaca
surah Yasin hingga masuk waktu Isyak. Bila solat Isyak mahu dimulakan, saya
terasa lain macam saja. Macam ada sesuatu yang tidak dapat dilihat bergerak
bebas dalam rumah. Bulu tengkuk saya sentiasa saja berdiri.
“Itu
perasaan kamu saja, Tamar,” kata datuk bila rasa gelisah itu saya sampaikan
padanya.
“Bukan
perasaan, perkara tu memang ada,” Haji Taslim Singasari renung muka datuk,
“pedulikan, kita sembahyang dulu,” sambung Haji Taslim lagi sambil mengarahkan
saya dan datuk mengambil tempat masing-masing. Dia pun memulakan tugasnya
sebagai imam.
Bila
saya memberi salam yang kedua, bahu saya sepeprti dipegang oleh seseorang.
Dalam keadaan yang tergamam itu, saya terasa seperti ada orang yang menjabat
tangan saya. Digenggam erat sambil digoncang beberapa kali.
“Manusia
ke syaitan?” Bentak batin saya.
Serentak
dengan itu, genggaman yang mencangkumi telapak tangan saya terlepas. Ada
hembusan nafas yang keras menyentuh kulit pipi. Bahu saya disinggung dengan
kuat hingga saya terdorong ke kanan, berlaga dengan badan datuk.
“Kau
mengantuk, Tamar?”
Saya
segera gelengkan kepala sambil tumpukan seluruh perhatian ke arah pembacaan doa
yang dilakukan oleh Haji Taslim Singasari. Sesekali saya lihat datuk berada
dalam keadaan yang resah. Dia mengisut ke arah saya seperti ada orang yang
menghimpitnya. Pembacaan doa pun berakhir. Saya terus bersalam dengan Haji
Taslim Singasari.
“Kamu
kurang senang kerana diganggu,” Haji Taslim Singasari tenung muka saya. Belum
pun sempat saya menjawab, dia ubah pandangan pada datuk. Mereka bersalaman.
“Assalamualaikum.”
Biji
mata kami tertumpu ke arah pintu yang tertutup rapat. Lama kami menunggu pintu
yang tidak berkunci itu ditolak orang dari luar. Apa yang kami harap tidak juga
terjadi.
“Pedulikan.”
Kata Haji Taslim Singasari dengan tenang. “Mari kita baca surah Al-Kahfi,”
sambungnya lagi.
Saya
dan datuk anggukkan kepala. Haji Taslim Singasari terus bangun, ambil Quran
atas rak lalu diserahkan pada saya dan datuk.
“Assalamualaikum,”
Kami
bertiga terhenti untuk memulakan pembacaan. Semua biji mata tertumpu ke arah
pintu. Seorang budak lelaki dalam usia lapan tahun, tanpa pakaian kecuali kain
cawat yang menutupi kemaluannya. Rambutnya dicukur bersih, bahagian belakang
kepalanya terdapat setompok rambut dalam bentuk jambul. Panjang rambut tersebut
hingga bertemu dengan bahagian punggungnya.
Sekilas
pandang memang wajahnya menyerupai kanak-kanak. Bila ditenung lama-lama
ternyata wajah itu cukup dewasa dalam usia empat puluhan. Urat-urat di dahi dan
di pipi kelihatan menonjol bagaikan akar rotan di permukaan bumi. Bentuk
telinganya macam telinga arnab dan mengeluarkan asap nipis.
Saya
gerun melihat bentuk matanya yang dalam, tidak ada kelopak, tidak ada bulu mata
dan kening. Ada cahaya memancar lembut macam mata kucing waktu malam bila
terkena sinaran lampu picit. Apa yang pelik dan menakjubkan dari mana dia
datang? Mustahil dia masuk ikut pintu, kerana daun pintu tidak bergerak, masih
tertutup rapat.
“Pedulikan,”
Suara Haji Taslim Singasari meninggi.
Budak
kecil di depan pintu terus ketawa dan mengilai panjang. Cukup seram dan
menakutkan, bulu roma saya tegak berdiri. Dia jelirkan lidahnya yang panjang
lalu menjilat-jilat tubuhnya macam kucing menjilat bulunya.
“Mari
kita baca,” sambung Haji Tasim Singasari.
Kami
terus mematuhi cakapnya. Dalam beberapa saat rumah di pinggir kampung itu terus
bergema dengan pembacaan dari surah Al-Kahfi. Makin lantang suara kami membaca,
makin kuat hilai ketawa sungguh ganjil. Dia menari-nari dan melompat di depan
kami. Sesekali dia menukarkan taktik dari ketawa kepada menjerit dan akhir
menangis tersedu-sedu macam budak kecil lapar susu.
No comments:
Post a Comment