Mat
Prai hilang dari pandangan mata dicelah-celah liku jalan. Saya jadi resah dan
terus menyalahkan diri sendiri, kerana terburu-buru mematuhi cakap Pak Imam.
Kalau ikut Mat Prai bukankah bagus. Boleh duduk rehat dirumahnya, boleh dengar
radio.
"Eh,
apa yang kau menungkan lagi."
Datuk
tepuk bahu kanan saya. Cepat-cepat saya bangun dari duduk bertenggek di anak
tangga pondok durian. Pak Imam sudah pun menyarungkan capal ke kaki dan
melangkah beberapa tapak ke depan lalu berhenti di pohon langsat yang condong.
"Saya
malas nak pergi tuk."
"Kenapa
pula."
"Belum
mandi, belum gosok gigi dah nak merayau ke rumah orang," saya melahirkan
protes dalam keadaan yang cemas.
Datuk
menatap wajah saya sejenak. Dia pamerkan air muka kurang senang terhadap saya.
Datuk jegilkan biji mata, cepat-cepat saya buat muka kesian.
"Kalau
macam tu, kenapa kamu tak ikut Mat tadi? Budak macam ragam! Usah nak banyak
karenah, ikut saja kemana aku pergi," aduh! nada suara datuk cukup keras.
Telinga Pak Imam dapat menangkap dengan apa yang diluahkannya.
Ketika
itu juga saya terasa dahi diraupi oleh peluh-peluh halus.
"Mandi
di rumah saya," Pak Imam menyelesaikan masalah.
"Budak
ni, kadang-kadang mengada-ngada sikit, kita nak berikan dia pengalaman,"
datuk terus merungut. Pak Imam anggukkan kepala. Saya tidak dapat berkata
apa-apa.
"Mari,"
kata Pak Imam.
Saya
dan datuk pun mengekori langkah Pak Imam. Matahari pagi yang memancar memanah
ke arah air embun di hujung dedaun. Nampak berkilau-kilau. Nyanyian unggas di
hujung ranting amat rancak sekali. Dan rindu saya pada kampung laman terus
membara. Saya terkenangkan nenek yang kasih sayangnya melimpah ruah. Saya jadi
hiba dan hampir mahu menangis kerana rindu.
Saya
menarik nafas dalam-dalam sambil menyingkirkan rasa hiba di hati. Saya teringat
cakap nenek. Katanya, saya harus menjadi lelaki remaja yang keras hati, tabah
dan sanggup menghadapi apa saja rintangan. Keras semangat dan kedekut dengan
air mata.
"Ya,
aku mahu jadi orang gagah."
Saya
menjerit sambil menendang rumput lalang dan pokok-pokok renik di kiri kanan
denai. Datuk dan Pak Imam berhenti melangkah. Mereka terkejut dengan tindak
tanduk saya.
"Aduhhhhhhhhhh!"
Saya
menjerit dan terus duduk atas bumi sambil mengangkat kaki kanan. Pandangan saya
jadi berpinar-pinar. Datuk dan Pak Imam terus mengelilingi saya.
"Kenapa
Tamar," soal datuk.
"Saya
tersepakkan tunggul buruk, tuk."
Datuk
menghela nafas panjang-panjang sambil gelengkan kepala. Sepatu getah saya,
jenis Fong Keong terus dibukanya. Dua tiga kali datuk urut bahagian hujung jari
kaki yang nampak kemerah-merahan.
Rasa
sengal dan sakit terasa kurang dan akhirnya tidak terasa apa-apa. Saya
sarungkan kembali sepatu getah warna kuning di kaki. Saya dongakkan kepala ke
langit, melihat awan yang menipis dalam sinaran matahari pagi yang garang. Bila
saya berdiri, datuk dan Pak Imam ketawakan saya. Mereka melihat tunggul tembusu
yang saya sepak. Bahagian yang reput jatuh atas rerumput selaput alam.
"Kenapa
kamu ni Tamar? Dah gilakah?" datuk rening muka saya, "Menjerit macam
orang hilang akal, kemudian sepak tunggul," tambah datuk lagi.
"Kenapa
Tamar, kau tak suka ikut kami?" tanya Pak Imam dengan nada suara yang
lembut. Terlalu berat rasanya mahu menjawab pertanyaan tersebut.
Saya
kira, tidak ada manusia yang mahu mengakui ketololannya secara terbuka. Jadi,
memang wajar saya merahsiakan apa yang ada dalam hati. Tetapi, bersikap terus
terang dan mengakui kebodohan sendiri, adalah sifat orang yang berjiwa mulia.
Saya mengigit bibir dan membuat keputusan untuk jadi manusia yang berhemat
tinggi, berjiwa mulia dan besar.
"Saya
teringatkan cakap nenek yang mahukan saya jadi lelaki gagah dan berani,"
kata saya membuka rahsia hati.
"Jadi
kamu pun menjerit dan tendang tunggul," pintas Pak Imam.
"Saya
tak tendang tunggul, saya tendang lalang dan pokok-pokok kecil, entah macam
mana saya tersepakkan tunggul," saya pertahankan pendirian.
"Kamu
ni betullah, budak banggang," kata datuk yang diakhiri dengan ketawa. Dan
ketawa yang berhenti itu dilanjutkan oleh Pak Imam untuk beberapa saat. Saya
malu sendiri. Kulit muka terasa tebal.
"Nak
jadi orang gagah dan berani, dada dan otak mesti diisi dengan ilmu dan
pengalaman. Sudahlah, jalanlah cepat-cepat," datuk mengeluarkan perintah.
Perjalanan yang terbantut disambung kembali. Celah ketiak dan celah kangkang
saya terasa bergetah. Melangkah pun terasa tidak selesa. Beberapa orang kampung
yang berselisih dengan Pak Imam di lorong sempit itu terus anggukkan kepala
sambil mengucapkan salam.
RANTING
Akhirnya,
kami sampai ke rumah Pak Imam. Datuk terus menuju ke arah rimbunan pepokok di
bahagian belakang rumah. Datuk patahkan salah satu ranting dari rimbunan pokok
itu.
"Untuk
kamu Tamar."
Datuk
campakkan ranting yang sudah dipatahkan kepada saya. Dengan tenang saya
menyambarnya. Panjangnya lebih kurang enam inci.
"Sugikan
gigi kamu," tutur datuk lagi.
Tanpa
membuang masa, hujung ranting yang keras itu saya gosokkan ke gigi. Apa yang
saya lakukan itu, dilakukan juga oleh Pak Imam dan datuk.
"Saya
menyebutnya pokok sugi," Pak Imam memulakan cerita tentang pokok yang
merimbun itu, "Seorang kawan yang pulang dari tanah suci memberi saya akar
pokok itu, saya campakkan di situ. Entah macam mana terus tumbuh dan hidup
subur," lanjut Pak Imam dengan rasa bangga.
"Boleh
saya ambil akarnya sikit nak buat benih, saya nak tanam di belakang
rumah," datuk buat wajah selamba.
"Boleh,
apa salahnya."
"Khasiatnya
cukup banyak, gigi tahan lama dan nampak putih. Tak mudah diserang sakit dan
bengkak gusi," bagaikan penjual ubat di kaki lima datuk memberikan
penerangan pada Pak Imam.
"Tak
tahu pula saya pokok tu ada khasiatnya. Nampaknya mulai hari ini, saya terpaksa
gosok gigi dengan dahan pokok tu," Pak Imam tersenyum ke arah datuk.
Pak
Imam mempersilakan saya dan datuk duduk dianjung rumahnya. Kata datuk, bentuk
rumah orang Melayu di sekitar Balik Pulau, mirip dengan bentuk rumah orang
Melayu di Jambi Sumatera. Pak Imam tidak merasa terkejut dengan pendapat datuk
itu. Alasannya, sebahagian dari penduduk Balik Pulau ada yang berasal dari
Acheh, Tanjung Balai, Asahan dan daerah Deli-Medan. Pak Imam mendakwa yang
dirinya berasal dari Priaman-Sumatera Barat.
"Kita
makan dulu, lepas tu baru pergi ke rumah sahabat Suhaimi Keraba," Pak Imam
renung
muka saya.
"Kalau
begitu, biarlah cucu saya mandi dulu."
"Silakan,
kain basahan ada di perigi."
Saya
terus menuju ke perigi yang dindingnya dibuat dari atap rumbia. Airnya terasa
cukup sejuk sekali. Kerana perigi itu dibuat tidak jauh dari pokok manggis,
saya berkesempatan melihat beberapa ekor tupai berlari di dahan manggis.
Waktu
keluar dari perigi, saya terlihat kelibat gadis berselubung kain batik. Dalam
kesempatan yang terhad itu, tumit kakinya yang putih kemerahan menjadi sasaran
biji mata jalang saya. Penuh yakin saya mengatakan gadis itu berkulit putih
merah. Bentuk tubuhnya yang tinggi lampai membuat saya kepingin melihat
wajahnya.
Otak
jahat saya mengarahkan sepasang kaki supaya pergi ke arah belakang perigi.
Kemudian melangkah secepat yang boleh menuju ke arah pokok amra (kedondong)
dari situ memintas ke depan gadis yang berselubung kain batik itu.
Apa
yang terpeta dalam otak saya laksanakan. Mata juga mesti cekap mengawasi
kalau-kalau ada orang lain mengintip pergerakan. Saya bergerak macam kucing
memburu burung. Saya pintas depan gadis berselubung kain batik.
"Ohhh
ooppp..."
Si
gadis terkejut, kain selubung atas kepala segera jatuh atas bahu. Saya tatap
gadis yang wajahnya mirip seniwati Sarimah. Bibirnya merah, macam sirap.
Tetapi, jelingannya cukup tajam. Aduh! sungguh mempersonakan.
"Kamu
siapa?" tanyanya garang dan kelihatan seperti bersedia membuka buah silat.
Saya
tergamam.
"Dari
rumah Pak Imam," tutur saya tidak tentu arah tetapi, masih menjual senyum
tak malu. Si gadis berkulit putih tatap batang tubuh saya, dari atas ke bawah
dari bawah ke atas. Memang dasar tak malu, saya terus tersenggih.
"Agaknya,
kita ni adik-beradik," saya mula jual ubat temberang, macam lakonan
Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dengan Saadiah dalam filem Musang Berjanggut.
"Dari
mana?" risiknya lagi.
"Dari
Perak."
"Kami
tak ada saudara-mara di Perak, saudara-mara kami banyak di Johor, Melaka dan
Kuala Pilah," si gadis juihkan bibirnya. Saya jadi serba salah, temberang
saya salah letak.
CANTIK
Buat
beberapa saat kami tidak bercakap. Saling berpandangang dan sesungguhnya saya
terpukau dengan sepasang anak mata si gadis yang lembut dan bening bercahaya.
Engkau terlalu cantik, timbul komentar di sudut hati saya.
"Siapa
nama?" tanya saya.
"Cakap
dulu, siapa nama awak."
"Awaklah
cakap dulu," desaknya lagi.
"Tak
boleh, awak cakap dulu," balas saya.
Si
gadis geleng kepala dan bersedia mahu melangkah meninggalkan saya. Tidak ada
jalan lain untuk saya melainkan mengaku kalah secara terhormat di depan gadis
yang berjaya menguasai hati dan perasaan saya.
"Nama
saya Tamar," kata saya bangga, penuh yakin.
"Macam
nama buah dari negeri Arab yang selalu dimakan di bulan puasa," hati saya
jadi panas menerima sindiran nakal. Malu rasanya, saya tarik batang hidung yang
mancung kemerahan itu.
"Pranggggggg."
Terdengar
bunyi piring jatuh dari arah dapur rumah Pak Imam. Bagaikan kilat saya melompat
dan lari menuju ke arah perigi. Dari situ, saya terus menuju ke anjung rumah.
Saya jadi terlupa tentang gadis di depan saya. Apa yang saya fikirkan ialah
menyorokkan diri agar rahsia peribadi saya tidak diketahui oleh orang lain.
Kalau rahsia terbongkar, datuk turut sama merasa malu.
"Lama
benar kau mandi, aku naik jemu menanti," datuk menyambut kedatangan saya
di kepala tangga. Wajahnya masam sekali. Saya tidak bersuara hanya melihat ke
arah Pak Imam yang berdiri di pintu anjung. Tanpa mengucapkan sesuatu, datuk
melangkah menuju ke perigi. Saya terus naik ke anjung rumah. Duduk berdepan
dengan Pak Imam.
Setiap
kali mata saya bertembung dengan wajah Pak Imam hati saya berdebar. Saya
merasakan yang Pak Imam mengetahui apa yang telah saya lakukan. Bagi
menghilangkan rasa serba salah dan tidak selesa itu, saya mengambil keputusan
merenung ke halaman rumah. Melihat pepohon pisang memagari sempadan halaman.
Secara diam-diam saya menyesali ketelanjuran yang telah saya lakukan. Perasaan
yang resah itu akhirnya bertukar dengan keriangan, dari jauh saya lihat Mat
Prai terbongkok-bongkok mengayuh basikal.
"Assalamualaikum..."
jerit Mat Prai sambil terjun dari basikal. Salamnya segera dijawab oleh Pak
Imam. Mat Prai sandarkan basikal dekat pangkal pokok pinang dara. Dengan
membimbit beg rotan, dia menuju ke kaki tangga.
"Naiklah
Mat, beg siapa yang kamu bawa tu?" tanya Pak Imam.
"Beg
Ayah Alang, saya fikir tentu dia nak tukar baju," Mat Prai letakkan beg
rotan empat segi atas lantai, "Tuk kamu ke mana Tamar?" sambung Mat
Prai, matanya menatap wajah saya.
"Mandi
di perigi."
"Tak
apa aku tunggu dia," Mat Prai sandarkan belakang pada jenang pintu. Pak
Imam masuk ke ruang tengah dan terus menuju ke dapur. Pada hemat saya, dia
melihat air kopi dan kuih-muih yang bakal dihidangkan pada saya dan datuk.
Saya
amat gembira atas kedatangan Mat Prai. Saya boleh tukar baju dan seluar.
Tetapi, saya meluat mahu merenung wajahnya, Saya tidak ghairah mahu melayani
percakapannya. Telinga dan otak saya tumpukan pada bunyi di dapur Pak Imam.
Saya masih mengharapkan, dapat mendengar suara gadis yang wajahnya mirip
Sarimah.
"Ha,
dah lama kamu datang? Apa halnya?"
Itu
yang diajukan oleh datuk dari kaki tangga, sebaik saja terlihat batang hidung
Mat Prai. Saya tersentak dari khayalan yang tidak bertepi. Saya menerpa ke muka
pintu dan pada saat yang sama Pak Imam menatang air kopi dan kuih.
"Saya
bawakan beg pakaian Ayah Alang, saya fikir tentu nak tukar pakaian."
"Ha,
itu dah cukup baik," datuk terus panjat tangga. Membuka beg rotan. Baju
dan seluar saya dikeluarkan. Saya menghadapi masalah baru, di mana saya mahu
menukarkan pakaian.
"Kamu
masuk ke bilik sembahyang, tukar pakaian," Pak Imam mengarahkan jari
telunjuknya ke arah bilik yang terletak di rusuk kiri rumah, berdepan dengan
pintu menghala ke dapur. Ini peluang baik, gunakan kesempatan masa masuk ke
bilik, jeling ke arah dapur. Fikir saya dalam hati.
Saya
meluru ke bilik, saya jeling ke dapur. Apa yang saya lihat ialah isteri Pak
Imam mendermakan senyuman lesu untuk saya. Senyuman itu tidak saya balas.
Dengan rasa kesal yang amat sangat saya pun menukarkan pakaian. Lepas saya,
datuk pula masuk tukar pakaian. Bila semuanya selesai, kami pun manghadapi
makanan, saya lihat jam di dinding sudah hampir pukul sepuluh pagi.
"Saya
bawa balik beg pakaian Ayah Alang ke rumah saya," Mat Prai terus
memasukkan pakaian saya dan datuk yang sudah digunakan ke dalam beg rotan.
Datuk anggukkan kepala, setuju dengan cadangan Mat Prai itu.
"Kamu
tak mahu pergi ke Kampung Terang," Pak Imam tatap batang hidung Mat Prai
yang sudah pun mengheret beg pakaian datuk ke bendul. Kemudian terus turun dan
meletakkan beg pakaian atas lantai pelantar basikal tua.
"Minta
maaflah, saya tak dapat serta. Saya nak pulangkan basikal jiran yang saya
pinjam," tutur Mat Prai. Dia mula tolak basikal tua ke arah jalan besar. Datuk
dan Pak Imam tidak berkata apa-apa. Mereka seolah-olah merestui dengan apa yang
diluahkan oleh Mat Prai. Selamat jalan Mat Prai, bisik batin saya.
RUMAH
Ketika
datuk dan saya menanti Pak Imam turun dari rumah hati saya tertanya-tanya,
bagaimana mahu pergi ke rumah sahabat Suhaimi Keraba? Kalau berjalan kaki, saya
sudah tidak sanggup. Barangkali dengan bas, saya mendamaikan perasaan saya
sendiri. Dalam saat-saat saya berfikir itu, tanpa disedari, Pak Imam sudah pun
berada di halaman rumah.
"Kita
pergi dengan basikal," katanya.
Saya
lihat hanya ada sebuah basikal saja di bawah rumah. Mana mungkin sebuah basikal
dinaiki oleh tiga orang. Saya terasa lucu dan mahu ketawa sendirian. Tetapi,
saya tidak berani mahu ketawa, takut ditengking oleh datuk.
"Satu
basikal nak naik tiga orang," secara tidak sengaja terpancut kata-kata
dari mulut saya.
"Ada
basikal lain, kau ikut aku ke rumah adik aku, kita pinjam basikalnya," Pak
Imam menyelesaikan masalah yang menghuni otak saya. Tanpa banyak cakap, saya
ikut langkahnya menuju ke rumah papan berbumbung lima yang letaknya tidak
berapa jauh dari rumahnya.
Sampai
di rumah tersebut, Pak Imam terus memanggil adiknya.
"Ayah
dah pergi ke Tanjung," terdengar suara perempuan. Hati saya mengelabah.
"Ada
apa Tuk Ngah," datang lagi suara dari dalam rumah. Kali ini lebih mersik
dan manja. Serentak dengan itu terdengar bunyi telapak kaki memijak papan
lantai.
"Aku
nak pinjam basikal ayah kamu kejap."
"Ambillah
Tuk Ngah."
Suara
itu datang dari tingkap sebelah kanan. Biji mata saya tertumpu ke situ. Oh!
Tuhan, inilah gadis yang saya temui tadi. Wajahnya lebih mempersonakan tanpa
kain kelubung. Saya terpaku tanpa berkata apa-apa.
Pak
Imam masuk ke bawah rumah tarik basikal Raliegh keluar. Semuanya itu tidak
menarik perhatian saya. Seluruh hati dan pancaindera yang satu ini, tidak
berkedip merenung gadis yang berdiri di bibir tingkap. Sudah tidak memakai kain
kelubung lagi. Rambutnya disikat rapi, dibelah tengah dan bahagian hujung
diikat ala ekor kuda. Senyuman bertali-tali di bibir.
"Eh,
kenapa tercegat di situ?"
Suara
Pak Imam meninggi, saya tersentak dalam malu. Dia sudah berdiri di kanan saya.
Dalam keadaan yang serba tidak kena itu saya bersuara:
"Ukiran
di kerawang tingkap rumah ni cantik."
Pak
Imam renung ke arah tingkap, si gadis berkulit putih merah sudah pun
menghilangkan diri. Saya urut dada syukur kerana apa yang saya lakukan tidak
dapat dikesan oleh Pak Imam.
"Tukang
rumah Melayu yang buatnya, tentulah ada seninya," Pak Imam menjawab jujur.
Dia menyerahkan basikal kepada saya.
"Kamu
naik dengan datuk kamu." Saya memeriksa brek basikal, tayar dan pemegang
(handle) semuanya berada dalam keadaan yang baik. Tanpa banyak cakap saya
sorong basikal ke arah rumah Pak Imam.
"Bagi
tahu ayah kamu Masitah, Tuk Ngah pinjam basikalnya, petang Tuk Ngah
hantar."
Saya
terhenti dari menyorong basikal. Nama Masitah saya sebut beribu-ribu kali, saya
sematkan dalam kalbu. Sudah tentu nama itu akan saya kenang sampai mati.
"Baiklah
Tuk Ngah”. Sungguh mempersonakan suara dari Masitah. Tunggulah, petang nanti
saya hantarkan basikal ayahmu, Masitah. Batin saya terus menyanyi.
PERJALANAN
Perjalanan
ke rumah sahabat Suhaimi Keraba di Kampung Terang pun dimulakan. Pak Imam naik
basikal tuanya. Saya dan datuk naik basikal ayah Masitah. Berbasikal di jalan
raya yang di kiri kanannya terdapat pohon-pohon kelapa dan buah-buahan memang
tidak terasa panas. Sambil kayuh basikal datuk dan Pak Imam terus berborak.
Saya yang bertenggek di belakang hanya pasang telinga saja.
Bila
ada kenderaan lalu, tidak kira samada besar atau kecil, datuk dan Pak Imam
terpaksa ke tepi, kadang-kadang terbabas dan melanggar lopak dan batu. Punggung
saya terasa sengal dan sakit, tetapi tidak berani protes. Saya akui yang Pak
Imam amat popular di Balik Pulau. Buktinya, sepanjang perjalanan dia sering
saja menerima salam dari orang yang berbasikal atau bermotosikal.
Setelah
meninggalkan kawasan Pekan Genting (juga disebut Simpang Empat) badan saya mula
berpeluh. Sebaik saja melintasi sebuah masjid, dalam jarak lima enam rantai
kami berbelok ke kiri melalui jalan berpasir dalam kampung.
Kebanyakkan
rumah di situ, pintu dan tingkapnya tertutup rapat. Barangkali para penghuninya
mencari rezeki. Selesai saja menempuh jalan kampung, kami terpaksa berbasikal
di atas batas sawah.
Dan
kami pun sampai di sebuah rumah papan yang tiangnya dibuat dari kayu bulat.
Dindingnya dari papan tidak berketam. Pintunya sebelah papan dan sebelah lagi
anyaman buluh. Rumah itu terletak di pinggir sawah. Disebelah kanan rumah ada
pokok macang (bacang) besar di bahagian belakang rumah ada pokok jejawi yang
besarnya lebih dari sepemeluk. Akar-akar berjuntaian dari dahannya.
Sebaik
saja basikal disandarkan pada pokok kelapa gading, saya terscium bau kemenyan.
Langsir tingkap yang dibuat dari kain hitam nipis, nampak bergerak-gerak ditiup
angin. Tidak jauh dari pangkal pokok kelapa gading terdapat seekor kucing hitam
dengan sepasang mata yang agak kemerah-merahan merenung tajam ke arah kami.
Kucing hitam itu menguap, memperlihatkan lidahnya yang merah bersama susunan
giginya yang tajam.
Tiba-tiba
saya terasa seram bila melihat beberapa ekor gagak berlompatan didahan mempelam
sambil berbunyi. Keadaan di bawah rumah tidak tersusun, penuh dengan sawang dan
sarang labah. Suasana sekitar rumah mengundang rasa takut. Walaupun matahari
bersinar tetapi saya merasakan keadaan di pinggir sawah itu terasa lembab dan
muram.
Datuk
dan Pak Imam menuju ke kaki tangga, saya mengekori dari belakang. Dengan suara
yang lantang Pak Imam memberi salam.
"Waalaikomussalam."
Terdengar
jawapan dari dalam rumah. serentak dengan itu sebelah pintu yang dibuat dari
anyaman buluh terbuka. Manakala sebelah lagi yang dibuat dari papan tetap tidak
bergerak.
"Naiklah."
Saya
segera dongak ke pintu. Seorang lelaki bertubuh tegap, berkain sarung dengan
baju Melayu teluk belanga berdiri di situ. Lelaki yang berkulit cerah itu
menyimpan janggut dan jambang. Tetapi, misainya sudah putih benar. Dalam
sekelip mata lelaki itu menghilangkan diri.
Pak
Imam orang pertama naik ke rumah diikuti oleh datuk. Saya orang yang terakhir.
Waktu saya mahu melangkah bendul, saya toleh ke pangkal tangga. Di situ saya
lihat ada lingkaran ular hitam dengan kepalanya terhulur keluar. Anehnya, masa
saya berdiri di situ sebentar tadi, ular hitam itu tidak kelihatan. Pemilik
rumah mendekati Pak Imam.
"Nak
tengok kawan saya yang salah langkah?" tanyanya.
"Ya,"
angguk Pak Imam bersama senyum.
"Yang
berdua ni siapa? Kawan atau keluarga?" tambah pemilik rumah sambil
merenung ke arah datuk dan saya.
"Kawan
saya," balas Pak Imam.
Pemilik
rumah memusingkan badannya ke kanan. Wajahnya dengan wajah datuk berdepan. Dia
hulur tangan dan datuk terus sambut.
"Saya
Haji Taslim Singasari," katanya sambil mendekatkan mulutnya ke telinga
datuk.
Saya
yakin ada sesuatu yang dibisikkannya ke telinga datuk. Pasti dia membawa khabar
gembira, kerana datuk tersenyum dan menganggukkan kepala. Apakah rahsia mereka
berdua? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
"Mari
masuk ke bilik, kawan yang malang tu ada di sini."
Kami
pun mengekori langkah Haji Taslim Singasari masuk ke bilik yang keadaannya saya
kira agak ganjil kerana dalam rumah papan terdapat bilik yang dibuat dari
buluh. Malah lantai bilik juga dilapisi dengan buluh.
"Duduk,"
ujar Haji Taslim Singasari. Tanpa banyak cerita kami pun duduk, "Sudah
puas saya nasihat tapi dia tak mahu dengar, inilah akibatnya," sambung
Haji Taslim Singsari. Kami hanya anggukkan kepala saja.
Di
depan kami ada peti yang dibuat dari papan, panjangnya kira-kira enam kaki dan
tingginya hampir dua kaki. Setiap penyambung atau sendi peti itu ditaruh ensel.
Di bahagian atasnya dibuat selak yang boleh dikunci, dan peti itu ditutup
dengan kain dua warna iaitu kuning hitam.
Dari
dalam peti saya terdengar seperti suara orang mengerang dan sesekali macam
bunyi suara kucing dan anjing menyalak.
Tiap
sudut bilik ada dupa yang mengeluarkan asap kemenyan. Saya juga terlihat
senaskah Quran di atas bantal di samping senaskah surah Yasin.
"Sepanjang
malam saya membaca Quran dan pagi tadi saya mula baca Yasin, semoga dirinya
biarlah selamat. Tetapi, saya selalu diganggu oleh pelbagai jenis binatang
seperti harimau, ular dan macam-macam lagi," jelas Haji Taslim Singasari.
"Kalau tidak memikirkan yang dirinya sahabat karib, semuanya ni tidak saya
buat," sambung Haji Taslim Singasari seperti menyesali diri sendiri.
"Cuba
buka saya nak tengok keadaannya," pinta datuk. Haji Taslim Singasari tidak
membantah. Dia rapat ke peti yang sudah dicat warna putih. Kain penutup dua
warna pun dibuka. Saya mula terhidu bau masam dan lapuk tetapi, mata saya tetap
tertumpu ke arah peti. Begitu juga dengan mata datuk dan Pak Imam. Haji Taslim
Singasari membuka selak peti. Dinding peti di sebelah kiri dan kanan jatuh atas
lantai.
Sekujur
tubuh manusia yang ditutup dengan kain kuning terlentang di depan kami.
Pak
Imam menerpa ke depan dan bersedia mahu menyingkap kain yang menutup tubuh
tersebut. Haji Taslim Singasari segera memegang tangan Pak Imam.
"Jangan,
nanti awak terkejut. Duduklah, biar saya buat."
Pak
Imam patuh dengan permintaan Haji Taslim Singasari. Kemudian dengan hati-hati
Haji Taslim Singasari membuka kain penutup tubuh di depan kami hingga ke hujung
kaki.
"Ya
Allah," kata saya.
"Subhanallah,"
sambut datuk.
"Allah
huakhbar," tingkah Pak Imam, buat seketika mulut kami ternganga.
Di
depan kami, terlentang tubuh Suhaimi Keraba tercungap-cungap macam ikan
kekurangan air. Separuh tubuhnya dari pusat hingga ke muka hitam legam macam
arang, sukar untuk menentukan di mana letak mata, hidung dan telinganya.
Dari
pusat ke kaki keadaannya elok sempurna. Saya juga malihat beberapa ekor
belalang hitam terbang bebas dan hinggap di bahagian tubuh yang hitam.
"Kita
mohon pada Allah supaya rohnya segera dikeluarkan dari tubuhnya, dia terlalu
seksa," Pak Imam bersuara.
"Saya
setuju," balas datuk
"Kita
baca Yasin," ujar Haji Taslim Singasari. Sebaik saja selesai bercakap,
seekor harimau kumbang muncul dari arah bahagian kepala Suhaimi Keraba. Di
bahagian kakinya pula muncul kucing hitam.
No comments:
Post a Comment