Waktu saya dan datuk berangkat ke Prai, nenek menghantar kami ke perhentian bas di pekan kecil. Nenek membekalkan buah tangan untuk keluarga Mat Prai, dua biji buah air serta beberapa bungkus tapai pulut. Buat saya dan datuk nenek bekalkan nasi lemak. Nenek tak suka kami makan di kedai yang belum pasti kebersihannya.
“Kami naik bas dari sini sampai Taiping saja,” beritahu
datuk kepada nenek.
“Dari Taiping ke Prai nak naik apa? Naik keretapi, bas
atau teksi?” Nenek terus mendesak. Datuk kedutkan kening dan dahi.
“Kami nak naik teksi, biar cepat sampai ke Prai.”
“Fasal berjalan, bukan main banyak duit awak,” sindir
nenek lalu disambut dengan ketawa oleh datuk. Saya Cuma tumpang senyum sahaja.
Alangkah bahagianya pasangan nenek dan datuk. Walaupun sudah tua, kemesraan dan
kasih sayang mereka tetap segar.
TINGGAL
Pekan kecil kami tinggalkan bersama doa restu daripada
nenek. Tiga jam kemudian kami pun sampai di Prai, dari situ terus menuju ke
rumah Mat Prai. Kami disambut dengan penuh mesra dan secara kebetulan pula,
pada hari kami tiba itu Mat Prai mula mengambil cuti tahunannya selama
seminggu.
“Memang tepat masanya. kami nak balik ke kampung di Balik
Pulau. Sekarang musim durian. Ayah Alang boleh ikut kami. Lagipun Ayah Alang
dah lama tak tengok keluarga di sini,” Mat Prai yang berkulit hitam, anak jati
Balik Pulau yang tinggal di Kampung Kongsi mengemukakan cadangan.
“Itu susah sikit Mat”.
“Apa susahnya, semua tambang dan makan saya tanggung.”
“Bukan fasal tu.”
“Habis fasal apa?”
“Aku janji dengan Mak Alang kamu nak balik cepat,” datuk
berdalih. Saya agak kecewa dengan sikap yang ditunjukkan oleh datuk itu. Kalau
boleh saya mahu datuk menurut kata Mat Prai. Saya cukup berminat untuk pergi ke
Balik Pulau. Sebuah daerah asing yang belum pernah saya jenguk.
“Tak mengapa, dia tahu kalau sudah pergi ke rumah saudara
mara tentu makan masa lama. Lagipun di sana ada cerita baru,” Mat Prai mula
memujuk.
“Cerita apa Mat?”
“Saya dapat tahu ada cerita pelik di musim durian ni.
Buah durian yang luruh malam hilang.”
“Pelik apa, itu tandanya durian yang luruh dicuri orang,”
tingkah datuk lalu dia ketawa berdekah-dekah.
Dari gerak geri dan air muka Mat Prai, ternyata dia
kurang senang dengan ketawa datuk luahkan.
Perlahan-lahan dia sandarkan tubuhnya ke dinding.
Isterinya datang mengambil pinggan dan piring yang kosong. Sebenarnya, kami
baru sahaja selesai makan tengah hari. Masakan yang disediakan oleh isteri Mat
Prai memang menyelerakan. Tapi datuk makan sekadar untuk kenyang. Cuma saya
sahaja yang bertambah.
“Begitulah, bila saya ceritakan semua orang ketawa, bila
datang tengok dengan mata kepala sendiri, semuanya ternganga dan takut,” ujar
Mat Prai termengah-mengah, usia baru masuk empat puluh tahun. Ada tiga anak
yang masih kecil. Nampaknya, Mat Prai berusaha dengan sedaya upaya untuk
memberikan keyakinan kepada diri datuk.
“Saya hampa juga bila Ayah Alang tak percaya,” begitu
hampa nada suara Mat Prai. Rasa kecewa terpamer di wajahnya. Sikapnya yang
ditunjukan itu menimbulkan rasa simpati pada diri datuk.
“Kalau bukan dicuri orang, boleh jadi buah durian tu
dimakan oleh harimau,” kata datuk sambil renung muka Mat Prai. Cepat-cepat Mat
Prai gelengkan kepala.
“Pelik juga, kalau tak dicuri, tak dimakan harimau,
makhluk apa yang membahamnya?” Datuk kerutkan kening.
“Inilah yang menjadi masalahnya, Ayah Alang.”
“Banyak kebun durian orang lain yang jadi macam tu?” soal
datuk lagi. Saya kira datuk mula minat dengan persoalan yang disampaikan oleh
Mat Prai padanya.
“Setidak-tidaknya tiga tuan punya kebun durian
mengalaminya. Mereka berjaga malam. Bila terdengar bunyi durian jatuh mereka
berkejar ke perdu durian. Bila sampai cuma bekas sahaja yang ada. Di tempat
durian jatuh, mesti terjumpa sehelai daun sirih hutan yang tercalit kapur,” Mat
Prai mula membuka kisah.
“Perkara ini kau dengar cerita dari orang atau kau tengok
sendiri?” datuk mula mencungkil rahsia. Mat Prai tersenyum.
“Saya sendiri alami perkara tu, Ayah Alang!”
“Hah, kau mengalaminya sendiri?” Datuk jegilkan biji mata
sambil menegakkan badannya. Tanpa ragu dan penuh keyakinan, Mat Prai anggukkan
kepala. Silanya terus diperkemaskan.
“Cuba ceritakan pengalaman kamu pada aku.”
“Bila sudah terlihat daun sirih dan kapur tu, saya
tercium bau kapur barus yang selalu digunakan untuk memandikan mayat. Saya juga
tercium bau telur tembelang,” tiba-tiba saya terasa seram dan bulu tengkuk saya
terus berdiri. Datuk menggigit bibir. Wajahnya Nampak tenang sekali.
“Kerana itulah kamu panggil aku ke mari,” datuk membuat
tuduhan melulu kepada Mat Prai. Sudah tentu Mat Prai tidak dapat menerima
tuduhan itu. Secara terang-terangan dia menafikannya.
“Saya panggil bukan kerana itu, ada perkara lain yang
lebih besar daripada itu. Saya kira hanya Ayah aAang sahaja yang boleh
menyelesaikannya,” wajah Mat Prai cukup serius.
“Apa masalahnya Mat?”
“Hubungan saya dengan adik saya bertambah jauh. Saya mahu
Ayah Alang jadi orang tengah untuk mendamaikannya.”
“Itu senang, kau mesti mengalah dan bertolak ansur
dengannya. Walau apa pun, kau sabarlah dulu. Aku lebih berminat dengan cerita
durian di Balik Pulau yang jatuh terus hilang,” hati saya cukup gembira bila
datuk sudah menyatakan hasratnya secara terang-terangan kepada Mat Prai. Saya berdoa
dalam hati supaya keluarga Mat Prai berangkat segera ke Balik Pulau.
“Bila agaknya kita nak pergi?” Mat Prai pula mengajukan
pertanyaan kepada datuk. Datuk reasah. Tindakan Mat Prai membuat diri datuk
berada dalam keadaan serba salah.
“Aku ikut kamu, cepat kata kamu, cepatlah kata aku,”
balas datuk.
“Apa kata selepas sembahyang Asar kita pergi.”
“Boleh juga, asalkan sampai siang ke rempat tersebut. Aku
nak tinjau kawasan itu. Manalah tahu boleh jadi semua itu dilakukan oleh
manusia, bukan makhluk ganjil. Datuk terus bangun. Berdiri di tepi tingkap
merenung ke arah rumah para pekerja keretapi yang lain.
“Saya tak fikirkan perkara itu dilakukan oleh manusia.
Ini semua kerja makhluk halus,” Mat Prai bangun lalu mendekati datuk. Dengan
tenang datuk menggeleng kepala. Mat Prai jadi resah.
“Mesti perbuatan makhluk halus,” tekan Mat Prai lagi.
Datuk segera memandang ke mukanya.
“Tak boleh cakap macam tu, kita periksa dulu dan cari
bukti. Manusia ni apa kurangnya dengan tipu helah,” balas datuk. Mat Prai
terdiam dan terus duduk kembali.
FERI
Petang itu, setelah menunaikan sembahyang Asar, kami
segera berangkat ke jeti (sekarang Pengkalan Sultan Abdul Halim) dan dari situ
menyeberangi selat kecil (saya menyebutnya sebagai Selat Pulau Pinang) dengan
feri menuju ke Bandar Tanjung, (George Town – Pulau Pinang) kerana sudah
beberapa kali datang ke bandar tersebut, tidak ada sesuatu yang menarik bagi
saya.
“Kami segera menuju ke perhentian bas di Pengkalan Weld
untuk menanti bas ke Balik Pulau. Mat Prai sudah memberitahu saya jalan ke sana
agak bengkang-bengkok. Kalau tidak tahan boleh muntah dibuatnya.
Sebagai usaha agar saya tidak muntah dalam perjalanan,
datuk segera hulurkan secarik kertas yang disambarnya ketika kertas itu
diterbangkan oleh angin di depannya.
“Buat apa tu?” Tanya Mat Prai.
“Petua orang tua-tua, bila kita nak berjalan, tiba-tiba
terserempak dengan daun atau kertas yang diterbangkan angin, cepat-ceoat kita
sambar dengan senafas. Khasiatnya boleh dijadikan tangkal penahan muntah.
“Selain dari daun dan kertas, ranting kayu boleh tak
digunakan?” Soal Mat Prai lagi.
“Boleh, asalkan benda-benda tu tidak terkena tanah dan datangnya
dari arah matahari terbit menuju ke arah matahari jatuh,” datuk memberi
penjelasan.
“Benda tu dibuat macam mana? Ditelan?” Datuk tersenyum,
pertanyaan dari isteri Mat Prai memang melucukan.
“Tak payah ditelan, cukup sekadar diletakkan di bahagian
depan perut. Diselitkan pada celah seluar, kain atau tali pinggang. Jangan
diubah-ubah atau dibuang, kecuali sampai ke tempat yang dituju. Kalau dibuang
demasa dalam perjalanan, kita akan muntah dengan serta merta,” dengan tenang
datuk memberikan penerangan.
“Tapi, anak saya tak muntah apabila naik bas atau
keretapi,:” Mat Prai memberitahu datuk tentang anak-anaknya.
“Boleh jadi kedua anak kamu tu, sudah biasa dengan jalan
yang bengkang-bengkok. Cucu aku ni tak berapa biasa, jadi aku buat persediaan.”
“Ya, sediakan payung sebelum hujan, tingkah isteri Mat
Prai. Datuk tersenyum dan Mat Prai terus ketawa. Bila ketawa Mat Prai berakhir
dan senyum datuk berhenti, bas ke Balik Pulau pun sampai. Tanpa membuang masa
kami terus naik bas.
KONGSI
Ketika sampai di perhentian bas di pekan Kongsi yang
letaknya berdepan dengan Balai Polis Balik Pulau, hari masih cerah lagi. Kami
terpaksa berjalan kaki menuju rumah arwah orang tua Mat Prai yang terletak
berdekatan dengan masjid Balik Pulau.
Setelah berada lebih kurang dua jam di rumah orang tua
Mat Prai, kami segera berangkat ke rumah yang didirikan oleh Mat Prai di
Kampung Pondok Upih.
“Bila saya berhenti kerja, saya nak duduk di sini. Fasal
itulah saya buat rumah cepat,” Mat Prai beritahu datuk.
“Bagus, tanah ni kau beli?” Soal datuk sambil merenung
kawasan rumah papan yang berbumbung lima.
“Tanah pusaka. Ini bahagian saya,” jawab Mat Prai.
“Oh,” datuk anggukkan kepala, “besar rumah kamu,” sambung
datuk. Mat Prai terus tersengih.
“Naiklah, buat apa tercegat kat situ,” suara isteri Mat
Prai meninggi dari tingkap dapur. Cukup pantas dia naik ke rumah lalu membuka
pintu tingkap.
“Mari kita naik,” susul Mat Prai. Cakapnya itu segera
kami patuhi.
Apa yang menarik perhatian saya ialah tentang karenah
anak Mat Prai. Mereka cukup lincah dan riang. Berlari ke sana ke mari di
halaman rumah. Adakalanya memanjat pepohon sekitar rumah dan membaling beburung
yang terbang rendah.
Bagaikan mahu pecah anak tekak isteri Mat Prai mengingatkan
mereka supaya berhati-hati bila berlari. Jangan sampai tersepak tunggul, jangan
sampai jatuh dalam longkang atau terjatuh ke dalam perigi buta. Ingatan itu
bagaikan tidak berkesan sama sekali terhadap kedua anak Mat Prai. Mereka terus
berlari ke mana sahaja ikut kemahuan sendiri.
Telatah kedua orang anak Mat Prai memang membosankan.
Tetapi, adakalanya telatah mereka melucukan sehingga sata tersenyum panjang.
Selepas puas berlembut, akhirnya isteri Mat Prai hilang sabar apabila dia
melihat anak sulungnya menebang pokok langsat. Tanpa sebarang amaran dia terus
memukul anaknya itu dengan pelepah kelapa. Datuk terpaksa campur tangan untuk
meleraikannya.
“Dia, kalau dah marah memang tak sedarkan diri,” bisik
Mat Prai ke telinga datuk. Nampaknya datuk tidak dapat menerima alasan itu.
“Kamu sebagai suami harus menahannya. Kalau kau biarkan
dia ikut perasaan, nanti budak yang rosak. Kamu sendiri tahu, marah tu
permainan syaitan. Aku memang tak suka orang memukul anak teruk-teruk.
PERGI
Memang sudah direncanakan, selepas sembahyang Isyak dan
makan malam, kami bertiga iaitu datuk, saya dan Mat Prai akan berangkat ke
tempat yang dijanjikan. Tetapi, anehnya datuk seperti sengaja mahu melambat-lambatkan
untuk pergi ke tempat tersebut.
“Bila kita nak pergi, Ayah Alang? Kalau lambat nanti
mengantuk,” Mat Prai mengajukan pertanyaan. Datuk yang tersandar di dinding
segera menegakkan tubuhnya. Saya lihat kedua belah bibirnya bergerak. Dalam keadaan
begini pun datuk masih berzikir, rungut saya dalam hati.
“Tunggu sekejap,” datuk segera bangun. Dia pergi ke
telaga mengambil air sembahyang. Kembali semula ke rumah dengan wajah yang
tenang. Sambil berdiri datuk menatap wajah saya dan Mat Prai.
“Kalau boleh, biarlah muka kita sentiasa dibasahi dengan
air sembahyang,” secara tidak langsungdatuk mengajar saya dan Mat Prai untuk
melakukan sesuatu yang baik. Buat beberapa saat, suasana di ruang rumah terasa
sepi. Saya atau Mat Prai tidak berhasrat mengajukan sebarang pertanyaan pada
datuk.
“Semua sudah siap?” Satu pertanyaan yang mengejutkan dari
datuk. Saya dan Mat Prai berpandangan. Sukar untuk saya menangkap maksud
sebenar dari kata-kata datuk itu.
“Memang dah siap nak pergi Ayah Alang.”
“Kalau dah siap, mana lampu picitnya, mana penyuluhnya,
mana parang panjang dan goloknya,” soal datuk dengan wajah yang serius. Saya
mula memahami maksud datuk.
“Semua sudah ada, Ayah Alang.”
“Kalau sudah ada, letakkan barang-barang tu di sini, aku
nak tengok.”
“Tunggu, saya ambil,” Mat Prai terus bangun dan keluar
dari rumah menuju ke tanah.
Bebepa minit kemudian, Mat Prai datang. Semua barang yang
dikehendaki oleh datuk diletakkan di tengah ruang rumah. Datuk menatapnya
dengan senyum. Saya melihat dia melangkah ke depan dengan merendahkan badan
sambil membengkokkan lutut kirinya. Saya mula faham, langkah itu langkah
berisi, ada maksud dan tujuan tertentu. Bukan langkah kosong.
“Daun kelapa untuk suluh memang banyak saya simpan,” Mat
Prai memberi penjelasan. Datuk menganggukkan kepala lalu duduk mencangkung di
depan barang-barang yang disediakan pleh Mat Prai. Saya kira lebih dari sepuluh
detik datuk berkeadaan demikian.
“Bukan apa-apa,” datuk melirik ke arah Mat Prai. “Kita ni
orang Melayu. Sejak zaman-berzaman menggunakan sulih atau andang bila berjalan
malam. Tetapi, sekarang andang tak diperlukan. Kita sudah maju. Sudah ada lampu
picit, tetapi..,” datuk tidak meneruskan kata-katanya. Dia menarik nafas
panjang sambil mengedutkan dahi. “kerana di kebun durian ada perkara aneh
terjadi, kerana itulah aku mahu menyediakan semuanya ini,” datuk meneruskan
kara-kata yang terhenti. Rasa lega bertandang dalam hati saya.
“Sekarang kita pergi,” itu arahan daripada datuk.
Serentak dengan itu datuk terus berdiri. Saya dan Mat Prai segera mengambil
barang-barang di tengah ruang dan melangkah ke pintu.
“Beri aku kepala jalan. Kau Cuma beritahu nak belok ke
kiri atau ke kanan,” datuk menghalang langkah Mat Prai. Langkah saya jadi
terhenti. Kesempatan itu saya gunakan untuk melihat ham dinding rumah Mat Prai.
“Dah dekat pukul sepuluh setengah.”
Keluh saya dalam hati sambil melangkah dan memijak anak
tangga. Mat Prai yang mengekor di belakang tidak bersuara langsung. Bila dia
sampai di halaman rumah, datuk terus menepuk bumi dengan telapak tangannya tiga
kali berturut-turut.
“Kita melangkah sekarang, tak payah pakai andang daun
kelapa, memadai dengan lampu picit saja,” datuk terus berdiri di depan saya.
Baru tiga kali melangkah, datuk terus berhenti.
“Kamu di belakang aku, Si Tamar yang akhir,” arahan yang
tidak menggembirakan dari datuk untuk saya. Mat Prai segera mengambil
tempatnya. Secara mendadak sahaja saya menjadi cemas dan takut. Saya toleh ke
kanan dan toleh ke kiri. Apa yang saya lihat ialah pepohon yang kaku dalam
kegelapan malam. Suara cengkerik memekakkan anak telinga.
“Ayuh jalan, kau jadi tukang suluh jalan,” datuk
mengingatkan Mat Prai tentang tugas yang mesti dilakukannya. Perjalanan yang
terhenti disambung kembali.
BULU
Setiap kali melangkah, saya terasa seperti ada sesuatu
yang mengikuti saya. Bulu tengkuk saya meremang secara tiba-tiba. Suara
cengkerik yang tidak putus-putus itu, saya rasakan seperti tangisan bayi yang
kelaparan susu.
Dalam gelap itu, saya terpandang benda putih yang
bentuknya seperti batang pisang berada di awang-awangan dan sering mendekati
saya. Anehnya, bila saya jegilkan biji mata dan tumpukan perhatian ke arahnya,
benda itu hilang dan apa yang saya lihat ialah dedaun dari pokok-pokok renek
yang bergerak-gerak ditolak angin malam.
“Jauhkah lagi?” Tanpa sabar saya mengajukan pertanyaan
kepada Mat Prai.
“Dari sini kira-kira enam rantai lagi,” jawab Mat Prai
sambil melihat ke arah cahaya api pelita dari pondok durian milik orang
setempat. Bila dapat bercakap sambil berjalan, rasa takut dan cemas yang
menguasai hati terus hilang.
Perjalanan malam yang mendebarkan itu pun berakhir. Kami
sampai di pondok durian. Mat Prai segera memperkenalkan dua budak lelaki yang
berbadan tegap, berusia lingkungan 25 – 26 tahun, berkulit cerah kepada saya
dan datuk. Kata Mat Prai, kedua-dua budak tersebut berasal dari Pulau Betung
yang sengaja diupah oleh Mat Prai untuk menunggu dusun durian.
“Mereka ni memang berani, ada sedikit-sedikit ilmu dunia.
Fasal itu saya panggil mereka,” bisik Mat Prai pada datuk.
“Macam mana kau upah dia orang?” Soal datuk dengan nada
suara yang perlahan. Pada hemat datuk, kurang manis kalau persoalkan semacam
itu sampai pengetahuan mereka.
Mat Prai segera menjelaskan cara upah yang dilakukan.
Mereka akan mengira secara rambang jumlah buah durian yang ada. Kemudian buah
itu dibahagi dua tetapi, orang yang diupah itu dimestikan menjaga dan
membersihkan dusun durian mengikut musim perjanjian.
“Satu kerjasama yang baik, berasaskan pada kejujuran dan
keikhlasan,” puji datuk lalu dududk di bendul pondok. Pemuda dari Pulau Bentung
berdiri di sudut pondok.
“Tak apalah abang Mat Prai, kerana abang dah ada, biarlah
kami balik,” kata pemuda yang bermata besar.
“Kenapa begitu? Marilah kita tunggu bersama”’ saya cuba
menahan.
“Memang sudah begitu janji yang dibuat. Kalau abang Mat
Prai ada, kami mesti balik. Kalau dia tak ada kami ambil alih tempatnya,”
tingkah pemuda yang seorang lagi. Bulu matanya cukup tebal. Apabila kedua
pemuda itu mahu meninggalkan pondok durian, Mat Prai segera bertanya.
“Ada benda-benda pelik?”
“Abang tengok sendirilah,” jawab mereka serentak kalu
beredar meninggalkan kami.
Angin malam yang bertiup tenang membuat saya cepat
mengantuk. Tanpa membuang masa saya terus merebahkan badan di lantai pondok.
Mat Prai terus menghitung buah durian di kaki tangga yang dikumpulkan oleh
kedua pemuda tadi.
Datuk pula memeriksa kawasan sekitar pondok dan akhirnya
berlabuh di perigi. Saya terkejut bila datuk mandi malam kerana perbuatan mandi
malam memang jarang dilakukannya. Mungkin datuk mempunyai maksud dan tujuan
tertentu. Fikir saya sambil menggolekkan tubuh ke kiri dan ke kanan lantai
pondok yang dibuat daripada bulu.
“Tolong saya, Ayah Alang. Tolongggg…”
Saya terkejut dan segera bangun bila mendengar jeritan
Mat Prai. Serentak dengan itu secara tiba-tiba lampu minyak tanah yang
tersangkut pada tiang pokok terus padam. Kulit durian berterbangan ke arah
saya. Badan saya terasa pedih dan luka. Saya terpaksa merangkak dalam gelap.
Jeritan Mat Prai tidak kedengaran lagi. Dia mengerang macam orang menahan sakit
yang amat sangat.
Saya terus memanggil nama datuk beberapa kali. Malangnya,
laungan itu dihalang oleh bunyi air yang jatuh ke tubuh datuk. Dalam keadaan
yang tidak menentu itu, terdengar bunyi paluan kompang yang disertai dengan
sorak-sorai yang meninggi. Saya terus merangkak dan meraba dalam gelap. Entah
macam mana saya terlanggar dinding pondok yang dibuat dari tepas. Dinding itu
terkopak dan saya terdorong ke depan lalu jatuh ke tanah macam nangka masak
yang lekang daripada tangkainya. Sekitnya bukan kepalang.
Walaupun sakit, saya cuba bangun dengan berpaut pada
tiang pondok. Usaha itu tidak berhasil. Saya tidak dapat bergerak ke mana-mana
kerana gelap. Saya terus memeluk tiang pondok. Entah macam mana saya terasa
seperti ada makluk ganjil yang muncul di sisi saya. Dalam keadaan yang cemas
itu, leher saya diraba oleh sepasang tangan yang berbulu tebal dan panjang.
Tangan berbulu itu bergerak dari batang leher ke muka lalu menyentuh pipi,
hidung dan mata.
Bila telapak tangan berbulu berada di atas lubang hidung
membuat saya sukar bernafas. Tanpa diduga tubuh saya dipeluk dengan eratnya.
Dengan sedaya upaya saya cuba meronta, entah macam mana kaki saya tersepakkan
sebatang kayu.
RENDAH
Saya pun merendahkan badan lalu mengambil kayu tersebut.
Dengan sepenuh tenaga, hujung kayu itu saya hentakkan ke tubuh berbulu. Dalam
gelap itu saya terdengar suara orang mengeluh menahan kesakitan yang amat
sangat. Serentak dengan itu, sepasang tangan yang berbulu yang memeluk tubuh
saya beransur lemah dan akhirnya saya bebas dari pelukan yang membuatkan saya
sukar bernafas.
Saya terus merangkak dalam gelap tanpa matlamat yang tertentu.
Kepala lutut saya terasa pedih bila terlanggar kulit durian. Entah macam mana
saya terpelukkan tubuh Mat Prai.
“Siapa?” Tanya Mat Prai.
“Saya, lampu picit di mana?” Soal saya sambil duduk dalam
gelap. Mat Prai bercakap sendiri menyalahkan dirinya kerana meletakkan lampu
picit merata-rata.
“Aku ingat, aku letakkan dekat tunggul merbau di sebelah
kanan pondok. Apa yang mesti kita buat, Tamar?”
“Kita terpaksa cari.”
“Terpaksa merangkak dalam gelap? Ini kerja susah,” Mat
Prai seperti berputus asa.
“Kita tak ada jalan lain, kita mesti cari lampu picit,”
kata saya dan terus merangkak.
Angin malam yang bertiup membuat dedaun bergeselan sesama
sendiri. Bunyinya tidak menentu, ada ketikanya seperti daun keretapi dan di
masa yang lain pula bunyinya macam bunyi ombak laut. Serentak dengan itu saya
terdengar bunyi burung jampuk. Awan di langit kelihatan hitam pekat.
Nyanyian cengkerik bertingkah dengan suara katak.
Lolongan anjing liar dipinggir pekan Kongsi jelas kedengaran. Bulu roma saya
terus berdiri. Tidak terdaya rasanya mahu merangkak. Dari setiap sudut saya
terdengar suara orang ketawa dan menangis.
No comments:
Post a Comment