“Tak mengapa,” Datuk tercegat di depan saya dengan wajah
yang damai. Kemudian telapak tangan
kirinya bercantum dengan telapak tangan kanan saya.
“Pegang kuat-kuat,” katanya.
Saya patuhi arahan yang diluahkan oleh datuk. Waktu saya kerahkan seluruh kekuatan untuk
berpaut pada tangan kanannya, saya terasa sekujur tubuh seperti terangkat,
memisahkan sepasang kaki dengan pasir dalam jarak setinggi kira-kira empat
kaki. Seluruh tubuh terawang-awangan di
udara.
“Aduuuuuhh…!” itu yang keluar dari kelopak bibir
saya. Daging punggung terasa sakit dan
pedih bila datuk mendudukkan saya dengan keras dan kasar. Seluruh isi perut terasa bergegar.
Dari pangkal belikat hingga ke pangkal paha terasa kebas
seketika. Seluruh sendi terasa
lemah. Lebih dari lima minit saya duduk
termanggu di dada pasir.
Bila saya rasa kekuatan tenaga sudah pulih kembali. Cepat-cepat saya bangun. Berdiri merenung kearah Khoja Lilsut yang
sudah berjaya mengeluarkan tangan kanannya.
“Tamar, ikut aku.”
“Ke mana tuk?” Soal saya lemah.
“Keluarkan Khoja dari pasir.”
Saya segera mengekori langkah datuk. Saya berdiri di sebelah kiri Khoja
Lisut. Dan datuk berdiri di sebelah kiri
Khoja Lisut. Dan datuk berdiri di
sebelah kanan. Khoja Lisut segera
menatap wajah saya dan datuk silih berganti.
Rasa cemas terpamer di wajahnya.
“Serentak kita tarik tangannya, Tamar.”
Arahan datuk itu saya balas dengan menganggukkan
kepala. Setelah datuk genyitkan mata
saya terus menyambar tangan kanan Khoja Lisut.
Datuk juga berbuat seperti apa yang saya lakukan.
“Heret ke sungai,” arahan datuk saya terima.
Khoja Lisut kami tarik atas pasir, suara jeritannya
menguasai seluruh kawasan. Datuk tidak
ambil kisah dengan jeritan itu. Khoja
Lisut diheret hingga ke gigi sungai.
“Kita humbankan ke dalam lubuk.”
Saya jegilkan biji mata kearah datuk dengan seribu
persoalan. Sukar untuk saya mematuhi
cakapnya. Kalau dicampakkan ke lubuk,
bererti Khoja Lisut akan jadi makanan buaya.
Apa datuk sudah gila? Kulit dahi segera saya kerutkan.
“Ke lubuk tuk?”
“Iya.”
“Buaya tuk.”
“Itu urusan aku,” sahut datuk dengan wajah yang masam.
Dia segera menyuruh saya berubah tampat. Saya disuruh memegang sepasang kaki Khoja
Lisut dan datuk memegang sepasang tangan lelaki yang masih mengerang kesakitan.
“Kita hayun tiga kali, masuk hayun keemapat kita lepaskan
ke lubuk, kamu faham cakap aku Tamar!”
“Bagus, jangan banyak Tanya lagi tau.”
“Iya tuk.”
“Hayun satu, hayun dua, hayun tiga, hayun empat lepaskan
Tamar”
“Bedebummmmmmmmmmmmm.”
Sekujur tubuh jatuh dipermukaan lubuk. Gelombang dan alun air sungai berlarian ke
tepian. Khoja Lisut menjerit minta
tolong, terkapai-kapai mengimbangi tubuh supaya tidak tenggelam.
Di saat Khoja Lisut terkapai-kapai itu penghuni lubuk (buaya) menimbulkan diri di
sisinya. Jeritan Khoja Lisut bertambah
kuat. Dengan sedaya upaya saya lihat
Khoja Lisut berusaha menjauhkan dirinya deari buaya tersebut. Dia cuba berenang ke tepian.
“Kamu lihat dia sudah boleh menggerakkan kedua kaki dan
tangannya, bisik datuk pada saya. Tidak
dapat saya nafikan kebenaran dari kata-kata datuk itu.
“Saya takut dia jadi habuan buaya tuk?”
“Tidak, nanti aku ikgtiar untuk menyelamatkannya,” balas
datuk sambil matanya merenung kearah buaya yang mula mempamerkan keganasannya
untuk mengorbankan Khoja Lisut.
Si buaya mula membuka mulut, ekornya terus memukul
permukaan sungai. Khoja Lisut kelihatan
tenggelam timbul dalam riak dan alun air tersebut. Dia kelihatan tercunggap-cunggap seperti
berada dalam keadaan kelemasan. Buaya
yang berada di permukaan air terus menyelam ke dasar lubuk.
“Buaya tu menyelam untuk menjulang Khoja,” datuk renong
kearah saya. Dia nampak gusar
sekali. Khoja Lisut tetap
terkapai-kapai, saya melagakan gigi atas dengan bawah beberapa kali, saya harap
datuk dapat melakukan sesuatu supaya Khoja Lisut tidak jadi korban buaya.
“Hum…..,” datuk mendengus.
“Tuk mahu menolongnya?” Datuk membisu, tidak mahu
menjawah pertanyaan saya.
Dia terus duduk bersila atas pasir dengan kedua belah
lengannya berada atas tempurung lutut.
Datuk menahan nafas, kedua belah kelopak bibinya bergerak-gerak. Ternyata datuk sedang membaca sesuatu untuk
menyelamatkan Khoja Lisut. Saya gembira
dengan tindakan itu.
“Huuuupppp,”
Kedua belah telapak tangan datuk memukul pasir. Dia terus bangun, bergerak bagaikan robot
menuju ke sungai. Berdiri di tengah arus
sungai dengan kedua belah tangannya mencekak pinggang. Datuk bongkokkan badan (kedua belah tangan masih di pinggang) hingga seluruh mukanya
terkena air sungai yang mengalir.
GIGI
Dari gigi sungai saya perhatikan gerak geri datuk
itu. Tiga kali dia membongkok dan tiga
kali juga air sungai membasahi wajahnya.
Selesai saja perkara itu dilakukan, datuk tetap berdiri di situ sambil
mendepangkan kedua belah tangannya.
“Terkunci mulumu dari membinasakan anak Adam, patuhlah
engkau dengan hukuman aku,” selesai saja datuk bersuara dia segera menjentik
permukaan air dengan jari telunjuk tiga kali berturut-turut.
Perlahan-lahan datuk memusingkan badannya kearah
saya. Dia menggamit saya agar
mendekatinya. permintaannya saya penuhi.
“Kamu pergi dekat Khoja, tarik dia ke tepi.”
“Tapi tuk?”
“Tak ada tapinya, buat sekarang.”
Dengan rasa gementar saya segera mengharungi sungai
mendekati Khoja Lisut yang terkapai-kapai, saya hulurkan tangan kearahnya. Tanpa diduga, buaya menimbulkan badannya
disebelah kanan saya. Sepasang kaki saya
jadi lemah, tidak mampu berdiri dan mengharungi air sungai, saya batalkan niat
untuk menolong Khoja Lisut. Saya
berpatah balik ke tepi sungai.
“Tuk tolong saya, buaya tuk.”
“Kalau kamu patah balik, aku cekik kamu sampai mampuis,
pergi tolong Khoja, pergi.”
Saya tidak ada pilihan, kalau rapat ke tepi bencana buruk
menanti. Kalau tolong Khoja, saya pasti
jadi umpan buaya. Dari mati kena cekik,
lebih baik mati di mulut buaya. Sebelum
saya jadi habuannya, saya pasti menentangnya.
Kalau nasib saya baik, saya mampu menewaskannya. Saya mara ke tengah sungai semula.
“Kemari kamu, kamu sudah aku takluki. Mulut kamu terkatup rapat, kekuatan kamu jadi
lemah. Kamu hanya mendengar cakap aku
saja, sekarang kamu ke mari duduk dan jemurkan badan kamu di pasir,” pada
mulanya saya rasa cemas dan takut mendengar kata-kata itu, tetapi setelah
mengetahui yang kata-kata itu ditujukan kepada buaya. Rasa takut dan cemas segera hilang dari
bersarang di sanubari saya.
Buaya yang terapung di sebelah kanan saya segera bergerak
menuju ke tepaian. Merangkak atas pasir
lalu berhenti di depan datuk.
“Kamu duduk diam di sini,” tutur datuk.
Buaya itu menggerakkan hujung ekornya perlahan-lahan,
seolah-olah mengerti dengan apa yang datuk ucapkan. Datuk pun meletakkan kaki kirinya ke kepala
buaya sebentar. Kemudian datuk terjun ke
sungai lalu menolong saya mengheret Khoja Lisut ke tepian.
Khoja Lisut terus dibaringkan atas pasir. Datuk melurutkan sepasang kakinya dengan daun
keladi sebanyak tiga kali. Bila kerja
itu selesai, Khoja Lisut dicampakkan ke lubuk buaya sebanyak tiga kali
berturut.
Bila Khoja Lisut tidak bermaya, barulah datuk memikulnya
ke pondok pisang sesikat. Dibaringkan
atas pucuk pisang, Khoja Lisut terkapar pengsan di situ.
“Sekarang kau ikut aku, bawa gayung upih,” datuk bersuara
tenang. Saya segera mencapai gayung upih
dan terus mengekori langkah datuk menuju ke tempat buaya tersadai. Sebaik saja sampai ke tempat itu, tanpa
sepatah kata pun datuk segera mengambil kayu di tangan saya.
“Nak buat apa tuk.”
“Aku Nampak air liur buaya,” segera saya beliakkan biji
mata.
Datuk segera membuka mulut buaya luas-luas, kemudian
dikatupnya kembali. Perbuatan itu
dilakukan datuk lebih dari tiga kali.
Waktu mulut buaya itu rapat, air liurnya meleleh di kiri kanan, datuk
terus mengambilnya dengan menggunakan gayung dari upih.
“Tunggu, sekejap lagi kamu aku bebaskan,” datuk tatap
mata buaya yang kelopaknya bergerak lemah.
Datuk ambil sejemput pasir yang berada di bawah perut buaya lalu
digaulkan dengan air liur buaya.
“Mari balik ke dangau.”
“Jum,” balas saya pendek.
Kami pun melangkah menuju ke pondok pisang sesikat. Tanpa membuang masa datuk terus menggosok
seluruh badan (termasuk bibir dan teling)
Khoja Lisut dengan air liur buaya.
“Ehhhh….”
Suara Khoja Lisut mendatar. Dia membuka mata merenung muka saya dan
datuk.
“Berapa lama lagi saya begini?”
Datuk enggan menjawab pertanyaan itu. Dengan berbisik datuk mengarahkan saya supaya
mengambil bungkusan berbalut kain hitam.
Cakapnya segera saya patuhi.
Bungkusan itu saya serahkan pada datuk lalu dibuknya. Tujuh biji putik manggis tergolek di depan
mata saya.
“Kamu tumbuk sampai hancur.”
Sebiji putik manggis datuk serahkan pada saya. Tanpa membuang masa lagi, putik manggis itu
saya tumbuk dengan batu sungai hingga hancur.
“Nah tuk.”
Sebelum menerimanya, datuk melihat terlebih dahulu putik
manggis hancur yang saya taruhkan dalam piring kecil. Datuk senyum, dia puas hati dengan kerja saya
itu.
“Sumbatkan ke dalam mulutnya.”
Datuk keluarkan arahan.
Saya segera mematuhinya. Rasa
kelat dan pahit dari putik manggis itu membuat Khoja Lisut mengerutkan
dahi. Dia hampir mahu muntah.
“Telan Khoja, jangan luahkan, kalau kamu muntah. Kamu terpaksa duduk lama di sini,” nada suara
datuk lembut.
“Berapa lama lagi saya di sini,” Tanya Khoja Lisut.
“Kalau semunya berjalan dengan baik, tiga hari saja. Apa yang kami buat pada kamu petang ini akan
diulangi pada petang besok dan lusa.”
“Huh azabnya saya,´keluh Khoja Lisut.
Datuk tersenyum dan menyuruh saya hancurkan sebiji putik
rambutan yang kemudiannya dicampurkan dengan air pinang. Semua bahan tersebut disapukan ke seluruh
badan Khoja Lisut, Cuma sedikit saja yang disuapkan ke mulunya.
SELESAI
Bila tugas itu sudah selesai, saya diarah oleh datuk
mengorek lubang (di tempat mula-mula
Khoja Lisut ditanam) di dada pasir untuk menanam badan Khoja Lisut. Kerja itu dapat saya selesaikan dalam masa yang
singkat sekali.
“Sudah siap Tamar?” Tanya datuk.
“Sudah tuk.”
“Kalau begitu, datanglah ke sini tolong usung Khoja untuk
dibawa ke lubang?”
“Iya, saya datang tok.”
Saya bergegas menuju ke pondok pisang sesikat. Khoja Lisut segera kami usung dan campakkannya
ke dalam lubang yang sudah digali. Tugas
menimbusnya terletak atas bahu saya.
Khoja Lisut merelakan apa yang saya dan datuk lakukan terhadapnya.
“Tinggalkandiadi situ, ikut aku ke sungai.” Ekor matanya
menjeling kearah saya.
“Jangan tinggalkan saya
di sini.” Khoja Lisut merayu.
“Kau tunggu aje di sini,” sergah datuk dan Khoja Lisut
terus terdiam.
“Mari, Tamar.”
Datuk segera menarik tangan saya mengajak ke sungai. Saya hanya mengikut saja. Tidak mampu saya mengemukakan apa-apa
pertanyaan terhadap datuk.
Kami sampai ke tepi sungai. Datuk segera berdiri di hujung muncung
buaya. Tiga kali datuk urut muncung
buaya dan tiga kali datuk tepuk pasir dengan telapak tangan kirinya.
Kedua belah tangan datuk memeluk tubuh lalu menarik nafas
dalam-dalam. Matanya diarahkan ke lubuk
tanpa berkedip dan mulutnya bergerak membaca sesuatu.
“Sekarang kau sudah aku bebaskan, kita tidak bersahabat
lagi buat masa ini. Dalam tempoh kita
tidak bersahabat tu, kau boleh memusnahkan kaum keluarga dan kawan-kawanku,”
sebaik saja datuk selesai bercakap, dia terus melompat ke kanan.
Jarak kami (saya
dan datuk) dengan buaya kira-kira sepuluh kaki sahaja. Buaya itu
mengangakan mulutnya luas-luas. Bergerak
ganas atas pasir dengan ekornya memukul ke kiri dan ke kanan. Pasir-pasir yang
kering berterbangan.
Buaya itu benar-benar menunjukkan kemarahannya yang amat
sangat. Mungkin kerana menyedari yang
dirinya tidak dapat melakukan apa-apa terhadap saya dan datuk, buaya itu terus
merangkak ke sungai dan terus menyelam ke sarangnya (lubuk).
“Untuk petang ini dah selesai,” datuk terus menepuk bahu
saya berkali-kali. “Kita kena buat perkara yang sama dua petang lagi,” sambung
datuk sambil menggosok-gosok pangkal hidungnya.
“Kena buat lagi tuk?”
“Iya, tiga petang berturut-turut,” datuk mula mengatur
langkah menuju ke pondok pisang sesikat.
Saya mengekorinya.
Sambil berjalan itu, saya melihat ke dada langit. Awan petang berarak lembut, beburung mula
terbang ke sarang dan di kaki langit mula timbul cahaya kemerah-merahan. Sebentar lagi suasana petang akan
berakhir. Senjakala akan datang
menjelma. Saya kira ketika itu suasana
sekitar tentu akan berubah. Boleh
bertukar menjadi seram dan menakutkan.
“Malam ni, ada kerja yang lebih hebat dari apa yang kita
buat pada petang ini,” tutur datuk samnbil duduk di depan pondok. Matanya merenung kearah Khoja Lisut yang
cuma nampak kepala saja. Seekor ular tedung bergerak kearah Khoja
Lisut.
“Kamu jangan bergerak Khoja, kalau ular tu mendekati
kamu, matikan diri kamu dan tahan nafas,” datuk memberikan arahan dan Khoja
Lisut tidak memnberikan apa-apa reaksi, matanya tertumpu kearah ular yang
menghala ke batang hidungnya. Dua tiga
kali ular itu berpusing di situ, adakalanya memanggungkan kepalanya.
Saya menarik nafas kelegaan, bila ular tedung itu beredar
dari sisi kepala Khoja Lisut.
“Itu ujian untuknya,” datuk meluruskan kaki kirinya.
“Hebat ujiannya tuk.”
“Begitulah, mengikut petuanya Khoja Lisut mesti ditanam
dalam pasir tiga hari tiga malam berturut, dibuang ke Lubuk buaya tiga petang
berturut, tiga malam berturut mesti didekatkan dengan unggun api kemudian
dimandikan di lubuk waktu tengah malam,” penerangan yang tidak saya tagih dari
datuk itu sudah cukup menegakkan bulu roma saya.
“Kalau begitu biar saya balik tuk.”
“Kamu mesti bersama aku malam ni, malam esok atau lusa
kalau nak tidur di rumah tak mengapa.
Tetapi malam ni kamu mesti ada di sini,” nada suara datuk bersahaja.
DUDUK
Menjelang Maghrib, saya dan datuk sudah pun menyiapkan
tiga longgokan kayu mengelilingi kepala Khoja Lisut yang tubuhnya terbenam
dalam pasir. Sebelum itu, seluruh muka
Khoja Lisut telah dilumurkan oleh datuk dengan sejenis minyak yang datuk buat
dari ramuan buah jambu batu, daun kunyit,
santan kelapa, buah gelugur dan ubi
keledek.
Semua bahan-bahan itu diproses hingga menjadi seperti margerin dan itulah yang disapukakan ke
muka Khoja Lisut bagi mengelak kulit muka dan lebernya dari terbakar. Minyak itu juga menghalau nyamuk dan serangga
lain dari mendekati Khoja Lisut.
Sebaik saja masuk waktu Maghrib, datuk menyuapkan tiga
biji bertih ke mulut Khoja Lisut.
Setelah itu barulah saya dan datuk melakukan solat Maghrinb. Sementara menanti masuk waktu Isyak saya dan
datuk terus berzikir dan melakukan sembahyang sunat Awabin.
“Sekarang kamu bakar kayu yang kita longgokkan tadi,”
kata datuk sebaik saja selesai sembahyang Isyak.
“Saya seorang saja tuk?”
“Habis, beberapa orang pula, pergi buat. Aku nak berwirid dan nak tidur. Kamu tunggu di situ, bawa botol air, kalau Khoja
nak minum kau berikan air padanya,” pesan datuk.
Dengan perasaan yang agak cemas, saya terus perti
kelonggokan kayu pertama lalu membakarnya.
Kemudian beralih ke longgokan kedua dan ketiga. Kawasan sekitar jadi terang-benderang.
Saya berdiri tidak jauh dari Khoja Lisut, lebih kurang
sejam api itu menyala, saya terdengar suara jeritan Khoja Lisut. Bahang api dari kiri kanannya membuat Khoja
Lisut kepanasan. Kulit muka dan lehernya
serta merta menjadi merah.
Saya sudah tidak mampu lagi berdiri di situ. Kepanasan membuat kulit muka saya terasa
pedih. Badan berpeluh. Baju segera saya buka, Kerana tidak tahan, saya lari ke pondok
pisang sesikat. Jeritan Khoja Lisut yang
nyaring bertukar menjadi serak dan akhirnya terus hilang.
“Kamu jangan datang ke sini, tunggu dekat Khoja, sekejap
lagi aku datang ke tempat kamu,” tutur
datuk sambil menutup Quran kecil yang dibacanya.
“Sekejap lagi tu, bila tuk?”
“Pukul empat pagi atau selepas aku sembahyang sunat Tahajud.”
“Saya takut tuk.”
“Kamu pergi sekarang,” pekik datuk sekuat hati.
Suaranya yang kuat dan nyaring membuat saya segera menuju
ke tempat Khoja Lisut.
Saya duduk atas sebatang kayu. Kepala Khoja Lisut terlentuk atas pasir. Suara datuk membaca Quran sayup-sayup
kedengaran. Saya lihat ke langit, binatang
bertaburan di mana-mana.
Angin yang bertiup menggerakkan dedaun dan dedahan dari
pepokok yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Suara angin yang menyentuh dedaun amat
menyeramkan bunyi dedahan kering yang jatuh ke bumi macam bunyi telapak kaki
menusia memijak dedaun kering.
Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk kerana
mengantuk. Saya kira ketika itu sudah
lebih dari pukul satu pagi. Suara datuk
membaca Quran tidak kedengaran lagi.
Saya berdiri lalu merenung ke pondok, saya lihat datuk sudah baring.
Mungkin dia sudah tidur.
Antara sedar dengan tidak saya terasa ada sesuatu yang bergerak di
belakang saya. Kerana semua kayu sudah
menjadi bara, saya kehilangan cahaya untuk memastikan apa yang berada di
belakang.
Perlahan-lahan saya memusingkan badan untuk melihat
dengan tepat apa yang berada di belakang saya.
Sebagai senjata, saya ambil sepotong dahan yang bahagian hujungnya sudah
menjadi bara.
“Ya Allah, selamatkan aku dari bahaya ini,” bisik batin
saya bila terlihat seekor harimau duduk mencangkung merenung kearah saya. Dengan lagak separuh berani dan takut saya
halakan punting kayu yang berbara kearah harimau itu.
Si harimau terus mengaum dan beredar dari belakang
saya. Bila saya membetulkan kedudukan
saya pada keadaan asal, saya lihat seekor ular besar yang hitam panggungkan
kepala kearah saya. Dan saya gunakan
punting kayu yang berbara untuk menghalau ular hitam itu. Saya berjaya, ular itu segera beredar.
Dalam keadaan yang serba tidak kena dan penuh keresahan
dan ketakutan itu, saya renung ke pondok.
Datuk baru saja selesai
menyempurnakan sembahyang Tahajud.
Sekarang dia sedang menadah tangan ke langit, berdoa
mohon restu dari Allah agar segala kerjanya dapat dilaksanakan dengan baik.
HODOH
Tiba-Tiba gegendang teliga saya menangkap bunyi sesuatu
dari sebelah kanan lalu dituruti dengan bunyi suara orang batuk. Saya alihkan muka ke kanan, seorang lelaki
dengan wajah yang amat hodoh terpacak disitu.
Tingginya hampir sama dengan tinggi saya.
“Siapa kamu?”
Lelaki yang separuh wajahnya menggerutu macam kulit katak
puru itu tersengih, mempamerkan giginya yang besar dan bentuknya macam gigi
buaya. Kedua belah keningnya menutup
mata, sukar untuk melihat anak matanya.
Hujung dagunya terkandas pada dada.
Daging pipinya mengelebah hingga ke bahu, sekali pandang macam telinga
gajah.
“Siapa kamu?” Untuk kedua kali saya bertanya.
Lelaki berwajah hodoh itu tidak menjawab dan dengan
sekelip mata, tubuhnya menjadi tinggi melepasi pepohon besar yang ada di
situ. Pandangan saya dilindungi oleh
tubuhnya yang berwarna putih macam awan.
No comments:
Post a Comment