Dalam
keadaan yang terangkak-rangkak itu, mata saya terpaku kearah benda bulat yang
bergolek-golek kearah saya. Sebelum
benda itu terkena kepada lutut, segera saya tahan dengan telapak tangan. Benda itu tidak bergerak, sebaliknya tegak
dengan sendiri sambil mengeluarkan cahaya yang putih. Pandangan saya jadi berpinar-pinar.
“Tamar,
aku dah dapat lamput picit.” Jerit Mat Prai lalu menyuluh kearah saya. Cahaya dari lampu picit itu terkena pada
benda bulat yang tegak di depan saya.
“Tamar
batu nisan orang lelaki di depan kamu”, pekik Mat Prai. Saya menarik nafas gementar kerana batu nisan
yang bulat itu bergerak dan berpusing.
Tanah di depannya kelihatan merkah.
Batu
nisan yang terpacak di dean saya terus hilang.
Serentak dengan itu mendengar bunyi telapak kaki orang melangkah, datang
dari sebelah kanan. Berpandukan pada
cahaya lampu picit Mat Prai, saya terus mengolekan badan kearahnya, melanggar
apa sahaja yang ada di tanah. Saya dapat
menyatukan diri dengan Mat Prai.
‘Kau
tengok itu,” Mat Prai menghalakan muncung lampu picit ke kanan, saya terlihat
kaki yang bahagian atasnya berbentuk macam kaki gajah, Penuh dengan bulu tebal, tumit kakinya
berbentuk agak tajam seperti taji ayam, jarikakinya berjumlah tiga.
Ibu
jarinya bulat dan memunyai lekuk macam lok keris, manakala dua lagi jarinya
kelihatan seerti bercantum dan mengeluarkan cairan yang berwarna putih. Saya mula terhidu bau daun sirih yang baru
dipatahkan dari dahannya.
Secara
mendadak lampu picit Mat Prai tidak menyala. Kedua belah bahu saya dan Mat Prai seperti di
tekan dengan sebatang kayu membuat kami tidak dapat bergerak. Kalau bergerak seluruh sendi terasa sakit. Kami tidak ada pilihan, selain dari
mengarahkan biji mata kami kea rah kaki besar yang berbulu. Kaki itu bergerak ke arah longgokan durian di
kaki tangga pondok. Puas saya mencari
sepasang lagi kaki yang berbulu.
“Puas
aku cari sebelah lagi kakinya. Agaknya,
memang makhluk ni berkaki satu,” bisik Mat Prai.
‘Agaknya,”
saya segera anggukkan kepala.
‘Makhluk
apa ni?” Rungut Mat Prai lagi, sebaik sahaja Mat Prai selesai merungut, seluruh
kawasan sekitar kami terang macam keadaan terang bulan. Beberapa ekor kelawar berterbangan di atas
kepala kami bersama dengan suara lolongan anjing dan jeritan burung hantu.
BULU
Kaki
besar yang berbulu berhenti bergerak. Tempatnya digantikan oleh seekor tupai
yang bulunya keperang-perangan.
Besarnya
lebih kurang sama besar dengan kambing dara. Mata tupai aneh itu merenung ke
arah kami dengan tajam. Giginya yang tajam dan putih itu dipamerkan ke arah
kami, misainya bergerak-gerak. Ekornya digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan.
“Triitttttt…,”
suara dari tupai aneh itu memekakkan anak telinga kami. Dalam tempoh beberapa
saat sahaja beratus-ratus ekor tupai berwarna hitam terjun dari ranting pokok
sekitar kawasan pondok. Semuanya menuju ke arah longgokan durian.
Mulut
saya dan Mat Prai ternganga. Memang tidak masuk akal dan sukar dipercayai malah
akan jadi bahan ketawa kalau disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di
dunia. Mereka pasti tidak percaya bila diberitahu, ada tupai hitam menjelma
waktu malam untuk makan durian yang dilonggokkan. Tupai-tupai itu hanya
mengambil masa tidak sampai lima minit untuk melenyapkan jumlah durian lebih
dari seratus biji. Semua yang saya lihat membuat badan saya berpeluh dalam
lolongan anjing dan nyanyian burung hantu yang memanjang.
“Panggil
datuk kamu, aku bimbang kalau tupai-tupai itu menyerang kita,” Mat Prai
menyuarakan kebimbangannya.
“Nanti
dulu,” kata saya.
Sebab
utama saya tidak mahu memanggil datuk kerana saya tidak dapat bersuara dengan
lantang. Tekak saya terasa sakit dan pedih. Selain dari itu, saya jadi terhibur
melihat kumpulan tupai yang sudah kekenyangan itu membawa biji-biji durian ke
tempat lapang. Biji durian itu dilonggokkan di situ. Bila kerja itu sudah
selesai, kulit-kulit durian pula diusung lalu dilonggokkan dekat biji durian.
Tupai
yang berbadan besar tetap melihat gerak-geri anak buahnya sambil berbunyi,
seolah-olah mengeluarkan perintah.
Tupai
besar itu berdiri dengan ekornya dicacakkan ke tanah. Sekali pandang tupai
tersebut kelihatan seperti duduk mencangkung dengan kaki depannya memeluk
tubuh. Anak buahnya meletakkan tujuh ulas isi durian yang cantik di depannya.
Bila dia memakan durian tersebut, anak buahnya duduk kaku, seolah-olah
memberikan penghormatan padanya.
Bila
tupai besar itu selesai makan, biji durian yang diluahkannya segera diambil
oleh anak buahnya dan terus ditanam. Kemudian salah seekor dari anak buahnya
membawa beberapa helai daun sirih hutan yang sudah dicalitkan dengan kapur
sirih. Tupai besar itu segera menjilat daun sirih hutan beberapa kali. Daun
sirih yang sudah dijilatnya itu diletakkan di hujung kaki kanannya, sebaik
sahaja hujung kaki kanan terkena daun sirih, semua anak buahnya bertempiaran
lari lalu mencari dedahan berdekatan. Apa yang saya dengar ialah bunyi suara
tupai.
Bila
suara tupai tidak kedengaran lagi, saya dan Mat Prai terpandangkan kaki besar
yang berbulu bergerak (dalam keadaan melompat-lompat) akhirnya terus hilang.
Saya dan Mat Prai cuba bangun tetapi ternyata kami tidak terdaya bergerak.
Pangkal
pinggang terasa sakit, sendi-sendi terasa bisa yang amat sangat. Saya dapati
pelita yang padam dalam pondok menyala kembali. Kulit durian dan biji durian
yang berlonggok terus hilang. Apa yang ada ialah beberapa helai daun sirih yang
sudah dicalit dengan kapur berserakan di kawasan pondok.
Dengan
sedaya upaya, saya cuba bangun. Usaha saya tidak berhasil. Bila saya berjaya
berdiri tegak, tempurung lutut
saya
terasa lembik dan urat-urat di kaki bagaikan terputus. Saya mengalami rasa
sakit yang amat sangat. Saya terus jatuh mengelepar di sisi Mat Prai. Apa yang
terdaya kami lakukan adalah meniarap di bumi sambil bergerak ke kiri dan ke
kanan.
Gerakan
tubuh kami tidak ubah macam gerakan ular di atas jalan raya, dengan lain
perkataan kami seperti berenang atas daratan. Saya terus bertempik menyeru nama
datuk dengan sekuat hati. Suara saya itu menenggelamkan suara cengkerik dan
lolongan anjing. Selesai sahaja saya bersuara, badan saya terus lemah. Tidak
bermaya untuk menegakkan kepala. Saya letakkan kepala atas tanah. Sayup-sayup
saya terdengar bunyi telapak kaki orang berlari ke arah saya.
“Astaghafilrullah,
apa dah jadi dengan kamu berdua ni,” saya membuka mata melihat datuk berdiri di
hujung kepala saya. Mat Prai sudah tidak bergerak langsung.
“Kenapa
tak panggil aku di telaga,” tambah datuk lagi sambil duduk mencangkung lalu
memeriksa setiap urat nadi saya dan urat nadi Mat Prai.
“Aku
tak nampak apa-apa yang datang, semuanya macam biasa. Pelik juga, kenapa aku
tak dapat mengesan dengan apa yang terjadi di sini,” datuk merungut sendirian.
Dia terus mengambil lampu suluh di tangan Mat Prai yang masih menyala.
BALDI
Tanpa
membuang masa datuk terus menuju ke perigi kembali. Datang kepada kami semula
dengan membawa satu baldi air.
Datuk
letakkan baldi yang berisi air ditengah (di antara saya dengan Mat Prai) dia
mengambil beberapa helai daun yang hijau. Dimasukkan ke perut baldi. Datuk
mencari ranting kayu lalu air dalam baldi dikacau.
Datuk
berhenti mengacau air dalam baldi. Dalam keadaan yang tidak bermaya itu, saya
lihat kelopak bibir datuk bergerak, dia mula mengelilingi kami beberapa kali.
Datuk duduk mencangkung menghadapi saya kembali.
“Tamar,”
katanya.
Saya
pun membesarkan kelopak mata dan cuba bersuara tetapi, suara saya tidak mahu
keluar. Datuk tetap bersikap tenang.
“Buka
mulut kamu Tamar.” Saya terus membuka mulut, dengan telapak tangan kiri datuk
membawa air dari baldi ke mulut saya.
“Telan
air ni senafas, Tamar.”
Saya
buat apa yang datuk suruh. Rasa pedih dan perit di tekak segera hilang. Kedua
belah
kaki dan tangan saya dapat digerakkan semula. Tidak terasa sesuatu menekan di
belakang. Saya segera menelentang dan melihat langit.
“Tamar,”
seru datuk lemah. “Ada apa tuk.”
“Hulurkan
tangan kamu,” saya pun menghulurkan tangan kanan kepadanya. Tanpa diduga datuk
terus menyentap tangan dengan sekuat hati. Kemudian datuk melepaskan tangan
saya dengan tiga kali urut dimulai dari pangkal ketiak membawa ke hujung jari.
“Kau
duduk diam di sini,” datuk mengeluarkan perintah.
Saya
akur dengan perintah itu. Datuk segera mendekati Mat Prai. Apa yang telah
dilakukan pada saya, itu jugalah yang dilakukan oleh datuk pada Mat Prai. Usaha
datuk berhasil, saya dan Mat Prai dapat duduk.
“Duduk
diam-diam, jangan banyak bercakap,” suara datuk meninggi di tengah malam yang
dingin. Lolongan anjing masih kedengaran tetapi, suara burung hantu mula
berkurangan. Desiran angin malam tetap berlalu dengan lembutnya. Saya dan Mat
Prai mengalami rasa kedinginan. Datuk segera menghidupkan api untuk membuat
unggun.
Kulit
durian yang kering dicampakkan ke dalam unggun api. Kata datuk, asap dari kulit
durian yang kering dapat menghalau nyamuk.
Saya
terdengar bunyi buah durian jatuh. Mat Prai berhasrat mahu mengutipnya tetapi,
datuk tidak mengizinkan. Kata datuk biar hari sudah cerah baru buah-buah itu
dikutip dan dikumpulkan.
“Kalau
buah durian tu, memang hak kamu, takkan buah tu lari ke mana-mana,” demikian
datuk memberikan alasan bila Mat Prai minta keizinan darinya.
“Ingat,
sebagai manusia yang beragama Islam, jangan sekali-kali kita hilang pedoman
kerana harta,” sambung datuk lagi. Dan Mat Prai terus mematikan hasrat untuk
mengutip buah durian. Walaupun demikian, setiap kali dia terdengar bunyi buah
durian gugur, Mat Prai tetap nampak resah dan gelisah.
“Sekarang
apa yang dah jadi hingga menyebabkan kamu berdua berenang atas bumi,” datuk
mengajukan pertanyaan. Biji matanya silih berganti menatap wajah saya dan Mat
Prai. Saya tidak berani untuk mengingati peristiwa yang terjadi, saya membuat
keputusan untuk menutup mulut.
“Cakap
kenapa membisu?” sergah datuk sambil menjegilkan matanya ke arah saya. Cepat
saya menundukkan kepala merenung bumi.
“Ceritakan
pada aku Mat Prai,” datuk mendekatkan batang hidungnya dengan batang hidung Mat
Prai. Kelihatan hidung mereka seperti berlaga dan mata datuk tetap merenung
anak mata Mat Prai. Saya menarik nafas kelegaan kerana saya sudah arif dengan
perangai datuk, bila dia berbuat demikian secara tidak langsung datuk cuba
menguasai perasaan dan hati Mat Prai melalui pernafasan.
“Ceritakan
pada Ayah Alang, Mat,” nada suara datuk cukup lembut, cuping telinga kanan Mat
Prai dihembusnya. Saya lihat Mat Prai menganggukkan kepala dua tiga kali.
PETAH
Kemudian
dengan petah Mat Prai mengungkapkan peristiwa yang terjadi pada datuk. Selesai
sahaja Mat Prai bercerita, datuk segera membakar andang daun kelapa. Seluruh
kawasan pondok disuluh dan diteliti. Datuk terus duduk di tangga pondok.
Baru
dia sedar durian yang berlonggok sudah tiada. Dia melihat daun sirih hutan yang
tercalit dengan kapur bertabur di mana-mana.
“Pelik,
aku tak dengar apa yang terjadi, sedangkan jarak pondok dengan perigi tidaklah
jauh sangat,” datuk mengedutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi
bawah beberapa kali.
“Bukankah
masa aku mandi tadi, kamu datang bercakap dengan aku, Mat, kamu bercerita
tentang masalah keluarga kamu pada aku,” datuk terus bangun.
“Masa
Ayah Alang mandi, kami di sini, kami tengah berdepan dengan makhluk ganjil,
Ayah Alang tanya si Tamar ni.”
“Ya
tuk, kami berdua tak kemana-mana.”
“Jadi
syaitan mana yang menyerupai kamu tadi Mat Prai, aku sudah terpedaya,” datuk
terus hentakkan kaki ke bumi.
Dengan
andang daun kelapa di tangan datuk terus berlari ke perigi. Dinding perigi yang
dibuat dari daun rumbia terus dibakar datuk. Api terus marak menerangi kawasan
sekitar pondok durian. Asap berkepul menguasai ruang udara yang dibalut
kedinginan malam. Badan datuk berpeluh kena bahang api.
GUGUR
Berpuluh-puluh
ekor kelawar berterbangan di atas bumbung pondok. Angin yang bertiup
menjatuhkan dedahan dan reranting kering ke bumi. Sesekali terdengar bunyi buah
durian gugur.
“Banyaknya
kelawar,” rungut saya perlahan.
“Biarkan,
itu bukan urusan kita,” sahut Mat Prai.
Sesungguhnya,
saya merasa pelik. Dari manakah kumpulan kelawar itu datang. Suara lolongan
anjing kian gamat datang dari arah Pekan Kongsi. Rasa cemas dan takut masih
belum reda dari perasaan saya.
“Tak
apa, orang tua tu dah datang,” Mat Prai luruskan telunjuk menghala ke arah
datuk yang datang ke arah kami kembali. Di tangannya, ada sepotong kayu yang
masih berapi. Datuk renung ke arah kelawar yang berlegar-legar di bumbung
pondok. Datuk balingkan kayu yang masih berapi itu ke arah kumpulan kelawar.
Aneh,
kumpulan kelawar yang berlegar-legar atas bumbung segera berpecah dan terbang
menuju ke arah kaki bukit yang berdekatan. Bukit yang terpegun kaku di malam yang
dingin itu kelihatan amat menggerunkan. Sesekali seperti ada cahaya api di
puncak bukit tersebut. Datuk segera mendekati kami.
“Kau
orang dengar salakan anjing tu?” tanya datuk.
“Dengar,”
Mat Prai dan saya menjawab serentak.
“Kamu
tahu, anjing-anjing itu menyalak syaitan yang berkeliaran di udara.”
“Kenapa
syaitan itu berkeliaran tuk?” saya menyoal.
“Nanti
lain kali, aku cakapkan dengan kamu, Tamar.” “Hum…” saya merasa kecewa dengan
kata-kata yang datuk luahkan itu.
Datuk
pijak tangga pondok yang bulat. Dia terus duduk dekat Mat Prai.
“Macam
mana Ayah Alang?
“Apa
yang macam mana tu, Mat?”
Datuk
tatap biji mata Mat Prai yang terkebil-kebil. Dia tidak mahu untuk mengemukakan
sebarang pertanyaan lagi. Memang dia tidak menduga datuk akan mengungkapkan
kata-kata demikian.
“Aku
tak mahu banyak soal, tak mahu banyak tanya, kita tidur sekarang,” suara datuk
meninggi dan terus merebahkan badannya. Tidak sampai lima minit, datuk terus
terlelap. Saya dan Mat Prai segera mengikuti jejak langkah datuk.
Antara
terlelap dengan tidak, saya terdengar datuk batuk berkali-kali. Kemudian dia
bangun. Buat beberapa minit saya berhasil mencelikkan mata.
“Kamu
tidur, jangan banyak fikir, Tamar."
“Tuk
nak ke mana?”
“Aku
nak ke perigi.”
Datuk
terus menuju ke perigi yang dindingnya sudah menjadi abu. Saya kira datuk
mengambil air sembahyang. Ramalan saya memang tepat, sekembalinya datuk dari
perigi dia terus membaca al-Quran.
KEJUT
Malam
yang dingin, membuat tidur terasa enak. Saya terus membengkokkan badan. Rasa
takut dan bimbang langsung tidak terbayang dalam kepala saya.
“Bangun
dah subuh ni,” terasa badan saya digoyang berkali-kali, “Pergi ambil air
sembahyang. Orang yang tak sembahyang Subuh, tidurnya diapit syaitan,” lanjut
datuk lagi.
Saya
tidak ada pilihan, samada mahu atau tidak, saya terpaksa bangun dan pergi ke
perigi untuk mengambil wuduk. Mat Prai lebih dulu bersedia dari saya.
“Dah
ambil wuduk?” tanya saya pada Mat Prai.
“Sudah,
kau pergi cepat,” Mat Prai mendesak.
“Pergilah,
tak ada apa yang nak ganggu kamu,” datuk terus renung wajah saya. Dia bagaikan
mengerti dengan apa yang ada dalam hati saya. Dalam keadaan takut campur
berani, saya menuju ke perigi.
Saya
tidak pasti apakah air sembahyang yang saya ambil itu mengikut peraturan atau
sebaliknya. Saya berlari ke pondok kembali.
Dan
Subuh itu, datuk mengimamkan sembahyang Subuh kami. Selesai berwirid dan
membaca doa, datuk memberikan kuliah Subuh yang pendek tetapi amat mengesankan.
Datuk memperkatakan tentang diri manusia yang binasa kerana terlalu cinta pada
harta benda dan kekayaan hingga lupa pada tugas seorang hamba terhadap Allah
yang mencipta mereka.
“Nampaknya
usaha kita tak berjayalah, Ayah Alang?” Mat Prai mengajukan pertanyaan setelah
datuk menamatkan kuliah Subuh di pondok durian. Datuk tersenyum sambil
memandang keluar, melihat hari yang mula beransur cerah.
“Masih
ada masa untuk berusaha,” jawab datuk.
“Hum…,”
Mat Prai menarik nafas panjang. Ada rasa kecewa terpamer di wajahnya. Kicau
burung menyambut kehadiran matahari pagi mula terdengar. Jalur sinar matahari
mula jatuh pada dedaun yang masih ada kesan air embun.
“Aku
nak berjalan di seluruh kawasan ni, aku nak mandi embun dan nak buat senaman.
Kau ikut aku Tamar.”
“Saya
macam mana Ayah Alang?” tanya Mat Prai.
“Kau
pergi tengok buah durian yang jatuh,” datuk mengeluarkan arahan pada Mat Prai.
Tanpa banyak soal jawab, Mat Prai mematuhi arahan itu.
TINGGI
Matahari
kian meninggi, embun di hujung daun yang disentuh cahaya matahari nampak
bersinar-sinar, bagaikan ketul berlian di tengah padang. Datuk terus mandi
embun dan melakukan senaman yang gerak dan gerinya memperlihatkan unsur silat
‘Burung Rajawali’ saya cuba mengikutinya. Bila pergerakan itu dilakukan dengan
pantas oleh datuk, saya tidak dapat mengikutinya. Saya jadi penonton sahaja.
“Tamar,”
jerit datuk.
Serentak
dengan itu saya melihat seketul kayu yang penjangnya kira-kira dua kaki menuju
ke arah saya.
“Tangkap
atau elakkan,” terdengar lagi suara datuk.
“Oooppp,”
saya melompat lalu meyambar kayu tersebut. Terasa badan saya seperti dibawa
oleh kayu itu ke kiri, mendekati pokok langsat. Saya tercungap-cungap. Datuk
segera mendekati saya sambil ketawa.
“Kamu
masih ingat dengan gerak langkah yang aku ajar,” datuk terus menepuk bahu saya
berkali-kali. Dengan wajah manis dia mengajak saya mengelilingi dusun durian
milik Mat Prai. Terpesona saya melihat buah durian yang bergantungan lebat di
dahan. Beberapa ekor tupai melompat dari ranting ke ranting dengan bebas.
Matahari terus memancar.
“Sungai,
jernih airnya,” jerit saya bila berdiri di tebing sebatang anak sungai.
Anak-anak ikan berenang bebas di celah-celah batu di tengah sungai. Tanpa
membuang masa saya menuruni tebing dan terus membasuh muka. Terasa sejuknya
meresap ke tulang pipi.
“Sudahlah
jangan lama-lama di situ, aku nak sampai cepat ke pondok,” tempik datuk dari
atas tebing. Saya segera berlari ke arahnya. Kami meneruskan perjalanan dan
terpaksa melintasi kaki bukit yang ditujui oleh kumpulan kelawar malam tadi.
Memang
terdapat hutan tebal di situ dengan pokok-pokok besar yang digayuti oleh
akar-akar hutan sebesar lengan kanak-kanak yang berusia tujuh hingga sepuluh
tahun. Monyet-monyet liar bergayutan di situ.
“Hati-hati
Tamar,” datuk mengingatkan. Saya segera anggukkan kepala.
“Hutan
macam ni, jadi sarang binatang buas,” lanjut datuk lagi. Saya anggukkan kepala
lagi. Matahari yang memancar agak terik membuat badan saya berpeluh.
TANGAN
Secara
mengejut datuk menarik tangan kanan saya ke perdu buluh hutan. Saya jadi cemas
dan takut.
“Kenapa
tuk?”
“Dalam
rimbunan pokok kecil tu, aku macam ternampak pintu gua. Cuba kau pastikan,”
kata datuk sambil jari telunjuknya mengarah kepada pokok-pokok kecil yang
merimbun dan tingginya lebih dari tujuh kaki. Memang sukar untuk memastikannya.
Tetapi, tiupan angin yang menggerakkan reranting dan dedaun lebat itu memberi
peluang pada saya untuk merenungnya dengan teliti.
“Apa
yang kau nampak, Tamar?”
“Saya
nampak macam pintu gua tua.”
“Pelik
juga ya, selalunya gua pada gunung, bukit yang aku tahu tak ada gua. Tanah
bukit tu ditebuk.”
“Agaknya,
terowong tinggal tuk,” kata saya tenang, tanpa merasa sebarang kecurigaan.
Datuk mengigit bibir sambil menelan air liur. Dia sedang memikirkan sesuatu.
“Boleh
jadi juga terowong. Mungkin terowong tu ditebuk oleh askar Jepun masa perang
dulu atau ditebuk oleh orang-orang komunis untuk tempat mereka berlindung,” itu
pendapat datuk.
“Mari
kita periksa tuk.”
“Jangan
terburu-buru,” nada suara datuk meninggi. Dia renung kiri dan kanan. Kemudian
dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.
“Lain
kali saja kita tengok, Tamar,” satu keputusan yang amat mengejutkan dari datuk,
“Mari kita ke pondok Mat Prai,” sambungnya lalu menarik tangan saya. Macam
selalu saya tidak akan membantah dengan apa yang datuk katakan.
Kami
segera bergerak arah ke utara, menjauhkan diri dari kawasan kaki bukit. Datuk
tidak menyatakan apa-apa kepada saya kenapa dia berbuat demikian.
Berjalan
dalam kebun durian yang tidak begitu bersih keadaannya memang menyulitkan. Saya
sering terlanggar tunggul dan akar.
“Ikut
sana senang tuk.”
Datuk
berhenti melangkah. Dia dongakkan muka ke langit melihat awan yang bersih.
Kesempatan
itu saya gunakan untuk duduk di atas tunggul buruk bagi menghilangkan penat.
“Maksud
kamu, kita berjalan dalam kebun getah?” soal datuk.
“Ya,
tuk.”
“Kalau
begitu marilah.”
No comments:
Post a Comment