Datuk buka baju teluk belanga lalu disangkutkan pada paku
dinding. Seperti selalu, datuk terus
duduk bersandar sambil mendirikan lutut sebelah kanan. Beberapa saat kemudian nenek pun meletakkan
secawan kopi pahit di depannya. Datuk
tidak segera meminumnya. Dia hanya
melihat asap nipis di permukaan cawan.
“Ramai orang di masjid.”
“Tak seberapa,” datuk terus menghirup kopi pahit,”
begitulah selalunya, tak ramai orang yang mahu belajar di masjid, orang lebih
suka tengok Fun Fair,” sambung datuk
dengan nada suara kesal.
Cara kebetulan pula di pecan kecil, sudah seminggu
diadakan Fun Fair. Macam-macam pertunjukan diadakan yang dapat
memikat hati orang-orang di tempat saya.
“Memang begitu adat hidup. Dunia dilebihkan, akhirat buat endah tak
endah. Maklumlah, dunia nampak, alam
akhirat tak nampak,” ujar nenek lalu memicit-micit buat betisnya,
Datuk tidak memberikan sebarang komenter terhadap
kata-kata yang nenek tuturkan. Dengan
tenang datuk mengangkat cawan lalu menghirup kopi pahit. Saya sudah pun merebahkan badan di lantai,
sejak datuk meneguk kipi pahit pertama.
Sengaja saya rapatkan kedua belah kelopak mata. Biar nenek dan datuk menyangkakan yang saya
sedang tidur.
“Rasa-rasanya, aku nak ke Jambi. Rindu nak tengok kaum keluarga,
saudara mara di sana. Aku rindukan tanah
Jambi,”
hasrat yang datuk luahkan itu membuatkan saya membuka kedua belah kelopak mata
dengan luas.
“Kita faham niat awak, kita tak menghalangnya, hubungan
kaum keluarga kata orang macam air sungai, dicincang tak putus. Tapi, ada……,” nenek tidak meneruskan kata.
“Ada apa?” Datuk pun menegakkan badannya. Biji matanya tepat merenung wajah nenek. Seolah-olah memaksa nenek supaya menyambung
segera kata-kata yang terputus itu.
“Awak tu, tak sekuat dulu lagi. Awak bukannya muda, Cuma itu saja yang saya
nak ingatkan,” nenek pun angkat muka lalu bola matanya terpaku ke wajah datuk.
“Awak takut saya mati?”
“Tak pula, kerana saya tahu, mati tu adalah hak Allah.”
“Habis apa yang awak bimbang dan takutkan.”
“Awak nak ke Jambi tu nak naik apa? Kapal terbang atau
kapal laut?” soal nenek lagi. Tidak ada
jawapan dari datuk. Dia hanya tunduk
merenung lantai sambil menghela nafas perlahan-lahan.
Ternyata seperti ada sesuatu yang bermain dalam kepala
datuk, ekoran dari pertanyaan yang nenek kemukakan.
“Nak ikut apa? Ulang nenek lagi.
Tidak ada jawapan dari datuk dan baki air kopi pahit
dalam cawan segera dihirupnya. Kemudian
datuk lunjurkan kaki kanannya. Datuk seperti keberatan untuk menjawab
pertanyaan dari nenek, macam ada sesuatu yang ingin datuk sembunyikan dari
perempuan yang tertonggok di depannya.
Saya yang sedang baring terus pasang telinga. Saya juga ingin mendengar jawapan dari
datuk. Bunyi cengkerik berdendang di
luar cukup rancak. Angin yang bertiup
terus menjatuhkan reranting yang kering ke bumi. Suara kucing jantan cukup nyaring memanggil
kucing betina.
“Aku nak ke Jambi dengan kapal laut,” secara mengejut
datuk bersuara. Kaki yang dilunjur
dirapatkannya kembali. Silanya
diperkemaskan.
“Sungguh-sungguh awak nak ke Jambi.”
“Tentu,” datuk anggukkan kepala.
“Bila agaknya awak nak pergi?”
“Bila semua urusan selesai baru sedap berjalan.”
“Pergi seorang saja?”
“Berdua.” Nenek terus membeliakkan biji matanya.
“Awak nak bawa saya?” Tanya nenek, cepat-cepat datuk gelengkan
kepala. Nenek ambil sirih, pinang, kapur dan gambir. Semuanya disatukan lalu disumbat dalam
gobek. Dengan tenang nenek mengobek
sirih. Saya kira sambil mengobek sirih,
nenek memerah otak memikirkan siapkah kawan karib datuk yang bakal menemaninya
ke tanah Jambi.
“Siapa kawan awak tu,” nenek berhenti mengobek sirih.
“Siapa lagi…….,” datuk terus diam. Dia menggeliat untuk menghilangkan rasa
lenguh di pangkal belikatnya.
“Agaknya awak nak bawa cucu kita, si Tamar,” nenek terus
menyerkap jarang.
“Memang begitulah hajat di hati. Mahu aku perkenalkan si Tamar dengan kaum
keluarga di seberang. Aku tak mahu dia
kehilangan akar umbi keturunannya. Biar
dia kenal siapa dirinya dan dari mana asal-usulnya,” datuk bersuara penuh
semangat.
Bila datuk mengakui yang dia memang berhasrat mahu
membawa saya ke tanah seberang. Saya
semacam tidak sedar terus bangun dan duduk bersila merenung muka datuk dan
nenek. Saya masih mengharapkan kata-kata
selanjutnya yang bakal keluar dari kedua belah kelopak bibir datuk dan nenek.
“Wah! tengok si Tamar ni, sebut fasal nak berjalan dari
tidur terus bangun,” nenek menghalakan matanya ke arah saya.
“Maknanya dia pura-pura tidur, bukan apa tu, dia nak
mengelakkan dari disuruh membaca Quran.
Perbuatan macam tu tak ada untungnya Tamar, apa faedahnya menipu diri
sendiri,” sampuk datuk, tanpa merenung ke arah saya.
Tebal rasa kulit muka bila kena sindir macam itu. Apa mahu dikata, salah sendiri terpaksa
ditanggung malu.
“Pergi tidur dalam bilik,” herdik datuk.
“Baik tuk,” saya segera akur dengan cakap datuk.
REBAH
Nenek hanya melihat telatah saya yang tergesa-gesa masuk
ke bilik tidur. Saya tidak merebahkan
diri di atas katil. Saya lekapkan
telinga kanan ke dinding untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara datuk
dengan nenek.
“Budak tu cukup nakal, makin besar makin menjadi nakal,”
itulah komen nenek terhadap saya.
“Budak lelaki memang begitu, suka membantah cakap. Kalau kena cara cakap dan minta mahu
mendengar kata. Suruh apa saja, sanggup
dibuatnya. Tamar tu boleh dibentuk lagi
untuk jadi manusia,” datuk membela saya.
Saya senyum sendirian, megah kerana ada orang yang
bersedia mempertahankan diri saya. Buka
kepalang gembiranya rasa di hati, bila datuk memuji saya di depan nenek.
Dan saya mula faham, begitu tinggi sekali harapan datuk
pada saya. Keseronokan yang
melonjak-lonjak terus terbantut, bila teringatkan ungkapan dari datuk yang
berbunyi: Tamar tu boleh dibentuk lagi
untuk jadi manusia.
Wah! Ini sudah keterlaluan. Apakah batang tubuh saya yang wujud ini
bukannya manusia? Apakah saya ini binatang yang bertubuhkan manusia? Datuk
sudah melampau, secara mendadak saya jadi marah. Kalau ikutkan hati, mahu rasanya papan
dinding saya tumbuk. Biar tercabut.
Dalam mengawal perasaan itu, saya cuba membaca surah al-Fatihah,
tiga kali. Ketenangan datang ke dalam
diri saya. Dan saya mula memikirkan ada
maksud tertentu dari ungkapan yang datuk luahkan itu.
Telinga terus saya lekapkan ke dinding. Saya mengalami kekecewaan yang amat
sangat. Datuk dan nenek tidak lagi memperkatakan tentang hal yang ada
hubungannya dengan niat datuk mahu pulang ke Jambi. Mereka membawa persoalan lain, mereka
memperkatakan tentang tanah sawah, kebun getah, amal ibadah dan hak-hal yang
bersangkut paut dengan kematian. Saya
cukup hampa dengan tindakan datuk dan nenek itu.
Saya pun rebahkan sekujur tubuh atas katil, saya mula
memikirkan tentang perjalanan ke Jambi dengan kapal laut membelah Selat Melaka.
Kalaulah benar, datuk bersedia membawa saya ke tanah Jambi, saya akan memujuk
datuk agar membawa saya ke Palembang untuk melihat puncak Bukit
Seguntang tempat Wan Empuk dan Wan Malini berhuma
padi. Saya juga teringin sekali mahu
melihat Sungai Musi yang membelah Palembang. Semoga cita-cita dan impian terlaksana.
“Bolehkah dipercayai cakap datuk tu?”
Timbul pertanyaan dalam hati saya di malam yang
dingin. Saya terdengar bunyi jam gantung
berdenting sepuluh kali. Perbualan datuk
dengan nenek tidak serancak tadi. Saya
menguap, sekejap saya menelentang, sekejap saya meniarap dan sebentar
mengiring. Entah mengapa saya resah
tidak menentu.
“Agaknya, saya terpengaruh dengan cerita datuk yang mahu
membawa saya ke Jambi, inilah sebabnya saya resah tak menentu dan tak mahu
tidur,” begitulah saya membuat ramalan dalam hati. Saya terus bangun duduk atas katil sambil
memeluk sepasang lutut, Macam-macam yang
saya fikirkan tentang kampong halaman datuk di Jambi.
Suburkah bumi Jambi dengan tumbuhan. Sombongkah anak buah datuk. Kasarkah gerak-geri mereka dan celuparkah
mulut anak buah datuk di sana. Dapatkah
saya menerima mereka sebagai kaum keluarga yang masih mempunyai pertalian darah
dengan datuk, sedangkan saya tidak pernah mengenali mereka secara dekat, tidak
mesra.
Mungkin cara mereka berfikir dengan saya tidak
sealiran. Jangan-jangan bahasa yang diucapkan
tidak saya fahami. Dapatkah saya
menerima mereka yang telah dipisahkan oleh laut Selat Melaka. Semuanya bergolak dalam dada saya.
“Di sana ada sungai, ada jambatan, nanti kau dah nesar
tuk bawa ke sana,” teringatkan dialog yang terjadi antara saya dengan datuk
ketika saya mula bersekolah dulu.
“Sungai itu apa namanya tuk.”
“Sungai Batanghari.”
“Jambatannya nama apa tuk?”
“Aur Duri dibuat dari besi, nantilah
kamu besar, datuk bawa kamu ke sana.”
“Lembu di sana, serupa dengan lembu di sini tuk.”
“Tentulah sama,” datuk terus ketawa panjang. Barangkali dia merasa amat lucu dengan
pertanyaan saya itu. Saya tersenyum
mengingati ketololan diri sendiri. Saya
menguap panjang. Dan mata saya terasa
amat berat sekali. Saya hilang keinginan
untuk mengikuti perbualan antara datuk dengan nenek, saya terus menarik gebar
untuk menghilangkan rasa dingin yang menguasai sekujur tubuh. Dan sesungguhnya, setelah itu saya tidak tahu
apa yang berlaku.
RUANG
Bila saya bangun untuk menunaikan solat subuh, saya
dapati ada seorang lelaki duduk di ruang tengah. Lelaki itu memakai songkok hitam, berbaju
cekak musang dengan kain selendang membalut sebahagian dari dadanya. Memakai pelekat berpetak empat, macam petak
papan catur.
Waktu saya lalu di sisinya, lelaki itu tidak angkat
muka. Tunduk merenung lantai macam orang
bertafakur. Datuk berdiri di kirinya
dengan pakaian yang lengkap untuk berjemaah subuh di masjid.
Kerana dia tidak menghiraukan saya, saya pun tidak
menegurnya. Saya teruskan perjalanan ke
bilik air. Setelah mandi dan ambil air
sembahyang, lagi sekali saya lalu diruang tengah. Saya dapati lelaki dan datuk sudah tiada lagi
di situ. Pada hemat saya, pasti
kedua-duanya menuju ke masjid.
Setelah menunaikan solat subuh, saya terus mendapatkan
nenek yang sedang menjerang air di dapur.
“Ada orang baru datang ke rumah kita nek? Siapa orang
tu,” saya kemukakan soalan pada nenek.
Sakit juga hati saya bila nenek buat tidak kisah dengan pertanyaan yang
saya ajukan padanya. Saya ulangi
pertanyaan itu beberapa kali, barulah nenek bersuara.
“Entah, aku tak kenal siapa dia, Tamar.”
“Masa bila dia datang nek?”
“Kalau tak silap dekat pukul sebelas malam tadi. Pada mulanya datuk kamu terdengar bunyi orang
berjalan di luar, tidak lama kemudian, pintu rumah kita diketuk berkali-kali,”
nenek memperjelaskan cerita sebenar dengan harapan keraguan yang berada dalam
hati saya akan segera berakhir.
“Kemudian tuk suruh dia masuk. Bukan begitu, nek?”
tingkat saya, nenek pun segera anggukkan kepala.
“Itu silap besar, membenarkan orang yang tak kita kenal
bermalam di rumah kita,” saya luahkan protes.
“Tuk kamu bukannya bodoh, dia fikir buruk baiknya dulu
sebelum menerima orang tu bermalam di sini.
Kau tahu Tamar, orang tu cacat.”
“Cacat,” saya terkejut besar lalu membeliakkan biji mata.
“Ya,” angguk nenek.
“Tadi saya Nampak elok sempurna.”
“Kamu tengok sekali lalu, macam mana kamu boleh kata
begitu,” dari nada suaranya itu, ternyata nenek kesal dengan sikap saya.
Buat beberapa saat saya tidak bersuara. Biarkan perasaan nenek kembali tenang. Kalau banyak soal nanti dia naik darah. Kalau nenek sudah naik darah nanti puntung
kayu api naik ke muka saya. Nenek buka
tingkap bahagian dapur. Cuaca di luar
Nampak samar-samar. Kokok ayam masih
kedengaran sekali-kali. Di kaki langit
ada kilau cahaya yang mula bangkit.
“Apa cacatnya nek?”
Nenek menarik nafas lambat-lambat. Di wajahnya terpancar rasa simpati yang amat
dalam terhadap tetamu yang kurang saya restui itu.
“Dia berjalan merangkak, ampun maaf cakap, berjalan macam
biawak.”
“Pelik, kenapa macam tu.
Apa kata tuk tentang cara dia berjalan tu nek,” saya berminat sekali
untuk mengetahui keganjukan yang terjadi pada diri lelaki tersebut.
“Tak ada apa-apa katanya, Cuma dia kesian saja.”
“Hairan juga saya, macam mana dia terus datang ke rumah
kita nek?”
“Itu kau kena tanya tuk kamu, di melayan orang tu
bercakap berjam-jam malam tadi. Lepas
aku menghidangkan kopi dan kuih, aku terus masuk bilik, aku mengantuk,” tutur
nenek dengan tenang.
Nenek terus taruh kopi dan gula ke dalam teko lalu
disusuli dengan air panas. Nenek kacau
air panas dengan sudu hingga kopi dan gula bersatu. Bau air kopi yang menyegarkan itu terus
menusuk lubang hidung, saya kian teransang untuk minum kopi.
“Kamu minum dulu.”
Nenek tuang kopi panas ke dalam cawan. Tanpa membuang masa lagi saya terus
menghirupnya.
“Kalau nak makan goring pisang tunggu sekejap lagi,” ujar
nenek lagi sambil mengangkat goreng pisang dari kuali dan diletakkan atas para
dengan tujuan untuk menyejukkannya.
“Taka pa nek, dapat air kopi ni pun dah cukup baik,” kata
saya.
“Baiknya kamu pagi ni Tamar,” nenek menyindir.
“Saya cakap ikhlas nek, nenek buiat goring pisang ni
untuk orang cacat tu
“Ya,´angguk nenek,
Tanpa diminta, sambil bercerita bagaimana tetamu cacat
itu datang. Pada mulanya, datuk
keberatan mahu mengizinkan tetamu cacat itu bermalam di rumah. Tetapi, setelah dirayu dan diterangkan tujuan
sebenarnya, barulah datuk membenar tetamu cacat itu masuk ke rumah.
“Apa alasannya nenek?” Saya memotong cakap nenek.
“Katanya, sudah berbulan-bulan dia mencari rumah datuk
kamu, dia mendapat tahu dari orang tertentu yang datuk kamu berkebolehan,
kerana itu dia mencarinya.”
“Waktu malam datang ke rumah,” cemuh saya.
“Begitulah, kalau dah berhajat.”
“Orang mana nek?”
“Entah, nenek tak tahu.”
“Hem…” keluh saya.
Saya terus minum baki kopi panas yang masih ada dalam
cawan. Saya kira, selesai saya minum
nanti nenek akan menyambung kembali cerita tentang tetamu cacat tersebut.
SALAH
Perkiraan
saya tidak salah lagi. Sebaik saja saya
meletakkan cawan atas meja. Nenek duduk bersila di depan saya.
“Khabarnya
orang jauh,” nenek memulakan cerita.
Ternyata
cerita yang mahu berjela itu, mati setakat itu saja. Disekat oleh kepulangan datuk dan tetamu
cacat.
“Bukakan
pintu Tamar, mereka dah balik dari masjid,” suruh nenek.
Tanpa tangguh-tangguh lagi saya menerpa ke pintu dengan
barapan mahu melihat tentang kecacatan yang dialami oleh tetamu baru itu. Pintu saya buka, saya lihat datuk tercegat di
halaman, sedangkan tetamunya merayap memanjat tangga.
Tetamu itu menggunakan kekuatan sepasang tangannya untuk
mengheret tubuhnya naik tangga pondok.
Apa yang saya lihat membuat saya tergamam dan terkejut.
“Kenapa tercegat di situ!” pekik datuk.
Saya terkejut dan terus menuju ke ruang dapur mendapatkan
nenek yang sudah mengaturkan piring untuk goring pisang dan cawan atas talam.
“Apa yang bising tu, Tamar?” nenek renung muka saya.
“Tuk marah saya berdiri di depan pintu.”
“Tak manis melihat orang cacat macam tu, sepatutnya lepas
kamu buka pintu, kamu berubah tempat lain.”
“Kesian dia, nek.”
“Sekarang kamu dah tahu kenapa tuk kamu membenarkan dia
bermalam di rumah kita,” tutur nenek dengan renungan yang sayu ke arah dinding
dapur. Munmgkin ada sesuatu yang bermain
dalam tempurung kepala nenek.
Bila nenek sudah yakin yang datuk dan tetamu cacat sudah
sampai dan duduk di ruang tengah. Nenek
pun mengarahkan saya supaya membawa makanan pagi ke ruang tengah. Cakapnya segera saya patuhi. Setelah hidangan itu diletakkan, saya segera
angkat kaki untuk ke dapur kembali.
“Tamar.” Langkah saya terhenti. Wajah datuk saya renung.
“Kamu duduk di sini, minum sama kami,” sambung datuk
lagi.
“Tapi cawannya, ada dua saja tuk,” saya mencari helah.
“Nanti aku suruh nenek kamu bawa lagi dua cawan,” datuk
segera bangun menuju ke ruang dapur. Dan
datang kembali ke ruang tengah bersama dengan nenek membawa dua cawan kosong.
Saya gagal menjauhkan diri dari datuk. Saya tidak ada pilihan lain lagi. Sama ada suka atau tidak saya terpaksa akur
dengan cakapnya. Saya duduk dekatnya,
tetamu cacat tunduk merenung lantai, dia kelihatan seperti takut mahu melihat
batang hidung saya. Bila saja nenek
selesai menuangkan air kopi ke dalam cawan, dia segera beredar ke dapur.
Saya sandarkan badan ke dinding sambil mengarahkan
sepasang anak mata ke tingkap yang terdedeah.
Saya lihat suasana diluar cukup cerah.
Matahari yang kian meninggi terus memancarkan cahaya, kicau burung
bersahut-sahutan.
“Silakan minum, Khoja Lisut.”
“Ya, terima kasih.”
Tetamu cacat segera angkat cawan lalu menghirup
kopi. Saya mengalami kejutan yang
kedua. Bibir tetamu cacat kelihatan
macam terbelah dua dan lidahnya berwarna putih.
Dia tidak menghirup kopi tetapi menjilat. Mungkin kerana menyedari yang perbuatannya
jadi tumpuan saya, tetamu cacat segera berhenti minum kopi. Dia angkat muka lalu renung ke arah saya.
“Jangan terkejut nak, memang begini cara pak cik minum”
katanya tersekat-sekat. “Kerana ini juglah pak cik dibuang keluarga,
ditinggalkan oleh anak bini pak cik,” sambungnya dalam nada suara yang penuh
kehampaan.
“Khoja Lisut, tak usahlah bercerita apa-apa pada cucu
saya tu, minum dan makan dulu,” datuk bertindak kerana dia menyedari kalau
dibarkan Khoja Lisut meneruskan percakapan, mungkin Khoja Lisut akan menangis.
Bagi datuk memang pantang tujuh keturunan, kalau orang
bertandang menangis pagi di rumahnya.
Perbuatan itu seolah-olah menyuruh rezeki lari jauh dari tuan rumah di
samping menggambarkan yang tuan rumah tidak bersyukur pada Tuhan yang
menjadikan waktu pagi yang indah.
Selain dari itu, perbuatan tetamu menangis pagi di rumah
orang yang didatangi seolah-olah mendoakan tuan rumah dan keluarganya supaya
hidup dalam bahaya dan pendek umur.
Entah dari mana pantang larang dan petua itu dikutip oleh
datuk. Kata nenek, petua dan pantang
larang itu telah diwarisi oleh datuk dari nenek moyangnya. Entah berapa keturunan. Apakah pantang larang, petua dan petunjuk
sedemikian mesti dilanjutkan di abad-abad yang akan datang? Ingin saya bertanya
demikian pada datuk. Tetapi, tidak pernah
saya ajukan, saya takut dimarahinya.
Sarapan pun berakhir, cawan dan piring kosong saya bawa
ke dapur. Saya segera memberitahu datuk
yang saya mahu menemani nenek ke kebun pisang.
“Tak payah nenek kamu boleh uruskan,” sanggah datuk.
“Saya nak tolong dia petik mentimun, cabai dan sayur.”
“Tak payah nenek kamu boleh buat.”
“Saya nak tengok jerat di tepi hutan.”
“Biar aku beri tahu nenek kamu untuk menengoknya.”
“Eh, saya nak tengok bubu di sungai.”
“Semuanya sudah aku cakapkan pada nenek kamu, dia boleh selesaikan
kerja tu, kita Cuma tunggu waktu makan saja,” datuk begitu serius. Apalagi mahu saya katakana. Semua helah dan dalih ditolak mentah-mentah
oleh datuk.
“Tamar, hari ini kamu kena tolong datuk dari pagi hingga
ke petang, boleh jadi sampai ke malam,” cukup tenang datuk bertutur. Matanya terpaku ke wajah saya.”
“Pertolongan apa tu tuk.”
“Bukan masanya, sekarang bukan masanya kamu nak
bertanyakan hal itu, tunggu saja perintah aku,” saya dapat merasakan ada riak
kemarahan dalam hati datuk berdasarkan pada tekanan suaranya.
RANCAK
Bila melihat datuk dalam keadaan demikian, saya segera
mengambil sikap membisu, tunggu serta lihat.
Apa juga perintahnya pasti saya turuti.
Saya perhatikan, sejak tadi datuk tidak begitu rancak
berbual dengan tetamu cacat. Datuk lebih
banyak termenung sambil melihat ke dada langit, macam ada sesuatu yang
difikirkannya. Sesekali wajah datuk
berkerut dan cemas.
“Kita ke kebun pisang, duduk berborak di pondok,” datuk
luiahkan arahan.
“Pak cik Khoja macam mana, tuk?”
“Ha, ikut sama.”
Saya menarik nafas panjang. Terbayang di kepala bagaimana susahnya si
tetamu cacat merangkak ke sana. Apa datuk mahu menyeksanya? Tidakkah datuk tahu
jarak antara kebun pisang dengan rumah hampir satu batu. Ini kerja gila.
“Kita pimpin dia,” datuk memecahkan kebuntuan dalam
kepala saya. Tapi cara itu juga tidak
praktikal. Memimpin orang cacat sejauh
itu memang menyulitkan.
“Siap,” datuk renung muka saya.
“Baik,” kepala segera saya angguk.
Datuk masuk ke kamarnya dan keluar dengan memakai seluar hitam. Kain pelekat berpetak besar dijadikannya
samping. Bila sudah berpakaian demikian,
ertinya ada tugas tertentu yang bakal dilaksanakan oleh datuk. Saya lihat datuk memasukkan kain lilit
kepalanya ke dalam saku baju. Dan dia
mengenakan kopiah putih di kepala.
“Ayuh tunggu apa lagi, Tamar.”
Saya segera turun begitu juga dengan tetamu cacat
terpaksa menyusur tangga dengan hati-hati.
Bila kami sampai ke bawah baru datuk turun. Saya bersedia mahu memimpin tetamu cacat.
“Tak payah,” datuk menolak saya ke tepi sebelah kanan.
Datuk terus membongkok lalu mengangkat tetamu cacat,
diletakkan antara kedua belah bahunya.
“Aku bawa dia,” katanya pada saya.
Saya anggukkan kepala.
Mungkin kerana tidak mahu perbuatannya diketahui oleh orang-orang
kampong, datuk mengambil keputusan ikut jalan pintas yang agak sukar menuju ke
kebun pisang. Terpaksa melalui denai di
pinggir belukar. Saya sering saja
tersepakkan akar-akar pokok dan adakalanya saya terjatuh.
Datuk tidak kisah dengan apa yang terjadi pada saya. Dia jalan terus seakan-akan berlari, saya
tercungap-cungap memburunya dari belakang.
Sampai saja di pondok ‘pisang
sesikat’ datuk terus letak Khoja Lisut atas lantai pondok yang dibuat dari
buluh. Khoja Lisut segera mengisut ke
tengah pondok. Datuk terus menuju ke
perigi mambasuh muka. Saya naik ke
pondok.
“Kenapa tuk bawa pak cik Khoja ke sini.”
“Memenuhi syarat.”
“Syarat apa?” Saya bertambah hairan.
“Syaratnya, pak cik boleh menceritakan dari mana pak cik
datang dan sebab-sebab pak cik jadi begini di pondok yang berlantaikan bulu,
atap rumbia dan berdinding separuh.”
“Begitu,” saya menarik nafas dalam-dalam. Syarat-syarat yang dikenhendaki itu ada di
pondok pisang sesikat yang didirikan
oleh datuk.
“Di rumah tak boleh ke? Pak cik,” saya mula mencungkil
rahsia darinya sebelum datuk naik ke pondok.
“Tak boleh. Kalau buka rahsia di rumah yang elok, alamat
pak cik bertambah susah,” jelas Khoja Lisut.
Selesai saja Khoja Lisut bercakap, datuk pun sampai dari
perigi lalu naik ke pondok. Beberapa
minit kemudian nenek muncul membawa beberapa belai pucuk pisang yang masih
hijau serta kendi berisi air. Semua
barang-barang itu diserahkan pada datuk.
Saya kira perkara ini bukannya kebetulan tetapi, telah dirancang lebih
awal antara datuk dengan nenek. Mereka
merahsiakan perkara ini dari saya.
Semasa penyerahan barang-barang itu dilakukan, datuk dan
nenek tidak bertentang wajah.
Masing-masing renung ke arah yang berlainan. Tidak bercakap walaupun sepatah.
Nenek meninggalkan kami, dia meneruskan tugas memetik
putik jagung, mentimun, daun salang, cekur manis. Bila tugas itu selesai nenek turun ke sungai
melihat lukah. Semuanya itu diadunkan
menjadi bahan makanan tengah hari yang amat menyelerakan.
“Kamu macam mana sekarang Khoja? Sudah bersedia untuk
menceritakan segala-galanya seperti yang kamu janjikan, semua syarat yang kamu
minta sudah aku sediakan,” datuk pun mengemaskan silanya.
“Saya sudah bersedia.”
“Tamar kamu duduk di sini, barangkali ada perkara yang
dapat kamu bantu aku,” begitu tajam biji mata datuk menyorot wajah saya. Cepat-cepat saya mengangguk.
No comments:
Post a Comment