Saya
menjadi cemas dan cuba mengubah pandangan ke arah lain. Batang leher terasa keras dan tegang, tidak
boleh digerakkan ke mana-mana. Cuma
boleh memandang ke depan saja.
Saya
membaca beberapa potong ayat Quran penghalau syaitan dan iblis. Ternyata pembacaan saya tidak teratur dan
sering mengalami kesilapan. Dalam
keadaan yang gamat itu, saya terus menjerit dengan sekuat hati.
“Tuuuuukkk,
tolonggggg…..”
Sebaik
saya berhenti menjerit, nafas jadi sesak dan badan terus menggeletar tanpa
sebab
“Tukkkkkk,
toolongggggggggg….”
Jeritan saya kali ini lebih kuat dan
keras. Saya kira boleh didengar hingga
ke hujung kampong. Malah orang pekak pun
boleh mendengarnya, apatah lagi datuk. Malangnya datuk yang saya harapkan
pertolongannya tidak kunjung datang.
Saya menjerit lagi untuk kali ketiga.
“Tuuuuuukkk, tolonnnnnnggggg saayaaaa.”
Sebaik saja saya selesai menjerit, bahu
saya dipaut dari arah sebelah kanan.
Saya segera menoleh ke situ.
“Kenapa Tamar?”
Datuk kehairanan, dia renjung depan
belakang dan kiri kanan. Datuk kerut
dahi sambil mangarahkan sepasang biji matanya ke bumi. Saya yang kepenatan terus menarik dan
melepaskan nafas perlahan-lahan.
“Tadi ada makhluk ganjil kacau saya
tuk.”
“Aku ada dekat kamu, sebaik saja kamu
berhenti menjerit kali kedua, tapi aku tak nampak apa-apa.”
Dalam kedinginan dinihari itu, saya
lihat datuk tersenyum. Makhluk tinggi di
depan saya sudah ghaib entah ke mana.
Suara lolongan anjing liar dan burung hantu masih kedengaran sayup-sayup,
begitu juga dengan suara burung tukang.
“Sekarang kamu keluarkan Khoja dari
dalam lubang, selesaikan semua kerja ini sebelum fajar,” sambil meraba kening
kirinya, datuk mengeluarkan perintah untuk saya.
“Berat kerjanya tuk.”
“Buat sekarang, jangan banyak cakap,”
herdik datuk keras. Saya terdiam. Saya mengambil masa kira-kira setengah jam
untuk mengeluarkan Khoja Lisut dari lubang.
Saya bersihkan pasir yang melekat di tubuhnya.
Keadaan Khoja Lisut memang tidak
bermaya, mengikut apa saja yang kami lakukan terhadap dirinya. Dari bahagian leher hingga ke bawah tubuhnya
nampak putih pucat, dari leher ke muka Nampak merah menyala.
Khoja Lisut pun dibaringkan atas pasir,
datuk mambuka cawat yang membalut bahagian kemaluan (masa ditanam dalam tanah tubuhnya tidak memakai pakaian, kecuali di
bahagian kemaluannya) yang di buat dari seludang kelapa. Datuk ganti cawat seludang kelapa dengan
cawat pucuk pisang. Masa datuk
menguruskan semuanya itu, saya renung kearah lain, malu rasanya melihat
bahagian sulit Khoja Lisut.
Cawat itu datuk ikatkan dengan tali yang
dibuat dari batang pisnag.
“Sekarang tolong usung Khoja ke lubuk
buaya.”
“Eh tuk, betul ke ni.”
“Habis kamu fikir aku nak bergurau, mari
tolong aku.”
Saya segera berdiri di bahagian kaki
Khoja Lisut lalu mengangkat kakinya dan datuk mengangkat bahagian kepala. Khoja Lisut kami usung ke usungan. Waktu meranduk air sungai terasa sejuk ke seluruh tubuh. Saya terus menggigil, hamper saja kaki Khoja
Lisut terlepas dari pegangan saya.
“Pegang kuat-kuat,” herdik datuk.
“Maafkan saya tuk.”
“Hum, bila air sungai sudah paras ketiak
kamu, serahkan Khoja pada aku seorang.
Kamu baliklah ke tepi, masa kamu ke tepi mesti jalan mengundur, jangan
paling muka kamu ke mana-mana.”
“Baik tuk.”
Air sungai terus diharungi menuju ke
lubuk. Bila air sungai sudah mencapai
paras ketiak, saya segera ke tepi dan datuk memikul sekujur tubuh Khoja Lisut
seorang diri.
Datuk mara ke lubuk setapak demi
setapak. Akhirnya datuk tenggelam
tetapi, tubuh Khoja Lisut masih dapat saya lihat dari tepian. Kemudian tubuh Khoja Lisut terus ghaib. Dan secara mendadak buaya keluar dari sarang
lalu melompat atas pasir, terkapar di situ.
Datuk dan Khoja Lisut yang tenggelam di
lubuk buaya masih belum timbul. Di bawah
cahaya bulan yang samar-samar itu saya lihat air di permukaan lubuki berpusing
dan berpusar ligat. Buaga yang berada di
atas pasir, tidak bergerak langsung seolah-olah tidak bernyawa.
“Allah hu akbar.”
Pasti itu suara datuk, saya tumpukan
perhatian kepada air di permukaan lubuk buaya.
Tidak Nampak batang tubuh datuk di situ tetapi, saya dapat mengesan
sesuatu yang aneh di permukaan lubuk, dalam samar-samar saya seperti
terpandangkan kepala manusia tengelam timbul di situ.
“Allah hu akbar,” terdengar lagi suara
datuk. Serentak dengan itu saya lihat
datuk melonjak dari dalam air setinggi sepuluh kaki. Datuk melayang-layang di udara sejenak dan
akhirnya jatuh di sisi buaya yang tersadai di pasir.
“Tuk.”
“Hummmmm….” Datuk menggeliat dan terus
bangun.
“Kau taka pa-apa Tamar?”
“Tak ada apa-apa tuk.”
Terdengar bunyi gelombang air yang amat
kuat. Saya segera merenung kearah
lubuk. Air di situ bergulung-gulung
seperti ombak di laut macam ada sesuatu tenaga ghaib yang membuatkan air di
kawasan lubuk jadi demikian.
Air permukaan lubuk terus memancut
tinggi melepasi pohon-pohon yang terdapat di bibir sungai, pancutan air itu
sebesar batang kelapa. Dalam pancutan
air itu saya ternampak lembaga manusia.
“Syukur.” Mata datuk menyorot pergerakan
lembaga itu.
“Siapa dia tu tuk.”
“Itulah Khoja Lisut,” jawab datuk dan
pancutan air dari lubuk segera berhenti.
Tubuh Khoja Lisut yang melayang di udara akhirnya jatuh betul-betul di
hujung ekor buaya.
DEKAT
Datuk segera mendekati Khoja Lisut, tiga
kali dahi Khoja Lisut ditepuknya dan Khoja Lisut terus terbatuk. Dia sedar dari pengsan.
“Di mana saya?” Tanya Khoja Lisut.
“Kalau kamu nak tahu di mana kamu
berada, kamu tengok apa yang ada di depan kamu,” tutur datuk. Khoja Lisut melakukan apa yang datuk suruh.
“Buaya,” pekik Khoja Lisut.
“Ya buaya, kamu ada dekat sarang buaya,”
datuk segera memegang ekor buaya lalu diletakkan ke dada Khoja Lisut. Perbuatan itu dilakukannya tiga kali
berturut.
Kemudian Khoja Lisut diseret ke dalam
sungai kembali lalu dimandikan. Bila
sudah dimandikan Khoja Lisut tidak diizinkan memijak tanah. Datuk terpaksa memikulnya.
“Saya tak tahan sejuk macam ini,” rayu
Khoja Lisut yang berada di atas bahu datuk.
Datuk terus membisu dan melangkah mendekati sang buaya yang kaku.
“Sudah sampai masanya kamu balik
kesarang, malam esok kamu aku pinjam lagi,” tutur datuk kepada sang buaya
sambil menghentakkan tumitnya tiga kali berturut-turut atas pasir. Sebaik saja datuk berhenti menghentakkan tumit
kakinya, sang buaya terus bergerak dan membuka mulutya.
“Terima kasih, esok sama lusa aku pinjam
sarang kamu lagi,” datuk meluahkan hasrat hatinya kepada sang buaya. Perlahan-lahan sang buaya katupkan mulunya,
memusingkan badannya dengan menghalakan muncung ke sungai. Sang buaya pun merangkak ke sungai dan terus
menuju ke sarangnya (lubuk)
Saya dan datuk segera beredar dari
tebing sungai. Kami menuju ke pondok
pisang sesikat. Cuma saya saja yang
masuk ke pondok pisang sesikat, datuk berada di luar memasukkan sekujur tubuh
Khoja Lisut ke dalam pasir. Dan akhirnya
ditimbus separas leher.
Datuk masuk ke pondok sementara menanti
waktu Subuh tiba datuk membuat ramuan perubatan tradisional dari dedaun kayu,
semunya dimanfatkan untuk menyembuhkan penyakit yang dideritai oleh Khoja
Lisut.
Waktu Subuh yang dinanti-nantikan
tiba. Saya dan datuk bergegas turun ke
sungai mengambil air sembahyang. Kami
sembahyang bersama-sama. Sementara
menanti matahari muncul di kaki langit, datuk terus membaca Quran dan saya
disuruh membaca surah Yasin.
Sebaik saja matahari muncul di kaki
langit, datuk menyuruh saya menutup kepala Khoja Lisut dengan dedaun kering
yang jatuh dalam keadaan terlentang.
Memang sukar memungut atau mencari dedaun kering yang terlentang. Walaupun sukar, tugas itu dapat saya
laksanakan dengan sempurna. Bila
matahari tinggi separas kelapa dara, dedaun kering atas kepala Khoja Lisut saya
pungut dan dibuang ke sungai.
Dalam tempojh sehari semalam menemani
datuk mengubati Khoja Lisut sungguh perit dan menyeksakan. Tidak dinafikan yang saya memperolehi
pengalaman amat berharga. Sesungguhnya,
pengalaman begitu tidak akan dapat dilalui oleh generasi yang terkemudian dari
saya.
Pada malam kedua saya mengambil
keputusan tidak mahu menyertai datuk lagi.
Tidak saya duga permintaan saya itu diperkenankan oleh datuk dengan satu
syarat. Pada mulanya saya keberatan
menerima syarat itu.
Setelah saya fikirkan dengan
semasak-masaknya, syarat itu saya terima.
Saya diminta menemui datuk waktu Zuhur, Asar dan Maghrib. Dalam waktu yang disebutkan itu, saya mesti
berjemaah dengannya di samping membawa makanan dari rumah ke pondok pisang
sesikat.
Dalam menyusun jadual yang menguntungkan
dirinya, ternyata datuk bertindak bijak yang secara tidak langsung mengikat
diri saya supaya patuh dangan perintahnya.
Perkara itu dapat saya kesan bila datuk menyuruh saya membawa makanan
tengah hari, lima belas mini sebelum waktu Zuhur.
Begitu juga dengan minuman petang, saya
mesti berada di pondok pisang sesikat lima belas minit sebelum waktu Asar. Begitu juga dengan makan malamnya, lima belas
minit sebelum masuk waktu Maghrib, makanan mesti berada di sisinya.
Biasanya, selepas menunaikan sembahyang
Zuhur dan Asar kami makan bersama.
Tetapi, selepas menunaikan fardu Maghrib perkara itu tidak dilakukan. Datuk makan malam agak lewat, paling cepat
pukul sepuluh, (setelah semua makanannya
dipanaskan). Dan saya, selepas
menunaikan fardu Maghrib bersama, saya angkat kaki meninggalkan pondok pisang
sesikat.
Sesungguhnya, saya dengan rela hati
melakukan semuanya itu, asalkan saya jangan disuruh menemani datuk sepanjang
malam. Pengalaman hari pertama dan malam
pertama memberikan pengalaman yang amat mengerikan. Saya tidak ingin mengulagi apa yang selah
saya lalui.
KETUJUH
Petang itu, petang ketujuh saya
mengunjungi datuk. Setelah menunaikan
sembahyang Asar, kami menikmati minuman petang di luar pondok pisang sesikat.
Ada ketikanya saya merenung kearah Khoja
Lisut yang terbenam dalam pasir separas leher.
Khoja Lisut tersenyum kearah saya, keadaanya sudah banyak berubah, dia
kelihatan segar dan kepalanya tidak lagi terkulai atas pasir.
“Tamar, bawakan kopi ke sini,” pertama
kali saya dengar Khoja Lisut mengajukan permintaan. Muka datuk segera saya lihat.
“Boleh beri dia minum tuk.”
“Boleh.”
Saya segera tuangkan air kopi ke
cawan. Saya pun atur langkah menuju
kearah Khoja Lisut. Air kopi saya
arahkan ke mulutnya, baru dua teguk menelan air kopi Khoja Lisut tersedak dan
terus muntah darah.
“Cukup Tamar, cukup.”
Jerit datuk sambil berlari kearah
saya. Di tangan kirinya terselit sehelai
daun buluh kering. Saya tergamam dengan
tindakan datuk itu. Sebaik sahaja
mendekati Khoja Lisut, datuk segera melekapkan daun buluh kering ke pangkal
leher Khoja Lisut dan Khoja Lisut pun berhenti muntah darah. Datuk urut bahagian belakang leher Khoja
Lisut beberapa kali.
“Bagaimana rasanya,” datuk tujukan
pertanyaan untuk Khoja Lisut. Saya
menggigit bibir dalam rasa cemas yang berlarutan di hati.
“Bagaimana Khoja,” ulang datuk lagi.
“Tadi masa muntah, dada rasa panas macam
ada api di dalamnya, sekarang…” Khoja Lisut terbatuk.
“Sekarang apa rasanya?” Desak datuk.
“Terasa lega, nafas pun senang.”
“Hum…” datuk garu pangkal dagu beberapa
kali, “buat sementara waktu ni, kau jangan minum kopi dulu,” sambung datuk.
“Baiklah, tapi bila saya boleh keluar
dari sini.”
“Sabarlah Khoja, masanya akan sampai.”
Saya lihat kelopak mata Khoja Lisut
terkebil-kebil mendengar kata-kata yang datuk luahkan.
Datuk mengajak saya kembali ke pondok
pisang sesikat. Saya menduga sebaik saja
sampai ke kawasan pondok, dia akan menyuruh saya pulang. Apa yang saya fikirkan tidak menjadi
kenyataan. Datuk suruh saya duduk di
sisinya. Saya tidak keberatan melakukan
semuanya itu, asalkan saya tidak dipaksa menemaninya sepanjang malam dan hari.
Pengalaman dari dan malam pertama
menemani datuk memberikan pengalaman yang amat mengerikan. Sesungguhnya, saya tidak ingin mengulagi
semuanya itu.
“Kamu jangan kemana-mana, Tamar.”
“Balik, saya nak balik tuk.”
“Tak boleh, kamu mesti bersama kau,
Tamar.”
Saya menarik nafas panjang. Ungkapan dari datuk itu menimbulkan
bermacam-macam tafsiran dalam tempurung kepala saya. Ternyata saya sudah masuk ke dalam perangkap
datuk
Dalam perkiraan saya, waktu tujuh hari
yang ditetapkan oleh datuk untuk merawat Khoja Lisut sudah cukup
tempohnya. Tidak ada apa-apa pertolongan
yang diperlukannya lagi dari saya. Jadi,
kenapa datuk harus menghalang saya? Barangkali dia mahu memberikan tugas baru
pada saya, timbul pertanyaan dalam hati, keresahan mula menghantui diri.
“Tuk dah janji dengan saya?”
“Janji apa?” Datuk jegilkan biji mata.
“Dulu tuk kata, tugas saya cuma
menghantar makanan ke sini, kemudian berjemaah bersama. Tugas saya petang ini sudah sempurna, saya
dah bawakan makanan dan sudah berjemaah, biarlah saya balik,” kata saya dengan
penuh yakin.
“Ada tugas lain yang mesti kamu tolong
aku, Tamar.”
“Apa dia tugasnya tuk?”
“Kau tunggu saja, jangan cakap dan
jangan banyak Tanya,” suara datuk agak keras.
Dan saya mengambil keputusan untuk membisu.
“Begini saja tuk, biar saya ambil
pakaian di rumah dulu,” saya remung wajah datuk dengan harapan permintaan saya
akandiperkenankannya. Kalau
diperkenankan hilang rasa jemu, boleh baring-baring dulu di rumah. Bila dekat waktu Maghrib baru satang. Itu rancangan yang saya susun dalam kepala.
“Tak payah kau balik, biar aku yang
ambil.”
Saya tersentak, tidak diduga datuk
bersuara demikian. Saya kerutkan dahi.
“Kamu tunggu Khoja, biar aku yang balik
ambil kain dan selimut kamu.”
“Ya tuk,” saya anggukkankepala.
“Tuk balik lama atau sekejap saja,”
desak saya lagi.
“Bergantung pada bahan-bahan dan ramuan
yang aku cari, cepat aku dapat, cepatlah aku dating,” jawab datuk dengan wajah
yang selamba. Dia mula bergerak dalam
pondok pisang sesikat dari sudut ke sudut.
Bagaikan orang resah tidak menentu.
SENDI
Akhirnya, datuk mengeliat dua tiga kali
untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh di sendi. Sebelum meninggalkan saya, datuk mengunjungi
Khoja Lisut,dua tiga kali baju kanan Khoja Lisut ditepuknya.
Dia membongkok lalu membisikkan sesuatu
ke cuping telinga Khoja Lisut. Apakah
yang dibisikkanoleh datuk kepada Khoja Lisut, tetap menjadi tanda Tanya pada
diri saya.
Datuk berpatah balik kearah saya. Berdiri menghadapi saya dengan tangan kiri
berada di pinggang, manakala tangan kanan di angkat separas bahu serta
diluruskan ke dapan. Cara datuk berdiri
tidak ubah seperti berdirinya seorang pendekar yang mahu membuka lankah silat.
“Kamu jaga dia baik-baik, kalau ada
buaya timbul kau halau dengan ini….” Datuk menunjukkan buku limanya kearah
saya. Mana mungkin melawan buaya dengan
penumbuk. Barangkali datuk mahu bergurau
senda. Dalam keadaan yang tertanya-tanya
itu, saya lihat datuk membongkok mengambil sesuatu dipermukaan bumi.
Bila datuk berdiri, saya lihat ditangan
kanannya ada buluh kuning yang panjangnya kira-kira lima kaki lebih. Buluh kuning itu datuk tatang dan
lambung-lambungkan kemudian disambutnya.
Lagi sekali saya bertanya dalam hati, dari mana datuk memperolehi buluh
kuning itu.
“Jangan kau fikirkan bagaimana aku
mendapatkan buluh ini,” kata datuk dan ternyata dia dapat membaca apa yang saya
fikirkan. Saya tidak berkata apa-apa dan
terus keluar dari pondok. Saya berdiri
menentang datuk.
Jarak antara saya dengan datuk antara
15-20 kaki. Dan saya bersedia melangkah
kearahnya untuk mengambil buluh kuning.
“Kau tunggu di situ, jangan dekati
aku.” Saya berhenti melangkah.
“Kau bersedia Tamar,” datuk segera
menimang bulu kuning.
“Bersedia untuk apa tuk.”
“Kau ambil buluh ni,” jeritnya.
Belum pun sempat saya bersedia dan
berbuat apa-apa segera melemparkan bulu kuning tepat kearah badan saya. Dengan pantas saya mengelak dan terus
melompat. Dalam masa melompat itulah
saya menyambar buluh kuning. Kejayaan
saya disambut oleh datuk dengan ketawa.
Dalam keadaan tercungap-cungap saya
pacakkan buluh ke tanah. Andainya saya
tidak melompat dan mengelak, pasti saya tersungkur di bumi.
“Kamu tak lupa dengan langkah yang aku
ajar Tamar.”
“Tapi tuk…”
“Tapi apa Tamar?”
“Saya cemas dan tak sangka datuk nak
buat macam tu.”
“Sesekali kamu mesti diuji,” turut datuk
lalu melangkah mendekati saya. Datuk
ambil buluh kuning yang terpacak dibumi.
“Ikut aku Tamar.”
Saya ikut datuk ke belakang pondok pisang
sesikat. Saya lihat datuk menajamkan
bahagian hujung buluh kuning dengan golok perak.
“Bambu runcing tuk.”
“Ya, dulu orang-orang Jambi menentang
tentera Belanda dengan buluh yang ditajamkan seperti ini,” datuk memperlihatkan
pada saya buluh yang sudah ditajamkan itu.
Kemudian buluh dicacakkan kembali ke tanah. Betul-betul di depan pondok pisang sesikat.
“Kamu cabut, bila kamu fikirkan mustahak
untuk melindungi diri kamu,” datuk tatap biji mata saya dengan tajam
sesekali. Saya pun anggukkan kepala.
MERAH
Di langit awan petang yang berwarna
merah mula muncul. Matahari kian rapat
di kaki langit. Sebentar lagi senja akan
melabuhkan tirainya. Beburung berkicau
riang, berterbangan mencari pepohon yang serasi untuk berteduh.
“Sekarang saya boleh balik tuk?” Saya ajukan pertanyaan. Datuk gosok bujung hidungnya dengan jari
telunjuk beberapa kali. Hati saya tetap
berdebar menanti jawapan.
“Tak boleh, aku yang balik. Kamu tunggu Khoja Lisut. Gunakan buluh tadi kalau kamu diganggu
binatang buas atau mahluk lain,” nada suara datuk lembut tetapi bila dia
menyebut perkataan ‘kamu tunggu’ dan ‘makhluk lain’ nada suara sengaja di
tinggikannya.
“Tuk balik ke?”
“Itu urusan aku.”
Selesai saja datuk memberikan sebuah jelingan
tajam untuk saya, dia terus melangkah tanpa mahu menoleh kearah saya walaupun
untuk beberapa detik. Datuk hilang dari
pandangan saya, ditelan oleh liku denai dan pepohon yang besar.
Saya renong kearah Khoja Lisut, dia
masih terkulai di permukaan pasir.
Beberapa permukaan ekor gagak, entah dari mana datangnya, terbang di
atas kepala Khoja Lisut sambil berbunyi dengan nyaring.
Dan sepasang gagak turun atas pasir lalu
mengais-gais pasir di depan Khoja Lisut.
Pasir yang dikais terus mengenai muk Khoja Lisut.
Beberapa ekor yang lain terus bertenggek
atas kapala Khoja Lisut. Saya jadi cemas
bila melihat beburung gagak itu mematuk kulit kepala Khoja Lisut, rambut di
kepala Khoja Lisut tercabut dan jatuh bertaburan atas pasir. Anehnya, Khoja Lisut tidak bersuara, tidak
menjerit minta pertologan.
Tiba-tiba saja saya jadi berani. Dengan tenang saya melangkah kearah Khoja
Lisut. Saya tepuk kedua belah tangan
dengan sekuat hati dengan harapan bunyi tepukan itu akan menakutkan beburung
gagak, lalu terbang meninggalkan Khoja Lisut.
Saya tidak berhasil mengusir beburung gagak. Semangkin rancak saya bertepuk semakin rancak
pula suara gagak menguasai kawasan sekitar.
Langkah saya perlahankan, sebagai
ikhtiar, saya ambil dahan kayu yang terdapat di situ dan bersedia untuk
membalingkan kearah sepasang gatgak yang sedang mengais pasir di depan Khoja
Lisut.
Sebaik saja saya angkat tangan kanan dan
bersedia mahu melemparkan kayu kearah burung gagak tersebut, saya terdengar
suara datuk berdehem dengan nyaring.
Basrat hati segera saya batalkan.
“Nanti dulu Tamar.”
Datuk segera menyambar kayu di tangan
saya. Kayu itu dilemparkannya ke dalam
belukar. Dan saya dipimpin kembali ke
pondok pisang sesikat.
“Gagak tuk.”
“Tak mengapa, aku tahu semuanya, sekejap
lagi burung-burung gagak itu mesti pergi dari situ. Burung-burung tu tak ganggu Khoja,” turut
datuk, bagi mempastikan apakah kata-kata datuk itu benar, saya segera menoleh
kearah Khoja Lisut.
Ternyata burung-burung gagak sudah tiada
lagi di situ. Saya renung muka datuk dan
dia segera memberikan sebuah senyuman yang penuh bermakna.
“Aku sebenar tak balik ke rumah, Tamar.”
Mata saya terbeliak mendengan kata-kata
itu. Datuk sudah mempermainkan saya.
“Habis datuk pergi ke mana?”
“Aku cari ini….”
Datuk mengeluarkan seberkas pokok dan daun seribu kapit anak dari
bungkusan kain batik yang pada awalnya saya duga bungkusan kain selimut dan baju. Pokok dan daun seribu kapit anak diserahkan
atas lantai pondok
“Sekarang pergi jerangkan air panas,”
perintah datuk. Saya segera mematuhinya.
No comments:
Post a Comment