Nenek ketawa terkekeh melihat telatah saya yang melucukan itu. Saya turun ke halaman mengutip dedaun kering yang bertaburan. Pergerakan yang dilakukan membuat badan terasa ringan, saya tidak mengalami sesak nafas atau rasa penat akibat kekenyangan. Perut yang membuncit kembali dalam keadaan normal.
“Apa
rasamya, Tamar?”
“Rasanya
nek, ya begini rsanya…”
“Kamu
tak rasa mengantuk dan malas, badan terasa ringan, bukan begitu, Tamar,” belum
sempat saya menyambung kata-kata, nenek segera memotong. Tentu saja saya akur dengan apa yang
dituturkannya itu.
“Betul
cakap nek tu.”
“Petua
orng tua-tua ada khasiat, datuk nenek kita tidak keluarkan petua ikut suka
hati. Dicuba dulu, baru dipesan pada
anak cucu,” nada suara nenek agak meninggi.
Di wajahnya terpamer rasa bangga kerana Berjaya mempengaruhi diri saya
supaya yakin dengan petua.
Akhirnya
saya naik ke rumah. Cari bantal lalu
baring di ruang tengah dengan naskhah akbar UTUSAN MELAYU terbentang di depan
mata. Akhbar itu saya letakkan di sisi
kiri badan. Dari ruang tengah saya lihat
nenek duduk di bendul pintu dapur. Dia
menjahit kain pelikat. Saya segera
duduk, apa yang saya buat semuanya serta tidak kena.
Sekejapsekejap
saya terfikir tentang Khoja Lisut dan datuk.
Apakah yang dilakukan waktu ini.
Dalam saat yang lain saya terkenangkan sahabat datuk di Balik Pulau. Fikiran nakal saya terus merewang, saya cuba
menggambarkan suasana kampong di tanah Palembang. Mana mungkin saya dapat menggambarkannya
kerana saya sendiri tidak sampai ke sana. Menanti waktu Asar tiba, adalah
sebuah penyeksaan bagi saya.
Saya
terus memeluk sepasang kepala lutut.
Saya memang tidak betah duduk di rumah.
Biasanya waktu begini, saya pergi ke pekan kecil atau ke dewan bacaan,
membaca majalah dan buku novel percintaan terutama buku-buku novel dari negara
tetangga Indonesia terutama karya HAMKA
Memang
sukar membaca karya dari penulis tanah seberang, kerana ejaannya tidak
seragam. Masih mengikut cara ejaan lama
umpamanya ejaan YANG dieja JANG tetapi , kesulitan itu dapat saya atasi.
Kalau
saya tidak merayap ke tempat tersebut, saya akan merayau ke hutan kecil melihat
jerat pelanduk atau kijang.
“Hummmmmmm….”
Saya
melepaskan sebuah keluhan. Arahan datuk
yang telah menetapkan waktunya membuat diri saya seperti dibelenggu. Takut mahu bergerak ke mana-mana.
“Tidurlah
Tamar, Asar nanti nenek gerakkan.”
“Mata
tak mahu pejam.”
“Nenek
tahu, kamu tak suka duduk di rumah.
Pergilah ke mana-mana, dekat Asar balik.”
“Saya
tak berani nek.”
“Kenapa
pula?” nenek seakan-akan terkejut,
“Takut
asyik merayau-rayau, nanti lupa pula nak pergi ke tempat datuk,”
“Terpulanglah
pada kamu,” nenek meneruskan kerjanya.
Dan saya berpindah ke anjung.
Duduk berehat di situ,
KAIN
Selesai
saja menunaikan solat asar. Saya tukar
pakaian dan bersedia untuk memulakan tugas seperti yang diamanatkan oleh datuk
pada saya.
Waktu
saya menuju ke pintu tengah, saya lihat ada beberapa bungkusan tersedia dekat
bendul. Bungkusan pertama dibalut dengan
kain hitam, bungkusan kedua kain hitam.
Bungkusan ketiga dibalut dengan kain kuning. Bentuk bungkusan yang ketiga agak berbeza
dengan bentuk dua bungkusan yang lain.
Bungkusan
ketiga (berbalut kain kuning)
bentuknya memanjang dan tingginya kira-kira enam inci. Saya yakin yang dibalut dengan kain kuning
itu adalah botol. Saya lihat semua
bungkusan itu dengan hati-hati.
Barangkali
semua bungkusan yang ada ini, barang-barang yang dipesan oleh datuk pada saya
tadi, fikir saya dalam hati.
“Apa
yang dimenungkan, bawa saja.”
Saya
menoleh ke kanan, nenek tercegat di situ dengan raga buluh di tangan. Nenek maju dua tiga tapak lantas duduk
bersila di depan bungkusan.
“Dengan
ini memudahkan kamu membawanya, Tamar.”
Nenek
pun memasukkan bungkusan-bungkusan tersebut ke dalam raga. Disusun dengan begitu cantik sekali.
Nenek
bangun dan terus ke dapur. Dia datang
semula ke muka pintu bersama dengan kulit-kulit durian kering dan seludang
kelapa kering.
“Buat
apa kulit durian kering dengan seludang kelapa kering tu nek?” Tanya saya setelah melihat nenek memasukkan
barang-barang tersebut ke dalam raga.
“Nak
menghalau nyamuk, datuk kamu nak tidur di situ sepanjang malam ni.”
“Hai,
datuk tak cakap pun pada saya ne,” kata saya terkejut.
“Takkan
semua perkara nak beritahu kepada kamu. Ini kerja orang tua-tua, kamu tak boleh
tahu. Kamu tolong-tolong sudahlah, buat
apa nak tahu.”
“Barang
dalam bungkus ini pun saya tak boleh tahu nek?”
“Boleh
tapi, nenek tak boleh bagi tahu. Orang
yang boleh bagi tahu pada kau, cuma datuk kamu sendiri. Kalau dia tak bagi tahu kamu boleh tengok
masa dia buka bungkusan itu.”
“Agaknya,
perkara begini jadi pantang larang.”
“Entahlah
nenek sendiri tak tahu. Apa yang datuk
kamu bagi tahu, itulah yang aku bagi tahu pada kamu,” nenek segera menolak bakul rotan ke dapan
saya.
Dari
tindakananya itu, saya dapat menduga yang nenek menyuruh saya berangkat
segera. Dia tidak mahu saya mengemukakan
berbagai-bagai soalan berhubung dengan barang-barang yang ada di dalam raga.
“Tak
apalah nek, biar saya pergi dulu.”
Saya
pun memegang rangka raga. Bangun dan
mula memijak anak tangga. Baru tiga mata
anak tangga saya pijak, nenek bersuara:
“Bawa
terus jangan singgah di mana-mana, jangan menyusup di bawah ranting mati dan laluan binatang.”
“Kenapa
nek?”
“Jangan
banyak tanya, itu pesan datuk kamu pada aku untuk disampaikan pada kamu.”
Saya
menarik nafas dalam-dalam. Masih
keberatan mengangkat kaki untuk memijak anak tangga seterusnya. Hati masih ingin tahu, kenapa mesti ada
pantang larang begitu.
“Datuk
tak beritahu sebab-sebab perkara tu tak boleh dibuat,” saya cuba memancing
nenek.
“Dah
aku katakana tadi, jangan banyak soal.
Apa kamu tak faham lagi, Tamar?”
Nenek jegilkan biji mata.
“Baiklah
nek, sata pergi sekarang.”
Langkah
yang terhenti segera saya sambung kembali.
Saya sarungkan sepatu getah ke kaki.
Sebelum memulakan perjalanan, lagi sekali saya tatap wajah nenek di
ambang pintu. Dia memberikan senyuman
selamat jalan.
REDUP
Perjalanan
dibawah sinar matahari yang kian redup amat menyenangkan. Peluh tidak begitu cepat membasahi tubuh Beberapa rantai lagi mahu sampai ke pohon
jati, saya berhenti sebentar. Tangan
kanan saya terasa lenguh kerana terlalu lama membibit raga. Saya tukar ke tangan kiri pula. Saya panjangkan leher merenung kea rah jati.
Saya
cemas. Datuk tidak kelihatan di
situ. Tetapi, perjalanan saya
teruskan. Saya letakkan raga atas akar
pokok jati dan waktu mata saya arahkan ke kawasan lapang (berpasir) saya lihat
ada dangau (pondok) pisang sesikat yang jaraknya tidak sampai lima belas kaki
dari tempat Khoja Lisut tertanam.
Atapnya
dari daun bertam muda. Dindingnya Cuma
di bahagian belakang, kiri dan kanan.
Tingginya kira-kira sekaki.
Dibuat dari daun salak tua yang sudah dianyam rapi. Manmakala bahagian depan terus terdedah.
Dibawah
sinaran matahari petang yang kian runduk itu, saya lihat Khoja Lisut terkapar
tidur di pasir. Kepalanya terlentuk atas
permukaan pasir dengan kedua belah tangannya terkedang. Datuk duduk bersila di sebelah kanannya,
dalam jarak dua kaki. Melihat saya
berada di bawah pohon jati, datuk segera bangun. Dia melangkah kearah saya.
“Ada
kamu bawa barang-barang yang aku pesan,”
itu yang datuk utarakan, sebaik saya dia berdiri di depan saya.
“Ada
dalam raga tu, tuk,” saya segera
meluruskan jari telunjuk kearah raga.
“Hum…..,”
datuk anggukkan kepala. Sepasang matanya
tertumpu kearah raga. Ada kepuasan
terbayang di wajahnya.
“Kamu
ikut pantang larang yang nenek kamu cakap, Tamar.”
Datuk
terus mengamnbil raga yang berisi barang-barang itu, dibawa ke pondok pisang
sesikat. Disangkutnya pada bahagian atas
pondok. Datuk datang semula kepada saya.
“Kamu
dah sembahyang Asar?”
“Dah
tuk.”
“Aku
belum lagi, aku tak mahu meninggalkan Khoja seorang diri di pasir. Kamu dah datang, hati aku senang. Sekarang giliran kamu menunggunya.”
“Tuk
nak ke mana?” Tanya saya cemas.
“Aku
nak ke tebing sungai, aku nak ambil air wuduk.”
“Ke
sungai?” Mulut saya terlopong.
“Kenapa
Tamar?” Datuk menyoal. Tiada jawapan dari saya. Datuk hayun kaki ke sungai dan debaran di
dada saya kian kencang.
Saya
masih lagi berdiri di bawah pokok jati.
Saya renung kearah Khoja Lisut.
Kepalanya terkulai atas pasir dengan mukanya menghala kearah pondok
pisang sesikat.
Perlahan-lahan
saya atur langkah mendekatinya. Saya
berdiri di depannya. Tidak ada sebarang
reaksi dari Khoja Lisut. Saya lihat
kedua belah matanya terpejam. Saya
sekatkan telapak tangan kanan saya ke hidungnya, ternyata dia masih bernafas
dan pada saat itu juga dia mendengkur.
Sudah pasti, Khoja Lisut tidur nyenyak, fikir saya.
Orang
tidur jangan diganggu. Kesihan, Khoja
Lisut menempuh satu penyeksaan yang panjang kerana mahu mengubati penyakit yang
dideritainya. Saya menarik nafas
panjuang-panjang sambil menatap wajahnya.
Kerana
Khoja Lisut tidur nyenyak, saya segera terfikir, tidak ada gunanya menjaga
orang tidur. Saya membuat keputusan
untuk meninjau datuk yang berada di tebing sungai mengambil air sembahyang.
Khoja
Lisut saya tingalkan. Dengan tenang saya
melangkah kearah tebing. Datuk
membongkok di gigi sungai mengambil wuduk.
Saya terus melangkah dan berhenti dekat pokok bunga tanjung. Jarak saya dengan datuk lebih kurang lima
kaki saja. Saya segera berlindung di
balik pokok bunga tanjung.
Cukup
di sini saja. Kalau diteruskan pasti
menimbulkan kesulitan diri sendiri.
Paling kurang kena hamun dari datuk.
Begitulah saya memujuk diri sendiri dan terus melihat gerak geri datuk
dari pokok bunga tanjung. Sesungguhnya,
niat saya baik demi keselamatan diri datuk.
Saya
sedar, datuk berdiri di gigi sungai menghadapi lubuk yang ada buaya. Nyawa datuk dalam bahaya, saya perlu
membantunya bila buaya itu melakukan serangan mengejut padanya.
Kerana
itulah saya mengekornya dan mengawasi datuk dari balik pokok bunga
tanjung. Kini, seluruh perhatian saya
tertumpu pada lubuk buaya dan datuk.
“Haaa….”
Mulut
saya ternganga. Jantung saya
berdebar. Buaya timbul di permukaan
lubuk, macam batang buruk yang terapung di permukaan air.
“Tamar,
aku tahu kamu ada di balik pokok bunga tanjung, kamu duduk diam-diam
disitu, jangan menjerit dan jangan
datang ke sini,” datuk menujukan kata-kata untuk saya. Dengan perlahan-lahan saya menarik dan melepaskan
nafas. Saya terpaksa patuh dengan arahan
datuk itu. Terpaksa bertahan di bawah
pokok bunga tanjung.
MUNCUL
Datuk
bagaikan tidak ambil kisah dengan kemunculan buaya di permukaaan lubuk. Dia terus ambil wuduk hingga selesai,
kemudian sarung selipar jepun ke kaki.
Berdiri di tebing sungai dengan membelakangi buaya yang kelihatan
bergerak kearah tebing sungai.
Tiba-tiba
buaya itu membedalkan ekornya kearah datuk, waktu ekor buaya itu menghempap
tebing sungai, datuk sudah pun berada di perdu pisang hutan. Cukup pantas datuk bergerak hinggakan saya
tidak dapat melihat gerakan itu berlaku meskipun mata saya tidak berkedip
merenung kearahnya.
Datuk
memusingkan badannya, berdiri tegak menghadapkan wajahnya ke sungai. Buaya masih menimbulkan badannya di permukaan
lubuk, terapung macam batang buruk, bergerak lemah mengikut gelombang air.
“Hai
buaya, aku bukan habuan kamu kali ini.” Pekik datuk seraya mematahkan ranting
dari pokok kecil di kirinya. Ranting itu
dilemparkan ke sungai.
Sebaik
saja ranting yang dilemparkan mengenai permukaan air sungai. Buaya terus menyelam ke dasar lubuk. Beberapa saat kemudian muncul kembali bersama
riak gelombang air yang besar dan kuat menguasai permukaan lubuk. Serentak dengan itu buaya terus menghempaskan
ekornya berkali-kali ke permukaan air.
“Kamu
marah,” suara datuk keras. Dan buaya terus memukulkan ekornya ke air
seolah-olah memberikan jawapan terhadap kata-kata datuk.
“Jangan
ganggu aku, aku ke mari bukan niat nak kacau kawasan kamu, aku ke mari nak
menolong orang yang sakit,” datuk terus bercakap, biji matanya tertumpu kearah
buaya di air yang kelihatan tidak tenang.
Sekejap menyelam, sekejap timbul.
Ekornya terus memukul air.
“Selamat
tinggal kawan,” datuk lambaikan tangan kearah buaya. Dan saya lihat buaya itu mengangakan mulunya
lalu dihalakan kearah datuk. Dua tiga
detik kemudian buaya terus menyelam dan tidak timbul-timbul lagi.
Datuk
meneruskan perjalanan ke pondok pisang sesikat tanpa memperhiraukan saya yang
berada dibawah pokok bunga tanjung. Saya
jadi serba salah, apakah saya masih terikat dengan pesan datuk? Mungkin datuk
menghukum saya kerana mengekorinya dari belakang, jadi dia sengaja membiarkan
saya di sini sendirian.
Kalaulah
itu rencana dalam dada datuk, dia memang seorang yang kejam. Timbul bermacam-macam pertanyaan dalam diri
saya.
Saya
renung kearah pondok pisang sesikat.
Datuk sedang menunaikan solat Asar.
Saya sudah tidak mampu bertahan di bawah pokok bunga tanjung. Saya jadi cemas dan tidak tentu arah. Sesekali saya terasa seram. Bulu tengkuk saya terasa tegak. Dan saya mengambil keputusan yang amat nekad,
saya langgar pesanan datuk. Pokok bunga
tanjung saya tinggalkan, berlari kearah pondok pisang sesikat.
Saya
berdiri di luar pondok pisang sesikat, menunggu datuk menyelesaikan solat dan
berdoa. Saya tetap berharap tindakan yang saya lakukan tidak mendatangkan
apa-apa kemarahan terhadap datuk.
“Masuk,
Tamar.” Nada suara datuk cukup mesra.
Ada senyum di wajahnya. Saya
masuk ke perut pondok. Datuk bersila di
depan datuk.
“Nenek
kamu dah jual pisang dan keledek?”
Saya
menggigit bibir, sukar untuk saya memberikan jawapan. Nenek tidak beritahu apa-apa dan saya tidak
pula bertanya apa-apa pada nenek. Secara
spontan saya teringatkan kesan tayar lori di halaman rumah. Saya yakin itu adalah kesan tayar lori peraih
yang mengambil pisang dan keledek.
“Semuanya
nenek dah jual tuk,” tutur saya yakin.
Datuk anggukkan kepala.
Mungkin
terasa lenguh duduk bersila, datukpun meluruskan sepasang kakinya sambil
menyandarkan badannya ke tiang pondok.
Datuk menggerakkan jejari kakinya dan pada saat itu terdengar suara
jeritan Khoja Lisut. Cepat-cepat datuk
bangun lalu merenung kearah Khoja Lisut yang terbenam dipasir. Khoja Lisut gerakkan kepalanya ke kiri dan ke
kanan.
“Kamu
pergi jiruskan air ke kepalanya, kemudian kamu korek pasir kelilingnya,
keluarkan kedua belah tanganya.” Saya kerutkan dahi, kerana tugas yang
diserahkan oleh datuk pada saya bukannya tugas yang mudah.
“Saya
buat seorang aje tuk?”
“Yalah,
takkan kerja semudah tu aku nak tolong.
Pergi buat sekarang.” Saya segera
bangun dengan rasa yang amat malas.
Sebaik saja berada di luar pondok pisang sesikat, lagi sekali saya tatap
wajah datuk. dia tidak memperlihatkan
sebarang reaksi dan saya terus melangkah menuju kearah Khoja Lisut ditanam.
“Korek
gunakan pelepah kelapa.”
Saya
berhenti melangkah dan menoleh kearah datuk.
Belum pun sempat saya bertanya, datuk pun melemparkan pelepah kelapa
kearah saya. Dengan tangkas saya
menyambutnya.
Saya
terus memnbelek-belek pangkal pelepah yang ditarah rata dan nipis. Bentuknya
macam sudip yang sering digunakan untuk mengacau nasi dalam kawah besar. Panjang pelepah kelapa itu lebih kurang empat
kaki lebih. Bahagian hujungnya diikat
dengan kain tiga warna, merah, kuning dan hitam. Pelepah kelapa itu segera saya lurutkan
dengan telapak tangan kanan.
“Jangan
buat macam tu, Tamar.”
Saya
segera berhenti melurut pelepah kelapa.
Biji mata saya arahkan kepada datuk.
Dia berdiri di pintu pondok pisang sesikat. Tangan kirinya digerakkan kekiri dan ke
kanan.
“Maafkan
saya, saya tak tahu tuk.”
“Hum,
kenapa tercegat lagi di situ? Pergi sekarang buat apa yang aku suruh,” suara
datuk cukup keras, mengganggu penumpuan saya terhadap pelepah kelapa di
tangan. Melihat saya masih terpaku di
situ, datuk terus bersuara.
“Pergilah
cepat jangan terpacak di situ.”
“Ya tuk,
saya pergi sekarang,” jawab saya
tersekat-sekat. Tanpa toleh kiri kanan
saya aturkan
langkah
mendekati Khoja Lisut
MATA
Saya
berdiri di depan Khoja Lisut. Kemudian
terus duduk bersila. Sepasang mata Khoja
Lisut yang tidak bermaya itu menatap wajah saya.
“Dahaga,
aku dahaga Tamar.”
Saya
segera menyumbatkan muncung botol ke mulunya.
Tergesa-gesa Khoja Lisut menyedutnya hingga menyebabkan dia
tersedak. Air yang berada dalam mulunya
berhamburan keluar.
Hampir-hampir
mengenai tubuh saya. Saya lihat Khoja
Lisut tercungap-cungap.
Muncung
botol segera saya pisahkan dari bibirnya.
Lidah Khoja Lisut menjilat kesan air di bibir dan dagu. Perbuatannya itu amat mengharukan perasaan
saya.
“Pak
cik minum pelan-pelan sikit,” kata saya penuh hormat.
“Ya,
ya aku tahu Tamar,” sahutnya penuh ghairah.
Matanya tetap merenung muncung botol yang berada dalam tangan saya.
“Minum
pak cik.”
Muncung
botol saya sumbatkan ke mulunya. Khoja
Lisut menyedut air dengan hati-hati, cakap saya dipatuhi dengan baik
sekali. Dia berhenti meneguk air dalam
botol.
“Hilang
dahaga, pak cik?”
Dia
terus anggukkan kepala. Cepat-cepat saya
menjiruskan air dari dalam botol ke atas kepalanya. Khoja Lisut terus bersin, mungkin lubang
hidungnya dimasuki air yang saya tuangkan di kepalanya.
“Kalau
dia dah bersin, jangan buat lagi.” Saya
lihat kearah datuk. Dia angkat tangan
kanannya tinggi-tinggi dan dijatuhkannya perlahan-lahan,
“Sekarang,
koreklah pasir tu.”
“Baiklah
tuk.”
“Mulakan
dari sebelah kanan, baca Bismillah dan selawatkan Nabi tiga kali
berturut-turut,” lanjut datuk lagi.
Suaranya cukup nyaring. Arahan
datuk segera saya patuhi.
Mengorek
pasir dengan menggunakan pelepah kelapa memang memenatkan, sekejap saja seluruh
badan saya berpeluh, sedangkan pasir yang dikorek seperti tidak menampakkan
sebarang kesan.
“Kau
nak keluarkan aku dari pasir ni Tamar?”
Tidak saya jawab pertanyaan dari Khoja Lisut.
“Datuk
kamu suruh keluarkan aku.”
Seperti
tadi, saya tetap membisu. Terus mengorek
pasir.
“Agaknya,
datuk kamu melarang aku bercakap dengan kamu Tamar, agaknya ini jadi
pantang-larang.”
Saya
berhenti mengorek pasir dengan pelepah kelapa.
Saya menarik dan melepaskan nafas dengan tenang.
“Eh,
jangan berhenti,” pekik datuk dari pondok.
Saya
kembali meneruskan kerja yang terhenti.
Saya tidak peduli dengan apa yang dikatakan oleh Khoja Lisut. Mungkin kerana kecewa dengan sikap saya,
Khoja Lisut terus membisu.
“Tamar,
tangan kiri aku dah keluar.”
Saya
terkejut, memang tidak saya duga tangan kiri yang keluar. Saya korek sebelah kanan, sepatutnya tangan
kanan yang keluar.
Saya
termenung sejenak memikirkan keanehan yang terjadi di depan mata. Khoja Lisut merewang-rewangkan tangan kirinya
sesuka hati. Setiap kali tangan kirinya
dipusingkan, pasir yang berada di sekeliling tengkuknya turut sama bergerak
hingga kedua belah sayap bahunya tertonjol di permukaan pasir.
“Tok,
tolonnnnnnnggg!”
Pelepah
kelapa saya tikamkan ke dada pasir.
Sepasang kaki saya bagaikan ditarik sesuatu. Terbenam dalam perut pasir separas
lutut. Pasir sekitar tempat saya berdiri
menjunam ke bawah, seolah-olah jatuh ke dalam lubang gaung yang dalam. Saya jadi panik dan terus berpaut pada
pelepah kelapa.
No comments:
Post a Comment