Buat seketika, tidak terucap sepatah kata dari kelopak
bibir kami bertiga. Datuk memicit-micit pangkal pehanya, mungkin dia lenguh
kerana terlalu lama duduk. Saya mengarahkan sepasang mata ke arah halaman rumah
yang dipancar matahari. Hati bagai digeletek untuk mendengar penerangan
selanjutnya tentang iman dari Uda Lamat.
“Tambah kopi lagi, Uda.”
Datuk terus pegang teko lalu menuang kopi ke cawan Uda
Lamat.
“Cukup, cukup, “tahan Uda Lamat sambil memperkemaskan
silanya Datuk berhenti menuang air kopi.
“Berborak begini sambil minum memang seronok,” ujar datuk
lalu menghirup air kopi. Uda Lamat angguk kepala sambil memandang ke aras saya.
“Apa macam Tamar, betul tak mereka tak ada iman?” Tanya
Uda Lamat. Saya jadi serba salah, sukar untuk memberikan penjelasan. Saya
bukanlah orang yang pandai tentang agama.
“Entah, saya tak tahu,” jawab saya spontan.
“Betul kau tak tahu?” Uda Lamat jegilkan biji mata ke
arah saya. Perbuatannya itu membuat saya jadi serba salah. Apa yang buat saya
terasa tidak kena belaka.
“Betul saya tak tahu, saya tak main-main,” suara saya
merendah. Memang terasa malu mengaku kebodohan sendiri di depan datuk dan Uda
Lamat.
“Bagus, bercakap dengan jujur. Orang bodoh saja yang
mengaku tahu terhadap perkara yang dia tidak tahu. Orang bijak tidak macam
itu,” ungkap Uda Lamat lalu menepuk bahu saya berkali-kali. Saya kembali
bersemangat.
“Kamu memang budak yang bijak,” sambung Uda Lamat memuji
saya. Rasa megah datang ke dalam hati. Muka terasa kembang dan hati bertambah
bangga. Saya mula berani angkat kepala. Berani tatap wajah datuk dan Uda Lamat.
Dua kali datuk batuk. Itu batuk pura-pura untuk menyindir
saya, agar jangan mabuk kerana pujian. Sambil menghirup air kopi, Uda Lamat
kemaskan sila.
“Kita percayakan Allah dan Rasul, ini adalah sebahagian
dari rukun iman. Dan iman itu sendiri ertinya, kepercayaan yang terbit dari
hati seseorang iaitu, mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa api yang dibawa
oleh Nabi Muhammad adalah benar yang datangnya dari Allah Subhanahu Wataa’la,”
Uda Lamat angkat muka. Biji matanya tajam menyorot ke wajah saya. Biasanya bila
dia berkeadaan demikian, pasti mahu memulakan sebuah kuliah yang tidak dapat
dijangka masanya sama ada panjang atau pendek.
“Maka,” Uda Lamat tegakkan lutut kanan dan kepala lutut
dijadikan tempat meletakkan telapak tangan, “ilmu yang dipelajari adalah untuk
menyempurnakan pengenalan iman. Orang lelaki yang beriman dipanggil atau
disebut Mukmin dan perempuan yang beriman disebut Mukminat,” Uda Lamat telan
air liur. Dia berhenti bercakap. Jejari tangan kanannya bergerak-gerak memukul
lantai.i
“Saya nak tambah sikit boleh tak?” Datuk angkat kepala.
Renung muka Uda Lamat. Perlahan-lahan Uda Lamat menagangguk memberi jalan pada
datuk.
“Iman dan Isam tak boleh diceraikan untuk mendapatkan
kelepasan azab di hari akhirat nanti,” kata datuk. Uda Lamat tegakkan ibu jari
kanan. Lagi sekali dia anggukkan kepala, setuju dengan pendapat datuk.
RESAH
Saya makin diamuk keresahan. Bila datuk dan Uda Lamat
memulakan perdebatan semacam itu, ertinya saya harus duduk lama di sisi mereka.
Saya terus berfikir apa yang patut saya lakukan untuk menjauhkan diri dari
mereka.
“Kerana mereka tidak ada iman, semakin maju mereka bergerak
mengikut arus kemodenan, semakin pincang masyarakat mereka jadi tidak tentu
arah. Mereka kehilangan arah,” itu hujah Uda Lamat, “mereka seperti mahu
kembali ke zaman kuno,” tambahnya seiring dengan senyum.
“Haa sebab itulah…,” datuk angkat tangan kanan, matanya
terbeliak,, “pakaian mereka tak tentu arah, berambut panjang, kalau menyanyi
terjerit-jerit macam beruk kena belacan, tak payah nikah, jantan betina duduk
sebilik, lahirkan anak haram, alas an mereka ini kebebasan dan ini kemajuan,”
sebaik sahaja datuk mengakhiri kata-kata tergambar kepuasan di wajahnya.
Hampir sahaj saya mahu ketawa melihat telatah datuk yang
agak melucukan itu. Tetapi, nampaknya Uda Lamat sejalan dengan fikiran datuk.
Buktinya yanga paling nyata, dia sering sahaja anggukkan kepala dan
mengharapkan datuk meluahkan buah fikiran selanjutnya. Datuk menggaru pangkal
telinganya dua tiga kali. Mungkin otaknya berjalan memikirkan sesuatu.
“Perkara yang tak senonoh tu, jadi ikutan anak-anak muda
kita yang beragama Islam, segala morfin ganja semuanya berasal dari sana,”
datuk lahirkan pendapat.
“Entahlah, apa nak jadi, aku sendir pun tak tahu nak
cakap,: Uda Lamat bagaikan mengeluh.
“Agaknya, pegangan keimanan kita sudah nipis, fasal itu
kita meniru orang lain,” tingkah datuk lalu menarik nafas dalam-dalam. Rasa
jemu yang menguasai diri membuat saya meluruskan sepasang kaki. Bahang panas di
luar membuat badan saya terasa bergetah. Saya jadi tidak selesa.
“Otak mereka bergeliga tetapi rohani mereka kosong. Tidak
diisikan dengan iman, kerana itu mereka teraba-raba mencari pegangan dalam
hidup,” suara Uda Lamat lembut dan saya tertarik dengan pendapatnya itu.
“Dalam mencari itulah mereka jadi sesat, lalu lahir
bermacam agama baru yang bertujuan untuk mencari ketenangan rohani, bila perkara
yang dicari tidak dapat ditemui mereka membunuh diri beramai-ramai, semuanya
ini kerana mereka tidak ada iman,” lanjutnya Uda Lamat lagi. Datuk angguk
kepala. Kagum juga saya, orang kampong macam Uda Lamat dapat memberikan
pendapat yang baik. Mungkin dia bercakap berdasarkan perhatiannya yang teliti
dan mungkin juga berdasarkan pada pengalaman.
Dalam saat itu juga saya teringatkan berita yang pernah
saya baca dalam akhbar berhubung dengan tindakan beberapa orang bijak pandai
Negara Barat, tidak kira dari Blok Komunis atau sebagainya bertindak membunuh
diri, bila mereka merasakan yang diri mereka tidak dapat melakukan sesuatu
dengan lebih baik dari apa yang telah mereka lakukan. Seorang novelis boleh
membunuh diri kerana merasakan dirinya tidak akan dapat melahirkan mahakarya
seperti dihasilkan sebelumnya.
Begitu dengan pelakon filem, penyanyi dan sebagainya,
bila mereka merasakan apa yang mereka hasilkan kini, tidak sebaik masa lalu,
mereka segera mencari pelarian dengan melakukan apa sahaja yang mereka fikirkan
boleh memberi ketenangan, mereka mencipta pakaian yang manjolok mata,
bersekedudukan, melakukan hubungan sesame jenis, bunuh diri namun ketenangan
rohani yang mereka cari makin jauh dari mereka.
“Iman adalah sinar kehidupan manusia sedunia,” Uda Lamat
meninggikan suaranya untuk menarik perhatian saya yang termenung. Apa yang
bermain dalam tempurung kepala saya segera berakhir. Datuk menghirup kopi lagi.
“Bila iman sudah berada dalam diri seseorang, dia akan
merasai dirinya cukup kecil, mahu melakukan sesuatu dengan penuh kerelaan demi
Allah yang maha besar,” datuk menyampuk.
“Ya, itu sudah tentu, sebab dia sudah tahu ke mana
akhirnya kehidupan yang dilaluinya,” tingkau Uda Lamat.
“Kembali pada yang menjadikan dirinya sebagai hamba,”
sahut datuk. Lagi sekali Uda Lamat tegakkan ibu jari kanannya ke arah datuk.
“Orang yang beriman tidak takut pada manusia. Dia hanya
takut pada Allah, kerana itu bila dia sendiri atau makan gaji dia akan bekerja
dengan jujuir, tidak mahu ponteng, tidak mahu menerima rasuah, tidak mahu
melakukan penyelewengan, tidak mahu menindas. Kalau jadi ketua akan jadi ketua
yang bertimbang rasa dan tegas kerana dia sedar apa yang berbuatnya itu adalah
amanat Allah,” satu kuliah pendek yang amat berkesan dir Uda Lamat. Membuat saya
termenung panjang sambil berfikir.
DALAM
Kenapa orang yang beriman itu jadi begitu? Timbul
pertanyaan dalam diri saya. Anehnya, jawapan dari pertanyaan itu datang sendiri
ke dalam hati saya, orang yang beriman itu mempunyai kekuatan yang tersendiri,
ada pegangan dalam kehidupannya. Selalu mahu melakukan kerja yang baik dan
diredhai Allah. Jiwanya jadi tenang kerana menyandarkan hidupnya pada Allah.
Garis kehidupan tidak lari dari panduan Allah dan Rasul.
“Satu hal yang mesti kita ingat untuk mencari iman yang
penuh, kita mesti mempunyai kesungguhan dan ilmu itu perlu dicari,” datuk
mengejutkan diri saya dari berjawab dengan perasaan sendir. Uda Lamat tidak
memberikan sebarang komen terhadap kata-kata yang datuk luahkan itu. Dan saya
sendiri tidak mahu mengemukakan sebarang soalan padanya. Apa yang pasti, saya
mesti mencari kebenaran dari kata yang diucapkan oleh Uda Lamat itu dari ulama
yang diakui tentang ketinggian ilmunya. Mungkin perkara itu memakan masa
sedikit, tidak mengapa kerana ilmu boleh dicari dalam sehari dua.
“Orang Islam terdahulu dari kita kuat imannya kerana
itulah pernah wujud Empayar Islam yang menguasai sebahagian dari benua Eropah,
mempunyai angkatan perang yang kuat dan dikagumi oleh orang bukan Islam.
Mempunyai cerdik pandai yang terbilang, ibu negara Islam jadi pusat sejarah
Islam pula. Ternyatata orang tua yang kelihatan tidak ada apa-apa itu
sebenarnya seorang yang luas pengetahuannya tentang Islam.
“Agaknya mereka berjaya kerana mereka melakukan sesuatu
kerana Allah, bukan kerana mahu pangkat atau nama, mereka curahkan ilmu pada
orang lain demi kemajuan Islam,” tanya saya.
“Ya, mereka melakukan sesuatu berlandaskan hukum Islam
yang betul, kuat beriman pada Allah. Tetapi, sekarang kebesaran Islam mula
runtuh mungkin kerana iman orang Islam sudah menipis. Dahulu orang Islam
dihormati kerana ketinggian ilmu dalam segala bidang, sekarang orang Islam
mengemis ilmu pada orang bukan Islam sedangkan ilmu itu dulu dipelopori oleh
orang Islam,” nada suara Uda Lamat mengandungi rasa kesal. Dia merenung ke kiri
dan kanan.
“Apa mahu dikatakan lagui semuanya sudah berlalu, tidak
guna dikenang, buat menyakitkan hati saja,” rasa putus asa yang diluahkan oleh
datuk memang menusuk perasaan saya.
“Perkara ini timbul kerana memperkatakan tentang iman,”
sahut Uda Lamat, dia seolah-olah merasa kurang senang dengan kata-kata yang
diluahkan oleh datuk.
“Saya faham iman dan Islam memang tidak boleh
dipisahkan,” datuk bagaikan tersedar tentang kesilapan kecilyang dilakukannya.
“Mengenangi untung malang masa lau untuk dijadikan
panduan teladan bagi masa depan, hukumnya harus, tidak salah kerana kita
mencari kebaikan, setiap yang baik itu memang digalakkan oleh Islam dari
perkara kecil sebegini boleh memberikan baja pada rohani kita untuk menguatkan
iman ini salah satu cara yang paling mudah dan kecil kita lakukan.” Ternyata
secara tidak langsung, Uda Lamat memberikan ilmu yang baik untuk diamalkan.
“Betul cakap awak tu,” datuk bersuara.
“Jangan cepat kata betul, fikir dan kaji apa yang saya
katankan itu,” Uda Lamat mula bangun. Dia mengeliat bagi menghilangkan rasa
lenguh di setiap sendir anggota tubuhnya.
BANGUN
Saya bangun lalu mengumpulkan cawan-cawan kosong,
kemudian saya serahkan pada nenek di dapur. Waktu saya dating ke ruang anjung
semula, saya dapati Uda Lamat sudah pun berdiri di anak tangga.
“Awak tak usahlah bimbang, apa yang terjadi pada cucu
awak dengan izin Allah tak akan berulang lagi. Awak sendiri tahu bagaimana mahu
mengatasi perkara buruk macam itu,” sambil bercakap Uda Lamat tening muka
datuk.
“Saya tahu, tapi iblis dan syaitan tak mudah mengaku
kalah,” sahut datuk.
“Sebagai hamba Allah kita harus berikhtiar dan meminta
perlindungan dari Allah.” Uda Lamat hulurkan tangan pada datuk. Mereka
bersalaman, bebrapa detik kemudian Uda Lamat melangkah turun dan akhirnya
sarungkan capal ke kaki.
“Saya jalan dulu,” Uda Lamat dongak muka ke arah datu.
“Silakan,” balas datuk dengan senyum. Uda Lamat pun mengatur langkah lalu
meredah panas terik.
Datuk yang berdiri di ambang pint uterus menyorot langkah
Uda Lamat hingga hilang dari pandangannya. Saya yang masih duduk bersila di
rauang anjung terus melunjurkan kedua belah kaki. Walaupun saya berusaha melupakan
apa yang telah terjadi pada diri saya tetapi, peristiwa itu sesekali menerpa
juga ke dalam tempurung kepala yang membuat saya merasa cemas dan bimbang tidak
menentu.
“Dia macam harimau yang menyembunyikan kuku,” datuk
segera pusingkan badan. Merenung tepat ke arah batang hidung saya.
“Siapa yang tuk maksudkan?”uk kata macam tu
padanya?"
“Uda Lamat.”
“Kenapa tuk kata macam tu padanya?” Saya mendesak.
“Dia orang berilmu tapi, ramai yang tidak tahu tentang
kebolehannya, dia selalu merendahkan diri walau dia ada harta kerana sikapnya
itu, orang selalu memikirkan dirinya tidak ada apa,” datuk lagakan gigi atas
dengan gigi bawah berkali-kali. Anak matanya menyorot sayu ke halam rumah yang
terbentang dipanggang matahari yang terik.
“Siapa sebenranya Uda Lamat tu, tuk?”
“Dia tu pengasas sebuah sekolah Arab di Selangor, kerana
semangatnya yang meluap-luap meentang Inggeris dia ditangkap, bertahun duduk
dalam tahanan di Singapura, Morib, Melaka, bila dibebaskan dia terus membuka
kedai buku-buku agama di Pulau Pinang. Dia juga menulis buku-bku atau
kitab-kitab agama.”
“Dah tu macam mana dia datang sini, agaknya dia memang
oring kampong kita tuk?”
“Memang datuk neneknya orang sini, bila dia tak berniaga
dia terus menetap di sini, dia jadi petani dan tumpukan kerja pada hal-hal
kebajikan serta keagamaan,” demikian datuk menjelaskan pada saya.
Sesunggunhnya, penjelasan itu membunuh keraguan dan
anggapan nuruk saya terhadap Uda Lamat. Selama ini, saya anggap dirinya sebagai
manusia yang menggunakan kekayaan untuk menarik perhatian orang-orang kampong,
suka menikah dengan perempuan yang diingini. Saya juga selalu memikirkan yang
Uda Lamat itu tidak ada apa-apa, tarafnya sama dengan orang-orang kampong yang
rata-ratanya tidaj mendapat pendirdikan hingga tahap sekolah menengah. Jauh di
dalam hati, saya menyesali diri sendir kerana terlalu cepat memberi penilaian
atau ‘label’ terhadap seseorang mengikut kacamata sendiri.
“Ada lagi yang nak kautanyakan tentang Uda Lamat dari
aku, Tamar?” Datuk ajukan pertanyaan pada saya. Nada suaranya keras bersama
wajah yang tidak menyenangkan. Tanpa berfikri panjang, saya terus menjawab.
“Tak ada lagi nak Tanya tuk. Dia orang yang berilmu.”
“Kamu harus berguru dengannya, dampingi dirinya untuk
mencari sesuatu yang berguna darinya,” sebaik sahaja selesai berkata-kata datuk
meninggalkan saya sendirian di ruang anjung rumah.
PERANGAI
Saya sudah faham benar dengan perangai datuk, bila sahaja
ada orang yang difikirkannya memilik ilmu yang tinggi, sama ada ilmu dunia atau
akhirat, dia akan menggesa saya mendekati orang itu untuk menimba ilmu sebanyak
mungkin dari orang tersebut.
Inilah perangai datuk yang tidak saya senangi. Apakah
datuk memikirkan tiap inci ruang dalam kepala saya ini, mesti diisi dengan ilmu
yang dikutip dari orang tertentu. Apakah datuk fikir setiap orang yang berilmu
itu, amat mudah mahu mencurahkan ilmu pada cucunya yang bernama Tamar Jalis.
Suara batin saya terus bergolak dalam dada. Tidak terdaya
mahu saya luahkan pada datuk. Saya tidak sanggup menerima tengking herdik dari
datuk bila perkara seperti itu dinyatakan secara terbuka padanya. Memang pantang
datuk tujuh keturunan mengaku kalah sebelum mencuba. Dalam istilah kehidupan
seharian datuk tidak ada perkataan ‘kalah’ sebelum berjuang. Datukselalu memuji
dan hormat dengan sesiapa yang sudah mencuba atau berusaha sedaya upaya tetapi
akhirnya kalah.
“Orang seperti itu memang patut dipuji dan dihormati,
mereka ada kemahuan, ada semangat dan sanggup menghadapi cabaran tetapi tuah
tidak ada pada mereka. Dalam budaya orang-orang Melayu mencuba dan berjuang
memang diutamakan tetapi budaya itu, kini sudah luput, apa yang ada pada kita
ialah mengaku kalah sebelum berjuang,” secara mendadak sahaja saya teringatkan
kata-kata yang pernah datuk ucapkan pada saya.
SURAT
Dengan izin Allah, berkat doa dan usaha dari datu dan Uda
Lamat, saya dapat mengikis kenangan pada peristiwa ganjil yang telah saya
alamai dari kotak ingatan saya. Rasa yakin pada diri sendir semakin menebal di
hati malah, batang tubuh dan wajah Amjal Kamal tidak lagi di ruang mata, ketika
saya duduk mengelamun sendirian.
Dalam waktu tertentu, terutama menjelang waktu senja,
saya akan terserempak dengan Agam melintasi kawasan belakang rumah. Bila
terserempak begitu, kami tidak berkata apa-apa. Kadang-kadang baru sahaja
terniat mahu memberi salam Agam terus hilang dengan sekelip mata sahaja. Bila
hal itu saya sampaikan pada datuk, dia Cuma mengingatkan saya, supaya
berhati-hati.
Memang tidak pernah terfikir yang saya boleh menjalin
hubungan dengan Uda Lamat penuh akrab. Saya sering bertandang ke rumahnya bila
ada waktu terluang. Dia memang handal tentang sejarah Islam, nama pahlawan dan
pemimpin Islam zaman nabi hingga kini terkumpul dalam kepalanya. Tanyalah
tentang apa sahaja yang berhubung dengan keagungan dan sebab-sebab keruntuhan
empayar Islam, dia akan menjelaskannya dengan terperinci sekali.
Setiap kali saya meninggalkan rumahnya, Uda Lamat sering
mengingatkan saya supaya memperbanyakkan sembahyang sunat. Menurutnya bila kita
banyak melakukan sembahyang sunat, secara tidak langsung kita akan memperdekatkan
diri dengan Allah dan Allah akan memberikan kekuatan zahir dan batin, kita akan
terlindung dari gangguan mahluk jahat seperti iblis dan syaitan. Saya berazam
unutk menunaikan segala nasihat yang baik dari Uad Lamat itu.
Pada suatu hari, tanpa diduga datuk menerima sepucuk
surat dari keluarga jauh yang bertugas dengan Keretapi Tanah Melayu di Prai
dalam bahagian bengkel. Dalam surat itu Mat Prai (nama timangan yang digunakan
untuk keluarga jauh itu) mengundang datuk sekeluarga ke rumahnya.
Saya bagaikan tidak percaya, bila datuk menyatakan yang
dia mahu memenuhi permintaan Mat Prai. Setahu saya hubungan datuk dengan Mat
Prai tidak seakrab atau semesra hubungan dengan saudara mara yang lain.
“Kenapa tiba-tiba awak nak pergi?” Soal nenek.
“Kalau fikirkan perangai serta perbuatannya pada
adik-adiknya, saya memang tak mahu pergi.”
“Tapi sekarang kenapa beria-ia nak pergi?” Desak nenek
lagi.
“Ada tiga sebab, pertama aku tak mahu dia anggap aku
memulaukannya. Kedua, aku mahu merapatkan kembali hubungannya yang renggang.
Ketiga, dia sudah mengalah dengan menulis surat kepadaku dan aku kira dia dalam
kesusahan sekarang, tak usah halang aku nak pergi,” datuk memberikan keputusan
muktamad. Nenek hanya angguk kepala sambil tersenyum mengakhiri dialog kecil
antara keluarga pada petang di meja makan.
Nenek terus menyatakan, yang dia tak mahu ke Prai kerana
urusan binatang ternakan ayam, itik dan kambing serta kerbau. Selain dari itu
nenek sudah tidak berdaya untuk duduk di bangku keretapi, bas atu teksi lebih
dari setengah jam. Lebih dari masa itu, pasti nenek mengalami sakit pinggang
dan dalam tempoh dua puluh empat jam seluruh sendinya akan mengalami
bengkak.Nenek juga akan mengalami kesukaran membuang air kecil dan air besar.
Dapat dapat menerima alasan itu.
No comments:
Post a Comment