KALAU
diturutkan rasa hati, mahu saja saya menyepak kura-kura yang tertonggok macam
besi buruk itu. Akhirnya saya sedar, bahawa saya tidak boleh bertindak atau
melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya di malam yang kian dingin.
“Macam
mana kalau aku campakkan kura-kura ini keluar,” Mat Prai mempamerkan kemarahan.
Sepasang matanya segera diarahkan ke arah belakang kura-kura. Mat Prai terus
membongkokkan badannya sambil berusaha mahu memegang badan kura-kura.
“Jangan.”
Saya
segera menyergah. Mat Prai terus menegakkan badannya semula.
“Kenapa
Tamar?”
“Biar
dia pergi sendiri. Saya bimbang ini bukan kura-kura betul, agaknya ini
kura-kura jelmaan,” tutur saya lagi.
Dedaun
hutan yang dijadikan atap pondok mula bergerak-gerak, malah ada yang jatuh ke
tanah akibat disentuh angin.
Aneh!
Angin yang bertiup lembut secara mendadak bertukar menjadi keras. Saya terdengar
reranting tua jatuh bertalu-talu ke tanah. Saya dan Mat Prai terdengar bunyi
suara tupai.
Semuanya
mengundang kecemasan dalam diri. Ganjil sekali, bila tupai berbunyi malam.
Dalam rasa serba salah dan takut itu, terdengar suara harimau mengaum. Beberapa
ekor kelawar berterbangan dalam pondok.
Salah
seekor dari kelawar itu jatuh di depan saya dan Mat Prai. Jarak kelawar itu
dengan badan kura-kura kira-kira tiga hasta saja. Bentuk kelawar yang jatuh itu
agak berbeza dengan kelawar-kelawar yang biasa saya lihat.
Bentuk
badannya agak besar, sayapnya juga agak lebar. Bulunya berwarna kekuningan dan
biji matanya tersembul seperti memancar-mancarkan cahaya api.
“Kamu
tengok giginya.”
Saya
segera mengarahkan mata ke arah yang disebutkan oleh Mat Prai. Darah saya
tersirap melihat muncung kelawar yang bentuknya macam muncung babi hutan.
Giginya yang putih dan besar menyeringai ke arah saya.
“Ini
kelawar puntianak jenis penghisap darah, “ kata saya pada Mat Prai.
“Berbahaya,”
jawab Mat Prai cemas, “biar aku bunuh Tamar.”
Sebaik
Mat Prai selesai bersuara, kelawar di depan kami terus berbunyi dengan nyaring.
Kedua belah kepaknya dikembangkan dan terus terbang, berpusing-pusing dalam
pondok kecil. Dan kura-kura terus hulurkan kepalanya, seolah turut menyaksikan
apa yang dilakukan oleh kelawar itu..
KELAM
Dalam
keadaan yang kelam kabut itu, saya lemparkan pandangan ke arah luar pondok.
Malam yang gelap pekat itu membuat saya tidak dapat melihat apa-apa pun. Deru
angin terus mengasak lubang telinga di samping bunyi telapak kaki manusia
memijak reranting dan dedaun kering di setiap sudut pondok.
“Panggil
datuk kamu, Tamar”
Mat
Prai keluarkan cadangan. Saranan itu tidak dapat saya terima. Terlalu awal
rasanya untuk menyampaikan perkara ini pada datuk. Biarlah datuk dan Pak Imam
menyelesaikan urusan mereka. Bila melihat saya tidak memberikan sebarang
reaksi, Mat Prai mengulangi pertanyaannya lagi.
“Tak
payah.” kata saya tegas.
Terbayang
kehampaan di wajah Mat Prai. Tetapi, kehampaan itu segera digantikan oleh rasa
cemas dan terkejut yang amat sangat. Kura-kura ganjil bergerak dan hilang
dengan sekelip mata.
“Dia
datang.”
Mat
Prai arahkan telunjuk kepada kelawar secara mendadak muncul kembali dalam
pondok. Kelawar itu terus berlegar-legar dalam pondok..
Kelawar
itu terus menerkam ke arah pelita minyak tanah ambil mengembangkan sayapnya
lebar-lebar. Bila berada betul-betul di atas muncung api pelita minyak tanah,
kelawar itu terus memukulkan kepaknya ke arah sumbu pelita. Api pelita padam
dengan serta-merta. Saya bertambah menggelabah, badan terus menggeletar.
“Aduh..tolong..”
Suara
Mat Prai meninggi. Saya terus berusaha mencari mancis api. Raba sana, raba
sini, Mancis tak juga ditemui. Mat Prai terus mengerang kesakitan.
“Muka
aku berdarah, Tamar.”
"Kenapa?”
“Dicakar
kelawar, eh kelawar itu cuba gigit batang leher aku. Tolong aku.. ah..” suara
Mat Prai terus berhenti, saya terdengar tubuhnya jatuh ke tanah lalu dituruti
dengan bunyi pergelutan yang hebat di malam yang gelap.
Saya
terus menyeru nama Mat Prai berkali-kali. Sayangnya saya tidak menerima
sebarang jawapan. Apa yang saya dengar ialah tarikan nafas Mat Prai
tercungap-cungap. Saya tidak boleh berdiam diri, mesti bertindak untuk
menyelamatkan Mat Prai. Saya mula meraba-raba ke arah badan Mat Prai. Lain yang
saya raba dan saya cari, lain yang saya dapat. Mancis api sudah berada dalam
tangan saya.
Anak
mancis saya lagakan di badannya. Api pun memancar dan sumbu pelita segera saya
bakar. Kawasan sekitar terang benderang. Anak mata saya melilau mencari tubuh
Mat Prai.
“Ya
Allah.” jerit saya.
Mat
Prai terlentang mukanya berdarah bersama dengan calar-calar. Bajunya habis
koyak-rabak, saya lihat di batang tengkuknya ada benda hitam sebesar telapak
tangan. Saya segera mendekatinya. Tanpa membuang masa saya terus membaca
petikan ayat-ayat Al-Quran untuk menghalau syaitan. Selesai membacanya, saya
seperti memperoleh sebuah kekuatan yang agak luar biasa. Saya tidak takut dan
cemas. Bunyi-bunyi yang menakutkan sekitar pondok terus hilang. Begitu juga
dengan kelawar aneh, tidak kelihatan lagi.
PANGKAL
Perlahan-lahan
saya pangku kepala Mat Prai. Kemudian saya heret tubuh Mat Prai keluar dari
pondok. Saya sandarkan ke pangkal pokok yang tidak saya ketahui jenisnya.
Dedaun kering dan reranting yang bersepah sekitar pangkal pokok saya kumpulkan.
“Kuku
kelawar cukup bisa, semua kulit muka terasa pedih.” Ratap Mat Prai, saya segera
anggukkan kepada. Darah di mukanya saya kesat dengan kain yang saya koyak dari
hujung baju. Dengan diterangi oleh sinar lampu minyak tanah, saya dapat melihat
betapa dalamnya cakaran dari kuku kelawar aneh di muka Mat Prai.
“Tunggu”
Itu yang saya ucapkan padanya.
“Kau
nak ke mana, Tamar? Kau nak panggil datuk kamu?
“Ya”
saya anggukkan kepala. Tanpa membuang masa saya terus membakar longgokan dedaun
kering dan reranting. Dengan sekelip mata, api terus marak.
Seluruh
kawasan di bawah pokok terang benderan, macam siang. Cengkerik dan katak puru
yang berlompatan jelas kelihatan. Mat Prai agak terkejut dengan apa yang saya
buat. Dia terus berdiri sambil memeluk pangkal pokok.
“Kenapa
kau buat semuanya ini, Tamar? Kau nak bunuh aku atau kamu kerasukan syaitan?”
“Bukankah
kita memerlukan datuk? Inilah cara memanggilnya”
“Hiss,
kamu, kenapa tidak kau laungkan saja dari sini?”
“Ada
pesan datuk untuk saya”
“Pesan?”
Mat Prai bertambah terkejut. Dia merasakan yang saya mahu mempermainkan
dirinya.
“Apa
pesan datuk kamu, budak syaitan?” jerit Mat Prai. Kemarahannya sudah tidak
dapat di kawal lagi. Dari gerak-gerinya meyakinkan hati saya yang Mat Prai mahu
melakukan sesuatu terhadap saya. Dia yakin saya sudah kemasukan syaitan.
“Eh,
budak syaitan apa pesan datuk kamu?” dalam keadaan terhuyung-hayang kerana
menahan kesakitan. Mat Prai segera mendekati saya.
“Kata
datuk, jangan laungkan namanya waktu dinihari, lebih-lebih lagi dalam masa
kecemasan, nanti syaitan tumpang menyahut” jelas saya dengan tenang. Mat Prai
tidak jadi melangkah untuk mendekati saya.
Perlahan-lahan
Mat Prai undur lalu bersandar di perdu pokok dengan sepasang matanya tertumpu
ke arah dedaun dan reranting kering yang dimamah api.
Nampaknya
Mat Prai mula yakin yang diri saya tidak dirasuk syaitan. Dengan keadaan
terhuyung-hayang Mat Prai terus mengutip dedaun kering dan reranting lalu
dicampakkannya ke dalam api yang sedang marak.
“Eh!
Kenapa Tamar?”
Darah
saya tersirap. Bahu kanan saya dipaut dari arah belakang. Reranting kayu dalam
genggaman saya segera terlepas. Jatuh berserakan di hujung kaki.
Angin
malam terus bertiup, bersama bunyi cengkerik dan jeritan burung hantu yang
memanjang. Lolongan anjing yang sayu dan memanjang menegakkan bulu tengkuk.
“Eh,
kenapa Tamar?”
Ulang
datuk untuk kedua kalinya sambil menatap wajah saya yang berada dalam keadaan
terkejut. Tidak dapat saya pastikan dari arah mana datuk muncul.
Walau
bagaimanapun, kedatangannya amat menggembirakan hati saya dan Mat Prai. Segera
saya mendekati datuk untuk menerangkan keadaan sebenar. Belum pun sempat saya
melakukan sesuatu, Mat Prai terus memeluk datuk.
“Kenapa
dengan muka kamu?” tanya datuk lalu memimpin Mat Prai ke kawasan yang agak
samar-samar. Datuk terus dudukkan Mat Prai di situ. Datuk kesat kesan darah di
muka Mat Prai dengan sehelai daun lebar yang dipetik dari sebatang pokok di
sebelah kanan tempat datuk duduk bertinggung.
“Muka
saya dicakar kelawar besar, Ayah Alang” nada suara Mat Prai yang keras dan
meninggi itu membayangkan dirinya memiliki semangat baru, akibat kehadiran
datuk di sisinya. Datuk terus menatap dengan teliti cakar-cakar di muka Mat
Prai.
“Kukunya
tak berapa dalam terbenam dalam daging muka kamu. Bisanya juga tak seberapa”
tutur datuk lagi sambil menekankan hujung jari kelengkeng ke pipi Mat Prai.
Setiap
kali hujung jari datuk ditekan, kedua belah kelopak mata Mat Prai kelihatan
mengecil menahan rasa sakit. Anehnya! Mat Prai tidak memperlihatkan sebarang
tindak balas terhadap perbuatan datuk itu, meskipun, perbuatan datuk itu
mendatangkan rasa sakit pada dirinya.
Agaknya,
kelawar yang menyerang saya itu, kelawar jadian yang sudah dipuja” sambil
menarah rasa sakit, Mat Prai bersuara tersangkut-sangkut. Datuk tidak
memberikan sebarang jawapan. Jari telunjuk datuk terus berlari atas permukaan
kulit muka Mat Prai.
“Kita
hanya berusaha dan berdoa, untuk menyembuhkannya adalah milik Allah yang Maha
Pengasih dan Penyayang” kata datuk tenang. Dia berhenti menyentuh kulit pipi
Mat Prai dengan hujung jari telunjuknya.
TIUP
Angin
malam terus bertiup, lolongan anjing liar di kali bukit bersama nyanyian burung
hantu, bertalu-talu memukul gegendang telinga. Di celah-celah suara anjing dan
burung hantu itu masih saya dapat dengar suara Pak Imam membaca surah Yasin.
"Taruhkan
lagi daun dan ranting kering dalam api tu” datuk mengeluarkan arahan. Cakapnya
segera dipatuhi. Api terus marak, kawasan sekitar terus terang benderang.
Dengan
pertolongan cahaya api, datuk terus memilih pepucuk daun yang hijau. Jumlahnya
lebih kurang dua puluh helai. Pepucuk itu dijadikan empat longgok dan setiap
longgok mengandungi lima helai. Longgokan itu diletakkan sederet di depannya
sambil duduk bertinggung datuk terus menepuk kedua belah tapak tangannya tiga
kali berturut-turut. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak semacam membaca sesuatu.
Mat Prai seperti menerima arahan tertentu terus duduk berdepan dengan datuk.
“Di
depan kamu ada lima longgok pucuk daun yang baru aku petik. Sekarang, kamu
pejamkan kedua belah mata. Kemudian kamu pegang salah satu longgok daun tu dan
serahkan kepada aku, faham tak apa yang aku cakapkan?” tutur datuk kepada Mat
Prai.
“Faham”
sahut Mat Prai sambil merenung ke arah saya yang telah mencampakkan dedaun dan
reranting kering ke dalam api yang kian membesar.
Muka
saya mula terasa panas akibat terkena bahang dari api yang saya nyalakan. Di
malam yang dingin itu badan saya mula diruapi peluh-peluh halus, tetapi, tangan
tidak berhenti melontarkan ranting kering ke dalam api. Bara api yang terkena
ranting terus mengeluarkan percikan bunga api, naik ke udara.
“Mulakan
sekarang” kata datuk.
“Sekarang?”
Mat Prai seperti terkejut. Dia memang tidak menduga secepat itu datuk menyuruh
dia melakukan tugas tersebut.
Bila
melihat Mat Prai agak keberatan dan ragu-ragu untuk mematuhi perintahnya, datuk
terus bersuara dengan lantang dan garang.
“Pejamkan
mata, buat apa yang aku suruh!”
“Baiklah
Ayah Alang. Tapi saya takut ada sesuatu yang buruk terjadi”
“Tak
apa, buatlah apa yang aku suruh,” nada suara datuk cukup lembut. Matanya penuh
simpati merenung ke arah muka Mat Prai. Mungkin untuk memberikan semangat
(pemulih) datuk terus meraba cuping telinga Mat Prai tiga kali berturut-turut.
Hasilnya, Mat Prai kelihatan lebih agresif dan berani. Mukanya nampak merah.
“Saya
mulakan sekarang Ayah Alang”
“Silakan
Mat Prai”
Mat
Prai terus duduk bersila. Kedua belah kelopak matanya dicantumkannya. Sepasang
bibir bergerak mengucapkan Bismillah.. Tangan kanannya bergerak dan akhirnya menyentuh
longgokkan pepucuk daun yang terletak dilonggokkan ketiga di sebelah kiri.
Diserahkannya
pada datuk. Datuk hanya mengambil sehelai sahaja untuk diletakkan atas kepala
lutut kanan. Selebihnya datuk letak di bawah paha kiri.
“Saya
boleh buka mata sekarang Ayah Alang?”
“Tak
boleh kecuali bila aku suruh”
“Saya
tak sanggup Ayah Alang,” kata Mat Prai tersekat-sekat.
“Macam-macam
yang saya lihat dalam mat ni, semuanya menakutkan,” sambung Mat Prai. Kedua
belah tangannya merewang ke kiri dan ke kanan. Dahinya terus berkedut, kedua
belah bulu keningnya hampir bertemu, membayangkan rasa takut dan cemas melihat
sesuatu yang amat menakutkan.
“Sekarang
di depan kamu ada empat longgok lagi. Aku mahu kamu ambil satu persatu dan
serahkan pada aku, macam kamu buat tadi,” datuk mengingatkan Mat Prai.
“Baik
Ayah Alang.”
Mat
Prai terus mencakup longgokan itu satu persatu. Diserahkan kepada datuk. Macam
tadi juga, datuk hanya mengambil sehelai saja. Manakala bakinya datuk letakkan
di bawah peha.
Bila
sudah cukup lima helai pucuk daun hutan berada di atas kepala lutut datuk, dia
segera membongkokkan badannya untuk mengambil pucuk dedaun hutan itu dengan
mulut.
SABAR
Dengan
sabar Mat Prai menanti arahan dari datuk untuk membuka kelopak matanya,dan saya
lihat tidak ambil kisah dengan Mat Prai yang tertonggok di depannya.
Dia
seolah-olah menganggap Mat Prai bagaikan tidak wujud di depannya. Pucuk daun
berubah tempat, dari atas kepala lutut ke telapak tangan datuk. Pucuk-pucuk
daun itu datuk ramas hingga mengeluarkan air kental yang berwarna
kehijau-hijauan dan berlendir. Air disapukan oleh datuk ke muka Mat Prai.
Hampas
dari pepucuk yang diramas itu ditampalkan ke kulit muka Mat Prai. Tidak memadai
dengan itu, datuk terus melekapkan daun yang disimpan di bawah paha kiri ke
muka Mat Prai.
“Sekarang
buka mata kamu.”
Mat
Prai membuka matanya. Saya ketawa kecil melihat wajah Mat Prai yang melucukan
dibalut oleh dedaun hutan. Cuma biji matanya saja yang bergerak. Tidak
keterlaluan kalau saya katakan yang muka Mat Prai tidak ubah macam muka orang
pada zaman primitif.
“Kamu
jangan gerakkan kulit muka, duduk diam di situ selama sepuluh minit. Mata kamu
renung ke langit,” kata datuk sambil bangun. Mat Prai resah sendirian dan saya
tidak pernah lupa dengan tugas mencampakkan reranting kering ke dalam api.
Datuk mundar-mandir, di depan api dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh.
“Macam
mana kalau kelawar tu datang menyerang saya. Ayah Alang tak benarkan saya
bergerak,” Mat Prai memprotes.
Datuk
segera memalingkan muka ke arah Mat Prai. Dia seperti terkejut dengan
pertanyaan yang dikemukakan oleh Mat Prai itu. Kata-kata itu seolah-olah
membayangkan keraguan Mat Prai terhadap keupayaan datuk mengatasi masalah yang
dihadapi.
“Tak
apa Mat Prai, aku ada di sini,” balas datuk.
“Saya
yakin kalu kelawar tu datang Ayah Alang tak boleh buat apa-apa, kelawar tu
kelawar jadi-jadian,” sanggah Mat Prai. Datuk menarik nafas panjang. Bersama
sebuah senyuman dia menjatuhkan sepasang tangannya lurus ke bawah.
“Oooppp...”
Datuk
melompat sambil membuka buah silat dengan kedua belah tulang sikunya menghala
ke arah sepasang biji mata sebesar buah pinang dara. Pokok-pokok renek di
depannya bergerak seperti dirempuh sesuatu.
“Harimau,”
kata saya cemas.
Seekor
harimau sebesar lembu jantan yang cukup dewasa berada di depan datuk. Harimau
itu tidak mengaum tetapi, membuka mulutnya perlahan memperlihatkan dua batang
siung yang putih dan besar. Bahagian dagu harimau bergerak-gerak.
Harimau
yang tidak di undang itu merendahkan badannya dengan sepasang kakinya
dilunjurkan ke depan sementara kedudukan kaki belakangnya tidak berubah. Saya
kira harimau itu mahu melakukan satu lompatan yang kencang untuk menerkam ke
arah batang tengkuk datuk. Andainya datuk tidak dapat mengelakkan terkaman
pertama sudah pasti leher datuk patah. Di saat itu saya memikirkan hal itu,
harimau besar terus melakukan satu lompatan.
Datuk
mengelak ke kiri, harimau terus menerkam. Elak ke kanan harimau menerpa tanpa
tangguh-tangguh. Datuk dan harimau terus bersilat. Tamparan harimau dapat datuk
elakkan dengan berguling di tanah. Datuk menggolekkan tubuhnya ke arah api yang
marak. Bagaikan kilat datuk menyambar ranting yang dimakan api. Datuk segera
bangun, harimau terus melompat melepasi kepala datuk.
Ketika
harimau berada di udara dan bahagian perutnya betul-betul berada di atas kepala
datuk, tanpa membuang masa datuk terus melakukan tindakan mengejut. Dia terus
bertinggung sambil meletakkan ranting kayu terbakar atas bumi.
“Uhhh...”
Pekik
datuk lalu mencapai ranting kayu. Secepat kilat ranting terbakar itu dijolokkan
ke bahagian perut harimau. Harimau terus mengaum dengan nyaring dan jatuh ke
rimbunan pokok-pokok renek dan akhirnya terus hilang. Ghaib entah ke mana.
Datuk
terus bangun sambil menepis dedaun kering yang melekat pada bajunya. Dia renung
saya dengan senyuman kepuasan.
“Harimau
sesat nak cari durian,” katanya dengan tenang melangkah mendekati Mat Prai yang
kelihatan kaku. Pada hemat saya, mungkin Mat Prai terkejut melihat kemampuan
datuk bersilat dengan harimau yang tidak di undang. Datuk terus menepuk bahu
kanan Mat Prai dua tiga kali. Mat Prai gerakkan tubuhnya lambat-lambat.
“Bangun.”
Dia
segera bangun, patuh dengan perintah datuk. Mat Prai toleh kiri dan kanan. Kebimbangan
berkocak dalam dadanya.
“Kau
bongkokkan badan macam orang rukuk sembahyang,” datang lagi arahan dari datuk.
Macam tadi, Mat Prai tetap mematuhi apa saja cakap datuk.
No comments:
Post a Comment