Saya
dan datuk terpaksa mengubah haluan jalan. Kami terus ke kawasan kebun getah.
Keadaannya cukup bersih tidak sesemak dusun durian Mat Prai. Di celah-celah
nirai getah itu di tanam dengan pokok koko yang tingginya baru separas lutut
orang tua. Melihat keadaan kebun getah tersebut, saya yakin pemiliknya adalah
seorang yang cukup rajin.
"Bila
tengok pokok-pokok getah ni, teringat pula aku dengan kebun getah kita,"
datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala.
"Hati-hati
Tamar, ular kapak bodoh suka duduk di bawah daun kering," datuk
mengingatkan saya yang melangkah tanpa mahu merenung ke arah permukaan bumi.
"Macam
mana rupanya ular kapak bodoh tu tuk?".
"Warnanya
macam daun getah kering, dia selalu duduk berlingkar di bawah timbunan daun
getah, tersepak atau terpijak dia terus mematuk."
"Bisakah
patukannya tuk?".
"Boleh
membawa maut, kalau tak maut boleh jadi tokak," jelas datuk sambil melihat
pucuk-pucuk koko yang menghijau dan melintuk-liuk disentuh angin. Kami terus
melangkah sambil menikmati nyanyian burung-burung pagi di reranting getah.
"Aku
sudah memberikan kamu petua berjalan di tempat-tempat semacam ini. Aku juga
sudah memberikan doa bila berjumpa dengan binatang berbisa. Kenapa tidak kau
amalkan," mendadak sahaja datuk bersuara. Saya tahu, dari nada suaranya
itu ternyata ada rasa kesal bermain dalam diri datuk.
"Kadang-kadang
saya jadi lupa."
"Bukan
lupa, kamu tak bertanggungjawab, tidak tahu memanfaatkan benda berharga yang
diberikan kepada kamu," kali ini suara datuk cukup tinggi. Saya jeling
wajahnya. Dari air mukanya ternyata dia sedang marah. Saya terus membisu.
"Jangan
melangkah Tamar, diam di situ jangan bergerak, kalau bergerak mati," kata
datuk separuh menjerit. Saya patuh dengan cakapnya. Badan saya mengeletar,
seekor ular melintas di depan saya. Bila ular tedung hilang dari pandangan
barulah saya melangkah kembali. Datuk berhenti dekat sebatang pokok getah di
bucu nirai. Datuk membelek-belek kulit pohon getah itu dengan teliti.
"Nampaknya
pokok-pokok getah ini masih muda, kulitnya lembut. Setahun dua lagi baru boleh
ditoreh," datuk memberikan komentar.
"Saya
rasa pun macam tu juga. Umurnya tak jauh beza dengan pokok getah kita."
"Ya,"
datuk menggangguk.
Kami
meneruskan perjalanan dan saya berharap datuk tidak akan melencong ke
mana-mana. Saya mahu segera sampai ke pondok.
Sambil
melangkah saya membayangkan yang Mat Prai sedang membuat kopi untuk kami. Saya
juga membayangkan yang isterinya menghantar nasi lemak atau kuih ke pondok
untuk habuan perut saya. Saya tersenyum sendirian, bila saya gambarkan dalam
kepala yang kami bertiga sedang menikmati sarapan pagi dengan wajah yang
tenang.
"Oooppp..."
Datuk
melompat tinggi melepasi kepala saya. Bila berdiri tegak saya lihat tangan
kanannya ada dahan getah. Datuk mencampakkan dahan itu ke pangkal pokok getah.
"Nasib
baik aku terdengar bunyinya masa dahan itu masih ada di atas. Aku melompat
menyambarnya, kalau aku lambat dah tentu dahan patah menimpa tengkuk kamu.
Tengkuk kamu boleh patah Tamar," datuk melepaskan nafas tercungap-cungap,
mukanya nampak merah padam.
"Terima
kasih tuk."
"Aku
tak mahu semuanya tu, Tamar. Apa yang aku mahu, kamu mesti pandai mendengar
sesuatu dari setiap arah. Tidak kira sama ada sesuatu itu digerakkan angin, air
dan manusia.
"Macam
mana caranya tuk."
"Sekarang
ini, kamu mempelajarinya dari aku secara tidak langsung."
"Sulit,"
saya mengeluh.
Memang
sulit untuk mempelajari sesuatu tanpa diberitahu terlebih dulu. Lebih-lebih
lagi, jika tidak ada persediaan yang secukupnya. Bagaimana mahu saya katakan
perkara ini pada datuk.
"Tidak
sulit, kalau kamu mahu berusaha. Manfaatkan mata, hidung, telinga, otak dengan
sebaik mungkin," cetus datuk.
"Berapa
lama saya mesti berbuat macam tu?"
"Selagi
aku masih ada," datuk tersenyum sambil meraba pangkal dagunya
berkali-kali. Entah macam mana, saya mula dapat mengesan langkah datuk yang
rancak beransur perlahan. Macam ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Saya
amati, gerak mata datuk sentiasa tertumpu ke arah dedaun yang bergerak
mengikuti arah angin.
"Assalamualaikum."
Seorang
lelaki muncul dari balik pohon getah. Bentuk tubuhnya tegap dengan rambut
panjang hingga jatuh atas sayap bahunya. Dahinya dililit dengan kain merah
selebar dua jari. Ketika saya asyik merenung ke arah lelaki itu, lelaki itu
enggan menyambutnya. Datuk masih memperlihatkan sikap kemesraan. Dengan langkah
yang teratur, lelaki itu menghampiri datuk.
"Kamu
berdua ni dari mana?"
Dalam
nada suara yang sombong lelaki itu mengajukan pertanyaan. Hati saya berdebar,
ketika lelaki itu memusingkan tubuhnya ke kanan, saya terlihat ada benda
menonjol dalam baju labuhnya yang dibuat mengikut fesyen baju orang Pakistan.
Mungkin benda menonjol itu golok atau parang? Mungkin pistol dan mungkin, benda
tajam yang mengancam keselamatan kami.
"Kami
sampai malam tadi, kami bermalam di pondok Mat Prai," jelas datuk.
"Kamu
berdua, adik-beradiknya."
"Ya,"
anguk datuk.
"Adik-beradik
rapat atau jauh."
"Rapat,"
jawab datuk dalam nada suara yang kurang senang.
"Berapa
lama berada di sini?" soal lelaki itu lagi.
"Selama
mana, kami sanggup."
"Hisss..."
Lelaki
itu mula menatap wajah datuk. Dia merasakan jawapan yang datuk berikan adalah
sindiran yang tajam. Tindak balas yang dilakukan oleh lelaki itu pada datuk
ialah menjuihkan bibirnya sambil meludah ke kanan.
"Kurang
ajar." bisik saya dalam hati.
"Kamu
maki aku," lelaki itu segera menjegilkan biji matanya ke arah saya. Serta
merta saya gelengkan kepala. "Eh, budak setengah masak, kau jangan nak
menipu."
"Tipu?"
saya pura-pura terkejut, "Saya tak cakap apa-apa dengan awak," saya
makin berani.
"Dengan
aku, kamu jangan nak tipu. Apa yang ada dalam hati kamu dapat aku baca,"
lelaki itu semakin berani, mulutnya kian lancang mengutuk diri saya. Dia buat
tidak kisah dengan datuk yang berdiri dekat saya.
HARAPAN
Saya
terus merenung ke arah datuk dengan harapan datuk dapat melindungi dari saya,
jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.
"Kalau
nak tunjuk lagak ayam jantan, jangan masuk kampung orang ikut suka hati,"
lelaki itu menghalakan kata-kata itu ke arah datuk. Dia mula menendang apa
sahaja yang ada dekatnya. Lagaknya memang mahu mencari gaduh. Datuk tidak ambil
peduli dengan sikap lelaki itu. Datuk tetap memperlihatkan sikap persahabatan.
"Kami
tak mahu mencari musuh, biarlah kami pergi," datuk menundukkan kepalanya
dan terus melangkah. Lelaki itu tidak puas hati dengan sikap datuk.
"Ah..."
terdengar suara lelaki itu meninggi. Dia lari mengelilingi pokok getah dan
berhenti di depan datuk. Belum pun sempat datuk mengucapkan sesuatu, lelaki tu
mengeluarkan golok pendek dari dalam bajunya.
"Saya
tak mahu gaduh," rayu datuk sambil menyuruh saya mencari tempat
berlindung. Belum pun sempat saya mencari tempat yang selamat, lelaki itu terus
menyerang datuk bertalu-talu dengan goloknya.
Datuk
lebih banyak mengelak dari melakukan serangan. Dia tidak melepaskan buah silat
yang kemas dan tajam. Ini berlainan dengan lelaki itu yang kelihatan
bersungguh-sungguh mahu membunuh datuk.
"Sudahlah
saudara, saya tak mahu bergaduh, kita tidak pernah bermusuh, kenapa mesti
berkelahi," dalam keadaan termengah-mengah datuk bersuara. Semuanya tidak
dipedulikan oleh lelaki itu. Dia terus menyerang dan melepaskan tetakan ke arah
datuk. Dalam satu tetakan yang kencang, datuk berjaya mengelak, mata golok
terkena akar getah dan terus terlekat di situ.
Kesempatan
itu datuk gunakan untuk melarikan diri. Saya terus mengekori datuk berlari
dengan kencang. Masa berlari itu saya gunakan telinga untuk mendengar sesuatu
dari arah depan dan belakang. Saya terdengar bunyi dengung yang panjang memburu
langkah saya. Dengan cepat saya menoleh ke belakang, saya lihat seketul kayu
betul-betul dekat batang leher saya.
"Appp."
Serentak
dengan suara itu saya rebahkan badan dan ketuk kayu itu hingga terkandas di
pohon getah lalu patah dua. Rupanya, lelaki itu menggunakan semua kekuatannya
membalingkan ketul kayu itu ke arah saya.
Bila
saya bangun, datuk ketawa kecil. Ternyata datuk lebih cekap dari saya, dia
lebih awal dapat mengesan bunyi itu dan tahu apa yang mesti dilakukan. Dia
segera berlindung di balik pokok tempat kayu yang dibalingkan oleh lelaki itu
terkandas.
"Lelaki
itu tak memburu kita, kita tak perlu lari lagi," ujar datuk.
"Siapa
lelaki itu tuk?"
"Entah,
agaknya orang gila. Usah pedulikan tentang dirinya."
"Boleh
jadi orang gila, boleh jadi hantu," saya terus merungut panjang. Datuk
tidak memberikan sebarang pendapat terhadap komentar yang saya luahkan. Datuk
terus berjalan dengan laju.
"Kenapa
lambat?"
Dari
kaki tangga pondok Mat Prai mengajukan pertanyaan. Dia menatang talam kecil.
Manakala di atas pondok, isterinya duduk berjuntai kaki. Dua orang anaknya
membaling biji dan kulit durian ke mana sahaja, sesuka hati mereka.
"Seronok
mandi embun," jawab datuk. Mat Prai ketawa lalu meletakkan talam kecil
atas pelantar. Dia terus duduk bersila di situ.
"Mari
minum," ajak Mat Prai, dia terus tuangkan air kopi ke dalam cawan,
"Sekarang dah dekat pukul lapan, sepatutnya kita minum pagi pukul tujuh
lebih," sambung Mat Prai. Datuk hanya tersenyum dan terus duduk di
pelantar. Isteri Mat Prai turun dari pondok, membuka bungkusan kuih dan
diletakkan dalam piring.
"Dah
sejuk goreng pisang ni," rungutnya.
"Tak
mengapa asalkan barang-barang tersebut boleh dimakan. Kita ini terjumlah
orang-orang yang bernasib baik kerana dapat makan pagi," ujar datuk dengan
tenang.
"Ya,"
angguk Mat Prai. Dia terus meghirup air kopi.
"Kamu
Tamar, ambillah. Apa main tengok-tengok aje," isteri Mat Prai ajukan
pertanyaan. Dia segera menghulurkan cawan kopi segera saya sambut.
"Cepatnya
berhenti, kenapa tak makan pisang goreng," Mat Prai renung muka datuk.
"Memang
menjadi kebiasaan saya, sebelah pagi minum kopi saja," datuk menolak
piring goreng pisang yang dihulurkan oleh Mat Prai kepadanya.
"Ada
pantang larang agaknya," soal isteri Mat Prai.
"Tak
ada pantang larang, agaknya ini sudah menjadi kebiasaan saya," jelas datuk
dan segera bangun. Datuk segera pergi menemui kedua-dua anak Mat Prai
dibelakang pondok.
Entah
apa yang dicakapkan oleh datuk kepada kedua kanak-kanak itu hingga mereka
berhenti melemparkan biji dan kulit durian ke arah semak-semak dekat pondok.
Saya, Mat Prai dan isterinya terus memerhatikan gelagat datuk melayani kedua
kanak-kanak itu.
"Apa
yang dibualnya tu," isteri Mat Prai juihkan bibir ke arah datuk.
"Entah,"
balas saya.
"Agaknya
datuk kamu ni memang sukakan kanak-kanak," tanya Mat Prai sambil
mengeliat. Matanya tetap merauti wajah saya.
"Dia
memang suka dengan budak-budak kecil, dia suka menasihati budak-budak sambil
bercerita kisah binatang," jawab saya penuh jujur. Mat Prai dan isterinya
terus anggukkan kepala.
Bila
isteri Mat Prai melihat datuk memisahkan diri dengan anak-anaknya, dia segera
tersenyum. Dengan suara yang lantang dia menyebut nama kedua-dua anaknya.
Bagaikan dikejar sesuatu kedua kanak-kanak itu menerpa kearahnya.
"Kenapa
emak?"
"Tak
ada apa-apa, emak cuma nak tanya apa yang datuk tu cerita pada kamu
berdua."
"Macam-macam,
datuk tu pesan dalam dunia ni, kita mesti buat baik dengan manusia dan
binatang."
"Bagus,
kamu berdua mesti ingat pesannya, sudah, mari kita balik ke rumah," tambah
perempuan dua anak yang tidak pernah membantah sebarang perintah dari suaminya.
"Sekarang
juga mak?" tanya salah seorang dari anaknya.
"Ya,
kamu ingat bila?" isteri Mat Prai jegilkan biji mata ke arah anak yang
bertanya. Si anak tidak berani bertanya lagi, apa lagi menentang mata si ibu.
Mereka hanya menurut perintah sahaja.
"Semoga
anak-anak kamu akan jadi manusia, Mat," ujar datuk ketika melihat
kedua-dua anak Mat Prai melangkah meninggalkan kawasan pondok durian. Mereka
berlari kecil di kiri dan kanan denai.
"Berilah
didikan agama secukupnya dan jangan pula kau didik mereka menbenci dunia,"
sambung datuk.
"Ya,
saya ingat pesan Ayah Alang tu."
"Sekadar
ingat saja, tak memberi kesan tetapi, aku mahu kau melaksanakannya. Anak-anak
harus dibentuk ketika rebung."
"Saya
setuju dengan Ayah Alang dalam hal ini, saya mahu memimpin mereka supaya
menjadi manusia berguna pada bangsa, agama dan tanah air," itu azam yang
diluahkan oleh Mat Prai yang disambut dengan rasa bangga oleh datuk. Saya
segera menegakkan ibu jari kanan bila Mat Prai segera beralih tempat duduk.
Dari pelantar ke atas bangku yang dibuat dari kayu bulat di bawah pokok
rendang. Datuk juga turut berubah tempat tetapi, saya masih bertahan di pelantar.
Membiarkan peluh-peluh yang meruap di dahi mengalir ke pipi. Tidak lama datuk
duduk di kayu bulat kerana Mat Prai mengajak datuk melihat buah durian yang
dikumpulnya.
"Ayah
Alang dengan Tamar pergi mandi embun, saya pula kumpulkan wang, cuba
tengok," suara Mat Prai lantang.
"Banyak
juga jumlahnya," kata datuk
"Boleh
tahan juga," jawab Mat Prai lemah.
"Kau
nak jual pada peraih."
"Ya
tapi bukan semua, enam tujuh biji saya nak buat nasi durian. Kita tunggu sampai
peraih datang, kemudian kita ke rumah," Mat Prai mengemukakan permintaan
dan datuk tidak keberatan memenuhi permintaan itu.
"Tapi,
bila kita balik, siapa pula nak kutip durian yang jatuh," secara mendadak
datuk mengajukan pertanyaan.
"Budak
yang balik malam tadi ambil alih tugas saya," dalam senyum Mat Prai
menjawab. Datuk anggukkan kepala.
BANDARAYA
Lebih
kurang pukul sepuluh setengah pagi, peraih dari bandaraya George Town pun
sampai ke pondok Mat Prai dengan sebuah lori kecil tanpa bumbung. Peraih
berbangsa Cina itu cukup fasih bercakap bahasa Malaysia loghat Pulu Pinang.
Orangnya cukup peramah. Setelah membeli durian Mat Prai dia segera pergi ke
dusun durian orang lain pula.
Tepat
pukul sebelas pagi, kami pun meninggalkan pondok durian Mat Prai. Sebaik sahaja
sampai dekat rumpun buluh kuning, kami terserempak dengan dua pemuda yang
diupah oleh Mat Prai menjaga dusun duriannya. Badan mereka basah dengan peluh.
Masing-masing membawa buluh kuning yang panjangnya kira-kira enam kaki. Bahagian
hujung buluh dipecahkan. Kenapa mereka berbuat demikian, saya sendiri tidak
tahu, ulu golok yang tersangkut di tali pinggang dari kulit kerbau nampak
terbuai-buai.
"Apa
macam malam tadi bang? tak ada apa-apa yang datang," tanya salah seorang
dari mereka. Mat Prai segera merenung ke arah datuk. Kamudian dia bersuara.
"Susah
nak cakap."
"Kenapa
bang?" soal pemuda yang lagi satu.
"Hum,"
Mat Prai mengeluh, "Dinding perigi kita dah hangus terbakar," tambah
Mat Prai lagi. Kedua-dua pemuda itu berpandangan sama sendiri.
"Siapa
yang membakarnya bang?" desak kedua-dua pemuda serentak. Mat Prai cuma
tersenyum. Dia menyuruh saya dan datuk meneruskan perjalanan. Kedua-dua pemuda
tadi meneruskan langkah ke pondok durian.
"Heeiii."
Kami
bertiga berhenti melangkah. Di depan kami terpancul seorang lelaki berbadan
tegap memakai lilit kepala dari kain batik. Memakai seluar hitam dan berkasut
capal. Kain pelikat berkotak kecil terselipang dari atas bahu ke dada. Dia
menghunus keris panjang ke arah kami. Muka Mat Prai kelihatan pucat.
Saya
alihkan pandangan ke arah datuk, serentak dengan itu saya kenyitkan mata ke
arahnya. Datuk segera anggukkan kepala tanda faham dengan maksud hati saya,
bahawa lelaki yang berdiri di depan tu adalah lelaki yang menyerang saya dan
datuk di kebun getah, beberapa jam tadi. Apakah dia akan membunuh saya dan
datuk? timbul pertanyaan dalam hati.
"Adik
beradik kamu?"
Dengan
wajah yang garang lelaki itu jegilkan biji mata ke arah Mat Prai. Tidak ada
jawapan yang diberikan oleh Mat Prai.
"Adik
beradik kamu?" jerit lelaki itu.
"Ya,"
sahut Mat Prai.
"Beritahu
dia jangan nak intip tempat duduk aku. Kalau dibuat lagi sekali, kedua-duanya
aku bakar hidup-hidup," sambil bercakap lelaki itu menghalakan hujung
keris ke arah saya dan datuk. Rambut panjangnya sengaja dijatuhkan ke atas
kedua belah bahunya. Dua tiga kali dia mengacukan penumbuk kiri ke arah saya.
Apa yang boleh saya lakukan ialah tunduk berlagak macam orang bodoh.
"Eh,
orang sekampung, beritahu adik-beradik kamu," untuk sekian kalinya lelaki
itu mengherdik Mat Prai.
"Saya
bagi pihak kaum keluarga saya minta maaf," ujar Mat Prai.
"Hum,
ingat pesan aku, kalau dilanggar dusun dan tanah kamu jadi padang jarak,"
dengan nada suara yang meninggi lelaki itu mengeluarkan ancaman. Gerak gerinya
bagai pahlawan.
"Saya
ingat," kata Mat Prai.
"Hum."
Lelaki
itu masukkan keris panjang ke sarung lalu diselitkan ke pinggang. Kemudian dia
terus bertepuk tangan dengan sekuat hati. Bunyi tepukannya itu macam bunyi
petir. Lubang telinga saya terasa bengang.
"Haiii..."
Dia
menjerit sekuat hati sambil membuka silat macam silat Kungfu.
No comments:
Post a Comment