Semua
yang terjadi di depan mata mengudang kecemasan dan ketakutan. Saya tidak berani
bergerak dan berkata-kata.
Aneh
sungguh, Haji Taslim Singasari tidak gentar dan cemas atas kehadiran kucing
hitam dan harimau kumbang. Baginya, seolah-olah perkara itu tidak wujud di
depan matanya.
Haji
Taslim Singasari mengambil beberapa naskah Yasin dari atas rak di luar bilik.
Masa Haji Taslim berada di luar bilik, saya seakan-akan terpandangkan Suhaimi
Keraba mengangkat kepalanya perlahan-lahan.
Dan
kini, saya dapat memastikan yang lapik kepalanya bukanlah bantal. Tetapi,
batang pisang yang dibentuk seperti sebiji bantal.
"Eh,
kepala..."
Belum
pun sempat saya menamatkan kata, telapak tangan datuk terus menekup mulut saya.
Kerana dicengkam begitu kuat, kedua belah rahang saya terasa sakit.
"Jangan
tegur, baca saja Surah An-Nas seberapa banyak yang boleh," Pak Imam
membisikkan ke telinga saya. Bila saya anggukkan kepala barulah datuk berhenti
mencekup mulut saya.
Saya
patuh dengan nasihat Pak Imam. Sambil membaca Surah An-Nas, mata saya terus
tertumpu ke bahagian kepala Suhaimi Keraba yang bertukar bentuk menjadi macam
kepala monyet.
Proses
pertukaran itu berlaku secara sedikit demi sedikit yang dimulai dari dagu,
telinga dan akhir sekali di bahagian kening.
"Huuaaahhhh."
Terdengar
suara dari Suhaimi Keraba, macam mawas (kingkong) jantan. Menderam panjang.
Dalam sekelip mata, kepala monyet bertukar menjadi kepala harimau belang. Terus
mengaum, menggegarkan rumah. Datuk dan Pak Imam bagaikan tidak peduli dengan
apa yang terjadi di depan mereka.
"Mari
kita baca bersama, setakat mana yang dapat," Haji Taslim Singasari berdiri
di kiri saya. Dia hulurkan Surah Yasin pada saya, pada datuk dan Pak Imam. Haji
Taslim Singasari terus duduk di sebelah saya. Pada saat itu juga saya terdengar
jeritan binatang liar dalam bilik kecil. Saya yakin, suaru jeritan itu hanya
saya seorang saja yang mendengarnya.
"Pak
Imam kita jadi ketua, kita mengikutnya," Haji Taslim Singasari memberikan
pendapat. Datuk anggukkan kepala. Saya tidak memberikan sebarang komen.
Bersedia mengikut langkah dan rentak yang bakal mereka lakukan.
"Boleh
kita mulakan sekarang," Pak Imam menyatakan kesediannya beberapa saat
kemudian, kamar kecil itu mula dikuasai oleh suara orang membaca Surah Yasin.
Dalam masa saya hendak membaca Surah Yasin, saya tidak dapat melihat
perkembangan atas perubahan selanjutnya terhadap diri Suhaimi Keraba. Saya
tidak tahu apakah kepalanya masih dalam bentuk kepala harimau.
Pembacaan
Surah Yasin sering terganggu oleh beberapa ekor ular sebesar batang kelapa.
Warnanya hitam, bergerak depan kami, lidahnya yang bercabang bagaikan mahu
menyentuh tubuh Suhaimi Keraba.
Kerana
datuk, Pak Imam dan Haji Taslim Singasari buat tidak kisah, saya jadi berani
dan terus bersikap macam mereka. Selain dari ular besar, binatang berbisa yang
lain juga turut menjelma seperti kala jengking, lipan, lebah dan tebuan.
Pembacaan
Yasin yang pertama selesai. Waktu mahu melakukan pembacaan yang kedua, Suhaimi
Keraba terus menjerit, menendang ke kiri dan ke kanan. Semuanya itu tidak
menghalang pembacaan kami. Bila pembacaan Surah Yasin untuk kali yang ketujuh
berakhir. Semua binatang buas yang berkeliaran hilang. Suhaimi Keraba
tercungap-cungap.
Buah
halkumnya nampak bergerak lemah dan dadanya yang hitam kelihatan
berombak-ombak.
"Ajarlah
dia mengucap, Taslim," Pak Imam menganjurkan pada Haji Taslim Singasari.
Dan orang tua yang berbadan tegap itu segera merapati Suhaimi Keraba.
Dia
mendekatkan bibirnya ke cuping telinga Suhaimi Keraba yang hitam. Datuk
gelengkan kepala, bila Suhaimi Keraba berusaha dengan sedaya upaya memalingkan
mukanya yang hitam (tidak tentu bentuknya) itu ke arah lain. Dia seolah-olah
tidak mahu mendengar dengan apa yang dibisikkan oleh Haji Taslim Singasari
kepadanya.
"Cubalah,"
kata datuk menguatkan semangat Haji Taslim Singasari yang mula kecewa.
"Ya
cubalah, kita usaha," tokok Pak Imam pula dan Haji Taslim Singasari
anggukkan kepala.
"Haaaaa..."
Bagaikan
ada kekuatan luar biasa hadir dalam diri Suhaimi Keraba. Dia terus duduk dan
tangan kanannya menolak tubuh Haji Taslim Singasari, orang tua berbadan tegap
itu jatuh tertenggung. Seluruh muka Suhaimi Keraba terarah ke wajah datuk.
Secara
mendadak, Suhaimi Keraba rebahkan badannya dengan kasar. Dia luruskan tangan
dua kali sambil menghela nafas tersekat-sekat, urat dileher nampak tegang.
"Huaaaahhh..."
sepasang kaki Suhaimi Keraba bergerak-gerak. Semua biji mata tertumpu ke
arahnya. Dadanya sudah tidak berombak, nafasnya terhenti. Suhaimi Keraba
terkulai atas bantal bantang pisang. Dia sudah tidak bernyawa lagi.
"Semuanya
dah habis," Haji Taslim Singasari bangun sambil menutup mayat Suhaimi
Keraba dengan kain hitam.
HAMPIR
Haji
Taslim Singasari menghampiri kami. Dan kami serahkan naskah Yasin kepadanya
untuk disimpan. Saya pandang wajah datuk, ada sesuatu yang saya agak aneh dan
ganjil.
Belum
pernah saya mendengar salakan anjing mendayu-dayu seolah-olah menangis di waktu
tengah hari rembang.
Suara
gagak rancak berbunyi. Kokok ayam janyan bertalu-talu dan ketuk ayam betina
bagaikan gendang perang. Saya jadi seram dan berdebar.
Sumpah
saya tidak tahu, apakah Pak Imam dan datuk mengalami perkara ganjil seperti apa
yang saya alami? Pada mata kasarnya, saya lihat Haji Taslim Singasari seperti
orang keresahan.
"Ganjil!"
Terkeluar
ungkapan dari bibir Pak Imam.
"Apa
yang ganjil tu?" pintas datuk.
"Cuba
dengar baik-baik, kawan," mata Pak Imam merauti seluruh wajah Haji Taslim
Singasari. Akhirnya sepasang biji mata Pak Imam tumpah ke paras saya dan datuk.
"Saya
dah dapat dengar dengan jelas. Bunyi reriang rimba bukan main galaknya,"
sahut datuk.
"Saya
juga mendengarnya, binatang-binatang tu menegur syaitan yang keluar dari rumah
ni menuju ke arah hutan di Gunung Jerai, di Kedah," Haji Taslim Singasari
bersuara.
Saya
menelan air liur, rasa takut masih menguasai tangkai dan jantung hati saya.
Datuk memberanikan diri lalu membuka kain penutup mayat Suhaimi Keraba. Datuk
tatap wajahnya yang hitam sambil membaca sesuatu.
Kerana
Pak Imam dan Haji Taslim Singasari bergerak ke ruang tengah, saya segera
mengekori jejak mereka. Tinggallah datuk seorang diri di bilik kecil.
Kami
(saya, Pak Imam dan Haji Taslim Singasari) duduk bersimpuh di anjung. Lolongan
anjing, jeritan gagak, kokok dan ketuk ayam beransur kurang. Ada ketenangan
tergambar di wajah Haji Taslim Singasari. Saya merasa selesa disentuh angin
dari bibir sawah. Datuk masih berada dalam bilik, entah apa yang dibuatnya,
saya tidak tahu.
"Apa
yang Pak Imam tengok tu..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan
kata-katanya. Dia tunduk merenung lantai sambil memperkemaskan silanya.
"Perkara
semacam itu, sudah jadi perkara biasa pada saya, masa dia mula-mula terbaring
dulu, macam-macam binatang ganggu saya," sambung Haji Taslim Singasari.
Cukup tenang dia mengungkap pengalaman yang dilaluinya.
Dari
jendela yang terdedah, saya melihat ke arah langit. Di mana-mana kelihatan awan
putih bersih bergerak lemah mengikut hembusan angin. Cuaca amat baik sekali.
Tidak ada tanda-tanda mahu hujan atau ribut petir akan berlaku.
"Awak
kesiankan dia, Haji?" tanya Pak Imam.
"Ya."
Haji Taslim anggukkan kepala.
"Itulah
sebabnya, awak kena bahananya," Pak Imam telan air liur.
"Dia
sahabat saya, kami berkawan bukan setahun dua, saya simpati dan kesiankan
dirinya, saya nak bawa dia ke jalan yang benar. Tapi, sudah terlambat,"
Haji Taslim Singasari mempamirkan kedukaan dan kehampaan di wajahnya. Dia
menarik nafas dalam-dalam yang diakhiri dengan sebuah keluhan.
Kata
Haji Taslim Singasari, dia bertemu dengan Suhaimi Keraba di Pulau Kampoi.
Kemudian mereka pergi ke Pulau Niar yang terletak di hujung Pulau Sumatera.
Mereka menuntut ilmu dunia. Kerana merasakan ilmu yang diperolehi masih kurang,
mereka terus mengembara ke pelosok Pulau Jawa. Berguru dan mencari ilmu dunia.
Masa di Pulau Jawa mereka sering berulang alik ke Bali.
Dengan
takdir Allah, mereka bertemu dengan seorang tua yang mereka panggil sebagai
'Kiai Sabdo' ditempat yang bernama Singasari. (Haji Taslim yang tertarik dengan
nama tempat tersebut mengabadikan pada hujung namanya) Kiai Sabdo menasihati
mereka supaya jangan meneruskan kegiatan yang tidak bermanfaat itu. Nasihat
Kiai Sabdo segera dipatuhi oleh Haji Taslim (yang ketika itu belum bergelar
Haji). Tetapi, Suhaimi Keraba tidak memperendahkan nasihat tersebut.
Haji
Taslim Singasari terus menuntut ilmu akhirat dari Kiai Sabdo dan Suhaimi Keraba
dengan kegiatan ilmu kebatinannya. Dia memperolehi sebuah kitab dari seorang
gurunya yang namanya tidak pernah diceritakan pada Haji Taslim Singasari.
USIR
Kerana
kitab itu jugalah Kiai Sabdo mengusir Suhaimi Keraba keluar dari rumahnya.
Suhaimi Keraba terus pergi ke Wilayah Balidono, Putworejo, Jawa Timur bersemadi
di sebuah gunung.
Dan
Suhaimi Keraba telah memelihara persahabatannya dengan Haji Taslimi Singasari.
Tanpa pengetahuan Kiai Sabdo. Dia mengujungi tempat pertapaan Suhaimi Keraba.
Atas
nasihat Kiai Sabdo, Haji Taslim Singasari meninggalkan Tanah Jawa pulang ke
Semenanjung Tanah Melayu. Buat beberapa lama dia menetap di kampung halamannya
di Tanah Kebun, Parit Buntar. Kemudian dia pergi ke Perlis dan akhirnya
bermastautin di Pattani, Selatan Siam mendalami ilmu akhirat.
Setelah
mendapat berita yang Suhaimi Keraba berada di Balik Pulau, Haji Taslim
Singasari pun berhijrah ke tempat tersebut lalu membeli sekeping tanah sawah.
Persahabatan
yang terputus disambung kembali. Suhaimi Keraba sering mengujunginya.
"Cita-cita
saya mahu memberi kesedaran. Biar dia balik ke pangkal jalan. Tapi, dia cukup
liat. Kadang-kadang saya diduganya dengan pelbagai cara. Ilmu hitamnya cukup
tinggi," cetus Haji Taslim Singasari.
"Sudahlah,
dia sudah memilih cara tu, Haji. Apalah yang boleh kita buat," Pak Imam
meraba pangkal lehernya.
"Sebagai
sahabat, saya tetap berdoa setiap kali solat, minta Allah ampunkan dosanya dan
rohnya ditempatkan di tempat yang baik-baik," demikian erti setiakawan
buat Haji Taslim Singasari.
"Seram
saya."
Kami
segera menoleh ke arah datuk yang keluar dari bilik secara mengejut. Mukanya dibasahi
peluh bersama bayangan kecemasan.
"Kenapa?"
soal Haji Taslim Singasari.
"Mayatnya
bangun mahu menerkam ke arah saya, binatang-binatang bisa berkeliaran atas
mayatnya," jelas datuk lalu duduk di sisi pak Imam.
"Dengan
nama Allah dapat saya atasi dengan sebaik-baiknya," sambung datuk lagi.
Dia mengesat peluh di dahi dengan belakang tangan.
"Tunjangnya
cukup hebat," celah Pak Imam. Saya lihat Haji Taslim anggukkan kepala.
Kesedihan atas kematian sahabat rapat yang tidak sejalan itu meninggalkan kesan
hiba yang amat sangat terhadap dirinya.
Pak
Imam, datuk dan Haji Taslim Singasari mengadakan perbincangan kecil dan
singkat. Hasilnya, Pak Imam diserahkan tugas pergi ke masjid memberitahu orang
ramai tentang kematian Suhaimi Keraba. Urusan mandi mayat dan kafan terletak
atas bahu datuk dan Haji Taslim Singasari. Saya cuma jadi pembantu mereka saja.
Sebaik
saja selesai sembahyang Zohor, sembahyang jenazah dilakukan di masjid kampung
tersebut. Mungkin kerana nama Suhaimi Keraba dianggap nama yang tidak membawa
keuntungan pada penduduk setempat, menyebabkan orang yang datang menziarah dan
menyembahyangkan jenazahnya tidak seberapa.
Apa
yang membanggakan saya ialah sikap Haji Taslim Singasari, selepas pengkebumian
sahabat karibnya, Suhaimi Keraba. Dia seperti menyembunyikan keburukan dan
kejahatan sahabatnya dari orang ramai.
Dia
mengelakkan diri, bila ada orang kampung bertanyakan kegiatan buruk Suhaimi
Keraba semasa hayatnya. Tetapi, dia tidak pula keberatan untuk menceritakan
tentang kebaikan sahabatnya walaupun kebaikan yang ada amat kecil jika
dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukan.
"Kenapa
ditanyakan tentang kejahatan orang yang sudah tiada, bukankah perbuatan itu
dilarang oleh agama kita," tutur Haji Taslim Singasari pada seorang anak
muda yang menahannya, sebaik saja keluar dari tanah perkuburan.
"Sebabnya
mudah saja, dia selalu mengganggu orang kampung dengan ilmu jahatnya,"
jawab pemuda itu.
"Hai
orang muda. Dia sudah tak ada dan tak ada gunanya awak marah atau menaruh
dendam, memaki hamunnya. Perbuatan macam tu, tambahkan dosa kita, sedangkan dia
sudah pun mengadap Allah," Haji Taslim Singasari menetap wajah pemuda yang
berambut panjang. Ternyata pemuda yang masih menaruh dendam itu, tidak dapat
menerima nasihat Haji Taslim Singasari.
"Awak
jadi pelindungnya, awak jadi taukenya," satu tuduhan yang pedih
dilemparkan oleh pemuda kepada Haji Taslim Singasari.
"Apa
salahnya awak melupakan perbuatan kawan saya itu, sedekahkan Fatihah dan
Qulwallah pada rohnya dan minta ampunkan dosanya. Awak dapat pahala dan secara
tak
langsung
awak dapat melatihkan diri awak untuk menjadi seorang Islam yang baik dan
berniat ikhlas," Haji Taslim Singasari terus mengajak saya dan datuk
beredar dari situ.
PANAS
Rupanya,
pemuda yang panas baran itu tidak puas hati dengan sikap Haji Taslim Singasari.
Dia menghalang kami meneruskan perjalanan dengan merentangkan sebatang kayu di
depan kami.
"Hei!
Ketua ilmu sesat, ketua ajaran salah, jangan cuba pertahankan orang kamu,"
pemuda panas baran terus menuding jari telunjuknya ke muka Haji Taslim
Singasari.
Datuk
nampaknya kurang senang dengan sikap pemuda yang biadap itu. Tetapi dia tidak
mahu bertindak. Maklumlah tempat orang, tidak ada gunanya jadi ayam sabung.
"Bangsat,
datang ke hujung kampung orang nak jadi kepala iblis," sambung pemuda itu
lagi. Haji Taslim Singasari tunduk senyum sambil memberi isyarat pada datuk dan
saya supaya meneruskan perjalanan tanpa melangkah kayu penghalang di depan.
"Heiii...,"
sergah pemuda itu ke arah saya dan datuk. Dan dalam masa yang sama, Pak Imam
keluar dari kawasan tanah perkuburan lalu meluuru ke arah pemuda panas baran.
"Kamu
balik, jangan nak sedap-sedap saja tuduh orang amal ilmu sesat, ilmu salah.
Selidiki dulu sebelum bercakap," Pak Imam paut bahu kanan pemuda panas
baran dengan tangan kirinya.
"Kenapa
Pak Imam masuk campur, Pak Imam dah ikut dia?"
"Itu
soal aku, kamu mesti tahu, aku imam, aku tahu apa yang aku buat. Jadilah pemuda
Islam yang berhemah tinggi, menyiasat dan mengkaji sebelum buat tuduhan. Pergi
balik, dengar cakap aku," herdik Pak Imam, tanpa berkata sepatah apa pun,
pemuda panas baran terus meninggalkan kami.
Kami
pulang ke rumah Haji Taslim Singasari. Di rumah itu juga Pak Imam membuka
rahsia diri dia yang sudah lama mengenali Haji Taslim Singasari. Bila waktu
terluang mereka saling bertukar-tukar fikiran dan pendapat. Tetapi Pak Imam
mengakui yang dia tidak tahu hubungan Haji Taslim Singasari dengan Suhaimi
Keraba begitu akrab.
Haji
Taslim Singasari mengakui yang dia merahsiakan hubungannya itu daripada
pengetahuan Pak Imam. Sebabnya, dia mahu berusaha dahulu untuk membawa Suhaimi
Keraba ke jalan yang benar. Bila gagal, barulah dia memerlukan pertolongan dari
Pak Imam dan orang lain.
"Sayangnya,
cita-cita saya tak sampai. Dia pergi dulu tinggalkan saya. Kalau ikut umur, dia
lebih muda dari saya. Pada hukum adatnya, saya yang mati dulu. Tetapi kuasa
Allah siapalah tahu," antara jelas dengan tidak, Haji Taslim Singasari
menuturkan kata. Kehibaan masih terpancar di wajahnya.
"Allah
sayangkan dia," meletup suara dari datuk. Apa alasan datuk, orang jahat
disayangi oleh Allah? timbul pertanyaan dalam rongga dada saya.
"Bila
dia dipanggil Allah, ertinya segala kegiatan jahatnya terhenti di situ saja.
Itu tanda Allah sayangkan dia. Kalau umurnya panjang penuh dengan kejahatan,
tentulah hidupnya tidak bermakna," sambung datuk lagi. Saya dapat menerima
alasan itu.
Saya
lihat jam tua yang tersangkut di dinding sudah pukul empat lebih. Sinar
matahari kian redup tetapi, angin dari sawah menghantarkan kesegaran ke tubuh
kami.
"Saya
juga bercadang mahu mengajak si mati kembali ke pangkal jalan, saya pernah
bertentang mata dengannya, pernah berdebat. Kita perlu sabar dan tabah untuk
menyedarkannya. Ah! semuanya sudah berlalu," secara mengejut Pak Imam
bersuara. Datuk anggukkan kepala, begitu juga dengan Haji Taslim Singasari.
Kerana
jemu melihat lantai, dinding rumah serta jam tua, saya alihkan pandangan ke
luar. Dedaun kelapa di pinggir kampung melintuk liuk disentuh bayu petang.
Beburung liar terbang rendah lalu hinggap di reranting pokok yang memagari
bibir Kampung Tenang. Awan juga berarak lembut ke arah pekan Balik Pulau.
"Si
mati jadi marah dan meradang dengan kedatangan seseorang ke kawasan Balik Pulau.
Menurut si mati orang itu menghalang kegiatannya dengan kasar, tidak mahu
berunding," Haji Taslim Singasari bersuara. Pak Imam renung ke arah datuk.
Saya segera membuat ramalan. Orang yang dimaksudkan oleh si mati itu tidak lain
dan tidak bukan adalah datuk saya.
"Apa
kata si mati terhadap orang itu?" saya bertanya, datuk segera mencubit
paha saya. Aduh! sakitnya bukan kepalang. Tetapi saya tetap bersikap tenang,
seolah-olah tidak ada apa yang terjadi.
BATUK
Melihat
sikap saya yang bersahaja itu, datuk tidak puas hati. Dia berpura-pura batuk,
sebagai tanda ingatan agar saya jangan megemukakan sebarang pertanyaan lagi.
"Orang
yang datang ni, bukan calang-calang orang. Ada ilmu dunia dan akhirat. Sebelum
dia tunduk pada orang yang datang itu, dia mahu mengujinya terlebih dahulu.
Tapi...," Haji Taslim Singasari terbatuk. Setelah selesai batuk, dia tidak
mahu meneruskan kata-kata.
Sikapnya
itu, membuat kami bertiga resah. Saya terus menganggap Haji Taslim Singasari
mahu menyembunyikan sesuatu dari kami. Dalam erti kata lain, masih meragui
kejujuran kami.
"Kenapa
tak teruskan cerita," desak Pak Imam.
"Dia
kesalkan awak," biji mata Haji Taslim Singasari menampar wajah Pak Imam
yang nampak terkejut.
"Kesalkan
saya? Kenapa?"
"Sebabnya,
awak menolong orang yang datang tu. Dia menghormati awak," lanjut Haji
Taslim Singasari.
Datuk
nampak resah. Dia sedar dirinya turut dikaitkan dalam masalah ini. Sesungguhnya
kedatangan datuk ke Balik Pulau bukan untuk mencari musuh. Dia sekadar mahu
menunaikan permintaan Mat Prai. Hidup bagi datuk ialah mencari sahabat sebanyak
yang boleh. Musuh jangan dicari, walaupun seorang.
"Agaknya,
sayalah orang yang dimaksudkan oleh si mati," datuk tegakkan leher. Pak
Imam renung ke arah saya dan Haji Taslim Singasari pula renung Pak Imam.
Keadaan bertambah gawat, semoga tidak ada tercetus sebarang pergaduhan di sini.
Doa saya dalam hati.
"Memang
awaklah," sahut Pak Imam.
"Awak
dendam dengannya lagi," Haji Taslim Singasari renung muka datuk.
Perlahan-lahan datuk gelengkan kepala.
"Saya
tahu niat awak macam saya juga, nak membetulkan kesilapannya, bukan
begitu?" tokok Haji Taslim Singasari lagi. Macam tadi datuk anggukkan
kepala.
Tiba-tiba
kami diganggu oleh suara batuk dan bunyi orang berjalan di bilik si mati. Kami
berpandangan sama sendiri. Bunyi telapak kaki orang yang melangkah itu semakin
lama semakin dekat. Tanpa disangka-sangka pintu bilik yang bercantum itu
ditolak dengan kasar. Semua biji mata tertumpu ke arah pintu bilik.
"Ahhh..."
Serentak
kami bersuara dengan rasa terkejut yang amat sangat. Punggung saya terasa tidak
bertemu lantai. Empat wajah manusia dipeluk kecemasan melihat Suhaimi Keraba
yang sudah dikuburkan berdiri di ambang pintu bilik.
Bentuk
tubuhnya kelihatan cukup elok dan sempurna. Mukanya tidak pula hitam, tetapi
sepasang anak matanya tidak bercahaya, tersembul macam batu cincin. Walaupun
demikian, pandangannya tetap menyorot ke arah datuk.
"Huuuuhhhh."
Lembaga
yang menyerupai Suhaimi Keraba telah bersuara. Tangan kanannya menghentak
sebelah pintu bilik hingga tercabut. Kami bertambah cemas. Lembaga itu terus
melangkah ke arah datuk.
"Kembarnya,"
pekik Haji Taslim Singasari.
"Kami
menyebutnya Tunjing, benda ni mesti dimusnahkan. Benda ni jadi jahat dan mula
mengganas bila tuannya dah tak ada," sahut Pak Imam sambil bangun dan
melangkah ke arah tangga.
"Semuanya
ni syaitan, iblis," datuk terus meluru ke arah Pak Imam yang berada di
kepala tangga. Dua kaki saya bagaikan ditarik oleh kuasa ghaib bergerak menuju
ke arah datuk. Ketika itu juga terdengar raungan gajah, ngauman harimau dan
jerit monyet. Semuanya datang dari arah bilik si mati.
Lembaga
yang menyerupai Suhaimi Keraba terus melangkah dalam keadaan yang keras.
Seluruh daging tubuhnya nampak berulas. Urat-urat hijau bagaikan mahu menolak
kulit tubuhnya. Apa yang manghalangnya habis dirempuh atau ditendang. Haji
Taslim Singasari tidak bergerak dari tempat asal. Dia bangun dan berdiri di
situ. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Pada
saat itu juga, saya lihat lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba bertukar rupa.
Tubuhnya berbulu hitam dan bahagian kepalanya bertukar menjadi kepala beruang.
"Suhaimi."
Pekik
Haji Taslim Singasari. Lembaga itu berhenti melangkah dan bertukar kembali
menyerupai diri Suhaimi Keraba yang sebenar.
Pak
Imam dan datuk terus berbisik sesuatu. Apakah perkara yang mereka bisikkan saya
sendiri pun tidak tahu.
"Jaga
dan hati-hati, Haji," Pak Imam bersuara.
"Dengan
izin Allah saya boleh mengatasinya," sahut Haji Taslim Singasari sambil
membetulkan kedudukan kaki kanannya. Lembaga itu terus merewangkan tangannya ke
kiri dan ke kanan.
"Aduh!"
Serentak
dengan itu Haji Taslim Singasari tersungkur ditolak oleh lembaga yang
menyerupai Suhaimi Keraba. Lembaga itu menerkam ke arah datuk. Haji Taslim
Singasari berjaya bangun dan menerkam ke arah datuk.
"Suhaimi
Keraba."
Mendengar
namanya disebut lembaga itu terhenti dari menyerang datuk. Dia memusingkan
kepalanya perlahan-lahan ke arah orang yang memanggilnya.
"Kita
harus ke tanah, saya tahu pantang larangnya," perintah Haji Taslim
Singasari.
Kami
segera terjun ke halaman rumah. Dan lembaga yang menyerupai Suhaimi Keraba
terus ghaib entah ke mana. Haji Taslim Singasari memerintahkan kami bertiga
mendekatinya. Perintahnya segera kami patuhi.
"Biar
saya hadapi cara ilmu dunia, kalau saya gagal saya minta tolong pada awak
berdua," kata Haji Taslim Singasari pada datuk dan Pak Imam. Nampaknya
datuk akur dengan permintaan Haji Taslim Singasari.
Bila
saja Haji Taslim Singasari memusingkan badannya ke kiri, lembaga yang
menyerupai Suhaimi Keraba muncul didepannya dengan kedua belah tangannya
menghala ke batang leher Haji Taslim Singasari.
"Kau
marah aku," tutur Haji Taslim Singasari ke arah lembaga tersebut. Dengan
serta merta lembaga itu anggukkan kepala dan haji Taslim Singasari tumbang atas
tanah. Lembaga itu bersedia untuk memijaknya. Haji Taslim Singasari mengepal
tanah. Tetapi, tidak berjaya. Tanah ditelapak tangannya bertaburan.
"Bantu
saya," rayu Haji Taslim Singasari.
Pak
Imam menerpa ke arah lembaga itu. Mereka berdepan. Saya lihat Pak Imam membaca
sesuatu, pasti dia membaca ayat-ayat pilihan dari Al-Quran untuk menentang
iblis.
Ternyata
lembaga itu tidak mudah ditundukkan tetapi, Pak Imam terus berjuang dengan
sedaya upaya. Akhirnya lembaga itu menjerit sekuat hati bersama dentuman petir
yang amat kuat.
No comments:
Post a Comment