Dari bawah pohon jati, datuk mengawasi segala kerja yang
saya lakukan. Dua tiga kali, Khoja Lisut
merayu supaya saya memberhentikan menyiram air ke kepalanya. Saya tidak dapat menunaikan permintaannya
itu, selagi belum menerima perintah dari datuk.
Saya memang simpati dengan Khoja Lisut yang selalu kelemasan dan bersin
itu.
“Cukup Tamar.”
Saya toleh kearah pohon jati. Datuk sedang melangkah kearah saya. Di tangan kanannya ada batang tepus yang
berdaun lebar.
“Aku nak balik sembahyang Zuhur, kamu tunggu disini
sampai aku datang,” sepasang biji mata datuk tertumpu ke batang hidung
saya. Datuk berpaling kearah Khoja
Lisut.
“Kenapa saya dibuat begini?”
“Bukan ini yang kamu mahu Khoja.”
“Saya minta, sakit saya dibubati, bukan di tanam dalam
pasir.”
“Inilah caranya Khoja.”
Selesai saja datuk bercakap, batang tepus terus dipalu ke
muka Khoja Lisut bertalu-talu. Suara
jeritan Khoja Lisut menguasai kawasan sekitar.
Datuk tidak peduli dengan rayuan dan rintihan Khoja
Lisut, akhirnya manusia yang terbenam dalam pasir itu terkulai lemah lalu
pengsan, batang tepus terus patah dan hancur, muka Khoja Lisut jadi hitam
birat. Baju datuk basah dimandi peluh.
“Bila dia sedar, dia minta air dari kamu. Jangan beri air. Kamu suruh dia gigit upih yang aku letakkan
di tepi sungai,” jari telunjuk datuk menghala ke bibir sungai,” suruh dia gigit
bahagian pangkal yang terkena air,” sambung datuk lagi.
“Jadi saya tak payah jirus air lagi tuk.”
“Tunggu sampai aku suruh, lagi satu aku nak beritahu
kamu, apa juga jenis binatang yang melata di bumi menuju kearah kepala Khoja,
jangan dihalau, faham.”
“Ya, saya faham tuk.”
“Sekarang kamupergi duduk bawah pokok jati.” Arahan datuk saya patuhi. Dan datuk pun meninggalkan saya dan Khoja
Lisut di situ.
Sebaik saja batang tubuh datuk hilang di balik rimbunan
pepokok di situ, Khoja Lisut tersedar dari pengsan. Dia terus menjerit minta air. Saya berlari ke gigi sungai mengambil upih. Saya suruh dia gigit hujung upih. Dalam panas terik itu, saya rasa kulit muka seperti
terbakar. Kepala Khoja Lisut bergerak ke
kiri ke kanan, lidahnya terjelir, dia enggan menggigit hujung upih yang saya
hulurkan kepadanya.
“Gigit” kata saya.
“Aku nak air, bukan ini,” sahut Khoja Lisut.
Saya terus menolak hujung upih ke mulunya. Khoja Lisut tidak ada pilihan, dia terpaksa
gigit hujung upih yang sudah diresapi air sungai.
Tiga kali gigit, Khoja Lisut tersedar dan terus
muntah. Saya lihat benda putih yang
lekat pada lidahnya tertanggal sendiri.
Jatuh atas permukaan pasir berkeping-keping. Kulit muka Khoja Kisut seperti udang kena
bakar. Khoja Lisut pengsan kembali.
Saya lari semula ke bawah pokok jati. Sebaik saja saya duduk di akar jati,
terdengar bunyi air sungai berkocak kuat.
Macam ada sesuatu yang mahu timbul dari dasar sungai ke permukaan air.
Saya bangun lalu merenung kearah lubuk dan gigi
sungai. Dua tiga kali saya gosok kelopak
mata, saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang saya lihat.
Saekor buaya menimbulkan dirinya di permukaan lubuk dan
berenang ke tepian. Buaya itu merangkak
atas pasir landai, renung kiri kanan mengawasi diri dari musuh.
Saya yakin, kemunculan buaya dari lubuk tersebut adalah
untuk menjemur diri di pantai, mungkin juga untuk bertelur.
Memang, sejak saya melihat bentuk kawasan berpasir di selekoh
sungai itu, hati saya sudah berkata yang kawasan itu memang menjadi kegemaran
buaya berjemur atau bertelur.
Hal ini dikuatkan lagi dengan adanya sebuah lubuk di
depan kawasan berpasir atau boleh juga disebut sebagai kawasan pantai sungai.
Saya menggigit jari, buaya yang merangkak itu tidak
mengubah haluan. Tetap menghala kearah
Khoja Kisut yang terkulai pengsan. Buaya
itu pasti mengamuk, bila mendapati kawasannya dicerobohi oleh manusia.
Hati kecil saya terus berdoa: Oh, Tuhan kau selamatkan manusia yang bernama Khoja Lisut dari korban
buaya. Si malang itu, berada di situ
kerana berubat. Allah yang maha besar,
selamatkanlah Khoja Lisut. Dia sudah
insaf dan menyesali perbuatannya yang lalu.
Doa saya bagaikan tidak diperkenankan oleh Tuhan. Buaya itu terus merangkak mengheret tubuh
kearah kepala Khoja Lisut yang tersembul di permukaan pasir. Dalam debar bersama cemas itu, saya pejamkan
mata. Dan saya bayangkan dalam tempurung
kepala saya begini.
GUGUR
Suara yang marah itu mengelilingi kepala Khoja Lisut
beberapa kali. Buaya itu mengangkat dan
menggerakkan ekornya. Dan sekali libas
kepala Khoja Lisut terpisah dari badan, bergolek macam buah kelapa gugur. Darah membuat-buak keluar dari sebahagian
batang leher yang masih berada dalam pasir.
Buaya itu terus menggoncang kepala Khoja Lisut ke gigi
sungai. Titisan darah memanjang di
pasir. Perlahan-lahan buaya itu
menenggelamkan tubuhnya di permukaan air sungai lalu membawa kepala Khoja Lisut
ke dasar lubuk yang airnya bergerak tenang.
Beberapa saat kemudian buaya itu muncul lagi lalu menjulang tinggi
kepala Khoja Lisut di permukaan lubuk.
“Tamarrrrrrrr…..”
Saya segera membuka mata, Khoja Lisut menggerakkan
kepalanya ke kiri ke kanan. Buaya yang
hanya berada dalam jarak beberapa kaki saja dari kepalanya terus membukakan
mulut dengan luas. Giginya yang besar
jelas kelihatan.
“Tolong aku Tamar.” Jeritan Khoja Lisut kian lantang.
Saya jadi serba salah.
Terfikir juga oleh saya untuk menjerit.
Tetapi, mana mungkin datuk dapat mendengar jeritan saya. Lagipun, kalau buaya itu terkejut,
kemungkinan besar bertindak balas lebih pantas untuk mematahkan kepala Khoja
Lisut.
“Tolong aku Tamar, aku tak mahu mati di mulut buaya ni,”
pekik Khoja Lisut. Sepasang biji matanya
terbeliak menyorot kearah mulut buaya yang ternganga. Saya lihat buaya itu berhenti merangkak. Agaknya, terkejut dengan kelantangn suara
Khoja Lisut.
Rasa kasihan dan belas terhadap Khoja Lisut mula berbunga
dalam hati. Timbul hasrat untuk mengusir
buaya tersebut. Tanpa sedar, sepotong
kayu sudah berada dalam tangan saya. Di
saat saya mahu melontarkan kayu kearah buaya, wajah datuk terbayang dalam
ingatan. Serentak dengan itu
terngiang-ngiang suara datuk menyentuh gegendang teliga saya.
Saya segera membatalkan hasrat hati untuk menghalau buaya
di dada pasir. Kayu di tangan segera
saya lepaskan. Peluh terus mengalir di
pipi dan di dahi. Apakah yang perlu saya
lakukan sekarang? Ternyata saya tidak
dapat berbuat apa-apa. Saya hanya pasrah
kepada Allah saja.
Khoja Lisut berusaha berhempas pulas mahu mengeluarkan
tubuhnya yang tertanam dalam pasir. Saya
mengedutkan dahi, melihat daya usaha seorang kenalan di saat-saat menghadapi
bahaya. Saya segera terfikir mana
mungkin Khoja Lisut dapat mengeluarkan tubuh yang terbenam separas leher di
perut pasir.
Pasir sekeliling lehernya nampak bermanik dan bercahaya
akibat sinaran matahari yang kian terik.
Saya yakin sesiapa yang memijak pasir ketika itu tanpa sepatu akan
menjerit kepanansan.
“Tolong aku.”
Suara Khoja Lisut amat lemah dan untuk kesekian kalinya
dia terkulai pengsan. Saya tetap macam
tadi, masih terpaku di bawah pokok jati.
Panas terik membuat tekak terasa amat kering sekali.
“Maafkan saya, Pak Cik Khoja.”
Itu yang berkocak dalam diri. Sepasang anak mata, saya arahkan ke lubang tempat
buaya berendam. Air di permukaan lubuk
kelihatan tenang. Kicau burung di hujung
dahanrancak berbunyi. Saya alihkan
pandangan kearah Khoja Lisut. Kasihan,
dia masih terkulai pengsan.
Peluh terus memercik dimuka dan seluruh badan. Angin yang bertiup tiada dapat memberikan
kedinginan ke seluruh tubuh. Dan buaya
yang di dada pasir terus merangkak.
Sebaik saja muncungnya mahu mencecah rambut Khoja Lisut, buaya itu
berenti merangkak. Saya tergamam
sejenak, buaya itu membuka mulutnya dengan luas sekali. Batang giginya jelas kelihatan dan pada saat
itu juga,saya terlihat lalat langau mengurungi mulut buaya di tengah panas yang
terik.
Andainya,buaya itu bergerak ke depan sedikit dan
merapatkan muncungnya, sudah pasti seluruh kepala Khoja Lisut berada dalam
rahangnya. Saya segera mencapai sepotong
kayu yang berada di sebelah kaki kiri saya.
Sekiranya buaya itu mematahkan kepala Khoja Lisut, saya akan meluru ke
arahnya lalu menikam matanya dengan kayu yang ada di tangan saya.
“Syukur.”
Itulah yang terluah dari mulut saya. Buaya mengubah haluan kedudukannya. Muncungnya yang terbuka dihalakan kearah
saya. Kemudian, mulutnya yang ternganga
segera dirapatkannya perlahan-lahan.
Buaya itu mendekatkan badannya yang bersisik ke lubang hidung Khoja
Lisut.
“Kalau dibiarkan lama-lama begitu, matilajh Khoja Lisut
kelemasan,” fikir saya sambil mencari belah bagaimana mahu menghalau buaya
tersebut. Dalam saat saya berfikir, saya
lihat buaya itu bergerak lagi. Kali ini,
muncungnya yang diarahkan kepada saya berubah haluan, dihalakan ke tepi
sungai. Dengan tiba-tiba saja buaya itu
meluru ke lubuk macam ada sesuatu yang mengejarnya.
Air sungai yang mengalir tenang terus berkocak dan
bergelombang, sebaik saja badan buaya mengempapnya. Buat beberapa saat buaya tersebut terkapar di
permukaan sungai. Akhirnya
perlahan-lahan menenggelamkan dirinya ke dasar lubuk. Air sungai yang bergelombang mula beransur
tenang.
Saya menarik nafas kelegaan, buaya yang mengancam nyawa
Khoja Lisut sudah pulang ke sarangnya.
Semoga, buaya itu tidak akan datang lagi. Begitulah harapan saya.
“Huhhhhh….”
Segera saya toleh kearah Khoja Lisut, ternyata dia baru
sedar dari pengsan. Dua tiga kali, Khoja
Kisut menggerakkan kepalanya.
“Weeeeeeekkkkkkkkkk.”
Saya lihat Khoja Lisut muntah. Dan muntah itu meresap ke dalam pasir. Dari jauh saya dapat melihat muntahnya
berwarna putih bercampur kemerah-merahan.
Macam nanah bercampur darah.
Muntah itu berlanjutan hampir setengah jam.
TELINGA
Setiap kali Khoja Lisut muntah, rambutnya seakan-akan
menjadi tegak. Mukanya nampak
kembang. Telinganya nampak merah.
“Aduh!!! rasanya semua isi perut aku nak keluar. Tolong aku Tamar, aku dahaga, janganlah aku
diseksa begini,” Khoja Lisut
merayu. Saya segera mengambil daun
keladi besar. Saya berlari ke
sungai. Daun keladi besar yang sudah
dibuat macam kelongsong segera saya isikan dengan air untuk Khoja Lisut. Saya bersedia mahu melangkah kearahnya.
“Buuuuuummmmmmmmmmmmmmmmm.”
Terdengar sesuatu dari lubuk. Kelongsong daun keladi besar di tangan terlepas. Saya menoleh kearah lubuk. Sang buaya menimbulkan muncungnya dengan
sepasang mata yang tertonjol, merenung tajam kearah saya.
“Tuuuukkkkkk…..”
Saya menjerit dengan sekuat hati. Tanpa disedari saya sudah berada di bawah
pokok jati. Badan mengigil dan terasa
seakan-akan ada sang buaya mengekori saya.
Sepasang kaki menjadi lemah dan saya terus jatuh.
Antara sedar dengan tidak, saya terasa seperti ada orang
berdiri di depan. Walaupun sepasang
kelopak mata tidak terkatup tetapi, saya tidak dapat melihat dengan jelas dalam
keadaan panas yang amat terik itu.
Penglihatan saya agak kabur dan perpinar-pinar. Pada saat itu juga saya terfikir, tidak
mungkin yang terpacak di depan saya itu Khoja Lisut. Dia tidak berkeupayaan mengeluarkan dirinya
dari pasir.
“Kamu pitam, agaknya perut kamu kosong.”
Saya cuba mengamati suara itu. Sudah pasti itu suara datuk. Saya cuba manjawab, ternyata saya kehilangan
suara. Saya cuba menggerakkan tubuh,
saya gagal. Malah untuk menggerakkan
kaki kanan saya tidak mampu.
‘Kamu lapar.”
Tubuh saya digoncang berkali-kali, kemudian ditegakkan
lalu disandarkan dipangkal jati..Kalau tadi, kelopak mata saya tidak terkatup,
kini macam ada kuasa tertentu yang memaksa kelopak mata saya terkatup rapat.
“Bangun Tamar, bangun.”
Badan saya terus di goncang. Saya tidak terdaya melakukan sesuatu. Anehnya, kicau burung dan suara Khoja Lisut
yang berada di tengah panas dapat saya dengar dengan jelas. Untuk menjawab pertanyaan datuk, saya tidak
mampu.
“Kamu lemah semangat, kamu lemah semangat, kamu terkejut
kerana terserempak dengan sesuatu yang tidak pernah kamu tengok sebelumnya,”
cukup jelas suara datuk. Apa yang
dituturkannya itu memang benar. Saya
tidak tahu bagaimana mahu menyatakan ‘ya’ padanya. Mahu bersuara, suara tidak keluar. Mahu anggukkan kepala, batang leher jadi
keras macam besi.
“Ha ini habuan kamu.”
Sebaik saja kata-kata itu berakhir, muka saya terasa
dirimbas dengan daun kayu dan dituruti dengan pukulan ranting kayu bertubi-tubi
di belakang saya. Sakitnya terasa bukan
kepalang.
“Aduhhhhhhh”
Saya menjerit sekuat hati. Gemanya menguasai kawasan sekitar dan saya
seperti terkejut. Tidak yakin, apa yang
saya dengar itu adalah suara saya sendiri.
Bagi mempastikannya, saya terus menjerit lagi.
“Aduhhhhhhh.”
Sudah sah, itu adalah suara saya. Di saat saya berusaha mahu bangun, datuk
membuka penutup botol besar air (yang dibawa dari rumah) dan kepala saya
dijirusnya dengan air. Serta-merta saya
melompat. Bagaikan kilat datuk
menyambarkan tangan saya lalu dikilaskannya ke belakang. Saya ditolak ke kanannya hingga terjatuh.
“Apa yang kamu nampak, Tamar?”
“Buaya timbul dari lubuk.”
“Hum, bangun. Bawa
botol air ke tempat Khoja Lisut. Jirus
kepalanya dengan air ni, kalau dia dahaga beri dia minum,” datuk mengeluarkan
perintah. Tanpa banyak soal jawab saya
ambil botol yang dihulurkan oleh datuk.
Saya mengatur langkah kearah Khoja Lisut.
MATAHARI
Dibawah sinar matahari yang terik, saya berdiri di
depanKhoja Lisut. Rasanya, tidak sopan
berdiri di depan orang yang badannya hampir keseluruhan berada dalam pasir.
Bagi menghormati Khoja Lisut, saya duduk berdiri lutut
sambil membuka penutup botol besar dan bersedia untuk menjiruskan air ke
kepalanya.
“Tamar.”
Saya tidak jadi menjiruskan air ke kepala Khoja
Lisut. Saya segera memandang kearah
datuk yang berada di bawah pondok jati.
“Bismillah dan selawatkan nabi.”
Saya segera anggukkan kepa.
“Mulakan sekarang, Tamar.”
Saya membaca bismillah dan terus selawat nabi. Dan air dari perut botol pun jatuh atas
kepala Khoja Lisut. Lelehan air di bibir
terus masuk ke mulut lalu diteguk penuh nafsu.
“Terima kasih, Tamar.”
Khoja Lisut dongakkan kepalanya, sepasang anak matanya
yang kuyu merauti paras saya. Bibirnya
yang pucat Nampak kering, begitu juga dengan kulit mukanya.
“Aku dahaga,” ucapnya lagi. Ucapannya itu saya jawah
dengan menganggukkan kepala.
“Haus, saya haus,”suara Khoja Lisut tidak bebarapa
jelas. Muncung botol saya dekatkan ke bibirnya. Perlahan-lahan punggung botol saya tinggikan. Dengan berbuat demikian memudahkan Khoja Lisut
meneguk air.
“Cukup Tamar, mari ke mari.”
Saya toleh kearah datuk.
Dia menggamit saya supaya segera mendekatinya. Cepat-cepat muncung botol saya tutup. Khoja Lisut mengeluh, dia bagaikan tidak
merestui saya meninggalkannya. Saya
segera menghampiri datuk dan berdiri di depannya.
“Banyak kamu beri dia minum.”
“Sikit saja, tuk.”
“Hum….” Biji mata datuk menjeling kearah botol kosong
yang saya pegang. Botol kosong itu saya
serahkan padanya. Datuk letakkan botol
kosong di atas akar pohon jati.
“Kamu pergti balik, makan nasi dan sembahyang Zuhur,”
datuk keluarkan perintah. Matanya tidak
berkedip merenung batang tubuh saya, dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Tidak selesa rasanya saya dipandang
begitu. Saya jadi serba salah.
“Apa kata kamu Tamar,” biji mata terbeliak, macam mahu
keluar dan saya serentak. Saya sudah
terlanjur. Ungkapan saya keluar secara
spontan dari mulut itu, benar-benar menyinggung perasaan datuk.
“Saya balik dulu, tuk.”
Itulah helah saya,
melarikan diri menghadapi kemarahan datuk.
Saya mempercepatkan langkah.
Kalau boleh saya mahu menghilangkan diri dengan sekelip mata di depan
datuk.
“Tamar nanti dulu, aku tak suruh kamu pergi, kenapa kamu
pergi? Kamu ni makin biadap. Mari ke
sini.”
Saya sudah melangkah beberapa ela darinya terpaksa sorot
kembali dan terus berdiri di depannya.
Suara Khoja Lisut minta air, tidak dipedulikan oleh datuk. Wajahnya masih masam. Saya bersedia menerima apa saja kutukan dan
sumpah seranah darinya.
Saya menarik nafas kelegaan. Datuk menggigit dan terus mencari akar kayu
untuk duduk. Dia senyum kearah saya
perlahan-lahan dia gelengkan kepala, agaknya dia terasa lucu dengan pertanyaan
yang tidak wajar saya kemukakan kepadanya.
“Kamu tolong nenek kamu, apa yang patut.”
“Ya, tuk.”
“Kamu datang ke sini, bila kamu dah selesai sembahyang
Asar.”
“Ah….” Terkeluar keluhan kecil dari mulut.
Kenapa mesti lepas sembahyang Asar. Kenapa tidak selepas sembahyang Zuhur. Kenapa mesti menolong nenek. Apa yang datuk katakana itu memang
praktikal. Sepatutnya, lepas sembahyang
Zuhur , saya mesti ke sini, melihat detik peristiwa yang dialami oleh Khoja
Lisut. Apa yang bergolak dalam dada
tidak berani saya luahkan. Terpaksa
dipendamkan dalam kalbu.
“Masa kamu nak datang kemari, bawakan aku putik manggis
tujuh biji, putik rambutan tujuh biji serta air masak dari putik pinang,” datuk
memberikan pesan.
“Jadi saya kena rebus putik pinang, tuk?
“Tak payah, semua barang-barang tu dah disediakn oleh
nenek kamu. Kamu cuma bawa saja ke
sini.”
“Jalan terus ke rumah, jangan merayau-rayau ke
mana-mana.” Itu pesanan terakhir dari datuk untuk saya, sebelum melangkah
pulang.
Lebih kurang setengah rantai jarak antara saya dengan
datuk, dan saya yakin datuk tidak dapat melihat pergerakan saya kerana
dilindungi oleh pepokok kecil, saya erus berlari. Pada saat itu juga saya menganggap diri saya
terlepas dari cengkaman datuk. Saya
berlari dengan semahu-mahunya.
PINTU
Nenek yang secara kebetulan berdiri di depan pintu dapur
tercengang melihat saya berlari tercungap-cungap kearahnya. Tanpa menegurnya saya terus memanjat anak
tangga dan duduk di muka pintu.
“Apa yang mengejar kamu, Tamar?”
“Tak ada apa-apa?”
“Habis kenapa kamu lari.”
“Seronok lepas dari kawalan datuk, saya lapar nek.”
“Hum….,” nenek gelengkan kepala, “dah sembahyang?”
Susulnya lagi. Saya Cuma mampu
tersengih.
“Sekarang pergi bersihkan badan kamu, lepas tu sembahyang
Zuhur, sementara kamu sembahyang biar aku siapkan makanan,” turut nenek sambial
manggaru pipi sebelah kanannya.
“Macam mana kalau saya makan dulu, nek.”
“Tak baik begitu, bersihkan badan dan sembahyang dulu,
barulah seronok makan. Tuhan suka orang
yang bersih, makan dalam keadaan penat dan badan kotor, kata orang makan
bersama syaitan. Kamu mahu makan sama
syaitan, Tamar?”
“Heee…..tak mahu, saya kawan dengan syaitan.”
“Kalau tak mahu, kamu pergi mandi. Buat apa yang aku cakap,” sambung nenek. Dan saya segera menuju ke perigi.
Cakap nenek memang tepat, selesai menunaikan solat Zuhur,
saya dapat menikmati hidangan makanan tengah hari dengan selesai dan bernafsu
sekali. Selesai makan saya tersandar di
dinding merehatkan tubuh badan tetapi, kenikmatan itu hanya dapat saya rasai
dalam waktu yang pendek. Lepas makan
duduk bersandar, memang pantang besar bagi nenek.
Kalau nak duduk tu, biarlah nasi jatuh ke perut
dulu. Pergi jalan-jalan atau buat kerja
ringan. Kamu tahu Tamar, orang yang
makan kenyang kemudian duduk tersandar, minta celaka diri.”
“Apa ertinya cakap nek ni, saya tak tahu,” tanya saya.
“Minta papa kedana, pemalas. Kalau diamalkan selalu, perut boroi, sakit
urat-urat perut mudah datang. Boleh jadi
barah tahu, nanti perut kamu boleh meletup.”
“Saya tak mahu perut saya meletup,” saya terus menjerit
dan melompat. Sekaligus melakukan
senaman.
No comments:
Post a Comment